Category: Umum

  • ’Saya tak akan bersembunyi, sedia beri kerjasama bantu siasatan’’ – Peja

    ’Saya tak akan bersembunyi, sedia beri kerjasama bantu siasatan’’ – Peja

    BEKAS Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau Peja tidak akan bersembunyi jika dipanggil pihak berkuasa untuk membantu siasatan penjualan tanah tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

    Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

    “Sudah pasti saya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa (sekiranya dipanggil berhubung isu penjualan tanah). Ketika ini, biarlah (beri ruang) pihak berkuasa melakukan kerja dan siasatan mereka,” katanya lapor Berita Harian.

    Hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mendapatkan dokumen berhubung isu penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang berkenaan daripada beberapa jabatan berkaitan.

    Bagaimanapun, Pengarah SPRM Perak Mohd Fauzi Mohamad berkata, setakat ini pihaknya belum membuat sebarang penahanan atau memanggil mana-mana individu berhubung perkara itu.

    Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Ketua Amanah Perak Asmuni Awi bahawa penjualan tanah berkeluasan ribuan ekar itu kepada syarikat swasta adalah di luar pengetahuan exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

    Asmuni, yang juga seorang daripada exco kerajaan negeri bawah kepimpinan Faizal ketika itu, mendakwa sepanjang menyandang jawatan berkenaan, penjualan tanah terbabit tidak pernah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat exco untuk diluluskan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi itu turut mendakwa tindakan berkenaan langsung tidak diketahui sehingga perkara itu dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak oleh Adun Aulong, Nga Kor Ming.

  • Kerjasama KPLB dan K-KOMM tingkat capaian internet Tabika Kemas

    Kerjasama KPLB dan K-KOMM tingkat capaian internet Tabika Kemas

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berharap dapat menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi meningkatkan digitalisasi dan capaian Internet di Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negara.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata walaupun perkara itu di bawah bidang kuasa K-KOMM, kolaborasi antara kedua-dua kementerian akan lebih efektif dalam usaha meningkatkan keupayaan Internet di Tabika Kemas.

    Beliau berkata terdapat keperluan untuk menyediakan kemudahan Internet terutama bagi tabika yang terletak di kawasan pedalaman sebagai usaha memastikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Kemas berjalan lancar seterusnya menjadi aspirasi kepada pembangunan bakat awal kanak-kanak di negara ini.

    “Dengan inisiatif ini, proses memahami dunia digital akan menjadi lebih mudah kerana kanak-kanak diberi pendedahan awal,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama kakitangan Kemas Pulau Pinang hari ini.

    Mahdzir berkata tahun ini KPLB menyasarkan untuk menyediakan kemudahan Internet dan komputer di 700 Tabika Kemas seluruh negara.

    Katanya transformasi ke arah digital itu akhirnya akan meliputi semua 11,000 Tabika Kemas seluruh negara. – BERNAMA

  • Ayam lebih harga siling, pemborong dan penjual dikompaun

    Ayam lebih harga siling, pemborong dan penjual dikompaun

    DISEBABKAN menjual ayam melebihi harga siling ditetapkan kerajaan, seorang pemborong dan 17 penjual ayam dikenakan kompaun membabitkan jumlah keseluruhan RM6,600.

    Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, mereka terbabit dikenakan tindakan menerusi Ops Pantau 2022 yang diadakan bermula Sabtu hingga semalam.

    Menurut beliau, pihaknya melakukan 1,935 pemeriksaan ke atas pemborong dan penjual ayam di seluruh negeri dalam tempoh lima hari bermula Sabtu lalu.

    “Hasil pemeriksaan, kita berjaya mengesan satu kes kesalahan membabitkan pemborong dan 17 penjual ayam,” katanya selepas melakukan pemeriksaan dan tinjauan harga makanan di bazar Ramadan Batu Burok, lapor Berita Harian.

