Category: Umum

  • Reezal Merican tersinggung kecaman perkauman terhadap Kisona

    Reezal Merican tersinggung kecaman perkauman terhadap Kisona

    MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tersinggung dengan komen seorang netizen yang berbaur perkauman terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara, S Kisona.

    Menurut beliau, Keluarga Malaysia tidak berkompromi terhadap kenyataan yang tidak sensitif dan berunsur diskriminasi terhadap Kisona itu, lebih-lebih lagi dalam bidang sukan yang menyatukan seluruh rakyat.

    “Marah, memang saya marah. Kecewa, memang saya kecewa,” luahnya dalam hantaran Facebook milik beliau, malam ini.

    Kenyataan berbaur perkauman itu tular ketika pemain berkenaan sedang beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland malam tadi.

    Dalam kejohanan itu, Malaysia tumpas 1-3 kepada Jepun sekali gus gagal layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung hari ini.

    Reezal Merican berkata, perjuangan atlet-atlet negara di pentas dunia bukan kecil dan mereka semua membawa nama Malaysia.

    Beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa menang atau kalah adalah perkara lumrah dalam pertandingan.

    “Sokongan kita jangan sesekali bermusim. Hanya memuji apabila merangkul pingat. Terus mengeji apabila kecundang,” katanya.

    Reezal Merical menambah, beliau berpeluang memperkenalkan dasar ‘Sukan Selamat’ sebagai sebahagian daripada Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030 semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan sebelum ini.

    “Harap ia akan dilaksanakan dan diterapkan dalam sukan arus perdana di Malaysia di semua peringkat,” jelasnya.

  • Pelancongan Sabah rancak selepas rentas negeri dibenarkan

    Pelancongan Sabah rancak selepas rentas negeri dibenarkan

    SEKTOR pelancongan di Sabah akan rancak semula sebaik sahaja kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri.

    Keyakinan itu disuarakan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.

    “Sekarang ini, kadar vaksinasi di peringkat nasional telah mencapai 87.2 peratus dan dijangka mencecah 90 peratus dalam tempoh kurang seminggu lagi.

    “Apabila angka ini dicapai, rentas negeri akan dibenarkan dan saya berharap mampu merancakkan semula sektor pelancongan di Sabah,” katanya.

    Beliau mengulas tentang pemerhatiannya semasa lawatan singkat di Sabah yang berakhir hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu turut meluangkan masa meninjau sendiri para peniaga di kawasan Sembulan, Kota Kinabalu.

    Muhyiddin menambah, rata-rata perniagaan mula dibuka, selari dengan peralihan Sabah ke Fasa 2 pada Julai lalu.

    Beliau memberitahu, Sabah yang telah mencapai kadar vaksinasi lebih 70 peratus dijangka beralih ke Fasa 3 tidak lama lagi.

    “Di sebalik pembukaan sektor ekonomi ini, saya sedar banyak industri di Sabah masih terkesan selagi sektor pelancongan belum boleh dijalankan sepenuhnya,” jelasnya.

    Sementara itu, Muhyiddin turut menerima maklum balas daripada para peniaga mengenai masalah biaya dan modal untuk membuka semula perniagaan mereka selain isu tenaga kerja.

    “Insya-Allah, perkara yang mereka bangkitkan ini akan saya bawa ke mesyuarat Majlis Pemulihan Negara akan datang untuk dibincangkan dan dicari penyelesaiannya,” katanya.

  • COVID-19: Muhyiddin ingatkan rakyat terus waspada

    COVID-19: Muhyiddin ingatkan rakyat terus waspada

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat bahawa mereka masih perlu sentiasa mengambil langkah berwaspada memandangkan virus COVID-19 telah pun berada dalam komuniti.

    Menurut beliau, transisi dari tahap pandemik ke endemik bukan sahaja harus dilakukan dengan yakin dan berani tetapi juga perlu teratur dan penuh sistematik.

    “Kita perlu mengambil iktibar dari negara-negara yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi tetapi bilangan kes positif masih terus meningkat.

    “Setiap daripada kita harus mengambil langkah yang proaktif dalam melakukan penilaian risiko kendiri dan saya yakin kerajaan juga akan mengambil langkah-langkah yang perlu dalam memantau dan mengawal risiko penularan virus ini di sektor-sektor yang dilonggarkan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu menambah, semakin ramai yang menerima vaksinasi lengkap, semakin ramai yang terlindung dari dijangkiti dengan teruk oleh virus COVID-19.

    Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, beban kepada sistem kesihatan awam juga akan berkurangan sekali gus mendorong lebih banyak kawalan sektor ekonomi dan sosial dilonggarkan dan lebih cepat semua pihak kembali menjalani kehidupan norma baharu.

    Beliau menambah, sudah semestinya, semua itu dapat membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan negara.

    “Marilah kita terus berusaha untuk kembali ke ke kehidupan norma baharu dengan yakin dan berani.

    “Semoga segala usaha kita diberkati dan dipermudah untuk kebaikan bersama #KeluargaMalaysia,” jelasnya.

    Muhyiddin berkata, berkat usaha dan perancangan yang cekap oleh kerajaan sejak Mei lalu termasuk arahan meningkatkan kadar vaksinasi secara agresif selain mempertingkatkan kapasiti sistem kesihatan awam, bilangan kes positif telah menunjukkan penurunan yang memberangsangkan.

    Menurut beliau, semakin banyak sektor ekonomi dan sosial yang sudah dibuka, terutamanya kepada mereka yang telah menerima suntikan lengkap vaksinasi COVID-19.

    “Kita sudah pun melangkah ke bulan Oktober, dan sudah tiada negeri berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara, dengan majoriti negeri berada di Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN.) Labuan dan Negeri Sembilan sudah pun di Fasa 4.

    “Sehingga 2 Oktober 2021, sebanyak 87.2 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima suntikan dos lengkap, lebih awal daripada jangkaan kita sebelum ini. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ini.

    “Kita juga semakin menghampiri 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi. Sepertimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan akan memberi kelonggaran rentas daerah dan negeri selepas kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus,” katanya.

  • 87.2 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    87.2 peratus populasi dewasa sudah divaksin

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan, sebanyak 20,418,495 individu atau 87.2 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah selesai menjalani suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Berdasarkan data KKM menerusi portal COVIDNOW, kira-kira 2.8 peratus lagi untuk mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa.

    “Sebanyak 94.3 peratus atau 22,070,545 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala tiga peratus atau 92,949 remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah selesai divaksinasi.

    “Sejumlah 211,517 dos telah diberikan semalam dengan 89,695 melibatkan dos pertama manakala 121,822 dos kedua, menjadikan jumlah pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 44,145,505 dos, ” menurut data itu, hari ini.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, 109 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dengan 33 daripada jumlah itu membabitkan kematian dilaporkan berlaku di luar hospital (BID) menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,565.

  • Sesi persekolahan bersemuka berjalan lancar – Radzi

    Sesi persekolahan bersemuka berjalan lancar – Radzi

    SESI persekolahan secara bersemuka melibatkan 47,000 pelajar dan murid di Terengganu, Kelantan serta di Pulau Langkawi, Kedah yang bermula hari ini berjalan lancar.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, secara keseluruhannya pihak sekolah berjaya mematuhi tatacara dan garis panduan yang ditetapkan bagi menghindari penularan pandemik COVID-19 dengan baik, termasuk aspek pengudaraan bilik darjah yang telah ditekankan kementerian sebelum ini.

    “Hampir semua kelas pengudaraannya berada pada tahap optimum dan murid-murid serta guru memakai pelitup muka di dalam kelas.

    “Semua berjalan baik termasuklah penggiliran murid di dalam kelas seperti yang kita umumkan sebelum ini bahawa setiap kelas hanya separuh murid bersemuka dan separuh lagi belajar di rumah.

    “Ini membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan dengan baik dan kesesakan sewaktu kemasukan dalam sekolah dan penyuraian sekolah juga diharapkan dapat dilakukan dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun di Dungun, hari ini.

    Terdahulu, Radzi turut meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Agama Marang di Marang dan SMK Tengku Intan Zaharah di Dungun.

    Sementara itu, Radzi berkata, lebih 80 peratus pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat ini.

    Beliau berkata secara umum pelaksanaan vaksinasi bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima setakat ini berjalan dengan baik dan peningkatan jumlah penerima vaksin dalam kalangan golongan tersebut berlangsung dengan agak cepat dan tersusun.

