Category: Umum

  • Tak salah kenakan caj pemprosesan tapi jangan melampau – Rosol

    Tak salah kenakan caj pemprosesan tapi jangan melampau – Rosol

    PENIAGA -peniaga ayam mentah boleh mengenakan caj pemprosesan selepas penguatkuasaan harga siling runcit ayam standard iaitu RM9.40 sekilogram bermula esok.

    Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid menyatakan caj yang dikenakan terutama upah memotong ayam perlulah munasabah dan tidak melampau.

    “Dari segi undang-undang, (kenakan caj proses) tidak salah kerana yang kita (di Kementerian hanya) ‘control’ (harga siling) ayam bulat sahaja, tetapi kalau dia (peniaga) nak (kenakan) caj, (seperti) upah potong, upah cabut bulu dan sebagainya itu tidak menjadi kesalahan cuma jangan melampau.

     “Contohnya (jika harga siling) ayam ditetapkan RM8.90 sekilo, tiba-tiba dia ambil kos RM5 untuk kerat (potong) sahaja, itu melampau, kalau (mana-mana pihak) ada maklumat tersebut, minta maklumkan, kalau ada (peniaga letakkan harga) RM1 ke RM1.50, itu munasabah tetapi kalau melampau tidak boleh,” katanya di Kuala Perlis, semalam, lapor Astro AWANI.

    Sementara itu,  Rosol berkata, kementeriannya masih belum menerima sebarang laporan berkaitan tindakan mencampurkan minyak masak subsidi dan minyak masak terpakai.

    “(Saya nak katakan) itu just ‘hear say’, tetapi bila kita pergi ke dasar (peringkat bawah), ianya tidak berlaku, perkara itu just a ‘hear say’.

    “Jadi (setakat ini) tiada isu mencampurkan minyak masak dengan minyak yang telah digunakan atau yang dicampurkan, setakat ini tiada kes yang dilaporkan kepada kita,” ujarnya lagi.

  • Biadabpun…biadablah…apa saya kata berlaku – Tun M

    Biadabpun…biadablah…apa saya kata berlaku – Tun M

    BEKAS  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak kisah dilabelkan sebagai biadab berhubung kenyataannya melibatkan institusi diraja di Malaysia yang didakwa bebas serta mengatasi undang-undang.

    Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, beliau hanya bercakap mengenai apa yang sememangnya berlaku, termasuk soal kedaulatan negara.

    “(Mereka nak panggil saya) biadab (pun), biadablah. Tetapi apa yang saya katakan ini berlaku. Seketul batu yang tidak sampai setengah meja besarnya, buat macam-macam, kononnya (atas nama) kedaulatan. “Tetapi (mereka) pergi jual 1,700 ekar tanah Johor kepada orang China, bukan ‘Malaysian Chinese’, itu lebih dahsyat lagi, tetapi itu (mereka melihatnya sebagai) tiada masalah,” katanya di Langkawi lapor Astro AWANI.

    Pada Selasa, beliau menganggap kenyataan dan kritikan yang dilemparkan terhadapnya oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan tuntutan Pulau Batu Puteh adalah semata-mata pendapat baginda.

    Bagaimanapun, menurut Dr Mahathir, ia juga bukan kenyataan yang dibuat oleh mana-mana hakim dalam menentukan sebarang keputusan.

    Sebelum ini, beliau mendakwa kenyataannya yang mendesak Johor menuntut semula Riau dan Singapura kerana kedua-dua wilayah itu adalah sebahagian daripada Tanah Melayu, telah dilaporkan di luar konteks.

    Dr.Mahathir berkata,  kenyataan beliau hanya merujuk kepada Pulau Batu Puteh yang pemilikannya menjadi kebimbangan rakyat Malaysia berbanding wilayah lain yang sebelum ini diambil dari Malaysia.

    Dakwa beliau, kehilangan pulau kecil itu bukanlah satu perkara besar dan ia merupakan kesilapan kerajaan Johor sendiri.

  • Jenazah pesakit COVID-19 boleh dimandi, dikafankan – Khairy

    Jenazah pesakit COVID-19 boleh dimandi, dikafankan – Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menetapkan tatacara pengurusan jenazah Islam yang dijangkiti COVID-19 dibenarkan untuk dimandi dan dikafankan dengan amalan langkah berjaga-jaga, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

    Khairy berkata urusan mandi dan kafan akan dilakukan oleh pengendali jenazah yang terlatih di hospital dengan pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap dan bersesuaian serta mengelakkan aktiviti yang berunsur prosedur penjanaan aerosol (AGP).

