Category: Umum

  • Datuk Bandar Shah Alam sahkan MBSA ‘diserbu’ SPRM

    Datuk Bandar Shah Alam sahkan MBSA ‘diserbu’ SPRM

    MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengesahkan pejabatnya di Shah Alam ‘diserbu’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Isnin lalu.

    Datuk Bandar Shah Alam, Zamani Ahmad Mansor mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

    Bagaimanapun, Zamani berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan tujuan serbuan tersebut dilakukan.

    “Ya (SPRM buat serbuan di pejabat MBSA).

    “Berkenaan dengan perkara ini (serbuan SPRM), kita masih tunggu laporan SPRM takut salah fakta,” katanya kepada Malaysiakini.

    Dia berkata demikian ketika diminta mengesahkan sekiranya terdapat serbuan SPRM di MBSA pada Isnin.

    Malaysiakini difahamkan oleh salah seorang wakil rakyat PKR yang enggan namanya disebut bahawa ‘serbuan’ itu dilakukan mungkin berkaitan dengan projek tebatan banjir.

    Namun Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sama ada kunjungan itu satu serbuan atau sekadar lawatan.

    Malaysiakini juga sudah menghubungi SPRM bagi mengesahkan perkara tersebut, namun belum mendapat sebarang maklum balas.

  • 42 kes buli di sekolah di Perak sejak Januari hingga Julai

    42 kes buli di sekolah di Perak sejak Januari hingga Julai

    SEBANYAK 42 kes buli direkodkan di sekolah di negeri ini sejak Januari hingga Julai tahun ini berbanding hanya dua kes sepanjang tahun lepas, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

    Mohd Yusri yang ditemui pemberita selepas Program #Katakan Tidak Kepada Buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, di sini awal hari ini berkata data berkenaan diperoleh daripada Jabatan Pendidikan negeri.

    “Perbezaan itu (dua kes pada tahun lepas kepada 42 kes pada Januari hingga Julai) berikutan penutupan sekolah-sekolah sewaktu fasa pandemik COVID-19,” katanya.

    Beliau berkata program #Katakan Tidak Kepada Buli bertujuan membendung kejadian buli dalam kalangan pelajar di asrama selain meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar sekiranya terlibat dalam kesalahan jenayah dan buli.

    Mengenai perkembangan kes dua pekerja kuari tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai dekat sini pada 8 Mac lepas, Mohd Yusri berkata pihaknya telah menerima sampel DNA daripada waris Itam Lasoh, iaitu seorang daripada mangsa yang dipercayai tertimbus.

    Beliau berkata pihaknya kini menunggu sampel DNA daripada waris seorang lagi mangsa, Kheow Loo Siew Soon, yang difahamkan waris itu berada di luar negara.

    “Kita menunggu sampel daripada waris bagi kita memastikan adakah cebisan tulang yang dijumpai berpadanan dengan kedua-dua mangsa tersebut,” katanya.

    Dilapor pada Khamis lepas, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan Itam, 43, dan Kheow, 49, dihentikan selepas penemuan pakaian dan cebisan tulang manusia termasuk jengkaut kedua di lokasi kejadian.

    Kesemua objek dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat dan ujian DNA bagi pengesahan identiti. – BERNAMA

  • Malaysia mahu kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB dihapuskan

    Malaysia mahu kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB dihapuskan

    MALAYSIA hari ini meminta kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihapuskan selaras dengan prinsip satu negara satu undi.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.

    Segak memakai baju Melayu hitam dan berucap menyampaikan Kenyataan Negara dalam Bahasa Melayu di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77 di sini pada Jumaat, Ismail Sabri berkata konflik dan krisis yang berlaku di dunia seperti di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tidak dapat diselesaikan kerana kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB.

    Menurut beliau, masalah yang paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan, yang menyaksikan kuasa veto sering kali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

    “Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip asas demokrasi. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut,” katanya pada penampilan kali kedua di UNGA, perhimpunan agung tahunan yang dihadiri lebih 150 pemimpin dunia.

    Perdana Menteri berkata konflik akan hanya mengakibatkan kesan negatif kepada seluruh dunia dan memberi contoh pelbagai masalah yang wujud sekarang, antaranya kekurangan zat dan sumber makanan.

    Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata semua negara perlu memberi penekanan kepada isu sekuriti makanan bagi menjamin sumber makanan yang mencukupi untuk semua.  

    Beliau berkata tema sesi kali ini iaitu “Suatu Detik Perubahan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait” amat bersesuaian dengan situasi yang sedang dilalui dunia.

    “Keamanan dan kestabilan adalah penting dalam mengharungi setiap cabaran besar masa kini, baik krisis perubahan iklim, kemiskinan global mahupun kesan pandemik berterusan.

    “Sehebat manapun perancangan kita, ia tidak akan bertahan daripada kemusnahan dan pembaziran yang disusuli dengan peperangan moden. Inilah kebenaran yang tidak seharusnya kita lupa,” kata beliau. dalam ucapan selama 20 minit itu.

    Dalam ucapan selama 20 minit itu, Perdana Menteri berkata apabila komitmen yang tinggi serta ikrar untuk bekerjasama disuarakan pada Perhimpunan Agung lepas, ia memberikan harapan kepada dunia.

    “Banyak kenyataan telah dikeluarkan, yang memberi harapan termasuk kepada saya bahawa semangat sebuah Keluarga Dunia berupaya mengetepikan perbezaan yang wujud dalam kalangan kita,” katanya.

    Malaysia, kata beliau, tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan-pertubuhan antarabangsa kerana ia bertentangan dengan prinsip multilateralisme dan menghalang dialog yang tidak membantu orang awam.

    Sementara itu, situasi di Ukraine, kata beliau, membuktikan peperangan menelan kos yang tinggi.

    “Ini dibuktikan dengan situasi yang dialami oleh Ukraine. Kesannya bukan sahaja dideritai oleh rakyat dan negara itu, malah turut dirasai dunia. Konflik ini telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan,” kata beliau.

    Sambil mengalu-alukan perwujudan koridor laluan laut yang membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine, Ismail Sabri mengulangi gesaan agar semua negara, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya mengelak dari mewujudkan blok pengasingan  yang akan hanya mendorong dunia ke kancah Perang Dingin.

    Pada sesi ke-76 tahun lepas, Perdana Menteri menyampaikan ucapan secara maya berikutan pandemik COVID-19.- BERNAMA

  • PM cipta sejarah berucap dalam bahasa Melayu pada perhimpunan PBB di New York

    PM cipta sejarah berucap dalam bahasa Melayu pada perhimpunan PBB di New York

    ENAM puluh lima tahun selepas seorang pemimpin negara bernama Ismail mencipta sejarah apabila muncul mewakili negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini seorang lagi dengan nama sama muncul melakar satu lagi sejarah.

    Pada September 1957, tidak sampai sebulan selepas negara mencapai kemerdekaan, Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang merupakan duta pertama Malaysia ke Amerika Syarikat dan PBB, muncul di Perhimpunan Agung PBB untuk menyampaikan ucapan dengan berbaju Melayu lengkap dengan keris.

    Beliau kemudian menjadi Timbalan Perdana Menteri dari September 1970 hingga Ogos 1973.    

    Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencipta satu lagi sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu.

    Beliau yang tampil segak berbaju Melayu hitam mencuri tumpuan delegasi lain sebaik melangkah masuk ke dewan utama, manakala seluruh delegasi negara termasuk Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut memakai baju kebangsaan dan batik Malaysia.

    Perdana Menteri mengakhiri ucapan berdurasi 20 minit itu dengan ayat “United we stand, divided we fall”, selagi kita bersatu padu dan teguh bersama dalam memikul beban ini, saya pasti kita akan berjaya”. 

    Beliau turut mengajak komuniti antarabangsa bekerjasama dengan mengamalkan semangat Keluarga Dunia, dalam menghadapi cabaran global. – BERNAMA

  • Baharuddin dilantik Pengarah Cawangan Khas

    Baharuddin dilantik Pengarah Cawangan Khas

    TIMBALAN Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Baharuddin Ahmad, dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 25 Oktober ini.

    Perkara itu diumumkan Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, melalui satu kenyataan, hari ini dengan Baharuddin antara 26 pegawai kanan yang terbabit dalam pertukaran berkuat kuasa tarikh sama.

