Category: Umum

  • Agong bimbang kesan PRU15 semasa musim tengkujuh – sumber

    Agong bimbang kesan PRU15 semasa musim tengkujuh – sumber

    YANG di-Pertuan Agong bimbang dengan maklumat yang diperoleh pagi ini semasa taklimat mengenai banjir akhir tahun, menurut sumber yang berada di dalam bilik taklimat berkenaan.

    Sumber yang enggan namanya disiarkan berkata, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah diberi taklimat mengenai musim Monsun Timur Laut, yang dijangka bermula bulan depan dan berlarutan sehingga Mac tahun depan.

    Baginda dikatakan menyuarakan kebimbangannya tentang kesan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kepada rakyat sekiranya ia berlangsung ketika musim tengkujuh.

    “Tuanku bimbang pilihan raya diadakan pada musim Monsun Timur Laut yang akan datang, kerana ia akan memberi beban kepada rakyat,” kata sumber yang rapat dengan perkembangan itu.

    “Baginda juga menyuarakan harapan agar pihak berkuasa tempatan bersedia dengan baik, dan mengelakkan isu-isu yang tidak perlu dan kesukaran kepada rakyat,” katanya lapor Malaysiakini.

    Semalam, Al-Sultan Abdullah melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), di mana baginda diberi taklimat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah.

    Menurut pegawai Istana Negara yang hadir di pusat itu, pihak istana meminta taklimat itu supaya Agong dapat menilai persiapan agensi kerajaan untuk menangani banjir akhir tahun.

    Kunjungan baginda ke PRABN diadakan ketika UMNO terus mendesak agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen serta-merta bagi memberi laluan kepada PRU15.

    Seorang pakar perubahan iklim baru-baru ini turut memberi amaran supaya tidak mengadakan PRU sebelum Februari tahun depan, dengan mengatakan bahawa keadaan banjir semasa musim tengkujuh pada akhir tahun mungkin lebih buruk daripada yang berlaku pada 2021.

    Pakar itu turut memuat naik di Facebook dan berkongsi data Jabatan Saliran dan Pengairan yang mengunjurkan hujan puncak bagi negeri pantai timur Kelantan, Terengganu dan Pahang pada Disember.

    Bagaimanapun, semua negeri lain di Semenanjung Malaysia dijangka mengalami hujan puncak pada bulan November.

  • Produk gantian nikotin dikategorikan bukan racun mulai hari ini

    Produk gantian nikotin dikategorikan bukan racun mulai hari ini

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengambil langkah proaktif dengan menjadikan produk gantian nikotin sebagai bukan racun berkuat kuasa hari ini, bagi membantu perokok yang bermotivasi untuk berhenti merokok, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

    Ia dilakukan dengan memberikan pengecualian kepada nikotin daripada kawalan di bawah Akta Racun 1952 bagi produk dalam bentuk koyok atau gula-gula getah yang berdaftar di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984, yang digunakan sebagai bantuan untuk berhenti merokok.

    Khairy dalam kenyataan hari ini berkata menerusi pengecualian itu, akses kepada produk gantian nikotin dalam bentuk berkenaan kini menjadi lebih mudah dan meluas menerusi pembelian di kaunter termasuk di kedai runcit atau serbaneka yang membekalkannya, sama seperti amalan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia.

    “Pengecualian ini juga diharap dapat membantu perokok yang bermotivasi untuk berhenti merokok dalam menangani kesan simptom penarikan. Kebergantungan nikotin melalui sediaan koyok dan gula-gula getah didapati kurang memberikan kesan mudarat berbanding kebergantungan kepada nikotin melalui rokok,” katanya.

    Menurut Khairy buat masa ini perokok yang ingin berhenti merokok mempunyai akses yang terhad kepada produk gantian nikotin memandangkan nikotin dikawal selia di bawah Akta Racun 1952, yang menetapkan pembekalannya hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen atau pengamal perubatan berdaftar.

