Category: Umum

  • Tubuh Majlis Banjir Negara persediaan hadapi bencana

    Tubuh Majlis Banjir Negara persediaan hadapi bencana

    KERAJAAN dicadang menubuhkan Majlis Banjir Negara (MBN) yang akan menjadi penyelaras induk bagi menghadapi bencana banjir yang berlaku setiap tahun di negara ini.

    Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, MBN akan berperanan secara lebih berfokus dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir setiap kali bencana itu melanda saban tahun.

    “Majlis inilah nanti yang akan menyeleraskan semua perkara berkaitan banjir kerana saya faham apabila berlaku banjir baru-baru ini, timbul salah faham dan saling tuding-menuding bahawa ini, kena buat begitu dan begini, maka penting penyelarasan.

    “Tetapi yang saya lebih tekankan tentang bagaimana untuk menyediakan keperluan takaful atau tabung bagi tujuan itu, maka perlu ada satu tabungan yang tetap disediakan oleh kerajaan. Mungkin dalam bentuk yayasan di bawah majlis yang sama untuk memestikan perbelanjaan pengurusan banjir semuanya disatukan.

    “Bukan lagi ditarik sedikit daripada Jabatan Kebajikan, tarik sedikit daripada NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan daripada mana-mana pihak yang lain termasuk Jabatan Kebajikan,” katanya semasa perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkenaan bencana banjir, hari ini.

    Banjir besar yang berlalu bulan lalu di beberapa negeri mengakibatkan kerugian keseluruhan mencecah sehingga RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion.

    Mohd Khairuddin berkata, sistem pengurusan dan perlindungan ketika ini termasuk insurans atau takaful tidak memberikan perlindungan kepada pengurusan banjir yang boleh menyebabkan kehilangan harta benda ini yang mencecah jutaan ringgit.

    Katanya, sistem perlindaungan sedia ada juga tidak menyediakan perlindungan kehilangan nyawa akibat banjir.

    “Tiada juga sistem perlindungan untuk pertanian, tak ada sistem yang melindungi kerosakan tanam-tanaman akibat banjir, kerana itu saya melihat kerajaan perlu meneliti dan membuat keputusan suatu penyelesaian jangka masa panjang,” katanya.

    Beliau berkata, kerana itu sebagai perancangan jangka masa panjang, kerajaan disyorkan menubuhkan tabung khas.

    “Dananya yang disediakan boleh bersifat sebagai pelaburan dan mampu menjana pendapatan dalam jangka masa panjang bertujuan untuk menambahkan dana,” katanya.

    Pada masa yang sama, katanya lagi, semua pihak boleh menyumbang kepada tabung itu dalam bentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk memperkasakan dana yang ada supaya tabung itu terus dikekalkan.

    “Saya serahkan kepada mereka yang pakar dalam hal ini, yang penting saya lontarkan idea ini untuk kerajaan bertindak,” katanya.

  • Vaksinasi kanak-kanak 5 hingga 11 tahun mula Februari

    Vaksinasi kanak-kanak 5 hingga 11 tahun mula Februari

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula Februari ini, sebaik sahaja vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai 31 Jan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu adalah berdasarkan data, maklumat dan pandangan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), dan panel penulis Garis Panduan Klinikal Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak.

    “Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Februari ini di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

    Beliau berkata, tempahan janji temu vaksinasi bagi kanak-kanak tersebut akan dibuka secara berperingkat bermula 31 Jan ini, dan dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang dahulu, namun perinciannya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

    “Sistem tempahan janji temu melalui MySejahtera akan mula dibuka pada penghujung Januari 2022, dan sebagai permulaan ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera mereka,” katanya.

    Khairy berkata keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program ini adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit respiratori kronik, kardiovaskular, kencing manis dan penyakit saraf, kerana mereka lebih berisiko untuk mendapat penyakit COVID-19 yang teruk.

    Beliau berkata formulasi vaksin COVID-19 Comirnaty yang akan digunakan dalam program vaksinasi adalah formulasi khas untuk kanak-kanak, dan dibekalkan di dalam bebuli 10-dos (penutup jingga) dan perlu dicampur dengan 1.3 mL larutan garam biasa.

    “Setiap dos yang diberikan adalah 0.2 mL dan mengandungi 10mcg vaksin mRNA. Dos ini merupakan satu pertiga daripada dos yang digunakan bagi dos dewasa. Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos vaksin dengan sela masa lapan minggu, selepas dos pertama,” katanya.

