Category: Umum

  • Perdana Menteri tunai impian ‘wartawan cilik’ Muhammad Haziq

    Perdana Menteri tunai impian ‘wartawan cilik’ Muhammad Haziq

    IMPIAN ‘wartawan cilik’ Muhammad Haziq Mohd Asyraf dari Bukit Selambau, Sungai Petani yang ingin bertemu dan menemu ramah Perdana Menteri menjadi kenyataan hari ini.

    Kanak-Kanak berusia 12 tahun itu dipertemukan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sebuah hotel di Alor Setar dan diberi kesempatan menemu ramah pemimpin nombor satu negara berkenaan.

    Dalam sesi temu ramah itu, Muhammad Haziq bertanyakan beberapa soalan kepada Perdana Menteri berkaitan makanan kegemaran, rutin harian dan sama ada beliau mengenali juadah kampung.

    Perdana Menteri turut ditanya mengenai perancangannya jika diberi peluang menerajui negara 10 tahun lagi dan Ismail Sabri menjawab beliau berharap dapat menghapuskan kemiskinan serta miskin tegar menjelang 2025.

    “Yang pertamanya kita beri fokus untuk menjadikan ekonomi kita negara berpendapatan tinggi, yang keduanya supaya kita boleh bantu masyarakat luar bandar, kita dapat hapuskan kemiskinan supaya tidak ada lagi orang miskin, miskin tegar, kita nak hapuskan dalam tahun 2025 nanti.

    “Negara kita pun ke arah neutral karbon supaya tidak ada lagi kalau kita tengok kilang-kilang, asap dan sebagainya, jadi nak jadikan negara kita neutral karbon. Ini semua perancangan masa depan untuk rakyat seperti Haziq,” katanya.

    Selepas sesi temu ramah itu, Muhammad Haziq yang ditemani ibunya Nur Shakilla Zainol, 33, dan beberapa ahli keluarga lain memberitahu Bernama bahawa dia amat berbesar hati dapat berjumpa serta menemu ramah Perdana Menteri.

    “Saya sangat berbesar hati dapat jumpa Perdana Menteri. Seronok dapat berjumpa Perdana Menteri Malaysia. Memang rezeki dapat jumpa Perdana Menteri.

    “Saya lihat beliau seorang yang baik, penyayang dan handsome orangnya,” kata Muhammad Haziq.

    Sebelum ini, Bernama melaporkan hasrat Muhammad Haziq untuk bertemu Ismail Sabri dan menemu ramah beliau jika diberi kesempatan.

    Ismail Sabri berada di Kedah untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara dan merasmikan projek Kedah Rubber City di Kuala Nerang esok.

    Muhammad Haziq sebelum ini meraih perhatian warganet dan menjadi popular selepas videonya yang melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Sungai Petani tular.

    Video itu, yang dimuat naik di Facebook Putra Mar pada 24 Jan lepas, telah mendapat 1.2 juta tontonan.

    Penghidap talasemia itu turut mendapat perhatian Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan menghadiahkannya telefon bimbit.

    Muhammad Haziq juga dihadiahkan sebuah tablet oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa selain menerima sumbangan persekolahan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan serta individu.

    — BERNAMA

  • Malaysia kini berdepan dengan gelombang Omicron sepenuhnya – Khairy

    Malaysia kini berdepan dengan gelombang Omicron sepenuhnya – Khairy

    MALAYSIA kini sudah sepenuhnya berdepan dengan gelombang varian Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Menerusi satu hantaran di Twitter rasminya, beliau berkata kes harian COVID-19 dijangka akan mencecah 15,000 tidak lama lagi.

    “Masih satu juta warga emas di negara belum menerima dos penggalak (vaksin COVID-19). Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera,” menurut hantaran itu hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai maklum balas perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di akaun Twitternya mengenai imej Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) kes harian COVID-19 dan unjuran kes dari 31 Ogos 2021 hingga 31 Mac ini.

    Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Khairy turut menyeru orang ramai untuk mengambil dos penggalak dan menekankan tujuan utama vaksin COVID-19 adalah bagi mengurangkan keseriusan gejala.

    “Dengan dos penggalak perlindungan anda daripada gejala serius yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital/ICU (unit rawatan rapi) lebih baik. Dapatkan suntikan dos penggalak,” katanya.

