SEHARI selepas menghadiri Kongres Kebangsaan DAP di Shah Alam, Mentor DAP, Lim Kit Siang dijangkiti COVID-19 dan kini dikuarantin.
Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu disahkan oleh Setiausaha Politiknya, Syahredzan Johan.
“Dia telah diberi vaksin dan juga mengambil suntikan penggalaknya, dan setakat ini dia hanya mengalami gejala ringan seperti batuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syahredzan berkata, Kit Siang diuji positif semasa ujian RTK-Ag di bangunan Parlimen hari ini, dan ujian PCR berikutnya juga positif.
“Dia kini dikuarantin mengikut protokol kuarantin biasa,” katanya.
Pengumuman itu dibuat hanya sehari selepas Kit Siang mengumumkan rancangannya untuk bersara daripada politik pada kongres tahunan DAP semalam.
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkan positif COVID-19 hasil ujian Rt-PCR yang dijalankan di Parlimen hari ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Sulit kepada Ketua Pembangkang, Shukri Saad.
“Datuk Seri Anwar akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari mengikut protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, semua Ahli Parlimen serta pegawai bertugas diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 berkala pada setiap Isnin dan Rabu sepanjang tempoh persidangan bagi mengawal penularan COVID-19. – BERNAMA
SIKAP pantang mengalah dan tidak takut akan kegagalan menjadi resepi kejayaan buat Muhammad Anwar Abd. Samaad, graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Multimedia Universiti (MMU).
Beliau yang menerima Anugerah Presiden dan Anugerah Permata, berkata, setiap kegagalan mempunyai hikmah tersendiri.
“Resipi kejayaan saya ialah tidak sesekali takut kepada kegagalan.
“Fokus saya ialah sentiasa cuba melakukan dengan cara terbaik dan bukannya fokus kepada hasil semata-mata,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen MMU Ke-22, yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini di Kampus MMU Cyberjaya.
MUHAMMAD ANWAR ABD SAMAAD
Mengulas lanjut, Muhammad Anwar berkata, kegagalan ialah guru terbaik yang perlu dilihat sebagai suatu peluang untuk memperbaiki diri.
Menurutnya, anugerah yang diterima itu memberikan inspirasi kepadanya untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan pada masa depan.
Katanya, ini terutamanya dalam menggapai cita-cita untuk memegang jawatan Pegawai Eksekutif Pelaburan selain menyumbang kepada negara dari segi ekonomi dan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.
Pada sesi pertama majlis konvokesyen itu, seramai 13 penerima Anugerah Permata termasuk Anugerah Presiden dan Anugerah Canselor diumumkan bagi mengiktiraf kecemerlangan mereka.
Para penerima anugerah berkenaan merupakan sebahagian daripada 3,584 pelajar yang bergraduat pada tahun 2021, menerima skrol pada majlis konvokesyen berkenaan.
Penerima Anugerah Canselor dan Anugerah Permata, Teo Yar Lee pula berkata, penganugerahan itu disifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap kerja kerasnya dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum semasa berada di universiti.
“Ini adalah antara peristiwa terindah yang pernah saya alami. Saya mendedikasikan kejayaan ini kepada ahli keluarga, pensyarah dan sahabat handai. Tanpa mereka, saya tidak mampu berada pada tahap ini,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik itu.
Bergraduat dengan CGPA 3.99, Teo yang berasal dari Klang berkata, susah payahnya dalam mengharungi rintangan menamatkan pengajian kini terbalas dengan anugerah tersebut.
TEO YAR LEE
Antara kerja kerasnya termasuklah menyiapkan projek tahun akhir yang berpotensi untuk dikomersilkan dan juga peranan aktifnya sebagai Presiden kepada Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) Women in Engineering Cawangan MMU.
Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Lim Zhou Yi turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Presiden dan Anugerah Permata.
Lim Zhou Yi berkata, anugerah itu yang mengiktiraf pengorbanannya dalam menimba ilmu dengan bimbingan ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan. Beliau berharap kejayaan berkenaan dapat dicontohi oleh para pelajar lain untuk turut mencapai kejayaan lebih cemerlang.
“Nasihat saya kepada para pelajar ialah kekal rajin berusaha, belajar bersungguh-sungguh dan anda boleh mencapai segala yang dihasratkan. Kegagalan pula akan membantu anda menjadi lebih kuat untuk bangkit,” katanya.
LIM ZHOU LI
Mengulas kejayaan para graduan, Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, meraikan kejayaan para graduan dalam konvokesyen ini menunjukkan bahawa universiti juga telah terus berjaya melahirkan pakar-pakar untuk pelbagai industri.
“Tanggungjawab kita bersama alumni MMU di seluruh dunia ialah meningkatkan lagi pembangunan universiti ini ke tahap yang lebih tinggi,” jelasnya.
