Category: Umum

  • Polis tahan lelaki dipercayai bunuh rakan gara-gara hutang

    Polis tahan lelaki dipercayai bunuh rakan gara-gara hutang

    POLIS menahan seorang lelaki di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil, Selangor Selasa lepas, yang dipercayai telah menculik dan membunuh rakan sekerjanya disebabkan masalah berkaitan hutang.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian 3 Okt lepas seorang individu mendakwa beliau bersama seorang lelaki berumur 29 tahun diserang dua lelaki bersenjatakan kayu semasa berada di kolam ikan Kampung Poh, Bidor pada pukul 10.22 malam, sebelum lelaki itu dilarikan.

    Beliau berkata susulan laporan polis oleh individu berkenaan, Selasa lepas polis menahan seorang suspek berumur 30 tahun yang kemudiannya mendedahkan bahawa lelaki itu telah dibunuh dan mayatnya ditanam di sebuah kebun sawit di kawasan Bidor.

    “Polis menemui mayat itu yang dibungkus dengan kanvas setelah dipandu arah oleh suspek, dan berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang antara mangsa dengan suspek, yang kedua-duanya bekerja mengambil upah memotong buah kelapa sawit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurutnya suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah dan Seksyen 302 akta sama kerana membunuh.

    Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata polis sedang berusaha mengesan seorang lagi suspek bernama M. Anbu bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya diminta menghubungi ASP Noor Irwan Abd Ghani dengan menelefon 017-3168097 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran. 

    Menurutnya kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan narkotik.

    — BERNAMA

  • Seorang lelaki maut, 11 terselamat dalam kebakaran di ibu negara

    Seorang lelaki maut, 11 terselamat dalam kebakaran di ibu negara

    SEORANG lelaki meninggal dunia manakala 11 lagi individu selamat dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Dato Haji Yusof Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, petang tadi.

    Bagaimanapun, identiti lengkap mangsa yang merupakan warga tempatan belum diketahui.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian dengan kekuatan lebih 40 anggota dari tujuh balai bomba.

    Katanya, siasatan awal mendapati kebakaran bermula di sebuah bilik di tingkat satu rumah kedai empat tingkat berkenaan.

    Jurucakap itu memaklumkan sembilan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur menggunakan jentera EMRS manakala tiga lagi mangsa menolak untuk dihantar ke hospital.

    “Api dapat dikawal pada kira-kira 6 petang dan padam sepenuhnya 6.55 petang manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

    — BERNAMA

  • JK Pilihan Khas Parlimen bincang isu Azam Baki 19 Jan

    JK Pilihan Khas Parlimen bincang isu Azam Baki 19 Jan

    JAWATANKUASA Pilihan Khas bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat pada Rabu depan untuk membincangkan isu pemilikan saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu dimaklumkan dalam pekeliling yang dihantar oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha kepada ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas.

    “Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan mengenai isu pemilikan saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM,” kata Nizam dalam pekeliling yang bertarikh 11 Januari 2022.

    Semua lapan anggotanya, termasuk Pengerusi jawatankuasa itu, iaitu Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dijemput menghadiri mesyuarat pada pukul 2 petang, 19 Januari itu.

    Semua Ahli Parlimen berkenaan turut diminta menjalani ujian kendiri Covid-19 dengan menggunakan kaedah RTK-Ag Saliva di klinik Parlimen sebelum menghadiri mesyuarat.

    Surat itu dimuat naik dalam media sosial oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, yang juga anggota jawatankuasa tersebut.

    Foong Hin berkata, beliau menerima notis yang memaklumkan mereka supaya menghadiri mesyuarat berkenaan pada pagi ini.

    Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat dan pada Rabu lepas, Azam dalam sidang media menafikan tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

    Azam berkata, saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya yang menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli oleh adiknya itu juga tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

    Dalam sidang media berasingan hari yang sama, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang menyatakan LPPR, satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

  • Pembalakan bukan punca harimau berkeliaran – Timbalan MB Kelantan

    Pembalakan bukan punca harimau berkeliaran – Timbalan MB Kelantan

    KERAJAAN negeri Kelantan menafikan harimau berkeliaran di penempatan Orang Asli di Gua Musang sejak beberapa hari lepas berpunca daripada aktiviti pembalakan.

    Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkaitan untuk mengkaji dan melakukan penyiasatan tentang punca sebenar mamalia itu keluar daripada habitat asal.