    “Hampir kesemua murid Tingkatan Enam dan Tingkatan Lima telah divaksinkan. Sekarang ini sedang dilaksanakan secara berperingkat, ada yang dilaksanakan mengikut sekolah seperti SMK Sultan Sulaiman (Kuala Terengganu) hari ini yang merupakan PPV (Pusat Pemberian Vaksin) untuk dua buah sekolah,” katanya.

    Dalam perkembangan sama Radzi berkata, tindakan tidak membenarkan lebih kurang 2,000 guru yang enggan menerima vaksin untuk mengajar secara bersemuka, tidak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran sama ada di sekolah mahupun di rumah.

    “Kita sudah teliti mereka di sekolah mana dan mata pelajaran apa yang mereka ajar, sebab itu bila saya sebut bahawa ada kemungkinan besar kena ditukar, ini tak bermaksud apabila ditukar ke sekolah lain dan (mereka boleh) ajar bersemuka. Tidak.

    “Ada hampir semua guru yang mengajar subjek yang sama enggan divaksinkan. Sebab itu kita buat ketetapan guru-guru ini perlu dibawa keluar sebab itu ada pertukaran sama ada dalam atau luar negeri untuk memastikan perjawatan yang ada itu tidak terjejas. Buat masa ini guru-guru ini diberi tugasan yang lain,” katanya. – BERNAMA

  • Piala Sudirman: Ahmad Faizal kecam kenyataan berbaur perkauman

    Piala Sudirman: Ahmad Faizal kecam kenyataan berbaur perkauman

    MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengecam kenyataan berbaur perkauman dilemparkan seorang pengguna media sosial terhadap seorang pemain perseorangan negara yang beraksi dalam kempen Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

    Beliau berkata, tindakan berkenaan tidak boleh diterima lebih-lebih lagi pemain itu berjuang sehabis baik bagi mengharumkan nama negara.

    “Keluarga Malaysia ini umpama setandan pisang, ada yang elok, ada yang buruk dan ada juga yang tak tahu guna bahasa yang baik dalam berkata-kata tentang sesuatu perkara.

    “Kita ini terdiri daripada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya. Jangan hina bangsa, kulit dan agama lebih-lebih lagi mereka yang berjuang untuk mengharumkan nama Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menziarahi satu keluarga yang memerlukan rumah di Kampung Manjoi, Ipoh hari ini.

    Terdahulu, kenyataan berbaur perkauman itu tular ketika pemain berkenaan sedang beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan itu malam tadi.

    Dalam kejohanan itu, Malaysia tumpas 1-3 kepada Jepun sekali gus gagal layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung hari ini.

    Mengulas prestasi atlet badminton negara dalam kejohanan Piala Sudirman 2021, Ahmad Faizal berkata, beliau kagum dengan semangat yang dipamerkan para pemain hingga layak ke peringkat separuh akhir.

    “Mereka janji dengan kita untuk ke peringkat suku akhir tetapi berjaya ke separuh akhir hingga semua (rakyat) tidak tidur malam melihat mereka bermain. Apakan daya kita tersingkir (separuh akhir) namun bagi saya mereka telah mempamerkan semangat yang begitu menakjubkan,” katanya.

    Ahmad Faizal berkata beliau berharap pemain badminton negara akan layak ke peringkat akhir Piala Thomas yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 17 Okt ini di Aarhus, Denmark bersandarkan persembahan di Piala Sudirman.

    “Namun apa yang kita harapkan daripada pemain ialah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan segala keputusannya (Piala Thomas) kita akan terima,” katanya. – BERNAMA

  • 2 lokaliti PKPD, masing-masing di Perak & Sabah

    2 lokaliti PKPD, masing-masing di Perak & Sabah

    PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di satu lokaliti di Perak dan satu lagi di Sabah mulai esok dan lusa.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD di Perak melibatkan Kampung Orang Asli Chadak, Tanjung Rambutan bermula esok hingga 16 Oktober.

    Menurut beliau, PDPD di Sabah pula dilaksanakan di Kampung Mokodou, Ranau mulai lusa hingga 17 Oktober.

    Rodzi berkata demikian dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Sementara itu, PKPD di Kampung Orang Asli Ulu Pareh, Bentong, Pahang yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 17 Oktober setelah meneliti analisis Kementerian Kesihatan mengenai risiko dan trend penularan jangkitan COVID-19 semasa di lokaliti tersebut.

