Category: Umum

  • Neelofa dedah gambar Bilal, ruangan komen dipenuhi doa, pujian

    Neelofa dedah gambar Bilal, ruangan komen dipenuhi doa, pujian

    SELEPAS sekian lama berteka-teki akan wajah Muhammad Bilal Muhammad Harris, pengacara dan pelakon, Neelofa akhirnya memuat naik gambar anak sulungnya itu di akaun Instagram miliknya hari ini.

    Tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan kekecewaan Neelofa semalam akan tindakan segelintir pihak yang berkongsi gambar wajah Bilal di laman sosial tanpa kebenaran.

    “Cinta dan sayang pada anakku Bilal, antara kecintaan tertinggi & teragung ummi di dalam hidup ini. Tiada yang lebih menyayatkan hati selain anak ummi ini disakiti, pasti semua ibu kasih dan cinta kan anak mereka apatah lagi sewaktu mereka kecil.

    “Sungguh ini adalah hadiah yang Allah kurniakan dalam hidup ummi menjadi penyejuk mataku. Syukur yang tiada penghujung padaMu ya Allah.

    “Ummi doakan Bilal menjadi asbab agama tersebar seluruh alam
    Terima kasih wahai Allah Yang Menzahirkan anak ini kepada kami,” tulisnya,”tulisnya.

    Sementara itu, hantaran Neelofa itu mendapat pujian dan doa daripada pengikut termasuk selebriti yang menjadi rakan Instagram beliau.

    Antara selebriti itu ialah Mira Filzah yang menulis:” MashaAllah Bilal sayang. Semoga membesar jadi anak yang soleh.”

    Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza pula menulis:”Subhanallah, anak soleh umi dan abah’.

    Pelakon dan usahawan, Shuib Sepahtu turut tidak ketinggalan meninggalkan komen dengan mendoakan Bilal menjadi anak soleh dunia akhirat.

    Semalam, Neelofa menegaskan, tindakan segelintir pihak berkongsi gambar Bilal dilihat tidak menghormati pendiriannya yang selama ini enggan berkongsi secara terbuka menerusi platform tersebut.

    “Saya sebenarnya saya enggan ulas mengenai perkara ini, saya dah penat nak kongsikan, sebab banyak sangat cerita mengenai Bilal.

    “Cuma itulah, saya akan bawa keluar anak saya seperti anak orang lain, tapi apabila ada pihak nampak saya dengan Bilal, saya minta jangan dedahkan di media sosial.

    “Saya sebagai ibu memang berasa berkecil hati dengan sikap mana-mana pihak yang mendedahkanya terus di media sosial tanpa kebenaran,” katanya.

  • PRU-15 ketika banjir: “Yang berkempen bukan bomba, tapi ahli politik” – Asyraf Wajdi

    PRU-15 ketika banjir: “Yang berkempen bukan bomba, tapi ahli politik” – Asyraf Wajdi

    PEMUDA UMNO berpendapat tiada sebarang isu sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terpaksa berdepan dengan situasi banjir kerana kerajaan dilihat sudah bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan.

    Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perihal pilihan raya juga hanya melibatkan ahli politik.

    Tegas beliau, terdapat sebilangan pihak yang memainkan isu banjir seolah-olah kerajaan tidak wujud.

    “Kerajaan masih ada, yang berkempen bukan pasukan bomba, NADMA, bukan PDRM dan Rela… yang terlibat hanya orang parti politik,” katanya, lapor Astro Awani dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, hari ini.

    Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan (caretaker) sedia ada sudah pasti bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah memberikan gambaran yang jelas.

    Dalam masa sama, Asyraf Wajdi menegaskan, lazimnya, Pemuda UMNO merupakan antara yang terawal turun padang sekiranya berlaku insiden banjir.

    Penglibatan Pemuda UMNO sudah terbukti semasa bencana banjir di Baling, Kedah beberapa bulan lalu, apabila pihaknya antara terawal membantu agensi terlibat.