    Malaysia kembali merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi 10,000 apabila 10,089 kes baharu dilaporkan hari ini berbanding 9,117 semalam, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu kini meningkat kepada 2,914,220 kes.

    KKM nafi saran warga emas tidak keluar mengundi pada PRN Johor

    SEMENTARA ITU, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menafikan telah mengeluarkan saranan hebahan kepada warga emas berumur lebih 60 tahun supaya tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor akan datang, seperti ditularkan di media sosial baru-baru ini.

    Menurut hebahan palsu tersebut, kumpulan berkenaan disarankan agar berbuat demikian bagi mencegah penyebaran wabak COVID-19 dalam kalangan golongan warga emas.

    Bagaimanapun, KKM memaklumkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan saranan itu dan berharap orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu terbabit.

    — BERNAMA

  • SOP solat di masjid berkesan kekang penularan COVID – Ahmad Marzuk

    SOP solat di masjid berkesan kekang penularan COVID – Ahmad Marzuk

    PROSEDUR operasi standard (SOP) solat berjemaah di masjid, surau dan madrasah yang sedia ada ketika ini terbukti berkesan untuk mengekang penularan Covid-19.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata keberkesanan itu dapat dilihat apabila setakat ini tiada kluster masjid yang wujud.

    Katanya, disebabkan itu juga pihaknya mengekalkan SOP berkenaan sehingga ke hari ini termasuk akan mengguna pakai SOP yang sama bagi pelaksanaan solat tarawih pada bulan Ramadan nanti.

    “Sebab itu kami kekalkan SOP itu sehingga ke hari ini dan sekiranya ada berlaku perubahan dalam tempoh dua bulan lagi sebelum kita menyambut Ramadan, ia akan diumumkan oleh kerajaan. Sekiranya ada, ia terpulang kepada pandangan majlis agama negeri masing-masing untuk menggunakan SOP yang berkesan.

    “Kita juga belajar daripada beberapa insiden yang berlaku pada bulan Ramadan lalu apabila ada kluster daripada kumpulan tarawih yang tidak mematuhi SOP. Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa akan mempergiatkan lagi pemantauan supaya jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kolej Uniti di Kota Bharu hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Kolej Uniti Kota Bharu, Mohd Shaharom Azmin dan Pengurus Besar Pusat Pentadbiran YaPEIM Kelantan Nik Mohd Nurul Ihsan Salleh.  

    Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak berhasrat untuk memperkenalkan SOP khusus bagi ibadah tarawih sempena Ramadan akan datang sebaliknya akan mengekalkan SOP sedia ada.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain mengulas mengenai trend pasangan menceraikan pasangan menerusi aplikasi WhatsApp, Ahmad Marzuk berkata penceraian itu sah namun ia tidak bagus dari segi akhlak.

    “Dari sudut akhlaknya seorang suami itu tidak boleh sewenang-wenangnya menceraikan isteri dengan cara begitu mudah, Islam mengajar kepada kita, kita ambil cara baik, dan kalau kita nak lepaskan pun kena cara baik.

    “Sebab itu ia terdapat dalam khutbah nikah dan dibaca pada setiap majlis perkahwinan. Malah, bagi menjaga kemaslahatan kedua-dua pihak mestilah mengikut prosedur penceraian menerusi mahkamah untuk mendapatkan perakuan cerai yang rasmi,” katanya.

    — BERNAMA

  • DAP calonkan Chin Lin pertahan DUN Tangkak buat penggal ketiga

    DAP calonkan Chin Lin pertahan DUN Tangkak buat penggal ketiga

    SELEPAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, DAP hari ini mengumumkan calon parti itu bagi kerusi DUN Tangkak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

    Ee Chin Lin yang telah dua penggal menjadi ADUN di kawasan berkenaan dipilih lagi untuk mempertahankan kerusi itu melalui pengumuman oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

    Portal Malaysiakini melaporkan, Ee pertama kali memenangi kerusi itu dalam PRU 2013 dengan menewaskan penyandang daripada MCA, Goh Tee Tee, dengan majoriti 1,537 undi. Majoritinya pada PRU 2018, juga dengan menewaskan Goh, meningkat kepada 5,077 undi.

