Oleh MOHD LAZIM ENDUT

PERSATUAN Sasterawan Terengganu (PELITA) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cukup sinonim dalam mengangkat dan memartabatkan dunia sastera di Terengganu sama ada melibatkan bidang penulisan mahupun perkara-perkara berkaitan bahasa.

Selain melahirkan ramai golongan penulis berbakat dalam pelbagai genre, PELITA juga tidak pernah kontang dalam menganjurkan aktiviti sastera pada setiap tahun termasuklah ketika rakyat di negara ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Malah, penganjuran aktiviti ada kalanya turut melibatkan Kerajaan negeri serta beberapa agensi lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan juga Persatuan Penulis Nasional (PENA).

Apa yang pasti kehebatan ahli-ahli PELITA bukan dilihat sebagai ‘jaguh kampung’, sebaliknya ramai di antaranya berjaya memenangi anugerah peringkat Nasional.

Berikut adalah wawancara WartaRakyat bersama Ketua Satu PELITA, KAMARULZAMAN ISMAIL mengenai persatuan tersebut serta perancangan aktiviti untuk tahun ini.

WartaRakyat : PELITA dikatakan sebagai sebuah pertubuhan sastera yang begitu gah di Terenganu dan sentiasa aktif dalam menganjurkan aktiviti, apa pandangan saudara.

KAMARULZAMAN : Gah atau tidak, ia sebenarnya bergantung kepada penilaian orang ramai, khususnya dalam kalangan khalayak sastera.
Kami di PELITA hanya meneruskan tanggungjawab dan aktiviti yang berteraskan kepada bahasa dan sastera sejak dari dahulu sehingga sekarang, cuma kepimpinan sahaja yang berubah. Dari segi penganjuran aktiviti pula, ia bergantung kepada keadaan berdasarkan kesesuaian, kehendak semasa serta keputusan bersama dalam kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK).

Boleh ceritakan apakah bidang penulisan atau genre yang dihasilkan ahli-ahli PELITA?.

KAMARULZAMAN: Banyak. Ia merangkumi pelbagai genre seperti puisi, drama, novel, cerpen, esei dan kritikan, anekdot, certot, biografi dan lain-lain. Penulisan skrip drama radio, televisyen dan filem pun ada.

Siapakah antara nama-nama tokoh yang pernah terlibat dan berjaya mengharumkan nama PELITA?

KAMARULZAMAN: Memang terdapat banyak nama-nama penulis lama dan baharu dalam PELITA, ada yang telah meninggal dunia. Antara yang masih ada ialah Datuk A Rashid Ngah, Tuan Shariff Putera, SM Noor, Hilmi Rindu, Abdul Mubin Ismail dan ramai lagi.

PELITA juga memiliki penulis wanita yang masih aktif seperti Mahanie Sulong, Che Jamilah Abdul Rahman, Sabariah Nor Salleh dan Arina Abdul Rahman.

Sejak penularan wabak pandemik Covid-19 di negara ini, banyak aktiviti secara bersemuka terpaksa dihentikan. Apakah antara aktiviti yang berjaya diteruskan.

KAMARULZAMAN : Sebenarnya PKP buka halangan untuk PELITA mengadakan aktiviti. Walaupun perancangan asal sedikit terjejas namun aktiviti tetap diteruskan secara atas talian, antaranya termasuklah Bengkel Sastera, Bicara Orang Sastera (BOS), Webinar, Kursus Penulisan dan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan peringkat Negeri Terengganu.

Bagaimana pula dengan perancangan aktiviti pada tahun 2022?

KAMARULZAMAN : PELITA akan meneruskan program kemuncak yang menjadi tumpuan semua khalayak sastera di negara ini, iaitu Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Daruliman V (HASDI V).

Program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini diadakan secara dwitahunan, PELITA bertindak sebagai penyelaras dan penerbit. Selain menyediakan beberapa kategori anugerah, ia bakal menganugerahkan Tokoh Sasterawan Negeri kepada individu yang layak.

Turut dirancang ialah Penerbitan lapan antologi puisi, Bengkel Penulisan Sastera, BOS, Kunjungan Muhibah Sastera, Webinar Sastera Antarabangsa, Pelancaran karya, Seminar Pemikiran Tokoh Sastera dan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaaan peringkat Negeri Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here