Category: Umum

  • Perkahwinan: JAIS tidak lantik pihak ketiga, jual slot janji temu

    Perkahwinan: JAIS tidak lantik pihak ketiga, jual slot janji temu

    BAKAL pengantin di Selangor diminta untuk mendapatkan tarikh janji temu secara percuma bagi urusan berkaitan perkahwinan melalui laman sesawang Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sahaja.

    JAIS menerusi poster yang disiarkan dalam laman Facebook jabatan itu berkata, permohonan bagi mendapatkan tarikh itu boleh dibuat menerusi laman web www.jais.gov.my.

    “Pihak JAIS tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menguruskan janji temu.

    “Segera laporkan kepada JAIS jika diketahui ada individu yang menjual atau mengambil kesempatan menjual slot janji temu JAIS.

    “Sebarang aduan atau pertanyaan boleh dikemukakan melalui panggilan telefon 03-5514340/3600 atau emel [email protected],” kata JAIS menerusi pemakluman khas itu, hari ini.

    JAIS menerusi kenyataan pada 25 Jun lalu membenarkan majlis akad nikah di negeri itu bermula 1 Julai selepas melarangnya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

    Menurut JAIS, kebenaran hanya tertakluk kepada pasangan yang telah mendapat tarikh janji temu daripada JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

    Selain itu kata JAIS, akad nikah dilaksanakan dengan kehadiran fizikal di JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sahaja, bermula Isnin hingga Ahad (setiap hari).

    “Kehadiran juga terhad kepada pengantin lelaki dan perempuan serta wali sahaja manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

    “Pasangan juga mesti mendapat Kebenaran Berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum 1 Jun selain keputusan Ujian Saringan HIV lelaki serta perempuan yang masih sah,” kata JAIS.

    Selain itu, pasangan pengantin serta wali wajib menjalani ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) COVID-19 dalam tempoh 72 jam (tiga hari) dari waktu pelaksanaan majlis dan perlu mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan.

    Menurut JAIS, pihak terbabit wajib mematuhi ketetapan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan negeri berkaitan langkah keselamatan.

    “Jika terdapat pelanggaran kepada ketetapan semasa, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk atau Pegawai Tadbir Agama boleh menangguhkan atau membatalkan majlis akad nikah berkenaan,” katanya.

  • 68 peratus populasi dewasa Malaysia lengkap dua dos vaksin Covid-19

    68 peratus populasi dewasa Malaysia lengkap dua dos vaksin Covid-19

    SEBANYAK 15,926,601 individu atau 68 peratus daripada populasi dewasa Malaysia telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi hantaran Facebook berkata, bagi dos pertama vaksin, sebanyak 20,543,016 orang atau 87.8 peratus daripada populasi dewasa negara telah menerima vaksin berkenaan.

    Menurutnya, mengikut peratusan bagi populasi keseluruhan pula, sebanyak 62.9 peratus penerima telah mendapat dos pertama manakala 48.8 peratus penerima lengkap divaksinasi.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 36,431,562 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, JKJAV berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 289,958 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, sebanyak 136,177 dos pertama diberikan manakala 153,841 lagi melibatkan dos kedua.

  • Tiada keperluan pertikai keabsahan PM melalui usul undi percaya

    Tiada keperluan pertikai keabsahan PM melalui usul undi percaya

    TIADA keperluan untuk pembangkang mempertikaikan keabsahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan penilaian dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memilih perdana menteri menerusi usul undi percaya di Dewan Rakyat. 

    Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata ini memandangkan keabsahan seseorang perdana menteri itu wujud apabila beliau telah dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong, mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani Surat Cara Pelantikan.

    Perdana menteri yang ada sekarang telah melalui kesemua proses itu, katanya.

    “Selepas lalui proses itu maka Perdana Menteri dapat keabsahan untuk laksana tanggungjawab. Kalau kita kata perlu tunggu usul undi percaya di Dewan Rakyat baru dapat keabsahan, maknanya arahan perdana menteri sebelum pengesahan di Parlimen itu tidak sah dan kedudukannya boleh dipertikai.