    Pengecualian tersebut turut selaras dengan pewartaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2022 (P.U.(A) 309/2022) pada 5 Okt.- BERNAMA

  • KPDNHEP teruskan Program Food Bank Malaysia bantu mangsa banjir

    KPDNHEP teruskan Program Food Bank Malaysia bantu mangsa banjir

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan Program Food Bank Malaysia (PFBM) bagi membantu mangsa banjir sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda tidak lama lagi.

    Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata tahun lalu PFBM bencana berkenaan yang dikenali sebagai Bantuan Food Bank Banjir telah membantu sebanyak 25,000 mangsa daripada 6,000 keluarga di Lembah Klang dan Pantai Timur.

    Beliau berkata bagi berdepan bencana terbabit, pihak kementerian telah bersiap siaga dengan menyimpan barangan yang akan diagihkan kepada mangsa banjir di lima Gudang Food Bank Malaysia yang terletak di Selangor, Johor, Melaka, Kelantan dan Sarawak.

    “Kita juga telah menyediakan 12 mesin retort (mesin pek makanan) di 10 lokasi di negara ini iaitu di Kuala Lumpur, Selangor Putrajaya, Pahang, Terengganu, Perak, Sarawak dan Sabah.

    “Antara makanan retort yang akan disumbangkan seperti kari kambing, ayam sambal, ayam percik, nasi goreng, daging rendang dan pelbagai lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Food Bank Siswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Pagoh, hari ini

    Rosol berkata Bantuan Food Bank Banjir yang selepas ini akan dikenali sebagai Bantuan Food Bank Bencana, tidak hanya memfokuskan kepada mangsa banjir semata-mata tetapi bantuan turut akan diberikan kepada apa sahaja bencana.

    Sementara itu, berkenaan Food Bank Siswa pula, katanya, pihaknya telah menerima 28 permohonan daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) termasuk IPT swasta dan politeknik seluruh negara semenjak dilancarkan pada Februari 2019.

    Katanya, pelaksanaan Food Bank Siswa ini dilaksanakan dengan konsep ‘Food Pantry’ yang mana makanan kering akan diagihkan kepada pelajar mengikut jadual dan konsep ‘Food Kitchen’ dengan agihan makanan bermasak kepada pelajar.

    “Sehingga bulan lalu, seramai 20,951 pelajar IPT telah menerima manfaat melalui program ini dan hari ini seramai 500 pelajar UIAM Cawangan Pagoh menjadi penerima terbaharu,” katanya. – BERNAMA

  • Majlis menghadap Agong hanya mesyuarat pra-Kabinet – Istana Negara

    Majlis menghadap Agong hanya mesyuarat pra-Kabinet – Istana Negara

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara hari ini.

    Bagaimanapun menurut kenyataan Istana Negara di Facebook, majlis menghadap itu adalah untuk mesyuarat pra-Kabinet mingguan dan ia aktiviti rutin antara kedua-dua pemimpin bagi membincangkan isu semasa.

    “Mesyuarat pra-kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama YAB Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” menurut catatan itu.

    Sebelum itu, Perdana Menteri ketika ditemui media memaklumkan soal pembubaran Parlimen mungkin dibincangkan dalam majlis menghadap itu sekiranya perihal berkaitan Kabinet diselesaikan awal.

    Perkembangan itu bermakna Bajet 2023 akan dibentangkan petang esok oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, seperti dijadualkan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.

    Sementara itu, Ismail Sabri dilihat meninggalkan Istana Negara kira-kira 4.45 petang selepas kurang sejam menghadap Agong.

    Kira-kira 100 petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di luar pintu masuk Istana Negara seawal pukul 7.30 pagi berikutan spekulasi kuat yang mengatakan Perdana Menteri akan menghadap Agong bagi menasihatkan tarikh pembubaran Parlimen.

    Al-Sultan Abdullah pada sebelah pagi berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat persiapan menghadapi bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Ampang, Selangor.

  • Baby Shima pelik dikecam walau berbuat baik

    Baby Shima pelik dikecam walau berbuat baik

    Penyanyi, Baby Shima pelik apabila sentiasa dikecam warganet meski pun berbuat baik dan ia bukan dirancang untuk menarik perhatian ramai.

    Malah, Baby Shima percaya adalah tidak adil apabila ada selebriti lain berimej lebih seksi menerima pujian, sebaliknya dia pula dikecam hebat.

