Category: Umum

  • Waran tangkap dikeluar terhadap jurujual buat komunikasi lucah

    Waran tangkap dikeluar terhadap jurujual buat komunikasi lucah

    MAHKAMAH Sesyen di Setiu mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang jurujual selepas gagal hadir bagi sebutan pertama kes pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi berbentuk lucah.

    Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Siti Hajar Sulaiman berkata, perintah waran tangkap terhadap Muhammad Iqyyum Basri, 25, itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Fadhli Mahmud.

    Siti Hajar berkata, Muhammad Iqyyum yang beralamat di Negeri Sembilan gagal dihubungi pihaknya untuk hadir ke mahkamah bagi tujuan pendengaran kes tersebut walaupun surat saman telah dikeluarkan pada 18 Mei lepas.

    “Sebelum ini dia dapat dihubungi oleh Pegawai Penyiasat dan ada beri komitmen untuk hadir hari ini. Bagaimanapun, sejak semalam hingga pagi ini, dia gagal dihubungi.

    “Jadi, kami minta mahkamah untuk keluarkan waran tangkap ke atasnya yang ketika ini bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya,” katanya.

    Menurut pertuduhan, Muhammad Iqyyum pada 8 Mac tahun lepas, kira-kira 8.24 malam telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk video lucah menerusi aplikasi WhatsApp kepada mangsa seorang wanita yang berasal dari Setiu dengan niat untuk menyakitkan hati.

    Bagi perbuatan itu, Muhammad Iqyyum didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Hakim Ahmad Fadhli menetapkan sebutan semula kes pada 26 Julai depan.

  • Pusat kesihatan Malaysia di Madinah pencapaian membanggakan Tabung Haji

    Pusat kesihatan Malaysia di Madinah pencapaian membanggakan Tabung Haji

    KEJAYAAN Malaysia menjadi negara pertama mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan Arab Saudi untuk membuka pusat kesihatan di Madinah untuk dua tahun  berturut-turut adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi Tabung Haji (TH).

    Tambahan pula untuk mendapat kelulusan itu bukanlah mudah, pusat kesihatan berkenaan wajib mencapai standard tinggi yang ditetapkan  Arab Saudi.

    Pengarah Operasi Madinah (Madinah), Dr Abdul Jalil Ahmad berkata, pusat kesihatan atau Pusat Rawatan Madinah (PRM) mempunyai fasiliti yang lengkap dari segi jumlah pakar dan kemudahan kepada pesakit.

    Menurutnya, terdapat 59 petugas perubatan  terdiri daripada pakar kecemasan, pakar bius, pakar perubatan keluarga dan pakar perubatan kesihatan awam bertugas.

    PRM katanya, menyediakan khidmat rawatan kecemasan, pesakit dalam dan pemulihan, perkhidmatan ambulans, makmal perubatan, unit x-ray, unit fisioterapi, diatetik, unit kesihatan awam, unit lawatan ke hospital Arab Saudi  dan pasukan perubatan lapangan terbang.

    “Bilangan katil di wad pesakit ialah 33 buah dan PRM beroperasi 24 jam untuk memberikan perkhidmatan kepada jemaah haji,” katanya lapor wartawan SINAR HARIAN. 

    Mengenai klinik di zon-zon pula, Dr Abdul Jalil berkata terdapat dua buah klinik tetap dan bergerak di Hotel Movenpick dan sebuah klinik tetap di Hotel Saja Al Madinah.

    Skop rawatan di klinik itu meliputi khidmat seperti rawatan pesakit luar, rawatan awal kecemasan, rehab lelaki dan perempuan, kaunseling dan juga rujukan ke PRM.

    Waktu operasi pula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 7 pagi hingga 11.30 pagi pada hari Jumaat seterusnya pada pukul 4.30 petang hingga 6.30 petang dan dari pukul 8 malam hingga 10 malam.

