Category: Umum

  • Nurul Izzah selamat diijabkabulkan dengan Ying Shao Loong

    Nurul Izzah selamat diijabkabulkan dengan Ying Shao Loong

    AHLI  Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar selamat diijab kabul pada petang semalam dengan pilihan hatinya, Yin Shao Loong dalam sebuah majlis yang dihadiri ahli keluarga dan kenalan terdekat, di ibu negara.

    Pengumuman tersebut disampaikan dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan pada Jumaat malam.

    Nurul Izzah dan suaminya memaklumkan pernikahan mereka berwalikan ayahanda pengantin perempuan.

      “Kami telah selamat diijabkabulkan di samping keluarga terdekat. Kami memohon doa kalian semua… agar kita sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT,” jelas mereka dalam kenyataan itu, lapor Astro AWANI.

    Kenyataan itu disertakan bersama gambar pasangan pengantin baharu itu, yang diapit ayah dan ibu Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

    Shao Loong merupakan seorang Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah, yang antara tumpuan bidangnya adalah dalam hal dasar industri, perubahan iklim dan teknologi masa depan.

    Portal The Vibes melaporkan, beliau pernah bertugas sebagai Pengarah Komunikasi Strategk di Pejabat Menteri Besar Selangor ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar.

    Shao Long mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu dengan penerbit file Tan Chui Mui

    Nurul Izzah pernah mengahwini Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim pada tahun 2003, bagaimanapun pernikahan mereka berakhir pada 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata.

  • Atasi jurang pendapatan golongan miskin dan kaya, elak rusuhan berdarah

    Atasi jurang pendapatan golongan miskin dan kaya, elak rusuhan berdarah

    TINDAKAN mengurangkan jurang pendapatan perlu dilakukan lebih awal bagi mengelak permusuhan ganas antara golongan miskin dan kaya di negara ini.

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sejarah manusia menunjukkan permusuhan antara kedua-dua golongan itu berakhir dengan rusuhan berdarah.

    Menurutnya, contoh yang jelas ialah perang saudara yang berlaku di Perancis dan Rusia apabila kemenangan puak yang miskin akan membunuh puak yang kaya.

    “Di United Kingdom (UK) puak miskin tidak mengganas. Dengan mengguna mogok atau strike, pekerja yang rata-rata miskin memaksa masyarakat memberi kuasa kepada puak pekerja. Dan wujudlah parti buruh.

    “Masyarakat manusia perlu ambil iktibar dari peristiwa rusuhan antara miskin dan kaya. Jika masyarakat ingin elak permusuhan yang ganas berlaku antara miskin dan kaya, jarak antara miskin dan kaya dari segi pendapatan hendaklah dikurangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam entri di akaun media sosialnya bertajuk “Mengurangkan Jarak”.

    Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, di Malaysia, masyarakat sedar ada perbezaan yang ketara antara yang miskin dengan yang kaya.

    Beliau menjelaskan, yang lebih bahaya ialah miskin dan kaya dikait dengan kaum apatah lagi ramai yang miskin terdiri dari orang Melayu dan yang kaya dari orang Cina.

    “Memang pun kedua-dua kaum tidak rapat dalam hubungan antara mereka. Perasaan perkauman tidak disukai oleh para intelek. Tetapi hakikatnya ialah perasaan ini terdapat dalam semua kaum di Malaysia.

    “Kemungkinan rusuhan antara kaum berlaku kerana dipisah juga oleh kemiskinan dan kekayaan antara mereka tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mahathir memberitahu, beliau sedar ada pihak yang akan berkata perkara ini tidak patut disuarakan kerana kononnya menyuarakan perkara ini sama seperti menggalak isu ini disedari dan dijadikannya sebagai isu yang boleh membakar perasaan kaum-kaum.

    Beliau menegaskan, jika isu ini tidak ditangani dengan bijak ia akan jadi lebih teruk dan apabila ia meletup, permusuhan akan jadi lebih buruk dan lebih sukar ditangani.

    “Justeru, adalah lebih baik jika awal-awal lagi sebelum jarak perpisahan menjadi lebih teruk, tindakan diambil untuk meredakan keadaan,” katanya.

    Tambahnya, beliau mengakui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikatakan gagal namun dalam bidang pelajaran ia berjaya kurangkan jarak antara kaum.