    “Saya perasan beberapa orang selebriti berpakaian lebih seksi, tayang lurah, payu dara, punggung, malah ada yang nampak seluar dalam, tetapi tak dikecam.

    “Saya tak pernah tayang lurah, payudara, punggung atau seluar dalam, tetapi saya sentiasa menerima maki hamun.

    “Entahlah, apa sahaja saya buat semua salah dan tetap dikecam.

    “Saya beri makan kucing pun kena kecam, jadi takkan buat benda baik tak boleh. Namun, bila saya buat persembahan ramai pula datang tengok,” katanya kepada BH Online.

    Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli menegaskan, dia tidak pernah rancang buat perkongsian kerana ingin menarik perhatian atau mengundang kecaman netizen dalam laman sosial.

    “Dalam media sosial, saya buat apa sahaja yang saya suka. Contohnya, saya suka menari, jadi saya menari.

    “Saya rasa menari biasa sahaja, tetapi netizen tetap kecam.

    “Jadi, bila mula dapat banyak kecaman, orang lain pun turut serta mengecam. Dari situ, saya tak pernah nak reka apa-apa hanya untuk mengundang kecaman.

    “Sebab saya hanya mahu berseronok dengan apa yang saya buat,” katanya.

    Namun, Shima tidak menafikan pernah tertekan dan sedih dengan kritikan diterima.

    Bagaimanapun, kini, katanya, dia menetapkan pendirian untuk terus melakukan perkara disukai.

    “Dahulu, saya pernah rasa penat sebab macam-macam kecaman dihadapi. Namun, bila fikir balik, kalau saya layan kerenah netizen yang bencikan saya, saya lagi sedih.

    “Sebab bila sedih, tiada siapa yang boleh bantu. Jadi, saya hanya buat apa yang saya nak, janji tidak lebih-lebih dan tak kacau orang,” katanya.

    Bagaimanapun, Shima mengakui, dia tetap bersyukur masih menerima doa dan teguran baik dari ustaz bertauliah dan menghargai pesanan dititipkan.

    “Ada ustaz terus menghubungi saya sekiranya mahu menegur. Saya suka sebegitu.

    “Kalau nak tegur, buatlah secara peribadi tanpa memberitahu orang ramai.

    “Sebab apabila orang tegur secara terbuka, saya akan dapat makian dan hinaan.

    “Saya tak kisah orang nak tegur, tetapi jangan secara terbuka. Seperti ustaz bertauliah tegur, saya terima,” katanya.

  • Skandal LCS: Kenyataan Mindef dan BHIC bercanggah

    Skandal LCS: Kenyataan Mindef dan BHIC bercanggah

    KENYATAAN Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) berhubung (redacted) pemadaman beberapa perenggan laporan forensik berkaitan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dilihat bercanggah.

    Memetik laporan Astro Awani, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, BHIC memaklumkan kepada mereka bahawa laporan forensik itu telah diterima daripada Mindef dalam keadaan beberapa perenggan ‘terpadam’.

    Namun, Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Seri Muez Abdul Aziz menegaskan dalam prosiding PAC bahawa MINDEF tidak pernah menerima laporan berkenaan daripada BHIC dan tidak terlibat dalam pemadaman sebahagian Laporan forensik tersebut.

    “PAC dengan ini meminta supaya Mindef mendapat penjelasan daripada BHIC dan mengemukakan ulasan kepada PAC berkenaan dengan apa yang sebenarnya telah berlaku,” kata Kah Woh di Bangunan Parlimen hari ini.

    Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata, PAC telah membangkitkan isu pemadaman sebahagian maklumat dalam Laporan Pengauditan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) oleh JPM / MINDEF.

    Turut dibangkitkan ialah pemadaman sebahagian maklumat Laporan Pengauditan Forensik Kapal LCS yang disediakan BHIC, syarikat pembinaan kapal LCS.

    Mengenali laporan JKSTUPKK, Kah Woh berkata, PAC berpandangan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan memadam sebahagian maklumat di dalamnya.