    Bagaimanapun, Saharuddin menafikan dakwaan penjual ayam segar yang menuduh tindakan hanya dikenakan kepada peniaga dan bukannya kepada pemborong.

    “Jumlah keseluruhan pemborong ayam berlesen di seluruh negeri ini hanya enam syarikat dan Terengganu tidak mempunyai peladang ternakan ayam.

    “Kita akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri menerusi Ops Pantau 2022,” katanya.

    Sementara itu, Saharuddin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sejak 5 Februari lalu, seorang pemborong dan 41 peniaga dikenakan kompaun RM96,100 atas kesalahan menaikkan harga barangan.

  • Subsidi haji diteruskan, kerajaan beri jaminan

    Subsidi haji diteruskan, kerajaan beri jaminan

    KERAJAAN memberi jaminan kemudahan subsidi bagi menunaikan ibadah haji diteruskan tahun ini, bagaimanapun kadar yang akan ditanggung masih belum diputuskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    Idris berkata, beliau akan berbincang dengan Lembaga Tabung Haji (TH) mengenai kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah susulan jangkaan kos mengerjakan haji pada tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 ekoran kenaikan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan Arab Saudi.

    “Subsidi akan kita bagi, insya-Allah. Berapa kita bagi nanti kita akan maklum saya tak boleh umum lagi, benda itu masih embargo,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan, di Putrajaya hari ini.

    Semalam, TH dilaporkan berkata kos menunaikan haji meningkat kepada 12 peratus tahun ini berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019, mengambil kira kenaikan cukai tambah nilai (VAT) daripada lima peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan lain.

    TH mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun lepas walaupun kos untuk menunaikan haji meningkat setiap tahun.

    Idris berkata, selepas perbincangan selesai diadakan dengan TH, beliau akan memberi penerangan kepada jemaah menteri yang akan memutuskan jumlah subsidi yang akan diberikan kepada jemaah haji.

    Pada majlis hari ini, Idris mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM1.03 juta kepada 12 hospital dan pusat perubatan di Wilayah Persekutuan untuk membantu pesakit.

    Penerima ialah Hospital Canselor Tunku Muhriz, Yayasan Institut Jantung Negara, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Labuan, Majlis Kanser Negara, Hospital Kanak-Kanak dan Wanita Tunku Azizah, Hospital Angkatan Tentera Malaysia Tunku Mizan, Institut Kanser Negara, Hospital Rehabilitasi Cheras dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.

    “Sumbangan ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh hospital dan institusi kesihatan untuk membantu para pesakit yang kurang berkemampuan yang memerlukan peralatan perubatan, pembelian ubatan khas dan bantuan am seperti pembedahan atau rawatan susulan,” kata Idris. – BERNAMA

  • UTP cemerlang semua subjek QS World University Rankings

    UTP cemerlang semua subjek QS World University Rankings

    UNIVERSITI Teknologi Petronas (UTP) disenaraikan antara universiti terkemuka di dunia dalam 11 mata pelajaran, dengan satu penyertaan baharu, dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings by Subject 2022.

    Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, mata pelajaran itu ialah Kejuruteraan dan Teknologi, Sains Semula Jadi serta Sains Sosial dan Pengurusan.

    Beliau berkata, bagi mata pelajaran Kejuruteraan dan Teknologi, UTP kini berada di kedudukan ke-159 di peringkat global, meningkat 71 anak tangga daripada kedudukan sebelum ini iaitu 230 dan dengan keputusan ini, UTP kini berada pada kedudukan keempat terbaik dalam kalangan universiti di Malaysia.

    “Mata pelajaran Kejuruteraan Petroleum ditempatkan di kedudukan ke-22 dan mengekalkan kedudukan 50 teratas, manakala subjek Kejuruteraan Mineral dan Perlombongan, UTP berada di tempat 60 teratas.

    “Dengan penarafan ini, UTP mengekalkan kedudukannya sebagai universiti terbaik di negara ini untuk kedua-dua mata pelajaran bagi tahun ketiga berturut-turut.