    Khairy berkata berdasarkan data terkini yang diperolehi, sela masa lapan minggu antara dua dos yang diberikan akan memberi kesan tindak balas imuniti dan kadar keberkesanan yang lebih tinggi, serta berpotensi untuk memberikan perlindungan yang lebih lama.

    Bagaimanapun beliau berkata seperti vaksin yang lain, vaksin Comirnaty formulasi khas untuk kanak-kanak ini juga boleh memberikan kesan sampingan vaksin yang biasa dialami oleh kanak-kanak, seperti sakit pada tempat suntikan, kemerahan dan bengkak.

    “Tindak balas sistemik pula termasuklah keletihan, pening kepala, sakit otot, menggigil dan demam. Kebanyakan kesan sampingan vaksin ini adalah ringan dan sederhana, serta tidak berpanjangan,” katanya.

    Jelasnya KKM menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga 11 tahun dalam sistem pendidikan, dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan, dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan pelaksanaan.

    Dalam pada itu Khairy memaklumkan bagi tempoh 25 Jan 2020 hingga semalam, jumlah kes COVID-19 melibatkan individu berumur kurang daripada 18 tahun adalah sebanyak 579,624 kes, dengan 269,773 kes melibatkan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

    “Secara keseluruhannya, sebanyak 144 kematian telah direkodkan akibat daripada jangkitan COVID-19 dalam kalangan populasi berumur 18 tahun dan ke bawah. Daripada jumlah tersebut, 31 kes kematian melibatkan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun,” katanya. – BERNAMA

  • ‘’Nak jaga hati ‘orang rumah’ lebih daripada nak jaga rakyat’’ – Tajuddin

    ‘’Nak jaga hati ‘orang rumah’ lebih daripada nak jaga rakyat’’ – Tajuddin

    AHLI  Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berpandangan agihan tugas perlu dibuat dengan strategik sekiranya menteri sedang bercuti sewaktu bencana berlaku.

    Tegasnya, jentera kerajaan perlu berjalan dengan lancar menerusi arahan dari semasa ke semasa yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha kementerian.

    “Soalnya, kalau menteri tak ada (dalam negara) atau ada urusan, kita boleh maafkan…kita faham, terutama semasa hujung tahun, selalunya hujung tahun semua nak habiskan cuti.  

     “Saya dahulu kerja dengan kerajaan, timbalan menteri atau pengerusi GLC, saya tak pernah ambil cuti pun.

    “Sekarang ini, sikit-sikit nak cuti, kalau dia (menteri) tak mahu cuti, ‘orang rumah’ (isteri) pula ajak cuti, ini masalahnya apabila hendak jaga hati ‘orang rumah’ lebih daripada nak jaga rakyat.

    “Lepas itu, ‘orang rumah’ pula bukan satu, tetapi dua, tiga. Ini yang masalah ni. Jadi kalau keadaan begitu, pandai-pandailah menteri agihkan tugas itu kepada kepada orang bawah. Timbalan menteri pun bertanggungjawab,” katanya.

     Beliau berkata demikian ketika membahaskan isu banjir pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, pegawai-pegawai kerajaan seperti ketua atau timbalan ketua setiausaha, pengarah atau setiausaha bahagian patut berperanan sewajarnya semasa ketiadaan menteri.

    “Ini apabila menteri cuti, KSU cuti, TKSU cuti, semua cuti. Orang ramai ini yang ada ada urusan apa-apa tergendala.

    “Kalau cuti, jentera kerajaan perlu terus berjalan, agiihkan tugas kepada pegawai-pegawai lain,” katanya lagi.

  • Najib didakwa petik berita palsu berhubung MIT akan buka kampus di Indonesia

    Najib didakwa petik berita palsu berhubung MIT akan buka kampus di Indonesia

    LAPORAN berita dikongsi Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan Massachusetts Institute of Technology (MIT) akan membuka kampusnya bersama sebuah universiti terkemuka China di Indonesia adalah palsu, susulan kenyataan yang dikeluarkan universiti berprestij Amerika Syarikat (AS) itu menafikan dakwaan yang diterbitkan media Indonesia.

    Ketika memetik laporan tersebut, bekas Perdana Menteri itu berkata keputusan MIT dan Tsinghua University untuk membina kampusnya di Bali menunjukkan dua universiti terkemuka dunia itu lebih memilih Indonesia berbanding Malaysia sambil menambah ia adalah satu perkara yang mengecewakan ketika negara dalam usaha menjadi sebuah hab pendidikan antarabangsa.

    Beliau turut berkata sepanjang beliau memegang jawatan menteri pendidikan dan perdana menteri, sejumlah 11 universiti luar membina kampusnya di Malaysia.