    “PAC juga tidak puas hati dan tidak menerima penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara berkenaan dengan alasan pemadaman tersebut.
    “PAC menegaskan supaya laporan berkenaan dinyahklasifikasi sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam syor di dalam laporan Jawatankuasa ini dan kabinet seharusnya memberikan arahan sedemikian,” katanya lagi.

    Mengenai kemas kini siasatan terhadap kes tersebut, beliau berkata, PAC juga dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa lima kertas siasatan telah dibuka, iaitu satu pada Februari 2021, dua pada Januari 2022 dan dua lagi masih dalam siasatan.

    Setakat hari ini, jelasnya, satu kes telah dibawa ke mahkamah, manakala satu lagi kertas siasatan telah dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

    “PAC akan memberikan ulasan terhadap semua tujuh tindakan yang sudah diambil Mindef terhadap syor laporan jawatankuasa ini untuk Perolehan Kapal LCS dan akan membentangkan laporan ini di Parlimen kelak,” katanya lagi.

  • Murid digalak kuasai lebih daripada satu bahasa – Radzi

    Murid digalak kuasai lebih daripada satu bahasa – Radzi

    MURID digalakkan menguasai lebih daripada satu bahasa sebagai persediaan untuk mereka berdepan dengan dunia yang penuh persaingan pada masa kini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin. 

    Beliau berkata mereka yang menguasai banyak bahasa dengan baik mempunyai kelebihan berbanding yang lain kerana dalam konteks dunia tanpa sempadan hari ini, setiap bahasa itu memainkan peranan. 

    “Pada masa yang sama kita juga perlu ingat bahawa dunia sekarang ini luas saingannya, sebab itu secara asasnya sesiapa yang menguasai bahasa dengan baik mereka mempunyai kelebihan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan KPM 2022 di sini hari ini.

    Radzi pada masa sama berkata bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga perlu dimartabatkan kerana dalam konteks negara ia adalah untuk pembangunan, manakala dalam konteks kemasyarakatan bahasa kebangsaan diletakkan sebagai tunjang perpaduan. 

    Katanya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu merupakan bahasa asas kepada rakyat negara ini dan sesuatu yang merugikan jika tidak ditingkatkan penguasaannya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), pihaknya sentiasa menekankan berkaitan penggunaan bahasa yang terbaik apabila bercakap tentang komunikasi polisi dan dasar. 

    “Bukan sahaja dalam konteks penulisan, tetapi penyampaian lisan juga kita berikan keutamaan untuk memastikan mesej atau dasar yang dirangka ini bila diterjemah atas penulisan, ia dapat difahami dan dihayati oleh mereka yang membacanya,” katanya. 

    Radzi berkata KPM juga sentiasa menjalankan pelbagai inisiatif seperti aktiviti penulisan dokumen rasmi kerajaan, pertandingan melafazkan pantun, bicara berirama dan nyanyian lagu puisi, selain menjalin kerjasama dengan pihak luar untuk mengasah bakat penulisan dan sayembara puisi dalam kalangan pelajar. – BERNAMA

  • Perlu wujud mekanisme kawalan teratur industri ganja dan ketum

    Perlu wujud mekanisme kawalan teratur industri ganja dan ketum

    SATU bentuk mekanisme kawalan yang teratur perlu diwujudkan terlebih dahulu oleh pihak yang sedang meneliti cadangan perindustrian ganja dan ketum, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata langkah itu adalah bagi melindungi rakyat Malaysia daripada sebarang kemudaratan akibat penyalahgunaan dan penagihan bahan-bahan psikotropik yang terdapat pada kedua-dua tanaman tersebut.

    “Walaupun ada pihak yang mencadangkan supaya dibenarkan pengeksportan ketum ke negara jiran, saya berpandangan bahawa sebarang tanaman untuk tujuan eksport akan menjadi satu tanaman komoditi,” katanya dalam majlis perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan Tahun 2022 bertema “Kongsi Fakta, Sayangi Keluarga Malaysia” anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. Turut hadir Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon.

