Category: Umum

  • Terengganu akan umum ganjaran untuk Azizulhasni

    Terengganu akan umum ganjaran untuk Azizulhasni

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    BENTUK isentif dan ganjaran yang akan diberikan kerajaan Terengganu kepada atlet berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Bagaimanapun, pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang masih merahsiakan bentuk ganjaran tersebut hanya memberitahu ia adalah sesuai dengan pencapaian atlet berkenaan.

    “Kerajaan negeri akan umumkan nanti ganjaran yang sesuai untuk Wira Olimpik negara (Azizulhasni Awang) dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

    Menurut Wan Sukairi, pemberian insentif itu sebagai penghargaan kepada atlet yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ tersebut atas kejayaan memenangi pingat perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.

    Katanya, kerajaan negeri bersetuju memberikan insentif selepas beliau dapat mengharumkan nama negara dengan pencapaian luar biasa dalam sukan berprestij peringkat dunia itu.

    “Azizul merupakan model terbaik, sanggup berkorban berjauhan dengan keluarga dan negara. Pemberian insentif ini antara usaha kita untuk membalas sumbangan beliau,”ujarnya.

  • Melaka boleh beralih Fasa 2 tidak lama lagi

    Melaka boleh beralih Fasa 2 tidak lama lagi

    MELAKA yang terkenal sebagai negeri pelancongan boleh beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh dua minggu lagi sekiranya melepasi indikator sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa menerima suntikan vaksin

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, negeri itu kini sudah melepasi indikator baharu peralihan bagi jumlah kes pesakit dalam kategori 3, 4 dan 5.

    Hanya indikator bagi kadar penilaian vaksinasi kedua membabitkan golongan dewasa masih berada di bawah paras, tetapi kerajaan negeri yakin kadar ditetapkan itu dijangka dapat dicapai tidak lama lagi.

    Indikator kes bergejala kategori 3, 4 dan 5, bagi Melaka mencapai nilai ambang (6.1 per 100,000 penduduk) sehingga semalam dengan kes kategori 3 merekodkan 11 kes atau 3.1 peratus dan kategori 5 sebanyak dua kes atau 0.5 peratus.

    “Bagaimanapun, Melaka masih berada pada Fasa 1 susulan kadar suntikan vaksin golongan dewasa hanya mencecah 35.3 peratus, namun kita yakin kadar itu akan mencecah 50 peratus selewat-lewatnya dua minggu lagi,” katanya seperti dilaporkan beberapa media hari ini.

    Tambah Rahmad, penetapan indikator baharu itu sekaligus memberi peluang kepada rakyat Melaka untuk menikmati kemudahan sosial diberikan kerajaan pada hujung bulan ini termasuk merentas daerah dan makan di kedai.

    Mengulas lanjut mengenai kadar peratusan suntikan dos kedua tersebut, Rahmad berkata, negeri-negeri lain di seluruh negara juga masih belum mencapai kadar peratusan tersebut.

    “Untuk makluman, sebenarnya semua negeri masih belum mencapai 50 peratus dos kedua dan baru-baru ini Johor diberikan 2 juta dos kerana ingin menyeimbangkan jumlah peratusan kadar vaksinasi berbanding di negeri lain.

    “Antara Melaka dengan Johor, negeri ini telah mengatasi dalam jumlah peratusan berbanding penduduk, manakala negeri-negeri lain yang telah berada di Fasa 2 sebelum ini juga belum mencapai 50 peratus,” jelasnya.

  • Bekas Mufti diumum tokoh Maal Hijrah Terengganu

    Bekas Mufti diumum tokoh Maal Hijrah Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    BEKAS Mufti Terengganu, Datuk Al-Sheikh Abdul Halim Abd Kadir diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah pada Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu tahun 1443/2021.

    Anak kelahiran Jertih, Besut berusia 86 tahun dan pernah menyandang jawatan tersebut pada tahun 2000 menerima hadiah wang tunai RM20,000 beserta piala Tokoh Maal Hijrah 1443/2021, sijil penghargaan dan persalinan.

    Beliau kini merupakan Yang Dipertua Persatuan Ulama
    Malaysia (PUM).