    Ee, 40, merupakan Setiausaha Politik Yeo bee Yin ketika beliau menjadi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim semasa pentadbiran PH.

    Dalam PRN kali ini, DAP mengadakan jelajah bertujuan memperkenalkan calon mereka satu per satu.

    Dalam jelajah pertama, penyandang kerusi DUN Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali diumumkan untuk mempertahankan kerusi itu.

    Terdahulu, DAP berdepan beberapa isu domestik berhubung calon dengan spekulas separuh daripada 14 penyandang daripada parti itu mungkin digugurkan.

    Ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan 59 cawangan parti negeri, yang menggesa kepimpinan parti supaya tidak meletakkan calon payung terjun dan sebaliknya mengutamakan pemimpin tempatan, lapor portal itu

    Dua penyandang, Tan Hong Pin (Skudai) dan Ng Yak Howe (Bentayan) juga menyatakan hasrat kepada Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong untuk mempertahankan kerusi mereka.

  • 10,089 kes hari ini…boleh cecah 20,000 hujung Mac jika Rt kekal 1.2

    10,089 kes hari ini…boleh cecah 20,000 hujung Mac jika Rt kekal 1.2

    JIKA kadar kebolehjangkitan (Rt) virus Covid-19 kekal pada kadar 1.2 kes harian boleh mencecah lebih 20,000 kes menjelang hujung bulan Mac.

    Ketika memaklumkan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata unjuran itu berdasarkan model Pemerhatian dan Unjuran Kes Harian SEIR oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    Bagaimanapun, beliau yakin tahap keparahan wabak itu dapat dikurangkan walaupun kes bakal melonjak tinggi, berikutan kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi.

    “Jika Ro/Rt adalah 1.2, kes harian diunjurkan mengikut kawasan warna beige (dalam grafik model SEIR). Namun, dengan liputan vaksin yang luas dan dos penggalak dapat mengurangkan keparahan kes,” katanya menerusi Twitter.

    Terdahulu, beliau memaklumkan nilai Rt di Malaysia sudah mencecah 1.2 semalam berbanding 1.13 kelmarin, dengan empat negeri merekodkan nilai Rt melebihi purata kebangsaan.

    Perlis mencatat nilai Rt tertinggi semalam dengan 1.49, disusuli Sabah (1.41), Putrajaya (1.29) dan Kedah 1.22.

    Jumlah kes harian Covid-19 kembali melonjak kepada lebih 10,000 kes hari ini, selepas berlegar sekitar 2,000 hingga 3,000 kes sejak pertengahan Disember tahun lalu, dipercayai akibat varian Omicron.

    Pola peningkatan kes harian mula dilihat pada 21 Januari lalu dengan 4,046 kes dicatatkan, sebelum melonjak kepada 5,439 kes pada 27 Januari, 7,234 kes pada 4 Februari, 9,117 kes semalam dan 10,089 kes hari ini.

    Setakat 25 Januari lalu, KKM merekodkan 601 kes varian Omicron yang amat mudah berjangkit di negara ini, dengan 579 daripadanya dikategorikan sebagai kes sporadik.

    Malaysia pertama kali mengesan kes positif Covid-19 varian Omicron pada 2 Disember lalu, membabitkan pelajar warga asing yang tiba ke Malaysia dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November tahun lalu.

  • Kerajaan bayar 50 hingga 60 peratus kerugian jemaah umrah

    Kerajaan bayar 50 hingga 60 peratus kerugian jemaah umrah

    KERAJAAN akan membayar 50 hingga 60 peratus kerugian yang dialami oleh jemaah umrah sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Jan lepas.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah melakukan tapisan senarai jemaah yang menanggung kerugian.

    Katanya, bagaimanapun proses berkenaan masih dalam penelitian di peringkat akhir dan ia dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini.

    “Kami mengetahui, kumpulan jemaah yang terkandas baru-baru ini untuk mengerjakan umrah mengalami kerugian tertentu yang melibatkan perbelanjaan seperti penginapan dan tempahan lain. Oleh itu, kerajaan akan menanggung sebahagian daripada perkara tersebut.