    PKPD di Pasdec Bandar Damansara, Kuantan, Pahang pula ditamatkan hari ini manakala PKPD di Kampung Tamu Darat, Kota Belud, Sabah yang bermula sejak 20 September lalu ditamatkan esok.

    PKPD di empat lokaliti di Pahang turut ditamatkan esok iaitu Kampung Sungai Kabuk, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong, kesemuanya di Lembah Bertam, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands serta Kampung Orang Asli Sungai Koi, Hulu Cheka, Jerantut.

  • Sesi persekolahan bermula esok, Radzi minta ibu bapa teliti ketetapan

    Sesi persekolahan bermula esok, Radzi minta ibu bapa teliti ketetapan

    KEMENTERIAN Pendidikan mengingatkan ibu bapa bahawa sesi persekolahan yang bermula esok adalah secara berperingkat iaitu tidak semua murid perlu hadir ke sekolah.

    Sehubungan itu Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin meminta mereka meneliti dan melihat negeri dan fasa manakah sekolah anak-anak mereka berada dan mematuhi ketetapan yang diumumkan sebelum ini.

    ‘’Sepertimana kita tahu di negeri-negeri Fasa 3 PPN, sebagai contoh di Terengganu, murid sekolah menengah yang akan hadir ke sekolah adalah murid kelas peperiksaan iaitu murid tingkatan 5 dan 6 yang hadir secara bergilir kecuali murid yang tinggal di asrama sepenuhnya dan juga murid tingkatan 6 semester 2,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian selepas membuat tinjaun persiapan persekolah di Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu hari ini.

    Radzi berkata, murid berkeperluan khas juga akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran manakala bagi sekolah rendah bermula esok untuk negeri Fasa 3, murid yang hadir adalah prasekolah dan berkeperluan khas PPKI.

    Mengenai persediaan yang dibuat oleh pihak sekolah beliau berkata, secara umum ia adalah baik namun namun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khusus terutamanya dalam konteks pengudaraan.

    ‘’InsyaAllah, apabila sekolah dibuka semula esok di Terengganu, Kelantan dan Langkawi, Kedah serta lusa bagi negeri-negeri dalam kumpulan B mula memasuki sekolah, maka kita harapkan ia berjalan dengan teratur, tersusun dan lancar,’’ katanya.

  • 10,915 kes baharu, turun sedikit berbanding semalam

    10,915 kes baharu, turun sedikit berbanding semalam

    KES baharu COVID-19 di negara ini mencatatkan penurunan sedikit hari ini kepada 10,915 kes berbanding 11,889 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan kumulatif sebanyak 2,268,499 kes.

    Berdasarkan hantaran yang dikongsi dalam laman Facebook beliau, Sarawak kekal merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 2,121 kes, diikuti Selangor (1,386), Kelantan (1,288) dan Johor (1,124).

    Perak pula merekodkan 862 kes baharu diikuti Terengganu (818), Sabah (784), Pulau Pinang (768), Kedah (574), Pahang (504), Melaka (216), Negeri Sembilan (211), Kuala Lumpur (171), Perlis (58), Putrajaya (26) dan Labuan (4).

    Sementara itu, penggunaan katil COVID-19 setakat 5 petang semalam ialah 59 peratus bagi katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 53 peratus katil bukan ICU.

    Dalam kenyataan berasingan, Dr Noor Hisham memberitahu, daripada 10,915 kes baharu, sebanyak 1.3 peratus atau 139 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala baki 98.7 peratus atau 10,776 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

    Menurut beliau, sebanyak 15,396 kes sembuh direkodkan hari ini manakala 888 orang memerlukan rawatan di ICU merangkumi 832 kes disahkan, 56 disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 492 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 380 yang disahkan positif COVID-19 manakala 112 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    Beliau juga berkata 10 kluster baharu dikenal pasti melibatkan empat di tempat kerja, empat komuniti dan dua kumpulan berisiko.

    Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 177,220 warga emas atau 7.9 peratus telah dijangkiti COVID-19 setakat 30 September lalu dan dalam tempoh sama, sebanyak 106 kluster membabitkan warga emas dilaporkan dengan 3,598 kes positif dan 220 kematian.