Canselor MMU, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi menyampaikan anugerah dan skrol pada hari pertama majlis konvokesyen itu manakala Pro-Canselor MMU, Profesor Emeritus Prof. Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid menyampaikan skrol pada hari kedua majlis.
Dalam majlis konvokesyen itu, seramai 3,584 graduan bergraduat, iaitu membabitkan 2,143 Ijazah Sarjana Muda, 1,295 Diploma, 108 Sarjana, dan 38 Doktor Falsafah (Ph.D.)
Mereka adalah daripada bidang kejuruteraan, perkomputeran dan informatik, pengurusan dan perniagaan, undang-undang, sains hayat, komunikasi strategik, kreatif multimedia dan seni sinematik.
KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membelanjakan RM671,000 bagi menyediakan perkhidmatan dua buah bot penambang bagi penduduk Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting di Langkawi, Kedah.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkhidmatan bot itu dikendalikan Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba Dan Selat Berhad (KOPTUBAS) sejak pertengahan tahun lalu.
“Kita amat memahami kepayahan yang dialami oleh penduduk di dua buah pulau tersebut sejak sekian lama.
Justeru kita mencari jalan penyelesaian menerusi inisiatif perkhidmatan bot penambang untuk kegunaan penduduk di Pilau Tuba dan juga Pulau Dayang Bunting berulang-alik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang diedarkan selepas menyempurnakan majlis ringkas perasmian bot penambang itu di Jeti Pelancongan Langkawi dekat Pekan Rabu di sini hari ini.
Tambah Mahdzir, perbelanjaan perolehan dua buah bot berkenaan dibuat menerusi peruntukan di bawah Program Desa Lestari KPLB.
Perkhidmatan bot penambang yang diberi nama BesTUBA itu akan memberi manfaat kepada kira-kira lima ribu penduduk di dua buah pulau berkenaan.
Setiap bot mampu memuatkan sehingga 30 penumpang pada satu-satu masa dan beroperasi setiap hari dengan kekerapan tujuh perjalanan sehari.
“Saya berharap selain memudahkan urusan penduduk di pulau terbabit, perkhidmatan bot itu juga mampu menjana pulangan ekonomi kepada pihak koperasi menerusi perkhidmatan sewaan kepada pelancong-pelancong yang berkunjung ke Langkawi,” kata Mahdzir.
PERSIDANGAN Dewan Negara diminta mencatatkan ketidakhadiran Menteri serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada sesi soal jawab persidangan hari ini, sebagai tidak selaras dengan peraturan mesyuarat.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ini kerana soalanyang dikemukakan kepada kementerian itu penting untuk diketahui semua pihak.
“Seseorang menteri yang tidak dapat menjawab di Dewan yang mulia ini, beliau hendaklah mengarahkan timbalannya menjawab sesuatu soalan. Sekiranya timbalan (menteri) itu tidak dapat menjawab, boleh diwakilkan kepada mana-mana menteri untuk menjawab bagi pihak pentadbiran.
“Jika itu tidak dapat dilakukan, catatan ini harus menjadi sebahagian daripada prosiding dan satu jawapan bertulis hendaklah diberi oleh Yang Berhormat menteri kepada Dewan mulia ini,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Senator Muhammad Zahid Md Arip mengajukan soalan nombor tiga kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai pendirian Malaysia berhubung konflik antara Rusia dan Ukraine terutama daripada aspek ekonomi dan politik.
Muhammad Zahid juga ingin tahu langkah bagi menangani kesan ekonomi terhadap negara ini susulan konflik itu.
Bangun mencelah selepas Rais berucap, Senator Datuk Othman Aziz meminta penjelasan sama ada soalan yang diajukan kepada menteri atau timbalan menteri tidak dapat dijawab mengikut penjadualan boleh dibawa ke hari berikut.
“Kalau semua orang berbuat sedemikian, kita mainkan peranan ‘pak tangguh’ dan Dewan ini tidak berkeadaan sedemikian. Sama ada kita melihat peraturan di house of laws ataupun ada dalam amalan demokrasi lain,” jelas Rais.
“Ini tidak dapat dibenarkan, kecuali atas sesuatu perkara yang sangat mendera atau terpikul oleh pihak yang berkenaan. Oleh kerana pihak saya tidak menerima secara khusus hal ini maka ia berada dalam penentuan seperti saya tegaskan sebentar tadi,” tambahnya.
Rais kemudian meneruskan sesi soal jawab persidangan Dewan Negara mengikut Aturan Urusan Mesyuarat. – BERNAMA
PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah disahkan positif COVID-19.
Perkara tersebut dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil, yang juga anak Abdul Hadi melalui laman Facebook Abdul Hadi Awang.