    “Proses ini masih dalam penelitian akhir, barangkali pertengahan bulan ini mengikut apa yang disebutkan oleh TH dengan kerjasama MOTAC dan kumpulan persatuan umrah akan memurnikan (membuat tapisan) senarai jemaah yang benar-benar menanggung kerugian,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Majlis Santuni Nelayan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata pembayaran berkenaan akan dibuat secara terus oleh TH kepada jemaah yang berkenaan.

    Katanya, jemaah perlu ke mana-mana cawangan TH yang terdekat dengan membawa dokumen berkaitan termasuk kad pengenalan diri, visa dan juga butiran terperinci mengenai umrah.

    “Kalau mereka ada akaun TH lagi senang memandangkan pembayaran akan dimasukkan secara terus ke akaun jemaah. TH akan agihkan peruntukan yang disediakan kerajaan, melalui Kementerian Kewangan,” katanya.

    Beliau turut mengingatkan kepada bakal jemaah yang akan menunaikan umrah pada Selasa ini (8 Feb) agar menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk kekal memakai pelitup muka dan sebagainya.

    “Seperti kita lihat, sehari dua ini berlaku peningkatan kes harian COVID-19 susulan penularan varian Omicron. Jadi saya harap supaya jemaah kekal patuh SOP memandangkan kita mahu memastikan mereka pulang dari umrah nanti agar tidak menyumbangkan kepada peningkatan kes yang mendadak,” katanya.

    — BERNAMA

  • Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri bina ekosistem TVET lebih bersepadu

    Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri bina ekosistem TVET lebih bersepadu

    Penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri sebagai badan perantara akan mewujudkan ekosistem TVET yang lebih bersepadu.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kewujudan badan perantara itu juga selari dengan agenda dan aspirasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB untuk membangunkan modal insan luar bandar yang berkualiti, berkemahiran dan memenuhi keperluan masa hadapan.

    “Pihak KPLB menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang telah memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri, pelaksanaan Hub Kolaborasi TVET serta cadangan penarafan tunggal Program TVET.

    ”Penubuhan GITC yang diterajui oleh pihak industri membolehkan pihak industri bersama-sama pihak kerajaan mengalas tanggungjawab bagi mengupayakan TVET dalam setiap rantaian nilai penghasilan graduan yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

    Beliau berkata, menerusi Hub Kolaborasi TVET, terdapat tiga institusi pendidikan TVET KPLB di bawah Majlis Amanah Rakyat, MARA.

    ”Institusi tersebut adalah Kluster Integrasi Sistem Avionik dan Komunikasi Satelit, UniKL MIAT, Kluster Automasi dan Robotik Industri, UniKL MFI dan Pusat Rel Asia UniKL yang diiktiraf sebagai antara hab fasa pertama Pusat Kecemerlangan Industri di Wilayah Tengah,” katanya.

    Pada masa sama kata Mahdzir, UniKL bersedia memainkan peranan yang dimandatkan dalam memacu kolaborasi bersinergi antara institusi TVET, Kerajaan dan industri menerusi perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan bagi pemerkasaan TVET.

    ”Untuk rekod, KPLB mempunyai 279 buah institusi pendidikan TVET di seluruh negara yang mempunyai kekuatan dan mengikut padanan dengan keperluan industri. Antara jalinan kolaborasi TVET KPLB dengan pihak industri termasuklah kolaborasi strategik dengan pelbagai sektor perindustrian melalui pemeteraian sejumlah 227 Memorandum Persefahaman (MoU) berstatus aktif,” katanya.

    Beliau berkata, kolaborasi merangkumi pembekalan teknologi terkini, kepakaran dan latihan secara profesional, pembangunan program, tenaga pengajar dan pelatih, pemindahan teknologi dan pengetahuan, peningkatan kemahiran dan latihan semula (upskilling dan reskilling).

    ”Kolaborasi itu memastikan semua pelatih TVET KPLB dilengkapi kemahiran kebolehpasaran yang tinggi mengikut keperluan industri dengan kadar upah yang tinggi.

    “Inisiatif-inisiatif yang dirancang ini mampu memperkemas dan memperkukuhkan lagi ekosistem TVET secara keseluruhannya dengan penggembelengan bersepadu semua pihak yang berkepentingan dalam usaha memartabatkan TVET sebagai pilihan pertama kerjaya,” katanya.

