Category: Umum

  • Guru besar tidak akan kembali bertugas sebagai guru biasa – Radzi

    Guru besar tidak akan kembali bertugas sebagai guru biasa – Radzi

    GURU besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52 tidak akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah seperti yang didakwa sebelum ini.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ini kerana perkara itu telah diputuskan menerusi perbincangan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

    “Guru-guru besar yang terlibat yang sudah capai gred ini (DG52) jangan risau, cikgu akan kekal sebagai guru besar untuk tempoh yang ada dan perinciannya akan diumum kemudian dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Eksplorasi Alam Lestari III di Pusat Perlindungan Hidupan Liar (PKHL) Sungkai di sini hari ini.

    Pada 8 Sept lepas, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat dilaporkan meminta Radzi mengkaji semula dakwaan bahawa guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52 akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

    Sebelum ini media melaporkan kira-kira 200 guru besar di Semenanjung Malaysia yang akan dinaikkan ke gred DG52 dalam tempoh dua tahun ini buntu memikirkan nasib mereka yang dikatakan akan ‘turun pangkat’ dengan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

    Ditanya mengenai jumlah guru yang terlibat, Radzi berkata data itu sedang dalam proses semakan dan yakin ia tidak akan mengganggu proses kenaikan guru lain.

    “Dalam konteks ini, memandangkan mereka pentadbir sekolah, tidak mengapa kerana ada pentadbir yang bersara dan ada baharu yang dipilih. Perkara ini akan berterusan di peringkat guru besar dan kita akan lihat nanti, insya-Allah tidak akan timbul masalah dalam perkara tersebut,” katanya.

    — BERNAMA

  • Kes wanita berpakaian ihram selesai secara baik – JAIPk

    Kes wanita berpakaian ihram selesai secara baik – JAIPk

    KES wanita yang tular dalam media sosial kerana berpakaian ihram seperti lelaki di Makkah, sudah selesai secara baik melalui penyelesaian luar mahkamah sejak hampir sebulan lalu.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Mohd Yusop Husin, berkata wanita berperwatakan lelaki atau pengkid itu tampil bersama ibu bapanya di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Perak Tengah, Seri Iskandar dan melalui sesi kaunseling.

    “Kes sudah selesai hampir sebulan lalu selepas pihak kita mengambil keterangan serta semua maklumat berkaitan dengan kehadiran bersama ibu serta bapanya. Alhamdulillah mereka berikan kerjasama amat baik.

    “Wanita itu sudah selesai berikan kenyataannya kepada kita. Insya-Allah kita ada cara tersendiri bagaimana hendak menangani kes seumpama ini,” katanya lapor  Harian Metro.

    Ditanya mengenai tindakan susulan terhadap wanita berkenaan, Yusop berkata, JAIPk menggunakan pendekatan tersendiri antaranya membabitkan sesi kaunseling.

    “Tidak semestinya dalam kita mencegah sesuatu, ia perlu bersifat suatu hukuman, tangkap, apatah lagi mendera kerana ada kaedah lain yang boleh kita buat tambahan pula dia dan keluarganya berikan kerjasama sangat baik dengan datang sendiri kepada kita.

    “Mudah-mudahan dia sedar kesilapan yang dilakukannya serta insaf. Pada saya, jika dia tidak insaf dan rasa bersalah, dia takkan datang pun kepada kita sebaliknya mereka datang dengan sukarela,” katanya.

    Mengenai kemungkinan kes seumpamanya berulang, beliau berkata, ia bergantung kepada keseriusan kesalahan berkenaan selain bilangan kesalahan sama yang dilakukan secara berulang.

    “Kadangkala mungkin kesalahan itu buat tanpa sedar dan tanpa niat serta tiada maksud tertentu. Dan mungkin ada kesalahan yang memang sengaja dilakukan di samping dilakukan secara berulang. Umpamanya jika didapati kesalahan itu berulang dan sengaja dilakukan, maka sudah tentu tindakan tegas akan diambil,” katanya.

    Kes itu tular Ogos lalu apabila wanita berkenaan yang berada di Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan didakwa menggunakan visa pelancong, bukan menerusi khidmat agensi bagi mengerjakan umrah.

  • Kerajaan perlu ada mekanisme pantau, nilai perakuan MPN – Pakar

    Kerajaan perlu ada mekanisme pantau, nilai perakuan MPN – Pakar

    KERAJAAN perlu wujudkan mekanisme memantau dan menilai perlaksanaan perakuan yang telah dibawa Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    Pakar Ekonomi Datuk Prof. Dr. Madeline Berma berkata, pihak kerajaan perlu mempercepatkan usaha melaksanakan perakuan yang dibawa MPN.

