Category: Umum

  • Majlis Syura Pas pertahan Muhyiddin, Takiyuddin

    Majlis Syura Pas pertahan Muhyiddin, Takiyuddin

    MOHD LAZIM ENDUT.

    Majlis Syura Ulama Pas menyifatkan gesaan supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan agar melepaskan jawatan berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat sebagai tidak wajar.

    Setiausahanya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia kerana setiap keputusan dibuat dalam kerajaan adalah secara kolektif.

    Sehubungan itu katanya, Majlis Syura Ulama Pas terus menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri sekalipun beliau kini berdepan gesaan supaya meletakkan jawatan.

    “Adalah tidak wajar gesaan itu dibuat kerana apa jua keputusan dalam kerajaan  merupakan keputusan bersama ahli-ahli Kabinet, bukan hanya Perdana Menteri seorang sahaja.

    “Oleh itu, gesaan supaya kedua-dua pemimpin ini meletak jawatan adalah tidak relevan dan tiada keperluan kerana Takiyuddin hanya menjalankan tugas sebagai menteri Kabinet yang menguruskan undang-undang serta menyampaikan keputusan kerajaan, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kios Amal Kongsi Rezeki di Kuala Nerus, semalam.

    Mohd Khairuddin turut menyifatkan tindakan pihak pembangkang  cuba menutup kejayaan kerajaan mengurus negara dalam keadaan pandemik ketika ini sebagai proses demokrasi.

    Menurut beliau, itu adalah hak mereka sebagai pembangkang untuk mengkritik dan menegur kerajaan.

    “Setiap apa yang kita lakukan adalah mengikut undang-undang dan Perlembagaan. Sebagai pemerintah, setiap kelemahan yang berlaku dalam pengurusan negara, kita akan hadapi bersama,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, pergolakan politik adalah perkara biasa di mana-mana negara.

    Katanya, tidak dinamakan politik jika ia tidak bergolak dan apa yang penting ialah orang politik perlu membuat kerja mengikut undang-undang dan Perlembagaan.

    “Sebagai kerajaan, kita sentiasa berhemah. Sebagai contoh, sewaktu persidangan Dewan Parlimenn berlangsung, banyak penjelasan diberikan antaranya termasuklah mengenai Pelan Pemulihan Negara, proses vaksinani untuk rakyat dan juga kedudukan kewangan negara,’’ katanya.

  • Lebih baik bantu rakyat daripada ganggu kerajaan – Osman

    Lebih baik bantu rakyat daripada ganggu kerajaan – Osman

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BERGANDING bahu dan bersatu padu membantu rakyat yang sedang terkesan dengan situasi wabak Covid-19 adalah lebih baik berbanding berterusan mengganggu gugat kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Osman Sapian.

    Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tindak tanduk pembangkang seperti yang berlaku di Dewan Rakyat tidak sewajarnya berlaku dalam keadaan negara masih berdepan pandemik.

    Sebaliknya tegas beliau, kesejahteraan rakyat serta agenda menyelesaikan masalah Covid-19 lebih perlu diutamakan oleh semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti berbanding perkara lain.

    “Semua pihak perlu  mengelakkan sebarang perbezaan pandangan demi membantu rakyat yang terkesan dengan situasi pandemik Covid-19. Bersama kita berdoa agar kemelut politik dan Covid-19 akan segera berakhir,” katanya dalam kenyataan semalam.

    Osman yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam berharap rakyat dan semua pihak juga dapat bertenang dalam menghadapi situasi terkini.

    Dalam pada itu, pihaknya menzahirkan sokongan penuh dan tanpa belah bahagi terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan kepemimpinannya dalam kerajaan PN.

    “Bersatu Ayer Hitam menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar semua Ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada usaha menjaga kesejahteraan rakyat serta agenda menyelesaikan masalah Covid-19 pada sidang khas Parlimen yang kini berlangsung.  Bersatu Ayer Hitam juga sentiasa bersedia dalam melaksanakan agenda membela rakyat,” ujarnya.

  • PM Interim: Jangan layan cubaan pecah-belahkan kerajaan – TPM

    PM Interim: Jangan layan cubaan pecah-belahkan kerajaan – TPM

    “KITA tak perlu layan apabila ada pihak cuba nak melaga-laga atau memecah-belahkan kerajaan. Kalau layan lagi teruk.”

    Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya mengenai kenyataan beberapa pihak yang mengaitkan dirinya sebagai calon sesuai bagi mengisi jawatan Perdana Menteri Interim bagi meredakan ketegangan politik ketika ini.

    Sambil menyifatkan perkara itu sebagai khabar angin semata-mata, Ismail Sabri turut menegaskan tempoh mencabar ketika ini bukan masa sesuai untuk berpecah sebaliknya semua pihak perlu bersatu memerangi COVID-19.

    Ismail Sabri malah berkata jawatan Perdana Menteri Interim tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan dan isu berkenaan tidak patut timbul.

    “Memang saya ada baca dalam laporan portal dan juga media sosial mengaitkan nama saya tetapi itu hanya khabar angin.

    “Bagi saya, kenyataan sedemikian mungkin sengaja mahu melaga-laga atau memecah-belahkan kerajaan sahaja,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan kepada wakil penduduk di Masjid Kampung Cheruk Puting, Bera,hari ini.

    Lawatan itu juga merupakan kali pertama beliau pulang ke kawasan Parlimennya sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, 7 Julai lalu.

    Semalam, tular dalam media sosial dan portal berita bahawa Ismail sabri mempunyai sokongan kukuh termasuk dalam kalangan Jemaah Menteri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

    Mengulas mengenai kenyataan sesetengah pihak yang cuba melaga-lagakan kerajaan dan pihak istana, Ismail Sabri berkata, semua pihak wajar menyejukkan keadaan dengan tidak memburukkan lagi suasana.

    Kata beliau, tanggungjawab sebagai pemimpin lebih besar kerana rakyat ketika ini sedang berhadapan kesukaran.

    “Kita tak perlu terlalu ikut dengan apa yang digembar-gemburkan. Tindakan kita sepatutnya mendamaikan, bukan terlibat dari segi memecah-belahkan.

    “Ini bukan masa sesuai untuk sesiapa sahaja berpecah dan perlu bersatu. Apa yang penting ketika ini adalah kebajikan rakyat.

    “Kenapa kita tak fokus kepada usaha menyelesaikan isu rakyat dan paling penting menyelesaikan masalah COVID-19,” jelas beliau. – UtusanTV

  • Majlis Aidiadha ‘sembunyi-sembunyi’ antara punca kes naik di Terengganu

    Majlis Aidiadha ‘sembunyi-sembunyi’ antara punca kes naik di Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KEDEGILAN orang ramai tidak mematuhi SOP ketika Aidiladha lalu menjadi salah satu penyumbang peningkatan kes Covid-19 di Terengganu.

    Menteri Besar Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ada antara mereka mengadakan majis keraian secara ‘sembunyi-sembunyi’.

    “Selain itu terdapat aktiviti merentas negeri dan daerah semasa perayaan walaupun ia tidak dibenarkan. Faktor lain yang turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kes ialah kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring sehingga mencetuskan kluster di antara mereka,” katanya dalan kenyataan hari ini.

    Turut menyumbang kepada peningkatan kes di negeri tersebut ialah saringan bersasar melibatkan kontak rapat dan komuniti di seluruh negeri itu.

    Beliau berkata, 883 kes baharu yang dicatatkan semalam merupakan tertinggi dilaporkan sejak negara dilanda pandemik tersebut.

    ‘’Faktor lain ialah peningkatan kes  bergejala akibat penularan dalam komuniti di Terengganu,’’ katanya.

    Dr. Ahmad Samsuri berkata, bagi menangani perkara itu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bersama pihak penguatkuasa daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dan sedang mengambil berapa langkah termasuk meningkatkan saringan kontak rapat dan juga saringan di lokaliti berisiko yang dikenalpasti.

    Susulan daripada aktiviti pengesanan itu kata Dr. Ahmad Samsuri, pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan kes dalam masa dua minggu akan datang.

    “Kita juga mahu proses vaksinasi di tempat kritikal atau kawasan yang mencatatkan bilangan kes Covid -19 tinggi dipercepat dan dipertingkatkan khususnya di Dungun dan Kemaman,” jelasnya.

