Category: Umum

  • Johan qari tilawah antarabangsa 2016, Wan Ainuddin Hilmi meninggal dunia

    Johan qari tilawah antarabangsa 2016, Wan Ainuddin Hilmi meninggal dunia

    JOHAN qari tilawah dan menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa ke-58 pada 2016, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah meninggal dunia pada 1.26 tengah hari tadi.

    Adik Allahyarham Datuk Muhammad Abdullah berkata, arwah yang berusia 39 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Machang dan berkemungkinan disebabkan serangan jantung.

    “Ia kematian mengejut, sebelum ini arwah abang tidak sakit, mungkin disebabkan jantung. Arwah meninggalkan seorang isteri dan lima anak.

    “Jenazah akan disolatkan selepas Isyak di Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol di Kota Bharu selepas itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

    “Takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Wan Ainuddin Hilmi Abdullah yang kembali ke rahmatullah tengah hari tadi.

    “Pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar dalam menyampaikan ilmu al-Quran. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan ditempatkan Allahyarham bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya.

    Pada 2018, kerajaan negeri Kelantan telah memberi sumbangan sebuah rumah kepada Allahyarham atas kejayaan, jasa dan sumbangannya dalam usaha memartabat al-Quran. – BERNAMA

  • [Video] Muhyiddin berselawat sempena Maulidur Rasul tarik perhatian

    [Video] Muhyiddin berselawat sempena Maulidur Rasul tarik perhatian

    SEMPENA sambutan Maulidur Rasul tahun ini, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghasilkan video khas bagi menyampaikan pesanan kepada umat Islam.

    Video yang turut memaparkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berselawat mendapat perhatian netizen.

    Setakat ini, ia mencatatkan hampir 30,000 tontonan, mendapat hampir 5,300 tanda suka.

    Dalam pesanan ringkasnya, Muhyiddin meminta umat Islam memperbanyakkan selawat ke atas baginda Rasulullah SAW .

    ‘’Tanamkan dalam diri setiap daripada kita rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW. Teladanilah amalan-amalan baginda dan insafilah perjuangan dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan syiar Islam. Sesungguhnya Islam itu addin yang syumul lagi indah,’’ katanya.

    Beliau juga meminta umat Islam menjadikan selawat kepada baginda Nabi Muhammad SAW sebagai sebahagian daripada amalan harian.

    ‘’Mudah-mudahan kita terlindung daripada segala keburukan dunia termasuk daripada wabak Covid-19 ini dan diberikan syafaat oleh Rasulullah SAW di akhirat kelak.

    ‘’Dan semoga kita terus diberikan kekuatan untuk berjuang memerangi Covid-19.Mudah-mudahan segala amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT.Amin Ya Rabbal Alamin,’’ katanya.

  • Pendakwah mesti elak kontroversi melampau – Jakim

    Pendakwah mesti elak kontroversi melampau – Jakim

    KEWUJUDAN pelbagai medium semasa khususnya media sosial, memberi impak positif dalam merancakkan program keilmuan dan dakwah, namun semua pihak termasuk asatizah (guru atau penceramah agama) perlu menjaga adab dan disiplin ilmu sebaik mungkin.

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti melampau, hendaklah dielakkan dan ilmu yang hendak disampaikan perlulah melihat kepada realiti semasa dan keupayaan intelek masyarakat awam, agar ia tidak menimbulkan polemik berpanjangan.

    “Perkara ini bagi mengelakkan fitnah yang boleh mencemar kesucian agama dan umat Islam itu sendiri.

    “Para asatizah yang menyampaikan ilmu dan dakwah disaran mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah daripada pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Meskipun tugas tersebut merupakan suatu amalan yang mulia, namun semua pihak diingatkan untuk mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abdul Aziz berkata, Jakim juga ingin menasihati masyarakat khususnya umat Islam, agar mendapatkan ilmu daripada para ilmuan yang diiktiraf dan mempunyai kelayakan dalam bidang ilmu yang disampaikan.