    Berikutan pertukaran ke jawatan baharu itu, Noorsiah berkata, Baharuddin akan memangku Gred VUYA5 (JUSA A)

    Baharuddin sejak 22 Ogos lalu memangku jawatan Pengarah Cawangan Khas susulan persaraan Datuk Seri Zamri Yahya.

    Kekosongan jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman akan diisi Datuk Mohd Khalid Ismail yang kini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah E4 Cawangan Khas Bukit Aman. Beliau akan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

    Noorsiah turut memaklumkan, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun akan mengisi kekosongan jawatan Ketua Polis negeri itu dengan memangku pangkat CP.

    Kekosongan ditinggalkan Muhammad Zaki akan diisi Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob, dengan memangku pangkat CP.

    Pertukaran juga membabitkan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin, sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, dengan memangku pangkat CP.

    “Ketua Cawangan Khas Johor, Senior Asisten Komisioner (SAC) Jalaludin Hamid akan mengisi jawatan Ketua Penolong Pengarah E4 Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).

    “Jawatan Timbalan Ketua Polis Johor pula akan digantikan Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, SAC S M M Kumar yang akan memangku pangkat DCP,” katanya.

    Menurut Noorsiah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Anuar Othman dilantik sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dan memangku pangkat DCP.

    “Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Maktab Teknik PDRM Bakri di Muar, Johor, Asisten Komisioner (ACP) Md Khair Othman, pula ditukarkan kepada Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan memangku pangkat SAC.

    “Selain itu, Penolong Pengarah Perkhidmatan Bahagian Perkhidmatan Perjawatan, Jawatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Mohd Faisal Yahya ditukarkan kepada Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta), JSJN Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC,” katanya.

    Kata Noorsiah, pertukaran juga membabitkan Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi Pulau Pinang, ACP Nor Azizi Maarof kepada Ketua Cawangan Khas Johor dan memangku pangkat SAC.

    “Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Osman Mamat ditukarkan kepada Ketua Penolong Pengarah (Perancangan dan Pembangunan Dasar Strategik) Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dan turut memangku pangkat SAC.

    “Turut ditukarkan, Ketua Unit Penguatkuasaan Seksyen Wang Awam II, Bahagian Dasar Saraan Wang Awam dan Khidmat Pengurusan, Kementerian Kewangan, ACP Luqman Abdul Rahman kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak dengan memangku pangkat SAC,” katanya.

    Katanya lagi, pertukaran juga membabitkan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Rupiah Abd Wahid yang ditukarkan sebagai Ketua JPJKK Johor dengan memangku pangkat SAC, manakala jawatan Ketua Polis Daerah Taiping akan diisi Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid dengan memangku pangkat ACP.

  • 5 hari hilang, anak tak tolak kemungkinan bapa ‘disembunyikan’ di alam lain

    5 hari hilang, anak tak tolak kemungkinan bapa ‘disembunyikan’ di alam lain

    KEHILANGAN seorang warga emas, Ithnin Warsan, 79, penduduk Kampung Tungku Tiga dekat Segamat sejak lima hari lalu disifatkan anaknya sebagai misteri dan tidak menolak kemungkinan kaitan alam ghaib.

    Noor Azali Ithnin, 44, berkata, kali terakhir ahli keluarga melihat bapa mereka ialah pada pukul 7 petang, Isnin lalu ketika warga emas berkenaan bersiar-siar di halaman rumah.

    “Biasanya, bapa akan masuk ke rumah sebelum azan Maghrib. Namun, pada hari kejadian, dia tidak masuk ke rumah sehingga pukul 7.15 petang.

    “Kami memanggil namanya di sekitar kediaman namun tiada jawapan,” katanya sebagaimana lapor Harian Metro.

    Noor Azali berkata, mereka tidak menolak kemungkinan kaitan kehilangan bapanya dengan alam ghaib.

    “Sepanjang usaha kami mencarinya, ada ustaz memberitahu bapa ‘disembunyikan’ di sekitar kawasan kampung.

    “Walaupun kehilangannya penuh misteri, kami berdoa supaya bapa ditemui,” katanya.

