Category: Umum

  • Bukit Aman siasat dakwaan jual sijil digital vaksin palsu

    Bukit Aman siasat dakwaan jual sijil digital vaksin palsu

    POLIS membuka siasatan berhubung dakwaan penjualan sijil digital vaksin palsu yang dikesan menerusi perkongsian seorang pemilik akaun Facebook, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

    Beliau berkata, satu laporan polis berhubung perkara itu diterima apabila satu artikel dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook, yang menyatakan bahawa sudah mula dijual dalam talian.

    “Sehubungan itu satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (memberikan maklumat palsu) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan memalsukan dan menjual sijil digital vaksin.

    Abd Jalil berkata, orang ramai turut dinasihat untuk melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu. – BERNAMA

  • Covid-19: Varian Delta kini strain dominan di Thailand

    Covid-19: Varian Delta kini strain dominan di Thailand

    VARIAN Delta kini strain COVID-19 yang paling dominan di Thailand, menyumbang lebih 90 peratus jangkitan baharu sejak minggu lalu.

    Namun, sehingga kini tiada varian Lambada dikesan di Thailand.

    Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr. Supakit Sirilak berkata varian Delta, yang pertama kali dikesan di India, telah menular ke 76 daripada 77 wilayah di Thailand. Suphan Buri di wilayah tengah adalah satu-satunya wilayah yang belum melaporkan kes membabitkan varian itu.

    Menurutnya, varian Delta sekurang-kurangnya berjangkit lebih 40 kali ganda berbanding varian Alpha yang pertama kali dikesan di United Kingdom, menyumbang lebih 92 peratus jangkitan baharu di Bangkok, pusat penularan terbaru pandemik. 

    “Buat masa ini tidak ada kes babitkan varian Lambada yang pertama kali dikesan di Amerika Selatan itu,” katanya.

    Dr Supakit berkata pegawai kesihatan telah berhasil membendung varian Beta, yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan, di empat wilayah Selatan – Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla serta di Bueng Kan dan Bangkok.

    Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 21,038 kes baharu COVID-19 dan 207 kematian, mengumpul jangkitan keseluruhan kepada 816,989 dan korban seramai 6,795.

    Mengenai kes baharu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata 21,019 adalah jangkitan tempatan dan 19 kes import.

    Katanya, ia melibatkan 112 lelaki dan 95 wanita berusia antara 21 hingga 93 tahun termasuk lima warga Myanmar dan masing-masing seorang rakyat India, Kemboja dan Pakistan.

    “Kematian dilaporkan di 41 daripada 77 wilayah. Bangkok masih mencatat jumlah tertinggi sebanyak 4,525 kes dan 60 kematian, ” katanya semasa taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.- BERNAMA

  • PM ada pertemuan dua jam dengan pemimpin PN

    PM ada pertemuan dua jam dengan pemimpin PN

    PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan beberapa pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) di Perdana Putra di sini.

    Antara yang hadir ialah Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Berdasarkan mesej yang tular, satu perjumpaan khas ketua-ketua parti dalam PN bersama Muhyiddin dijadualkan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri pada jam 5 petang ini.

    Kenderaan yang membawa Abang Johari memasuki Perdana Putra pada jam 4.36 petang, manakala Wee pada jam 4.53 petang.

    Kenderaan yang membawa Muhyiddin yang juga Pengerusi PN meninggalkan Perdana Putra pada jam 7.22 malam, disusuli Abang Johari.

    Kenderaan yang membawa Wee pula dilihat keluar pada jam 7.05 malam dan diikuti kenderaan yang membawa Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Usaha pihak media yang menanti untuk mendapatkan ulasan berhubung pertemuan tersebut tidak berhasil.

    Walaupun tiada butiran agenda mengenai pertemuan tersebut, namun ia dipercayai mempunyai kaitan dengan perkembangan situasi politik semasa negara. 

  • Covid-19: 98.1 peratus kes baharu di kategori satu dan dua – KP Kesihatan

    Covid-19: 98.1 peratus kes baharu di kategori satu dan dua – KP Kesihatan

    SEBANYAK 20,380 kes atau 98.1 peratus daripada 20,780 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, adalah daripada kategori satu dan dua, iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, 400 kes lagi atau 1.9 peratus adalah daripada kategori tiga (radang paru-paru), empat (memerlukan oksigen) dan lima (kritikal).

    Beliau berkata ia adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.

    “Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

    Beliau berkata secara keseluruhan, hanya 5,138 kes atau 24.7 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.

    Katanya sebanyak 17,973 kes sembuh dilaporkan hari ini, manakala kes aktif COVID-19 di seluruh negara pula ialah 233,358.

    Menurut Dr Noor Hisham, 211 kematian direkodkan hari ini melibatkan 184 warganegara manakala 27 bukan warganegara.

    Katanya 1,053 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 546 orang memerlukan bantuan pernafasan.

    Mengenai kluster baharu, beliau berkata sebanyak 31 kluster baharu dikesan hari ini dengan jumlah yang tertinggi ialah kluster tempat kerja iaitu 18, diikuti kluster komuniti sebanyak 11 dan dua kluster kumpulan berisiko.

