Category: Umum

  • 100 kes seleweng bekalan minyak masak, nilai rampasan RM2.2 juta

    100 kes seleweng bekalan minyak masak, nilai rampasan RM2.2 juta

    SEBANYAK 100 kes kesalahan menyeleweng bekalan minyak masak bersubsidi dengan nilai rampasan RM2.2 juta dilaporkan dalam tempoh 1 hingga 24 Julai.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, sebanyak 12,417 premis diperiksa menerusi beberapa operasi berkaitan minyak masak termasuk Ops ATM (Ayam, Telur Ayam dan Minyak Masak) dan Ops Anti Sorok serta 117 aduan diterima sepanjang tempoh sama.

    “Untuk ayam dan telur, bermula 1 Julai hingga 24 Julai sebanyak 10,302 premis diperiksa menyaksikan 157 kes dengan nilai rampasan sehingga kini RM22,677,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) mengenai langkah kementerian membendung masalah ketirisan bekalan bahan asas makanan di pasaran dan peningkatan harga barangan. – BERNAMA

  • Laporan audit Melaka: Aktiviti usaha sama tanah dengan syarikat swasta tidak memuaskan

    Laporan audit Melaka: Aktiviti usaha sama tanah dengan syarikat swasta tidak memuaskan

    AKTIVITI usaha sama tanah dengan syarikat swasta tidak memuaskan di Melaka kerana projek lewat disiapkan menyebabkan agensi lewat menerima pulangan atau balasan yang ditetapkan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2020 Siri 1 berkaitan Pengurusan Tanah Agensi negeri Melaka.

    Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dalam laporannya berkata, pengauditan melibatkan penilaian terhadap semua tanah dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Yayasan Melaka (YM) dan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM), setelah dikenal pasti sebagai agensi yang menguruskan pembangunan hartanah di Melaka secara langsung dan mempunyai milikan tanah lebih tinggi berbanding 11 agensi lain di negeri berkenaan.

    “Terdapat kelemahan dalam pengurusan tanah bagi tiga agensi di Melaka iaitu tanah yang masih kosong/ belum dibangunkan di PKNM, YM dan PERTAM berbanding keseluruhan lot tanah dimiliki masing-masing ialah 156 (64.5 peratus), 42 (33.6 peratus) dan dua (16.7 peratus), tanah kosong PKNM di Mukim Sungai Baru, Sungai Baru Tengah, Sungai Baru Ilir dan Linggi dengan perbelanjaan sejumlah RM58.50 juta masih belum mendatangkan sebarang pulangan.

    “Tunggakan hasil agensi sehingga 31 Dis 2020 iaitu PERTAM masih belum menerima hasil jualan tanah di lot PT8534 berjumlah RM21 juta, YM mempunyai tunggakan hasil sewaan sehingga 2020 berjumlah RM1.16 juta melibatkan sembilan penyewa dan tunggakan hasil pajakan tanah bagi tiga pemajak berjumlah RM120,678. YM juga mempunyai tunggakan hasil jualan tanah sejumlah RM0.57 juta,” menurut laporan itu.

    Laporan itu juga menyebut, PKNM mempunyai tunggakan hasil sewaan tanah sehingga 2020 berjumlah RM42,449 melibatkan tujuh penyewa dan tunggakan hasil pajakan tanah berjumlah RM16,500 bagi satu pemajak; PKNM lewat memperbaharui perjanjian sewaan tanah melibatkan tujuh penyewa dengan kelewatan antara 13 hari hingga 12 bulan 23 hari.

    Selain itu, YM telah memberi pajakan empat lot tanah kepada kelab dan kelab telah melantik pihak ketiga untuk menyewa serta menetapkan kadar sewaan dua kali ganda berbanding bayaran sewa kepada YM, selain YM mempunyai kurangan hasil penjualan tanah sejumlah RM2.33 juta disebabkan penurunan harga dan komitmen sosial berkaitan isu pendudukan orang Melayu kepada 21 orang penduduk di tanah tersebut.