    Beliau berkata selain itu hanya dua orang waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE yang lengkap dibenarkan membantu urusan memandikan dan mengafankan jenazah di hospital.

    “KKM ingin memaklumkan tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti COVID-19 disemak semula agar ia relevan dengan situasi semasa.

    “Semakan semula ini juga adalah sejajar dengan Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021 yang bersidang pada 26 Julai 2021,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, KKM menetapkan tatacara pengendalian jenazah pesakit COVID-19 beragama Islam hanya melakukan proses tayamum di atas permukaan paling luar beg jenazah tanpa perlu dimandikan dan diuruskan sepenuhnya di hospital tanpa penglibatan waris.

    Sementara itu, bagi pengurusan mayat bukan Islam yang dijangkiti COVID-19, Khairy berkata sekiranya prosedur last rite atau upacara terakhir memerlukan penukaran pakaian baharu, pakaian tersebut boleh diletakkan di atas badan mayat tanpa prosedur AGP dan hanya dua waris lengkap vaksinasi dibenarkan sertai urusan itu.

     Selain itu, turut disemak semula adalah penggunaan satu beg mayat bagi setiap jenazah atau mayat yang dijangkiti COVID-19 berbanding sebelum ini yang perlu menggunakan dua beg mayat.

    Menurut Khairy, KKM tidak menetapkan jumlah waris yang boleh terlibat dalam upacara pengebumian jenazah tetapi perlu memakai PPE.

    “KKM juga tidak menetapkan jumlah individu yang hadir ke upacara itu, namun perlu memakai pelitup muka dan elakkan dari bersesak-sesak,” katanya.

    — BERNAMA

  • Haji: Jemaah diingat jaga kebersihan, nama baik Malaysia

    Haji: Jemaah diingat jaga kebersihan, nama baik Malaysia

    haramain

    SEIRING kempen ‘Kebersihan Mencerminkan Kemakburan Haji’, jemaah Malaysia bukan sahaja diingatkan tentang kepentingan bergotong-royong, tetapi juga keperluan menjaga nama baik negara.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata ibadah bukan sahaja berkaitan diri sendiri tetapi juga penjagaan persekitaran.

    Katanya kempen sama pernah diadakan bermula 2017, dalam operasi di Arafah, Mudzlifah dan Mina sehingga mendapat pujian Menteri Haji Arab Saudi dan selepas itu diteruskan di peringkat kawasan penginapan.

    Melalui kempen kebersihan ini, setiap Rabu di maktab (penginapan) akan diadakan program gotong-royong bermula dengan membersihkan bilik masing-masing, surau, lobi dan lorong laluan ke bilik.

    “Kita dapat lihat semua jemaah memberi kerjasama yang baik dan bersemangat untuk bergotong-royong di kawasan yang mereka duduki.

    Program ini akan memupuk gotong-royong dan kerjasama sesama jemaah haji dalam menjaga kesejahteraan, keharmonian dan keakraban di kalangan mereka ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kebersihan melibatkan jemaah dan petugas di Abraj Al Janadriyah, Mekah yang menempatkan ibu pejabat serta penginapan jemaah.

    Syed Saleh berkata jemaah haji Malaysia perlu mengekalkan budaya kebersihan seperti yang diamalkan jemaah sebelum ini bagi menjaga imej Malaysia di mata dunia dan menjadi contoh kepada jemaah negara lain.

    Musim haji tahun ini menyaksikan 14,306 jemaah Malaysia akan mengerjakan rukun Islam kelima itu yang tinggal di lima penginapan di sini dengan dibantu 320 petugas TH.

    Sementara itu malam tadi 300 petugas TH menyertai majlis bacaan yassin dan solat hajat bagi mendoakan kelancaran operasi masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

    Ketika itu petugas akan berdepan dengan pelbagai senario bagi menyantuni Tetamu Allah di samping keperluan mengerjakan ibadah haji.

    Hari Wukuf dijangka bermula kira-kira 10 hari lagi dan segala persiapan rapi sedang diatur termasuk penginapan di khemah serta pergerakan jemaah.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Aidiladha disambut hari Ahad, 10 Julai

    Aidiladha disambut hari Ahad, 10 Julai

    UMAT Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Ahad, 10 Julai susulan tarikh 1 Zulhijjah 1443 jatuh pada Jumaat ini.

    Perkara itu diumumkan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman sebentar tadi, selepas aktiviti cerapan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, petang tadi.

