Category: Umum

  • Penganjur KFW22 dipanggil beri penjelasan

    Penganjur KFW22 dipanggil beri penjelasan

    BADLISHAH MAT

    GARA-gara berpakaian seksi, penganjur Minggu Fesyen Kedah 2022 (KFW22) akan dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung penampilan model dipercayai terlibat dalam peragaan acara terbabit.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd. Hayati Othman berkata, tindakan akan diambil sekiranya penganjur didapati melanggar peraturan ditetapkan.

    Malah beliau berkata, penganjur juga tidak memohon permit dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui semakan awal yang dilakukan.

    “Saya menerima aduan mengenai penganjuran KFW22 yang menampilkan model dengan pakaian yang mencolok mata.

    “Pihak saya akan memanggil penganjur, meminta penjelasan dan mengenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

    Sejak semalam, tular di media sosial gambar model yang berpakaian seksi pada KFW22 di sebuah pusat beli-belah di sini yang berlangsung selama tiga hari pada minggu lalu.

    Dr Mohd. Hayati berkata, penganjur KFW22 sepatutnya mematuhi peraturan serta syarat-syarat melalui kelulusan lesen hiburan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Kota Setar.

    “Walaupun pertunjukan fesyen antara acara yang dibenarkan di dalam Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997, namun diharapkan pakaian yang diperagakan mestilah sopan bersesuaian dengan budaya timur,” katanya.

    Beliau menjelaskan, KFW22 di luar bidang kuasa pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), manakala urusan kebenaran dan lesen dikeluarkan oleh pejabat daerah.

    “MBAS hanya menjalankan tugas-tugas pemantauan untuk memastikan syarat serta peraturan yang ditetapkan dipatuhi pihak penganjur,” jelasnya.

  • Muzium Seni Kraf Orang Asli tarik perhatian Menteri Luar New Zealand

    Muzium Seni Kraf Orang Asli tarik perhatian Menteri Luar New Zealand

    MUZIUM Seni Kraf Orang Asli yang terletak di Taman Botanik, Tasik Perdana di Ibu Negara, menarik perhatian Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta.

    Beliau yang juga suku kaum Orang Asli Maori, New Zealand, dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia yang disambut hari ini.

    Mahuta meluangkan masa lebih 30 minit di muzium diiringi Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Noor serta pegawai Jabatan Muzium Negara, Wisma Putra dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, (KPLB).

    Turut serta, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Pam Chong Dunn. Paling mencuri tumpuan Mahuta sepanjang lawatan itu adalah persembahan tarian Orang Asli Mahmeri.

    Lawatan itu adalah anjuran bersama Jabatan Muzium Negara, JAKOA dan Wisma Putra.

    Semalam Mahuta dan delegasinya turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Putrajaya.

    Kedua-dua Menteri itu bertukar-tukar pandangan selain berkongsi pengalaman negara masing-masing dalam pengurusan, pembangunan dan kebajikan Orang Asli.

    Mahuta mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia dari 6 hingga 9 Ogos.

  • Felcra laksana projek Mega ternakan ayam sistem tertutup bernilai RM60 juta

    Felcra laksana projek Mega ternakan ayam sistem tertutup bernilai RM60 juta

    FELCRA Berhad mengorak langkah dalam aktiviti perniagaannya dengan melaksanakan projek mega ternakan ayam sistem tertutup bernilai RM60 juta.

    Projek yang dilaksanakan di Kampung Tanjung Seratus, Rompin,itu adalah sebahagian inisiatif FELCRA dalam menyokong Dasar Jaminan Keselamatan Makanan Negara.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementeriannya menyalurkan peruntukan projek mega itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    “Kebenaran merancang projek ini telah dimohon kepada Majlis Daerah Rompin dengan tatacara ataupun peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak majlis, jadi saya fikir bahawa Majlis Daerah Rompin dan kerajaan negeri Pahang tidak ada masalah untuk meluluskan kerana apa yang dipohon itu telah mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

    ”Projek ini akan membantu menambah bekalan ayam di pasaran dalam negara selain membuka peluang pekerjaan kepada peserta FELCRA,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas Lawatan Kerja ke Tapak Kompleks Ladang Ayam Pedaging Sistem Tertutup FELCRA Berhad di Tanjung Seratus hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.

