Category: Umum

  • Tewas dalam PRN Johor, Warisan susun strategi untuk PRU15

    Tewas dalam PRN Johor, Warisan susun strategi untuk PRU15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Warisan (Warisan) yang tewas di semua enam kerusi ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan berputus asas sebaliknya menyusun strategi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti tersebut perlu melihat ke hadapan dan melakukan persediaan untuk PRU-15.

    “Keputusan PRN Johor tidak seperti apa yang kita harapkan dan masa juga tidak menyebelahi kita, namun ini bukan masanya untuk kita berputus asa.

    “Kini adalah masa untuk kita menyusun semula strategi dan mengorak langkah maju ke depan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

    “Perjuangan kita ke arah Malaysia yang lebih baik mesti diteruskan. Pada tuhan kita yakin, berpadu kita mesti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada PRN Johor, Warisan tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Pekan Nanas, Bekok, Johor Jaya, Mahkota dan Bukit Batu.

    Sementara itu, Mohd. Shafie mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan mereka dalam PRN Johor.

    Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerja keras dan usaha berterusan ditunjukkan jentera parti itu serta rakyat Johor kerana sudi menerima kedatangan mereka.

    “Paling penting, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang berkempen tanpa mengenal penat lelah dan tanpa jemu untuk Parti Warisan,” ujar Ahli Parlimen Semporna itu.

  • Keputusan PRN Johor tak jejas hubungan Kabinet – PM

    Keputusan PRN Johor tak jejas hubungan Kabinet – PM

    KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar semalam, diyakini tidak menjejaskan hubungan di peringkat kerajaan Persekutuan, yang meliputi menteri serta timbalan menteri daripada parti yang berbeza.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun mesyuarat Kabinet pertama selepas PRN itu hanya akan berlangsung minggu depan, namun beliau optimis bahawa semua anggotanya adalah profesional, dan dapat membuat keputusan baik demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. 

    “Kami profesional dan fokus kepada dasar serta isu negara…kami (Kabinet) profesional kerana di situ dasar negara perlu dibincangkan dan perlu diputuskan secara bersama, tidak ada isu bertelagah kerana berlainan parti. 

    “Waktu PRN Melaka pun kami bertembung, dan tidak bawa pertembungan itu ke Kabinet. Di Johor, pertembungan juga sengit dan sebagainya, tapi juga ia tidak dibawa ke Kabinet. Saya berharap dan yakin,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di sini hari ini. 

    Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman. 

    PRN Johor menyaksikan BN menang di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan sebahagian daripada anggota Kabinet hanya memperoleh tiga kerusi, manakala Pakatan Harapan (11 kerusi) dan masing-masing satu kerusi bagi PKR dan MUDA. 

    Beliau juga berharap semua pihak yang bertanding pada PRN Johor, termasuk yang tewas, untuk memberikan sokongan dan kerjasama kepada menteri besar yang akan dilantik selepas ini, kerana kestabilan politik amat diperlukan bagi membangunkan negeri.

    Ditanya mengenai desakan segelintir pihak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera, mengambil kira momentum kemenangan BN pada beberapa PRN sebelum ini, Ismail Sabri berkata PRU hanya akan diadakan apabila pelbagai aspek dan pihak berkaitan sudah bersedia. 

    “Sedia atau tidak, biar kepimpinan parti yang tentukan. Banyak lagi perkara yang perlu dilihat. Setiap keputusan akan dibincangkan dalam parti. Tidak boleh ada satu kumpulan kecil yang mahukan PRU, maka kita buat. Ini (PRU) perkara besar, kena dibincangkan. 

    “Selain itu, ada prosedurnya. Saya kena menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan, dan kalau diperkenankan maka bolehlah (pilihan raya) diadakan. Jadi tunggu masa yang sesuai,” katanya. 

    Berhubung memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatanganinya bersama Pakatan Harapan bagi meredakan suhu politik selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata masih terlalu awal untuk beliau menyatakan ‘masa depan’ MoU itu yang akan tamat pada 31 Julai ini.