    “Sekiranya ragu-ragu atau kurang jelas mengenai sesuatu perkara, silalah merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Mufti.

    “Jakim memohon kerjasama dan sokongan daripada semua pihak untuk sama-sama menjaga keharmonian Keluarga Malaysia yang sekian lama terpelihara. Bibit-bibit persengketaan, api kebencian dan perpecahan hendaklah dielakkan, kerana ia merupakan perkara yang jelas dilarang oleh agama Islam,” katanya.

    Menurut Abdul Aziz, lanjutan itu, Jakim akan mengadakan ‘Multaqa Daie Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad’ pada 28 Okt ini di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

    “Program yang menghimpunkan para asatizah dalam negara ini bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan mengeratkan hubungan antara ulama dan umara ke arah Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera,” katanya. – BERNAMA

  • Othman terima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul WP

    Othman terima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul WP

    AHLI Lembaga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Tan Sri Othman Mustapha dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini.

    Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan dilakukan Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1443H itu adalah berdasarkan sumbangan cemerlang terhadap pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.

    Othman ketika berucap menerusi rakaman video berkata beliau menganggap anugerah yang diterima itu sebagai amanah dan tanggungjawab beliau kepada agama dan negara, demi memastikan syiar Islam terus disemarakkan.

    Beliau yang merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata akan terus menyumbang kepakaran ilmu bagi membangunkan masyarakat Islam, khusus di Wilayah Persekutuan supaya mampu berdaya saing, progresif, dinamik dan bersatu berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    “Harapan saya semoga Islam terus dipandang mulia dan masyarakat kita hidup dalam suasana harmoni, aman damai, serta selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2021 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Anugerah Khas Individu pula diberikan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Berhad, Datuk Mohd Khay Ibrahim, manakala Anugerah Khas Organisasi bagi Kategori Masjid (Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan); Kategori Surau (Surau Jumaat Al-Hikmah Projek Perumahan Rakyat Beringin); dan Kategori Sekolah Rendah Agama atau Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) (SIRAJ Saidina Uthman bin Affan).

    Bagi kategori Institut Pendidikan Islam Swasta pula diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Cahaya Ummi, selain kategori Badan Bukan Kerajaan diberi kepada Persekutuan Seruan Islam Selangor Dan Wilayah Persekutuan (Jam’iyah).

    Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad ketika berucap merasmikan majlis tersebut berkata, beliau mengajak agensi hal ehwal Islam terus bangkit bersama masyarakat, untuk membantu dan bina semula negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

    “Dalam konteks Wilayah Persekutuan, adalah menjadi harapan saya, agar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersama JAWI, terus melipatgandakan usaha memperkasa umat Islam dalam aspek pendidikan, sosioekonomi, kebajikan termasuklah aspek penyatuan dan perpaduan ummah,” katanya. – BERNAMA

  • Teladani inisiatif, strategi Rasulullah SAW tadbir negara

    Teladani inisiatif, strategi Rasulullah SAW tadbir negara

    KERAJAAN meneladani inisiatif dan strategi yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sebagai panduan dalam pentadbiran negara, demi kemakmuran Keluarga Malaysia.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah selaras dengan kepercayaan bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan suri teladan yang terbaik umat manusia,

    “Untuk tujuan itu, pelbagai polisi, inisiatif dan insentif akan diperkenal dan dirancang oleh kerajaan, demi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan dalam merasai nikmat dan kemakmuran negara, ‘No one will be left behind’,” katanya ketika menyampaikan perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443 Hijrah secara maya, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau menambah, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti, membawa kita kepada norma hidup yang menekankan prinsip Dasar Manhaj Rabbani iaitu Rahmat, Aman, Bertuhan, Bakti, Adil, dan Insani.

    Ismail Sabri memberitahu, kesemua nilai itu, selari dengan Konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tentang tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran di samping 20 nilai lain seperti amalan ihsan, beriman, kasih sayang dan bermusyawarah.

