Category: Umum

  • Ahmad Maslan bebas…tapi peluang jadi Timbalan Speaker tetap ‘gelap’?

    Ahmad Maslan bebas…tapi peluang jadi Timbalan Speaker tetap ‘gelap’?

    SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pasti lega apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan beliau atas dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ini selepas Ahli parlimen Pontian itu membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta, menurut laporan Bernama.

    Persoalannya adakah keputusan tersebut akan membuka kembali peluang Ahmad untuk menduduki jawatan Timbalan Yang Dipertuan Dewan Rakyat yang pemilihan ditangguhkan baru-baru ini.

    Sebelum ini apabila pencalonan Ahmad dipersoalnya kerana beliau dianggap berada dalam ‘kluster mahkamah’. Ia memandangkan pada 21 Jan 2020, Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

    Dia didakwa menerima wang itu, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 dan cek tersebut telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari sama.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 30 April 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Ahmad juga didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM, Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di Kuala Lumpur antara 2.45 dan 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Tetapi sekarang Ahmad sudah dibebaskan maknanya beliau bukan lagi berada dalam ‘kluster mahkamah’, jadi ada yang beranggapan bolehlah Setiausaha Agung UMNO itu menjadi Timbalan Speaker.

    Namun ia tidaklah semudah itu kerana ‘dosa’ atau ‘rekod calar’ Ahmad bukan soal kes mahkamah sahaja. Sebaliknya lebih penting daripada itu beliau juga ada ‘dosa’ dengan Bersatu khususnya kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Sebelum ini apabila Bersatu dikatakan menolak pencalonan Ahmad, ia bukan sangat soal kes mahkamah itu tetapi lebih kepada perasaan ‘kecil hati’ Bersatu dan Muhyiddin terhadap Ahli Parlimen Pontian tersebut.

    Ahmad antara yang 15 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sehingga menyebabkan Ahli Parlimen Pagoh tersebut terpaksa meletakkan jawatan.

    Dalam keadaan begitu, logik akal kah Bersatu harus dipaksa menyokong Ahmad yang merupakan salah seorang yang menjadi punca Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang? Bagaimana kalau ada ahli Parlimen Bersatu buat perkara yang sama kepada Perdana Menteri yang datang daripada UMNO, adakah UMNO akan menyokong ahli Parlimen tersebut sebagai Timbalan Yang Dipertua?

    Tak payah lah bercakap soal ‘politik kosmetik’ jika Bersatu bertindak tidak menyokong Ahmad, sebaliknya UMNO patut bertanya bagaimana jika mereka berada pada kedudukan Bersatu, adakah mereka akan beri sokongan?

    Lagipun dulu Ahmad senada dengan 14 ahli Parlimen menarik sokongan kepada Muhyiddin tetapi kekal menyokong Kerajaan PN, sekarang Muhyiddin dan ahli Parlimen Bersatupun boleh buat benda yang sama, ‘’Terus sokong Kerajaan sekarang tetapi tak sokong Ahmad Maslan’’..dalam bahasa mudah – ”dulu kau tak sokong aku tapi kau sokong kerajaan…sekarang aku sokong kerajaan tetapi tak sokong kau”…sama tak?

    Justeru pembebasan Ahmad bukanlah bermakna laluan untuk beliau menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kembali cerah, sebaliknya terus gelap, segelap-gelapnya kecuali beliau meminta maaf kepada Muhyiddin, tetapi sama ada permintaan maaf itu diterima atau tidak, belum pasti.

    Apa yang pasti kalau orang sudah kecil hati atau tersinggung dengan perbuatan kita, apatah lagi sampai kita hilang jawatan, kalau orang itu merayu sampai tolong buka pintu keretapun belum tentu kita maafkan, betul tak?

  • Malaysia bimbang kurang kemajuan isu pelucutan senjata nuklear

    Malaysia bimbang kurang kemajuan isu pelucutan senjata nuklear

    MALAYSIA tetap bimbang ekoran kurangnya kemajuan dalam isu pelucutan senjata nuklear meskipun ada beberapa perkembangan positif sejak beberapa tahun lalu, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

    Beliau berkata, meskipun persekitaran keselamatan tidak menentu serta cabaran lain yang muncul akibat wabak COVID-19, dunia mesti terus kekal dalam usahanya untuk melucutkan senjata nuklear.