    “Ratusan ribu anak Malaysia mendapat manfaat disamping menjimat kos pendidikan mereka.

    “Tapi rancangan ini seperti terhenti selepas PRU14,” katanya dalam sebuah hantaran Facebook semalam dan menambah rancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan terhenti selepas tumbang pada 2018.

    Najib berkata idea bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membawa universiti Jepun ke Malaysia juga tidak menerima tindakan susulan.

    “Jadi, saya harap menteri pendidikan hari ini akan berusaha untuk menarik Universiti Tsukuba dan lain-lain universiti terkenal dunia untuk mendirikan kampus di Malaysia agar negara teruskan hasrat bagi menjadi hab pendidikan antarabangsa serta menaikkan modal insan negara.”

    Bagaimanapun, MIT menafikan laporan tersebut, lapor portal MalaysiaNow

    Dalam sebuah respons terhadap dakwaan yang dibuat media Indonesia, MIT berkata ia tidak pernah menandatangani sebarang kerjasama dengan Tsinghua University untuk membina kampus di Bali, sambil menambah pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan kompleks universiti yang sedang dibina di pulau peranginan itu.

    Disember lalu, bekas Gabenor Bali Made Mangku Pastika memberitahu media bahawa sebuah universiti teknologi sedang dibina dengan kerjasama dua universiti.

    Difahamkan, universiti yang dinamakan Upaya Indonesia Damai itu akan dirasmikan Presiden Joko Widodo sekitar pertengahan tahun ini.

    Dalam pada itu, pemeriksaan turut menunjukkan bahawa MIT sudah menjalin sebuah bentuk kerjasama pendidikan dengan Malaysia yang membawa kepada penubuhan Asia Business School (ASB), sebuah kerjasama antara Bank Negara dan MIT Sloan School of Management.

    Fakulti ASB dan ahli lembaganya turut terdiri daripada ahli akademik terkemuka Amerika, termasuk pengasas MIT Sloan Charles Fine, Athanasios Orphanides dan Richard Schmalensee serta Davids Schmittlein.

  • Jangan beri laluan mudah pengeluaran wang KWSP – Anwar

    Jangan beri laluan mudah pengeluaran wang KWSP – Anwar

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak boleh diberi laluan secara mudah kerana ia adalah jaminan masa depan pencarum.

    Beliau berkata, daripada memberi kebenaran mengeluarkan KWSP apabila bencana menimpa negara khususnya banjir, kerajaan boleh menyalurkan pelbagai bantuan kepada mangsa.

    “Ada pandangan bahawa perlu beri kelonggaran bagi pencarum mengambil wang mereka sendiri… tetapi saya cenderung walaupun (pandangan) tidak popular, kita tidak boleh beri laluan mudah kerana wang ini yang sedikit adalah untuk menjamin masa depan mereka.

    “… dan ini kumpulan agak miskin, kalau diambil wang (KWSP) ini, dalam tempoh lima, enam tahun selepas bersara tidak ada jaminan keselamatan hidup mereka dan keluarga,” katanya ketika perbahasan mengenai bencana banjir pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

    Anwar berkata, kerajaan seharusnya menyalurkan bantuan kewangan tambahan antara RM5,000 dan RM10,000 bagi mengurangkan beban golongan yang terjejas banjir.

    Anwar turut mencadangkan supaya kerajaan menghentikan sementara pembalakan termasuk yang telah diluluskan sehinggalah kajian berkaitan risiko aktiviti tersebut selesai dijalankan bagi mengelak kawasan tadahan hujan terjejas.

    “Janganlah beri kelulusan baharu pembalakan tanpa mengira kedudukan, darjat, pengaruh politik. Kalau ada ketegasan, Parlimen akan beri sokongan penuh tanpa kira siapa,” katanya. – BERNAMA

  • Kerajaan teliti wujudkan NADMA peringkat negeri dan daerah

    Kerajaan teliti wujudkan NADMA peringkat negeri dan daerah

    KERAJAAN sedang meneliti untuk mewujudkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat negeri dan daerah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

    Beliau berkata, ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 22 Dis lepas supaya struktur NADMA diteliti semula untuk memperkukuh peranannya sebagai peneraju pengurusan bencana negara.

    “Perkara ini sedang dalam tindakan NADMA bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Antara perkara yang diteliti adalah pewujudan NADMA di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

    Abd Latiff berkata demikian ketika membentangkan mengenai pengurusan bencana banjir penghujung tahun 2021 dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

    Menyentuh mengenai hala tuju pengurusan bencana, Abd Latiff berkata NADMA turut mengambil inisiatif untuk memperkasakan pengurusan pengurangan risiko bencana (DRR) melalui penggubalan Dasar DRR termasuk penambahbaikan kefahaman tentang risiko bencana.