    Dr Abdul Jalil berkata, apabila pesakit di zon klinik tidak dapat distabilkan, pasukan perubatan akan membawa ke PRM yang berada di bangunan Roha iaitu 10 minit perjalanan dengan kenderaan dari klinik zon.

    “Di situ semua pakar yang ada akan rawat dan stabilkan pesakit. Sekiranya memerlukan rawatan lebih lanjut kita akan bawa ke hospital Arab Saudi mengikut penyakit-penyakit tertentu,” jelasnya.

    Oleh kerana perjalanan jemaah dari Malaysia memakan masa sehingga sembilan jam, pasukan perubatan turut ditempatkan di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz di Madinah.

    “Antara tugas pasukan perubatan di sana ialah memberikan rawatan awal jika diperlukan, merujuk pesakit kecemasan ke PRM dan mengiringi pesakit ke hospital Madinah jika keadaan memerlukan,”katanya.

    Dr Abdul Jalil berkata, Unit Kesihatan Awam antara lain berperanan untuk memberi pendidikan kesihatan kepada jemaah haji di setiap bilik penginapan zon.

    “Kita juga melakukan pengesanan kes aktif untuk mengesan jemaah haji yang sakit atau apabila berlaku peningkatan penyakit berjangkit serta pendidikan kesihatan yang disesuaikan dengan keadaan di Tanah Suci,”katanya.

  • PRN: Nurul Izzah akan tanding di Pulau Pinang

    PRN: Nurul Izzah akan tanding di Pulau Pinang

    NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dijangka bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang dan akan dilantik ke jawatan penting sekiranya Pakatan Harapan kembali berkuasa.

    Menurut sumber yang enggan dinamakan berkata, penyertaan Nurul Izzah dalam PRN itu boleh meningkatkan peluang partinya untuk mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membantu mendapatkan undi daripada golongan wanita.

    “Beliau akan diamanahkan dengan portfolio penting dalam pentadbiran negeri sekiranya PH mendapat mandat daripada rakyat Pulau Pinang,” kata sumber yang rapat dengan seorang pemimpin PH kepada FMT.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Nurul Izzah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi calon Pas, Fawwaz Mohamed, dengan majoriti 5,272 undi dalam pertandingan empat penjuru.

    Nurul Izzah, anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah pengerusi bersama sekretariat badan penasihat khas kepada Kementerian Kewangan.

    Masih belum jelas kerusi DUN mana antara 15 kerusi majoriti Melayu yang akan ditawarkan kepada Nurul Izzah untuk bertanding – terdapat 40 kerusi di DUN Pulau Pinang.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dua minggu lalu berkata, DUN akan dibubarkan pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun.

    Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan juga dijadual membubarkan DUN mereka dalam dua minggu terakhir Jun ini.

  • Raja Nurshirwan dilantik Ketua Pengarah MKN

    Raja Nurshirwan dilantik Ketua Pengarah MKN

    DATUK Raja Nushirwan Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara (MKN) berkuat kuasa hari ini, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. 

    Raja Nushirwan, 53, sebelum ini adalah Duta Besar Malaysia di Beijing, China.

    Memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 21 Mac 1994 dan ditempatkan di Kementerian Luar, Raja Nushirwan berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam dengan pengkhususan kepada hubungan antarabangsa.

    Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Abertay, Dundee, Scotland, juga pernah ditempatkan di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Sweden dan Singapura. 

    “Semoga pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara akan memacu kecemerlangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menerajui penggubalan dasar dan pengurusan keselamatan negara secara komprehensif, bersepadu dan berkesan dalam memastikan negara kekal aman, sejahtera serta berdaulat,” kata Mohd Zuki dalam kenyataan hari ini.

  • Empat sekawan mengaku tak bersalah rogol, amang seksual remaja

    Empat sekawan mengaku tak bersalah rogol, amang seksual remaja

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja berusia 14 tahun dalam bulan ini.