    Laporan itu juga menyebut, pelaksanaan projek secara usaha sama YM dan PERTAM dengan syarikat swasta tidak memuaskan kerana projek tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian dan keadaan itu menyebabkan agensi lewat menerima pulangan atau balasan yang ditetapkan.

    Menurut laporan itu, bagi menambah baik pengurusan tanah agensi dan memastikan pelaksanaannya mencapai objektif yang ditetapkan, pihak terlibat disyorkan mengambil tindakan penambahbaikan seperti agensi perlu mengenal pasti tanah-tanah kosong yang berpotensi untuk dibangunkan atau dijual bagi memberi pulangan yang terbaik.

    “Agensi perlu bersama-sama kerajaan negeri merealisasikan hasrat pembangunan tanah yang pesat untuk kebajikan rakyat dan perlu mengkaji semula prosedur bagi aktiviti usaha sama dengan syarikat swasta supaya objektif pembangunan dapat dirancang dengan sempurna dan memberi pulangan yang terbaik.

    “Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan pengurusan aktiviti tanah bagi tiga agensi di Melaka telah memberi pulangan dan hasil yang memuaskan selaras dengan objektif penubuhan agensi,” menurut laporan itu. – BERNAMA

  • Kosmetik kandungi bahan bahaya tarik balik 24 jam dari pasaran

    Kosmetik kandungi bahan bahaya tarik balik 24 jam dari pasaran

    PRODUK kosmetik dan ubat-ubatan yang mengandungi bahan berbahaya kepada kesihatan pengguna akan diarah ditarik balik dari pasaran dalam masa 24 jam, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

    Dr Noor Azmi berkata, bagi produk yang mendatangkan risiko kecil atau produk yang tidak mencapai standard kualiti yang ditetapkan, ia perlu ditarik balik dari pasaran dalam tempoh 72 jam (tahap 2).

    “Tahap 3 pula produk dengan masalah-masalah lain, ia perlu ditarik balik dari pasaran dalam tempoh 30 hari,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang mahu Menteri Kesihatan menyatakan mengenai tindakan pemantauan kerajaan bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik hingga menyebabkan kesan sampingan kepada pengguna.

    Dr Noor Azmi berkata, pada tahap 1, produk akan ditarik balik dari semua pengguna, tahap 2 ditarik balik dari semua tempat yang membekalkan kepada pengguna seperti hospital, farmasi, klinik dan sebagainya manakala pada tahap 3 ia ditarik balik dari semua pemborong/pengedar produk. – BERNAMA

  • Ravichandran rakyat Malaysia pertama tawan Gunung K2

    Ravichandran rakyat Malaysia pertama tawan Gunung K2

    PENDAKI solo negara yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), T Ravichandran, 57, menjadi rakyat Malaysia pertama mengibarkan Jalur Gemilang di puncak gunung K2, gunung kedua tertinggi di dunia, yang terletak di Pakistan.

    Beliau bersama lima lagi pendaki solo terhebat dunia dan diiringi lima sherpa, menawan puncak gunung setinggi 8,611 meter itu pada 10.50 pagi waktu tempatan, Jumaat lepas.

    Bagi Ravichandran, cintanya kepada negara menjadi pembakar semangat sepanjang pendakian dan kejayaannya itu adalah hadiah buat negara sempena sambutan Hari Kebangsaan, yang bakal disambut pada 31 Ogos depan.

    “Semangat cintakan negara, hidup dalam aman dan harmoni, itu kunci perpaduan yang patut disemai dalam jiwa di mana ia menjadi kekuatan untuk saya harungi kesukaran sepanjang pendakian.

    “Terima kasih kepada isteri saya yang tercinta, anda adalah kekuatan untuk saya berjaya. Tidak lupa kepada keluarga, rakan-rakan, penaja-penaja dan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya sampai ke puncak,” katanya dalam kenyataan menerusi pesanan WhatsApp, hari ini.