    “Bahkan (kedudukan) menteri-menteri pun boleh dipertikai kerana perdana menteri yang nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mereka, jadi saya rasa itu satu hujah yang tidak wajar,” katanya ketika menjadi panel webinar Intelektual Negara bertajuk “Usul Undi Percaya: Masih Perlukah?’ di sini, malam tadi.

    Walaupun Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa yang luas dalam melantik Perdana Menteri, Muhammad Fathi menjelaskan bahawa Seri Paduka sangat teliti dan mengambil kira pandangan semua pihak dalam membuat sebarang keputusan memilih pemimpin nombor satu negara itu.

    Jelas beliau, ini dibuktikan dengan tindakan Seri Paduka meminta Surat Akuan Bersumpah dari Ahli Parlimen, memanggil 114 Ahli Parlimen bagi mengesahkan kepercayaan mereka terhadap Ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan sebagai perdana menteri serta mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja Melayu.

    “Dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan sudut moral sah, dari sudut kaedahnya sangat kukuh maka sepatutnya semua pihak terima dan move forward (terus mara)  jangan tengok belakang terus bergerak laksanakan tanggungjawab,” katanya. 

    Menerusi pendekatan diambil Datuk Seri Ismail Sabri dalam mengadakan perbincangan dengan pembangkang dan memberi ruang kepada mereka untuk berada di dalam jawatankuasa penting kerajaan, Muhammad Fathi berpendapat ia merupakan satu perkara yang amat besar.

    “Jadilah pembangkang baik dengan ruang yang ada ini, kita nak pembangkang yang kuat supaya proses semak imbang berjalan dengan hebat, dalam keadaan pembangkang kuat dan diberi peluang terlibat gunakan ruang ada untuk beri sumbangan pada negara,” katanya.

    Senada dengan Muhammad Fathi, Pengerusi Kelab Usahawan dan Profesional Malaysia (KUPM) Datuk Dr Sr Kamarul Rashdan Salleh berkata usul undi percaya tidak wajar diteruskan kerana faktor kestabilan negara, selain kerajaan perlu menumpukan kebajikan rakyat dari pelbagai sudut.

    “Pengharapan biarlah usul undi percaya tidak berlaku, bukan kerana takut tapi dalam keadaan semua parti tiada majoriti, tapi berapa kali nak cerita benda sama,” katanya. 

    Kamarul berkata polemik politik yang melanda negara ini tidak boleh diteruskan kerana ia akan menjejaskan seluruh perancangan kerajaan baharu.

    “Saya yakin Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) akan memainkan peranan beliau dalam menasihati Seri Paduka tentang aspek undi percaya tidak perlu diadakan dan kerajaan perlu fokus dalam menangani pandemik COVID-19,” katanya.- BERNAMA

  • 13,519 daripada 20,396 kes baharu tiada sejarah vaksinasi

    13,519 daripada 20,396 kes baharu tiada sejarah vaksinasi

    SEBANYAK 66.3 peratus atau 13,519 kes daripada jumlah keseluruhan 20,396 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini didapati tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksin Covid-19. 

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata inidividu tidak lengkap vaksin terdiri daripada mereka yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau dua dos vaksin tetapi tidak melebihi 14 hari dari tarikh dos kedua. 

    “Sebanyak 6,877 kes atau 33.7 peratus pula mempunyai sejarah vaksinasi lengkap, dengan 6,795 daripadanya berada pada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan. 

    ”Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap divaksinasi adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk,” katanya dalam kenyataan itu.

    Daripada 322 kes kategori tiga (bergejala) hingga kategori lima (bergejala kritikal), 240 kes atau 74.5 peratus terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 82 kes (25.5 peratus) terdiri daripada mereka yang lengkap divaksin.

    Menurut Dr Noor Hisham, 336 kes kematian dilaporkan hari ini yang melibatkan 274 warganegara dan 62 bukan warganegara.

