Category: Umum

  • ‘’Perbuatan berniat amat jahat, saya akan ambil tindakan undang-undang’’ – Azam Baki

    ‘’Perbuatan berniat amat jahat, saya akan ambil tindakan undang-undang’’ – Azam Baki

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hari ini menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

    Azam berkata ia merupakan satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.

    “Ia digambarkan seolah-olah saya mengawal satu konglomerat yang besar di bawah saya demi untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai KP (Ketua Pesuruhjaya)  dan institusi SPRM,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini berhubung beberapa dakwaan dan isu yang tular kebelakangan ini.

    Azam berkata setelah mendapatkan nasihat peguam, beliau telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah mencemarkan reputasi beliau dan juga SPRM.

    Beliau dalam sidang media itu berkata terdapat usaha beberapa pihak berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM, yang mengambil kesempatan untuk menghakis kepercayaan masyarakat terhadap SPRM dengan menjadikan KP sebagai sasaran serangan bertubi-tubi.

    Malahan mereka juga telah mengunakan beberapa pihak tertentu untuk memberi tekanan ke atas SPRM, katanya.

    “Kami telah kenal pasti siapa dan apa agenda mereka,” katanya.

    Azam berkata apa yang mereka tulis adalah untuk menjatuhkan reputasinya dan beliau juga menyedari ia antara cabaran yang dihadapi oleh hampir semua KP SPRM.

    Dalam melaksanakan tugas, SPRM banyak membuat tangkapan sama ada orang kenamaan atau orang biasa, sudah tentu ia menimbulkan kemarahan beberapa pihak, katanya.

    “Saya sudah berkhidmat selama 37 tahun, saya mungkin mempunyai ramai musuh dan berkemungkinan ramai yang tidak suka dengan saya,” katanya. 

  • Tiada percanggahan kepentingan dalam urusniaga saham libatkan Azam Baki

    Tiada percanggahan kepentingan dalam urusniaga saham libatkan Azam Baki

    LEMBAGA Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), satu daripada lima badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendapati mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan  melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam urus niaga saham pada 2015.

    Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lepas (2021) telah mendapatkan penjelasan Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk membeli saham-saham pada tahun 2015.

    Abu Zahar berkata pembelian saham-saham berkenaan dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015, dan saham-saham itu juga telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.

    Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang mengadakan sidang media di Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Setelah berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa Tan Sri Azam tiada sebarang kepentingan pecuniary mahupun beneficial ke atas saham-saham berkenaan.

    “Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau conflict of interest dalam perkara tersebut,” jelasnya.

    Beliau menambah, di samping itu, LPPR turut bercadang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada masyarakat dalam masa yang tertentu, tetapi malangnya isu itu telah dibangkitkan terlebih dahulu oleh bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Edmund Terence Gomez.

    “Perkara ini (pendedahan Edmund) amat mengejutkan saya,” ujarnya.

  • Penangguhan ibadah umrah wajar dari sudut Fiqah – pakar

    Penangguhan ibadah umrah wajar dari sudut Fiqah – pakar

    KEPUTUSAN kerajaan menangguhkan perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari ini adalah wajar dari sudut fiqah, khususnya dalam mengekang penularan COVID-19 varian Omicron. 

    Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Shahir Akram Hassan berkata kerajaan boleh membuat keputusan seperti itu dengan mengambil kira kemudaratan bakal dihadapi semasa mengerjakan umrah dan risiko selepas kembali ke tanah air meskipun ada pihak mempertikaikannya kerana Arab Saudi tidak mengambil tindakan sedemikian.  

    “Dari sudut fiqah, kerajaan boleh menghalang (perjalanan umrah) walaupun ada yang mempertikaikan sekiranya Arab Saudi tidak bertindak sedemikian. Pada masa ini, kerajaan ambil kira (kemudaratan) dan buat keputusan ini.