    Hamzah berkata selain ganja, kawalan terhadap tanaman ketum juga telah dilaksanakan sejak 2003 dengan penyenaraian alkaloid mitragynine yang terdapat dalam tanaman ketum sebagai bahan psikotropik yang memberi kesan khayal ke atas penggunanya di bawah Jadual Ketiga Akta Racun 1952.

    Hamzah berkata kawalan tersebut merangkumi kawalan khas ke atas aktiviti pengimportan, penjualan, pembekalan, pemilikan dan penggunaannya di bawah Peraturan-Peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik) 1989.

    Beliau berkata individu yang melakukan kesalahan di bawah akta itu jika disabitkan kesalahan akan didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.

    Menurutnya Malaysia berdepan cabaran baharu berkaitan perubahan polisi dan dasar dadah di negara serantau contohnya Thailand yang telah mengisytihar untuk mengeluarkan ganja daripada senarai dadah narkotik perundangan pada 9 Jun lepas.

    “Perkembangan ini telah membangkitkan cabaran baharu kepada Malaysia dalam mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, pengedaran, penagihan dan penyalahgunaan dadah di dalam negara,” katanya.

    Hamzah berkata terdapat kebimbangan sebilangan rakyat Malaysia yang melancong ke Thailand akan mudah terdedah kepada produk-produk berasaskan ganja dalam bentuk makanan, minuman dan suplemen yang dijual bebas di negara itu.

    “Tambahan lagi, produk-produk berasaskan ganja dalam bentuk makanan, minuman dan suplemen ini mungkin akan diseludup masuk ke negara kita untuk kepada orang ramai.

    “Kita bimbang ada antara kita yang menjadi ketagih kepada ganja disebabkan pengambilan produk-produk ini tanpa sedar,” katanya.

    Hamzah berkata penyalahgunaan dadah dan bahan telah memberi kesan yang besar terhadap penjagaan kesihatan, perkhidmatan awam, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

    Katanya bagi mengurangkan risiko kepada rakyat, kerajaan telah menyediakan sejumlah peruntukan setiap tahun untuk membendung penyeludupan dan pengedaran dadah, memberi kesedaran dan advokasi kepada masyarakat dan juga untuk merawat pulih tabiat ketagihan dadah.

    “Pada 2021, daripada 123,139 penagih dadah dan bahan yang dikesan di Malaysia, 66 peratus atau 81,112 orang adalah dalam kalangan mereka yang berumur 19-39 tahun.

    “Angka ini menunjukkan bahawa penglibatan golongan ini dalam masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah dan bahan adalah tinggi dan amat membimbangkan,” katanya.

    Hamzah berkata 53 negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyokong satu usul iaitu mengeluarkan ganja dan resin ganja dari Jadual IV Konvensyen 1961 pada 2020 ketika persidangan 63rd Commission on Narcotics Drugs (CND).

    “Walau apa-apapun keputusan persidangan CND tersebut, pendirian Malaysia mengenai status kawalan ke atas ganja dan semua bahan-bahan berkaitan ganja dalam negara masih kekal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Tindakan undang-undang tetap akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah akta ini,” katanya.

    Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini giat menggerakkan Kempen Kita Demi Negara bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga keselamatan dan memelihara ketenteraman negara termasuk juga untuk membendung isu penagihan dan penyalahgunaan dadah dan bahan. – BERNAMA

  • Agenda bubar Parlimen dibincang jika berkesempatan – PM

    Agenda bubar Parlimen dibincang jika berkesempatan – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ‘agenda tambahan’ termasuk berkaitan pembubaran Parlimen mungkin dibincangkan pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini jika berkesempatan.

    Beliau berkata kebiasaannya pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilakukan setiap minggu, sehari sebelum mesyuarat Kabinet bagi membincangkan perihal berkaitan Kabinet.

    Menurutnya, perbincangan itu mungkin mengambil masa yang panjang memandangkan banyak perkara yang akan diterangkan selain beliau menerima pesanan daripada Seri Paduka.

    Semasa ditemui selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di sini hari ini, Ismail Sabri yang ditanya sama ada tarikh pembubaran Parlimen akan dibawa pada majlis menghadap hari ini berkata: “Tak pasti lagi nak bawa atau tak. Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, pasal Kabinet sahaja.”