    Jelas Mahdzir, projek tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi FELCRA 2.0 untuk mempelbagaikan bidang perniagaannya dan tidak hanya bergantung kepada sektor perladangan kelapa sawit semata-mata.

    Beliau berkata, pembinaan kompleks ternakan ayam di atas tanah seluas 20 hektar itu mula dibina bulan ini dan dijangka siap bulan Januari tahun depan.

    ”Ia dijangka mampu membekalkan sebanyak 600,000 ekor ayam bagi satu pusingan 35 hari atau 3.6 juta ekor pada tahun pertama operasinya.

    “FELCRA menjangkakan dalam satu tahun dapat sebanyak enam kali pusingan dan ini adalah permulaan (projek) dan pihak FELCRA telah membuat ‘engagement’ dengan pihak-pihak yang ada kepakaran dan teknologi selain FELCRA juga ada pegawai-pegawai dalam bidang itu (penternakan ayam),” katanya.

    Ketika ini, kata beliau keperluan ayam dalam negara adalah berjumlah 2.09 juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor ayam sebulan berbanding pengeluaran semasa ayam sebanyak 1.6 juta ekor sehari iaitu kekurangan kira-kira 409,000 ekor ayam sehari.

    “Ini adalah sebahagian daripada program dalam FELCRA yang saya jangka FELCRA juga akan mengadakan kawasan ataupun tapak di negeri lain pula selepas ini untuk menambah jumlah bilangan ayam,” kata Mahdzir.

  • Bersatu gesa sidang tergempar Dewan Rakyat, bentang kertas putih skandal kapal LCS

    Bersatu gesa sidang tergempar Dewan Rakyat, bentang kertas putih skandal kapal LCS

    Oleh DATUK JASRI JAMALUDIN

    LAPORAN Jawatankuasa kira kira Wang Negara (PAC) berkenaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi kegunaan TLDM amat mengejutkan.

    Setelah membaca rumusan laporan PAC tersebut saya percaya rakyat sama sekali tidak dapat menerima skandal perolehan yang merosakan perancangan TLDM serta rancangan menjaga kedaulatan Negara juga terancam.

    Ketirisan yang berlaku sudah tentu memberi gambaran buruk kepada negara,  terutama setelah skandal kewangan terburuk di dunia 1MDB yang merosakan imej negara. Jumlah RM6.083 Billion bukan sikit dan sehingga kini satu pun kapal masih tidak diserahkan kepada pihak TLDM. Ke mana wang berbilion ini hilang?

    Walaubagaimanapun perolehan ini perlu diteruskan kerana ia kritikal demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.

    Saya dengan ini menyeru supaya sisatan menyeluruh dapat dilakukan dan usul tergempar dapat dibawa keParlimen kerana skandal ini melibatkan penipuan berbilion wang rakyat.

    Bukan sahaja penyelewengan berlaku tetapi ia juga memberi gambaran yang tidak baik kepada Sultan Perak yang melancarkan kapal separa siap pada 2017 lalu.

    Kita juga tidak jelas dengan jalan penyelesaian kepada skandal ini. Kenyataan terbaru Menteri Pertahanan bahawa kapal akan diserahkan dalam masa 1-2 tahun adalah bercanggah kerana kapal berlainan yang disebut.

    Oleh itu saya berpandangan usul tergempar di Dewan Rakyat harus dibentangkan segera, termasuk membentangkan kertas putih berkaitan penyelewengan yang berlaku. Rakyat berhak mengetahui perkara sebenar terutama melibatkan wang rakyat dan kedaulatan negara kita.