    Kes kematian di luar hospital atau mati ketika dibawa (BID) yang direkodkan hari ini ialah 107 kes, menjadikan ia jumlah kes BID tertinggi sejak wabak itu melanda negara.

    Ketua Pengarah itu berkata 20,573 kes sembuh dicatatkan sementara kes aktif Covid-19 di seluruh negara kini 255,789 dengan 1,338 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

    Daripada jumlah kes yang dirawat di ICU, 959 kes merupakan kes positif Covid-19 manakala 379 lagi ialah kes yang disyaki dan dalam siasatan.

    Dalam pada itu, kes yang memerlukan bantuan pernafasan pada hari ini pula sebanyak 735 kes terdiri daripada 436 kes Covid-19 dan 299 kes merupakan kes disyaki dan dalam siasatan.

    Sebanyak 37 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 21 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, 12 kluster komuniti, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu di pusat tahanan, menjadikan kluster aktif kini 1,457.

  • Ismail Sabri harap bayaran BKC mulai esok mampu kurangkan beban rakyat

    Ismail Sabri harap bayaran BKC mulai esok mampu kurangkan beban rakyat

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap pengkreditan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) bagi Fasa Satu bermula esok sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

    Menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Ismail Sabri berkata dana berjumlah RM3.1 bilion telah pun disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.

    “BKC ini akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang memfokuskan kumpulan sasar terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan,” katanya.

    Pada Rabu, Ismail Sabri berkata, beliau mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan bulan lepas dan berikutan itu, telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran.

    Beliau juga berkata kerajaan kini melaksanakan rangsangan ekonomi rakyat dan negara melalui inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

    “Besar harapan saya untuk memastikan usaha ini berjaya demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

    Semakan status BKC boleh dibuat melalui portal https://bkc.hasil.gov.my

  • Syarat pengambilan pelajar MRSM kekal

    Syarat pengambilan pelajar MRSM kekal

    DASAR dan syarat pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), dikekalkan dan cadangan perubahan yang diumumkan sebelum ini tidak akan digunapakai.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat ‘Keluarga Malaysia’.

    “Saya hendak tegaskan bahawa dasar dan syarat kemasukan ke MRSM kita kembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini bagi memberi peluang kepada semua pelajar untuk memohon”.

    “Kelayakan dan pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan kepada Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan STEM serta Keperibadian pelajar,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Pelitawanis TNB di Hospital Kuala Nerang, Kedah, hari ini.

    Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut berkata, dasar 10 peratus pengambilan pelajar Bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

    Jelas beliau, kualiti dan sistem pendidikan yang tersendiri serta berkualiti tinggi yang diterapkan MRSM, telah menyebabkan permintaan dalam kalangan pelajar sangat tinggi.

    “Kita berterima kasih kepada masyarakat yang memberikan pengiktirafan dan sentiasa memandang tinggi Sistem Pendidikan yang ada di MRSM”,’’ katanya.

    MRSM kata beliau hanya mampu menampung sejumlah 7,500 pelajar tingkatan satu dan 2,000 pelajar tingkatan empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan berbanding permohonan yang diterima tahun ini berjumlah 77,834 bagi tingkatan satu dan 24,495 bagi tingkatan empat untuk sesi kemasukan 2022.

    Tambah Mahdzir, dasar MARA mensasarkan untuk menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pengajian di MRSM.

    “Sistem Pendidikan MRSM adalah bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar bumiputera yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan.’’

    “Sistem Pendidikan MRSM juga sedikit berbeza dengan sistem pendidikan lain dari aspek kemampuan kognitif dan sahsiah pelajar. MRSM mengumpulkan pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi selari dengan ciri-ciri Saintifik, Independen, Kreatif, Amanah dan Patriotik (SIKAP),’’ katanya.

    Untuk rekod, bilangan MRSM di seluruh negara adalah 55 buah dan mampu menampung 37,198 pelajar.

