Category: Umum

  • Kewangan negara ‘tidak semolek’ digambar – Muhyiddin

    Kewangan negara ‘tidak semolek’ digambar – Muhyiddin

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak akan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang didakwa “tidak semolek” seperti digambarkan.

    Bekas Perdana Menteri itu, berkata sekiranya mandat diberikan kepada Barisan Nasional (BN) sekali lagi, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku kepada negara yang sudah dirosakkan.

    “Nak pulihkan negara yang telah dirosakkan. Saya semalam minta satu laporan untuk sampaikan pada saya oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul  Tengku Abdul Aziz.

    “Nanti, satu ketika saya akan bocorkan bagaimana kedudukan kewangan negara kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran PN Johor yang disiarkan di laman Facebooknya, lapor FMT

    Muhyiddin juga menambah, berapa lama lagi negara boleh bertahan dengan hasil yang dikutip setiap tahun.

    Beliau mempersoalkan sama ada hasil negara itu cukup untuk menampung pembayaran gaji, termasuk pembangunan negara.

    “Berapa lama lagi kita boleh bertahan. Banyak mana hasil negara kita kutip tiap-tiap tahun cukup untuk menampung pembayaran gaji dan pembangunan negara.

    “Apa wang yang ada untuk membiayai bayaran pencen-pencen yang banyak. Saya cakap setakat itu sahaja kerana saya faham situasi negara tak semolek digambarkan. Itu cabaran besar,” katanya.

    Muhyiddin berkata, sekiranya di peringkat nasional sudah bermasalah, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

    Beliau menyarankan rakyat Johor memilih PN dan beranggapan BN dan Umno sudah berlalu di Johor.

    Katanya, juga istilah Umno-BN sebagai kubu kuat di Johor tidak boleh dipakai lagi kerana rakyat telah menolak parti itu, pada PRU14.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi PN, Hadi Awang berkata, rakyat Johor perlu berani membuat perubahan seperti di Sabah.

    Beliau mengingatkan juga kepada anak muda tidak termakan umpan DAP yang disifatkan sebagai parti ekstrem.

    Katanya, parti MUDA merupakan anak kepada DAP.

    “MUDA anak DAP. Ingat jangan makan umpan,” katanya.

    .

  • PRN Johor: KPM bincang dengan SPR tidak guna kelas peperiksaan SPM

    PRN Johor: KPM bincang dengan SPR tidak guna kelas peperiksaan SPM

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak menggunakan kelas yang dikhaskan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tempat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya akur dengan keperluan SPR untuk menggunakan 151 sekolah menengah sebagai pusat mengundi pada PRN Johor itu, namun penggunaannya harus diminimumkan agar tidak mengganggu perjalanan SPM yang berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini.

    “Bilik-bilik ini telah disusun oleh pihak sekolah mengikut indeks nama murid serta angka giliran. Sebarang gangguan kepada susunan atau aturan boleh memberi implikasi besar kerana peperiksaan SPM kali ini tidak macam tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Yayasan Didik Negara (YDN) di Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata, Ketua Pengarah Pendidikan Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid sudah berbincang dengan para pengetua sekolah terlibat semalam untuk memastikan proses peperiksaan SPM berjalan dengan baik ketika PRN Johor.

    SPR telah menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala hari penamaan calon pada 26 Feb dan tarikh mengundi awal pada 8 Mac.

    Menurut Radzi, KPM juga akan memohon kepada SPR untuk mengecualikan guru-guru yang terlibat dengan SPM seperti pengawas, petugas peperiksaan atau pemeriksa kertas SPM, daripada bertugas sebagai petugas PRN Johor.

    “Ini merupakan tempoh yang amat penting bagi guru-guru untuk menumpukan sepenuhnya kepada pelaksanaan SPM.

    “Bagi KPM, peperiksaan ini merupakan satu komponen yang cukup penting untuk ibu bapa dan anak-anak ini kerana kohort SPM 2021 yang paling terkesan dengan pendekatan kurikulum baharu. Anak-anak kohort ini tak pergi sekolah dua tahun, semasa mereka di Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima,” katanya.