    Dia turut membuat laporan berkaitan kehilangan itu di Balai Polis Segamat pada Selasa lalu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menjejak lelaki berkenaan termasuk pencarian di lokasi kerap dikunjunginya, kediaman kenalan dan kawasan sekitar kampung ini.

    “Namun, sehingga kini jejaknya masih gagal dikesan. Kami akan meneruskan pencarian dan unit rondaan bermotosikal (URB) turut membantu mengesannya,” katanya dihubungi hari ini.

  • Najib dihantar semula ke Penjara Kajang

    Najib dihantar semula ke Penjara Kajang

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dihantar semula ke Penjara Kajang setelah selesai menjalani pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

    HRC menerusi satu kenyataan berkata, pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan HRC telah memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan beliau dihantar semula ke Penjara Kajang.

    Menurutnya, ini susulan hasil pemeriksaan terkini dilakukan terhadap Najib oleh Pakar Perubatan Rehabilitasi HRC mendapati tahap kesihatan beliau kini berada dalam keadaan yang baik.

    “Beliau juga telah diberikan tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri.

    “Pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur dan HRC telah memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan beliau dihantar semula ke Penjara Kajang,” kata HRC hari ini.

    Menurut HRC, pakar perunding yang berkaitan juga telah mengadakan sidang keluarga (family conference) bersama beliau dan ahli keluarga terdekat, di mana mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan beliau.

    Katanya, adalah dimaklumkan bahawa beliau telah menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang keberadaan beliau di HRC.

    “Bersesuaian dengan matlamat HRC, kami akan terus komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan bagi memastikan pesakit yang dirawat di sini dapat mencapai tahap potensi yang optimum dan membolehkan seseorang individu mencapai tahap kefungsian yang maksimum,” katanya.

    21 September lalu, Jabatan Penjara Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan memaklumkan Najib sedang mendapatkan rawatan rehabilitasi dan pemantauan lanjut di HRC.

  • Jangan hanya setuju keputusan mahkamah bila orang lain terkena – Bersatu

    Jangan hanya setuju keputusan mahkamah bila orang lain terkena – Bersatu

    BERSATU menghormati setiap keputusan mahkamah, termasuk yang membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung kontrak sistem visa luar negara (VLN).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris berkata, Bersatu bukan parti yang akan menentang sebarang keputusan mahkamah jika ia memihak kepada individu yang tidak “sebulu” dengannya.

    Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk parti-parti politik, supaya tidak hanya menyokong serta menghormati keputusan mahkamah jika ia memihak kepada pihak yang disokong, dan sebaliknya jika bertentangan dengan kemahuan mereka.

    “Elakkan daripada setuju (dengan keputusan mahkamah) apabila terkena pada orang lain dan menyanggah apabila kena batang hidung sendiri.

    “Rakyat perlu mengangkat martabat sistem kehakiman dan mahkamah dengan menghormati setiap keputusan,” katanya kepada FMT.

    Bagaimanapun, katanya, walaupun Zahid dibebaskan daripada tuduhan dalam kes sistem VLS, kes lain membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang sedang berjalan tidak boleh diganggu.

    Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Presiden UMNO itu.

    Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

    Beliau juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

    Presiden Umno itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Beliau masih berdepan 35 tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkait pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

  • Zul Ariffin bakal berhijrah ke Mekah urus perniagaan

    Zul Ariffin bakal berhijrah ke Mekah urus perniagaan

    PELAKON Zul Ariffin merancang untuk berhijrah ke Arab Saudi sekitar awal tahun depan untuk menguruskan perniagaan.

    Memetik laporan portal hiburan Gempak, Zul bagaimanapun tetap akan kembali ke Malaysia bagi kerjaya lakonannya.

    “Saya merancang untuk berhijrah ke sana kemungkinan pada Januari tahun depan. Sekarang dalam proses nak cari rumah dan lock semuanya. Saya akan tinggal di Mekah.

    “Saya serius, berhijrah ke sana atas urusan kerja dan perniagaan. Saya akan tinggal di sana tetapi saya tetap kembali ke Malaysia,” katanya semalam.

    Dia ditemui selepas majlis pelancaran filem seram terbaharu lakonannya berjudul Talbis Iblis bertempat di Panggung Asia, Kuala Lumpur.