Muhammad Khalil berkata, bapanya yang juga Ahli Parlimen Marang itu, hanya mengalami gejala ringan dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah serta dalam keadaan baik.
“Mohon doa kepada Ayahanda Tuan Guru supaya diberikan kesembuhan segera. Beliau telah disahkan positif COVID-19 dan hanya mengalami gejala ringan. Kini sedang menjalani kuarantin di rumah dan dalam keadaan baik.
“Bersama kita doakan kesihatan Ayahanda Tuan Guru,” katanya. – BERNAMA
KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berbincang lanjut dengan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk melaksanakan tindakan membekukan akaun bekas suami yang tidak membayar nafkah.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang menyambut baik pengumuman itu berkata, KPWKM akan cuba melaksanakan langkah itu pada tahun ini berdasarkan kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
“Berdasarkan maklumat KPWKM, ramai bekas suami yang tidak membayar nafkah kepada bekas isteri. Jadi melalui pengumuman ini mereka yang berhak akan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan wajah baharu Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi di Kota Damansara hari ini.
Beliau berkata, bekas isteri yang mendapati nafkah mereka tidak dibayar boleh mengadu di Talian Kasih 15999 atau platform KPWKM yang lain.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 mengumumkan, akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.
Perdana Menteri berkata, perkara itu antara yang diputuskan kerajaan sebagai pembelaan terhadap golongan wanita termasuk kes mahkamah yang dimenangi kaum hawa dalam kes tuntutan nafkah.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, isteri yang kematian suami diberikan kebenaran bekerja dari rumah sewaktu tempoh idah (empat bulan 10 hari) dan majikan tidak boleh memaksa mereka bekerja di pejabat sebagai menghormati keadaan mereka sehingga tamat idah.
Mengulas mengenai kebenaran bekerja dari rumah sewaktu tempoh idah bagi isteri yang kematian suami, Rina berkata, kelonggaran itu disifatkan sebagai satu perkara yang baik dan golongan wanita harus menyambutnya.
“Wanita yang baru kehilangan suami dan masih dalam idah, mempunyai banyak urusan rumah tangga, anak serta keluarga yang perlu diselesaikan.
“Pandemik COVID-19 telah membuktikan kita boleh bekerja dari rumah. Kelonggaran yang diberikan ini merupakan satu pengumuman yang baik dan harus disambut oleh golongan wanita,” katanya.
Mengenai penjenamaan semula wajah baharu Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi Kota Damansara, Rina berkata, beliau optimis pembaharuan itu menjadi platform kepada perkhidmatan rawatan kesihatan dengan kemudahan infrastruktur moden dan terbaik bagi ibu dan anak. – BERNAMA
KERJA-KERJA naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa di Kota Bharu mengalami kelewatan selama 83 hari berikutan kekurangan buruh asing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf dan pembesaran LTSIP ketika ini hanya mencapai kemajuan sebanyak sembilan peratus yang sepatutnya sudah mencecah 14 peratus, jika mengikut perancangan asal.
Mustapa berkata, selain kekurangan buruh asing, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini turut menyumbang kepada kelewatan untuk mendapatkan bekalan bagi kerja-kerja naik taraf dan pembesaran.
“Sekarang kita hanya mempunyai seramai 180 pekerja untuk melaksanakan proses menaik taraf dan pembesaran LTSIP, daripada jumlah itu 30 pekerja tempatan dan selebihnya adalah pekerja asing. Apabila pembinaan sampai ke kemuncak (peringkat akhir) keperluan tenaga kerja akan mencapai sehingga 400 pekerja.
“Bagaimanapun, isu kekurangan pekerja asing ini merupakan masalah yang dihadapi di peringkat nasional bukan sahaja di Kelantan terutamanya membabitkan kerja-kerja di tapak pembinaan dan juga sektor perlandangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan LTSIP di Pengkalan Chepa, hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, bagi mengatasi masalah kekurangan buruh asing, pihak kontraktor yang menguruskan projek berkenaan telah memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendapatkan buruh asing.
“Selain itu, Kementerian Pengangkutan juga sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja untuk membantu syarikat. Kita harap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera memandangkan kita hanya mempunyai sekitar dua tahun lagi untuk menyiapkan projek ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan segera memandangkan projek ikonik bernilai RM440 juta itu merupakan antara projek terbesar kerajaan dan dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Kelantan.
“Apabila projek ini siap, ia mampu mengendalikan sehingga 4 juta penumpang setahun berbanding 1.5 juta penumpang sekarang dengan kemudahan bertaraf antarabangsa ditawarkan selain mempunyai kemudahan 11 parkir pesawat berbanding 5 sebelum ini,” katanya.