    • Datuk Jasri Jamaludin adalah Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran.
  • Tubuh Suruhanjaya Bebas Diraja siasat penyelewengan projek LCS – Muhyiddin

    Tubuh Suruhanjaya Bebas Diraja siasat penyelewengan projek LCS – Muhyiddin

    KERAJAAN digesa  mewujudkan Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Ketika membuat gesaan itu dalam satu kenyataan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, skandal tersebut bukan sahaja melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 billion, tetapi turut merencatkan keupayaan TLDM mengawal perairan negara.

    ‘’Pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan kita,’’ katanya.

    Berikut kenyataan penuh Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri melalui akaun Facebook beliau:

    Pada tanggal 7 Ogos 2022, genap dua tahun Perikatan Nasional ditubuhkan. Tertubuhnya Perikatan Nasional adalah atas semangat untuk membela nasib rakyat ketika negara berdepan dengan krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang belum pernah dialami sebelum ini.

    Alhamdulillah, kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk telah memberi keutamaan kepada membela nasib rakyat dengan pelbagai bentuk bantuan demi menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat yang tersepit akibat pandemik Covid-19.

    Tonggak utama yang menjadi falsafah dan pasak perjuangan PN ialah Prihatin Rakyat yang dizahirkan dengan pelaksanaan 8 Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion dan program vaksinasi yang berjaya menyediakan vaksin kepada hampir 100% populasi dewasa di negara ini.

    Walaupun PN berhadapan dengan pelbagai pancaroba politik, Alhamdulilah, dengan sokongan dan dukungan rakyat, PN telah berjaya mengemudi negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang meruncing. Kini fokus kita ialah untuk memulihkan negara demi kehidupan yang lebih baik untuk seluruh rakyat.

    Komitmen PN terhadap falsafah perjuangan Prihatin Rakyat akan berkekalan. Hanya kerajaan yang dibentuk oleh gabungan parti yang terbukti  mengutamakan rakyat melalui dasar-dasar yang prihatin terhadap nasib rakyat jelata akan dapat mengemudi negara ke arah masa depan yang lebih stabil, makmur dan sejahtera.

    Parti-parti politik yang hanya mengutamakan kepentingan segelintir individu dan puak tidak akan dapat meletakkan kepentingan rakyat di hadapan segalanya. Mereka juga tidak akan berjaya mewujudkan kestabilan politik selagi mana kepentingan individu dan puak tidak dapat penuhi.

    Malah individu dan puak inilah yang akan terus mengancam kestabilan politik negara selagi mana kepentingan peribadi mereka tidak dapat dipenuhi.

    Lebih malang sekiranya amalan rasuah dan penyelewengan yang menjadi barah dalam sebuah pemerintahan kleptokrasi berulang kembali di negara kita. Perikatan Nasional menentang keras amalan kotor ini dan tidak akan membiarkan kumpulan kleptokrat kembali memperjudikan nasib rakyat demi kepentingan peribadi.

    Walaupun pemerintahan kleptokrasi BN telah berakhir pada PRU-14 yang lalu, namun sehingga hari ini kita masih dihantui oleh peninggalan kebobrokan pemerintahan mereka.

    Yang terbaharu ialah skandal pembinaan kapal LCS TLDM yang melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 bilion, selain merencatkan keupayaan TLDM untuk mengawal perairan negara disebabkan kegagalan syarikat yang dianugerah kontrak pembinaan kapal LCS secara rundingan terus untuk menyiapkan projek tersebut.

    Pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan kita.

    Bantahan ini walau bagaimanapun tidak diendahkan oleh Menteri Pertahanan. Untuk rekod Menteri Pertahanan pada ketika itu ialah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada masa ini.

    Inilah pemimpin BN  yang akan mengetuai parti itu dalam PRU-15. Jika inilah hakikatnya, adakah rakyat Malaysia akan mempercayai mantra yang akan dibawa oleh BN dalam PRU akan datang?

    Saya menggesa Kabinet supaya mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal LCS TLDM.

    Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Bersatu, Pas, Gerakan, STAR Sabah dan SAPP adalah sebuah gabungan politik nasional yang akan terus memperjuangkan nasib rakyat jelata tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah serta mentadbir negara dengan penuh berintegriti.

    Inilah komitmen kami yang paling utama untuk Malaysia. Mudah-mudahan dengan berkat sokongan dan mandat rakyat, PN akan dapat merealisasikan komitmen ini menerusi pembentukan sebuah kerajaan Prihatin Rakyat dan Berintegriti dalam Pilihanraya Umum ke-15 yang akan datang.

  • Boustead bayar sub-kontraktor lebih 200% daripada yang diperlukan, dakwa Rafizi

    Boustead bayar sub-kontraktor lebih 200% daripada yang diperlukan, dakwa Rafizi

    TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoal tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak terdahulu yang tidak membeli kapal tempur pesisir secara terus daripada DCNS berbanding melalui struktur berlapis-lapis yang melibatkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan dua subkontraktor.

    Beliau dalam satu kenyataan berkata, secara logiknya, kata beliau, jika DCNS adalah pembekal utama kepakaran, reka bentuk dan pembinaan kapal LCS, sewajarnya kerajaan Malaysia melantik DCNS secara terus (seperti yang dibuat semasa projek kapal selam Scorpene).

    Sebaliknya, beliau berkata kerajaan melantik BNS sebagai kontraktor utama yang kemudiannya melantik dua lapis subkontraktor di atas DCNS dalam struktur tersebut.

    Rafizi berkata BNS telah menandatangani surat perjanjian dengan sub kontraktor pertama bagi dua pakej bernilai RM1.18 bilion.

    Katanya, sub kontraktor (BNS) seterusnya melantik syarikat bersekutunya sebagai sub kontraktor kepada mereka. Syarikat bersekutu itu kemudiannya membuat subkontrak kerja kepada syarikat tentera laut Perancis DCNS sebanyak RM397 juta, menambah kos sebanyak 200%.

    Rafizi berkata walaupun beliau memahami alasan untuk melalui BNS adalah untuk membangunkan keupayaan syarikat tempatan dan membantu veteran tentera kerana syarikat itu dimiliki oleh dana pencen angkatan tentera (LTAT), “berlapis-lapis” sub-kontraktor membayangkan wujud unsur rasuah. .

    Tegas Rafizi, beliau akan terus mendedahkan elemen rasuah dalam projek LCS.

    Semalam, Rafizi berkata Najib tidak boleh “cuci tangan” terhadap skandal LCS.

    Katanya, Najib ialah Perdana Menteri dan merupakan satu-satunya individu yang berkuasa untuk mempengaruhi perubahan dalam reka bentuk kapal daripada keperluan tentera laut sewaktu kerajaan menandatangani perjanjian bagi kapal LCS.

    Khamis lalu, Pengerusi Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata menteri pertahanan dan BNS telah mengabaikan pandangan tentera laut berkenaan projek LCS.

    Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein kemudian berkata pihak yang terlibat dalam salah laku bagi projek ini akan dibawa ke muka pengadilan.

  • Kapal LCS: Jangan guna alasan keselamatan negara halang PAC – Kah Wong

    Kapal LCS: Jangan guna alasan keselamatan negara halang PAC – Kah Wong

    PENGERUSI Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh mengingatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak menggunakan alasan keselamatan negara bagi menghalang pihaknya mendedahkan hasil laporan berkaitan kapal tempur pesisir (LCS).

    Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, rakyat tidak boleh disekat daripada mengetahui maklumat sebenar bagaimana kerajaan membelanjakan wang mereka.

    “Saya tidak pasti apa dimaksudkan beliau yang didapati tidak sensitif apabila PAC yang bipartisan sekadar melaksanakan tanggungjawab kami yang diamanahkan oleh Dewan Rakyat kepada jawatankuasa ini dalam memastikan perbelanjaan wang rakyat adalah terpelihara.

