Category: Umum

  • Manifesto PN realitik, tumpu kos sara hidup, kenaikan harga barang – Muhyiddin

    Manifesto PN realitik, tumpu kos sara hidup, kenaikan harga barang – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengetengahkan manifesto yang bersifat realistik antaranya menumpukan isu kos sara hidup rakyat dan kenaikan harga barang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi gabungan politik itu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN akan turut memberi penekanan terhadap isu pendidikan berkualiti selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

    “Kami kalau dah bentuk kerajaan, kami janji akan laksana dan  tunaikannya… contohnya isu perumahan dalam kalangan generasi kedua Felda… bila kita diberi peluang mentadbir Johor, antara yang kita akan beri perhatian adalah sediakan peluang perumahan untuk kumpulan ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada ceramah umum bersama warga Felda Sri Ledang dekat sini malam ini. 

    Turut hadir Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin. 

    Penamaan calon PRN Johor akan berlangsung Sabtu ini manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac dan undi awal pada 8 Mac.

    — BERNAMA

  • ”SOP PRN masih ketat, pertimbangkan semula” – Muhyiddin

    ”SOP PRN masih ketat, pertimbangkan semula” – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih ketat dan mahu ia dilonggarkan lagi.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, SOP yang menetapkan ceramah hanya boleh diadakan di satu tempat iaitu bilik gerakan sebagai tidak praktikal.

    ‘’Tak kan seluruh Johor hendak datang ke satu-satu tempat. Kalau satu awasan yang ada lebih 30,000 pengundi macam macam hendak hubungi pengundi? Kena beri kelonggaran..calon harus dibearkan pergi ke mana-mana untuk memperkenalkan diri.

    ‘’Langkah yang diperkenalkan ada sedikit kelonggaran tetapi tidak memadai kerana tempoh kempen tak panjang kebanyakan calon orang tak kenal, jadi pertimbangkan semula (SOP),’’ katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Felda Taib Andak, di Kulai.

    Mengenai calon PN, beliau berkata, ia akan diumumkan esok di Johor Bharu dan menggabungkan pelbagai latar belakang dari segi usia dan bidang.

    ‘’Memang ada calon muda, saya umumkan nanti, pasti ada calon muda, wanita, calon berpengalaman… komunikasi pengalaman dan muda yang boleh menggambarkan kesediaan PN membentuk kerajaan negeri…kita akan umumkan.

    (Rundingan) dalam kalangan PN dah selesai,’’ katanya.

  • Covid-19 : Individu tidak divaksin berhadapan risiko kematian

    Covid-19 : Individu tidak divaksin berhadapan risiko kematian

    KUMPULAN individu yang tidak divaksin tanpa mengira usia merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 kategori empat dan lima serta berdepan dengan kematian akibat jangkitan virus berkenaan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keadaan itu dapat dilihat menerusi data Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kes Covid-19 kategori empat dan lima serta data kematian akibat pandemik itu bagi setiap 100,000 populasi dalam tempoh 26 Jan hingga 22 Feb.

    “Ini dapat dilihat pada carta KKM dan hampir semua kumpulan umur,” katanya dalam kenyataan yang turut memuatkan carta yang menunjukkan kes Covid-19 kategori empat dan lima serta kematian bagi setiap 100,000 penduduk adalah lebih tinggi dalam kalangan individu yang tidak divaksin sepanjang tempoh berkenaan. 

    Menurut Dr Noor Hisham kumpulan individu yang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 adalah yang paling terlindung daripada pandemik tersebut.

    “Dapat dilihat jumlah kes yang lebih rendah dijangkiti Covid-19 yang serius (kategori tiga, empat dan lima) dan juga kematian dalam kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi dan kumpulan yang lengkap divaksinasi tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya,

    Beliau berkata vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius Covid-19.

    Mengenai peratus penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital Dr Noor Hisham berkata empat negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu Kelantan dengan 78 peratus, diikuti Johor (69 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus) dan Melaka (54 peratus).

    Merujuk kes positif Covid-19 yang dicatatkan semalam, beliau berkata 27,179 kes direkodkan dengan 99.37 peratus atau 27,007 kes merupakan kes kategori satu dan dua manakala hanya 172 kes atau 0.63 peratus merupakan kes dalam kategori tiga, empat dan lima.

    Sebanyak 19,037 kes sembuh Covid-19 dicatatkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini menghampiri tiga juta kes iaitu 2,974,441 kes.

    — BERNAMA

  • Najib bawa budaya tak malu – Dr.Mahathir

    Najib bawa budaya tak malu – Dr.Mahathir

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Najib Razak telah membawa “budaya tidak malu” melalui slogannya Malu Apa Bosku.

