Category: Umum

  • Beruang berkeliaran di Sekinchan berjaya ditangkap

    Beruang berkeliaran di Sekinchan berjaya ditangkap

    BERUANG matahari yang berkeliaran di sawah padi Ban Canal, Parit 13 Sungai Nibong, di Sekinchan, Selangor hujung bulan lalu berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), semalam.

    Memetik laporan Harian Metro, Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, haiwan liar itu ditangkap di sekitar Parit 12, Sungai Nibong kira-kira 2 pagi.

    Menurutnya, Perhilitan sebelum ini menjalankan pemantauan harian susulan aduan awam mengenai haiwan itu.

    “Operasi menyelamat kemudian digerakkan bersama Pusat Menyelamat Hidupan Liar Sungkai (NWRC) selepas menerima aduan terbaru, Khamis lalu.

    “Perhilitan Sabak Bernam membuat rondaan dan menemui seekor beruang di dalam kawasan kebun ubi.

    “Penjejakan kemudian diteruskan dan menjumpai kesan umbut kelapa yang musnah dipercayai akibat perbuatan haiwan itu,” katanya ketika dihubungi.

    Menurutnya, tembakan pelali ke atas beruang itu dilakukan untuk memudahkan usaha menangkap haiwan itu.

    “Doktor Veterinar Perhilitan kemudian melakukan pemeriksaan morfologi dan kesihatan haiwan itu, didapati beruang terbabit berada dalam keadaan sihat,” katanya.

    Dennis Ten berkata, beruang matahari itu kemudian dipindahkan ke Pejabat Perhilitan sebelum dilepas semula di habitat asal.

    Pada 29 Ogos lalu, media melaporkan penduduk gempar apabila menemukan seekor beruang berkeliaran di sawah padi kawasan Parit 13 Sungai Nibong.

    Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu disedari seorang wanita yang merakam video pergerakan haiwan liar berkenaan di belakang rumahnya.

  • KPLB saran usahawan luar bandar kuasai kemahiran digital

    KPLB saran usahawan luar bandar kuasai kemahiran digital

    USAHAWAN luar bandar disaran agar melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran digital dalam menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetetif.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usahawan luar bandar juga perlu melakukan anjakan paradigma dalam perniagaan mereka selaras dengan perubahan ekonomi berasaskan digital dan Revolusi Industri 4.0.

    Beliau berkata, para usahawan juga digalakkan untuk menghadiri latihan dan program peningkatan kemahiran digital bagi memastikan produk yang dipasarkan dapat menarik perhatian malah beralih kepada pemasaran secara digital kini adalah norma baharu dalam perniagaan.

    “Memasarkan produk di media sosial sahaja tanpa strategi dan kemahiran berkemungkinan tidak memberi impak yang berkesan.

    “Sebab itu KPLB telah menyediakan banyak kursus dan bimbingan digital bagi membantu usahawan luar bandar dalam memasar, menambah baik mutu dan kualiti produk dalam persedian memulakan perniagaan dalam talian termasuk menyediakan platform DesaMall@KPLB,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Lembaga Kemajuan Wilayah Utara (PERDA) (Expert) 2022 di Dataran Transformasi Usahawan, Midtown PERDA di Kubang Menerong di Tasek Gelugor, semalam.

    Turut hadir, Pengerusi PERDA, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

    Mengenai penganjuran Expert 2022, Mahdzir menjelaskan ekspo itu diperkenalkan bagi mempromosikan produk keluaran usahawan khususnya usahawan luar bandar di Pulau Pinang.

    Selain itu katanya, ianya juga sebagai platform untuk memberi ruang kepada usahawan yang telah mempunyai perniagaan mahu pun yang baru menceburi bidang keusahawanan.

    Menurutnya, Penganjuran Expert melibatkan 186 penyertaan dengan menyasarkan nilai jualan dan pemerolehan kontrak berjumlah RM1 juta.

    “Kita menyasarkan lebih 40 ribu pengunjung akan hadir sepanjang empat hari program berlangsung dari 8 September sehingga hari ini.

    “Expert kali ini membawa tema “Usahawan Luar Bandar Tonggak Ekonomi Negara” dan ia diperkenalkan berpandukan Teras Strategik 1 dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

    “Teras tersebut menyasarkan Sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perniagaan mikro menyumbangkan sebanyak 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2030,” katanya.