    Beliau berkata sebanyak 2,776 kluster telah tamat, manakala 1,258 kluster masih aktif di seluruh negara. – BERNAMA

  • Lapan lokaliti di Sabah kena PKPD, 17 lagi dilanjutkan

    Lapan lokaliti di Sabah kena PKPD, 17 lagi dilanjutkan

    LAPAN lagi lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuat kuasa Jumaat ini hingga 26 Ogos ini.

    Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, di Tawau, tiga lokaliti dikenakan PKPD membabitkan Kampung Kongsi 8, Kampung Bergosong di Pulau Sebatik dan PPR Taman Sri Apas Batu 8.

    Menurutnya, dua perumahan ladang di Beluran, Sabah turut dikenakan PKPD iaitu Perumahan Ladang Reka Halus dan Perumahan Ladang Boustead Trunkline.

    Selain itu katanya, PKPD dilaksanakan di Kampung Kayu Madang, Telipok di Kota Kinabalu; Kampung Batition di Kota Marudu dan Kampung Sunsuron di Tambunan.

    “Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin berkata, PKPD di sebanyak 17 lokaliti di Kelantan dan Sabah yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan selama dua minggu sehingga 26 Ogos ini.

    Di Kelantan ujarnya, lanjutan PKPD itu melibatkan kampung Orang Asli Pos Brooke, Gua Musang iaitu Kampung Jedip WCT; Kampung Sendrop dan Kampung Seng Sang.

    Menurutnya, di Sabah, lanjutan PKPD membabitkan Kampung Lahat-lahat, Tawau dan dua lokaliti di Kinabatangan iaitu Ladang Bukit Mas dan Ladang Linbar 1.

    “Baki 11 lokaliti terletak dalam daerah Tuaran iaitu Kampung Betutai; Kampung Bolong Baru; Kampung Bontoi; Kampung Kindu dan Kampung Lapasan.

    “Selain itu, ia turut melibatkan Kampung Serusop; Kampung Sungai Damit; Kampung Timbok; Kampung Simpangan; Taman Sri Rugading dan Taman Telipok Ria,” tambahnya.

  • 20,780 kes baharu Covid-19: Lembah Klang tertinggi, 6 negeri catat lebih 1,000 kes

    20,780 kes baharu Covid-19: Lembah Klang tertinggi, 6 negeri catat lebih 1,000 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 kembali menunjukkan peningkatan berbanding semalam apabila 20,780 kes direkodkan hari ini berbanding 19,991, semalam.

    Mengikut infografik terkini Kementerian Kesihatan Malaysia, kes positif terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,320,547.

    Selangor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan penularan jangkitan Covid-19 tertinggi masing-masing dengan 6,921 kes dan 2,065 kes.

    Peningkatan kes harian turut disumbang enam negeri yang mencatatkan lebih seribu jangkitan.

    Negeri itu ialah Johor (1,693 kes); Kedah (1,534 kes); Sabah (1,514 kes); Pulau Pinang (1,385 kes); Kelantan (1,284 kes) dan Negeri Sembilan 1,015 kes.

    Labuan, Perlis dan Putrajaya mengekalkan rekod jangkitan pada dua digit dengan masing-masing mencatatkan 3, 29 dan 41 kes.

  • Speaker Dewan Rakyat nafi keluar surat maklum kerajaan hilang  majoriti

    Speaker Dewan Rakyat nafi keluar surat maklum kerajaan hilang majoriti

    Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menafikan beliau ada mengeluarkan surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan pimpinannya telah hilang majoriti.

    Azhar Azizan berkata dakwaan berkenaan sepertimana dilapor sebuah portal adalah palsu.

    “Saya menafikan laporan berita itu dan ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah keluarkan apa-apa surat kepada YAB Perdana Menteri seperti yang dilaporkan. Berita itu adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, laporan berita portal Suara.TV bertarikh 11 Ogos, bertajuk “Perdana Menteri Terima Surat Speaker Maklum Tiada Majoriti, Mahu Bubar Parlimen” mendakwa Azhar Azizan selaku Speaker Dewan Rakyat telah memaklumkan perdana menteri mengenai perkara itu.

    Pautan laporan yang tular di media sosial bagaimanapun kini tidak lagi boleh dibuka melalui portal berkenaan.

  • Perkataan ‘kirim salam’ isyarat Muafakat Nasional bakal berkubur?

    Perkataan ‘kirim salam’ isyarat Muafakat Nasional bakal berkubur?

    MASA depan hubungan UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) yang termeterai pada 14 September 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kini menjadi persoalan.

    Ia berikutan reaksi yang diberikan oleh salah seorang pemimpin tertinggi UMNO dalam petemuan dengan kepemimpinan Pas semalam.

    Satu sumber mendakwa, dalam pertemuan bagi membincangkan perkembangan politik semasa itu, pemimpin UMNO tersebut dikatakan mengeluarkan perkataan ‘kirim salam’ yang memberi gambaran bahawa MN yang terbentuk dalam Himpunan Perpaduan Ummah dua tahun lalu bakal berakhir.