    Dr. Mahathir memberikan contoh ekstrim pemimpin negara berbogel dan kencing di khalayak awam ketika kawad hormat ketika sambutan rasmi pemimpin asing.

    “Kita sudah terpesong oleh satu hujah dibawa parti lawan, iaitu BN, Najib, yang berkata bahawa kita tak perlu malu. ‘Apa nak malu? Yang melakukan ini ialah pemimpin kita, dan pemimpin kita ini adalah Melayu-Islam. Tak perlu malu’.

    “Kalau dia curi duit atau ayam, kita tak akan anggap ini kesalahan kerana ini bukan sesuatu yang memalukan kita, tapi fikirkanlah, satu hari kita nak terima pelawat dari negara luar – pemimpin, presiden atau raja. Bila sampai Malaysia, kita mesti ada barisan kehormatan.

    “[…] (Barisan itu) datang dengan seragam lengkap, berpingat berselempang, tetapi pemimpin kita berbogel, cuma pakai kopiah sahaja. Kenapa bogel? ‘Apa nak malu? Pemimpin kita, bogel tak apalah’. 

    “Pemimpin bogel kita berkawad dengan pelawat asing memeriksa barisan kehormatan, sampai separuh jalan kena hormat bendera. Entah macam mana, pemimpin bogel ini nak terkencing. ‘Apa nak malu, kencinglah’.

    “Jadi sambil orang asing ini hormat bendera kita, pemimpin kita kencing. Sambil berdiri bogel kencing. ‘Nak malu apa? Pasal ini (kan) pemimpin kita’,” katanya lapor Malaysiakini.

    Kata Dr. Mahathir, itulah budaya yang dibawa oleh Najib yang mahu dibanteras Pejuang.

    Beliau berkata demikian selepas pelancaran manifesto parti itu di Putrajaya yang dinamakan Aspirasi Pejuang Johor untuk PRN negeri itu, antara lain untuk mengembalikan budaya hormat dan tidak memalukan, serta menolak rasuah.

  • ”Saya tidak ada kroni, hanya beberapa individu berkebolehan” – Tun Mahathir

    ”Saya tidak ada kroni, hanya beberapa individu berkebolehan” – Tun Mahathir

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mendakwa dia tidak mempunyai kroni seperti yang didakwa oleh seteru politiknya, Najib Razak.

    Sebaliknya kata Dr. Mahathir, beliau hanya memiliki beberapa individu yang berkebolehan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

    “Saya tak payah Najib nak jaga kroni saya, saya boleh jaga kroni saya, (tapi) saya tak ada kroni saya hanya ada orang berkebolehan. Saya tak tolong orang yang tak ada kebolehan,” katanya pada sidang media Perjuang, lapor Malaysiakini.

    Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab surat kedua Dr Mahathir kepada pengundi Johor dengan mendakwa bahawa Pengerusi Pejuang itu pernah beberapa kali menarik sokongan terhadapnya kerana tidak menjaga kroninya.

    Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu sering memberi tekanan kepadanya untuk memberikan projek kepada kroninya ketika dia menjadi Perdana Menteri.

    Mengulas lanjut Dr Mahathir mendakwa beliau hanya memberi sokongan pada individu yang boleh memberi kemajuan kepada negara.

    Bahkan katanya, anaknya sendiri pun dia tidak berikan sebarang projek ketika menjadi perdana menteri.

    Beliau turut meminta Najib mengemukakan bukti jika benar anaknya menjadi jutawan disebabkannya.

    “Malangnya yang saya tolong tu banyak, yang gagal tak jadi kroni yang menang saja jadi kroni. Eh, bukan main banyak dapat bantuan kenapa tak dipanggil kroni. Ini cuma tuduhan palsu Najib, tapi ini bukanlah sesuatu yang asking daripada Najib dia memang cakap bohong, dia boleh curi duit lepas tu dia cakap curi duit pun tak apa,” katanya.

  • Bekas Pengerusi Goldman bincang dapatkan kerja untuk 3 anak Najib

    Bekas Pengerusi Goldman bincang dapatkan kerja untuk 3 anak Najib

    SAKSI  utama perbicaraan rasuah bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng memberi keterangan bahawa bekas Pengerusi Goldman Lloyd Blankfein pada 2009 bertemu dengan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak dan pertemuan itu diadakan dengan agenda.

    Sebagai balasan untuk perniagaan yang memberi keuntungan, Goldman akan mendapatkan pekerjaan kepada tiga anak Najib di bank itu, kata bekas Pengerusi Asia Tenggara Tim Leissner kepada juri dalam keterangan hari kedua pada Selasa mengenai skim 1MDB, lapor FMT.

    Dalam laporan yang dipetik daripada Bloogberg itu Leissner, 52, dengan panjang lebar menggambarkan bagaimana kakitangan bawahannya dan sekumpulan rakan kongsi Goldman melakukan penyelewengan wang 1MDB.

