Category: Umum

  • Malaysia rancang keluar kad perakuan pelarian sendiri

    Malaysia rancang keluar kad perakuan pelarian sendiri

    KERAJAAN sedang merancang untuk mengeluarkan sendiri kad perakuan pelarian melalui agensi yang bertanggungjawab dalam perihal tersebut, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, Malaysia yang sepatutnya menentukan sama ada pelarian itu boleh tinggal di negara ini dan diberikan kad dikeluarkan oleh agensi kerajaan Malaysia bertanggungjawab.

    “Sepatutnya Malaysia yang tentukan sama ada seseorang itu boleh tinggal di negara ini atau tidak… dengan kad yang dikeluarkan agensi kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab.

    “Tiba-tiba ada pula agensi lain yang buat pendaftaran (keluarkan kad) di negara kita,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan di sini hari ini.

    Pada April 2020, Hamzah dilaporkan sebagai berkata, kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian etnik Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

    Menurutnya, Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

    Hamzah dalam pada itu berkata, ketika ini hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sahaja yang layak untuk mendaftarkan mana-mana individu untuk tinggal secara sah di Malaysia.

    Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata pihak berkuasa masih memburu baki 61 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Pulau Pinang.

    Beliau berkata ketika ini pihak berkuasa sedang mengenal pasti lokasi sebenar mereka yang dipercayai berada di Selayang, Selangor.

    Pada 20 April lepas, seramai 528 tahanan merusuh dan melarikan diri daripada depot tahanan namun lebih 460 pelarian tersebut berjaya ditahan semula manakala tujuh daripada mereka maut akibat kemalangan dalam cubaan melintas di kawasan Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

    Sementara itu, Hamzah berkata, penerima taraf kewarganegaraan Malaysia diingatkan supaya sentiasa berpegang kepada lima prinsip Rukun Negara, menyokong inisiatif kerajaan dan menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan jenayah.

    Beliau memberi peringatan itu pada majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan di sini hari ini kepada 34 penerima dengan mengingatkan mereka agar menjaga nama baik Malaysia dan menjadi sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang bertanggungjawab.

    “Jadikan penganugerahan ini sebagai permulaan masa depan yang cerah untuk anda,” katanya pada majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan kepada kesemua penerima berusia antara lima dan 24 tahun itu.

    Beliau berkata pemberian taraf kewarganegaraan itu merupakan satu anugerah tertinggi oleh kerajaan kepada mana-mana individu yang berkelayakan berpandukan kepada Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

    Perkara tersebut memperuntukkan kuasa kepada kerajaan Persekutuan dalam sesuatu keadaan khas untuk mendaftarkan seseorang yang berumur kurang daripada 21 tahun sebagai warganegara.

    Hamzah berkata sepanjang tempoh beliau mengemudi Kementerian Dalam Negeri (KDN), pihaknya telah meluluskan kira-kira 20,000 permohonan taraf kewarganegaraan.

    “Kelulusan bukan mudah, KDN perlu selidik latar belakang pemohon berdasarkan dokumen yang diserahkan,” katanya.

    Sementara itu, seorang penerima taraf kewarganegaraan, Ngan Chun Kai, 14, berkata dia amat menghargai taraf kerakyatan yang diterima.

    “Syukur sangat. Saya akan jadi warganegara yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” katanya. – BERNAMA

  • Jangan bangga dengan buli, itu budaya samseng – Tun Mahathir

    Jangan bangga dengan buli, itu budaya samseng – Tun Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan pelajar bahawa buli bukanlah kegiatan yang boleh dibanggakan.

    Sedih dengan kes buli di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi, Kedah yang tular di media sosial semalam, Dr Mahathir berkata, tindakan itu hanya membawa kepada budaya samseng.

    “Kini ia menjadi kes polis. Saya harap semua pelajar terlibat sedar dan ambil peringatan buli bukanlah sesuatu yang harus kita banggakan,” kata Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menerusi catatan di akaun Twitter rasminya.

    Semalam, media melaporkan polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video berdurasi 25 saat.