    “Selain itu, dalam menunaikan ibadah umrah ini, jemaah seharusnya berpegang kepada konsep takdir dan rezeki…kalau ia belum sampai, ia tidak akan sampai. Pada masa sama, kita mahu rapat dengan Allah, sama ada bukan di Mekah atau Madinah, Insya Allah kita sudah dapat taqwa Allah SWT di Malaysia dengan kita reda dan mungkin ambil inisiatif untuk bantu mangsa banjir ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

    Berkongsi pendapat sama, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis menyokong usaha tersebut dengan melihat kepada fahaman mazhab Shafie yang menjadi ikutan di Malaysia berkenaan keperluan menunaikan ibadah umrah.

    “Memang mazhab Shafie mengatakan umrah itu wajib, tapi wajib sekali seumur hidup. Namun, ia boleh ditangguhkan dan tidak perlu serta-merta. Percayalah, Allah SWT mengetahui niat dan kesungguhan kita yang dah belanjakan duit tiket, hotel dan sebagainya walaupun mungkin kita tidak dapat ke sana,” katanya. 

    Menurut Nik Rahim, banyak dalil yang boleh diutarakan berkenaan larangan Allah SWT kepada hambaNya untuk memudaratkan diri sendiri seperti sepotong ayat Al-Quran yang melarang kita mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.

    Berasaskan maqasid syariah yang mewajibkan umat Islam memelihara nyawa, Nik Rahim berkata, penangguhan tersebut wajar dibuat kerana mengikut kes sebelum ini, wujud kemungkinan tinggi bakal jemaah dijangkiti sekiranya menjalani umrah ketika ini. 

    “Jadi kalau kita ke sana juga, maka kita telah melanggar perintah tersebut,” katanya.

    Sementara itu pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman menyifatkan usaha menangguhkan sementara perjalanan berkenaan sebagai tepat pada masanya memandangkan langkah pencegahan Omicron perlu dilaksana secepat mungkin.

    Dr Malina berkata ini terutama apabila penularan Omicron di peringkat global menunjukkan pola peningkatan mendadak dan beliau bimbang trend sama berlaku di Malaysia.

    “Sebab berdasarkan pengalaman, penularan jangkitan Omicron lebih pantas berbanding Delta, jadi keputusan kerajaan adalah perkara yang dialu-alukan di negara kita,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil ringan terhadap jangkitan Omicron kerana varian itu turut memberi kesan mudarat yang sama seperti Delta.

    “…terutamanya mereka yang berada di usia kelompok 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit komorbiditi. Mereka yang berisiko boleh mendapat komplikasi serius,” katanya.

    Dr Amalina turut menyarankan agar para jemaah umrah atau pelancong diberi keutamaan mendapat suntikan dos penggalak kerana individu yang diberi dos itu kurang berisiko menerima dan menyebarkan virus COVID-19 tanpa mengira jenis varian berbanding mereka tidak divaksinasi.- Bernama

  • MAIK kekal jarak solat di Kelantan 1.6 meter

    MAIK kekal jarak solat di Kelantan 1.6 meter

    KELANTAN yang kini berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) membenarkan jemaah menunaikan solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti keagamaan di masjid, surau serta musala mengikut kapasiti ruangan dengan mematuhi penjarakan fizikal 1.6 meter, berkuat kuasa hari ini.

    Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu serta aktiviti keagamaan seperti majlis zikir, kelas al-Quran dan kuliah umum di seluruh negeri itu turut mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

    “Prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dikekalkan sebagaimana yang telah dikeluarkan sebelum ini.

    “Pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini dan SOP dinyatakan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau serta musala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Rizam berkata sekiranya didapati mana-mana masjid, surau dan musala melanggar SOP yang ditetapkan, pihaknya akan mengarahkan supaya ia ditutup.

    Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan Sarawak dan Kelantan beralih ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa 3 Jan lepas.

  • ‘’Belum tiba masanya rombakan Kabinet’’ – Ismail Sabri

    ‘’Belum tiba masanya rombakan Kabinet’’ – Ismail Sabri

    “SELAGI saya tidak umumkan apa-apa (berhubung spekulasi rombakan Kabinet), tidak adalah,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perdana Menteri berkata, beliau enggan melayan spekulasi mengenai rombakan Kabinet yang didakwa bakal menyaksikan tiga Menteri digugurkan dalam masa terdekat.

    Sebaliknya, beliau menegaskan, tumpuannya kini terarah kepada usaha menangani banjir dan pascabencana itu, serta langkah membendung penularan COVID-19.

