Category: Umum

  • PGA rampas rokok seludup bernilai RM234,306

    PGA rampas rokok seludup bernilai RM234,306

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGIATAN satu sindiket menjadikan sebuah premis di Lorong Hajah Saonah, Kampung Parit Banyu Mas, Parit Yan, Batu Pahat, terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam melakukan serbuan semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan serbuan pada jam 6 petang serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.

    “Antara rokok seludup yang berjaya dirampas melibatkan 250 karton John D Blend 20 batang; 150 karton John JGI 25 batang; 125 karton John White 25 batang; 25 karton John British 20 batang; 50 karton Canyon Premium Red 20 batang dan 200 karton Canyon Mentol Hijau 20 batang.

    “Ini termasuk 100 karton rokok Gudang Garam 12 batang; 50 karton rokok Gudang Garam 16 batang; 120 karton rokok Nusantara Hijau 12 batang; 40 karton rokok Nusantara Merah 12 batang dan 75 karton Dji Sam Soe 234 Fatsal 5 12 batang.

    “Selain itu 10 karton Dji Sam Soe Super Premium 12 batang; 60 karton rokok Sampoerna 16 batang; lapan karton Canyon Blast 20 batang dan 30 karton RE Bold 16 batang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Batu Pahat dan Yong Peng.

    Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM234,306, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

    Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

    “Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar daerah Batu Pahat dan Yong Peng,” katanya.

    Dimin menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280.

  • Syarat baharu MM2H ketat, perlu dikaji semula-Sultan Johor

    Syarat baharu MM2H ketat, perlu dikaji semula-Sultan Johor

    oleh RAHIMI MOHAMAD

    KERAJAAN perlu mengkaji semula pelaksanaan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi mencapai keseimbangan positif terhadap kemasukan pelabur serta pertumbuhan ekonomi negara.

    Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, kajian perlu dibuat kerana beberapa syarat baharu kepada peserta program dilihat terlalu ketat ketika ia diumum untuk dilaksanakan kembali.

    Sultan Ibrahim bimbang dengan syarat-syarat itu yang dilihat akan menjejaskan kemasukan peserta baharu selain menjejaskan pemegang pas MM2H sedia ada.

    “Penetapan syarat baharu seharusnya lebih baik, bagi mendorong kemasukan pelancong serta pelabur untuk kembali meningkatkan ekonomi negara.

    “Jika syarat baharu terlalu ketat, kemungkinan boleh memberi kesan kepada pendapatan negara, serta memberi tekanan kepada peserta baharu dan sedia ada.

    “Ini amat mengecewakan kita di Johor di mana kita mempunyai hubungan sejarah yang lama dengan Singapura serta rakyatnya, syarat baharu ini kemungkinan akan menyebabkan mereka tidak melabur di Johor,” titah baginda dalam kenyataan, hari ini.

    Sejak dimulakan pada 2002, seramai 57,478 warga asing telah diberikan pas jangka panjang sebelum program MM2h dihentikan pada September 2018 untuk dikaji semula dengan syarat-syarat baharu diperkenalkan, minggu lalu.

    Mengikut syarat baharu, peserta perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini, pemilikan akaun simpanan RM1 juta selain peserta juga perlu pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

    Selain itu, kadar fi pas daripada RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses pula sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan.

    Sultan Ibrahim turut bertitah, kerajaan juga perlu mempertimbang untuk mengembalikan kriteria ditetapkan sebelum ini yang berkesan dalam mempromosi Malaysia sebagai antara destinasi persaraan antarabangsa.

    “Peraturan baharu ini akan menyebabkan lebih banyak pemegang pas MM2H keluar dari negara ini. Bagaimana kita hendak mempromosikan Malaysia sebagai antara destinasi pelaburan.

    “Jika kita kerap mengubah peraturan, ini boleh menyebabkan ketidakyakinan dalam kalangan peserta, dan ini juga bukan masanya untuk menaikan kadar fi. Pengubahan syarat secara drastik juga akan menjejaskan imej negara,” titah baginda.