    “Dalam bidang ekonomi, kelemahan DEB telah dikenal pasti. Pembetulan juga sudah dibuat. Dengan ini DEB akan mencapai kejayaan yang lebih baik,”jelasnya.

  • Usah berpolitik untuk pangkat, jawatan dalam pasukan

    Usah berpolitik untuk pangkat, jawatan dalam pasukan

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menegaskan agar pegawai dalam Kor Gerak Khas tidak berpolitik untuk mendapatkan pangkat atau jawatan tertentu dalam pasukan berkenaan.

    Titah baginda, baginda sendiri akan meneliti segala urusan kenaikan pangkat serta penempatan pegawai yang terlibat.

    “Saya harap selepas ini, pihak Panglima Tentera Darat dan Panglima Gerak Khas jangan pandai-pandai buat keputusan kenaikan pangkat tanpa merujuk kepada saya dahulu.

    “Penilaian akan dibuat mengikut merit dan bersandarkan kepada latar belakang serta prestasi pegawai berkenaan. Saya tidak mahu ada unsur pilih kasih atau mengikut kem tertentu.

    “Suka juga saya ingatkan bahawa segala perjawatan dan pangkat yang telah diperuntukkan kepada Gerak Khas tidak boleh diberikan atau dipinjamkan kepada Kor lain,” titah baginda yang juga Kolonel Komandan GGK.

    Sultan Ibrahim menyuarakan perkara itu bagi mengukuhkan Kor Gerak Khas dengan berpendapat perancangan sumber manusia yang lebih tersusun perlu dibuat supaya pegawai pelapis berkualiti dapat dihasilkan secara berterusan.

    Baginda bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-57 di Padang Kawad Markas 21, GGK, Kem Iskandar di sini, hari ini.

    Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

    Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah menegaskan supaya tidak ada pihak yang memandang pasukan GGK sebelah mata.

    “Jika ada pihak yang membelakangkan saya, maka saya rasa tidak perlu lagi untuk saya terus menjadi Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas,” titah baginda.

  • Penghantar makanan rancang mogok 24 jam esok

    Penghantar makanan rancang mogok 24 jam esok

    TIDAK berpuas hati dengan layanan syarikat pengendali, penghantar makanan atau rider merancang mengadakan mogok esok sekali gus bakal mengakibatkan gangguan kepada perkhidmatan itu dalam tempoh 24 jam.

    Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) Zulhelmi Mansor berkata, langkah itu diambil bagi menunjukkan solidariti rider terhadap isu berbangkit yang masih tiada penyelesaian.

    Menurutnya, isu itu termasuk kadar upah tidak tetap yang dimanipulasi syarikat serta masalah tambang yang tidak setimpal dengan aplikasi yang menekan penghantar p-hailing.

    “Mungkin dengan cara ini (mogok) ia boleh memberi tekanan kepada syarikat penyedia perkhidmatan,” katanya yang dipetik Harian Metro, hari ini.

    Sebelum itu, tular di media sosial mengenai poster penghantar makanan daripada pelbagai syarikat penyedia yang akan mengadakan mogok 24 jam esok.

    Mengulas lanjut, Zulhelmi memberitahu, dia menjangkakan hampir semua rider akan turut serta dalam bantahan itu kerana ia sudah dirancang sejak dua ke tiga minggu lalu.

    Katanya, mereka berharap mogok itu akan memastikan syarikat penyedia perkhidmatan tidak memandang mudah dan peka dengan kebajikan penghantar.

    “Selain itu, kita juga mahu kerajaan ambil tindakan terhadap masalah ini. Saya yakin kerajaan tahu tetapi hingga kini tiada penyelesaian,” katanya yang berharap pengguna memahami tindakan diambil golongan itu.

  • Ketua Polis Perak bersara wajib, terus perjuangan sebagai peguam

    Ketua Polis Perak bersara wajib, terus perjuangan sebagai peguam

    KETUA  Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang bersara wajib hari ini selepas berkhidmat selama 40 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menceburi profesion baharu sebagai peguam.

    Mior Faridalathrash berkata beliau akan terbabit secara aktif dalam bidang perundangan dengan membuka firma guaman.