    Radzi berkata, pendirian KPM apabila PRN Johor diumumkan adalah supaya sekolah menengah tidak digunakan, namun menyedari SPR juga mempunyai kekangan tertentu dan ada akta yang membolehkan suruhanjaya itu menggunakan sekolah sekiranya perlu.

    Mengenai prosedur operasi standard (SOP) SPM, Radzi berkata SOP yang sama seperti tahun lepas akan diguna pakai, antaranya calon positif COVID-19 tidak dibenarkan menduduki kertas pada hari berkenaan, sebaliknya mereka akan menjawab kertas peperiksaan pada tarikh lain yang ditetapkan KPM.

    Selain itu, setiap sekolah yang menjadi pusat peperiksaan SPM juga ada menyediakan bilik alternatif yang berperanan sebagai bilik pengasingan awal sekiranya terdapat calon yang sedang menjawab kertas peperiksaan disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    Calon yang menjadi kontak rapat pula perlu mengemukakan surat pengesahan daripada KKM yang menyatakan mereka perlu dikuarantin dan akan menduduki kertas peperiksaan pada tarikh lain, katanya.

    Mengenai YDN, Radzi berkata, yayasan itu berperanan sebagai badan rasmi yang bertanggungjawab untuk menggembleng sumbangan daripada pelbagai pihak, kemudian menyalurkan kepada pihak sekolah dengan lebih sistematik.

    “Kadang-kadang ada sekolah telah menerima sumbangan, namun tidak maklumkan kepada KPM, jadi berlaku pertindihan sumbangan. Oleh itu, dengan adanya YDN kita boleh selaraskan, jika data menunjukkan sekolah itu sudah menerima sumbangan, maka sumbangan yang ada boleh diagih kepada sekolah lain,” katanya.

    Menurutnya, YDN telah menerima lebih RM20 juta sumbangan dalam bentuk tunai dan barangan sejak didaftarkan Julai lepas. – BERNAMA

  • KPDNHEP serbu kedai runcit kenakan syarat beli minyak masak peket

    KPDNHEP serbu kedai runcit kenakan syarat beli minyak masak peket

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAH kedai runcit di Taman Kenari, Kulim diserbu kerana mengenakan syarat perlu membeli barangan lain, sebelum menjual minyak masak peket sekilogram kepada pelanggan.

    Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Kulim, Mohd Fazly Edros berkata, pihaknya turut menahan seorang individu berusia 50-an bagi disoal siasat.

    Katanya, kira-kira pukul 10.30 pagi satu siasatan aduan awam berkaitan pembelian minyak masak paket sekilogram telah dijalankan oleh KPDNHEP Cawangan Kulim di kedai runcit tersebut.

    “Seorang anggota menyamar terlebih dulu bagi mengetahui mengenai kebenaran aduan tersebut.

    “Hasil penyamaran mendapati pemilik premis mengenakan syarat supaya pengguna perlu membeli barang keperluan lain seperti gula , tepung gandum atau sardin terlebih dulu dan barulah peniaga itu akan menjual minyak masak paket sekilogram yang ada dalam simpanannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Fazly, berkata pasukan serbuan kemudiannya masuk ke dalam premis dan ketua pasukan menerangkan bahawa adalah menjadi suatu kesalahan sekiranya pemegang lesen runcit (CSA) barang kawalan mengenakan apa-apa syarat belian sebelum menjual barang kawalan kepada pengguna.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 70 kilogram (kg) minyak masak paket disimpan dalam kedai runcit tersebut.

    “Pemilik premis mengakui mengenakan syarat belian barang lain sebelum menjual minyak masak peket kerana terlalu ramai pelanggan ingin membeli minyak masak itu dengan kuantiti yang banyak.

    “Dakwanya, ada juga pelanggan yang sama berulangkali datang dan hanya membeli minyak masak peket sahaja,” katanya.

    Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tidak sah dalam penjualan barangan kawalan.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sama ada pemilik akan dikenakan kompaun atau didakwa di mahkamah.

    Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

  • Johor larang kegiatan politik di masjid dan surau

    Johor larang kegiatan politik di masjid dan surau

    TOKOH dan pemimpin daripada mana-mana parti politik tidak dibenarkan mengadakan sebarang kegiatan politik di dalam masjid dan surau di seluruh negeri Johor berkuat kuasa serta-merta.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, ketetapan itu diambil oleh Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

    Beliau berkata, setiap kadi daerah dipertanggungjawabkan untuk memastikan tiada sebarang kegiatan politik termasuk majlis ceramah mahupun memberikan ucapan di masjid dan surau di kawasan mereka.

    “Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JAINJ mengambil ketetapan tidak dibenarkan mana-mana tokoh dan pemimpin politik walaupun daripada parti kerajaan yang memerintah, menggunakan masjid serta surau untuk sebarang kegiatan politik,” katanya pada sidang media di Kulai, hari ini.

    Tosrin berkata, sekiranya perkara seumpama itu berlaku, ia akan dirujuk kepada Bahagian Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi memutuskan tindakan lanjut.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala tarikh penamaan calon pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA

  • Malaysia catat 26,701 kes baharu COVID-19 semalam

    Malaysia catat 26,701 kes baharu COVID-19 semalam

    KES baharu COVID-19 yang dicatatkan semalam adalah 26,701 menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 3,138,215 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 26,583 orang atau 99.56 peratus berada dalam kategori satu dan dua manakala 118 kes atau 0.44 peratus kategori tiga, empat dan lima.

    “Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 26,569 adalah kes tempatan manakala 132 lagi kes import,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19, hari ini.

    Sebanyak 11,744 kes sembuh direkodkan menjadikan kumulatif kini 2,888,194, selain kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 216 orang dengan 141 memerlukan bantuan pernafasan.

    Dr Noor Hisham berkata, 19 kluster baharu dikenal pasti dan jumlah kluster yang masih aktif adalah 481.

    Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam negara adalah 1.32 dengan Labuan mencatat nilai tertinggi iaitu 1.96 diikuti Sarawak 1.56 dan Sabah 1.51.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, penggunaan katil ICU bagi kes COVID-19 di dua negeri iaitu Johor dan Kelantan masing-masing berada pada tahap 65 peratus dan 50 peratus.

    Beliau berkata, bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), lapan negeri menunjukkan peratusan lebih 50 peratus dengan Perak mencatatkan kadar 74 peratus diikuti Negeri Sembilan 73 peratus.

    Bagi katil bukan ICU pula, sembilan negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus iaitu Perak (99 peratus), Kelantan (96), Selangor (93), Perlis (93), Putrajaya (85), Kuala Lumpur (84), Johor (80), Sabah (79) dan Pahang (51).

    “Secara keseluruhannya, kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes COVID-19 dan bukan COVID-19, namun setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas segera sekiranya didapati kapasiti fasiliti semakin penuh,” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata, kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital semalam adalah 1,469 dengan 947 kes (64.5 peratus) adalah kategori satu dan dua manakala 522 kes (35.5 peratus) kategori tiga, empat dan lima.

    Beliau berkata, terdapat kes COVID-19 kategori satu dan dua yang memerlukan kemasukan secara pre-emptive ke PKRC dan hospital antaranya disebabkan medical emergency seperti penyakit kencing manis, darah tinggi yang tidak terkawal serta baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit yang tidak terkawal. – BERNAMA

  • Cadangan buka sempadan MPN hasil persetujuan bersama – Muhyiddin

    Cadangan buka sempadan MPN hasil persetujuan bersama – Muhyiddin

    CADANGAN Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengenai pembukaan semula sempadan dibuat hasil persetujuan bersama dan bukannya keputusan sendiri, kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata cadangan tersebut telah dipersetujui secara bersama oleh ahli-ahli majlis berkenaan dalam mesyuarat MPN yang dipengerusikan beliau, baru-baru ini.

    Muhyiddin berkata pembukaan sempadan itu amat penting bagi merancakkan kembali ekonomi negara terutamanya sektor perniagaan dan pelancongan.

    Justeru, beliau berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan majlis itu untuk membuka semula sempadan negara seawal 1 Mac ini.