  • Pondok membungkus heroin diserbu

    Pondok membungkus heroin diserbu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERBUAN dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari unit D7 Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman berjaya merampas lebih dua kilogram (kg) dadah jenis heroin di Kampung Sungai Division, Sungai Petani Kedah baru-baru ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, ACP Mohd. Taufik Maidin berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang, Khamis lalu turut menahan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 23 tahun.

    “Hasil pemeriksaan di sebuah pondok berdekatan ladang kelapa sawit telah menemukan 439 bungkusan kecil plastik lutsinar bahan disyaki dadah jenis heroin seberat. 2.05 kg serta peralatan membungkus dadah.

    “Selain itu dua bilah pedang turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM14,000.

    “Hasil ujian urin mendapat seorang daripada mereka positif dadah jenis THC manakala seorang lagi negatif,” katanya.

    Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Muda turut menyita harta suspek iaitu satu rantai berwarna kekuningan yang dianggarkan bernilai RM5,000.

    “Kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula 27 Ogos lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.,” ujarnya

  • PM sah kontak rapat, tak hadir istiadat angkat sumpah

    PM sah kontak rapat, tak hadir istiadat angkat sumpah

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mula menjalani kuarantin kendiri setelah disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

    Perkara itu disahkan dalam kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

    Sehubungan itu, menurut PMO, setelah disahkan menjadi kontak rapat, Ismail Sabri tidak dapat menghadiri istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Simpan Rahsia menteri dan timbalan menteri Persekutuan petang ini.

    Upacara mengangkat sumpah pelantikan Kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong dijadualkan pada pukul 2.30 petang ini.

    Seramai 31 menteri dan 38 timbalan dijangka mengambil bahagian dalam upacara angkat sumpah tersebut.

    Terdahulu, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan berkata, beliau didapati positif Covid-19 dan tidak dapat menghadiri upacara tersebut.

    Katanya beliau sedang dirawat di Kuala Lumpur dan kesihatan dirinya stabil serta dalam keadaan yang baik.

    “Minta semua doakanlah ya kesembuhan saya, insya-Allah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

  • Jong Yee Khie menang perak, PM ucap terima kasih

    Jong Yee Khie menang perak, PM ucap terima kasih

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada atlet paralimpik kebangsaan, Jong Yee Khie atas kejayaan merangkul pingat perak dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hari ini.

    Perdana Menteri menyatakan penghargaan itu dalam hantaran Facebook, hari ini.

    “Terima kasih Jong Yee Khie kerana menghadiahkan Keluarga Malaysia pingat perak bagi acara powerlifting kategori 107 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan seberat 237 kg.

    “Anda telah berjaya menyahut cabaran untuk memastikan Jalur Gemilang berkibar di bumi Tokyo.

    “Penghargaan yang sama buat jurulatih dan seluruh kontinjen Malaysia,” katanya.

    Yee Khie, 32, yang beraksi dalam kelas 107 kg menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara dengan angkatan terbaik 237 kg di Tokyo International Forum.

    Atlet dari Sarawak itu gagal melakukan angkatan 230 kg pada percubaan pertama sebelum berjaya melakukan angkatan 237 kg pada percubaan kedua.

    Dia kemudiannya cuba melakukan angkatan 245 kg pada percubaan ketiga namun usaha itu tidak berhasil.

    Pingat emas dimenangi Sodnompiljee Enkhbayar dari Mongolia dengan angkatan 245 kg yang juga rekod baharu temasya manakala Saman Razi (Iran) meraih gangsa, 231 kg.

    Enkhbayar yang juga pemegang rekod dunia, memperbaiki rekod temasya 238 kg yang dilakukannya atlet Greece, Pavlos Mamalos di Paralimpik Rio 2016 dengan catatan baharu 241 kg sebelum melakukan 245 kg di Tokyo.

  • Lantikan semula Noraini langkah ironi – KMUM

    Lantikan semula Noraini langkah ironi – KMUM

    Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menyuarakan keraguan atas pelantikan semula Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi, dengan menggariskan kegagalannya ketika memegang jawatan itu semasa era pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

    Menurut KMUM, pelantikan semula Noraini dilihat tidak selari dengan visi untuk lebih melibatkan anak muda dalam pemulihan negara, bahkan disifatkan kesatuan itu sebagai satu langkah yang ironi.