    “Saya berkelulusan undang-undang, jadi saya akan terlibat dalam bidang yang diminati iaitu sebagai peguam bela. Saya akan tetap membantu pasukan PDRM kerana sudah sebati dalam jiwa dan masih terpahat di sanubari sebagai pegawai kanan polis sejak 40 tahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Khas Sempena Persaraan Ketua Polis Perak yang turut dihadiri  Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Azizi Mat Aris di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen  (IPK) Perak di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata beliau berpuas hati dengan kerjasama daripada semua ketua jabatan, ketua polis daerah serta pegawai dan anggota IPK Perak sepanjang menerajui kontinjen negeri sejak dua tahun lepas.

    “Saya berpuas hati dengan prestasi yang mereka pamerkan termasuk pengamal media dalam membantu saya melaksanakan tugas sebagai Ketua Polis Perak,” katanya.

    Terdahulu,  satu majlis serah terima tugas telah berlangsung pagi tadi di Mes Pegawai Kanan Polis di sini antara Mior Faridalathrash dengan Azizi yang akan memangku jawatan Ketua Polis Perak mulai esok dengan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

    — BERNAMA

  • Kesalahan menghendap boleh dipenjara tiga tahun, denda

    Kesalahan menghendap boleh dipenjara tiga tahun, denda

    INDIVIDU yang didapati bersalah melakukan perbuatan menghendap boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Memetik laporan Berita Harian, peruntukan itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 (Akta 574), yang bertujuan menjadikan menghendap sebagai satu kesalahan, selain memasukkan seksyen baharu 507A ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkenaan.

    RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermiyati Samsudin, di Dewan Rakyat, hari ini.

    Menurut naskah biru yang diedarkan di Parlimen, kesalahan menghendap itu merangkumi perbuatan mengekori; berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dalam sebarang cara; berlegar-legar di kediaman atau tempat kerja seseorang dan memberi atau menghantar apa-apa sahaja kepada seseorang dalam sebarang cara.

    “Sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, mengetahui atau sepatutnya mengetahui perbuatan itu mungkin menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, maka ia sudah sudah melakukan kesalahan menghendap.

    “Mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan menghendap akan dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya,” menurut naskah biru itu.

    Di bawah seksyen 507A, berulang kali itu merujuk kepada sekurang-kurangnya dua kali perbuatan.

    Fasal 1 RUU berkenaan juga mengandungi tajuk ringkas dan bertujuan memberi Menteri kuasa untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.

    Mas Ermiyati turut membentangkan bacaan kali pertama RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No 2) 2022 (Akta 593), yang bertujuan memasukkan bab baharu XA ke dalam Akta 593.

    Ia bagi memberi mahkamah kuasa, atas permohonan, untuk mengeluarkan perintah perlindungan terhadap individu sedang disiasat atau dituduh dengan kesalahan menghendap di bawah seksyen baharu 507A Kanun Keseksaan.

    Bacan kali kedua kedua-dua RUU itu akan dibentangkan pada persidangan akan datang.

  • Tiket feri ke Langkawi naik antara RM3 ke RM11.50

    Tiket feri ke Langkawi naik antara RM3 ke RM11.50

    BADLISHAH MAT

    TAMBANG pengangkutan feri dari Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis ke Terminal Feri Kuah di Pulau Langkawi, di sini naik antara RM3 ke RM11.50 berkuatkuasa esok.

    Bagaimanapun, harga tiket yang lebih murah dinikmati penduduk pulau pelancongan itu selama ini masih kekal iaitu RM15 untuk dewasa bagi perjalanan dari Kuala Perlis dan RM20 dari Kuala Kedah selain penumpang warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

    Mengikut kadar baharu, bagi penumpang warganegara yang melalui laluan Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis, harga RM18 bagi dewasa dan RM13 kanak-kanak sebelum ini masing-masing naik RM3 menjadi RM21 dan RM16.

    Penumpang bukan warganegara pula akan dikenakan caj baharu RM27 (dewasa) dan RM19.50 (kanak-kanak) selepas tiket feri itu naik sebanyak RM9 dan RM6.50 berbanding RM18 dan RM13 sebelum ini.

    Sementara itu, untuk perjalanan Kuala Kedah-Langkawi-Kuala Kedah yang mengenakan tambang RM23 (dewasa) dan RM17 (kanak-kanak) mengalami kenaikan sebanyak RM3.50 menjadi RM26.50 dan RM20.50.