    Abd Wahab Muhammad

    Pada majlis berkenaan, pesara kerajaan, Abd Wahab Muhammad,77, pula diumum sebagai Tokoh Imam Cemerlang.

    Beliau telah berkhidmat sebagai imam di Masjid Kampung Rawai, Marang selama 57 tahun iaitu sejak tahun 1964.

    Pengumuman itu membolehkan Abd Wahab yang juga jurunikah bertauliah, jurusembelih dan jurumandi jenazah membawa pulang wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan.

    Bagi tokoh Bilal Cemerlang pula, anugerah diberikan kepada Mohd Puteh, 67, dari Masjid Kampung Pecah Rotan, Kuala Nerus, sekaligus menerima wang tunai berjumlah RM5,000, piala dan sijil penghargaan.

    Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat negeri Terengganu tahun 1443/2021 yang diadakan secara dalam talian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) telah disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Pengumuman tokoh-tokoh sempena sambutan Maal Hijrah pula dilakukan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad.

  • Berarak di Dataran Merdeka, Kon Yeow, Rayer beri keterangan kepada polis

    Berarak di Dataran Merdeka, Kon Yeow, Rayer beri keterangan kepada polis

    POLIS hari ini mengambil keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagi membantu siasatan berhubung perarakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjung berkata, sesi tersebut berlangsung selama 45 minit bermula pukul 10 pagi ini di pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown di sini.

    “Saya telah selesai memberikan kenyataan kepada wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Dearah (IPD) Timur Laut pada pagi ini berhubung siasatan terhadap perhimpunan Ahli-Ahli Parlimen yang berlangsung di ibu negara pada 2 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sementara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer turut hadir memberi keterangan berhubung isu sama.

    Rayer selesai memberi keterangan hampir dua jam selepas tiba kira-kira pukul 9.45 pagi.

    Dalam pada itu difahamkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga akan memberi keterangan berhubung isu sama di IPD Timur Laut di sini esok.

    Pada 2 Ogos lalu, seramai 107 ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson) di Dataran Merdeka selepas gagal masuk ke Parlimen.

    Susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan selepas menerima lebih 200 laporan polis mengenaninya di seluruh negara.

    Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut kesalahan Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

  • Ibu, ayah, adik pergi selamanya akibat Covid-19 selepas terpengaruh dakyah golongan antivaksin

    Ibu, ayah, adik pergi selamanya akibat Covid-19 selepas terpengaruh dakyah golongan antivaksin

    LURUH jantung seorang lelaki dari keluarga antivaksin apabila mengetahui ibu, ayah dan adik lelakinya meninggal dunia kerana Covid-19 dalam tempoh seminggu selepas enggan mengambil vaksin Covid-19, bulan lalu.

    Memetik Mail Online, Francis Goncalves berkata, dia kehilangan adiknya Shaul, 40, ibunya, Charmagne, 65, dan bapanya Basil, 73, yang kesemuanya menetap di Portugal, awal Julai lalu akibat virus pembawa maut berkenaan.

    Goncalves, 43, yang kini menetap di Cardiff, Wales mendedahkan, ahli keluarganya enggan divaksinasi selepas terpengaruh dengan dakyah golongan antivaksin.

    Dia yang percaya virus itu menular dalam kalangan ahli keluarganya semasa mereka menikmati makan malam merayu orang ramai untuk mengelak daripada jatuh ke dalam perangkap konspirasi Covid-19.

    “Mereka (keluarga saya) terperangkap dalam propaganda antivaksin yang mencari mangsa orang yang takut dan mereka jatuh ke dalam perangkap itu.

    “Mesej yang ingin saya sampaikan adalah mengapa kerajaan tergamak menyakiti anda dengan memberi anda vaksin? Apakah tujuan di sebalik itu? Saya telah bercakap dengan banyak orang yang merasa takut dengan vaksin dan ia meragut banyak nyawa,” katanya.

    Goncalves berkata, dia amat terkejut dengan kematian adiknya yang diketahui ‘orang paling sihat’ yang diketahuinya setelah ibunya berdepan masalah kesihatan dan bapanya dimasukkan ke hospital kerana batu karang.