    “Tema ini juga selari dengan Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan, Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang mana perpaduan dan integrasi nasional telah lama diamalkan di negara ini termasuk dalam sambutan Maulidur Rasul.

    “Ia dilakukan melalui penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul kepada insan yang banyak berbakti kepada masyarakat merentasi agama dan bangsa.

    “Pengiktirafan ini secara langsung menyumbang ke arah melahirkan generasi Malaysia yang memiliki semangat perpaduan dan kebersamaan serta saling hormat-menghormati selari dengan konsep Keluarga Malaysia,” jelasnya.

    Perdana Menteri berkata, dalam mengharungi krisis berkembar ekonomi dan kesihatan yang mencabar ketika ini, sebagai Keluarga Malaysia, kita perlu berganding bahu untuk memulihkan negara selain menyesuaikan diri dalam norma baharu.

    Menurut beliau, apa jua perbezaan, seharusnya dijadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan, manakala sebarang persamaan, dijadikan sebagai sumber kekuatan.

    “Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.

    “Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat, pemimpin masyarakat, pemimpin agama atau pemimpin politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” jelasnya.

    Ismail Sabri berkata, kemuliaan umat Islam, bahkan jatuh bangun sesebuah bangsa serta negara adalah terletak kepada kesatuan dan kesepaduannya.

    Menurut beliau, Rasulullah SAW, misalnya telah mengadakan perjanjian damai dengan pelbagai suku kaum yang tinggal berhampiran Madinah di wilayah utara dan selatan untuk meningkatkan kesefahaman dan memperbaharui hubungan berlandaskan prinsip kebenaran serta menghindar kekacauan selain pertembungan kuasa.

    “Jangan kerana kita berbeza pendapat, berlainan wadah atau cara pendekatan, menyebabkan hilang nilai ukhuwah dan semangat perpaduan yang sekian lama terjalin,” katanya.

  • Salam Maulidur Rasul 1443H daripada pemimpin

    Salam Maulidur Rasul 1443H daripada pemimpin

    Meneladani Sunnah Rasulullah SAW adalah salah satu cara kita membuktikan cinta kita kepada Baginda.

    Sewaktu berhijrah ke Madinah, Rasulullah bukan sahaja berjaya menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar melalui Piagam Madinah, malah bersama kaum Yahudi.

    Penyatuan yang diasaskan Baginda merentasi kabilah, agama serta fahaman.

    Konsep penyatuan yang dibawa Rasulullah mengajar kita untuk bermuafakat tanpa mengira latar belakang demi mewujudkan satu Keluarga Malaysia yang harmoni.

    Salam Maulidur Rasul 1443H/2021M kepada semua umat Islam dan semoga kita sentiasa beramal mengikut Sunnah Baginda. – DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB, Perdana Menteri

    “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” – Semoga cinta dan kasih sayang kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW akan terus berkembang mekar dan subur dalam diri kita.

    Tunjukkan rasa cinta dan sayang kita dengan perbanyakkan selawat dan salam ke atas Baginda SAW, satu daripada amalan yang sangat digalakkan dan dituntut Islam.

    Marilah kita membulat tekad untuk berubah ke arah kebaikan dengan mencontohi dan mengamalkan akhlak terpuji baginda seperti berkata benar (Siddiq), amanah, sentiasa menyampaikan perintah dan larangan Allah (Tabligh) dan sentiasa cerdas (Fatonah) dalam berdakwah.

    Sifat-sifat terpuji ini menjadi kunci kepada kejayaan baginda dalam menyebar dan mengembang Islam sehingga menjadi agama yang agung dan dihormati.

    Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, dengan keberkatan dan kemuliaan baginda Nabi Muhammad SAW, kami menadah tangan memohon agar wabak COVID-19 dilenyapkan daripada membelenggu Malaysia dan juga seluruh dunia.