    Dia telah mengaku bersalah atas pengubahan wang haram dan memberi rasuah pegawai asing. Ng, bekas ketua perbankan pelaburan di Malaysia, didakwa bersubahat dengannya untuk pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti-rasuah Amerika Syarikat (AS).

    Ng adalah satu-satunya bekas kakitangan bank Goldman yang dibicarakan dalam skandal itu.

    Leissner memberi keterangan bahawa Ng memberitahunya Najib telah pergi ke New York untuk melawat anak-anaknya di AS untuk cuti Kesyukuran dan bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, merasakan ia satu peluang yang baik untuk Blankfein dan Najib bertemu dan mempromosikan urus niaga bon.

    Selepas bertemu dengan Low, Ng berkata Najib mahu mendapatkan pekerjaan anak-anaknya di Goldman, Leissner memberitahu juri di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York.

    Ng, yang telah mengembara ke New York untuk bertemu dengan bos Goldmannya, memberitahu Leissner dia telah bertemu sendiri dengan anak-anak Najib, menurut Leissner.

    “Baru sahaja bertemu tiga anak PM di apartmennya, saya bersama Jho di apartmennya,” Leissner membacakan kepada juri daripada e-mel. Dia berkata Ng menambah: “Bertemu dengannya lagi esok dan akan berusaha mendapatkan tiga anaknya untuk menyertai Goldman Sachs.”

    Leissner tidak menyatakan keraguan tetapi sebaliknya dengan penuh semangat menjawab: “Bunyinya bagus, mari kita sertakan mereka.”

    Akhirnya, Leissner memberi keterangan, dia membantu mendapatkan anak perempuan Najib pekerjaan di TPG.

    Sementara itu, Najib menafikan dakwaan tiga anaknya dijamin pekerjaan dengan bank pelaburan multinasional Amerika Syarikat, Goldman Sachs.

    Beliau berkata, keterangan bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner semalam dan laporan media seperti mahu menggambarkan percubaan mereka untuk menyogok beliau.

    “Walaupun tajuk berita media-media tempatan memberi bayangan bahawa saya disogok oleh Goldman Sachs yang tawarkan kepada anak-anak saya bekerja di bank tersebut, apa yang diterangkan oleh saksi, bekas eksekutif Tim Leissner ialah percubaan mereka untuk menyogok saya.

    “Namun ini tidak berlaku dan tiada seorang pun anak saya pernah ditawarkan pekerjaan di Goldman Sachs dan tidak pernah bekerja di bank Amerika Syarikat itu,” katanya di Facebook.

  • Dakwaan wujud kartel PDRM tidak dapat ditentusahkan – EAIC

    Dakwaan wujud kartel PDRM tidak dapat ditentusahkan – EAIC

    DAKWAAN wujud ‘kartel’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana didakwa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak dapat ditentusahkan, menurut Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

    Pengerusi EAIC ,Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, keputusan itu adalah dapatan siasatan badan itu berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh.

    “Dapatan siasatan dan keputusan EAIC itu telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya sambil memberitahu siasatan berhubung dakwaan itu telah selesai.

    Beliau berkata, siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM terlibat kegiatan sindiket jenayah dan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta PDRM terhadap pegawai-pegawai terbabit.

    “Bagaimanapun, dakwaan Abdul Hamid bahawa pegawai-pegawai terlibat dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, berdasarkan keterangan diperoleh EAIC menunjukkan mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat selain pertukaran diamalkan oleh PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti serta mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi selain dicampur tangan oleh pihak luar.

    Selain itu, Sidek berkata, Ketua Polis Negara merupakan ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan berhubung pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan PDRM perlu mendapat persetujuannya.

    “Kedudukan Abdul Hamid selaku Ketua Polis Negara juga tidak dapat digugat kerana pelatikan itu adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

    Pada 18 Mac dan 22 Mac tahun lepas, Abdul Hamid membuat pendedahan mengenai wujudnya gerakan sekumpulan pegawai PDRM yng ingin menjatuhkan beliau serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka. – BERNAMA

  • Hanya 57 laporan kesan ringan vaksin terhadap kanak-kanak

    Hanya 57 laporan kesan ringan vaksin terhadap kanak-kanak

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menerima sebanyak 57 laporan berhubung kes Kesan Buruk Susulan Imunisasi (AEFI) daripada seramai 564,220 kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini.

    Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, daripada keseluruhan laporan yang diterima menerusi aplikasi MySejahtera itu, hanya seorang kanak-kanak dimasukkan ke hospital dipercayai akibat masalah asma yang teruk.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) menjelaskan, kanak-kanak terbabit yang mempunyai sejarah penyakit asma bagaimanapun sudah dibenarkan keluar daripada hospital dan kini berada dalam keadaan sihat sepenuhnya.