    Dakwanya, vaksin sepatutnya boleh menyelamatkan nyawa adiknya yang merupakan seorang vegetarian dan tidak minum alkohol selain kerap berjogging dan kerap mengeluarkan peluh di gimnasium.

    Tragedi melibatkan Goncalves adalah kematian terbaharu membabitkan golongan antivaksin termasuk peminat sukan bina badan dan pendaki gunung, John Eyers, 42,.

    Eyers meninggal dunia selepas enggan divaksinasi kerana percaya hidupnya akan baik sahaja tanpa vaksin.

    Lulusan Universiti Cambridge, Leslie Lawrenson, 58, meninggal dunia di rumahnya di Bournemouth pada 2 Julai lalu, hanya sembilan hari setelah memuatnaik rakaman di Facebook yang menjelaskan mengapa tidak perlu takut dengan Covid-19.

    Data menunjukkan, dua dos vaksin Covid-19 AstraZeneca yang paling banyak digunakan di United Kingdom mengurangkan risiko kematian akibat penyakit itu sebanyak 94 peratus dalam kalangan mereka berusia 65-an.

    Statistik Imperial College London juga menunjukkan dos dua Astrazeneca adalah 55 peratus berkesan untuk menyekat gejala varian ‘Delta’ sementara peratusan keberkesanan untuk dua dos Pfizer atau Moderna dipercayai dalam lingkungan 85 peratus.

  • Lebih 25 juta dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam

    Lebih 25 juta dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam

    SEBANYAK 25,008,230 dos vaksin COVID-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

    Menerusi perkongsian infografik di Twitternya, beliau memaklumkan jumlah yang terima dos pertama ialah 15,959,596 orang manakala 9,048,634 orang terima dos kedua.

    “Mengikut peratusan, 68.2 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama, manakala 38.7 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 mereka,” katanya.

    Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan sebanyak 465,793 dos diberikan semalam dengan 187,495 adalah dos pertama manakala 278,298 adalah dos kedua.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • Penerima lengkap vaksin Covid-19 nikmati kelonggaran SOP hari ini

    Penerima lengkap vaksin Covid-19 nikmati kelonggaran SOP hari ini

    INDIVIDU yang lengkap divaksin di negeri atau wilayah dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya mula menikmati beberapa kelonggaran sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bermula hari ini.

    Bagaimanapun, kebenaran itu hanya terpakai buat penerima dos lengkap yang melepasti hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua (Vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac).


    Bagi penerima vaksin satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino) pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

    Negeri yang telah memasuki Fasa Dua PPN termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Sabah manakala Perlis, Sarawak dan Labuan berada dalam Fasa Tiga PPN.

    Antara kelonggaran diberikan ialah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

    Kelonggaran itu turut membolehkan ibu bapa yang telah lengkap divaksin merentas daerah dan negeri berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun.

    Selain itu, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia yang pulang dari luar negara dan lengkap dua dos vaksin dibenar menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

    Pada masa sama, mereka yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 juga dibenarkan menunaikan solat di masjid dan surau tanpa mengira fasa PPN mengikut protokol kesihatan awam.

    Kebenaran itu juga terpakai kepada penganut bukan Islam menghadiri rumah ibadat masing-masing.

    Sementara itu, kemudahan sektor sosial kepada individu lengkap menerima dua dos vaksin untuk fasa 2 dan seterusnya termasuk kebenaran merentas daerah, aktiviti makan di restoran, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan dan berkumpulan (outdoor) dan pelancongan dalam negeri.

    Namun kesemua kelonggaran itu memerlukan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang boleh didapati di dalam aplikasi MySejahtera.

    Untuk mengelak sebarang kesulitan, orang ramai boleh menyemak status negeri dan wilayah masing-masing bagi memastikan perincian aktiviti yang dibenarkan menerusi laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Bagaimanapun, kelonggaran itu masih tidak boleh dinikmati individu lengkap divaksin dari Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masih dalam Fasa Satu PPN.