    Pelancong asing dewasa pula perlu membayar RM34.50 untuk harga baharu berbanding RM23 sebelum ini selepas ia naik sebanyak RM11.50 untuk laluan itu, manakala bagi kanak-kanak kenaikan RM8.50 dicatatkan menjadi RM25.50 daripada RM17 sebelum ini.

    Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, kali terakhir tambang feri berkenaan dinaikkan adalah pada 15 Disember 2007 iaitu kira-kira 15 tahun lalu.

    “Kadar kenaikan itu adalah RM5 bagi laluan Kuala Kedah dan RM3 bagi Kuala Perlis. Ini menjadikan kadar tambang feri di Langkawi adalah yang terendah di Malaysia ketika ini,” katanya di sini hari ini.

    Baharin berkata, kadar tambang baharu itu melibatkan tujuh buah syarikat feri yang beroperasi di kedua-dua laluan berkenaan yang bernaung di bawah Ferry Line Ventures.

  • Perantisiswa: Skop kelayakan diperluas empat lagi kategori

    Perantisiswa: Skop kelayakan diperluas empat lagi kategori

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) memperluaskan skop kelayakan pemberian tablet program PerantiSiswa kepada empat lagi kategori pelajar B40, tambahan kepada kategori sebelum ini.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKomm) Tan Sri Annuar Musa berkata empat kategori itu ialah pelajar program asasi di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pelajar program matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), pelajar semester 1 dan 2 sekolah menengah (Tingkatan 6) di bawah KPM dan pelajar yang mengikuti program di Kolej Vokasional yang menawarkan pengajian diploma.

    “Semua kategori ini boleh membuat permohonan mulai hari ini sehingga 30 Sept,“ katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai status pemberian tablet oleh K-KOMM melalui program PerantiSiswa dan jumlah tablet yang bakal diagihkan kepada pelajar daripada golongan B40 setakat ini.

    Sebelum ini, pelajar golongan B40 yang layak memohon program berkenaan ialah mereka yang mengikuti program sepenuh masa diploma, diploma lanjutan, ijazah sarjana muda di IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta di bawah kendalian KPT, pelajar politeknik dan kolej komuniti di bawah KPM, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah KPM dan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

    Sementara itu, Annuar berkata jawatankuasa perolehan telah memilih tablet jenama Samsung sebagai pemenang tender bagi program berkenaan untuk membekalkan peranti itu mengikut lima zon iaitu Zon Sabah dan Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.

    Katanya proses perolehan yang dibuka semula telah selesai penghujung Julai lepas dan proses pengagihan peringkat awal kepada pelajar yang layak, akan bermula bulan ini.

    Menurut beliau sejumlah 40 peratus pemohon didapati tidak layak semasa tapisan awal permohonan fasa pertama dan bagi memastikan tiada pelajar layak yang tercicir, proses rayuan akan dibuka.

    “Bagi memastikan proses rayuan dibuat dengan teratur, kita akan melibatkan kepimpinan persatuan mahasiswa di IPT untuk membuat proses pengesahan manakala bagi pelajar sekolah, pemimpin tempatan termasuk Ahli Parlimen akan dilibatkan.

    “Satu jadual akan disiapkan dan akan diedarkan kepada pemohon yang berjaya pada hujung bulan ini,” katanya.

    Mengulas mengenai langkah yang perlu diambil sekiranya peranti yang dibekalkan rosak, Annuar berkata pelajar boleh terus memohon gantian kerana setiap peranti Android mereka itu mempunyai dua tahun jaminan.

    “Ia adalah tablet Samsung A8 LTE yang terkini ada di pasaran, disyaratkan dua tahun jaminan kepada pembekal, supaya jika rosak pelajar boleh terus dapatkan gantian bagi memastikan pelajaran mereka tidak terganggu dan kaedah penggantian yang boleh kita uruskan secara berterusan,” katanya.

    Sementara itu dalam sidang medianya, Annuar berkata permohonan bagi fasa dua akan dibuka mulai pukul 12 tengah hari ini termasuk permohonan bagi kategori baharu yang baru diumumkan.

    Katanya bagi permohonan fasa 2 ini, dijangka 60,000 pelajar akan menerima manfaat sambil menyatakan ‘roll out’ pertama akan dilaksanakan di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hujung bulan ini.