    Tambah Mahdzir, Expert itu juga antara lain untuk meningkatkan penyertaan usahawan dalam pelbagai bidang ekonomi dengan menghimpunkan pelbagai sektor dan peringkat di dalam satu ekspo bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan produk usahawan atau peluang pekerjaan.

    “Berdasarkan maklumat daripada PERDA, ketika ini terdapat seramai 1,365 usahawan bimbingan mereka dengan 200 daripadanya telah berjaya mempunyai kilang atau premis sendiri bagi menjalankan perniagaan.

    “Kita harap Expert ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya,” katanya.

  • Kerajaan digesa beri perhatian serius cadangan moratorium khas PMKS

    Kerajaan digesa beri perhatian serius cadangan moratorium khas PMKS

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap cadangan pemberian moratorium kepada sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang kini turut terjejas dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, kenaikan OPR mengakibatkan pengusaha PMKS akan menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih pasca Covid-19.

    Menurut beliau, sepertimana pelaksanaan moratorium sebelum ini, bank-bank di Malaysia tidak mengalami kerugian pun.

    “Jadi apalah salahnya kerajaan sekali lagi berbincang dengan institusi-institusi kewangan supaya memperkenalkan moratorium khas untuk PMKS.

    “Saya harap cadangan ini diberikan perhatian serius oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara.

    Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan yang mewakili hampir 50 peratus tenaga kerja.

    “Saya telah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana.

    “Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan. Hampir 50 peratus tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ini,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi.

    Kenaikan OPR sebanyak tiga kali tahun ini menimbulkan kegusaran orang ramai terhadap kesan dan sama ada kenaikan itu akan menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

    Khamis lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus, yang merupakan kenaikan kali ketiga tahun ini selepas Mei dan Julai.

  • Bekas ketua cawangan PAS meninggal dunia ketika solat Maghrib

    Bekas ketua cawangan PAS meninggal dunia ketika solat Maghrib

    KEMATIAN dicemburui ialah kematian ketika melakukan ibadah dan amal soleh termasuk dalam solat seperti dialami bekas Ketua Cawangan PAS Kampung Kenor di Kuala Krai, Kelantan Khamis lalu.

    Mohd Radzi Ibrahim, 63, dilapor meninggal dunia ketika menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Mukim Kenor.

    Memetik laporan Sinar Harian, beliau secara tiba-tiba rebah ketika rakaat pertama solat di masjid itu pada pukul 7.20 malam.

    Imam Tua Masjid Mukim Kenor Ahmad Fadhil Zamani berkata, ketika hendak rukuk, beliau yang sedang mengimamkan solat Maghrib itu tiba-tiba terdengar bunyi kuat seperti objek jatuh.

    Katanya, berdasarkan pemerhatian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Mohd Radzi tidak sempat rukuk tetapi terlebih dahulu rebah dalam keadaan bersujud sebaris dengan jemaah lain yang sedang solat.

    “Seorang jemaah berhenti daripada solat dan segera membantu membaringkan Mohd Radzi yang sudah tidak sedarkan diri.

    “Saya menghubungi talian kecemasan 999 dan pegawai perubatan yang tiba memeriksa Mohd Radzi mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Ahmad Fadhil, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung.

    Dalam pada itu, katanya, arwah seorang yang sangat pemurah dan sentiasa berebut membayar harga makanan dan minuman sahabat-sahabatnya semasa di kedai makan.

    Arwah memang solat berjemaah lima waktu di masjid dan setiap hari mengamalkan membaca 40 kali surah al-Ikhlas selain seorang yang sangat berpegang teguh pada janji.

    “Kita tidak tahu amalan rahsia arwah hingga membawa kepada kematiannya secara husnul khatimah (mati dalam keadaan beribadat dan pada malam Jumaat),” katanya.

    Menurutnya, jenazah lelaki itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah Kuala Krai selepas solat Jumaat.

  • Polis kesan saksi kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan

    Polis kesan saksi kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan

    Polis sedang mengesan saksi kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal yang maut di Kilometer 184.7, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Alor Pongsu di Bagan Sertai pagi ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa, Muhammad Syafiq Abu Bakar, 28 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di bahagian kepala.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mazuki Mat berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands ke rumahnya di Bandar Baharu, Kedah.

    Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkannya dia terjatuh ke atas jalan.

    “Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

    “Berdasarkan siasatan awal, nahas dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terjatuh sendiri,” katanya dalam kenyataan sepertimana dilaporkan Astro AWANI.

    Menurut Mazuki, pihaknya memohon saksi yang melihat dan mempunyai maklumat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.

    “Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Khairul Hanafi Hanapi di talian 013-6200564 untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Kerajaan lulus kenaikan elaun sara hidup pelajar MARA

    Kerajaan lulus kenaikan elaun sara hidup pelajar MARA

    RINTIHAN pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal berakhir apabila kerajaan meluluskan kenaikan kadar elaun sara hidup mereka mulai bulan ini.

    Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia bersama 3,000 pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) di German Malaysian Institute, di Bangi hari ini.

    Menurut Ismail Sabri, kenaikan elaun sara hidup itu membabitkan sejumlah 62,998 pelajar tajaan MARA dalam dan luar negara.

    “Kadar Elaun Sara Hidup pelajar sedia ada dan baharu bagi yang mengikuti pengajian dalam negara akan diseragamkan kepada satu kadar sahaja mengikut peringkat pengajian.

    “Untuk bidang pengajian bermula peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah akan dinaikkan kepada satu kadar sahaja iaitu pada kadar minima RM650 sebulan sehingga maksima RM950 sebulan,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, kerajaan membuat keputusan itu selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk peningkatan kos sara hidup serta kekangan kewangan ibu bapa pelajar khususnya kumpulan B40.

    “Kadar Elaun Sara Hidup pelajar sedia ada dan baharu bagi yang mengikuti pengajian luar di semua negara diseragamkan kepada dua kadar sahaja iaitu kadar A dan B,” katanya.

    Kadar itu katanya, dinaikkan kepada kadar minima RM1,380 sebulan sehingga maksima RM7,600 sebulan bermula dari peringkat pengajian Sarjana Muda sehinggalah peringkat Doktor Falsafah.

    Kerajaan tambah Ismail Sabri, sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia kalis cabaran.

    “Ia juga merupakan inisiatif kerajaan dan MARA dalam meringankan beban pelajar Keluarga Malaysia dalam mendepani isu kos sara hidup dan inflasi,” ujarnya.

    Untuk rekod, kadar elaun sara hidup pelajar dalam negara sebelum ini adalah berdasarkan Kadar A bagi kawasan bandar besar dan Kadar B bagi kawasan luar bandar iaitu minima RM535 hingga maksima RM885 sebulan dari peringkat Diploma hingga Doktor Falsafah.

    Sementara pelajar luar negara pula diseragamkan kepada Kadar A dan B sahaja termasuk Amerika Syarikat yang mana Kadar C dimansuhkan.

    Sebelum ini kadar elaun sara hidup pelajar luar negara adalah antara RM1,200 hingga RM5,712 sebulan.

    “Saya harapkan seluruh pelajar Keluarga Malaysia sama ada dalam dan di luar negara dapat merancang dan menguruskan elaun sara hidup yang disalurkan itu dengan sebaik mungkin agar aspek pembelajaran di institusi masing-masing berjalan lancar,” katanya.

    Turut hadir, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan beberapa Anggota Jemaah Menteri yang lain.

  • 24 rakyat Malaysia mangsa penipuan kerja di Kemboja diselamatkan

    24 rakyat Malaysia mangsa penipuan kerja di Kemboja diselamatkan

    SERAMAI 24 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Phnom Penh, Kemboja berjaya diselamatkan dan kembali ke tanah air hari ini.

    Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang berada di Phnom Penh untuk lawatan kerja, membawa pulang kesemua mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) melalui pesawat AK0539 pada kira-kira 4.50 petang tadi.

    Beliau berkata 29 lagi rakyat Malaysia masih berada di depoh imigresen di Kemboja kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika memasuki negara berkenaan dan mereka berada dalam keadaan selamat.

    Ketika lawatan kerjanya ke Phnom Penh, Saifuddin berkata beliau sempat melawat tujuh rakyat Malaysia yang berada di depoh imigresen di ibu negara Kemboja itu, manakala 22 orang lagi dilaporkan berada di wilayah Sihanoukville.