    “Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1443 Hijrah ialah pada Jumaat, 1 Julai 2022.

     “Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Ahad, 10 Julai 2022,” katanya menerusi pengumuman yang disiarkan malam ini.

  • Tarikh Hari Raya Aidiladha dijangka diumum hari ini

    Tarikh Hari Raya Aidiladha dijangka diumum hari ini

    PENYIMPAN Mohor Besar Raja-Raja dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung tarikh sebenar Hari Raya Aidiladha hari ini.

    Tarikh itu akan diumum selepas sesi pencerapan yang akan dilakukan panel falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada petang nanti.

    Astro Awani melaporkan, setakat ini, tarikh perayaan itu masih kekal seperti diwartakan dalam takwim rasmi kerajaan iaitu pada 10 Julai ini.

    Ketika ini terdapat sejumlah 29 tempat cerapan diwartakan oleh Majlis Raja-Raja di seluruh negara sejak 2011 yang ditugaskan bagi melihat kesemua 12 anak bulan Hijri sepanjang tahun.

  • Jemaah Malaysia dapat kelebihan, tapak penempatan baharu di Arafah, Muzdalifah dan Mina

    Jemaah Malaysia dapat kelebihan, tapak penempatan baharu di Arafah, Muzdalifah dan Mina

    haramain

    JEMAAH Malaysia yang mengerjakan ibadah haji tahun ini bertuah apabila Kerajaan Arab Saudi bukan sahaja memberi penempatan baharu tetapi juga kawasan khemah yang berdekatan dengan masjid, ketika berada di Mina.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kelebihan itu boleh dimanfaatkan jemaah haji kerana bukan sahaja boleh solat di masjid tetapi juga menggunakan kemudahan di situ untuk diri mereka.

    “Tahun ini semua tapak di Arafah, Muzdalifah dan Mina adalah tapak baharu. Walau bagaimanapun kemudahan dan kedudukannya masih lagi dalam suasana yang baik dan memberi kelebihan kepada jemaah haji Malaysia.

    Terutama kita lihat perkhemahan di Mina adalah berdekatan dengan Masjid Kuwait yang merupakan salah satu masjid di Mina. Sudah tentunya kemudahan itu dapat dinikmati jemaah haji Malaysia…mereka boleh ke masjid untuk solat dan gunakan kemudahan masjid itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan dan lawatan di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

    Selain itu, Syed Saleh berkata persiapan fasiliti di Arafah, Muzdalifah dan Mina, bagi jemaah haji mengerjakan ibadah Wukuf, kini pada tahap 50 hingga 60 peratus.

    Katanya, kerja-kerja penyediaan fasilti itu dilihat berjalan mengikut jadual dan akan disiapkan menjelang tibanya Hari Wukuf dengan pemantauan pihak muassasah dan Lembaga Tabung Haji (TH).

    “Persiapan untuk Arafah mencapai tahap hampir 50 peratus dan Mina 60 peratus. Ini mengambil kira, ada lagi 10 hari jemaah haji akan tiba.Tahun ini makanan untuk di Arafah dan Mina berjumlah 16 sajian, iaitu lima sajian akan guna konsep sedia dimakan,” katanya.

    Difahamkan sebanyak 75 khemah pelbagai saiz disediakan di Arafah manakala di Mina lebih daripada 600 khemah.

    Syed Saleh juga memaklumkan setakat semalam seramai 10,453 orang yang merupakan 76 peratus daripada jemaah haji yang dibawa TH tahun ini telah tiba di Makkah dan menunggu 10 hari lagi sebelum tiba waktu Wukuf.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Op Patuh tamat, 13143 kompaun dikeluarkan

    Op Patuh tamat, 13143 kompaun dikeluarkan

    OP Patuh yang dilaksanakan bagi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 di peringkat nasional secara bersepadu dan besar-besaran ditamatkan pada 25 Jun setelah setahun digerakkan berikutan negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 (JKPS) yang ditubuhkan untuk menggerakkan Op Patuh bagi menguatkuasakan PKP itu telah genap setahun pada 25 Jun lepas.

    JKPS diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan melibatkan sebanyak 32 kementerian, jabatan dan agensi, menguatkuasakan arahan dan undang-undang di lapangan dalam usaha pencegahan COVID-19.