    “Pelantikan semula Dr Noraini pada 27 Ogos…boleh dikatakan sebagai suatu langkah yang ironi bagi pengurusan institusi pendidikan tinggi, di mana pelbagai masalah dan kegagalan telah timbul sewaktu tempoh dia berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

    “Kegagalan menteri dalam menjalankan tugas ketika kerajaan yang lepas telah membuktikan bahawa dia tidak sesuai untuk memegang jawatan ini dan tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang menteri pengajian tinggi,” kata kesatuan itu seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

    Antara kegagalan dibangkitkan adalah penangguhan pendaftaran pelajar baru saat akhir yang diumumkan sehari sebelum hari pendaftaran bersemuka pada Oktober tahun lalu, yang menurut KMUM menimbulkan masalah buat pelajar.

    Ini termasuklah pelajar dari negeri lain yang tidak dapat menetap di kolej dan terpaksa menanggung sendiri kos pulang ke kediaman masing-masing akibat penangguhan itu.

    KMUM menambah, para pelajar dari Sabah dan Sarawak pula terpaksa menanggung sendiri kos ujian RT-PCR untuk pulang ke kampung halaman, sedangkan tuntutan KMUM untuk kos ujian berkenaan masih belum diselesaikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

    Sehubungan itu, KMUM menggesa agar Menteri Pengajian Tinggi dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar mempunyai wawasan dan sedia berkhidmat untuk kepentingan mahasiswa.

    Sebelum ini, netizen mengecam pelantikan Noraini sambil memberi alasan tersendiri berhubung sikap mereka menolak Ketua Wanita UMNO tersebut untuk memegang semula jawatan Menteri Pengajian Tinggi.

    Pada 6 Ogos lalu, Noraini melepaskan jawatan tersebut serta merta kerana kononnya akur keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Noraini sebelum ini pernah dikritik hebat kerana menganjurkan pertandingan TikTok.

    Ini termasuk memuat naik video TikTok selama 45 saat yang menampilkan dirinya tahun lalu.

  • Kemasukan pesakit kategori 4,5 Covid-19 ke ICU hospital Lembah Klang berkurangan

    Kemasukan pesakit kategori 4,5 Covid-19 ke ICU hospital Lembah Klang berkurangan

    KEMASUKAN pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital Lembah Klang pada minggu ke-34 penularan wabak itu di negara ini menunjukkan trend penurunan selari dengan peningkatan liputan vaksinasi dos yang lengkap.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan Facebook beliau berkata, di Hospital Sungai Buloh khususnya, kemasukan pesakit Covid-19 bagi kategori 4 dan 5 semakin berkurangan selepas mencatatkan peningkatan ketara pada minggu ke-30 penularan wabak.

    “Alhamdulillah, kadar vaksinasi COVID-19 yang kian meningkat khususnya di Lembah Klang terus menunjukkan tanda-tanda awal yang positif.

    “Marilah kita bersama-sama berusaha memastikan diri sendiri dan ahli keluarga tersayang yang layak menerima dos vaksinasi lengkap bagi mengurangkan risiko keterukan penyakit yang serius dan kemasukan ke hospital, mengurangkan risiko kemasukan ke ICU dan mengurangkan risiko kematian akibat Covid-19,” katanya hari ini.

    Mengikut graf yang dikongsikan Dr Hisham, kemuncak kemasukan pesakit Covid-19 ke Hospital Sungai Buloh bagi kategori 4 dan 5 berlaku pada minggu ke-30 penularan wabak dan pada masa sama, Operasi Lonjakan Kapasiti Lembah Klang dilancarkan.

    Pada ketika itu, kadar kemasukan pesakit berusia 40-59 tahun adalah sebanyak 285 orang, 20-39 tahun (182 orang) dan 60-79 tahun (109 orang).

    Bagaimanapun pada minggu ke-34, jumlah kemasukan pesakit bagi kategori 4 dan 5 menunjukkan penurunan ketara apabila kemasukan pesakit berusia 40-59 tahun adalah sebanyak 117 orang, 20-39 tahun (57 orang) dan 60-79 tahun (81 orang).

    Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata, mengambil vaksin Covid-19, memakai dua pelitup muka dan pelindung muka, menjaga penjarakan fizikal dengan mengelakkan 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) dan kerap mencuci tangan adalah usaha dan ikhtiar rakyat Malaysia.

    Graf kemasukan pesakit kategori 4 dan 5 ke Hospital Sungai Buloh.

    “Ini dilakukan untuk mencegah dan membendung penularan jangkitan virus Covid-19. Lindung diri, lindung semua,” katanya.

  • Lembah Klang boleh beralih fasa PPN – Ismail Sabri

    Lembah Klang boleh beralih fasa PPN – Ismail Sabri

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat bahawa Lembah Klang sudah boleh beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Beliau turut mengucapkan syabas ekoran kadar vaksinasi di Lembah Klang yang kini melebihi 80 peratus.

    “Semua ini bakal diputuskan selepas saya berbincang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 bersama barisan Kabinet yang akan dipengerusikan saya nanti, insya-Allah.

    “Sekali lagi saya sangat berbangga dengan semua pihak yang terlibat dan atas kejayaan yang memberangsangkan ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Setakat semalam, sebanyak 90.3 peratus populasi dewasa atau 5,563,589 orang telah menerima dua dos vaksin.

    Bagi dos pertama pula, kadar vaksinasi adalah sebanyak 110.9 peratus atau 6,836, 892 orang.

    Secara keseluruhan, seramai 14,648,590 individu atau 62.6 peratus daripada populasi dewasa negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan, seramai 19,389,392 individu atau 82.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 34,027,548 dos.

    Menurut JKJAV, 59.4 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, manakala 44.9 peratus telah melengkapkan vaksinasi.

    Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 302,804 dos dengan 142,186 merupakan dos pertama dan 160,618 adalah dos kedua.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

  • Sakaran beri sumbangan besar kepada negara – PM

    Sakaran beri sumbangan besar kepada negara – PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Allahyarham Tun Sakaran Dandai telah memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan negara khususnya di Sabah, merangkumi pelbagai aspek terutama sosioekonomi.

    Perdana Menteri turut berdukacita apabila mendengar berita tentang pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah itu.

    “Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan warga Sabah atas kehilangan tokoh pemimpin yang disegani ini. Semoga tabah menghadapi ujian ini.

    “Saya juga mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, diampuni segala dosa, diterima amal soleh dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Allahyarham meninggal dunia di Hospital Gleaneagles di Kota Kinabalu, awal pagi ini.

    Perkara itu disahkan cucunya Ahmad Marzuki Nasir dan memaklumkan Sakaran, 91, meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi tadi.

    “Sama-sama kita mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah,” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.

    Pada 18 Ogos lepas, Sakaran dimasukkan ke hospital itu kerana disyaki dijangkiti COVID-19, sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 25 Ogos.

    Sakaran berasal dari Semporna berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan bermula 1 Jan 1995 hingga 31 Dis 2002 dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah kelapan pada 1994.

    Allahyarham memainkan peranan penting untuk Sabah dan negara khususnya, dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendidikan masyarakat serta menyebarluaskan kesusasteraan Islam.

    Jasa Allahyarham amat dihargai sehingga menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2017.

  • Mohamad Alamin dijangkiti Covid-19, tidak hadir angkat sumpah

    Mohamad Alamin dijangkiti Covid-19, tidak hadir angkat sumpah

    AHLI Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin, yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dalam pentabiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesahkan beliau dijangkiti COVID-19 dan tidak dapat hadir mengangkat sumpah jawatan itu petang ini.

    Katanya beliau sedang dirawat di Kuala Lumpur dan kesihatan dirinya stabil serta dalam keadaan yang baik.

    “Minta semua doakanlah ya kesembuhan saya, insya-Allah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Seramai 31 menteri dan 37 timbalan menteri dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada pukul 2.30 petang ini.

    Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan Barisan Kabinet beliau.-BERNAMA