    “Mereka akan dihantar pulang secara berperingkat bergantung kepada pihak imigresen Kemboja kerana ada yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan kes yang melibatkan siasatan pihak berkuasa di sana,” katanya kepada pemberita di klia2 di sini hari ini.

    Menurutnya setakat ini, 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 148 kes yang dilaporkan.

    “Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, kerajaan Kemboja, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen yang beri arahan khusus supaya diadakan operasi menyelamatkan sebahagian rakyat Malaysia di sana,” katanya.

    Mengulangi nasihat agar rakyat Malaysia berwaspada dengan iklan pekerjaan di luar negara dengan tawaran memikat, beliau berkata : “Sekiranya mendapat apa-apa tawaran, hubungi kedutaan kita di Phnom Penh untuk mereka membantu memeriksa sama ada syarikat itu sahih atau tidak dan bukannya pergi tanpa sebarang maklumat yang tepat.”

    Katanya terdapat kira-kira 500 syarikat Malaysia beroperasi di Kemboja dan 5,000 rakyat Malaysia yang bekerja serta berniaga di negara berkenaan dan semuanya dalam keadaan baik.

  • Isu kapal OPV: ‘’Saya bukan cakap kosong’’ – Mujahid

    Isu kapal OPV: ‘’Saya bukan cakap kosong’’ – Mujahid

    NAIB Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan kenyataannya berhubung isu kapal peronda luar pesisir (OPV), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bukan fitnah, sebaliknya berlandaskan fakta.

    Mujahid mengulas kenyataan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengatakan beliau memfitnah kerana mengaitkannya dengan isu itu.

    “Jika saya cakap salah, betulkan dan buktikan. Saya siap sedia kerana saya bukan cakap kosong, melainkan ada bersama bukti-bukti,” katanya lapor Berita Harian.

    Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata, Abdul Azeez perlu memeriksa fakta terlebih dahulu, sebelum mendakwanya menabur fitnah.

    “Apabila Azeez Rahim marahkan saya, saya fahamlah. Tetapi kalau marahpun, fakta biar betul lah. Itu sahaja. Jangan cakap tanpa fakta kerana maklumat orang boleh cari,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, Abdul Azeez membuat laporan polis ke atas Mujahid kerana memfitnahnya berkaitan kontrak OPV.

  • Latiff dakwa difitnah, hantar surat peguam kepada juruaudit projek LCS

    Latiff dakwa difitnah, hantar surat peguam kepada juruaudit projek LCS

    PEGUAM kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Latiff Ahmad telah menghantar surat tuntutan kepada juruaudit di sebalik laporan audit forensik yang melibatkan beliau  dalam projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Portal Malaysiakini melaporkan, firma guaman Chetan Jethwani & Co, melalui surat tuntutannya bertarikh 7 Sept, menuntut juruaudit menarik balik kenyataan berunsur fitnah dalam tempoh 48 jam atau menghadapi tindakan undang-undang dan mengeluarkan permohonan maaf kepada Latiff.

    Ketika dihubungi awal hari ini, peguam Chetan Jethwani mengesahkan bahawa firmanya menghantar surat tuntutan kepada Pengarah Alliance IFA (M) Sdn Bhd Prabhat Kumar.

    Bagaimanapun katanya berkata pihak yang diwakilinya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada juruaudit berkenaan.

    “Kami boleh mengesahkan ada surat tuntutan (yang dihantar kepada juruaudit), tetapi kami belum menerima maklum balas lagi. Saya bukan dalam kedudukan untuk mendedahkan kandungan surat tuntutan itu, ia adalah sulit,” katanya.

    Semalam, dilaporkan Latiff mengancam prosiding undang-undang terhadap audit forensik mengancam untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap juruaudit jika dia ‘gagal, enggan atau lalai’ untuk menjawab dalam tempoh 48 jam mulai 7 Sept.

    “Kamu akan sedar bahawa kenyataan kamu adalah tidak benar dan sangat memfitnah anak guam kami (Latiff), mengheret anak guam kami ke dalam skandal awam dan menjadi perkara mendesak.