    Kejadian pada 9 pagi Rabu itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain dengan mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata 13 pelajar tingkatan empat sekolah terlibat ditahan bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • ‘’Jika anda sedang bercuti, pergi ke hotel’’…P.Pinang akan haramkan inap desa

    ‘’Jika anda sedang bercuti, pergi ke hotel’’…P.Pinang akan haramkan inap desa

    PULAU  Pinang akan mengharamkan rumah sewa jangka pendek atau inap desa di hartanah bertanah dan bertingkat “tidak lama lagi” sejajar ikrar kerajaan negeri untuk memerangi gangguan berpunca daripada pelancong di pangsapuri, kondominium dan kawasan perumahan.

    Exco Kerajaan Negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, walaupun tempoh pengharaman itu belum diputuskan, kerajaan negeri sudah bersetuju dengan rancangan itu, berdasarkan pelbagai aduan daripada kumpulan penduduk.

    “Sama ada rakyat suka atau tidak, kami akan berpendirian tegas dalam perkara ini. Kawasan perumahan untuk penduduk. Jika anda sedang bercuti, pergi ke hotel,” katanya kepada portal FMT.

    Jagdeep, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri, berkata larangan dalam bentuk “garis panduan” itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk dilaksanakan.

    Katanya, garis panduan itu, antara lain, akan memberi kuasa kepada badan pengurusan pangsapuri, kondominium atau sebarang hartanah berstrata mengambil tindakan terhadap pemilik rumah ingkar yang membenarkan penyewaan jangka pendek.

    “Kami mungkin negeri pertama yang berbuat demikian. Satu lagi garis panduan akan diperkenalkan untuk hartanah bertanah, sementara menunggu isu perundangan yang perlu kami selesaikan,’’ kata beliau.

    Jagdeep berkata, disebabkan jumlah harta berstrata di Pulau Pinang adalah ketiga tertinggi dalam negara, garis panduan itu akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan dan keselamatan sosial untuk penduduk.

    Di bawah undang-undang persekutuan, katanya, badan pengurusan bersama (JMB) atau jawatankuasa pengurusan (MC) hartanah berstrata (biasanya pangsapuri dan kondominium) boleh memperkenalkan larangan inap desa.

    Jagdeep berkata, ini boleh dilaksanakan melalui peraturan dalaman hartanah seperti yang dibenarkan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013. Di bawah akta itu, JMB atau MC boleh mengenakan denda sehingga RM200 kepada individu melanggar peraturan itu.

    Katanya, walaupun memahami pemilik hartanah mahu menjana pendapatan tambahan melalui inap desa, tidak adil untuk berbuat demikian tanpa persetujuan penduduk lain di hartanah atau kawasan perumahan sama.

    Beliau berkata, jika pemilik berminat menyewakan unit mereka, mereka perlu mendapatkan persetujuan daripada sekurang-kurangnya 75% penduduk dan ini mesti direkodkan JMB atau MC dalam mesyuarat agung tahunan.

  • Persiapan Aidilfitri musnah dalam kebakaran

    Persiapan Aidilfitri musnah dalam kebakaran

    SEBUAH keluarga terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri seadanya pada kali ini selepas rumah mereka termasuk semua persiapan lebaran yang yang bakal disambut minggu hadapan musnah dalam kebakaran.

    Ketua keluarga, Nazri Ahmad, 51, berkata, rumah mereka di Batu 39, Jalan Seribu Tahun di Kampung Olak Lempit di Banting terbakar pada hari ke-12 Ramadan yang lalu.

    Menurut Nazri, ketika kejadian pukul 2.30 pagi itu, isteri dan tiga anaknya berada di rumah, manakala dia masih belum pulang dari kerja dan seorang lagi anak berada di kolej.

    “Anak kedua saya yang tersedar dari tidur kerana sukar bernafas sebelum segera keluar dari bilik untuk melihat keadaan dan menyedari rumah sudah dipenuhi asap tebal.

    “Mereka bernasib baik kerana anak saya tidak menutup pintu biliknya dan sejurus selepas itu, anak-anak yang berada di rumah dan isteri terus berlari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

    “Mereka cuba memadamkan api tetapi tidak berjaya kerana api terus marak, hanya sempat alihkan kereta,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Nazri ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Suasa Efektif (M) Sdn Bhd, Dr Zainuddin Othman sempena Program Sumbangan Kasih Ramadan anjuran syarikat itu.

    Hadir sama, Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Pentadbiran, Mohd. Ismail Masri; Pengarah Eksekutif Korporat dan Pemasaran, Tengku Datuk Taha AlFashni serta ketua-ketua pejabat cawangan.