    Dalam laporan harian dikeluarkan JKNT semalam, Kemaman merekodkan 291 kes, Kuala Terengganu (195 kes) Dungun (179 kes), Marang (79 kes), Setiu (60 kes), Besut (23 kes) dan Hulu Terengganu (3 kes).

  • Pembangkang jadikan Parlimen bagai ‘pasar lelong’ – Pas Johor

    Pembangkang jadikan Parlimen bagai ‘pasar lelong’ – Pas Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETUA  Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin berkata, ahli Parlimen pembangkang yang majoritinya pemimpin Pakatan Harapan (PH) mempamerkan wajah dan perangai jelek apabila menjadikan sidang Parlimen tidak ubah seperti pasar lelong, hingar bingar dan sangat memalukan.

    Beliau berkata, persidangan bertukar menjadi gelanggang pertengkaran yang menjengkelkan untuk ditonton meskipun ia diperuntukan bagi membincangkan isu pandemik Covid-19 serta menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

    “Mereka berhujah dengan penuh emosi menuduh kerajaan sebagai penderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, kononnya merekalah pejuang yang mahu mempertahankan institusi istana.

    “Sedangkan merekalah yang paling kerap menghina Raja-raja Melayu dan kalangan mereka juga yang telah meminda Perlembagaan dengan menghadkan imuniti Raja-raja. Kita sedar akan permainan mereka untuk mendapat sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti dengan menuduh kerajaan hari ini sebagai penderhaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tidak dapat dinafikan kerajaan yang ada ini mempunyai kelemahan dalam beberapa perkara .

    ‘’Namun kita kena sedar kerajaan hari ini juga telah mengambil satu tanggungjawab yang besar dan sangat berat kerana negara kita dan seluruh dunia sedang berdepan dengan ujian yang dahsyat iaitu Covid-19,’’ katanya.

    Justeru, ujar Rusman, Pas sekali lagi mengulangi titah Yang di-Pertuan Agong agar semua berhenti seketika berpolitik dan tumpukan sepenuh perhatian untuk menangani masalah pandemik Covid-19 dan pemulihan negara.

  • Perak catat peningkatan kes kritikal, ICU Covid-19

    Perak catat peningkatan kes kritikal, ICU Covid-19

    PERAK mencatatkan peningkatan kes Covid-19 kategori 4 dan 5 yang memerlukan rawatan kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital negeri ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 121 pesakit Covid-19 di Perak yang sedang dirawat di ICU setakat semalam dengan kadar purata tujuh hari penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus.

    “Jabatan Kesihatan Negeri Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pelbagai agensi sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19 yang diramalkan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi,” katanya menerusi catatan Facebook beliau, malam tadi.

    Beliau turut memuat naik beberapa gambar lawatan kerjanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Hospital Taiping, Hospital Tapah dan Hospital Slim River, semalam.

    Menurut Dr Noor Hisham, sebuah bilik gerakan ditubuhkan bagi memastikan ketersediaan katil untuk merawat pesakit Covid-19 di Perak.

    Beliau menjelaskan, sebanyak 223 katil wad serta 42 katil ICU telah dikhaskan untuk rawatan Covid-19 di HRPB yang mula merawat pesakit wabak itu mulai Januari tahun lalu.

    Ujarnya, bagi hospital lain di Perak, Hospital Taiping yang mula merawat pesakit Covid-19 pada Mac tahun lalu mengalami peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 sejak akhir Jun lalu.

    “Sebanyak 237 kes baharu telah dilaporkan di daerah Larut, Matang dan Selama termasuk 175 kes adalah di mukim Taiping.

    “Persiapan sedang giat dilaksanakan bagi menghadapi peningkatan kes Covid-19 yang diramalkan memuncak dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi. Kerjasama semua pihak adalah penting dałam menghadapi peperangan getir yang mendatang,” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata, lima wad dengan kapasiti 120 katil dan 16 katil ICU telah dikhaskan untuk rawatan Covid-19 di Hospital Taiping setakat ini.

    Beliau berkata, Hospital Tapah yang merawat pesakit Covid-19 mulai November tahun lalu, terdapat 100 katil dan daripada jumlah tersebut, 28 katil dikhaskan untuk rawatan Covid-19.