    “MPN, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah memberi 69 perakuan hasil perbincangan dengan para pakar ekonomi negara, namun hanya 23.2% perakuan telah dilaksanakan.

    “Data ini menunjukkan bahawa pihak Kerajaan perlu mempercepat dan mempertingkatkan lag usaha melaksanakan perakuan yang dibawa oleh MPN,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    MPN pada Selasa mendedahkan walaupun Kabinet telah meluluskan 90.5% perakuan majlis itu namun dari segi pelaksanaannya ia mengecewakan.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada 69 perakuan berkaitan isu-isu utama hanya 16 perakuan atau 23.2% telah selesai dilaksanakan.

    Datuk Prof. Dr. Madeline Berma

    Mengulas mengenai isu pekerja asing, Berma berkata, kerajaan perlu mempercepatkan usaha tersebut di pelbagai sektor, khususnya di sektor pembinaan, pembuatan dan perladangan.

    “Dalam jangka masa pendek, Malaysia masih memerlukan pekerja asing dalam sektor ekonomi tertentu, terutama dalam situasi negara sedang berada dalam fasa pemulihan,” katanya.

    Tambah beliau, MPN sedar bahawa ekonomi negara perlu dipulihkan dengan cepat akibat penutupan ekonomi semasa pandemik.

    Katanya, pemulihan ekonomi negara dalam jangka pendek memerlukan pekerja asing manakala dalam jangka masa panjang, kerajaan perlu menggalakkan perusahaan beralih ke automasi.

    “Kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia juga perlu bekerja sama dengan pihak majikan untuk mempermudah urusan kuota dan proses permohonan membawa pekerja asing masuk, untuk menqurangkan “defisit keyakinan” kepada KSM.

    “Dalam jangkamasa panjang, Kerajaan perlu mengalakkan supaya perusahaan Malaysia beralih ke automasi, untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing,” ujarnya. – Satu Berita

  • [VIDEO] Ular sawa enam meter kekenyangan baham kambing

    [VIDEO] Ular sawa enam meter kekenyangan baham kambing

    SEEKOR ular sawa batik sepanjang enam meter, ditemukan dalam keadaan kekenyangan dalam sebuah kandang kambing di Jalan Cendana 6, FELDA Inas, Kulai pagi tadi.

    Reptilia dianggar seberat 80 kilogram itu menelan seekor kambing betina selepas pemilik ternakan itu mendapati haiwan berkenaan hilang dan tidak dapat dikesan.

    Memetik laporan Berita Harian, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.21 pagi dan menghantar sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai ke lokasi.

    “Tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati ular sepanjang enam meter itu dalam kandang kambing. Penternak mendakwa ibu kambing miliknya hilang, dipercayai dibaham ular sawa berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Jurucakap itu berkata, bomba kemudian menangkap ular itu sebelum dilepaskan di kawasan jauh dari petempatan penduduk.

    Katanya, ini kejadian pertama pihaknya menerima aduan seumpama itu di kawasan FELDA berkenaan.

    “Kejadian ini tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan operasi tamat pada pukul 8.21 pagi,” katanya.

  • KSM bentang laporan status kemasukan pekerja asing kepada MPN dalam masa terdekat

    KSM bentang laporan status kemasukan pekerja asing kepada MPN dalam masa terdekat

    KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) akan membentangkan laporan penuh berhubung status kemasukan pekerja asing ke Malaysia kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam masa terdekat bagi merungkai dakwaan berlaku kelewatan.

    Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata pihaknya sedang mengemas kini laporan terbabit berdasarkan gerak kerja yang telah dilaksanakan oleh kementerian itu.

    “Wakil KSM ada dalam MPN tapi mungkin tidak maklumkan perkembangan (kemasukan pekerja asing) kepada (Pengerusi MPN) Tan Sri (Muhyiddin Yassin). Kita akan bentangkan kepada beliau tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Dialog Berstruktur Tripartite 2022 Wilayah Tengah di sini hari ini.

    Semalam, Muhyiddin menggesa kerajaan agar menyegerakan proses kemasukan pekerja asing bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja terutama dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana serta menyatakan kelewatan kerajaan menangani isu itu akan menjejaskan produktiviti selain merencatkan proses pemulihan negara.