    “Belum tiba masanya lagi (rombakan Kabinet). Biarlah spekulasi itu menjadi spekulasi. Macam-macam nama timbul sekarang, namun tumpuan saya kini hendak membantu rakyat yang terkesan dengan banjir dan COVID-19.

    “Malah, mesyuarat Kabinet esok akan menumpukan agenda menangani banjir dan usaha mengekang COVID,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa, di Durian Tunggal, hari ini, lapor Berita Harian.

    Semalam, tular berita mengenai spekulasi tiga Menteri didakwa bakal digugurkan daripada senarai jemaah Kabinet.

    Tiga nama yang dikaitkan dengan spekulasi itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

  • Laluan KM77-KM78 Lebuhraya KL-Karak arah timur dibuka semula

    Laluan KM77-KM78 Lebuhraya KL-Karak arah timur dibuka semula

    PEMEGANG konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ANIH Berhad memaklumkan laluan KM77-KM78 arah timur lebuh raya tersebut yang ditutup sejak banjir tengkujuh pada pertengahan Disember lepas, telah dibuka kepada pengguna sejak 3 pagi tadi.

    Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata laluan itu dibuka selepas kerja-kerja pembersihan serta pembaikan siap dilakukan dan mereka yang ingin ke Pekan Karak tidak lagi perlu membuat pusingan U sebelum Plaza Tol Karak. 

    “Pada masa ini, lorong kiri dan kanan menghala ke Kuala Lumpur dari KM66 hingga KM70 sudah dibuka sepenuhnya.

    “Namun, pengguna dinasihatkan agar mematuhi papan tanda arah keselamatan apabila menghampiri lorong kontra bermula dari Sungai Dua di KM74.8 hingga KM77.3 untuk keselamatan dan keselesaan semua,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

    Untuk maklumat lanjut, tepat dan terkini, pengguna boleh merujuk ke laman media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik dan @LPTTrafik atau Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Lebuhraya Pantai Timur, selain talian hotline LLM 1800-88-7752 serta talian LPT 09-5479111 dan 1-700-818-700.- Bernama

  • Kantoi curi kabel elektrik, sanggup membunuh

    Kantoi curi kabel elektrik, sanggup membunuh

    SEORANG lelaki dipercayai pencuri kabel elektrik sanggup membunuh apabila perbuatannya disedari penduduk setempat, dalam kejadian di Kingfisher, Kota Kinabalu, Sabah, tengah malam tadi.

    Mangsa, ditemui maut selepas dipercayai dipukul menggunakan objek keras oleh suspek lelaki yang dikatakan sedang mencuri kabel elektrik di kawasan lapang berhadapan sebuah pejabat terbiar.

    Lelaki berusia 50 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah oleh rakannya kira-kira pukul 12 tengah malam.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, mangsa keluar rumah pada 10.30 malam untuk memeriksa fius selepas bekalan elektrik di rumah kongsinya terputus.

    Katanya, sejam selepas itu, rakan mangsa bersama anaknya turut ke lokasi kejadian berikutan masalah bekalan elektrik yang terputus.

    “Ketika sedang membuat pemeriksaan, rakan mangsa terdengar bunyi salakan anjing lalu memeriksa keadaan sekeliling sebelum melihat kelibat orang dalam keadaan tertiarap dengan kesan tompokan darah.

    “Lelaki terbabit terus menghubungi rakannya (si mati) yang bekerja di lokasi berkenaan dan terkejut apabila bunyi deringan telefon bimbit itu bersebelahan dengan kelibat lelaki yang tertiarap.

    “Menyedari itu rakannya, lalu lelaki terbabit bertindak menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan HM, hari ini.

    Mohd. Zaidi berkata, siasatan lanjut di lokasi dengan bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati mangsa mengalami kecederaan di mata dan kesan remuk pada dahi disyaki dipukul menggunakan objek keras.

    “Polis turut menemui sebatang kayu beruti disyaki digunakan suspek untuk menyerang mangsa.

    “Siasatan lanjut dalam bilik fius tidak jauh dari lokasi mayat ditemui mendapati terdapat kabel elektrik dipotong disyaki dicuri suspek yang tidak dikenali,” katanya.