    Sama ada MoU itu akan disambung atau tidak, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata beliau ‘tidak mahu membuat spekulasi awal kerana belum masanya’. 

    Mengulas mengenai Perhimpuan Agung UMNO yang dijadual bermula Rabu ini, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO melihat hala tuju parti, menjadi antara fokus utama yang akan dibincang dan diperincikan, termasuk tidak menolak kemungkinan isu berkaitan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama PAS. 

    “Saya juga menunggu ucapan presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan juga ucapan pembahas-pembahas. Hala tuju sekarang mungkin berbeza daripada sebelum ini susulan pelbagai perkembangan semasa, termasuk PRN. 

    “Jadi saya tunggu ucapan dan intipati ucapan yang akan dibahaskan setiap negeri serta resolusi yang akan dicapai… ini yang akan jadi hala tuju UMNO selepas ini,” katanya. 

    — BERNAMA 

  • Utusan Melayu enggan bayar pampasan, nasib bekas pekerja tidak dibela

    Utusan Melayu enggan bayar pampasan, nasib bekas pekerja tidak dibela

    Seramai 201 orang bekas ahli Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang telah ditamatkan perkhidmatan selepas penggulungan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd pada 7 Oktober 2019 telah dinafikan hak mereka untuk menikmati pampasan penamatan mengikut Perjanjian Kolektif (CA).

    Bekas Pengerusi NUJ Semenanjung Malaysia Peringkat Cawangan Utusan Melayu, Mohd Taufek Razak berkata, perkara itu turut disahkan melalui Borang Penolakan Bukti Hutang yang diterima pada 4 Mac 2022.

    “Kami tidak akan berdiam diri dan berharap rintihan ini, akan didengar oleh segenap lapisan masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin tanah air,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Untuk rekod, NUJ telah memeterai satu perjanjian kolektif bersama dengan Utusan Melayu pada 3 November 2011 dan antara lain manfaat-manfaat yang boleh dinikmati oleh ahli kesatuan adalah sebagaimana yang terkandung di dalam Perjanjian kolektif tersebut termasuklah manfaat penamatan.

    Beliau menambah, walaupun CA yang telah dimeterai tersebut telah diiktiraf oleh Mahkamah Perusahaan pada 2 November 2018 namun ia kini seolah-olah sekadar satu perjanjian lusuh yang tidak memberi makna kepada pekerja pekerja Utusan Melayu.

    Mohd Taufek memberitahu, rata-rata perkembangan itu amat mengecewakan bekas pekerja dan ahli-ahli kesatuan yang telah mencurahkan bakti dan khidmat selama puluhan tahun demi melihat wadah yang telah menjadi penyampai maklumat kepada segenap lapisan masyarakat semenjak sebelum merdeka lagi terus kekal unggul.

    “Namun kini, tiada kelihatan mana-mana pihak yang benar-benar ingin membela nasib bekas pekerja Utusan Melayu.

    “Bekas ahli NUJ ini akan meneruskan perjuangannya bagi mendapatkan hak sebagai pekerja yang telah berbakti sejak sekian lama dan perjuangan ini tentunya memberi kesan kepada ahli keluarga masing-masing demi kelangsungan hidup tambahan di saat-saat kecelaruan ekonomi yang semakin mencabar,” jelasnya.

    Lebih 800 kakitangan Utusan Melayu apabila pengurusan syarikat penerbitan akhbar tertua di Malaysia di bawah bekas Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir itu membuat keputusan mengejut menutup operasi syarikat.

    Mereka diberi notis yang sangat singkat dan diminta mengosongkan pejabat pada hari yang sama.

    Selain itu, kira-kira 800 lagi bekas kakitangan yang memilih skim pemisahan sukarela (VSS) juga hidup menderita apabila pampasan yang sepatutnya dibayar secara ansuran dalam tempoh setahun tidak dilunaskan sepenuhnya apabila Utusan Melayu gulung tikar.