    Saravanan berkata kerajaan telah meluluskan kuota pengambilan pekerja asing berdasarkan permintaan pelbagai sektor di negara ini dan proses seterusnya adalah terletak kepada majikan untuk menyegerakan pengambilan pekerja asing.

    “Kemasukan pekerja asing ini perlu melalui pelbagai proses selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan. KSM telah selesaikan hampir semua tanggungjawab untuk bawa masuk pekerja asing cuma sekarang kita kena kenal pasti di mana punca kelewatan ini,” katanya.

    Beliau berkata KSM telah menandatangani memorandum persefahaman dengan beberapa negara sumber antaranya Bangladesh, Indonesia, Kemboja dan India.

    Saravanan turut mempersoal permintaan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham yang meminta agar lokasi taklimat khas KSM, yang dijadualkan pada 5 Okt ini bagi menjawab dakwaan berhubung kegagalan beliau menangani masalah kemasukan pekerja asing dan kekurangan tenaga kerja, ditukarkan ke Parlimen.

    “Saya jemput mereka datang untuk lihat sendiri apa yang telah saya lakukan bagi menyelesaikan masalah ini. Ia melibatkan kementerian, jadilah datanglah ke kementerian. Saya akan tunjukkan semua bukti yang ada di kementerian,” katanya sambil menambah taklimat itu juga adalah terbuka kepada petugas media.

    Media hari ini melaporkan Ngeh sedia menghadiri taklimat itu namun meminta agar lokasinya ditukarkan ke Parlimen dan dibuka kepada petugas media.

    — BERNAMA

  • Tidak wajib pakai pelitup muka dalam kapal terbang – Khairy

    Tidak wajib pakai pelitup muka dalam kapal terbang – Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang, berkuat kuasa serta-merta pada hari ini.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat dengan menggunakan pendekataan berasaskan risiko dan telah mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang serta beban kes COVID-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini.

    “(Hal ini termasuk) pengudaraan yang baik di dalam kabin; penggunaan penapis partikel udara yang mempunyai kecekapan tinggi (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara; susunan tempat duduk ke hadapan dan kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, Khairy berkata KKM amat menggalakkan agar pemakaian pelitup muka terus diamalkan bagi kumpulan individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema; individu berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung.

    Selain itu, individu yang mengembara bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak juga digalakkan untuk terus memakai pelitup muka di dalam kapal terbang, katanya.

    Khairy memaklumkan kelonggaran pemakaian pelitup muka di kapal terbang itu selaras dengan syor kesihatan dari negara seperti Kesatuan Eropah, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Singapura.

    Menurutnya, keperluan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang bagaimanapun masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh negara yang dikunjungi.

    Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos 2020, namun pada 7 Sept lepas, KKM telah mengumumkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan adalah atas pilihan.

    — BERNAMA

  • Penceroboh tol: Pemandu Proton X50 antara pengguna culas ditahan

    Penceroboh tol: Pemandu Proton X50 antara pengguna culas ditahan

    PEMANDU Proton X50 merupakan antara beberapa kenderaan ditahan kerana menceroboh tol dalam satu operasi dilakukan di Plaza Tol Dato Keramat, Lebuhraya AKLEH Kuala Lumpur malam tadi.

    Menerusi ciapan PROLINTAS AKLEH, pemandu Proton X50 itu dikesan mempunya tunggakan bayaran tol sebanyak RM57.50.

    “Hasil usaha mengesan penceroboh tol yang dijalankan secara kerap, beberapa kenderaan berjaya ditahan di Plaza Tol Dato Keramat, Lebuhraya AKLEH malam tadi.

    “Salah sebuah kenderaan yang ditahan ialah Proton X50 dengan tunggakan bayaran tol sebanyak RM57,50 dan amaun kerugian telah dikembalikan pada masa dan lokasi sama,” ciap PROLINTAS AKLEH.

    Ciapan itu menambah, PROLINTAS terus giat menjalankan operasi mengesan penceroboh tol melalui pasukan operasi lebuh raya.

    Tambahnya, ia bagi menahan pengguna tidak bertanggungjawab agar melangsaikan tunggakan bayaran tol.

  • Bekas pegawai kanan Pos Malaysia didakwa terima suapan RM248,000

    Bekas pegawai kanan Pos Malaysia didakwa terima suapan RM248,000

    SEORANG bekas ketua perancang bahagian pengurusan pengangkutan Pos Malaysia Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka atas 26 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM248,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran oleh syarikat kurier itu kepada sebuah syarikat.