    “Meningkatkan pelaburan dalam inisiatif pengurangan risiko bencana daripada aspek kapasiti sumber manusia, pemerkasaan institusi, perluasan langkah mitigasi, aplikasi teknologi dan memperhebatkan langkah kesiapsiagaan nasional.

    “Selain itu, NADMA juga dalam proses menggubal Rang Undang-Undang Pengurusan Bencana yang bersifat omnibus antara lain meliputi aspek tadbir urus, penguatkuasaan, kesiapsiagaan, DRR, tindak balas, pemulihan dan pembangunan semula,” katanya.

    Beliau juga berkata, NADMA akan memperkasakan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) agar seiring perkembangan teknologi semasa.

    Katanya, ia mengambil kira keperluan dan kepentingan pengurusan maklumat yang dinamik, tepat dan cepat bagi membantu perancangan, pelaksanaan operasi, pemberian bantuan, pemulihan awal dan pembangunan semula.

    “Antara perkara yang akan diberi fokus adalah memastikan data-data bencana daripada pelbagai agensi adalah terseragam, terkini dan mempunyai ciri-ciri peramalan kesan serta penderiaan permintaan bagi membantu di dalam membuat keputusan,” katanya.

    Sebelum mengakhiri pembentangannya, Abd Latiff juga mengalu-alukan cadangan Ahli Parlimen pada Mesyuarat Khas berkenaan bagi menambah baik agensi dan bersedia dalam memastikan NADMA dapat menguruskan bencana negara dengan lebih cekap dan berkesan. – BERNAMA

  • Sidang khas Parlimen tidak bahas isu Azam Baki

    Sidang khas Parlimen tidak bahas isu Azam Baki

    PERSIDANGAN Khas Dewan Rakyat hari ini tidak membahaskan usul berkaitan pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berikutan ia tiada dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, beliau menerima notis usul itu daripada Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) dan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) untuk dibahas pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini, tetapi agenda persidangan khas itu ditetapkan oleh Perdana Menteri.

    Azhar berkata, beliau tidak menerima sebarang usul bagi membahaskan isu itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan oleh itu ia tidak dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM).

    “Saya mengakui menerima usul itu (daripada Salahuddin dan Kor Ming) dua hari lepas dan saya telah menjawab sidang khas hari ini dipanggil Perdana Menteri di bawah kuasa mutlaknya berdasarkan Aturan 11(3) Peraturan Mesyuarat. Mengikut peraturan itu, agenda sidang khas Perdana Menteri adalah di bawah kuasa mutlaknya dan beliau yang menyusun aturan agenda itu.

    “Oleh sebab itu, saya tiada kuasa untuk menerima usul-usul itu. Seperti yang Pulai (Salahuddin) kata, sudah tentu agenda ini ditetapkan Perdana Menteri, tetapi sehingga hari ini saya tidak menerima apa-apa notis oleh beliau mengenai usul itu jadi saya anggap usul itu tidak akan dimasukkan dalam AUM dan sidang perlu dijalankan mengikut AUM,” katanya pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini.

    Sebelum itu, kedua-dua Ahli Parlimen yang menghantar usul itu bangkit dan meminta agar usul itu dipertimbang untuk dibahaskan kerana ia turut menyentuh isu negara iaitu integriti SPRM dan penjawat awam.

    Setelah Azhar memberikan syornya, Gobind Singh Deo (PH-Puchong) bangun dan meminta Ismail Sabri hadir untuk mendengar penerangan kementerian bagi isu banjir dan juga isu akaun dagangan Azam yang akan dibangkitkan pembangkang selepas selesai memberi penerangan berkenaan bencana banjir.

    “Adakah Perdana Menteri akan hadir selepas penerangan beliau untuk dengar soalan kami? Soalan itu akan juga merujuk kepada Tan Sri Azam Baki. Ini perkara cukup penting, kami akan bahas perkara banjir dan bangkitkan isu SPRM. Boleh saya dapatkan pengesyoran daripada Perdana Menteri dan Tuan Speaker?” soalnya.

    Sidang khas hari ini membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir, pascabanjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir. – BERNAMA

  • Kementerian Pendidikan siasat isu menu RMT – Radzi

    Kementerian Pendidikan siasat isu menu RMT – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan mengenai menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang didakwa hanya menyediakan nasi putih dan kuah kepada murid-murid sekolah seperti ditularkan di media sosial.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau turut mengarahkan supaya sekolah terlibat dikenal pasti.