    “Kami gembira dengan kemajuan yang kami capai dalam penarafan itu. Pencapaian ini menunjukkan reputasi kukuh kami di peringkat global dari segi kecemerlangan akademik menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran serta kepakaran dan kekuatan kami sebagai institusi pengajian tinggi yang berfokuskan industri dalam bidang penting berkaitan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Selain itu katanya, aktiviti penyelidikan intensif, inovasi dan perundingan secara kolektifnya telah berjaya mengekalkan kedudukan universiti di dunia dan akan terus menerajui kecemerlangan dalam akademik, penyelidik dan pengalaman pelajar dengan menyediakan persekitaran pembelajaran dan pengajaran bertaraf dunia bagi mendidik generasi akan datang.

    “Dalam penyelidikan dan inovasi, kami akan menyokong inisiatif peralihan tenaga Petronas untuk menuju ke arah Sifar Bersih Pelepasan Karbon (NZCE) sebagai satu daripada bidang utama kami dalam usaha ke arah keunggulan global yang mampan,” katanya. – BERNAMA

  • Juruteknik rugi RM222,473 terperdaya love scam Facebook

    Juruteknik rugi RM222,473 terperdaya love scam Facebook

    SEORANG juruteknik kilang di Seremban kerugian RM222,473 selepas menjadi mangsa ‘love scam’ atau penipuan cinta oleh wanita yang dikenali menerusi laman Facebook sejak Januari lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, juruteknik lelaki berusia 45 tahun itu dihubungi oleh seorang wanita menerusi aplikasi ‘messenger’ Facebook yang memperkenalkan diri sebagai Mei Ling dan mendakwa dirinya seorang doktor dari Yaman.

    Beliau berkata, setelah persahabatan terjalin, wanita itu memberitahu mangsa bahawa dia akan menghantar bungkusan berisi wang sebanyak AS$1 juta (RM4.2 Juta) dan lelaki itu perlu membuat pembayaran bagi penghantaran bungkusan tersebut.

    “Pada 18 Feb lepas, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM25,137 ke dalam satu akaun bank tempatan di sebuah bank di sini. Seterusnya pada 10 Mac lepas, mangsa sekali lagi telah memasukkan duit berjumlah RM60,650 ke akaun sama di sebuah bank di Nilai.

    “Empat hari kemudian, mangsa turut memasukkan wang berjumlah RM60,000 ke sebuah akaun bank tempatan milik individu lain bernama ‘Sellyhia’. Kedua-dua transaksi ini bagi melepaskan bungkusan pengadu yang tersangkut di Kastam Kemboja dan lapangan terbang Kemboja,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

    Aibee berkata, mangsa membuat pembayaran sebanyak RM76,686 lagi ke akaun bank pertama pada 28 Mac lepas kerana dimaklumkan bahawa bungkusan tersebut perlu ditukar kepada nama mangsa dan pembayaran perlu dibuat.

    Menurutnya, pihak bank ada bertanyakan kepada siapa wang itu diberikan, namun wanita terbabit terlebih dahulu meminta mangsa memberitahu bahawa ia adalah untuk urusan membayar hutang, perbelanjaan dan pinjaman bagi mengelakkan bank mengesyaki urusan transaksi itu.

    Aibee berkata, lelaki berkenaan sekali lagi diminta untuk membayar wang sebanyak RM41,000 kepada wanita itu pada 31 Mac lepas, namun mangsa tidak membuat pembayaran kerana tidak mempunyai wang selain berasa ditipu.

    Mangsa telah membuat laporan polis dua hari lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya. – BERNAMA

  • KPN bimbang lambakan ‘kapcai’ berprestasi tinggi, cadang haramkan di Malaysia

    KPN bimbang lambakan ‘kapcai’ berprestasi tinggi, cadang haramkan di Malaysia

    KETUA Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bimbang terhadap lambakan motosikal “kapcai” lincah berprestasi tinggi sejak akhir-akhir ini.