    “Sebenarnya status quo dunia dengan senjata nuklear adalah tidak boleh diterima dan dibiarkan,” katanya,” katanya.

    Saifuddin berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Tertinggi Perhimpunan Agung ke-76 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memperingati dan mempromosikan Hari Penghapusan Senjata Nuklear, menerusi rakaman video, pada Rabu.

    Beliau berharap sambutan itu akan dapat memperhebatkan gelombang global dan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan menyegerakan merealisasikan matlamat dunia bebas tanpa nuklear.

    Saifuddin Abdullah berucap pada Mesyuarat Tertinggi Perhimpunan Agung ke-76 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memperingati dan mempromosikan Hari Penghapusan Senjata Nuklear, menerusi rakaman video, pada Rabu.

    Saifuddin berkata, ketika persidangan kajian semula Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) pada 1996, Malaysia sudah pun menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan melanjutkan tempoh pelucutan nuklear itu tanpa penetapan tarikh akhir, tidak akan memberi kelebihan terhadap keuniversalan perjanjian itu, sebaliknya memberi kuasa penuh pada negara kuasa nuklear untuk terus kekal menyimpan senjata itu.

    “Kebimbangan itu ternyata benar sehingga sekarang. Bagi negara yang memiliki senjata nuklear, mereka terus mendukung pendirian terhadap potensi menggunakan senjata itu. Lebih luas lagi, negara yang dipayungi kuasa nuklear terus menggalakkan kewujudan senjata seumpama,” katanya.

    Saifuddin berkata hasrat mewujudkan dunia bebas senjata nuklear adalah impian sekian lama masyarakat antarabangsa sejak sidang pertama Perhimpunan Agung PBB pada 1946.

    “Atas dasar itu juga munculnya NPT yang kekal sehingga sekarang menjadi tonggak kepada rejim pelucutan dan pengawalan senjata nuklear,” katanya.

    Beliau berkata, ketika kita menghampiri Sidang Kajian Semula NPT ke-19, manusia sejagat kekal berasa terancam, bukan sahaja disebabkan senjata nuklear terus ada tetapi mengalami proses modenisasi.

    “Malah, struktur pelucutan senjata, kawalan senjata dan pengehadan senjata nuklear sudah berubah dan berbeza,” katanya.

    Oleh itu, beliau berkata, amat penting dan menjadi lebih kritikal sekarang ini berbanding sebelumnya untuk dunia bertindak berhubung isu pelucutan senjata nuklear.

    “Jaminan tunggal dan pasti dalam usaha menentang penggunaan senjata nuklear adalah penghapusan penuh senjata ini,” katanya.

    Saifuddin berkata, Malaysia berharap Negara-Negara Pihak (State Parties) terus mendokong obiligasi serta komitmen mereka sebelum ini terhadap perjanjian itu menjelang sidang ke-10 kelak dan bertindak dengan efektif ke arah pelaksanaannya.

    Beliau menegaskan, Malaysia mengalu-alukan penguatkuasaan Perjanjian Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) pada 22 Januari 2021, yang mengukuhkan lagi norma global bahawa senjata nuklear sememangnya tidak boleh diterima.

    “Ia tidak seharusnya digunakan, tidak seharusnya diancam untuk digunakan dan sepatutnya dibuang dan dimusnahkan secepat mungkin. Pengharaman senjata nuklear menyumbang ke arah keamanan dan keselamatan antarabangsa,” katanya.

    Saifuddin berkata, Malaysia juga percaya bahawa TPNW – memperteguh dan bukannya mengugat, instrumen perundangan antarabangsa lain berkaitan pelucutan senjata nuklear, terutama NPT, Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Komprehensif dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara.

    Dengan itu, katanya, Malaysia akan terus terbabit secara konstruktif menjelang Mesyuarat Pertama ‘TPNW State Parties’ pada Mac 2022. – BERNAMA

  • 85.1% populasi dewasa lengkap vaksinasi

    85.1% populasi dewasa lengkap vaksinasi

    SERAMAI 19,912,566 individu atau 85.1 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

    Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 94 peratus atau 21,993,709 individu daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

    Selain itu, seramai 33,050 atau 1.1 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.

    Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 329,722 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 168,734 dos pertama dan 160,998 dos kedua menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin sebanyak 43,028,919 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, sebanyak 240 kes kematian akibat COVID-19 dicatatkan setakat pukul 11.59 malam tadi (28 September), menjadikan jumlah kumulatif kematian kini adalah 25,935.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 89 adalah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari, manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

    Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

    Sebanyak 71 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). – BERNAMA

  • Banjir kilat di beberapa daerah di Kedah

    Banjir kilat di beberapa daerah di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEBERAPA kawasan di daerah Baling, Kuala Muda, Sik dan Yan dilanda banjir kilat malam tadi akibat hujan lebat sejak petang semalam.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), daerah Baling merupakan kawasan paling banyak terjejas iaitu melibatkan 31 kampung antaranya Kampung Padang Cicar, Kampung Bendang dan Kampung Teluk Sanau yang terletak dalam Mukim Baling/Bongor serta Kampung Kuala Kedua, Kampung Batu 60 dan Kampung Chenerai di Mukim Siong.

    Manakala di Kuala Muda pula terdapat sekurang-kurangnya 31 rumah di tiga buah kampung iaitu Kampung Cengai Sungai Ibor (lapan rumah), Kampung Sungai Bongkok (tiga rumah) dan Kampung Sungai Tok Pawang (20 rumah) dinaiki air.

    Paras air di kedua-dua kawasan itu dianggarkan setinggi antara 0.3 meter dan 0.5 meter.

    Sementara itu APM Daerah Sik memaklumkan, terdapat 11 individu dari dua keluarga terperangkap di Kampung Landai akibat arus banjir di rumah mereka.

    Kejadian itu katanya, turut mengakibatkan dinding sebuah daripada rumah di kawasan itu runtuh akibat dirempuh arus banjir.

    Beberapa gambar dan video mengenai kejadian itu turut tular di media sosial dengan paras air pada ketika ini dilaporkan telah pun surut.

  • MASA tawar RM10,000 geran penyelidikan PPN

    MASA tawar RM10,000 geran penyelidikan PPN

    INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menawarkan geran sehingga RM10,000 bagi para penyelidik dan ahli akademik dari universiti dan institusi penyelidikan yang berminat untuk menyertai Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP).

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azril Mohd Amin berkata, di bawah program tersebut, mereka yang berminat boleh mengemukakan kertas cadangan yang memberi pandangan membina terhadap proses Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan untuk membawa Malaysia dan rakyatnya keluar dari kemelut pandemik COVID-19.

    Menurut beliau, cadangan-cadangan mereka mesti selari dengan bidang-bidang penyelidikan yang diberi tumpuan oleh MASA iaitu ekonomi, sosial dan pembangunan mapan.

    “Sehingga RM10,000 dalam bentuk geran ditawarkan bagi setiap kertas cadangan penyelidikan.

    “Pemohon-pemohon yang berjaya juga akan dibenarkan untuk menerbitkan laporan penyelidikan atau kertas dasar mereka dalam jurnal-jurnal terkemuka atau penerbitan berprestij,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Azril menambah, semua kertas cadangan mesti dihantar sebelum atau pada 29 Oktober ini melalui e-mel kepada [email protected].

    Mereka yang berminat boleh mengunjungi laman sesawang badan pemikir bebas itu di www.institutmasa.com atau menghubungi Mohd Noor Musa di talian 018-2072122.

  • 3 maut dipukul kepala air, mayat ketiga ditemukan hari ini

    3 maut dipukul kepala air, mayat ketiga ditemukan hari ini

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBELUM ini tular video yang memaparkan kejadian kepala air di sebuah air terjun di Tinubdan di Bandar Catmon Filipina yang sekelip mata menghanyutkan beberapa orang yang mandi di kawasan tersebut.

    Difahamkan, ketika kejadian, 30 orang didapati berada dalam sungai di kawasan air terjun itu sementara kira-kira 100 orang lagi berada di sekitarnya.