    Menurutnya, polis percaya suspek yang sedang mencuri kabel di bilik fius menyerang mangsa menggunakan kayu beruti sebelum melarikan diri.

    “Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan usaha mengenal pasti suspek sedang giat dijalankan. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya.

  • Penduduk Kg Baru Pulau Tiga diusir, Sanusi usaha cari tanah baharu

    Penduduk Kg Baru Pulau Tiga diusir, Sanusi usaha cari tanah baharu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PRIHATIN dengan nasib penduduk di Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar dekat Jalan Lencongan Darat di Sungai Petani yang terpaksa mengosongkan rumah berikutan perintah mahkamah, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor segera mengarahkan pegawai berwajib untuk mencari tanah kerajaan bagi membolehkan penduduk terlibat mempunyai tapak untuk membina rumah baharu dengan kadar segera.

    Menurut Muhammad Sanusi, beliau amat simpati dengan kesukaran dihadapi kira-kira 30 keluarga yang terlibat dan mahu memastikan mereka memiliki tapak untuk mendirikan rumah baharu bagi dijadikan tempat berteduh.

    “Saya sudah minta Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdullah Hashim mencari lokasi tanah kerajaan yang bersesuaian bagi membantu penduduk seramai 30 keluarga itu.

    “Menteri Besar pada tahun 2014 (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) ada berjanji mahu membantu tetapi tidak ada sebarang tindakan selama beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sebelum ini penduduk terlibat merayu campur tangan kerajaan negeri setelah tanah yang diteroka untuk dijadikan tapak rumah sejak 40 tahun lalu kini, dikatakan telah menjadi hak milik seorang individu bergelar Datuk.

    Pada 19 Disember lalu, penduduk telah menerima notis dari Mahkamah Tinggi Alor Setar supaya mereka mengosongkan tanah tersebut selewat-lewatnya pada 3 Januari depan.

    Gambar: Facebook Muhammad Sanusi Md Nor

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, apabila Mahkamah Tinggi sudah membuat penghakiman, kerajaan tidak boleh lagi campur tangan kerana konsep pengasingan kuasa dalam sistem di negara ini tidak membenarkan perkara itu daripada dilakukan.

    “DO bersama pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda sedang berikhtiar. Saya berharap mereka dapat menemukan apa yang diperlukan untuk sama-sama kita membantu menyelesaikan masalah ini.

    “Semoga ada sinar yang cerah untuk semua penduduk terlibat. Begitu pun sementara proses ini diselesaikan, penduduk perlu berikhtiar sendiri mencari rumah sewa atau penempatan sementara di sekitar mereka,” katanya.

  • Tangguh umrah bertujuan perlahankan Omicron – Khairy

    Tangguh umrah bertujuan perlahankan Omicron – Khairy

    PENANGGUHAN sementara aktiviti umrah bertujuan memperlahankan penularan varian Omicron COVID-19 dalam negara kerana berdasarkan data hampir 78 peratus ‘presumptive’ (jangkaan) Omicron baharu adalah daripada jemaah umrah, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Menerusi catatan di akaun Twitter beliau berkata, mengikut Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), ‘presumptive’ Omicron, telah 100 peratus disahkan Omicron melalui jujukan genom penuh.

    “Penilaian risiko akan terus dilakukan. Buat masa ini Kementerian Kesihatan (KKM) tahu satu dos penggalak diperlukan. Lebih dari itu kita (KKM) kaji dari semasa ke semasa bila data saintifik baharu muncul. Yang penting respons kita (KKM) ikut data yang baharu. Ini yang dimaksud respons yang evidence-based,” katanya.

    Semalam, Khairy mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan ini bagi membendung penularan varian Omicron COVID-19.

    Penangguhan itu adalah susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin kediaman masing-masing yang menyebabkan berlakunya jangkitan dalam kalangan ahli keluarga mereka.

    Khairy berkata kebolehjangkitan Omicron adalah lebih besar berbanding varian Delta dan jika denominator kes lebih besar, sudah pasti kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) lebih tinggi, dan KKM mahu mengelak sistem kesihatan negara menjadi lumpuh disebabkan varian ini, melalui strategi memperlahankan penularannya.