    Ditanya lagi sama ada terdapat agenda “tambahan atau khusus” semasa menghadap Agong, Ismail Sabri berkata: “Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib tak sempat nak bincang hal lain”.

    Ismail Sabri dijangka menghadap Seri Paduka pada pukul 4 petang ini di Istana Negara. 

    Mengenai tindakan menteri Perikatan Nasional (PN) membantah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, beliau berkata mereka berhak memberikan pandangan masing-masing namun keputusannya tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong. 

    Perdana Menteri berkata pembubaran Parlimen adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh dicabar dan Seri Paduka mempunyai kuasa budi bicara sepenuhnya berdasarkan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan.

    Menurut Perkara 40(2)(b) Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara dalam melaksanakan fungsi iaitu tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen. 

    “Jadi siapa sahaja berhak beri pandangan termasuk Perdana Menteri berhak beri pandangan tetapi kuasa pemutus adalah (Yang di-Pertuan) Agong.

    “Kalau mereka nak tulis surat ke atau nak buat kenyataan akhbar ke, boleh. Itu bebas tapi akhirnya keputusan oleh (Yang di-Pertuan) Agong,” kata beliau.

    Dilaporkan 12 ahli Kabinet dari Bersatu dan PAS tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini kerana bimbang risiko banjir dan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian mereka.

    Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan surat itu ditandatangani oleh semua menteri PN kerana tidak mahu PRU-15 diadakan tahun ini, manakala Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata surat bertarikh 3 Okt itu sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong semalam. – BERNAMA

  • Banjir: Agong titah beri perhatian sistem amaran awal bencana, agihan bantuan

    Banjir: Agong titah beri perhatian sistem amaran awal bencana, agihan bantuan

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan agar Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi perhatian kepada sistem amaran awal bencana sebagai persiapan menghadapi banjir.

    Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya perhatian diberikan terhadap proses pengagihan bantuan kepada rakyat yang terjejas jika berlaku bencana.

    Beliau berkata Seri Paduka bertitah demikian pada sesi sembah taklimat cuaca dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di sini hari ini.

    “Pada taklimat hari ini, JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sembah maklum data, persiapan dan lokasi ‘hotspot’ banjir kepada Seri Paduka dan Tuanku berpuas hati.

    “Tuanku menekankan soal sistem amaran awal dan kita sembah maklum bahawa KASA telah menambahkan fasiliti amaran awal seperti siren dan kemudahan lain terutama kawasan hotspot.

    “Tuanku juga titahkan pelarasan dari segi bantuan di bawah NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dengan agensi lain bagi mengelakkan kekeliruan di samping bantuan sampai kepada mangsa,” kata beliau kepada pemberita.

    Beliau berkata demikian selepas sesi sembah taklimat itu yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat itu yang diadakan secara tertutup bagi mengetahui kesiapsiagan agensi terlibat untuk menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 yang dijangka bermula pertengahan November ini dan berakhir pada Mac 2023.

    Turut hadir Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Ketua Pengarah JPS Datuk Dr Md Nasir Md Noh dan Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah.

    Sembah taklimat selama dua jam itu bermula dengan keadaan cuaca dan persiapan banjir daripada JPS serta MetMalaysia seterusnya berhubung situasi terkini COVID-19 serta kesediaan Kementerian Kesihatan (KKM) menghadapi banjir oleh Khairy. Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melawat pusat kawalan PRABN.

    Sementara itu, Khairy berkata KKM turut mempersembahkan persiapan serta penempatan petugas kesihatan di pusat pemindahan sementara (PPS) serta perancangan sekiranya fasiliti kesihatan awam turut dilanda banjir.

    Ditanya sama ada sesi sembah taklimat itu turut menyentuh soal persiapan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau berkata perbincangan taklimat hanya menjurus kepada persediaan menghadapi musim banjir.

    “Tuanku hanya minta pandangan isu ini secara biasa bukan (kerana) PRU15, sebab memang kita berdepan Monsun Timur Laut, tak ada perbincangan selanjutnya (mengenai PRU15). Tuanku sangat cakna dengan kesejahteraan rakyat,” katanya. – BERNAMA