  • Penerima vaksin di luar negara perlu disahkan di PKD

    Penerima vaksin di luar negara perlu disahkan di PKD

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PENERIMA vaksin rakyat Malaysia yang telah menerima suntikan imunisasi Covid-19 di luar negara perlu hadir mendapatkan sijil pengesahan vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat dengan lokasi masing-masing.

    Langkah itu, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba bertujuan untuk mengesan penerima vaksin dari luar negara serta status mereka dan jenis vaksin yang telah diterima.

    Dr. Adham berkata, langkah itu penting untuk mengesahkan sijil vaksinasi yang diterima di luar itu disahkan tulen dan jenis vaksin yang diterima itu diluluskan di negara ini.

    Malah, pengeluaran sijil vaksinasi yang sudah dikemas kini melalui aplikasi MySejahtera itu juga penting bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti harian yang dibenarkan kepada penerima lengkap vaksin.

    “Mereka perlu hadir ke PKD untuk memaklumkan status vaksinasi lengkap untuk menerima sijil vaksinasi MySejahtera. PKD yang terima sijil vaksinasi yang dikeluarkan di luar negara itu akan sahkan dahulu sebelum Jabatan Kesihatan Negeri menghantar permohonan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Putrajaya untuk tindakan lanjut.

    “CPRC akan memaklumkan kepada MySejahtera untuk mengemas kini dan mengeluarkan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera di telefon pintar pemohon,” katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mount Austin, di sini hari ini.

    Sementara itu, Dr. Adham memberitahu, kerajaan akan menggunakan kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu kepada pelancong yang akan masuk ke negara ini melalui pintu masuk antarabangsa di Langkawi pada 16 September ini.

    Katanya, tindakan itu diambil setelah kerajaan memberi kebenaran sektor pelancongan kembali dibuka menerima kunjungan pengunjung asing di Pulau Langkawi.

    “Petugas Kesihatan juga akan ditempatkan di laluan pintu masuk antarabangsa di Langkawi bagi menyemak sijil vaksinasi mereka sama ada sah atau sebaliknya.

    “Mereka yang mendapat vaksin di luar negara yang ingin berada di negara ini atas tujuan pembukaan sektor ekonomi juga akan melalui proses yang sama,” ujarnya.

  • Pelantikan Muhyiddin jamin kesinambungan pemulihan negara

    Pelantikan Muhyiddin jamin kesinambungan pemulihan negara

    INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menyifatkan pelantikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara adalah tepat dan sesuai untuk memastikan kesemua strategi pemulihan berada di landasan yang betul.

    Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, lantikan itu secara langsung akan menjamin kesinambungan dan kestabilan dalam segala usaha dan strategi untuk membawa keluar negara dari krisis kesihatan kesan pandemik Covid-19.

    “Sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri, beliau akan mengawal selia peralihan negara secara berfasa dari peringkat pengurusan krisis sehingga semua sektor sosial kembali normal dan pemulihan ekonomi berlaku sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

    Katanya, Malaysia sebelum ini pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa kerana kejayaan menguruskan pandemik semasa Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri dan beliau telah merangka pelan untuk keluar dari krisis yang kini diteruskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Para pemerhati mengalu-alukan pelantikan ini kerana ia bukan sahaja mengehadkan gangguan dalam pendekatan negara menangani pandemik pasca polemik politik, bahkan dilihat sebagai suatu penghormatan terhadap Muhyiddin,” katanya.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataannya semalam, mengumumkan bahawa pelantikan dibuat atas keyakinan kerajaan terhadap keupayaan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, memulihkan ekonomi dan memperbaiki kehidupan rakyat, yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

    Semasa pentadbirannya, Muhyiddin memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dan pakej bantuan berskala besar untuk meringankan beban rakyat, di samping program vaksinasi untuk seluruh negara.

    Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah strategi pemulihan empat fasa yang dirangka oleh beliau, untuk menyaksikan peralihan keluar negara secara berperingkat berasaskan nilai ambang tiga indikator utama; iaitu kes harian COVID-19, keupayaan sistem kesihatan dan peratusan populasi yang telah melengkapkan suntikan vaksin.