    “Secara kumulatif setakat Jun lepas, pesakit Covid-19 yang telah dirawat di hospital ini berjumlah 527 orang. Selain itu, hospital ini juga memberikan perkhidmatan kesihatan bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Penjara Tapah,” katanya.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, persiapan juga sedang giat dilaksanakan bagi menghadapi peningkatan kes Covid-19 di Hospital Slim River yang turut menerima rujukan kes Covid-19 kategori 3 hingga 5 dari Selangor, khususnya PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Daerah Petaling.

    Hospital itu mula merawat pesakit Covid-19 pada April tahun lalu dan mempunyai kapasiti 250 katil iaitu 69 katil wad dan 4 katil ICU (diubah fungsi) telah dikhaskan untuk rawatan Covid-19.

  • PN, Bersatu P. Pinang sokong penuh kepimpinan Muhyiddin

    PN, Bersatu P. Pinang sokong penuh kepimpinan Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) Pulau Pinang yang dianggotai Parti Bersatu, Pas dan Gerakan menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mengemudi Kerajaan Pusat.

    Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya berkata, PN Pulau Pinang akan terus bersama-sama kepimpinan rakan-rakan PN di semua peringkat lapisan dalam memastikan kelestarian Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dilaksanakan dengan sempurna.      

    Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Bersatu Pulau Pinang menyeru  semua kepimpinan dan parti politik bersatu hati, bekerjasama dan memberi tumpuan sepenuhnya ke atas usaha menangani pandemik Covid-19 yang masih  berlarutan sehingga kini.

    “Rakyat menuntut semua pihak memberi keutamaan kepada isu kesihatan, kebajikan dan pemulihan ekonomi rakyat dan negara pada waktu sekarang  berbanding perebutan kuasa dan agenda peribadi masing-masing.

    “Kestabilan politik amat penting dan menjadi keutamaan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang direncanakan Kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyat Malaysia dalam  mendepani pendemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan bersama PN dan Bersatu Pulau Pinang hari ini.

    Dalam masa sama, katanya, PN dan Bersatu Pulau Pinang terus menghormati, menjunjung kasih dan memelihara sistem Raja  Berperlembagaan, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.

  • [VIDEO]  ‘Wira tak didendang’ urus 2,306 jenazah Covid-19

    [VIDEO] ‘Wira tak didendang’ urus 2,306 jenazah Covid-19

    TANGGUNGJAWAB menguruskan jenazah hukumnya ialah fardu kifayah termasuklah mengendalikan individu yang meninggal dunia akibat jangkitan koronavirus (Covid-19).

    Namun pengurusan bagi jenazah mangsa Covid-19 sedikit berbeza kerana perlu disempurnakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    Tugas mengurusan jenazah turut dikendalikan Pasukan Pengurusan Jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atau lebih dikenali sebagai PPJC-19.

    Tanpa mengira waktu, selain berdepan ririko dijangkiti wabak pembawa maut itu, PPJC-19 menguruskan puluhan jenazah pesakit Covid-19 pada setiap hari.

    Setakat semalam sahaja, PPJC-19 telah menguruskan sebanyak 2,306 jenazah berbanding lebih 600 jenazah awal Jun lalu.

    Pengurusan jenazah terbanyak dalam sehari dikendalikan PPJC-19 adalah sebanyak 93 jenazah yang dicatatkan minggu lalu.

    Ia dipercayai berkaitan dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Lembah Klang sehingga mencecah ribuan angka sejak kebelakangan ini.

    Jenazah mangsa Covid-19 dikebumikan di tiga Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) di bawah selian Jawi iaitu TPIRS KL- Karak 2, TPIRS Bukit Kiara 1 dan TPIRS Kampung Melayu Kepong.

    Sejak unit itu ditubuhkan tahun lalu, PPJC-19 menguruskan jenazah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

    Difahamkan, PPJC-19 dianggotai 70 petugas terdiri daripada 51 lelaki dan 19 wanita.

    Mereka bertanggungjawab dan sentiasa bersiap sedia menguruskan jenazah dari 10 hospital dan pusat perubatan di 3 wilayah berkenaan.