    Selain itu, menurut beliau, sehingga minggu epidemiologi ke-38 tahun ini, sebanyak 14,248 atau 56.6 peratus kes kematian akibat COVID-19 melibatkan warga emas dilaporkan.

    “Walau bagaimanapun, trend ini mula menunjukkan penurunan selaras dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) 2021.

    “Sehingga 29 Sept, seramai 3,148,438 (87.4 peratus) warga emas telah lengkap divaksin dan seramai 3,365,443 (93.4 peratus) warga emas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” jelasnya.

    Dr Noor Hisham memberitahu, setakat 26 September lalu, seramai 19,641 (66.8 peratus) penghuni dan penjaga pusat jagaan warga emas telah menerima dos lengkap dan pemberian vaksin akan diteruskan bagi memastikan golongan berisiko tinggi itu terlindung daripada jangkitan COVID-19.

    Beliau menjelaskan, fasa dua PICK untuk warga emas dan rentan, yang bermula pada April lalu, mula menunjukkan keberkesanan apabila statistik Hospital Sungai Buloh menyaksikan penurunan ketara kemasukan pesakit warga emas ke hospital bagi kategori empat serta lima berbanding golongan dewasa berumur lingkungan 20 hingga 59 tahun.

  • Berdepan kemiskinan, pelajar UPSI dapat perhatian PM

    Berdepan kemiskinan, pelajar UPSI dapat perhatian PM

    KISAH kemiskinan seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang tidak dapat membuat persediaan ke universiti itu disebabkan masalah kewangan mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Pegawai Khas Perdana Menteri Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, pelajar berkenaan iaitu Wan Nur Atierah Wan Mohd Nasrom, 19, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut itu akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia) selama empat tahun.

    Katanya, menerusi tindakan yang telah diambil oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, pelajar berkenaan akan diberikan pengecualian bayaran yuran pendaftaran universiti dan yuran pengajian semester pertama.

    “Keprihatinan Perdana Menteri dapat dilihat apabila beliau telah menggunakan jentera-jentera kepimpinan masyarakat setempat untuk menjadi mata dan telinga kepada beliau.

    Jadi, kes ini telah dimaklumkan kepada pihak kami di Jabatan Perdana Menteri khususnya daripada kepimpinan UMNO Bahagian Tumpat mengenai halangan yang dihadapi oleh Wan Nur Atierah yang tidak dapat membuat persediaan ke UPSI disebabkan kekangan dari segi kewangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Wan Nur Atierah di Kampung Bendang, Pulau Palekbang di Tumpat hari ini untuk menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Ismail Sabri kepada Wan Nur Atierah yang turut dihadiri oleh Pengetua SMK Kampung Laut, Mohd Nazeli Mohd Nawi.

    Pada masa sama, dalam kunjungan berkenaan juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad turut melakukan panggilan video selama 10 minit kepada Wan Nur Atierah untuk menyampaikan amanat serta nasihat daripada Perdana Menteri kepada beliau.

    Sebelum ini, kisah Wan Nur Atierah juga tular di laman media sosial yang turut mendapat perhatian daripada warga siber yang turut bersimpati dengan nasib beliau.

    Sementara itu, Wan Nur Atierah berkata tiada kata-kata yang mampu diluahkan dan digambarkan apabila mendapat tahu kisah beliau meraih perhatian Perdana Menteri untuk membantu melanjutkan pengajian ke UPSI pada 11 Oktober nanti.

    Katanya, pada mulanya beliau berhasrat untuk menangguhkan terlebih dahulu pengajiannya susulan menghadapi kekangan kewangan dan merancang untuk bekerja terlebih dahulu bagi mencari wang saku.

    “Saya berhasrat untuk bekerja dahulu bagi memperoleh wang agar hasrat menyambung pengajian ke peringkat tinggi dapat tercapai. Namun selepas itu, saya dimaklumkan pihak pemimpin setempat bahawa pihak tersebut menerusi Perdana Menteri akan membantu menguruskan kemasukan ke UPSI.

    Saya sangat bersyukur dan ingin menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas bantuan yang diberikan ini. Insya-Allah saya akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mengubah nasib keluarga memandangkan ibu Hamsiah Muhammad , 46, juga merupakan seorang ibu tunggal,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu. – BERNAMA