    Tiga lelaki, Muhammad Sobri Muhammad Anuar, 25; Muhammad Rasyid Musa, 29, Muhammad Fikeri Mohd Sohad, 28 didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada pukul 1 pagi pada 14 Mei lalu.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Lot 2173, Kampung Oren Baru, Ulu Tiram, Johor Bahru.

    Ketiga-tiga tertuduh didakwa merogol seorang perempuan berusia 14 tahun tiga bulan ketika kejadian tanpa kerelaan mangsa.

    Mereka didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan dikenakan sebatan.

    Sementara seorang lagi tertuduh, Nazreen Ashraf Nordini, 30, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pukul 12 tengah malam pada 14 Mei lalu di Lot 2173, Kampung Oren Baru, Ulu Tiram.

    Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

    Kesemua tertuduh yang didakwa secara berasingan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

    Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Siti Noraida Sulaiman, membenarkan tiga tertuduh diikat jamin dengan RM18,000 manakala Nazreen Ashraf pula diikat jamin RM14,000.

    Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nor Fadilah Johanuddin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguambela.

    Siti Noraida menetapkan 2 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pada 23 Mei lalu, media melaporkan sekumpulan lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja.

    Berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa menyatakan dirogol oleh empat lelaki warga tempatan secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Ulu Tiram pada 14 Mei lalu.

    Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Ulu Tiram, membuat tangkapan di kawasan Ulu Tiram.

  • 9,078 jemaah haji Malaysia kini berada di Tanah Suci

    9,078 jemaah haji Malaysia kini berada di Tanah Suci

    SERAMAI 9,078 jemaah haji Malaysia kini sudah berada di Mekah dan Madinah, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

    Katanya, daripada jumlah itu seramai 2,966 orang di Makkah dan 6,112 di Madinah.

    ‘’Mereka adalah jemaah yang telah berlepas 21 Mei lalu melibatkan 30 daripada 98 penerbangan dan penerbangan terakhir dijangka tiba di Tanah Suci pada 21 Jun ini,’’ katanya lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah

    Beliau berkata, setakat ini operasi haji berjalan lancar manakala kesihatan  jemaah berada dalam keadaan baik.

    “Bagaimanapun lapan jemaah  dimasukkan ke hospital iaitu enam orang di Hospital Tabung Haji (TH) di Madinah dan Mekah, manakala dua lagi ditempatkan di hospital Arab Saudi di Mekah. Mereka yang berusia 60 tahun ke atas itu dirujuk ke hospital kerana mengalami jangkitan paru-paru dan seorang jemaah wanita cedera di kaki kerana terjatuh,” katanya.

    Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, Malaysia sekali lagi menjadi negara pertama mendapat kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi pada 25 Mei lalu untuk membuka operasi pusat kesihatan di Madinah.

    “Alhamdulillah ini adalah satu pengiktirafan kepada perkhidmatan kesihatan kita dan juga menunjukkan persediaan dan fasiliti yang ada telah mencapai satu tahap tinggi membolehkan kepada kebenaran beroperasi ini. Dari segi nisbah kemudahan yang disediakan seperti katil dan doktor dengan jumlah jemaah haji, tidak dapat dinafikan bahawa kita yang terbaik dan tertinggi berbanding dengan pihak lain,” katanya.

    Beliau berkata, pada tahun ini juga kriteria untuk mendapatkan kelulusan adalah lebih ketat namun TH berjaya memenuhi setiap keperluan yang ditetapkan Arab Saudi.

    Kata beliau, antara perkara yang dinilai ialah dari segi fasiliti, ambulans, peralatan, ruang beroperasi, jumlah pakar perubatan dan pengurusan sisa klinikal.

    Syed Saleh berkata amalan dan prosedur operasi standard (SOP) sektor kesihatan Malaysia membantu kelulusan berkenaan, selain hubungan baik Malaysia-Arab Saudi khususnya rombongan haji negara dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

    “Untuk kelulusan pusat kesihatan di Mekah pula, ia sedang diusahakan seperti mana yang dilakukan di Madinah yang mana kita sudah bertungkus-lumus sejak tiga bulan lalu,” katanya.