    Zul kata laporan itu lagi memaklumkan, sekiranya tiada halangan dan semua berjalan dengan lancar, perniagaan mesin layan diri (vending machine) yang diusahakannya akan beroperasi pada Januari depan

    “Untuk perniagaan ini, saya bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Singapura. Bagi saya ini adalah satu peluang.

    “Tak tahu nak cakap perancangan perniagaan itu bermula bila kerana semuanya terjadi dengan begitu pantas,” jelasnya.

    Ditanya sama ada Zul akan terus menetap di sana atau tidak, aktor ini berkata dia akan berulang-alik dari Makkah ke Malaysia untuk kerjaya lakonannya.

    “Menetap di sana bukan selamanya, saya harus berulang alik, memang akan chaos tetapi tidak mengapa.

    “Saya tidak memperlahankan kerjaya tetapi saya perlu memilih tawaran dengan lebih teliti. Saya masih lagi ada beberapa projek selepas ini.

    “Sejujurnya teruja, bagi saya ia adalah perkara yang sihat. Saya rasa sekarang kalau saya tinggal lama sangat pun tidak bagus.

    “Kita kalau tiada benda nak buat jadi tak produktif, lebih baik penat produktif daripada tidak dan sekarang filem juga dapat kutipan yang bagus.

    “Pawagam pun sudah kembali dibuka selepas COVID dan ramai yang datang menonton filem sebagai tanda sokongan.

    “Kalau anda lihat sekarang filem-filem juga banyak menaikkan pelakon, tiba-tiba pelakon bertambah ramai. Jadi ini merupakan satu persaingan yang sihat dan menyeronokkan, rugilah kalau saya perlahankan kerjaya seni,” ujarnya.

    Dalam perkembangan lain, Zul akan muncul menerusi naskhah filem seram terbaharu berjudul Tablis Iblis.

    Filem ini merupakan terbitan gabungan penerbit terhebat tanah air, Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MME Entertainment.

    Selain Zul, naskhah ini juga dibintangi oleh Nasha Aziz, Azira Shafinaz, Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis, Izzy Reef, Daniella Sya, Zaftfarrel Mikhael Felton dan Putri Syahadah Nurjannah.

    Tablis Iblis akan menemui penonton di pawagam bermula 20 Oktober depan.

    Terdahulu, karya ini menjadi filem kedua dari Malaysia yang mengadakan Tayangan Perdana Dunia dan di senarai pendek di Far East Film Festival Ke24 di Udine, Itali pada April lalu.

    Filem ini turut mengadakan tayangan perdana di Bucheon International Fantastic Film Festival 2022 ke-26 dan Neuchâtel International Fantastic Film Festival 2022 ke-21.

    ‘Talbis Iblis’ yang membawa maksud tipu daya serta perangkap yang dibuat oleh iblis untuk menyesatkan manusia, cukup tepat menggambarkan tentang subjek utama yang diangkat dalam filem ini.

    Ia mengisahkan tentang seorang gadis, Hajar yang dihantar ke satu tempat jauh dari ibu kota bagi melahirkan bayinya secara rahsia.

  • Bob Lokman meninggal dunia

    Bob Lokman meninggal dunia

    PELAKON, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian, Kota Bharu di Kelantan, akibat komplikasi jantung hari ini.

    Allahyarham meninggal dunia pada usia 58 tahun.

    Memetik laporan Astro Awani, perkara itu disahkan isterinya, Relawati Daud kepada rakan rapat Allahyarham, Datin Marlia Musa sekitar pukul 3 petang tadi.

    “Saya baru dapat berhubung dengan isterinya dan dia mengesahkan pegawai kesihatan masih berada di kediaman mereka untuk pengesahan kematian,” kata Marlia, ketika dihubungi Astro AWANI, pada Jumaat.

    Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, merupakan penulis lirik beberapa lagu popular, Isabella dan Taman Rashidah Utama dan banyak lagi.

    Bob dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@IIUM) di Kuantan, Pahang 8 April lalu kerana mengalami masalah cepat penat.

    Pada 21 April lalu, Bob berpindah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

    Namun, akibat kekangan kewangan dialami ,dia hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar dari hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April lalu.

    Sebelum ini, Bob menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada awal Disember 2020.