    Program Sumbangan Kasih Ramadan itu mengagihkan sumbangan pek makanan kepada 51 buah keluarga asnaf, fakir dan miskin.

    Program dijalankan serentak di Shah Alam, Selayang, Kajang, Kuala Selangor, Sepang dan Nilai iaitu di kawasan pengoperasian tempat letak kereta pihak berkuasa tempatan di bawah pengurusan operasi Suasa Efektif (M) Sdn Bhd.

    Zainuddin berkata, sumbangan itu mengandungi makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, bihun, biskut, sardin, sos, kicap, garam, gula, teh dan juga minuman.

    “Program sebegini adalah sejajar dengan konsep kami iaitu ‘berkongsi rezeki di bulan mulia’ di mana kami percaya setiap rezeki yang ALLAH berikan kepada kita perlu dikongsi bersama.

    “Di dalam setiap rezeki kita, ada juga rezeki untuk orang lain dan begitu juga sebaliknya, semoga sedikit sumbangan ini dapat membantu meringankan beban golongan memerlukan,” katanya.

    Selain sumbangan berbentuk keperluan makanan, penerima juga menerima sumbangan berbentuk wang tunai bagi menampung keperluan keluarga bagi menyambut ketibaan Aidilfitri.

  • MARA taja 1,500 pelajar ke luar negara – Mahdzir

    MARA taja 1,500 pelajar ke luar negara – Mahdzir

    MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) meneruskan program penghantaran pelajar tajaannya ke luar negara membabitkan seramai 1,500 orang dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian pada tahun ini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program tajaan, biasiswa dan pinjaman MARA ini sudah dilaksanakan sejak 50 tahun lepas dan akan diteruskan pada masa akan datang.

    “MARA meneruskan usaha untuk memberi tajaan dan biasiswa serta pinjaman kepada anak-anak Melayu dan bumiputera untuk belajar dalam bidang-bidang tertentu di luar negara,” katanya ketika ditemui selepas Program Ceria ke Sekolah dan Majlis Perasmian Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Bhd (TNB) serta majlis berbuka puasa bersama pelajar tingkatan enam dari tiga sekolah di Kuala Nerang semalam.

    Beliau berkata, MARA tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan penghantaran pelajar ke luar negara ketika pandemik COVID-19 memuncak sejak dua tahun lepas kerana kelas pengajian dilaksanakan secara dalam talian.

    “Sekarang tidak ada masalah, dahulu pun tidak ada masalah sebab pelajar mengikuti pengajian secara online, cuma kos kita rendah kerana dia tidak pergi lagi ke universiti itu,” katanya.

    Ditanya mengenai pembayaran balik wang tajaan pelajar, Mahdzir berkata MARA tidak mempunyai masalah berkaitan perkara itu.

    Katanya MARA juga tidak menetapkan pelajar tajaannya pulang bekerja dengan agensi tersebut, sebaliknya pelajar yang menamatkan pengajian di luar negara bebas memilih kerjaya di mana-mana syarikat atau agensi di negara ini.

    Ketika ini, sejumlah 3,391 pelajar tajaan MARA sedang melanjutkan pengajian di 24 negara di seluruh dunia dengan 1,422 pelajar berada di United Kingdom.

    Pada majlis itu, Mahdzir turut menyampaikan bantuan Program Ceria Ke Sekolah TNB kepada 257 pelajar tingkatan enam tiga sekolah dari daerah Padang Terap manakala dua keluarga miskin dari Kampung Kuala Tekai, Pedu, menerima kunci rumah kediaman di bawah Projek Baiti Jannati TNB. – BERNAMA

  • Serangan terhadap institusi kehakiman melampaui batas- Ketua Hakim Negara

    Serangan terhadap institusi kehakiman melampaui batas- Ketua Hakim Negara

    KETUA Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menyifatkan serangan yang dibuat terhadap hakim dan institusi tersebut disifatkan melampaui batas.

    Memetik laporan News Straits Times, Tengku Maimun berkata walaupun rakyat termasuk ahli politik, pada tahap tertentu, bebas untuk mengkritik, ia tidak bermakna mereka boleh melancarkan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu, bagi kepentingan mereka sendiri.