    Amin Ya Rabbal Alamin – TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN,Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

    Sesungguhnya, tiada nikmat dan rahmat terbesar dari Allah SWT selain kejadian serta utusan Nabi Muhammad SAW. Allah SWT telah berfirman menerusi Surah al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud: “Tidak kami (Allah) utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada sekalian alam”.

    Baginda yang diutus buat seluruh makhluk Allah SWT, bukan saja negarawan terunggul, pahlawan hebat dan ahli politik disegani, bahkan suami dan bapa yang penyayang. Marilah kita terus berusaha mencontohi keperibadian dan mengikut ajaran Baginda demi kesejahteraan di dunia dan akhirat.

    “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (sewaktu susah dan senang).” – Surah al-Ahzab, ayat 21. Salam Maulidur Rasul! – DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN, Menteri Kanan Pertahanan.

    Salam Maulidur Rasul 1443H

    Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan mendapat keredaan Allah SWT dan syafaat baginda Rasulullah SAW di akhirat kelak.

    “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” – DATUK SERI HAMZAH ZAINUDDIN, Menteri Dalam Negeri.

  • JAS siasat kebakaran di kebun sawit terbiar

    JAS siasat kebakaran di kebun sawit terbiar

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Cawangan Sepang akan menyiasat sebuah kawasan kebun sawit terbiar yang terbakar di Jalan Sijangkang Utama, Jalan Kebun Baru, Kuala Langat, semalam.

    JAS menurusi kenyataan dalam Facebook rasmi memberitahu, pihaknya mendapat aduan awam berkenaan aktiviti pembakaran terbuka tersebut.

    Pihaknya menjalankan siasatan di kawasan tersebut setelah mendapat aduan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika menjalankan rondaan di beberapa lokasi sekitar daerah tersebut.

    “Siasatan mendapati lokasi aduan adalah kawasan kebun sawit terbiar yang sedang dibersihkan untuk tanaman semula sawit dan pemilik tanah akan disiasat oleh JAS Cawangan Sepang.

    “JAS Selangor berharap orang ramai dapat melaporkan kes-kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di [email protected].

    “Orang ramai juga boleh melaporkan kes-kes yang melibatkan pembakaran terbuka kepada JBPM di talian 999 atau talian bebas tol 1-800-88-994 dan sistem pesanan ringkas (SMS) pada talian 03-88880964,” demikian menurut kenyataan itu, hari ini.

  • ‘’Panggil la saya dajjal atau apa saja…saya harus tegas’’ –  Khairy

    ‘’Panggil la saya dajjal atau apa saja…saya harus tegas’’ – Khairy

    MENTERI  Kesihatan, Khairy Jamaluddin membidas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan menggunakan pendekatan mengugut golongan antivaksin dengan undang-undang.

    Katanya, beliau perlu bertegas mengenai isu antivaksin sehingga sanggup digelar “dajjal”.

    “Panggillah saya dajjal atau apa saja. Maaf saya harus bertegas dengan isu ini,” katanya di Twitter dengan yang menyiarkan keratan video Anwar, lapor FMT

    Dalam pada itu, Khairy berkata, kerajaan akan terus memberi penerangan mengenai keberkesanan vaksin Covid-19.

    Beliau menafikan kerajaan tidak cukup memberi penerangan mengenai vaksin.

    “Nak kata kerajaan tidak cukup bagi penerangan tentang vaksin tidak betul. Kita dah kemukakan segala bukti saintifik tentang keberkesanan vaksin Covid-19 dari awal lagi dan kita terus memberi penerangan,” katanya.

    Dalam keratan video yang turut dikongsi Khairy, Anwar berkata, walaupun tidak menyokong antivaksin tetapi percaya mereka yang tidak mahu menerima vaksin juga mempunyai hujah yang kuat.

    “Jadi kita jawab dengan hujah. Kadang-kadang mereka pun ada hujah yang kuat juga. Mereka bagi hujah saintifik. Kita bawa hujah saintifik yang lebih ‘credible’ dan lebih kuat untuk mematahkan hujahnya,” katanya.