    “PAC mempunyai tugas dan tanggungjawab seperti diperuntukkan bawah Peraturan Mesyuarat (PM) 77(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR) untuk memeriksa segala kira-kira kerajaan termasuk apa-apa perkara lain yang difikirkan patut diperiksa oleh jawatankuasa ini,” katanya dalam kenyataan, lapr FMT.

    Beliau menjelaskan, segala maklumat dinyatakan oleh saksi dalam prosiding PAC akan direkod ke dalam hansard manakala laporan PAC yang dikeluarkan pula berpandukan kepada segala keterangan diberikan semasa prosiding itu.

    “Ahmad Zahid selaku bekas Menteri Pertahanan telah hadir di hadapan PAC pada 25 Oktober 2021 bersama Muez Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. Hansard beliau diserahkan kepadanya melalui pos berdaftar 4 Januari 2022 dan beliau diberikan tempoh masa tujuh hari untuk membuat sebarang pembetulan pada kenyataan yang diberikan.

    “Untuk rekod, beliau tidak membuat sebarang pindaan, pembetulan atau pemotongan terhadap mana-mana maklumat yang diberikan dalam prosiding yang dihadiri,” katanya.

    Katanya, dalam prosiding kapal LCS, tidak ada mana-mana saksi yang mengemukakan permohonan bagi meminda keterangan itu sedangkan ia boleh dilakukan jika ada isu sensitif melibatkan kepentingan keselamatan negara.

    “Sekiranya mana-mana hansard yang mempunyai sebarang isu sensitif melibatkan kepentingan keselamatan negara dan dicadangkan untuk pindaan atau pemotongan oleh saksi, PAC akan berbincang sama ada hendak membenarkan permohonan tersebut,” katanya.

    Semalam, Ahmad Zahid menyatakan kebimbangannya terhadap pendedahan lebih banyak berhubung projek LCS menjejaskan rahsia keselamatan negara.

    Beliau berkata, PAC seharusnya lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan.

  • Mat Sabu, Chin Tong nafi Pakatan Harapan tak buat apa-apa dalam isu kapal LCS

    Mat Sabu, Chin Tong nafi Pakatan Harapan tak buat apa-apa dalam isu kapal LCS

    BEKAS  Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya ketika itu, Liew Chin Tong menafikan Pakatan Harapan “membisu” berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion ketika ia berkuasa.

    Mereka dalam kenyataan bersama berkata, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), yang menyiasat projek bermasalah itu, dalam mesyuarat pertama Jemaah Menteri PH pada 30 Mei 2018.

    Menurut mereka, Pengerusi JKSTUPKK, Ambrin Buang membentangkan penemuan berhubung projek LCS kepada kementerian pada 20 Ogos 2019.

    “Pada 11 Feb 2020, wakil JKSTUPKK terdiri daripada Ambrin, Mohamad, Liew, Panglima Angkatan Tentera (ketika itu) Tan Sri Ariffin Buang, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Reza Sany memberi taklimat kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” menurut kenyataan itu.

    Dalam mesyuarat itu, kata mereka, Dr. Mahathir memutuskan mereka yang melakukan kesalahan harus dibawa ke muka pengadilan, merombak pasukan pengurusan BNS, projek LCS dianggap projek sakit dan akan menerima suntikan dana untuk menggantikan dana hilang.

    “Kementerian Pertahanan diarah membentang kertas Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Malangnya, apa yang dirancang tidak berlaku berikutan Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH.

    “Kerajaan PH telah membuat keputusan mengenai hala tuju projek ini pada Februari 2020 berpandukan cadangan JKSTUPKK, namun kerajaan jatuh pada bulan tersebut juga,’’ katanya kenyataan itu lapor FMT.

    Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, PH “tengok sahaja” dan “membisu” ketika LCS pertama gagal diserahkan pada 2019.

    Najib turut mempersoalkan status projek itu dari Mei 2018 hingga September 2019, apabila ia ditangguhkan.