    Tambah beliau, secara keseluruhan juga, AEFI bukan sesuatu yang serius sebaliknya hanya gejala sampingan ringan seperti demam, lenguh, pening dan kebiasaannya akan hilang sepenuhnya selepas satu atau dua hari menerima suntikan vaksin.

    “Ketika ini, Sarawak mendahului kadar penerimaan vaksinasi untuk kanak-kanak antara lima hingga 11 tahun diikuti Melaka; Lembah Kelang; Perak dan Pulau Pinang iaitu antara 20 hingga 30 peratus.

    “Tiga negeri dengan kadar vaksinasi terendah pula ialah Kelantan, Terengganu dan Sabah dengan kadar vaksinasi di bawah 10 peratus,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam perkembangan sama,  Dr. Noor Azmi memberitahu, sehingga semalam sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) merekodkan antara 31 hingga 74 peratus pemberian vaksin untuk kanak-kanak berbanding sekolah kebangsaan (SK) iaitu antara 5.9 hingga 21.9 peratus.

    “Sehubungan itu, kita mengingatkan ibu bapa supaya segera mendapatkan vaksin bagi  anak-anak mereka dan tidak mempercayai sebarang berita yang tidak sahih mengenai pemberian vaksin untuk kanak-kanak ini,” katanya.

  • Pengumuman buka semula sempadan negara dalam masa terdekat – Muhyiddin

    Pengumuman buka semula sempadan negara dalam masa terdekat – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman pembukaan semula sempadan negara akan dibuat dalam masa terdekat.

    Memetik laporan FMT, beliau memaklumkan perkara itu selepas mendengar taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, hari ini.

    Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan berada dalam proses akhir.

    “Majlis juga mengambil maklum pihak KKM dalam proses akhir untuk memuktamad SOP bagi pembukaan sempadan negara untuk persetujuan Jemaah Menteri.

    “Pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN.

    Muhyiddin berkata, jika sempadan negara lambat dibuka semula, ia akan memberi kesan besar dan negara akan menanggung kos kerugian amat besar.

    Katanya, cadangan awal MPN supaya sempadan dibuka 1 Mac sebelum ini juga tidak dibantah agensi lain termasuk KKM apabila mereka mengatakan pintu sempadan negara boleh dibuka.

    “Mereka (kerajaan) maklum telah mengambil kira apa yang telah diputuskan MPN dan sememangnya wajar dipercepat buka sempadan.

    “Jangan lambat sebab sehari lambat, kos kerugian bagi negara amat besar terpaksa ditanggung, cepat buka untung kepada Malaysia amat banyak,” katanya.

    Sementara itu, katanya, pihak MPN menyokong supaya aktiviti gelembung pelancongan ke Langkawi ditambah baik dengan mengambil kira penelitian semula saringan secara harian.

    Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0 akan disiapkan sebelum dikemukakan kepada kerajaan bagi membawa negara kepada keadaan seperti sedia kala sepertimana sebelum penularan pandemik Covid-19.

  • Misi kemanusiaan bukan untuk iktiraf kerajaan Afghanistan – Saifuddin

    Misi kemanusiaan bukan untuk iktiraf kerajaan Afghanistan – Saifuddin

    MISI kemanusiaan ke Kabul, Afghanistan bukan untuk mengiktiraf kerajaan di sana tetapi hanya untuk memastikan rakyat di negara itu dibantu, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    “Kita memantau perkembangannya dengan rapat, ada parameter ditetapkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan juga Kerajaan Malaysia sebelum kita mengiktiraf kerajaan Afghanistan.

    “Tetapi sementara kerajaan itu belum diiktiraf, rakyatnya menderita dan perlu dibantu, itulah yang sedang kita lakukan,” katanya pada sidang media misi bantuan kemanusiaan Malaysia untuk Afghanistan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang hari ini.

    Misi yang berlepas hari ini terdiri daripada 12 anggota delegasi termasuk media itu akan berhenti di Hyderabad dan Islamabad bagi tujuan pengisian minyak serta logistik dan dijangka memasuki Kabul pada 23 Feb dan akan keluar setelah bantuan selesai disampaikan.

    Misi bantuan kemanusiaan itu melibatkan sumbangan seberat lima tan meliputi pakaian musim sejuk, jaket, selimut dan susu tepung dan keperluan asas lain akan dihantar kepada rakyat dan kanak-kanak Afghanistan yang memerlukan, bernilai lebih RM1 juta selain bantuan berbentuk kepakaran dalam membantu membina dan membangun semula negara itu.

    Sebelum ini, Afghanistan berada dalam keadaan bergolak apabila tentera Taliban menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani pada pertengahan Ogos lepas susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun mendudukinya. – BERNAMA