    Pada Jumaat lalu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin di negara ini dan berharap tindakan pantas dapat dilakukan seperti menyiasat dan mendakwa mereka jika perlu.

  • KPM, KKM bincang pelajar Tingkatan Lima ke sekolah tanpa penggiliran

    KPM, KKM bincang pelajar Tingkatan Lima ke sekolah tanpa penggiliran

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kadar vaksinasi bagi membolehkan pelajar Tingkatan Lima ke sekolah tanpa penggiliran.

    Menterinya Datuk Dr Radzi Jidin berkata ia susulan peningkatan kadar vaksinasi pelajar Tingkatan Lima yang mencecah 97 peratus atau 371,696 pelajar menerima dos pertama, manakala 57.9 peratus (142,655 pelajar) telah lengkap divaksin.

    “Pelajar telah mula kembali ke sekolah dan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan dengan baik, namun ada kumpulan pelajar mungkin dipertimbangkan untuk tiada penggiliran.

    “Mungkin dimulakan dengan pelajar Tingkatan Lima seperti dilaksanakan untuk pelajar (mengambil peperiksaan) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun, Tampin pagi ini.

    Dalam pada itu, Radzi berkata seramai 339,951 murid layak hadir ke sekolah di negeri-negeri yang mencapai Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu di Negeri Sembilan, Labuan dan Langkawi bermula semalam dan hari ini.

    KPM sebelum ini membenarkan pembukaan sekolah rendah bagi murid tahap satu di negeri-negeri yang telah mencapai Fasa Empat PPN.

    Dalam pada itu, Radzi berkata setakat ini pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) penggiliran pelajar ke sekolah, berjalan lancar termasuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara sendiri atau sebelum hadir ke sekolah secara bersemuka.

    Beliau berkata menerusi PdPR guru akan memaklumkan kepada setiap kumpulan pelajar mengenai persediaan yang perlu dilaksanakan sebelum sesi PdP bersemuka bermula pada minggu berikutnya.

    “Apabila murid datang ke sekolah pada minggu berikutnya, guru akan membantu mereka memahami topik atau perkara mereka dapati sukar difahami melalui PdPR,” katanya. – BERNAMA

  • Enam kenderaan diarah patah balik tak lengkap vaksin

    Enam kenderaan diarah patah balik tak lengkap vaksin

    URUSAN perniagaan,  menghantar barang dan melawat ahli keluarga sakit antara alasan diberikan oleh pemandu dan penumpang kenderaan yang tidak lengkap dua dos vaksin COVID-19 untuk merentas negeri menggunakan laluan Gerik-Jeli pada Jumaat lepas.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata sebanyak enam kenderaan yang cuba merentas negeri melalui sekatan jalan raya di Kilometer 9 Lebuhraya Timur Barat (LRTB) di Sungai Lebey, Gerik ke arah Kelantan dan Kedah diarah berpatah balik dan tidak dibenarkan merentas negeri.

    “Kenderaan yang diarah berpatah balik termasuklah sebuah lori yang (pemandunya) memberikan alasan untuk menghantar barang namun pemeriksaan dilakukan anggota mendapati penumpang atau kelindan tidak lengkap dua dos vaksin,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata hasil pemantauan pihak polis mendapati keadaan lalu lintas sepanjang jalan berkenaan berjalan dengan lancar dan terkawal serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku sejak Jumaat lepas setakat ini.

    “Gambar kesesakan yang ditularkan berlaku pada kira-kira pukul 4 petang Jumaat lepas di laluan LRTB Gerik-Jeli menghala ke Kelantan dalam jarak 1.5 kilometer tidak berlaku terlalu lama.

    Kesesakan berlaku apabila orang ramai mengambil peluang bercuti panjang dan cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul mulai Jumaat hingga Selasa ini untuk ke Kelantan,” katanya.

    Katanya petugas di sekatan jalan raya di laluan berkenaan turut melakukan pemeriksaan secara teliti kepada para pemandu dan penumpang kenderaan yang hendak merentas negeri. – BERNAMA