    “Ia akan disusuli oleh IPTA dan IPTS berdasarkan kemasukan pelajar ke IPT berkenaan sepanjang September, manakala pada Oktober kita boleh teruskan ‘roll out’ bagi fasa seterusnya,” katanya.- BERNAMA

  • Animasi Mechamato terus ‘mendunia’, bakal disiar TV Portugal

    Animasi Mechamato terus ‘mendunia’, bakal disiar TV Portugal

    SIRI animasi tempatan yang semakin popular, Mechamato The Animated Series semakin mengorak langkah apabila bakal disiarkan stesen televisyen (TV) popular Portugal, bulan depan.

    Selepas disiarkan di lebih 20 negara Asia Pasifik, siri animasi terbitan Monsta itu akan ditayangkan Sociedade Independente de Comunicacao atau SIC K dalam bahasa Portugal.

    Menurut Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Abidin, pihaknya teruja dapat menghiburkan kanak-kanak dari seluruh pelosok dunia melalui bahasa ibunda masing-masing melalui siri animasi terbitan Monsta.

    “Kekuatan siri Mechamato terletak pada jalan cerita yang memfokuskan kepada nilai murni, persahabatan dan budaya. Mechamato terkenal dengan persembahannya yang menggunakan teknologi moden tanpa mengabaikan unsur tradisi tempatan.

    “Dengan menggunakan Bandar Hilir Melaka sebagai sumber inspirasi, siri Mechamato mempamerkan kawasan bersejarah sebagai tema lokasi.

    “Kami harap dengan cara itu, penonton muda di Portugal dan seluruh dunia yang berpeluang menonton Mechamato sedikit sebanyak dapat mempelajari mengenai sejarah dan budaya yang ada di negara kita,” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

    Siri animasi Mechamato hasil sentuhan anak tempatan itu kini menembusi saluran Cartoon Network Asia Pasifik termasuk Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Australia dan New Zealand.

    Mechamato The Animated Series juga dialih suara ke bahasa Inggeris, Mandarin, Kantonis, Korea, Jepun, Thailand dan Vietnam.

    Sambutan luar biasa khasnya di laman sosial terutama Twitter juga diraih siri animasi berkenaan apabila pengguna berkongsi pendapat dan reaksi mereka mengenai siri itu dengan menggunakan tanda pagar #Mechamato.

    Siri animasi Mechamato boleh ditonton menerusi saluran tempatan Astro Prima setiap Sabtu dan Ahad, pukul 7 malam selain Cartoon Network, HBO GO dan Astro GO.

    Sementara itu, Mechamato juga bakal muncul di beberapa platform penstriman lain, tidak lama lagi.

    Malah Mechamato Movie dijangka ditayangkan di pawagam Malaysia, Indonesia dan Brunei, Disember depan.

  • Keluar kata kesat: JPA nafi dakwaan, syor Imigresen siasat

    Keluar kata kesat: JPA nafi dakwaan, syor Imigresen siasat

    JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) menyangkal dakwaan kononnya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam (3 Ogos).

    Memandang serius dakwaan berkaitan, JPA mengesyorkan supaya perkara itu disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

    JPA dalam satu kenyataan hari ini menegaskan segala pertuduhan terhadap KPPA adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tertinggi kerajaan.

    Menurut kenyataan itu, KPPA telah menegur pihak Imigresen di KLIA berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur di mana pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara, dan sebaliknya mereka diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.

    “JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi undang-undang. Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan Imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib,” menurut kenyataan itu. 

    — LAGI

    JPA-IMIGRESEN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

    JPA turut menafikan teguran berkenaan dibuat di khalayak ramai.

    “KPPA hanya menasihatkan pegawai supaya mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu-isu sedemikian dengan berhemah. Beliau juga mengesyorkan supaya perlunya pihak Imigresen di KLIA meningkatkan pematuhan prosedur operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan imigresen,” menurut kenyataan itu.

    Tular di media sosial sejak semalam, dakwaan seorang pegawai yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen di KLIA dimarahi di khalayak ramai kerana tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP sewaktu ketibaan pegawai tinggi kerajaan itu di bilik berkenaan.

    Susulan dakwaan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengarahkan Jabatan Imigresen menjalankan siasatan berhubung perkara itu bagi mendapat maklumat lebih jelas tentang kejadian yang sebenar.- BERNAMA