    Hazri Mokhtar, 43, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Mengikut semua pertuduhan, Hazri dituduh secara rasuah menerima untuk dirinya wang melalui pindahan dalam talian melibatkan dua akaun berlainan miliknya daripada syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd.

    Pindahan tersebut didakwa dilakukan melalui lima individu sebagai upah antara RM5,000 dan RM15,000 untuk tertuduh membantu mempercepatkan bayaran Pos Malaysia kepada syarikat tersebut bagi kerja-kerja perkhidmatan tertentu di Sabah dan Sarawak.

    Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Bank Simpanan Nasional, Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini antara  8 Julai 2020 dan 11 Okt 2021. 

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sepanjang kes berjalan.

    Peguam Mohammad Amir Aizat Abd Rani yang mewakili Hazri, merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya kini bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan, menyara tiga anak yang masih bersekolah serta memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan dan  2 Nov untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Bentang semula Bajet 2023 jika PRU-15 dalam masa terdekat

    Bentang semula Bajet 2023 jika PRU-15 dalam masa terdekat

    RANG Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dijadual dibentang Jumaat depan perlu dibentang semula di Parlimen jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

    Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, perkara itu perlu dibuat seandainya bajet yang dibentangkan tidak sempat diluluskan untuk memberi laluan kepada PRU.

    Beliau berkata, kerajaan baharu yang terbentuk selepas PRU perlu membentangkan semula RUU berkenaan, bagi peringkat bacaan kali pertama dan seterusnya.

    “Kalau ada pilihan raya maka akan ada satu kerajaan yang baharu. Kerajaan baharu perlu buat bacaan pertama semula.

    “Sebab ini bajet, ia tidak mengikat kerajaan,” katanya sebagaimana laporan Sinar Harian.

    Azhar menerusi laporan itu bagaimanapun memberitahu, kerajaan baharu juga boleh menggunakan draf RUU sama ketika pembentangan semula ke Dewan Rakyat.

    Ketika ini turut timbul spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan selepas pembentangan Bajet 2023 iaitu sebelum sempat RUU tersebut diluluskan.

    Sementara itu, ketika ditanya adakah pihaknya akan menerima notis sebelum pembubaran Parlimen, Azhar berkata, Dewan Rakyat tidak akan menerima sebarang notis.

    “Pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong.

    “Tapi pada masa sama, Agong juga mempunyai budi bicara untuk menolak nasihat tersebut. Itu undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

  • Persiapan banjir: 96 PPS sedia diaktif di KL, Putrajaya

    Persiapan banjir: 96 PPS sedia diaktif di KL, Putrajaya

    SEBANYAK 96 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung lebih 22,000 mangsa banjir di sekitar ibu negara dan Putrajaya sedia diaktifkan sebagai persiapan menghadapi bencana itu sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ia adalah sebahagian daripada 6,010 PPS di seluruh negara yang berupaya menempatkan lebih 1.6 juta orang yang sedia digerakkan pada musim banjir. 

    “JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) memberi fokus kepada empat perkara iaitu perlindungan, makanan, kaunseling dan pendaftaran di PPS.

    “Dalam soal penyediaan makanan, penggunaan makanan bungkusan ‘retort’ digunakan di PPS sebagai persediaan awal bagi menjamin mutu dan kesegaran serta memastikan sifar bakteria,” katanya ketika berucap merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS di sini hari ini. 

    Seramai 250 peserta terdiri daripada warga kerja JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia , Polis  Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Majlis Perwakilan Penduduk menyertai program itu di Pusat Komuniti Sentul sebagai kesiapsiagaan menghadapi bencana. 

    Rina berkata program itu bertujuan memberi maklumat dan pendedahan berkaitan pengurusan bencana secara lebih cekap, bersepadu dan berkesan kepada petugas terlibat.

    Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia dilaporkan mengenal pasti sejumlah 36 titik panas berisiko banjir di ibu kota antaranya Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Kampung Kassipilay, Kampung Puah dan Kampung Chubadak. 

    Dalam pada itu, Ketua Pengarah JKM Datuk Shaharuddin Abu Sohot ketika ditanya berkenaan persiapan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada musim banjir, berkata pihaknya sedia berunding dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pengendalian lokasi memandangkan PPS dan pusat mengundi lazimnya menggunakan tempat yang sama. 

    “Belum ada pelan yang khusus tapi kita akan berunding kalau tempat diperlukan untuk urusan pilihan raya,” katanya. – BERNAMA