    Beliau berkata, kejadian harimau memasuki kampung di negeri itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya sebelum ini sudah ada kes direkodkan seperti berlaku di daerah Jeli namun kejadian itu tidak ‘dilabelkan’ berpunca daripada pembalakan.

    “Kejadian ini membabitkan satu kes, kalau banyak mungkin betul (disebabkan pembalakan) dan ia kes terpencil. Jangan sebab seorang mati diterkam harimau, kita letak semua kesalahan disebabkan penebangan hutan, kecuali ada tiga empat ekor harimau yang keluar masuk kampung dan makan orang, itu adalah serius.

    “Mahu siasat dan mencari sebab berlaku itu bagus, tetapi jangan cepat buat kesimpulan seolahnya sebab pembalakan menyebabkan harimau itu keluar, bagi saya itu tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas hadir mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

    Terdahulu, Mohd Amar diminta mengulas mengenai dakwaan Wakil Orang Asli Temiar, Nasir Dollah, 32, mengenai tiga ekor harimau yang berkeliaran di kampung-kampung di kawasan pentadbiran Pos Bihai berlaku disebabkan tindakan Kerajaan Kelantan yang telah meluluskan ribuan kawasan hutan untuk tujuan pembalakan dan sebagainya.

    Media semalam melaporkan Nasir turut menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri yang menggesa kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian untuk menghentikan segera kegiatan pembalakan yang didakwa menjadi punca ekosistem haiwan liar itu terganggu.

    Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, harimau keluar dari kawasan habitat berkemungkinan disebabkan beberapa faktor lain termasuk usia mamalia itu sendiri yang sudah tua.

    “Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ada memberitahu kadang-kadang apabila harimau sudah tua ia tidak mampu nak mengejar haiwan sebagai mangsa, jadi yang paling mudah adalah manusia sebab manusia lari pun tidak laju bukan seperti haiwan.

    “Setakat ini Perhilitan sedang bergerak menjalankan tugas mereka dan mengesan hidupan liar itu. Mengikut maklumat diperolehi ada tiga ekor harimau telah masuk ke kampung, tetapi yang makan orang (kejadian di Pos Bihai) itu bukan daripada ketiga-tiga itu,” katanya.

    Katanya, setakat ini juga tiada aktiviti pemburuan haram terhadap Harimau Malaya di negeri ini memandangkan keselamatan hidupan liar itu khususnya di Kelantan masih terjaga selain undang-undang mengenai aktiviti juga sudah ada sebelum ini. — BERNAMA

  • Lebih 128,000 veteran tentera berpotensi sertai kerjaya ekonomi gig Code 7

    Lebih 128,000 veteran tentera berpotensi sertai kerjaya ekonomi gig Code 7

    LEBIH 128,000 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berumur di bawah 60 tahun berpotensi untuk menyertai Kerja Ekonomi Gig bersama dengan Code 7 Tech Sdn Bhd (Code 7).

    Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, veteran ATM yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM sehingga kini berjumlah 204,164 dan daripada jumlah itu seramai 104,845 orang veteran berpencen manakala 73,835 orang tidak berpencen.

    ‘’Berdasarkan rekod semasa JHEV ATM, 63% daripada veteran ATM merupakan mereka yang berumur di bawah 60 tahun. Oleh itu dengan pelancaran Kerjaya Ekonomi Gig untuk Veteran ATM hari ini ia akan membantu dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka dan ia yang juga merupakan fokus Kementerian Pertahanan dan JHEV,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Kerjaya Ekonomi Gig Untuk Veteran ATM di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

    Ikmal Hisham berkata, pelancaran tersebut akan membuka lembaran baharu kepada veteran ATM untuk mendapatkan peluang kerjaya kedua lebih luas pasca pandemik Covid-19 yang memberi impak langsung kepada mereka. 

    ‘’Ekonomi gig, satu terma yang semakin sinonim seperti Grabcar, Grabfood, Food Panda, Lalamove dan perkhidmatan seumpamanya pasti mampu memberi limpahan peluang pekerjaan kepada veteran ATM.

    ‘’Code 7 telah bersetuju untuk menawarkan tangga gaji yang lebih menarik kepada veteran ATM yang menyertai mereka. Malah, konsep gig yang membenarkan fleksibiliti masa dan lokasi merupakan ‘bonus point’ untuk veteran ATM menyertainya sebagai mengenang jasa mereka kepada negara,’’ katanya.

    Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, kerjaya gig menerusi Code 7 yang menawarkan perkhidmatan berasaskan keselamatan adalah signifikan dengan kepakaran dan kemahiran dimiliki oleh majoriti Veteran ATM.

    ‘’Untuk tahun ini, Code 7 akan memberikan tumpuan di kawasan Lembah Klang terlebih dahulu dalam suku pertama dan suku kedua 2022, sebelum meluaskan perkhidmatan yang ditawarkannya ke kawasan-kawasan perbandaran utama di bahagian selatan, utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia, berserta Sabah dan Sarawak,’’ katanya.

    Beliau juga menjelaskan, rakan strategik kerjaya gig JHEV ATM tidak akan terhad kepada Code 7 sahaja.

    ‘’JHEV ATM akan terus berusaha untuk berkolaborasi dengan lain-lain rakan strategik dalam penawaran perkhidmatan gig demi meningkatkan lagi taraf kehidupan dan kesejahteraan veteran ATM serta tanggungan mereka,’’ katanya.

    Sambil melahirkan penghargaan kepada pengurusan Code 7, Ikmal Hisham  menggesa veteran ATM  menyertai inisiatif itu agar mereka berpeluang mendapat peluang kerjaya lebih luas dan seterusnya dapat meningkatkan tahap sosio ekonomi mereka terutama dalam mendepani era pandemik Covid-19.

    ‘’Saya juga menyeru semua syarikat korporat untuk bersama-sama dengan Kementerian Pertahanan mengadakan kolaborasi strategik dengan JHEV ATM dalam agenda membantu veteran ATM yang telah banyak menabur jasa bakti kepada negara,’’ katanya.

  • PELITA angkat martabat dunia sastera Terengganu

    PELITA angkat martabat dunia sastera Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PERSATUAN Sasterawan Terengganu (PELITA) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cukup sinonim dalam mengangkat dan memartabatkan dunia sastera di Terengganu sama ada melibatkan bidang penulisan mahupun perkara-perkara berkaitan bahasa.

    Selain melahirkan ramai golongan penulis berbakat dalam pelbagai genre, PELITA juga tidak pernah kontang dalam menganjurkan aktiviti sastera pada setiap tahun termasuklah ketika rakyat di negara ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19 sejak dua tahun lalu.

    Malah, penganjuran aktiviti ada kalanya turut melibatkan Kerajaan negeri serta beberapa agensi lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan juga Persatuan Penulis Nasional (PENA).

    Apa yang pasti kehebatan ahli-ahli PELITA bukan dilihat sebagai ‘jaguh kampung’, sebaliknya ramai di antaranya berjaya memenangi anugerah peringkat Nasional.

    Berikut adalah wawancara WartaRakyat bersama Ketua Satu PELITA, KAMARULZAMAN ISMAIL mengenai persatuan tersebut serta perancangan aktiviti untuk tahun ini.

    WartaRakyat : PELITA dikatakan sebagai sebuah pertubuhan sastera yang begitu gah di Terenganu dan sentiasa aktif dalam menganjurkan aktiviti, apa pandangan saudara.

    KAMARULZAMAN : Gah atau tidak, ia sebenarnya bergantung kepada penilaian orang ramai, khususnya dalam kalangan khalayak sastera.
    Kami di PELITA hanya meneruskan tanggungjawab dan aktiviti yang berteraskan kepada bahasa dan sastera sejak dari dahulu sehingga sekarang, cuma kepimpinan sahaja yang berubah. Dari segi penganjuran aktiviti pula, ia bergantung kepada keadaan berdasarkan kesesuaian, kehendak semasa serta keputusan bersama dalam kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK).

    Boleh ceritakan apakah bidang penulisan atau genre yang dihasilkan ahli-ahli PELITA?.

    KAMARULZAMAN: Banyak. Ia merangkumi pelbagai genre seperti puisi, drama, novel, cerpen, esei dan kritikan, anekdot, certot, biografi dan lain-lain. Penulisan skrip drama radio, televisyen dan filem pun ada.

    Siapakah antara nama-nama tokoh yang pernah terlibat dan berjaya mengharumkan nama PELITA?

    KAMARULZAMAN: Memang terdapat banyak nama-nama penulis lama dan baharu dalam PELITA, ada yang telah meninggal dunia. Antara yang masih ada ialah Datuk A Rashid Ngah, Tuan Shariff Putera, SM Noor, Hilmi Rindu, Abdul Mubin Ismail dan ramai lagi.