    Mohamad dan Liew berkata, kemajuan projek itu mencapai 50.15% pada Januari 2018, sedangkan ia sepatutnya mencapai 70% siap ketika itu dan ia hanya siap 56.39% berbanding 82.41% pada Januari 2020.

    Mereka berkata, jaminan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa LCS pertama yang dibina Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) akan siap dalam setahun dua lagi “tidak realistik” kerana reka bentuk terperinci yang sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016 hanya siap kira-kira 80% ketika itu.

    Menurut mereka, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Muez Abdul Aziz pada 27 Sept 2021, memaklumkan PAC, selepas BNS menyiapkan reka bentuk terperinci itu, Naval Group memerlukan sekurang-kurangnya 12 bulan dari tarikh pembayaran dibuat untuk menyiapkan pengesahan sebagai “design authority”.

    “Proses reka bentuk adalah proses yang paling penting dalam pembinaan LCS. Tanpa reka bentuk lengkap yang diluluskan oleh kedua-dua Naval Group dan Bureau Veritas, projek LCS tidak dapat diteruskan dan sebarang status siap kerja yang lain adalah tidak bermakna,” kata mereka.

  • Mohd Yusri dilantik Ketua Polis Perak baharu

    Mohd Yusri dilantik Ketua Polis Perak baharu

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 20 pegawai kanannya berkuat kuasa 12 Sept ini.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin dalam kenyataan malam ini memaklumkan antaranya ialah Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit Aman Datuk Baharuddin Ahmad yang akan ditukarkan ke jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman.

    Beliau berkata Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri pula akan menggantikan Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang bersara wajib awal bulan ini sebagai Ketua Polis Perak.

    “Jawatan Mohd Yusri akan digantikan oleh Komander 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ulu Kinta Perak Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff dengan memangku pangkat DCP.

    “Selain itu Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan dengan memangku pangkat SAC,” menurut kenyataan itu.

    Noorsiah berkata Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan), Bahagian sama dengan memangku pangkat DCP.

    “Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling), Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Ghazali Daud dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) JIPS Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP,” katanya.

    Selain itu Noorsiah berkata Ketua Urus Setia KPN (Perundangan) PDRM, Urusetia Pejabat KPN Bukit Aman SAC Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff pula dilantik sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat DCP.

    — BERNAMA

  • MAFI arah operasi tunda kereta di MAEPS dihenti serta merta

    MAFI arah operasi tunda kereta di MAEPS dihenti serta merta

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengarahkan pihak pengurusan acara Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 untuk menghentikan semua operasi tunda kereta di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang berkuat kuasa serta merta.

    MAFI mengeluarkan kenyataan mengenainya hari ini susulan laporan media berkenaan kereta pengunjung ditunda dan disaman RM100 tanpa notis di MAHA 2022 semalam.

    Menurut MAFI, operasi tunda kereta dibuat bagi memastikan aliran trafik dan lalu lintas berjalan dengan lancar, serta membantu kelancaran sistem parkir di setiap kawasan parkir dalam MAEPS bagi mengelakkan aliran trafik menjadi sesak apabila terdapat kenderaan yang menghalang kenderaan lain.

    MAFI  berkata kenderaan awam perlu diletakkan di tempat yang disediakan dan terdapat 5,000 lot parkir kereta disediakan di Laman Tiba 1 dan 3,500 lot parkir di Laman Tiba 2 bagi kemudahan pengunjung.

    “Pengunjung turut dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan bagi mengelak sebarang kesulitan kepada pengguna jalan raya dan menyebabkan kesesakan,” katanya.

    MAHA 2022 dianjurkan selama 11 hari bermula 4 Ogos lepas, menyaksikan penyertaan lebih 1,500 reruai pempamer, dengan sasaran lebih sejuta pengunjung dan RM250 juta potensi nilai jualan.

    Setakat semalam, jumlah pengunjung MAHA 2022 yang direkodkan adalah seramai 404,000 orang.- BERNAMA