  • Covid-19:36 kluster baharu dengan tempat kerja, komuniti tertinggi

    Covid-19:36 kluster baharu dengan tempat kerja, komuniti tertinggi

    SEBANYAK 36 kluster baharu COVID-19 dicatatkan hari ini dengan 19 daripadanya merupakan kluster tempat kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Beliau berkata sejumlah 13 kluster lagi merupakan kluster komuniti, dua kluster pusat tahanan dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko dan keagamaan.

    “Johor mencatatkan kluster tempat kerja paling tinggi iaitu lapan diikuti Selangor (empat) dan Kedah (dua) manakala lima negeri lain iaitu Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak dan Terengganu masing-masing melaporkan satu kluster tempat kerja,” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata bagi kluster komuniti, jumlah tertinggi dicatatkan di Kelantan iaitu lapan diikuti Pahang (tiga) serta masing-masing satu di Selangor dan Johor.

    Katanya sebanyak 212 kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini dengan 16 merupakan kes kematian di rumah atau ‘brought-in-dead’ (BID).

    Beliau berkata jumlah kes aktif hari ini ialah 227,230 dan mereka yang dirawat di unit rawatan rapi ketika ini ialah 1,095 orang dengan 579 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

    Katanya kes sembuh hari ini pula ialah 15,187 orang menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih mencecah 1.041 juta.

    Dr Noor Hisham juga berkata daripada 17,236 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, sebanyak 372 atau 2.2 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

    Beliau berkata sebanyak 16,864 kes atau 97.8 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

    Katanya secara keseluruhan, hanya 4,556 atau 26.4 peratus daripada kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.- BERNAMA

  • Bekas Imam Besar Masjid Negara Tokoh Maal Hijrah 2021

    Bekas Imam Besar Masjid Negara Tokoh Maal Hijrah 2021

    BEKAS Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2021/1443 Hijrah.

    Setiausaha Agung Rabitah Al-‘Alam Al-Islamiy Makkah Al-Mukarramah, yang juga Penasihat Majlis Diraja Arab Saudi, As-Syeikh Dr Muhammad Abdulkarim Al-Issa pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

    Pengumuman kedua-dua tokoh dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

    Zulkifli berkata pemilihan kedua-dua tokoh dibuat berdasarkan sumbangan besar mereka dalam memartabatkan syiar Islam di peringkat nasional dan antarabangsa .

    Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh masing-masing menerima hadiah wang tunai, pingat dan sijil penghargaan.

    Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini disambut secara sederhana dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19. 

    Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

  • PM harap umat Islam dikurnia kesabaran terus ikhtiar lawan Covid-19

    PM harap umat Islam dikurnia kesabaran terus ikhtiar lawan Covid-19

    SEMPENA sambutan Maal Hijrah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kedatangan tahun baharu Islam mengurniakan umatnya dengan keimanan dan kesabaran untuk meneruskan ikhtiar melawan COVID-19 menerusi Pelan Pemulihan Negara yang sedang giat dilaksanakan kerajaan.

    “Saya berdoa agar ujian ini berupaya menjadikan kita umat Islam yang lebih bertakwa dan mempunyai ketahanan jiwa serta asertif diri yang padu,”  katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2021/1443 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, hari ini.

    Beliau juga berharap sambutan Maal Hijrah dapat terus dihayati dan disemarakkan oleh umat Islam di negara ini walaupun semua masih berjuang untuk menamatkan pandemik COVID-19.

    Muhyiddin berkata sambutan yang diadakan hari ini adalah cerminan iltizam kerajaan agar syiar Islam terus terpelihara dan dimartabat sejajar dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan yang dijunjung tinggi.

    “Saya menyeru kepada diri saya dan saudara saudari sekalian, marilah bersama-sama kita menjiwai peristiwa hijrah yang bukan sekadar mengenang perpindahan Nabi Muhammad SAW secara fizikal, dengan meninggalkan harta dan kediaman semata-mata.

    “Saban tahun, peristiwa Hijrah ini memperteguh tekad kita untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mengamalkan ajaran Nabi Muhammad SAW, melakukan perubahan sikap dan tindakan kita kepada sifat-sifat mahmudah dan lebih baik sebagaimana dianjurkan Baginda SAW,” katanya.

    Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.