    PELITA juga memiliki penulis wanita yang masih aktif seperti Mahanie Sulong, Che Jamilah Abdul Rahman, Sabariah Nor Salleh dan Arina Abdul Rahman.

    Sejak penularan wabak pandemik Covid-19 di negara ini, banyak aktiviti secara bersemuka terpaksa dihentikan. Apakah antara aktiviti yang berjaya diteruskan.

    KAMARULZAMAN : Sebenarnya PKP buka halangan untuk PELITA mengadakan aktiviti. Walaupun perancangan asal sedikit terjejas namun aktiviti tetap diteruskan secara atas talian, antaranya termasuklah Bengkel Sastera, Bicara Orang Sastera (BOS), Webinar, Kursus Penulisan dan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan peringkat Negeri Terengganu.

    Bagaimana pula dengan perancangan aktiviti pada tahun 2022?

    KAMARULZAMAN : PELITA akan meneruskan program kemuncak yang menjadi tumpuan semua khalayak sastera di negara ini, iaitu Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Daruliman V (HASDI V).

    Program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini diadakan secara dwitahunan, PELITA bertindak sebagai penyelaras dan penerbit. Selain menyediakan beberapa kategori anugerah, ia bakal menganugerahkan Tokoh Sasterawan Negeri kepada individu yang layak.

    Turut dirancang ialah Penerbitan lapan antologi puisi, Bengkel Penulisan Sastera, BOS, Kunjungan Muhibah Sastera, Webinar Sastera Antarabangsa, Pelancaran karya, Seminar Pemikiran Tokoh Sastera dan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaaan peringkat Negeri Terengganu.

  • KPLB agihkan 1,050 kit bantuan kepada mangsa banjir di Lipis

    KPLB agihkan 1,050 kit bantuan kepada mangsa banjir di Lipis

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terus menyantuni mangsa banjir dengan mengagihkan 1,050 kit bantuan di Kawasan Parlimen Lipis, Pahang.

    Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KPLB bersama agensi di bawahnya sedia melaksanakan Inisiatif Bantuan Banjir Keluarga Malaysia pada kadar segera demi meringankan beban mangsa yang terjejas.

    “Bantuan yang disasarkan bukan hanya merangkumi barang makanan, peralatan memasak, selimut toto dan kit penjagaan kesihatan, bahkan juga sehingga kerja-kerja pembersihan, membaiki kenderaan dan peralatan elektrik pasca banjir. “

    Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan Kit Bantuan Mangsa Banjir di Lipis, Pahang.

    Menurut Abdul Rahman, MARA turut memberi kelonggaran bayaran balik pinjaman pendidikan dan perniagaan serta pengecualian bayaran sewa premis perniagaan kepada yang terjejas.

    ”KPLB juga berkerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT dengan peruntukan RM50 juta setiap kementerian untuk Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia bagi membina semula dan membaik pulih rumah mangsa banjir.

    “Di bawah inisiatif itu, RM15,000 diperuntukkan untuk membaiki rumah, RM56,000 untuk bina semula di Semenanjung dan RM68,000 untuk bina semula di Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Setakat ini KPLB telah mengenal pasti 1,879 unit rumah yang perlu di baik pulih dan 165 buah rumah pula mengalami kerosakan teruk dan perlu dibina baharu di seluruh negara.

  • COVID: 219 positif, 16 kluster libatkan jemaah umrah

    COVID: 219 positif, 16 kluster libatkan jemaah umrah

    SEBANYAK 16 kluster COVID-19 melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi telah dikesan bagi tempoh 25 Nov lepas hingga hari ini dengan tujuh kluster daripadanya melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron (berkemungkinan) yang sedang menunggu keputusan jujukan genom penuh (WGS), dan tiga kluster melibatkan kes indeks positif COVID-19 bukan varian Omicron. 

    Beliau berkata punca penularan disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tiada amalan penjarakan fizikal, tiada kewajiban pemakaian pelitup muka, serta melibatkan jemaah umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

    “Selain itu, semasa dikuarantin di rumah selepas pulang dari mengerjakan umrah, terdapat aktiviti yang tidak mematuhi SOP seperti adanya aktiviti kunjung-mengunjung, menziarahi jemaah atau keluarga yang baru pulang dari tanah suci, serta lain-lain lagi. 

    “Situasi peningkatan kes daripada kluster jemaah umrah yang dilaporkan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata sebanyak 456 individu dalam kluster jemaah umrah itu telah disaring  dan didapati 219 kes positif yang menjadikan kadar positif sebanyak 48 peratus.