    “’Please’ (tolong) PM (perdana menteri), MPN sudah cadang dan saya bukan buat keputusan pandai-pandai. Dalam mesyuarat ada Menteri Kesihatan, (ditanya) kena kuarantin wajib, beliau kata tak payah, ada Jabatan Imigresen, (ditanya) bila boleh buka, boleh buka 1 Mac.

    “Maka, kita buat keputusan atas nama MPN supaya kerajaan boleh ambil tindakan segera buka sempadan,” katanya ketika berucap pada majlis Resepsi Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional di sini malam tadi.

    Turut hadir, Presiden Gerakan yang juga Ahli Dewan Negara Senator Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ketua Penerangan PN.

    Awal Februari lepas, MPN mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini, namun cadangan itu belum dibincangkan di peringkat Kabinet.

    Semalam, Mohamed Azmin berkata Kementerian Kesihatan dijangka mengemukakan cadangan mengenai pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat, sebelum memutuskan tarikh pembukaannya.

    — BERNAMA

  • Basikal kepada kanak-kanak hadir solat Subuh berjemaah 40 hari

    Basikal kepada kanak-kanak hadir solat Subuh berjemaah 40 hari

    MASJID Nur As-Sa’adah Kampung Pengkalan Batu di Melaka, menyediakan 40 basikal yang akan dihadiahkan kepada kanak-kanak yang menunaikan solat berjemaah selama 40 hari di masjid itu menerusi Program Istiqamah Subuh 40 Hari.

    Pengerusi masjid Datuk Amzah Osman berkata inisiatif berkenaan yang dijalankan sejak awal bulan ini bertujuan memberi suntikan semangat dan motivasi kepada anak-anak di dalam kariah itu sebagai usaha  melahirkan generasi berakhlak serta berdisplin, selain menyuburkan nilai-nilai murni.

    “Program ini bertujuan menjadikan tempat ibadah ini mesra kanak-kanak, sekali gus mengimarahkannya. Kami rasa seronok melihat perkembangan positif di masjid ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Melaka, hari ini.

    Beliau berkata pada hari persekolahan, ramai kanak-kanak hadir ke masjid lengkap berpakaian sekolah untuk menunaikan solat Subuh dan setiap mereka diberikan kad yang akan dicop sebagai tanda hadir bersolat jemaah.

    Katanya program itu melibatkan kos sekitar RM20,000, dan sejak dilaksanakan kehadiran generasi muda di Masjid Nur As-Sa’adah dilihat semakin bertambah, terutama pada hujung minggu bagi mengikuti tazkirah, kelas pengajian agama dan ceramah.

    Sementara itu Amzah berkata pihak masjid juga menyediakan Gerobok Rezeki untuk kemudahan  golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan barangan keperluan.

    Menurutnya sehingga kini terdapat 64 penerima setiap bulan yang datang mengambil barangan diperlukan seperti beras, gula, kopi, lampin pakai buang dan sebagainya.

    “Mereka diberi kad untuk memilih 24 barangan yang disediakan di sini secara percuma. Dana bantuan ini juga hasil sumbangan daripada dermawan dan orang perseorangan,” katanya yang berharap usaha itu menjadi ikutan kepada masjid lain.

    — BERNAMA

  • Elak ‘fear factor’ KKM tidak umum bilangan kes mulai esok

    Elak ‘fear factor’ KKM tidak umum bilangan kes mulai esok


    BERMULA esok, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi akan mengumumkan bilangan kes harian Covid-19.

    Sebaliknya, Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata perkembangan kes COVID-19 negara akan dimaklumkan pada jam 10 pagi, hari berikutnya.

    Langkah tersebut, jelas Khairy untuk memastikan keseluruhan data dapat diperincikan dengan lebih menyeluruh.

     “Ia akan dimaklumkan bersama data-data yang lain pada pukul 10 pagi keesokan hari. Ini adalah supaya dapat baca data kes harian bersama dengan data-data lain seperti kemasukan kes hospital dan sebagainya.