    Beliau turut tidak menolak kemungkinan gelombang besar Omicron akan bermula di Malaysia seperti mana di negara-negara lain.

    Beliau berkata, justeru liputan dos penggalak yang luas; pemakaian pelitup muka; pengudaraan yang baik; TRIIS atau ‘Test, Report, Isolate, Inform, Seek’; MySJ Trace dan kawalan pintu masuk antarabangsa, merupakan antara langkah memperlahankan penularan Omicron.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter beliau berkata, kadar kebolehjangkitan COVID-19 berdasarkan jangkaan mengikut kes seharian pada 1 Jan untuk seluruh negara adalah 0.99. – BERNAMA

  • KPLB segerakan inisiatif sokong bantuan banjir Keluarga Malaysia

    KPLB segerakan inisiatif sokong bantuan banjir Keluarga Malaysia

    MEMAHAMI kesengsaraan dan kerugian yang ditanggung mangsa bencana banjir, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengambil serius untuk menyegerakan bantuan banjir Keluarga Malaysia berdasarkan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan tahun baharu 2022.

    Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPLB bersama lapan agensinya iaitu MARA, RISDA, FELCRA, KEJORA, KESEDAR, KETENGAH, KEDA dan PERDA, sedia melaksanakan inisiatif bantuan Keluarga Malaysia pada kadar segera mengikut peruntukan sedia ada.

    “Ketika ini dalam fasa pasca banjir, KPLB dan semua agensi kita sedang melaksanakan kerja-kerja penilaian kerosakan yang dialami oleh mangsa banjir selain menjalankan kerja-kerja pembersihan menerusi pasukan sukarelawan kita yang turun padang di Bentong, Hulu Langat dan juga Banting untuk membantu mangsa banjir.

    “Kita juga komited dalam memastikan segala bantuan disalurkan segera bagi memastikan kebajikan dan keperluan mangsa banjir terutama di luar bandar terjamin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Sukarelawan KPLB membantu membersihkan barangan milik mangsa banjir di Karak, Pahang. (Gambar: KPLB)

    Jelas Mahdzir, lebih tiga ribu sukarelawan KPLB dan agensinya digerakkan bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir termasuk membaiki pendawaian dan barangan elektrik di Kawasan Angkat di Bukit Changgang, Banting, Huala Langat dan Kampung Karak Setia, Bentong, Pahang.

    KPLB juga katanya, memperuntukkan sejumlah RM4 juta dalam bentuk sumbangan barangan keperluan seperti bakul makanan dan kit pembersihan diri kepada mangsa banjir.

    Bagi bantuan baik pulih rumah, KPLB menyediakan peruntukan RM15,000 bagi setiap rumah penduduk luar bandar yang layak menerima bantuan itu.

    Manakala RM56 ribu diperuntukkan bagi bantuan bina baharu rumah mangsa banjir yang kehilangan kediaman sepenuhnya.

    “Lima insentif pemberian tunai disediakan oleh kerajaan Keluarga Malaysia seperti yang diumumkan oleh Ismail Sabri yang mana keseluruhannya mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah, malah mencapai sehingga RM61,000 bagi individu yang mengalami kemusnahan rumah,” katanya.

    KPLB juga tambah Mahdzir, sedang mengumpul data di seluruh negeri yang terjejas banjir untuk pelan pembaikan dan peruntukan kos untuk perumahan rakyat termiskin, PPRT, jalan kampung, jalan perhubungan desa, jambatan, longkang surau, taska, tabika serta ameniti sosial yang lain di bawah seliaan KPLB.

    Selain itu, MARA turut meringankan beban kewangan mangsa banjir dengan memberi kelonggaran penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran dan perniagaan selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.

    MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan MARA yang terkesan dengan bencana banjir luar biasa yang melanda kali ini.

    Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa.

    “KPLB berharap program bantuan yang menyeluruh ini akan dapat membantu melegakan kebimbangan terhadap komitmen kewangan di waktu yang sungguh mencabar ini sambil mengekalkan simpanan KWSP masing-masing,” kata Mahdzir.