    Jelasnya, kesemua 219 kes tersebut dalam kategori satu dan dua, dan sehingga kini tiada kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), serta tiada kematian yang dilaporkan daripada kluster jemaah umrah ini.

    Sementara itu, beliau berkata kumulatif kes sembuh COVID-19 di negara ini kini berjumlah 2,720,399 kes selepas 2,977 lagi kes sembuh direkodkan sehingga 12 tengah hari ini, manakala kes baharu pula sebanyak 3,175, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 kini 2,792,035.

    Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 99 kes baharu varian yang membimbangkan (VOC) telah dilaporkan sejak 3 Jan lepas sehingga semalam dengan 91 kes baharu varian Delta dan lapan kes baharu varian Omicron.

    — BERNAMA

  • ”Ini susah saya terima…mereka perlu dikenakan hukuman maksimum” – Hishammuddin

    ”Ini susah saya terima…mereka perlu dikenakan hukuman maksimum” – Hishammuddin

    INDIVIDU yang terlibat dalam pemalsuan sijil vaksinasi COVID-19 perlu dikenakan hukuman maksimum kerana tindakan itu bukan hanya mendatangkan bahaya kepada diri sendiri malah terhadap individu lain yang tidak berdosa, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Justeru, beliau meminta pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci dalam kes berkenaan dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan.

    “Ini sesuatu yang susah saya hendak terima dan maafkan kerana ia menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang ramai yang tidak berdosa.

    I want the full force of the law on them and I want to make sure they realise that there a limit when it comes to profit which affects people lives’ (Saya mahu penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya ke atas mereka dan saya mahu pastikan mereka sedar ada had bila tiba tentang keuntungan yang menjejaskan kehidupan orang ramai,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

    Hishammuddin berkata hukuman yang berat perlu dikenakan terhadap individu yang menjual dan membeli sijil vaksinasi palsu bagi mencegah kegiatan sedemikian daripada merebak.

    Pihak berkuasa juga perlu berada satu langkah di hadapan dalam membanteras kegiatan ini kerana bagi mereka yang inginkan keuntungan mereka akan cuba mencari jalan lain.

    Setakat ini, polis hanya mengesan satu kes aktiviti penawaran sijil vaksinasi COVID-19 palsu setakat ini yang melibatkan seorang pengamal perubatan di Marang, Terengganu.  

    Pada Sabtu lepas, polis menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu di Marang, Terengganu.

    Suspek berkenaan direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan perintah reman suspek berkenaan disambung selama dua hari lagi sehingga esok. 

    — BERNAMA

  • No 13 Indeks Pemulihan Nikkei, Malaysia di landasan tepat

    No 13 Indeks Pemulihan Nikkei, Malaysia di landasan tepat

    KEDUDUKAN Malaysia di tangga ke-13 berbanding 115 pada Ogos tahun lepas dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei menunjukkan negara kini berada di landasan yang tepat dalam menangani pandemik itu.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini juga menunjukkan negara menuju situasi lebih baik dan semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik serta langkah penjarakan sosial lebih longgar.

    Beliau berkata, usaha baik ini mesti berterusan dan semua pihak tidak boleh cepat berpuas hati.

    Hishammuddin juga berkata, keutamaan kerajaan ketika ini ialah menurunkan lagi jumlah kes harian, meningkatkan kadar vaksinasi khususnya dos penggalak dan membawa negara ke Fasa Endemik.

    “Ia bukan mudah namun kita berkemampuan untuk melaksanakannya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Menteri-Menteri Kuartet COVID-19 di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, perkara itu boleh dicapai dengan syarat semua pihak kekal berwaspada, terus mempunyai rasa tanggungjawab untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), yakin dengan keberkesanan vaksin termasuk dos penggalak serta melakukan ujian pengesanan secara berkala selain mengamalkan TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan) sebaik mungkin.

    Hishammuddin turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak terutama petugas barisan hadapan serta rakyat yang disifatkan sebagai cekal, tabah, kuat semangat dan berdisiplin dalam melaksanakan usaha menangani penularan COVID-19 termasuk mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

    Berdasarkan Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei setakat 31 Dis 2021, Malaysia di tangga ke-13 dengan 66.5 mata manakala Bahrain menduduki tempat teratas dengan 82 mata diikuti Chile (76.5 mata) dan Taiwan (75.5 mata).

    Kedudukan lebih tinggi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks itu menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat. – BERNAMA