    “Kenyataan kamu telah menyebabkan banyak isu terhadap keluarga anak guam kami dan rakyat yang diwakilinya,’’ Chetan dipetik berkata dalam surat tuntutan itu.

    Chetan merujuk pelbagai kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berdasarkan laporan audit forensik, yang dibuat secara dalam talian berikutan keputusan Kabinet untuk menukar status klasifikasi sulit pada 17 Ogos.

    Rafizi mendakwa Zainab Mohd Salleh – wanita yang dikatakan di belakang dua syarikat luar pesisir dikaitkan dengan projek LCS – sebagai isteri kedua Abdul Latiff. Pun begitu, menteri itu telah menyangkal dakwaan Timbalan Presiden PKR itu.

    Laporan audit itu atas arahan Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), syarikat induk Boustead Naval Shipyards (BNS), kontraktor utama projek LCS.

    Surat itu menuntut Prabhat menulis ke BHIC untuk membuat pembetulan apa yang didakwanya sebagai kandungan tidak tepat dalam laporan forensik.

    “BHIC tidak sepatutnya memberikan laporan yang salah kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara,” kata Chetan.

  • Laut China Selatan:  ‘’Kenapa kita berdiam lagi’’ – ADUN Kota Sentosa

    Laut China Selatan:  ‘’Kenapa kita berdiam lagi’’ – ADUN Kota Sentosa

    ‘’Kita bukan hendak bergaduh atau lakukan provokasi sebaliknya tindak tanduk buli ini jangan kita biarkan.’’

    Itulah penegasan ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin ketika mengulas pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan yang jelas mencabul kedaulatan negara ketika ini.

    Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau sering berdepan dengan aduan nelayan semakin tertekan kerana mata pencarian mereka terjejas dengan adanya aktiviti latihan ketenteraan di Laut China Selatan sehingga mereka berpatah balik.

    Wilfred Yap Yau Sin

    “Ada juga kisah nelayan kita terpaksa beralih arah ke kawasan perikanan laut bergelora dan tidak begitu sesuai dengan kapasiti bot memandangkan tempat kebiasaan mereka kini ada banyak kapal peronda atau adanya latihan ketenteraan.

    “Terdapat juga dakwaan datang pula nelayan haram dari China lakukan aktiviti perikanan di kawasan pertikaian Kepulauan Spratley ini. Apakah ini semua tidak membimbangkan kita semua? Kedaulatan kita di ceroboh, rakyat kita hilang mata pencarian. Jangan diam diri yang akhirnya akan mudaratkan kita,’’ katanya

    Tegas beliau, kerajaan perlu mengambil pendirian tegas dengan tidak membiarkan aktiviti pencerobohan dan provokasi ketenteraan tidak berterusan di Laut China Selatan.

    “Mengapa kita berdiam lagi, kita perlu lakukan sesuatu untuk tangani ini dengan segera. Setiap negara ada kedaulatan yang perlu dijaga dan dihormati,’’ tegas beliau lagi.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Alwa Dris pula be`rkata, Malaysia mesti berani menyatakan pendirian berhubung isu keselamatan perairan negara.

    Wisma Putra kata Alwa, tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri berhubung isu itu kerana ia hanya akan meningkatkan lagi kebimbangan rakyat di Sabah dan Sarawak yang berdepan pencerobohan itu.

    “Wisma Putra harus lebih tegas dalam menangani isu pencabulan kedaulatan negara ketika ini, kita jangan berkompromi dalam perkara itu,’’ tegasnya.

    Alwa Dris

    Beliau berkata, isu tersebut sudah banyak kali dibangkitkan oleh wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun tiada penyelesaian konkrit malah terus berlarutan.

    Tambah Alwa, sepatutnya sudah tiba masanya untuk tindakan diambil bagi menangani isu itu dan bukannya terus berdiam diri hanya kerana mahu menjaga hati segelintir pihak.

    Tegas  beliau, Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) telah memberi amaran melalui angka pencerobohan oleh China sebanyak 89 kali bermula pada 2016 hingga 2019.

    ‘’Manakala media antarabangsa CNN pula pernah melaporkan Kementerian Luar China menggambarkan latihan ketenteraannya di Laut China Selatan diadakan dalam wilayah negaranya,’’ kata Alwa.