  • Tumpu perangi Covid-19 bukan ‘menangguk di air keruh’ – Mahdzir

    Tumpu perangi Covid-19 bukan ‘menangguk di air keruh’ – Mahdzir

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DALAM keadaan negara sedang ‘berperang’ dengan Covid-19, semua pihak terutama ahli politik tidak sewajarnya mengambil kesempatan sekali gus ‘menangguk di air keruh’ daripada krisis politik semasa.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan  itu sama sekali tidak mendatangkan kebaikan sebaliknya hanya akan menyebabkan krisis tersebut berpanjangan.

    Beliau berkata, sepatutnya semua pihak berusaha membawa keadaan ke arah lebih baik serta menumpukan kepada usaha menguruskan perkara berkaitan pandemik termasuk ekonomi rakyat.

    “Ahli politik perlu turut mencari jalan untuk melandaikan lengkuk Covid-19 serta memulihkan ekonomi rakyat yang terjejas. Saya fikir itu antara fokus yang perlu diberi perhatian di sebalik krisis politik yang melanda.

    “Disebabkan itu, tidak wajar untuk mana-mana pihak ambil kesempatan terhadap situasi ini dan mengambil tindakan yang boleh menjadikan krisis ini berpanjangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berkunjung ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Pejabat Daerah Padang Terap, semalam dengan diiring Pegawai Daerah, Datuk Md. Shuahime Abd. Rahman.

    Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akur serta menjunjung kasih akan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung situasi semasa ketika ini.

    Katanya, perkara itu selari dengan asas perjuangan UMNO yang terkandung dalam Perlembagaan parti itu iaitu menjunjung serta memartabatkan institusi Raja-Raja Melayu.

    “Perkara itu malah dinyatakan secara jelas dalam pertemuan bersama Ahli-Ahli Parlimen BN pada Khamis lalu,” katanya.

    Pada masa sama, kata Mahdzir,  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pertemuan itu turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan sedia ada.

    “Sukalah saya nyatakan bahawa keutamaan kita pada hari ini adalah bagaimana kerajaan dan Ahli Parlimen yang ada, dapat sama-sama berusaha dan menggembleng tenaga dengan penuh komitmen bersama kakitangan kerajaan serta petugas barisan depan dalam mendepani Covid-19.

    “Jadi saya rasa fokus itu menyebabkan kita memiliki pandangan sama serta bersetuju bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini perlu dipertahankan,” katanya.

  • Pemuda Pas buat lapor polis penyebaran ‘surat’ Agong kepada PM

    Pemuda Pas buat lapor polis penyebaran ‘surat’ Agong kepada PM

    PENYEBARAN  surat yang didakwa sebagai warkah  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah suatu amat serius dan boleh menggugat kestabilan dan keharmonian.

    Sehubungan itu Dewan Pemuda Pas memandang serius perkara tersebut dan menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenalpasti punca kebocoran surat berkenaan.

    Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata,  satu laporan polis akan dibuat bagi meminta siasatan dijalankan.

    ‘’ ’Ia bertujuan untuk melihat sama ada wujud unsur khianat dan sabotaj daripada penyebaran surat tersebut. Dewan Pemuda Pas  turut mengarahkan semua Dewan Pemuda Pas Negeri dan Kawasan untuk membuat laporan polis tersebut,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, jika surat tersebut adalah wujud, tentu ia merupakan surat rahsia dan terhad yang sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerima sahaja iaitu Perdana Menteri.

    ‘’Tindakan menyebarkan surat tersebut kepada umum, yang dimuat naik oleh sebahagian pimpinan Pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi. Sedangkan Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media umum yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Istana Negara untuk bacaan awam. Oleh itu, penyebarannya adalah suatu tindakan tidak beretika,’’ tegasnya.

    Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, tindakan itu juga telah menimbulkan polemik dan kekecohan dalam kalangan masyarakat, serta menampakkan seolah-olah berlakunya krisis di antara Istana dan Eksekutif.

    ‘’Sepatutnya ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukan dimarakkan lagi pertembungan,’’ katanya.

     Dalam tempoh pandemik, tegas beliaum seharusnya semua pihak bersatu dan bersama menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan.

    ‘’Pemuda Pas mengecam sebarang usaha dan cubaan mewujudkan kekecohan dan ketidakstabilan politik dalam tempoh ini, semata demi memuaskan nafsu serakah politik. Pemuda Pas mengajak agar semua rakyat bersatu dan fokus kepada menyelesaikan isu permasalahan rakyat dalam tempoh ini,’’ katanya.