    “Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah arahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenal pasti sekolah yang terlibat. KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid,” katanya dalam catatan di akaun Facebooknya.

    Semalam, tular satu kiriman seorang pemilik Facebook berserta gambar yang dimuat naik sambil mendakwa cucu saudaranya hanya menerima menu RMT sedemikian.

    Pemilik Facebook itu juga mempersoalkan sama ada peruntukan RMT terlalu sedikit sehingga pengusaha kantin menyediakan menu makanan tambahan sebegitu kepada murid-murid sekolah rendah. – BERNAMA

  • Terence dakwa ujian kedua air kencing negatif dadah

    Terence dakwa ujian kedua air kencing negatif dadah

    AHLI  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Terence Naidu, mendakwa ujian kedua air kencing yang dilakukan di sebuah klinik swasta mendapati dirinya negatif dadah, kata Peguamnya Ramkarpal Singh.

    Ramkarpal dalam kenyataannya, selepas dibebaskan atas jaminan polis pada 14 Jan, Terence melakukan ujian saringan dadah dalam air kencingnya di sebuah klinik di Pulau Pinang, keesokannya.

    “Saya juga telah pun dimaklumkan oleh YB Terence bahawa beliau telahpun membuat ujian kedua tersebut sendiri di Klinik O2 oleh kerana beliau tidak berpuas hati dengan keputusan pertama polis yang mendapati terdapatnya kesan dadah dalam air kencingnya.

    “…dan juga oleh kerana permintaannya kepada pihak polis untuk melakukan ujian kedua tidak dibenarkan,” katanya seperti dilapor portal Free Malaysia Today.

    Beliau berkata, menurut Terence sampel air kencing diambil di klinik berkenaan dianalisa di makmal Pathlab dan keputusan menunjukkan tiada sebarang jenis dadah dikesan dalam air kencingnya.

    Ramkarpal ketika mengulas lanjut, berkata keputusan berhubung air kencing negatif dadah, diperoleh hari ini.

    “Justeru, YB Terence telah pun membuat satu laporan polis hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi melaporkan keputusan negatif ujian Pathlab tersebut dan memohon agar siasatan lanjutan dibuat,” katanya.

    Katanya, justeru, susulan perkembangan baharu ini, pihaknya menggesa polis bertindak segera.

    “YB Terence bersedia memberi segala kerjasama bagi tujuan tersebut,” katanya.

    Pada 15 Jan lalu, Terence mendakwa beliau dihidangkan minuman aneh sebelum ditahan kerana didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di Pulau Pinang.

  • ”Kita terimalah keputusan SC…Jangan fikir ikut kehendak kita” – PM ingatkan pembangkang

    ”Kita terimalah keputusan SC…Jangan fikir ikut kehendak kita” – PM ingatkan pembangkang

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pembangkang menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak menemui kepastian muktamad yang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki melakukan kesalahan berhubung pemilikan saham.

    Beliau berkata, SC sebagai badan profesional telah menjalankan siasatannya dan membuat keputusan.

    “Kita terimalah keputusan SC. Jangan kita minta supaya dia (Azam) disiasat dan apabila dia disiasat, keputusan dibuat, kita masih tak puas hati. Jangan kita fikir kita ikut kehendak kita,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi.

    Terdahulu, Suruhanjaya Sekuriti mendedahkan bahawa Azam sendiri yang menyampaikan arahan untuk menjual, membeli, serta memindahkan saham daripada akaun dagangan atas namanya itu.

    Oleh yang demikian, SC memutuskan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).

    Sebelum ini, SC memulakan inkuiri selepas Azam menjelaskan bahawa adiknya, Nasir Baki, melakukan pembelian empat juta saham dan waran dalam syarikat tersenarai awam, pada 2015-2016 menggunakan akaun dagangan beliau.

    SC dalam kenyataan semalam, mengumumkan ia tidak dapat memastikan “secara konklusif” sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu melakukan tindakan menyalahi Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).

    Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan tidak boleh mengikut kehendak pembangkang dalam isu Azam.

    Katanya, apa-apa isu berhubung Azam itu boleh ditanya kepada SC.

    “Kalau pembangkang rasa kita mesti ikut kehendak pembangkang, tidak boleh.

    “Jadi saya rasa, kalau ada apa-apa nak tanya SC punya keputusan, boleh tanya SC. Kita sebagai orang biasa di luar sana, keputusan SC jadi panduan untuk kita,” katanya.