Menurut Mustapa, kadar pemulihan membabitkan bilangan penumpang yang mengggunakan LTSIP juga bergerak pantas dan ia menjadi antara lapangan terawal pulih seperti keadaan sebelum pandemik COVID-19 dengan jumlah penumpang menggunakan LTSIP mencecah sehingga 90 peratus kapasitinya. – BERNAMA
KERAJAAN melalui Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU) akan melaksanakan kajian secara komprehensif bagi penyelesaian jangka panjang menangani isu di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian itu akan dilaksanakan bagi mentransformasikan kawasan Felda yang moden dan progresif.
“Kajian yang akan bermula tiga bulan lagi akan turut melibatkan libat urus EPU dengan pengurusan Felda serta semua golongan warga Felda termasuk badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Kami Anak Felda (KAF) bagi memastikan hasrat dan cita-cita golongan ini, terutamanya generasi kedua Felda diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya.
“Kajian ini juga akan menjadi panduan ke arah kelestarian Felda yang akan meningkatkan nilai komersial kawasan Felda sebagai kawasan yang memberikan peluang aktiviti ekonomi dan pekerjaan,” katanya kepada pemberita merasmikan Projek Infrastruktur Pelancongan di Bukit Salor, di Jeli hari ini.
Ahli Parlimen Jeli itu berkata, kerajaan berpandangan kesemua usaha ini perlu dilaksanakan dengan kaedah lebih holistik dan tersusun supaya warga Felda mendapat manfaatnya.
“Antara isu yang sering dibangkitkan oleh warga Felda adalah isu berkaitan perumahan generasi baharu, peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi di kawasan Felda yang kurang memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, Program Pembangunan Peneroka sedang rancak dilaksanakan yang berjaya memberi pendapatan tambahan sehingga RM1,000 sebulan kepada peserta.
“Setakat ini, kira-kira 55,000 peserta, termasuk generasi kedua terlibat dalam pelaksanaan projek ini menerusi projek ternakan dan pertanian seperti ternakan lembu pedaging serta tanaman nanas MD2 dan halia muda.
“Program ini akan diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dengan FGV Berhad yang akan bertindak sebagai rakan strategik,” katanya.
Sementara itu, Mustapa berkata, Program Pembangunan Peneroka (PPP) telah memberi manfaat kepada 55,000 peneroka Felda sebagai usahawan.
“PPP telah dimulakan pada April 2019 dengan dana sebanyak RM1 bilion. Program ini melibatkan penyertaan para peneroka melalui penglibatan mereka secara plasma (individu) atau melalui koperasi.
“Sehingga kini, kerajaan telah meluluskan sebanyak 7,225 projek PPP Felda di seluruh negara dan 621 daripadanya adalah projek yang telah diluluskan di Felda Gua Musang yang melibatkan 3,114 peneroka di jajahan tersebut,” katanya. – BERNAMA
PERSATUAN Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) membatalkan cadangan untuk membekalkan elektrik kepada pengendali pelombong mata wang kripto memandangkan ia akan memberikan kesan sampingan yang amat serius terhadap alam sekitar, penggunaan tenaga dan pemuliharaan.
Malah, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader turut menyifatkan cadangan membekalkan elektrik kepada pelombong mata wang kripto tidak masuk akal kerana aktiviti terbabit menggunakan jumlah elektrik yang banyak.
Jelas beliau, pada asasnya melombong mata wang kripto melibatkan rangkaian mesin khas dikenali sebagai pelantar perlombongan yang berfungsi 24 jam sehari.
Katanya, pelantar dengan tiga kad grafik (unit pemprosesan grafik) itu boleh menggunakan 1,000 watt tenaga atau lebih apabila beroperasi iaitu sama seperti mesin basuh yang beroperasi siang dan malam bagi setiap pelantar yang digunakan.
Malah ujar beliau, untuk melombong mata wang kripto juga, beratus-ratus atau beribu-ribu pelantar terlibat pada satu-satu masa.
“Daripada membenarkan pengendali perlombongan mata wang kripto memohon bekalan elektrik yang sah dan memberikan tarif istimewa, Malaysia seharusnya mempercepatkan pengenalan meter pintar kalis diusik di seluruh negara supaya sebarang kecurian elektrik boleh dikesan pada peringkat awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, melombong mata wang kripto juga tidak sepatutnya dibenarkan sama sekali memandangkan pada 2018, Jabatan Perangkaan menyatakan penjanaan elektrik negara sebahagian besarnya bergantung kepada arang batu (46%) dan gas asli (39.7%).
Ini bermakna jelasnya, penjanaan elektrik tidak mesra alam sekitar sepenuhnya menghasilkan sejumlah besar karbon dioksida dan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global.
“Kami ingin mengulangi pendirian yang mana TNB perlu mengelakkan strategi yang tidak berpandangan jauh yang akan membawa kepada peningkatan jejak karbon Malaysia, peningkatan gas rumah hijau dan sisa elektronik,” tegasnya.