  • Azhar letak jawatan Pengerusi  MRT Corp

    Azhar letak jawatan Pengerusi  MRT Corp

    MASS Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini mengumumkan peletakan jawatan, Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi dan Pengarah syarikat berkuat kuasa daripada 7 Mac 2022.

    “MRT Corp mengambil peluang ini untuk menzahirkan penghargaan di atas komitmen dan sumbangan tidak ternilai dibuat oleh Azhar sepanjang tempoh perkhidmatannya serta mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan lapor Berita Harian.

    Peletakan jawatan Azhar itu diumumkan hanya beberapa bulan selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi MRT Corp pada 11 Mei tahun lalu.

    Pelantikannya pada masa itu ibarat sirih pulang ke gagang kerana Azhar sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama MRT Corp dari 2011 hingga 2014.

    Sebelum pelantikan itu, Azhar adalah Pengerusi FGV Holdings Bhd dari 2017 hingga April 2021.

    Selepas meninggalkan MRT Corp pada 2014 hingga 2017, beliau memegang pelbagai jawatan termasuk Pengerusi MSM Malaysia Holdings Sdn Bhd, Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff Corporation dan Pengarah Prusan Presiden/Kumpulan dan Pengerusi Tradewinds Corporation Bhd.

  • Semakan tawaran kemasukan sekolah khusus mulai 15 Mac

    Semakan tawaran kemasukan sekolah khusus mulai 15 Mac

    SEMAKAN tawaran kemasukan ke Tingkatan Satu, Tingkatan Empat dan Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ke Sekolah Khusus Tahun 2022 boleh dibuat Selasa depan (15 Mac).

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tawaran kemasukan ke Sekolah Khusus itu melibatkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) di bawah Kementerian Pertahanan.

    “Semakan tawaran boleh dilakukan melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my bagi kemasukan ke Tingkatan Satu dan https://spskt4.moe.gov.my untuk kemasukan ke Tingkatan Empat serta Tahun 1 SVM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Radzi, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Satu di SBP dan SMKA ditetapkan pada 21 hingga 25 Mac ini, manakala pendaftaran secara fizikal akan dimaklumkan kemudian.

    Sementara itu, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Empat di SBP dan SMKA juga pada 21 hingga 25 Mac manakala pendaftaran secara fizikal pada 5 April.

    “Pendaftaran secara fizikal bagi murid baharu Tingkatan Empat dan Tahun 1 SVM di SMT dan KV pula pada 7 April manakala pendaftaran bagi murid baharu Tingkatan Empat ke MTD akan dimaklumkan melalui laman sesawang http://www.rmc-education.edu.my,” kata Radzi. – BERNAMA

  • PRN Johor: Cuaca diramal cerah sebelah pagi

    PRN Johor: Cuaca diramal cerah sebelah pagi

    CUACA di seluruh negeri pada waktu pagi pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini diramalkan cerah, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

    Berdasarkan maklumat di laman web MetMalaysia, ribut petir pula dijangka berlaku pada sebelah petang di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Kulai.

    Suhu sepanjang hari berkenaan diramal 23 hingga 33 darjah Celsius.

    Seramai 239 calon bertanding pada PRN Johor di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

    Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi pada Sabtu ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya turut menasihatkan pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan seperti tertera dalam aplikasi MySPR Semak. – BERNAMA

  • Perinci semula SOP perjalanan harian Malaysia-Singapura

    Perinci semula SOP perjalanan harian Malaysia-Singapura

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) menyarankan agar kerajaan memperinci semula garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan ulang-alik harian Malaysia-Singapura susulan pengumuman pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April.

    Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaiknya individu yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja tidak perlu menjalani kuarantin namun perlu mematuhi SOP ditetapkan.

    “Kita nak mudahkan pembukaan sempadan supaya ekonomi kita akan tumbuh tapi kalau ada sekatan dan terlalu banyak peraturan termasuk ujian calitan, itu mungkin menghalang (pertumbuhan ekonomi).