    Beliau berkata, kehadiran kapcai laju itu antara punca utama peningkatan kadar nahas jalan raya.

    “Inilah (kapcai laju) antara penyumbang kepada tingginya kemalangan dan kematian dalam kalangan penunggang motosikal dan (kegiatan) merempit,” katanya kepada portal Free Malaysia Today (FMT).

    Beliau juga menyarankan model kapcai lincah berkemampuan tinggi yang ditunggang melebihi had laju wajib itu dilarang berada di jalan raya serta penjualannya di pasaran diharamkan.

    Saranan Acryl Sani itu adalah susulan pendedahan beberapa portal berita automotif tempatan yang melaporkan keterujaan peminat permotoran terhadap motosikal tersebut.

    Ia selepas tersebarnya video mengenai model keluaran terbaru, iaitu Suzuki Raider R150 Fi, juga dikenali dalam kalangan peminat motosikal sebagai ‘Si Belang’, yang mencecah kelajuan 177 km/j melalui ujian terkini mesin “dyno”.

    “Kenderaan (kapcai) seperti ini wajib diharamkan di Malaysia (kerana) tidak ada relevensi kelajuan 177 km/j di jalan raya sedangkan had laju maksimum adalah 110 km/j (di lebuh raya),” tegas Acryl Sani.

    Menerusi ujian teliti pada mesin “dyno”, motosikal kapcai yang dipasarkan dengan harga RM8,173 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) itu, menunjukkan ‘Si Belang’ mampu merekodkan kelajuan maksimum antara 150 km/j hingga 160 km/j.

    Jentera “dyno” adalah sebuah peranti yang mengukur daya, tork atau kuasa sesebuah kenderaan.

    Dalam pada itu, Acryl Sani menggesa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) memainkan peranan utama mengkaji arah tuju permotoran serta merangka polisi motosikal selamat pada masa hadapan.

    “Miros hendaknya jadi badan pendesak,” tambahnya.

    Statistik nahas setakat Ogos tahun lalu menunjukkan bahawa bagi setiap 10 orang yang maut di jalan raya, tujuh merupakan pengguna motosikal dengan majoriti kematian adalah terdiri daripada pengguna kapcai.

    Sejak 2019, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melancarkan “perang” ke atas kapcai popular Yamaha 15ZR atau lebih dikenali sebagai Y-Suku yang dikatakan mampu mencecah kelajuan 160 km/j setelah diubah suai dan kerap digunakan sebagai kenderaan lumba haram.

    Pada mesyuarat agung tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya tiga tahun lalu, seorang pegawai kanan JSPT mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan agar kategori pelesenan motosikal B3 yang baharu diwujudkan untuk golongan belia dengan hanya dibenarkan menunggang motosikal elektrik berkuasa rendah atau motosikal “combustion” 100cc ke bawah menjelang 2025.

    “Jika kita mempunyai kategori pemegang lesen baharu ini, ia boleh menyelamatkan banyak nyawa. Ia akan memanfaatkan negara. Jika kita mempunyai dasar jangka panjang bagi mengawal kumpulan sasaran 16 hingga 25 tahun dan membentuk budaya baharu untuk mereka hanya menunggang motosikal berkuasa rendah,” kata Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JSPT Bakri Zainal Abidin.

    Enam bulan lalu, seorang perancang pengangkutan menyarankan agar motosikal kapcai “underbone” dihentikan penjualannya di pasaran secara berperingkat dan digantikan dengan motosikal elektrik berkuasa rendah untuk membendung kematian dan nahas jalan raya yang tinggi dalam kalangan pengguna motosikal.