    Menyedari terdapat banyak kes berprofil tinggi yang melibatkan kepentingan awam sedang dibicarakan di mahkamah, Tengku Maimun menambah, hakim dan badan kehakiman dijangka terdedah kepada kritikan dan tuduhan tidak berasas oleh mereka yang terkesan akibat keputusan mahkamah.

    Keadaan itu akan berlaku terutamanya jika sesuatu keputusan perbicaraan itu tidak memihak kepada mereka, ujarnya lagi.

    Dalam masa yang sama, Tengku Maimun menegaskan integriti sistem keadilan dan kebebasan badan kehakiman tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.

    “Apabila timbul keperluan untuk badan kehakiman dikritik, ini harus dilakukan dengan cara yang membina dan tidak menjejaskan kebebasan dan keyakinan orang ramai.

    “Walau bagaimanapun, kita mesti kekal kuat dan tabah serta istiqamah dalam menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya hari ini.

    Tengku Maimun berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Hakim Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman di sini petang tadi.

    Tengku Maimun turut menegaskan bahawa campur tangan luar dalam badan kehakiman tidak akan dilayan.

    Sebaliknya, beliau berkata sesuatu kes diputuskan berdasarkan bukti di mahkamah dan prinsip undang-undang yang ditetapkan.

    “Apa jua dugaan dan kesusahan yang kita hadapi, prinsip ini mesti dipatuhi. Hanya jika kita berpegang kepada prinsip utama ini, barulah kita layak dipanggil hakim,” katanya.

  • Solat sunat Aidilfitri dibenarkan dengan kapasiti penuh – Khairy

    Solat sunat Aidilfitri dibenarkan dengan kapasiti penuh – Khairy

    SOLAT sunat Aidilfitri tahun ini dibenarkan dengan kapasiti 100 peratus namun semua jemaah perlu memakai pelitup muka ketika bersolat dan sepanjang berada di masjid atau surau, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Mengumumkan protokol sambutan Hari Raya 2022 hari ini dalam sidang media di sini, Khairy berkata turut dibenarkan ialah takbir hari raya di masjid, surau dan rumah ke rumah dengan sentiasa memakai pelitup muka.

    Aktiviti lain dibenarkan dengan keperluan memakai pelitup muka adalah jamuan selepas solat di masjid atau surau, program ziarah, ziarah tanah perkuburan serta rumah terbuka atau majlis hari raya sama ada secara indoor (dalam bangunan) atau outdoor (terbuka),” katanya.

    “Protokol ini adalah sebagai panduan umum, namun ia tertakluk kepada ketetapan dan SOP (prosedur operasi standard) oleh pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

    Khairy berkata kesemua aktiviti yang dibenarkan itu bagaimanapun tidak boleh dihadiri oleh individu yang positif COVID-19 atau bergejala.

    “Kesemua individu atau jemaah terbabit perlu mengelakkan 3S (kawasan yang sesak, sempit dan sembang atau bertutur dengan jarak dekat),” katanya.

    Beliau menasihatkan jemaah masjid atau surau untuk berwuduk di rumah serta membawa sejadah masing-masing dan memasuki premis berkenaan mengikut giliran bagi mengelak kesesakan serta bersurai dengan tenang.

    “Semua boleh balik kampung dan enjoy your (menyambut) Hari Raya dalam keadaan selamat,” katanya.

    — BERNAMA

  • Tidak wajib imbas MySejahtera mulai 1 Mei

    Tidak wajib imbas MySejahtera mulai 1 Mei

    BERMULA 1 Mei ini, imbasan kod QR MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Berikut petikan kenyataan beliau pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini :

    Bermula 1 Mei ini, imbasan kod QR MySejahtera TIDAK LAGI DIWAJIBKAN apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    SEMAKAN SEMULA KEPERLUAN IMBASAN KOD QR MySejahtera

     • Imbasan kod QR MySejahtera TIDAK DIWAJIBKAN apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam. Bagaimanapun, saya ingin menyeru supaya anda semua mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak;

    • Individu dengan status “High Risk” pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan HSO, tidak dibenarkan masuk ke premis; dan

    • Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premisnya.

    • Aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO). Ia juga penting untuk membantu KKM dalam pencegahan dan kawalan COVID-19.

    HOTSPOT TRACKER UNTUK MYSEJAHTERA

    ● Saya juga ingin umumkan, sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik, MySejahtera, sebagai aplikasi kesihatan awam akan ditambah baik dengan pengenalan ciri-ciri baharu.