  • Mahkamah Singapura tangguh kes bagi pendakwa raya sedia tawaran untuk penyerang Kamal Adli

    Mahkamah Singapura tangguh kes bagi pendakwa raya sedia tawaran untuk penyerang Kamal Adli

    MAHKAMAH Singapura membenarkan penangguhan selama empat minggu bagi pendakwa raya menyediakan tawaran untuk seorang lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli.

    Hakim Daerah Terence Tay turut mengekalkan tiada jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 26 Jun untuk sebutan kes.

    Tertuduh yang muncul melalui pautan video mengangguk apabila keputusan itu dibacakan kepadanya melalui jurubahasa.

    “Pihak pendakwaan meminta penangguhan empat minggu untuk menyediakan tawaran untuk anda… tiada jaminan untuk anda,” kata jurubahasa itu.

    Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac kerana disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya secara sukarela.

    Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman.

    Pada 12 Mac, polis telah dimaklumkan mengenai kes di 1 Expo Drive, suspek didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton yang kemudian dirampas oleh polis sebagai bukti.

    Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

    Kamal dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Ekspo Singapura apabila insiden itu berlaku pada penghujung acara.

  • ‘’Saya nak jumpa  tapi dia tak nak jumpa saya, susah betul’’ – Sanusi

    ‘’Saya nak jumpa  tapi dia tak nak jumpa saya, susah betul’’ – Sanusi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor masih menunggu persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan projek pembangunan industri penerbangan, Kedah Aerotropolis.

    Beliau berkata setakat ini Anwar masih tidak memberi sebarang maklum balas mengenai permohonan mengadakan pertemuan antara mereka.

    “Saya nak jumpa (Anwar) tapi dia tak nak jumpa saya, susah betul.Di LIMA23 baru-baru ini saya tak ada bercakap mengenai isu itu. Beliau ada lalu tengok reruai kita mengenai projek Aerotropolis tetapi saya pun tak ada kesempatan panjang nak bercakap mengenai tajuk itu.

    “Saya perlu masa lebih panjang dan sesuai. Jumpa di situ tak sesuai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim antara Kedah dan Perlis di Wisma Darul Aman di  Alor Setar hari ini, lapor Berita Harian.

    Pada Februari lalu, media melaporkan Kedah tidak akan berputus asa untuk meyakinkan Kerajaan Persekutuan mengenai faedah yang bakal diperolehi menerusi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang tidak dipertimbangkan dalam Belanjawan 2023.

    Muhammad Sanusi dilaporkan berkata usaha untuk membuat pembentangan projek berkenaan di hadapan Anwar akan tetap dilakukan bagi merealisasikannya.

    Katanya, setakat ini sudah dua kali surat permohonan bertemu bagi tujuan itu telah pun dihantar kepada Perdana Menteri namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat sebelum itu berkata Kerajaan Pusat tidak boleh mempertimbangkan pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim.

    Sebaliknya Anwar berkata kerajaan bercadang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, berbanding membangunkan hab baharu.

    Menurut Anwar, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meneruskan penganjuran LIMA’23.

    Katanya, sambutan LIMA’23 cukup hebat dengan kerjasama agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri dilihat cukup bagus.

    “Terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan dan agensi persekutuan yang telah bertungkus-lumus menjayakan LIMA’23. Begitu juga dengan agensi kerajaan negeri yang ‘all out’ bagi menjayakannya. Kerjasama ditunjukkan cukup bagus, Alhamdulillah. Terima kasih Kerajaan Persekutuan teruskan LIMA,” katanya.

  • Program Prihatin Rakyat terus beri harapan kepada golongan pertengahan-Muhyiddin

    Program Prihatin Rakyat terus beri harapan kepada golongan pertengahan-Muhyiddin

    PELBAGAI inisiatif dijalankan bagi terus membantu golongan B40 khusunya penduduk luar bandar supaya tidak ketinggalan dan mampu bersaing dengan golongan lain.