    “Sepanjang Op Patuh dilaksanakan sehingga 25 Jun lepas, sebanyak 5.55 juta pemeriksaan telah dijalankan. Daripada jumlah itu, sebanyak 13,143 kompaun telah dikeluarkan dan sejumlah 6,383 premis diarahkan tutup,” katanya dalam sidang media yang diadakan selepas majlis apresiasi JKPS di Putrajaya hari ini.

    Hamzah berkata, kerajaan juga telah memutuskan untuk menamatkan pelantikan pegawai yang diberikan kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 pada 30 Jun ini.

    “Berikutan negara dalam peralihan ke fasa endemik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk penguatkuasaan SOP dan protokol peralihan endemik menggunakan kuasa perundangan di bawah Akta Polis 1967,” katanya lagi. – BERNAMA

  • Haji: Malaysia negara pertama dapat pilih waktu melontar, tetapkan waktu malam

    Haji: Malaysia negara pertama dapat pilih waktu melontar, tetapkan waktu malam

    haramain

    MALAYSIA sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama dijemput kerajaan Arab Saudi untuk memilih waktu melaksanakan ibadah melontar jamrah.

    Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kelebihan yang diberikan membolehkan Malaysia memilih antara pukul 8 hingga 10 malam untuk ibadah itu dan ia memberi keselesaan berbanding cuaca pada waktu siang yang boleh mencecah suhu melebihi 50 darjah Celcius.

    “Malaysia dipanggil sebagai negara pertama dan diberi keutamaan untuk memilih. Apabila perbincangan dengan Kementerian Haji dan Umrah, mereka hanya menerima apa sahaja waktu yang kita pilih dan ia telah dimeterai dalam satu perjanjian antara Malaysia dan Arab Saudi.

     “Jadual yang dipilih bersesuaian dengan jemaah haji dan jadual operasi haji kita. Ini satu kebaikan kerana kita diberi keutamaan…negara lain kemungkinan akan pergi pada waktu pagi, zohor dan asar manakala kita pergi waktu malam,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi penempatan jemaah Malaysia di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

    Sebelum ini, Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila menjadi negara pertama menerima permit operasi pusat perubatan di Arab Saudi, malah turut disenarai antara lima negara yang menyertai ‘Makkah Route”.

    Sementara itu, dalam perkembangan sama, Syed Saleh berkata pada 13 Zulhijjah sebahagian jemaah akan melontar jamrah pada awal pagi iaitu selepas subuh dan menurutnya pengaturan waktu melontar dilaksana untuk mengelak kesesakan serta musibah yang tidak diingini.

    “Tahun ini ikut perancangan jika wukuf jatuh pada hari Jumaat, kita akan bermula dengan pergerakan awal petugas pada 7 Zulhijjah (6 Julai). Mereka akan pergi pada waktu malam dan berada di sana untuk bersiap menerima jemaah haji Malaysia yang akan bergerak pada Khamis (7 Julai) bermula awal pagi.

    Pergerakan jemaah menggunakan 17 bas bermula 7 pagi. Kita harap pergerakan dari Makkah ke Arafah berjalan lancar. Pada 10 Zulhijjah mereka akan bergerak pula ke Muzdalifah selepas waktu magrib untuk bermabit sehingga separuh malam iaitu 11.45 malam.

    Setelah itu, mereka akan bergerak pula dari Muzdalifah ke Mina dan berada di situ selama tiga hari bermula 10 Zulhijjah. Sebahagian jemaah akan balik awal dan sebahagian lagi akan tunggu sehingga 13 Zulhijjah,” katanya.

    Hari ini, kerajaan Arab Saudi akan mula melihat anak bulan untuk membuat penetapan sama ada bulan Zulhijjah akan bermula pada 30 Jun atau 1 Julai.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Radzi wakil Malaysia di persidangan UNESCO

    Radzi wakil Malaysia di persidangan UNESCO

    MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin kini berada di Paris, Perancis bagi mewakili Malaysia di persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), yang berlangsung hari ini sehingga Khamis.

    Menurut beliau sesi pra-sidang kemuncak kali ini membicarakan tentang transformasi pendidikan serta langkah yang dapat diambil bagi memastikan kemajuan dan kemampanan sistem pendidikan.

    “Beberapa sesi perbincangan dan lawatan kerja akan turut diadakan sepanjang berada di sini, khususnya berkaitan dengan transformasi pendidikan,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

    UNESCO berusaha untuk membina keamanan melalui kerjasama antarabangsa dalam pendidikan, sains dan budaya.

    Program UNESCO menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan yang ditakrifkan dalam Agenda 2030, yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB pada 2015. – BERNAMA