    ● Sebagai permulaan,fungsi yang sedia ada,iaitu HotspotTracker yang dahulunya digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19, kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit-penyakit lain iaitu rabies (penyakit anjing gila), demam campak (measles), penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) dan denggi.

    Kawasan ini akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit.

    ● Saya menyeru agar rakyat Malaysia mengambil peluang menggunakan fungsi yang ditambah baik ini terutamanya apabila hendak balik ke kampung, berhari raya ke rumah saudara mara atau pergi bercuti.

    Ini adalah langkah proaktif bagi mengelakkan daripada mengunjungi kawasan yang berisiko tinggi berlaku penularan penyakit berjangkit, terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi.

    ● Saya juga amat menggalakkan persatuan-persatuan komuniti menggunakan fungsi ini untuk membantu dalam mengawal penularan penyakit berjangkit ini di kawasan kediaman masing- masing dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti gotong- royong serta pembersihan kawasan perumahan dan perkampungan.

  • Penentuan Aidilfitri..hormati proses penentuan rasmi – JAKIM

    Penentuan Aidilfitri..hormati proses penentuan rasmi – JAKIM

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini.

    Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata proses tersebut telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berautoriti.

    Katanya,  Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak serta astronomi yang telah dipersetujui semua negeri.

     “Berkaitan penentuan awal Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini, aktiviti cerapan rasmi di seluruh negeri di Malaysia akan dilaksanakan di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan 1443H bersamaan 1 Mei 2022M.

    “Aktiviti cerapan anak bulan ini dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM),’’ kata lapor Astro Awani.

    Menurutnya, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidil Fitri akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi yang telah ditetapkan.

    Terdahulu seorang individu bernama A Zaharim A Aziz mendakwa data yang diperoleh daripada Pejabat Almanak Nautika Baginda (UK) menunjukkan ketinggian dan pemanjangan anak bulan baharu pada waktu matahari terbenam bagi Kuala Lumpur adalah masing-masing 5 darjah dan 7 darjah.

    “Ini bermakna dengan kaedah Imkanur Rukyah, hilal baharu kelihatan walaupun tidak dapat dilihat kerana cuaca buruk.

    “Oleh itu, selepas proses pengesanan selesai, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hendaklah mengisytiharkan bahawa 2 Mei 2022 (Isnin) adalah 1 Syawal 1443H, sehari lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan dalam kalendar rasmi,” menurut kenyataan individu tersebut, seperti yang disiarkan dalam sebuah portal tempatan.

  • Bertemu media…Onn Hafiz kena belajar dengan bapa saudara

    Bertemu media…Onn Hafiz kena belajar dengan bapa saudara

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MENJADI pemimpin memang bukan tugas mudah, sesiapa pun akan ‘cuba elak’ jika ada pilihan. Tetapi rencana dan takdir Allah SWT menentukan segalanya termasuk dalam isu pelantikan Menteri Besar Johor ke-19.

    Rezeki itu sudah tertulis untuk Datuk Onn Hafiz Ghazi yang kini menggalas tanggungjawab besar mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Johor sejak 15 Mac lalu iaitu selepas dua tahun hanya sebagai Exco menguruskan portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan.

    Tidak sama seperti semasa menjadi Exco yang mungkin Onn Hafiz cekap dengan hal ehwal ditadbirnya, tetapi sebagai Menteri Besar semua selok belok dan urusan negeri perlu ada dalam tangannya agar mudah untuk berhadapan rakyat, pembangkang dan ‘rakan media’.

    Beliau mungkin boleh dikira sebagai jaguh dalam menyalurkan maklumat, berkongsi aktiviti dan pengumuman tertentu kerana pantas memuat naik perkara-perkara itu dalam Facebooknya setiap masa setelah selesai sesuatu program atau lawatan dihadiri.

    Dalam hal ini, nampak seperti Onn Hafiz dan pasukannya telah ‘memudahkan’ tugas wartawan kerana tidak perlu bersusah payah mengejarnya di program atau menghubungi beliau melalui telefon bagi mendapatkan komen.

    Tetapi sayang beribu-ribu kali sayang, langkah itu tidak banyak membantu pun ‘rakan media’ yang mahu membantu beliau pula kerana apa yang dikongsikan tidak ubah seperti kad laporan harian seorang wakil rakyat.