    ”Ini untuk kita mengurangkan ‘fear factor’ kes harian dan ia perubahan budaya. Berhenti melihat kepada (kes harian), tetapi kita melihat bersama dengan semua data,” katanya dalam sidang media, di Putrajaya, hari ini lapor Astro Awani.

    Khairy berkata, perincian matrik dan data dapat membantu rakyat memahami keadaan sebenar mengenai situasi Covid-19.

    Beliau seterusnya berkata, KKM memberi jaminan bahawa segala persiapan dan persediaaan yang rapi telah dilakukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan gelombang varian Omicron.

    Katanya, walaupun berlaku peningkatan kes harian Covid-19 dan bilangan kemasukan ke hospital, tetapi vaksin menunjukkan keberkesanan yang amat baik dalam melindungi individu daripada jangkitan yang lebih teruk.

    “Sebab itulah sehingga hari ini, kita hanya menyaksikan sedikit peningkatan dalam bilangan kemasukan ke ICU dan juga kes kematian akibat Covid-19. Bilangan kemasukan ke ICU dan kematian akibat Covid-19 adalah 80 hingga 90 peratus lebih rendah berbanding pelaporan pada Ogos tahun lalu walaupun bilangan kes pada ketika ini adalah lebih tinggi,” katanya.

  • Masjid di Terengganu diarah pasang kanopi untuk tambah jemaah

    Masjid di Terengganu diarah pasang kanopi untuk tambah jemaah

    SEMUA masjid di Terengganu diarahkan untuk menyediakan kanopi yang mencukupi di ruang luar, sama ada di kawasan parkir atau mana-mana ruang kosong yang bersesuaian, bagi memberi peluang lebih ramai jemaah dapat mendirikan solat Jumaat.

    Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas pada 11 Jan lalu.

    “Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, menzahirkan kebimbangan baginda terhadap situasi kehadiran dan sikap segelintir sambil lewa jemaah lelaki ke masjid, terutama pada hari Jumaat.

    “Oleh itu, ahli jawatankuasa (AJK) masjid perlu memainkan peranan berterusan, dalam menggalakkan jemaah hadir menunaikan solat Jumaat. Selain parkir, mana-mana masjid yang mempunyai ruangan solat bertingkat, hendaklah dibuka bagi digunakan sepenuhnya untuk ibadah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Shaikh Harun turut meminta AJK masjid dan surau, agar terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi dan dilaksanakan dengan sebaiknya.

    “Walaupun penggunaan pengimbas suhu tidak lagi diwajibkan, namun jemaah diwajibkan merekodkan butiran diri menerusi aplikasi MySejahtera atau ditulis di dalam buku rekod yang disediakan.

    “Mesyuarat juga bersetuju menangguhkan bacaan qunut nazilah ketika solat Jumaat dan solat hajat selepas Jumaat. Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui semua pejabat agama daerah diminta membuat pemantauan kehadiran ahli kariah lelaki ke masjid untuk solat Jumaat,” katanya.

    Mana-mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), adalah tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.

    — BERNAMA

  • Beg dilarikan 5 suspek kes samun berisi barang kemas bernilai RM500,000

    Beg dilarikan 5 suspek kes samun berisi barang kemas bernilai RM500,000

    POLIS sedang memburu lima lelaki bersenjatakan parang yang melakukan samun dan melarikan satu beg berisi barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 di sebuah stesen minyak di Lukut, Pert Dickson, semalam.

    Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu suspek menyamun mangsa yang merupakan pemilik kedai emas.

    Menurutnya, suspek mengambil tiga buah beg berisi barang kemas, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri.

    “Bagaimana pun dua daripada tiga beg itu telah dijumpai semula di dalam Honda CRV yang terbalik di hadapan deretan kedai.

    “Siasatan awal mendapati tiada unsur penglibatan orang dalam walaupun ada pihak yang mengatakan seolah-olah kes samun itu telah dirancang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, kumpulan suspek ini dipercayai telah mengekori mangsa sejak dari awal sehingga berhenti di stesen minyak.

    “Usaha mengesan kesemua suspek yang dipercayai bukan penduduk Port Dickson itu giat dilakukan dan orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat diminta membantu siasatan.

    “Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999,” katanya.