    “Sehingga kini, pelaksanaan program vaksinasi sudah mula menunjukkan kemajuan yang signifikan. Justeru, kalangan pakar meramalkan dengan pelantikan ini, negara akan terus bergerak maju melepasi setiap fasa dalam pelan pemulihan seperti yang dirancang,” kata Azril. – UtusanTVFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

  • Beri ruang guru tolak vaksin laksana PdP tidak bersemuka

    Beri ruang guru tolak vaksin laksana PdP tidak bersemuka

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (​NUTP) berharap guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 diberikan ruang menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara tidak bersemuka meskipun diarah hadir ke sekolah untuk melakukan tugasan lain yang akan diberikan kelak.

    NTP khuatir sekiranya guru berkenaan tidak dibenarkan menjalankan PdP akan membebankan warga pendidik yang telah mendapatkan vaksin.

    Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi tugasan lain kepada guru yang tidak divaksin selepas tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka.

    “Namun, kami minta ruang untuk mereka mengajar kerana kita tidak mahu beban masa mengajar mereka itu dipindahkan kepada guru yang sudah mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas arahan yang dikeluarkan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin yang mengarahkan guru enggan menerima vaksin Covid-19 diminta ke sekolah bagi melakukan tugasan lain kerana banyak lagi tugasan perlu dilakukan.

    Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, KPM masih mempunyai ruang untuk mengatasi masalah tersebut kerana sesi persekolahan yang akan dibuka nanti hanya melibatkan kelas peperiksaan, dengan guru yang mengajar kelas peperiksaan telah 100 peratus divaksin.

    “Jadi saya rasa, KPM boleh melakukan sesi perbincangan dan berjumpa dengan guru yang tidak mahu divaksin bersama tokoh-tokoh berwibawa bagi mengetahui punca sebenar mereka tolak vaksin,” kata Aminuddin.

  • 80% populasi dewasa Terengganu lengkap vaksinasi Sept

    80% populasi dewasa Terengganu lengkap vaksinasi Sept

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TERENGGANU menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi dewasa di negeri itu akan menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada penghujung bulan ini atau awal Oktober depan.

    Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, sasaran itu mampu dicapai melalui penghantaran sebanyak 560,000 dos vaksin tambahan ke Terengganu secara berperingkat pada bulan ini.

    Katanya, sepanjang bulan Ogos lalu sebanyak 590,000 dos bekalan vaksin telah diserahkan di negeri ini dan untuk September pula dijangka sebanyak 560,000 dos.

    “Kita mempunyai jadual lengkap setiap minggu penghantaran vaksin ke Terengganu dan ia menepati jadual sasaran untuk membolehkan 80 peratus populasi dewasa divaksinasi hujung bulan ini, sekali gus mampu diaelesaikan sebelum musim tengkujuh tiba ,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Misi Bantuan Air bagi penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang kini terjejas dengan krisis bekalan air ekoran insiden paip pecah di dasar Sungai Terengganu, di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu, hari ini.

    Berdasarkan statistik dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sehingga semalam, sebanyak 53 peratus populasi dewasa di Terengganu telah lengkap menerima suntikan vaksin manakala 85 peratus pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut mengakui terdapat kelewatan penghantaran vaksin ke negeri-negeri yang disifatkan tidak mempunyai kes Covid-19 terlalu tinggi termasuk Terengganu.

    Menurut ia berlaku kerana kerajaan memberi tumpuan vaksinasi di lokasi yang mempunyai kes positif terlalu tinggi khususnya di Lembah Klang.

    Bagaimanapun katanya, apabila sudah banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang ditutup selepas sasaran vaksinasi kepada penduduk di kawasan tersebut sudah dicapai, kerajaan kini akan mengedarkan lebih banyak bekalan vaksin ke negeri-negeri lain termasuk Terengganu.