  • Azan Maghrib awal 4 minit, bilal  mohon maaf

    Azan Maghrib awal 4 minit, bilal  mohon maaf

    BILAL Surau Al-Qadir di Guchil 7, Kuala Krai, dipercayai melaungkan azan Maghrib lebih awal empat minit daripada waktunya semalam sehingga kejadian itu tular di media sosial.

    Imam Masjid Bandar Kuala Krai, Armin Azahari Mamat berkata, ketika kejadian bilal berkenaan tidak menyedari bahawa beliau telah melaungkan azan Maghrib pada 7.17 malam menyebabkan segelintir penduduk percaya telah masuk waktu berbuka puasa.

    “Saya telah dimaklumkan oleh penduduk bahawa tok bilal dari Surau Al-Qadir di Guchil 7, Kuala Krai telah melakukan kesilapan tersebut dan beliau telah memohon maaf atas kecuaian yang dilakukannya tanpa disengajakan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Justeru beliau berkata, mengikut hukum syarak, penduduk di sekitar kawasan itu yang telah berbuka puasa mengikut laungan azan tersebut, puasanya dikira terbatal dan wajib digantikan selepas berakhirnya Ramadan nanti.

    Semalam tular di media sosial yang mengatakan penduduk di sekitar Guchil 5, 6 dan 7 di Kuala Krai perlu menggantikan puasa selepas dipercayai azan Maghrib yang menandakan waktu berbuka puasa berkumandang lebih awal daripada waktu sebenarnya.

    Mengulas lanjut, Armin menasihati semua anggota masyarakat supaya peka dengan waktu berbuka puasa dan tidak bergantung semata-mata kepada alunan azan yang berkumandang di masjid, surau mahupun stesen televisyen atau radio.

    Ahad lalu, penyampai radio Tawau FM memohon maaf selepas menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal menyebabkan ada penduduk yang berbuka puasa.

    Susulan itu, beliau memohon maaf menerusi pengkongsian di Facebooknya pada hari sama.

  • Aidilfitri: 4.7 juta kenderaan dijangka berada di jalan raya – Bukit Aman

    Aidilfitri: 4.7 juta kenderaan dijangka berada di jalan raya – Bukit Aman

    SEBANYAK 4.7 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri bulan depan, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim.

    Beliau berkata ekoran jangkaan pertambahan kenderaan, JSPT akan mengatur gerak seramai 6,559 pegawai dan anggota trafik di peringkat kontinjen dan daerah bagi memastikan kelancaran serta keselamatan trafik.

    “Cuti raya pada tahun ini agak panjang dan dijangka masyarakat akan mengambil peluang untuk beraya di kampung setelah dua tahun kita tidak dibenarkan untuk merentas negeri bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri susulan COVID-19,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Mat Kasim berkata seperti tahun-tahun sebelum ini, Op Selamat 18 bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ turut akan dilancarkan bermula 29 April hingga 8 Mei depan.

    Menurutnya, ia akan memberi fokus kepada pencegahan jenayah pecah rumah dan meminimumkan kadar kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.

    “Dalam Op Selamat 18 ini, JSPT akan memberi fokus terhadap Op Motosikal, Op Had Laju dan Op Perdagangan yang akan dijalankan secara penguatkuasaan menyeluruh dengan tiada sebarang rayuan akan diterima bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.

     Mat Kasim berkata JSPT telah melakukan perancangan rapi bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dan diminimumkan ke paras sekurang-kurangnya 50 peratus penurunan.

    “Aset-aset JSPT seperti motosikal dan kereta peronda juga akan dioptimumkan penggunaannya bagi tugas penguatkuasaan dan rondaan ‘omnipresent’ di lokasi panas seluruh negara,” katanya.

    — BERNAMA

  • Reka bentuk ‘tropical brutalism’ tarikan Musalla Al Abrar Sg Penchala

    Reka bentuk ‘tropical brutalism’ tarikan Musalla Al Abrar Sg Penchala

    PENGUNJUNG yang melalui Jalan Sungai Penchala di Segambut di sini, pasti tidak akan melepaskan peluang memerhati sebuah bangunan konkrit berwarna putih kelabu yang dipenuhi dengan landskap tumbuhan hijau.