    Antaranya Program Prihatin Rakyat hasil inisiatif Kelab Kebajikan Komuniti Bintulu yang diketuai oleh Penaungnya Ahli Dewan Negara Perikatan Nasional (PN) Senator Jaziri Alkaf Abdillah.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi membantu kumpulan B40 membina semula kehidupan setelah terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

    “Alhamdulilllah semalam saya dijemput untuk melancarkan Majlis Penanaman Kenaf di Rumah Panjang Sam anak Sumbang di Sungai Mas, Bintulu, Sarawak.

    “Saya dimaklumkan projek ini adalah sebahagian daripada Program Prihatin Rakyat melibatkan penduduk luar bandar khususnya kumpulan B40. Saya juga difahamkan projek perintis ini melibatkan kawasan seluas 50 hektar dan telah diluluskan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN),” katanya menerusi Facebook miliknya hari ini.

    Muhyiddin berkata, bagi pelan jangka panjang pula, Program Prihatin Rakyat ini akan dilaksanakan di kawasan penanaman seluas 2,000 hektar melibatkan 500 keluarga komuniti luar bandar.

    “Saya gembira apabila mendapat tahu para peserta yang kebanyakan adalah daripada kumpulan B40 boleh menjana pendapatan sehingga RM1,500 sebulan. Bagi yang mempunyai tanah sendiri seluas 1.5 hektar pula pendapatan mereka boleh mencecah sehingga RM3,000 dalam tempoh 45 hari,” katanya.

    Menurutnya, beliau juga percaya program sebegini  dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sekali gus membantu membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

    “Saya berharap program seperti ini dapat diperluaskan bagi membantu lebih ramai penduduk membina semula kehidupan dengan menjadikan penanaman kenaf sebagai sumber pendapatan.

    “Terima kasih kepada LKTN yang banyak membantu seperti membekalkan biji benih, memantau tanaman serta memasarkannya.

    “Tahniah kepada YB Senator Jaziri, Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju serta semua pihak yang bekerja keras menjayakan program yang memberi manfaat besar kepada penduduk Bintulu,” katanya.

  • Hujan lebat tidak jejas pergerakan jemaah haji Malaysia – Syed Saleh

    Hujan lebat tidak jejas pergerakan jemaah haji Malaysia – Syed Saleh

    AMARAN hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir di kebanyakan wilayah di Arab Saudi tidak menjejaskan pergerakan jemaah haji Malaysia.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, situasi yang berlaku tidak ditakrifkan sebagai bencana dan hanya dianggap sebagai gangguan kecil kepada aktiviti jemaah haji.

    “Tabung Haji (TH) ada prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan yang perlu dilakukan jika sesuatu malapetaka berlaku, setakat ini apa yang terjadi pada pagi Isnin hanya hujan yang sekejap.

    “Selepas itu kita dapat lihat cuaca kembali seperti asal yang mana aktiviti jemaah seperti umrah dan pergerakan ke Masjidil Haram berjalan seperti yang dijadualkan mengikut perancangan asal,” katanya kepada wartawan Malaysia di Mekah, lapor wartawan SINAR HARIAN.

    Syed Saleh dalam pada itu berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat akan perubahan cuaca dan telah mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga keselamatan jemaah haji.

    “Nasihat saya jika berlaku hujan dan ribut sebagainya, jemaah yang berada di bangunan penginapan perlu kekal pada kedudukan mereka, begitu juga yang berada di Masjidil Haram. Apabila keadaan reda bolehlah kembali sambung aktiviti,” katanya.

    Sebelum ini Direktorat Pertahanan Awam Arab Saudi yang menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir disertai ketulan air batu dan banjir kilat.

    Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kenyataan direktorat itu melaporkan Kota Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidilharam akan turut terkesan berikutan fenomena itu.

    Pada pagi Isnin juga ratusan ribu jemaah yang selesai menunaikan solat Subuh di ruangan tawaf Masjidilharam dibasahi hujan selama 15 minit.