    Ravichandran yang juga anak jati Kuala Pilah turut mengibarkan bendera Negeri Sembilan di puncak gunung kedua tertinggi di dunia itu. (Gambar: Facebook BackPackerz)

    Walaupun menghadapi kekurangan sebagai OKU, beliau berkata, ia bukanlah penghalang kepadanya tetapi menjadi bukti OKU juga mampu membina kekuatan diri, setanding dengan mereka yang sempurna.

    “Tiada yang mustahil untuk bangkit kembali jika kita terjatuh. Itu pengalaman pendakian yang saya tempuh dalam ekspedisi kali ini. Ini hadiah saya buat rakyat Malaysia. Merdeka!,” katanya. – BERNAMA

  • Khalid Ibrahim dirawat di Unit Rawatan Rapi

    Khalid Ibrahim dirawat di Unit Rawatan Rapi

    BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

    Perkara itu dimaklumkan dalam laman Facebook rasminya hari ini.

    “Bagi pihak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kami mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga ke atas doa yang tidak putus-putus dari teman-teman dan seluruh rakyat Malaysia demi kesembuhan Tan Sri.

    “Untuk makluman semua, Tan Sri kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Kami dan pihak keluarga menerima banyak permohonan dari teman-teman rapat Ybhg TSri untuk berziarah bagi memberi kata-kata semangat dan sokongan. Kami amat menghargai hasrat dan niat teman-teman sekalian,” kata kenyataan itu.

    Sehubungan itu , ahli keluarga bekas Menteri Besar Selangor itu turut memohon agar diberikan ruang berdepan dengan situasi berkenaan.

    “Meskipun demikian, memandangkan keadaan Tan Sri yang sangat sensitif terhadap persekitaran luar, pihak hospital telah mengenakan SOP yang sangat ketat dan jumlah pelawat juga terhad dan kami dahulukan ahli keluarga sahaja.

    “Pada masa yang sama, pihak keluarga juga memohon agar diberikan ruang kepada mereka ketika berhadapan dengan situasi begini. Marilah sama-sama kita berdoa agar kesihatan Tan Sri pulih seperti sediakala dan keluarga diberi kekuatan dan kesabaran yang tinggi di dalam menghadapi ujian besar ini.

    “Sekali lagi Admin memohon kemaafan dan menyatakan penghargaan tidak terhingga di atas keperihatinan seluruh rakyat Malaysia kepada pemimpin kesayangan kita ini. Terima kasih,” jelas kenyataan itu lagi.

     Pada 30 April lalu, Abdul Khalid dimasukkan ke sebuah hospital swasta susulan jangkitan kuman dan berada pada keadaan stabil.

    Abdul Khalid menjadi Menteri Besar Selangor ke-14 sejak tahun 2008 sehingga 2014 selain pernah menjadi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang.  

  • KKM cadang kadar RMT sekolah rendah dinaikkan

    KKM cadang kadar RMT sekolah rendah dinaikkan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mencadangkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) sedia ada bagi RMT iaitu RM2.50 bagi murid di Semenanjung Malaysia dan RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kos bahan mentah mengikut menu RMT.

    “Ia bukan kesalahan KPM (kerana) peruntukan KPM tidak cukup. Ia juga berikutan peningkatan kos harga bahan mentah dan barangan lain dalam negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hematogenix Malaysia iaitu makmal penyelidikan klinikal onkologi pusat yang pertama di Malaysia, di Cyberjaya hari ini.

    Khairy berkata, beliau akan mengemukakan syor agar peruntukan KPM bagi RMT ditingkatkan kepada Kabinet bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat.

    Menurut Khairy, berdasarkan pemantauan kepatuhan menu program RMT yang dijalankan Bahagian Pemakanan KKM dari Januari hingga Jun lepas, hanya 61 peratus sekolah dipantau mematuhi menu RMT.

    Beliau juga berkata, KKM akan mencadangkan supaya bantuan RMT terus diberikan kepada kanak-kanak dari kumpulan miskin tegar iaitu seramai 789,902 orang.