    “Seboleh mungkin, untuk Johor-Singapura tidak perlu kuarantin, (tetapi) ikut peraturan dan SOP, harap langkah sebegini diambil kira,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Dialog Agro bersama MPN di Batu Pahat hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai SOP perjalanan harian ke negara itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini.

    Muhyiddin, yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), berkata blok politik itu berikrar untuk merancakkan semula ekonomi Johor dengan membangunkan sektor Pertanian Agromakanan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata PN akan berusaha membangunkan sektor pertanian yang moden memandangkan Johor merupakan antara pengeluar utama bekalan makanan di negara ini.

    “Setakat ini, Johor menjadi pengeluar utama bekalan makanan berbanding negeri lain dan sektor pertanian berpotensi dibangunkan tapi perlu dibangunkan secara teknologi moden.

    “Dalam ikrar ini, ada perkara utama termasuk bantuan infrastruktur di sektor pertanian sama ada jalan, perparitan dan sebagainya… yang lepas sudah dibuat tapi untuk tingkatkan hasil pengeluaran, kita perlu berusaha dalam bidang itu,” katanya.

    PN membariskan 56 calon untuk bertanding di semua kerusi pada PRN Johor.

    Hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada Sabtu ini. – BERNAMA

  • Muhyiddin sedih budak kampung panjat pokok cari internet

    Muhyiddin sedih budak kampung panjat pokok cari internet

    KERAJAAN terdahulu di bawah Perikatan Nasional (PN) telah melakukan yang terbaik bagi merapatkan jurang digital khususnya liputan internet jalur lebar di kawasan luar bandar.

    Malah, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Perdana Menteri ketika itu telah mengarahkan kerajaan di bawah pimpinannya untuk mempertingkatkan keupayaan akses kemudahan internet ke seluruh negara tanpa meninggalkan kawasan luar bandar.

    Menurut beliau, walaupun liputan jalur lebar tidak menjadi isu di bandar tetapi ia kekal sebagai cabaran yang sukar bagi masyarakat luar bandar di Malaysia disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk kos penggunaan yang tinggi disebabkan oleh lokasi yang jauh, pilihan sambungan jalur lebar yang terhad, liputan yang lemah dan kepadatan penduduk yang kecil.

    “Sesuatu yang menyedihkan saya apabila kita mendengar cerita kanak-kanak luar bandar terpaksa memanjat pokok semata-mata untuk mendapatkan sambungan internet yang lebih baik untuk keperluan pembelajaran mereka.

    “Ada juga pelajar universiti di pendalaman Sabah membina pelantar kayu di atas pokok untuk mendapatkan jaringan internet yang lebih baik bagi persediaan menghadapi peperiksaan. Ini menggambarkan terdapat jurang yang besar terhadap akses jalur lebar antara bandar dan luar bandar,” katanya ketika berucap melancarkan Program Mendayakan Ketersambungan Luar Bandar dan Merapatkan Jurang Digital Dengan TV White Space untuk masyarakat di Lenga, Pagoh, hari ini.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menambah, Dasar 4IR Negara telah diperkenalkan yang mana ia merupakan rangka dasar peringkat nasional untuk menyelaras tindak balas dasar kerajaan dalam memanfaatkan potensi sosioekonomi dan menguruskan risiko yang wujud daripada 4IR.

    Beliau menambah, Dasar 4IR Negara mengambil kira keperluan untuk mengoptimum sumber dan penyelarasan pelaksanaan dasar lain yang berkaitan.

    AHli Parlimen Pagoh itu berharap penduduk Lenga beroleh manfaat daripada dasar 4IR Negara yang beliau perkenalkan dengan pemasangan TV White Space di empat lokasi di Lenga pada tahun 2021.

    Beliau memberitahu, pemasangan itu telah terbukti sebagai penyelesaian yang berkesan dalam membolehkan sambungan jalur lebar juga boleh dilakukan di luar bandar.