  • Jangan salahkan kerajaan kalau kena tindakan tegas

    Jangan salahkan kerajaan kalau kena tindakan tegas

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi amaran kepada semua rantaian pengedaran iaitu di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong serta peruncit bagi bekalan ayam dan telur ayam, supaya tidak memanipulasi harga bahan makanan berkenaan sehingga membebankan pengguna.

    Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada antara mereka cuba mengambil kesempatan berbuat demikian dengan meletakkan harga lebih tinggi daripada yang dibenarkan kerajaan.

    “Jangan salahkan kerajaan jika tindakan tegas dikenakan kepada mereka kerana kerajaan tidak akan berdiam diri dan bertolak ansur dengan mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap keperluan makanan asas ini.

    Saya harap amaran ini diambil perhatian oleh mereka yang berkaitan dengan menghentikan segera perbuatan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Penaja Tok Janggut Warriors FC di Agro Resort Jeram Mengaji dekat Selising di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian berikutan menerima beberapa aduan daripada rakyat bahawa terdapat sesetengah pembekal atau pemborong yang cuba menaikkan harga bahan makanan itu.

    “Kerajaan mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang bagi menyelesaikan masalah ini termasuk meluluskan lesen import ayam dan telur dari luar negara bagi menstabilkan harga bahan mentah itu di pasaran tempatan supaya tidak membebankan pengguna,” katanya.

    Semalam, Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam memaklumkan peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina menyumbang kepada gangguan bekalan telur ayam ketika ini.

    Beliau berkata KPDNHEP yakin bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meliputi semua lokaliti di Malaysia apabila ladang pengeluar telur ayam serta syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi. – BERNAMA

  • 9,117 kes baharu COVID-19, tertinggi bagi 2022

    9,117 kes baharu COVID-19, tertinggi bagi 2022

    MALAYSIA hari ini merekodkan 9,117 kes baharu COVID-19 iaitu angka tertinggi bagi tahun ini berbanding 7,234 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 meningkat kepada 2,904,131 setakat 12 tengah hari manakala jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan ialah 2,806,154 orang dengan pertambahan 6,546 individu hari ini.

    Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 47 adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya 9,070 kes lagi dalam kategori satu dan dua.

    “Sebanyak 134 kes merupakan kes import dan 8,983 kes tempatan dengan 123 daripadanya memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 67 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19.

    Dr Noor Hisham juga berkata, sebanyak 10 kluster baharu direkodkan dengan 353 kluster masih aktif setakat ini.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.13 setakat semalam dengan Perlis merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.33 diikuti Sabah (1.29) dan Kedah (1.19). – BERNAMA

  • Bekalan telur ayam pulih penghujung Februari

    Bekalan telur ayam pulih penghujung Februari

    BEKALAN telur ayam dalam pasaran di seluruh negara akan pulih pada penghujung bulan ini.

    Begitulah jaminan diberikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu kekurangan bekalan telur ayam dalam pasaran di negara ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, jaminan itu dibuat hasil pemantauan, pemeriksaan dan kutipan data membabitkan 50 syarikat yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di negara ini.

    Menurut Rosol, berdasarkan pemantauan sehingga 3 Februari lalu, sebanyak 91 peratus kesediaan bekalan telur ayam ada dalam pasaran negara dan jumlah stabil serta mampu memenuhi keperluan harian rakyat.

    Beliau berkata, kekurangan telur ayam disebabkan beberapa faktor termasuk peningkatan pembelian sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina yang dijadikan stok selain masalah logistik di ladang kerana cuti panjang menyebabkan wujud masalah penghantaran.

    Justeru katanya, jaminannya adalah pada minggu akhir Februari isu itu akan selesai.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Pasar Tani, Kuala Ping, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.

    Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu memberitahu, selain telur ayam, bekalan ayam mentah yang turut berdepan masalah kekurangan stok atas faktor sama juga dijangka selesai akhir bulan ini.

    Ujarnya, secara purata rakyat Malaysia menggunakan sekitar 30 juta biji telur ayam sehari dan 60 juta ekor ayam sebulan di mana data pada Februari menunjukkan kekurangan sebanyak 3 juta ekor ayam tetapi selepas ini pengeluaran ayam dijangka melebihi 60 juta.