    Tiada isi penting dan kadang kala memeningkan kepala wartawan untuk mencari ‘point’ yang sesuai bagi dijadikan bahan berita sehingga kerap kali terpaksa diabaikan kerana tiada nilai berita.

    Mungkin ini kesannya apabila beliau jarang mahu bertemu dan berkomunikasi dengan ‘rakan media’ secara dua hala sehingga tidak pasti apa sebenarnya bahan diperlukan untuk penulisan berita yang boleh membantu pentadbiran beliau di Johor.

    Johor pula bukan negeri yang biasa-biasa, bersempadan pun dengan negara maju, Singapura yang pastinya setiap apa diperkatakan beliau akan menjadi perhatian republik itu berdasarkan hubungan erat Johor-Singapura sejak dahulu kala.

    Sekiranya Onn Hafiz berterusan ‘menjauhkan’ diri daripada media, tiada apa yang dapat dibantu. Untuk rekod, setakat ini hanya tujuh sidang akhbar dilakukan beliau sejak mengangkat sumpah.

    Itu pun tiga daripadanya merupakan sidang akhbar tanpa sesi soal jawab iaitu kehadiran wartawan hanya untuk mendengar apa yang mahu dikatakan beliau dan bakinya hanya boleh tanya hal berkaitan program sahaja, tiada soalan tambahan.

    Media sebenarnya faham beliau masih baharu sebagai Menteri Besar tetapi dari situlah sebenarnya permulaan untuk membentuk keyakinan beliau berhadapan dengan wartawan yang kadang jadi kawan, ada masa jadi lawan. Apa yang penting kena yakin dan bijak menjawab.

    Dalam hal ini, rasanya elok juga Onn Hafiz merujuk kepada bapa saudaranya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang amat mesra media tanpa perlu berlari dan mengelak jika mahu disoal.

    Cara Hishammuddin menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya sentiasa tenang, tidak takut dan sesuai dengan keadaan. Rasanya ramai masih ingat sekitar 2014 bagaimana Ahli Parlimen Sembrong itu mengendalikan sidang akhbar berkaitan pesawat Malaysia Airlines, MH370.

    Ketika itu beliau Menteri Pertahanan dan memangku tugas Menteri Pengangkutan, setiap hari bukan setakat rakyat Malaysia yang menonton sidang akhbar secara langsung tetapi seluruh dunia melihat Hishammuddin menyampaikan maklumat terkini untuk diketahui umum.

    Soalan-soalan yang ditanya media antarabangsa pula bukan calang-calang, tetapi Hishammuddin tidak berganjak atau memilih untuk memuat naik kenyataan di Facebook sahaja. Raut wajah beliau sentiasa tenang dan meyakinkan mereka yang menonton.

    Maka, Onn Hafiz sewajarnya mencontohi Hishammuddin kerana dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor nanti pula, beliau akan berdepan pula dengan wakil rakyat pembangkang yang jauh lebih berpengalaman.

    Malah, tak salah rasanya jika beliau mencontohi sikap pendahulunya, Datuk Seri Hasni Mohammad yang ada hubungan baik dan erat dengan media, tidak pernah tiada sidang akhbar kecuali dalam hal-hal tertentu dan sentiasa menyapa rakan media ketika di mana-mana program.

    Walaupun Barisan Nasional (BN) ada kedudukan selesa dengan 40 daripada 56 kerusi, tetapi Onn Hafiz kena ingat Ketua Pembangkang nanti ialah Liew Chin Tong yang bergandingan pula dengan Datuk Seri Salahuddin Ayub selain wakil-wakil rakyat ‘junior’ yang petah berhujah seperti Marina Ibrahim, Amira Aisya Abd. Aziz dan lain-lain.

    Tidak perlu takut berhadapan media, tidak perlu bimbang dikritik dengan apa yang akan diperkatakan kerana seorang pemimpin yang berkaliber perlu berani menghadapi semua itu, sama seperti beliau mengkritik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dahulu.

    Jadi, sudah pasti Onn Hafiz sudah tahu selok-belok atau cara menjawab serta membalas hujah agar tidak lagi beliau selepas ini terus diberi gelaran MB FB (Menteri Besar Facebook).