    Mengenai Hematogenix Malaysia, Khairy berkata, ia merupakan makmal bertaraf antarabangsa yang memberi tumpuan pada penyelidikan klinikal terutamanya bidang kanser.

    Beliau berkata, makmal tersebut memberi satu nilai tambah kepada KKM kerana boleh digunakan bagi tujuan diagnostik dan saringan kanser di Malaysia, selain bertujuan menghantar sampel hasil daripada penyelidikan klinikal yang dijalankan di negara ini.

    Hematogenix berpusat di Chicago, Amerika Syarikat dan mempunyai tiga cawangan iaitu di United Kingdom, China dan yang terbaharu di Cyberjaya bagi rantau Asia Pasifik meliputi pasaran Jepun, Australia, New Zealand, dan Korea Selatan. – BERNAMA

  • Yusuf Taiyoob dahului senarai penerima darjah kebesaran Pulau Pinang

    Yusuf Taiyoob dahului senarai penerima darjah kebesaran Pulau Pinang

    PENGERUSI Eksekutif Syarikat Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, Datuk Seri Yusuf Taiyoob mendahului senarai 1,380 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-73 Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

    Ahli perniagaan berjaya dan pembekal buah kurma itu akan menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil.

    Seramai 21 individu bakal dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin dan bekas Pakar Patalogi Hospital Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Bhunpinder Singh yang ketika ini merupakan pensyarah patalogi di sebuah kolej swasta di George Town.

    Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa; Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Prof Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman dan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud turut tersenarai sebagai penerima DGPN.

    Ahmad Fuzi juga telah memperkenankan untuk menganugerahkan pingat kepada seramai 135 penerima bagi Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) iaitu 18 penerima dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk membabitkan 117 individu.

    Penerima DMPN antaranya Pengerusi Majlis Klan Cina Pulau Pinang, Datuk Ang Cho Teing dan Pengerusi Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang, Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd Hanapiah; Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Ma’arof Sudin; bekas Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal dan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Norman Muhamad menerima DSPN.

    Seorang pengamal media iaitu wartawan kanan yang bertugas di Malaysikini, S Arulldass turut tersenarai sebagai penerima pingat DSPN.

    Terdahulu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang pada sidang akhbar berkata seramai 107 individu menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (19); Pingat Kelakuan Terpuji (197); Pingat Jasa Kebaktian (333); Pingat Jasa Masyarakat (536) dan Pingat Bakti Setia (29).

    Beliau berkata, acara sambutan akan dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan di Dataran Sri Pinang esok dan istiadat penganugerahan pula berlangsung selama empat hari di Dewan Sri Pinang bermula esok hingga Khamis ini.

    “Istiadat pada kali ini juga menyaksikan jumlah penerima iaitu seramai 1,380 orang adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun sejak 2018 bagi Pulau Pinang,” katanya. – BERNAMA

  • Tiada kajian mengenai cuti haid pada masa ini – KPWKM

    Tiada kajian mengenai cuti haid pada masa ini – KPWKM

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak pernah dan tidak akan membuat kajian mengenai cuti haid buat masa ini.

    KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebaliknya kerajaan sedang menjalankan kajian berkaitan pengurusan haid dalam kalangan remaja perempuan bagi menambah baik pelaksanaan program Pendidikan SERI (Social Empowerment of Reproductive Health Initiatives).

    Kenyataan itu susulan beberapa laporan media mengenai jawapan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff kepada soalan Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago berhubung cuti haid dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu. – BERNAMA

  • LIMA buat kemunculan semula besar-besaran tahun depan

    LIMA buat kemunculan semula besar-besaran tahun depan

    Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) dijangka membuat kemunculan semula secara besar-besaran tahun depan, yang dijadualkan berlangsung pada Mei, memandangkan sempadan kini dibuka sepenuhnya dengan corak tingkah laku perjalanan kembali kepada waktu sebelum pandemik.

    Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, Malaysia yakin LIMA 2023 bakal menjadi acara paling popular di rantau ini selepas edisi terakhir LIMA atau LIMA 19 memandangkan edisi 2021 terpaksa dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

    “Susulan kerumpangan tiga tahun selepas penganjuran LIMA 19, bukan sahaja kerajaan dan pihak penganjur bersiap sedia sepenuhnya malah pempamer, delegasi asing serta orang ramai begitu teruja dan tidak sabar menantikan LIMA 2023.

    “Siri pameran LIMA yang membuat penampilan sulung pada 1991 telah menempuh pelbagai pengalaman sejak 30 tahun lepas dan ia telah diangkat sebagai acara terbesar dan paling popular serta dinanti-nantikan di rantau Asia Pasifik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama di Pertunjukan Udara Farnborough 2022 (FIA 2022) yang berlangsung di United Kingdom pada Rabu.

    Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak. Video sidang akhbar itu kemudian diedarkan kepada Bernama.

    LIMA 2023 akan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei 2023 di Langkawi.

    Isham pula berkata, penyertaan Malaysia dalam FIA 2022 merupakan platform terbaik untuk memulakan kempen promosi selama 10 bulan bagi LIMA 2023 membabitkan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd sebagai penganjur dilantik bagi LIMA 2023 yang akan membuat pameran di Pavilion Malaysia MATRADE.

    Beliau berkata, sebanyak 14 syarikat Malaysia dan tiga agensi kerajaan mengambil bahagian dalam acara lima hari itu yang berakhir pada Jumaat. – BERNAMA

  • Ubah tanggapan PPD datang sekolah cari salah – Radzi

    Ubah tanggapan PPD datang sekolah cari salah – Radzi

    PERSEPSI atau tanggapan kehadiran Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) di sekolah sebagai ‘mencari salah’ perlu diubah malah PPD perlu menjadi rakan yang sentiasa berusaha membantu sekolah, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Menerusi catatan di Facebook rasmi beliau, Radzi berkata, sebagai institusi yang paling dekat dengan sekolah, PPD seharusnya menjadi ejen yang bertanggungjawab menyebar secara meluas dan menjelaskan tentang dasar, perancangan serta hala tuju pendidikan negara yang digariskan Kementerian Pendidikan (KPM) kepada kumpulan sasar iaitu guru, sekolah dan ibu bapa.

    “Pegawai PPD perlu sentiasa hadir di sekolah bagi mengenal pasti masalah, keperluan serta mencari penyelesaian segera kepada perkara itu. PPD perlu menjadi pemudah cara antara pihak sekolah dengan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan KPM sekiranya perkara itu tidak boleh diselesaikan di peringkat PPD.

    “Mengukuhkan keyakinan serta kepercayaan antara PPD-Sekolah-Guru. Hubungan baik antara PPD, pentadbir sekolah dan guru akan membantu kelancaran pelaksanaan setiap dasar, perancangan serta transformasi pendidikan yang digariskan kementerian,” menurut catatan itu.

    Radzi berkata, ini adalah antara penekanan yang digariskan beliau ketika bertemu dengan 146 pegawai PPD dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Sabah dan Labuan yang menyertai siri kedua Konvensyen PPD di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Negeri Sembilan malam tadi.

    Konvensyen itu adalah susulan konvensyen pertama minggu lepas yang melibatkan 142 pegawai PPD dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Pahang dan Sarawak.

    Bagi memastikan pegawai PPD dapat menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan secara optimum, Radzi berkata, KPM sentiasa berusaha memperkasakan sistem penyampaian agar maklumat yang tepat dapat disalurkan antara KPM-JPN-PPD-Sekolah.

    “Dengan pengalaman serta hubungan baik sedia ada antara PPD, sekolah dan juga guru, saya yakin usaha memperkukuh peranan pegawai PPD ini boleh dilakukan seiring transformasi pendidikan yang digariskan KPM.

    “Bersama lakukan perubahan! Nothing beats hard work! (usaha tangga kejayaan),” katanya. – BERNAMA