    Kejadian tragis kepala air di air terjun berkenaan menggemparkan negara itu dan telah mengorbankan dua nyawa dan seorang lagi masih tidak dijumpai ketika itu.

    Namun, menurut laporan Cebu Daily News, mayat wanita tersebut, Jacel Alastra ditemui oleh nelayan di perairan Barangay Luyang sekitar jam 1 pagi hari ini.

    Wanita tersebut dikatakan hilang sejak petang Ahad, 26 September, setelah dia dan anak perempuannya yang berusia tujuh tahun serta sepupunya yang berusia 17 tahun dihanyutkan kepala air.

    Mayat sepupunya, Kent Junde Monterolla ditemui berhampiran alur limpah di Katambisan, Bandar Catmon pada hari Ahad malam manakala mayat anak perempuannya, Princess Alastra ditemui di Sitio Kulo, Barangay Duyan sekitar jam 11:30 pagi pada hari Isnin, 27 September.

    Sementara itu,  Pengarah Pejabat Polis Wilayah Cebu (CPPO), Kolonel Engelbert Soriano berkata dia masih menunggu laporan rasmi dari Pejabat Pengurangan dan Pengendalian Risiko Bencana Wilayah (PDRRMO) dan kerajaan wilayah mengenai saranan untuk melarang lawatan ke air terjun Tinubdan buat masa ini. 

    Menurut kenyataan dari saudara mangsa, mereka mengunjungi air terjun Tinubdan pada hari Ahad lalu untuk meraikan ulang tahun kematian ahli keluarga namun ianya berakhir dengan tragedi yang meragut tiga nyawa.

  • Pemandu rentung dalam lori syarikat kurier

    Pemandu rentung dalam lori syarikat kurier

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki yang juga pemandu lori penghantar barangan maut selepas kenderaan dipandunya terlibat kemalangan di jalan berhadapan stesen televisyen RTM Johor Bahru, Jalan Tasik Utara-Larkin, di sini pagi tadi.

    Kejadian yang berlaku pada pukul 11.46 pagi itu mengorbankan nyawa pemandu lori, Muhammad Mustaqim Ismandi, 23, yang ditemukan rentung selepas kenderaan itu terbabas lalu terbakar di tempat kejadian.

    Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba Mohd. Suhaimi Jamal berkata, kejadian kebakaran melibatkan sebuah lori seberat lima tan milik sebuah syarikat penghantar barangan.

    Katanya, pemeriksaan mendapati pemandu lori terbabit terperangkap di dalam lori ketika pihak bomba tiba di lokasi.

    pemandu lori rentung
    Mangsa yang terperangkap dalam lori yang terbakar disahkan meninggal dunia.

    “Terdapat seorang mangsa yang tersepit dan rentung di tempat duduk pemandu dalam lori tersebut, anggota bomba segera membuat pemadaman dan cuba mengeluarkan mangsa.

    “Namun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi,” katanya di sini hari ini.

    Seramai 10 anggota bomba dari BBP Larkin bersama sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), unit bermotor bomba dan pacuan empat roda Toyota Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

    Kata Mohd. Suhaimi, pasukan keluaran operasi bertindak menggunakan satu aliran salur bantu bagi memadamkan kebakaran yang menyebabkan 70 peratus kemusnahan pada lori tersebut.

    Menurutnya, kerja-kerja pemadaman masih lagi dilakukan dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

    Sementara itu, difahamkan mangsa yang memandu lori berkenaan berkonvoi dengan sebuah lagi lori sebelum kejadian berlaku.

    Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan cuba mengelak kon yang berada di atas jalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di bahagian tengah jalan.

  • Tiada LOGC tanggungan peserta MM2H undang risiko keselamatan negara

    Tiada LOGC tanggungan peserta MM2H undang risiko keselamatan negara

    KETIADAAN syarat keperluan Surat Berkelakuan Baik (LOGC) untuk mengesahkan tanggungan yang dibawa peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) adalah bebas daripada salah laku jenayah, menimbulkan risiko keselamatan negara.

    Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri Dua, pengurusan program MM2H juga didapati kurang cekap dan kurang berkesan dengan ketiadaan pangkalan data secara bersepadu dan kelemahan kawalan dalaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

    “Semakan Audit selanjutnya mendapati tiada LOGC disertakan bagi 107 tanggungan yang dibawa oleh 59 peserta kerana peraturan tidak menetapkan LOGC perlu dikemukakan bagi tanggungan yang dibawa peserta dan tiada kaedah lain ditetapkan bagi mengesahkan tanggungan adalah bebas daripada salah laku jenayah di negara asal,” menurut laporan itu.

    Semakan Audit turut mendapati peraturan atau prosedur yang tidak jelas menyukarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat pemantauan secara berkesan dan menilai pencapaian program.

    “Selain itu, syarat minimum pendapatan tetap luar negara berjumlah RM10,000 sebulan tidak pernah dikaji semula sejak Program MM2H dimulakan pada 2002. Pengakuan tahap kesihatan pemohon Program MM2H yang tidak selari mengundang risiko penularan penyakit berjangkit berbahaya.

    “Anak peserta pula menikmati kelayakan sebagai tanggungan walaupun telah berumur melebihi 21 tahun kerana peraturan yang tidak seragam,” menurut laporan itu.

    Kelemahan lain adalah ketidakpatuhan terhadap peraturan Program MM2H apabila terdapat peserta dan tanggungan kepada peserta bekerja di Malaysia dan ketiadaan punca kuasa menyebabkan tindakan perundangan terhadap kes salah laku syarikat atau ejen tidak dapat dilaksanakan.

    “Ketidakberadaan peserta dalam tempoh yang lama dalam negara menyebabkan objektif Program MM2H untuk peserta tinggal dan hidup mewah di Malaysia tidak tercapai,” menurut laporan itu.

    Bagaimanapun, secara umumnya pencapaian penyertaan MM2H bagi tempoh 2015 hingga September 2019 adalah baik iaitu seramai 21,292 peserta berbanding sasaran ditetapkan seramai 17,500 orang.

    Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan pelaksanaan Program MM2H MOTAC mencapai objektif yang ditetapkan, adalah disyorkan MOTAC dan JIM mengambil tindakan penambahbaikan.

    “Koordinasi antara MOTAC dan kementerian atau agensi berkaitan perlu dipertingkatkan dengan mewujudkan sistem bersepadu bagi menambah baik keberkesanan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program.

    “MOTAC perlu melaksanakan penambahbaikan terhadap isu Audit yang dibangkitkan serta mengambil kira dapatan Kajian Impak dan Keberkesanan Program MM2H sebelum program ini diaktifkan semula untuk kekal relevan atau realistik dengan perkembangan semasa serta memberi penekanan kepada keselamatan negara,” menurut laporan itu.

    Laporan itu memaklumkan MOTAC, JIM dan Jawatankuasa Pemandu MM2H perlu mengkaji dan menyemak semula pekeliling atau garis panduan Program MM2H supaya lebih seragam, jelas dan menyeluruh.

    Selain itu, kajian juga perlu dijalankan terhadap prosedur saringan kesihatan agar selaras dengan prosedur atau standard yang ditetapkan JIM dan Kementerian Kesihatan.

    Di samping itu, laporan berkenaan turut mengesyorkan penggunaan kad pintar digital kepada peserta dikuatkuasakan dan mengintegrasikan fungsinya seperti merekodkan maklumat mengenai pembelian hartanah oleh peserta, maklumat kediaman dan pekerjaan peserta bagi tujuan pemantauan yang lebih berkesan. – BERNAMA

  • mySalam diperkenalkan PH ada kelemahan tadbir urus

    mySalam diperkenalkan PH ada kelemahan tadbir urus

    SKIM Perlindungan Masyarakat (mySalam) yang diperkenalkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dikesan mempunyai beberapa kelemahan dari segi urusan tadbir urus akaun amanah persendirian.

    Teguran itu dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 Aktiviti Kementerian Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

    “Secara keseluruhannya, berdasarkan skop pengauditan dapat dirumuskan bahawa skim mySalam telah memberikan perlindungan takaful/ gantian pendapatan kepada golongan B40 terhadap penyakit kritikal tertentu dan akibat kemasukan ke wad hospital.