    ‘’Kepemimpinan Pas terkejut dengan reaksi yang diberikan oleh pemimpin tersebut kerana mereka tidak menyangka sama sekali pemimpin itu akan berkata demikian,’’ dakwa sumber berkenaan.

    Pemimpin UMNO itu juga, dakwa sumber tersebut, begitu yakin misi UMNO untuk menumbangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui undi percaya di Parlimen tidak lama lagi akan berjaya.

    ‘’Cara beliau bercakap itu, seolah-olah UMNO tidak memerlukan undi Pas jika Perdana Menteri baharu mahu dilantik,’’ kata sumber tersebut.

    Sumber itu mendakwa, tindakan pemimpin UMNO berkenaan dikatakan mengejutkan seorang lagi pemimpin parti itu yang tetap mahu mempertahankan MN demi perpaduan dan kuasa politik orang Melayu.

    Difahamkan walaupun salah seorang pemimpin tinggi UMNO tersebut memberi bayangan MN sudah berakhir, namun Pas tidak akan berputus asa.

    Sebaliknya usaha akan diteruskan oleh parti itu bagi mendapat sokongan pemimpin-pemimpin UMNO yang majoritinya masih mahu MN dikekal dan diperkukuhkan khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).

    MN terbentuk melalui Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menangani piagam yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

    Pembentukan MN mendapat sambutan positif orang Melayu kerana ia dilihat sebagai tanda berakhirnya permusuhan politik antara dua parti orang Melayu itu.

    Melalui kerjasama berkenaan ia membolehkan UMNO memenangi beberapa pilihan raya kecil dengan bantuan Pas.

  • Video ritual tolak bala disiasat

    Video ritual tolak bala disiasat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sedang menyiasat video ritual pembersihan diri untuk menolak bala dilakukan enam beranak bersama-sama seorang sami hingga mendatangkan kecederaan di sebuah kuil di belakang rumah di Selekoh, Rungkup, Bagan Datuk, kelmarin.

    Ritual sembahyang yang tular itu dilakukan seorang lelaki, 54, bersama-sama isterinya, 48, dan empat anak berusia 15 hingga 25 tahun di kuil milik lelaki itu pada pukul 7 malam kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata upacara itu hanya dihadiri keluarga mangsa dan sami terbabit adalah anak angkat mangsa.

    Beliau berkata, ketika upacara itu, sami berkenaan membaca mantera dan kemudian memukul beberapa kali badan mangsa, anak lelaki sulung dan isterinya menggunakan sebatang rotan panjang.

    “Mangsa mengalami kecederaan pada bahu dan tangan kanan serta bengkak di belakang kepala. Isterinya pula mengalami kesakitan pada kedua-dua tangan manakala anak lelaki sulungnya juga sakit pada bahagian lengan tangan kanan.

    “Mangsa melakukan ritual bagi membuang badi dalam keluarganya dan ketiga-tiga mangsa kemudian ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

    “Sami yang melakukan ritual itu adalah anak angkat mangsa yang dijaganya sejak bekerja dengannya sebagai pemandu lori, enam tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Pihaknya menerima laporan polis dibuat abang kandung mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan ritual dilakukan sami berkenaan ke atas keluarga adiknya.

    Katanya, abang mangsa mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan berkenaan ritual dilakukan sami itu jika berniat sengaja mencederakan keluarga adiknya.

    Mangsa juga katanya, turut membuat laporan polis bagi mengelak salah faham orang ramai berkenaan ritual itu.

    “Kita menahan sami terbabit dan merampas sebatang rotan berikat kain merah di hadapan kuil itu pada jam 10.20 pagi tadi untuk membantu siasatan.

    “Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan sudah memanggil semua saksi yang berada di tempat kejadian,” katanya.

  • Zahid terus berteka-teki, sifatkan ‘what’s next’ mahu wujud keraguan

    Zahid terus berteka-teki, sifatkan ‘what’s next’ mahu wujud keraguan

    DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi terus berteka teki berhubung langkah UMNO seterusnya setelah  menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Sebaliknya dalam kenyataannya hari ini Presiden UMNO kesal dengan tindakan yang disifatkan menimbulkan syak wasangka terhadap ketetapan parti tersebut.

    ‘’Persoalan “what’s next” jelas cuma bertujuan menimbulkan rasa ragu-ragu terhadap perjuangan UMNO untuk menyelamatkan rakyat dan negara. Keputusan Mesyuarat MKT UMNO pada 7 Julai lalu secara jelas menyatakan “what’s next” jika dibaca dan dihayati dengan hati yang jujur,’’ katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, keputusan MKT sudah menegaskan bahawa  UMNO mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

    ‘’Tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15,’’ katanya.

    Ahmad Zahid berkata,  pilihan raya itu penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam titah Yang di-Pertuan Agong.

    ‘Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat,’’ katanya.

    Dalam kenyataan itu juga, beliau sekali menegaskan,  UMNO mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government).