SELEPAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, DAP hari ini mengumumkan calon parti itu bagi kerusi DUN Tangkak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Ee Chin Lin yang telah dua penggal menjadi ADUN di kawasan berkenaan dipilih lagi untuk mempertahankan kerusi itu melalui pengumuman oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Portal Malaysiakini melaporkan, Ee pertama kali memenangi kerusi itu dalam PRU 2013 dengan menewaskan penyandang daripada MCA, Goh Tee Tee, dengan majoriti 1,537 undi. Majoritinya pada PRU 2018, juga dengan menewaskan Goh, meningkat kepada 5,077 undi.

Ee, 40, merupakan Setiausaha Politik Yeo bee Yin ketika beliau menjadi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim semasa pentadbiran PH.

Dalam PRN kali ini, DAP mengadakan jelajah bertujuan memperkenalkan calon mereka satu per satu.

Dalam jelajah pertama, penyandang kerusi DUN Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali diumumkan untuk mempertahankan kerusi itu.

Terdahulu, DAP berdepan beberapa isu domestik berhubung calon dengan spekulas separuh daripada 14 penyandang daripada parti itu mungkin digugurkan.

Ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan 59 cawangan parti negeri, yang menggesa kepimpinan parti supaya tidak meletakkan calon payung terjun dan sebaliknya mengutamakan pemimpin tempatan, lapor portal itu

Dua penyandang, Tan Hong Pin (Skudai) dan Ng Yak Howe (Bentayan) juga menyatakan hasrat kepada Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong untuk mempertahankan kerusi mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here