    “Bagaimanapun, tadbir urus akaun amanah persendirian tidak memperuntukkan kawalan dalaman yang mencukupi dan mekanisme semak dan imbang yang jelas bagi menjamin akauntabiliti dan ketelusan pelaporan,” jelas laporan itu.

    Menurut laporan berkenaan, kelemahan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:

    • Klausa semasa di bawah Arahan Amanah mySalam adalah tidak lengkap dan tidak mencukupi iaitu tidak menyatakan dengan jelas mengenai peranan MoF dan keperluan pelaporan kepada Jemaah Menteri, Parlimen serta pihak berkepentingan;
    • Prosedur Operasi Standard (SOP) yang memperincikan mengenai bidang dan had kuasa Lembaga Pemegang Amanah (LPA) juga tidak diwujudkan;
    • Peluasan skim mySalam dilaksanakan tanpa meminda Arahan Amanah mySalam;
    • Pelantikan pengendali takaful mySalam tidak dibuka kepada syarikat insurans tempatan lain menyebabkannya tidak mendapat peluang manfaat ekonomi daripada pelaksanaan skim mySalam; dan
    • Pengaturan takaful semula yang melibatkan kos yang tinggi adalah tidak munasabah kerana tidak dijalankan kajian menyeluruh.

    Untuk rekod, skim tersebut mula diperkenalkan pada 2 November 2018 semasa ucapan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

    MySalam merupakan skim insurans takaful yang memberikan penggantian separa pendapatan terhadap penyakit kritikal tertentu dan akibat kemasukan ke wad hospital.

    Penerima yang layak mendapat manfaat daripada skim ini adalah 4.3 juta individu B40 dan pasangan mereka yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

    Syarat lain yang ditetapkan adalah warganegara yang berumur di antara 18 hingga 55 tahun.

    Sumber dana skim berkenaan adalah daripada sumbangan RM2.37 bilion oleh syarikat bernombor pendaftaran 199903008M di mana sumbangan dana tersebut merupakan penyelesaian pilihan alternatif oleh syarikat insurans asing yang perlu melupuskan 30 peratus daripada pegangan saham asing kepada pelabur tempatan.

    Sehingga akhir tahun 2020, terdapat tujuh syarikat insurans asing yang perlu melupuskan 30 peratus pegangan saham asing.

    Skim itu dilaksanakan bagi tempoh lima tahun bermula pada tahun 2019 hingga 2023.

    Syarikat 916257-H yang merupakan anak syarikat kepada syarikat 199903008M dilantik sebagai pengendali takaful awal bagi skim mySalam.

    Laporan berkenaan turut mengesyorkan tindakan penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan mengelak berulangnya perkara yang sama pada masa akan datang.

    “Kementerian Kewangan/ LPA mengambil langkah untuk mengakaunkan dana mySalam yang berjumlah RM2.370 bilion ke dalam akaun Kumpulan Wang Disatukan dan menubuhkan Akaun Amanah Kerajaan (Seksyen 9, Akta 61) bagi mengendalikan dana tersebut.

    “Kementerian Kewangan bertindak untuk memperkemaskan klausa Akaun Amanah mySalam bagi memastikan wujud tadbir urus, akauntabiliti dan pemantauan yang jelas dalam pengurusan dana mySalam.

    “Selain itu, mengadakan SOP dengan memperincikan bidang dan had kuasa LPA yang dinyatakan dalam Arahan Amanah akan memperkemaskan tadbir urus mySalam,” jelasnya.

  • LKAN 2019 Siri 2: 17 pengauditan, 62 syor penambahbaikan

    LKAN 2019 Siri 2: 17 pengauditan, 62 syor penambahbaikan

    SEBANYAK 17 pengauditan prestasi bernilai RM90.635 bilion dilaksanakan sempena Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 melibatkan program, aktiviti dan projek di 13 kementerian dan 62 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

    Jabatan Audit Negara (JAN) juga telah menjalankan pengauditan prestasi terhadap 21 program, aktiviti dan projek yang melibatkan 26 jabatan dan 10 agensi kerajaan negeri serta 11 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan negeri bagi laporan itu.

    Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dalam kenyataan mengenai LKAN 2019 Siri 2 itu berkata, sebanyak 130 syor telah dikemukakan iaitu 88 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh jabatan dan agensi negeri serta 42 syor oleh syarikat kerajaan negeri yang berkenaan untuk membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

    LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini terdiri daripada 15 naskhah yang melibatkan LKAN Tahun 2019 Siri 2 mengenai Aktiviti Kementerian, Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan; LKAN Tahun 2019 Siri 2 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan serta 13 naskhah LKAN peringkat negeri iaitu LKAN Tahun 2019 Siri 2 bagi Aktiviti Jabatan, Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri.

    Nik Azman berkata pengauditan prestasi dijalankan selaras dengan Seksyen 6 (d), Akta Audit 1957 serta berpandukan kepada piawaian pengauditan antarabangsa yang dikeluarkan oleh The International Organisation of Supreme Audit Institutions (INTOSAI).

    Pengauditan prestasi yang dijalankan bertujuan untuk menilai sama ada aktiviti, projek dan program kerajaan dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif aktiviti dan projek tersebut telah tercapai, katanya.

    “Ia juga bertujuan untuk menilai sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan tanpa berlaku pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai terbaik untuk wang,” katanya.

    Mengenai 17 pengauditan prestasi di kementerian, beliau berkata sebanyak tujuh pengauditan melibatkan kategori program dan aktiviti, lima melibatkan kategori projek, tiga sistem atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan satu pengauditan masing-masing untuk kategori perolehan dan penyenggaraan.

    Nik Azman berkata, secara keseluruhannya, pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan Persekutuan telah dilaksanakan mengikut objektif yang ditetapkan.

    Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat isu ketidakcekapan dan ketidakakuran serta kelemahan dalam pengurusan aktiviti, projek dan program yang menjejaskan kecekapan dan keberkesanannya untuk menghasilkan output, keberhasilan dan impak seperti yang diharapkan.

    Nik Azman berkata, LKAN 2019 Siri 2 Mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan mengandungi hasil pengauditan terhadap tujuh syarikat kerajaan Persekutuan.

    Beliau berkata, secara keseluruhannya, lima syarikat telah mencapai objektif penubuhan syarikat manakala dua syarikat masih belum mencapai objektif penubuhan sepenuhnya.

    “Bagi amalan tadbir urus korporat yang baik, satu syarikat di tahap yang baik, lima syarikat di tahap memuaskan dan satu syarikat kurang memuaskan.

    “Bagi penilaian terhadap kedudukan kewangan, lima syarikat berada pada tahap stabil manakala dua syarikat menunjukkan kedudukan kewangan yang kurang stabil,” katanya.

    Beliau berkata sebanyak 41 syor telah dikemukakan kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

    LKAN Mengenai Aktiviti Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan bagi 2019 Siri 2 dan LKAN 2019 Siri 2 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan akan dimuat naik di Laman Web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.

    Orang awam boleh melayarinya di http://www.audit.gov.my.

    LKAN peringkat negeri pula hanya akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

    Isu-isu LKAN 2019 Siri 2 juga akan dimuat naik di Portal Auditor General’s Dashboard (AGD) selepas dibentangkan pagi ini.

    Sementara itu, Nik Azman berkata, LKAN 2019 Siri 2 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac lepas, namun tidak dapat dibentangkan setelah sidang Dewan Rakyat tidak dapat diadakan seperti jadual asal berikutan Pengisytiharan Darurat pada 12 Jan lepas.

    “Walaupun terdapat kelewatan dalam pembentangannya di Dewan Rakyat, namun nilai penemuan audit yang dilaporkan dalam LKAN berkenaan masih relevan dalam menambah baik pengurusan aktiviti, projek dan program oleh kementerian, jabatan, agensi dan syarikat Kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya.

    JAN juga telah menambah baik persembahan LKAN pada kali ini dengan menyediakan Ringkasan Penemuan Audit secara infografik bagi merumuskan hasil pengauditan secara keseluruhannya. – BERNAMA