    “Berbanding dengan pilihan jalur lebar lain seperti satelit, gentian optik, 3G/4G/5G atau pautan gelombang mikro, TV White Space ialah penyelesaian sambungan jalur lebar kos rendah, mudah dan pantas digunakan. Ia adalah suatu penyelesaian praktikal untuk kawasan luar bandar di Malaysia di mana liputan TV adalah tinggi dan menjangkau kebanyakan kawasan luar bandar.

    “Pengalaman Pagoh ini adalah bukti bahawa TV White Space berfungsi dengan baik dalam membolehkan sambungan jalur lebar dapat diperolehi di luar bandar.

    “Saya amat berharap pada masa akan datang, TV White Space akan membolehkan lebih ramai lagi komuniti luar bandar di seluruh Malaysia dapat menikmati sambungan jalur lebar dengan lebih pantas dan lebih murah,” jelasnya.

  • Muhyiddin harap SOP sempadan Johor-Singapura tak beban orang ramai

    Muhyiddin harap SOP sempadan Johor-Singapura tak beban orang ramai

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) berharap, Prosedur Pengendalian Standard ataupun SOP yang ditetapkan oleh kerajaan terutamanya di pintu sempadan darat dan air seperti di pintu sempadan Johor-Singapura tidak membebankan dan senang difahami orang ramai.

    Selain itu, dalam kenyataan hari ini, Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan kerajaan membuka semula sempadan negara mulai 1 April ini merupakan langkah positif dalam proses pemulihan negara terutamanya bagi sektor-sektor yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 seperti industri pelancongan dan perdagangan.

    Beliau berkata, langkah kerajaan itu selari dengan syor MPN pada 8 Februari lalu supaya pembukaan semula sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib.

    ‘’Malaysia memainkan peranan yang penting dalam rangkaian bekalan dunia (global supply chain) dan penutupan pintu sempadan yang berpanjangan semestinya akan menjejaskan posisi dan kebolehan daya saing Malaysia di peringkat perdagangan antarabangsa.

    ‘’Insya-Allah dengan pembukaan semula sempadan negara ini, Malaysia akan terus berada pada landasan yang tepat untuk pemulihan ekonomi negara yang diunjurkan untuk berkembang antara 5.5%- 6.5% untuk tahun 2022,’’ katanya.

    Beliau juga berharap  dengan peralihan ke fasa endemik Covid-19, rakyat Malaysia terus mengamalkan norma-norma baharu dan cekal bagi memastikan diri dan keluarga sentiasa terlindung.

    ‘’Bagi mereka yang masih belum mendapat dos vaksin penggalak COVID-19, saya ingin menyeru kepada mereka untuk berbuat demikian secepat mungkin agar terlindung daripada kesan-kesan serius virus ini.

    Marilah kita bersama-sama menggunakan momentum pembukaan sempadan ini untuk terus menggembleng tenaga dalam usaha-usaha pemulihan negara. Saya berdoa agar Malaysia terus pulih dan terus dilindungi Allah SWT,’’ katanya.

  • Sempadan negara dibuka semula 1 April – Ismail Sabri

    Sempadan negara dibuka semula 1 April – Ismail Sabri

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan semula sempadan negara berkuat kuasa mulai 1 April ini.

    Beliau mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

    Pembukaan semula sempadan negara itu merupakan salah satu daripada kelonggaran yang diberikan dalam fasa ‘peralihan ke endemik’.

    Perkara-perkara lain berkuat kuasa 1 April yang diumumkan beliau adalah:

    i. Pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.

    ii. Had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.
    Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis.

    iii. Pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai. Tambahan juga, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu/ pengunjung.

    iv. Aktiviti solat jemaah di masjid/ surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Walau bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan untuk Rumah Ibadat Selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

    v. Keperluan vaksinasi:
     Had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan.
     Semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.

    vi. Tiada lagi had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti melibatkan perkumpulan ramai. Namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan.

    vii. Rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan. Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “Traveller” dalam
    MySejahtera.