    Sepintas lalu, pemandangan bangunan itu tidak ubah seperti sebuah bangunan pejabat, namun apabila menjengah ke dalam kawasan berkenaan, ia sebenarnya sebuah surau dinamakan Musalla Al Abrar dengan struktur binaannya berbentuk kiub dan keseluruhan dinding menggunakan batu blok angin.

    Hafiz Ismail, 48, arkitek dipertanggungjawabkan membuat pelan surau itu berkata Musalla Al Abrar diinspirasikan daripada struktur bangunan suci, Kaabah yang terletak di Masjidil Haram di Makkah.

    “Saya mengambil ilham daripada struktur Kaabah berbentuk kiub, bagaimana struktur sederhana Kaabah itu, jutaan umat Islam dari seluruh dunia setiap tahun pergi. Jadi mengapa tidak kita fikir (pelan) bentuk Kaabah yang kiub sahaja yang boleh menarik ramai orang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Musalla Al Abrar yang menelan kos RM3 juta itu mempunyai dua aras ruang solat yang boleh memuatkan sehingga 1,500 jemaah pada satu-satu masa dan turut menempatkan ruang pejabat, tempat wuduk, tandas dan dapur.

    Surau bertaraf masjid tersebut di bawah pentadbiran Yayasan Tawfiq siap dibina pada 2016 dan sehingga kini ia menjadi tumpuan umat Islam bukan sahaja dari kawasan berdekatan malah juga dari luar Lembah Klang untuk mengikuti majlis ilmu yang diadakan di kawasan berkenaan.

    Bercerita lanjut, lulusan ijazah seni bina dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata dari segi disiplin seni bina, ‘tropical brutalism’ diterapkan pada reka bentuk bangunan surau berkenaan yang mempunyai kelebihan dan setiap daripadanya mempunyai fungsi tertentu.

    Menurutnya, perkataan ‘brutalism’ itu merujuk kepada penggunaan material dinding dan tiang surau yang 100 peratus berasaskan binaan konkrit yang dilepa simen tanpa semburan cat dan hanya bahagian lantai dicat.

    Sementara perkataan ‘tropical’ pula diterapkan melalui aspek landskap tumbuhan yang banyak meliputi sebahagian surau itu bagi mewujudkan persekitaran hijau yang mendamaikan, katanya.

    Hafiz berkata penggunaan batu blok angin pada keseluruhan dinding surau tersebut pula bertujuan mewujudkan lubang pengudaraan semula jadi sekali gus jemaah yang berada di dalamnya lebih selesa dan tenang walaupun dalam jumlah ramai.

    “Perkakasan digunakan di ruang tandas, wuduk juga tidak mahal dan mudah didapati namun didekorasi sebaiknya supaya ia membentuk nilai estetika dan nampak lebih menarik,” katanya.

    Sementara itu, Pemegang Amanah Yayasan Tawfiq, Syed Hussin Syed Shaikh Al Junid berkata reka bentuk surau itu menerapkan elemen minimalis yang sesuai dengan kontemporari semasa sebagai daya tarikan khususnya kepada golongan muda di bandar bagi mengimarahkan aktiviti keagamaan.

    “Binaan surau ini berbeza dengan binaan surau atau masjid lain, walaupun ia kecil, nampak ekstrem dan kolot dengan binaan batu angin tetapi apabila kita berada di dalam jauh selesa dan hati akan lapang dengan pemandangan landskap di sekeliling,” katanya.

    Syed Hussin berkata mengikut perancangan pada masa akan datang, kemudahan lain seperti dewan, sekolah agama dan kafe turut akan dibina bersebelahan dengan surau berkenaan yang menjadikan keseluruhan kawasan itu sebagai pusat dakwah.

    — BERNAMA