    Kata Asyraf Wajdi juga, kebiasaannya musim tengkujuh berlaku secara berfasa dan tidak terjadi serentak melibatkan seluruh negara.

  • Ismail Sabri wajar tegur Presiden UMNO

    Ismail Sabri wajar tegur Presiden UMNO

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewajarnya menegur tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa memberi tekanan untuk segera membubarkan Parlimen.

    Ketua Badan Perhubungan Kawasan Perikatan Nasional (PN) Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, ia berikutan tekanan pimpinan UMNO itu jelas disampaikan oleh Ahmad Zahid secara terbuka melalui Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin.

    “Malah beliau (Ismail Sabri) perlu jujur dan mengakui bahawa beliau telah ditekan dan dipaksa melakukan pembubaran ini atas desakan pimpinan parti UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Kamarudin turut menyifatkan kenyataan Ismail Sabri berhubung tindakan 12 menteri PN yang menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak ikhlas, memesong dan palsu.

    “Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri yang telah cuba mengalihkan tanggungjawab membubarkan Parlimen ini pada ketika ini adalah kononnya terletak terhadap menteri-menteri PN kerana mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong.

    “Seluruh negara telah sedia maklum berbulan-bulan sebelum warkah menteri PN dikeluarkan, pimpinan tertinggi UMNO terutama Presidennya, Ahmad Zahid yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah telah bertubi-tubi kali mengarah Ismail Sabri untuk segera membubarkan Parlimen.

    “Warkah menteri-menteri PN tersebut adalah satu reaksi yang perlu terhadap tuntutan yang bersifat mementingkan diri sendiri dari kalangan pimpinan parti UMNO sendiri,” katanya, lapor portal BeritaBersatu.

  • Tuanku Muhriz titah utamakan kepentingan rakyat

    Tuanku Muhriz titah utamakan kepentingan rakyat

    YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan agar kerajaan negeri mengutamakan dahulu isu membabitkan kepentingan rakyat dan persiapan menghadapi banjir sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sehubungan itu kerajaan negeri mengekalkan keputusan tidak membubarkan DUN susulan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Cerita persetujuan untuk kita tangguh pembubaran DUN ini sebenarnya saya sudah mendapat perkenan daripada Tuanku terlebih dulu sebelum keputusan dibuat Majlis Presiden (Pakatan Harapan).

    “Tuanku menitahkan terpulang kepada kerajaan negeri (pembubaran DUN), kita maklumkan nak buat tahun hadapan dan Baginda tiada halangan.

    “Tuanku menitahkan supaya kerajaan negeri fokus hal kepentingan rakyat terutama isu banjir,” katanya dalam laporan Berita Harian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di Seremban.

    Mengulas lanjut, Aminuddin dalam laporan itu berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Tuanku mengenai tempoh akhir mandat penggal PRU-14 sebelum membubarkan DUN pada tahun hadapan.

    “Tuanku sendiri serius tentang isu banjir dan itu yang saya selalu tekankan. Isu rakyat jadi keutamaan terutama masalah banjir,” katanya.

    Sebelum ini, Aminuddin menegaskan bahawa DUN Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan serentak dengan Parlimen, sudah bersedia dari segi jentera pilihan raya untuk menghadapi PRU-15 di kerusi Parlimen.

    Baru-baru ini, Majlis Presiden PH turut mengumumkan bahawa tiga negeri di bawah gabungan itu iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN masing-masing.

    Mengenai kemungkinan akan berlaku perubahan dalam masa terdekat terhadap keputusan berkenaan, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, berkata ia terpulang kepada Majlis Presiden yang menentukannya.

    Menurutnya, pihaknya sudah menyampaikan hasrat itu kepada badan tertinggi gabungan berkenaan berpandukan pelbagai faktor terutama mengenai kesesuaian diadakan PRU-15 ketika ini.

    “Alhamdulillah, tempoh hari Majlis Presiden telah buat keputusan dan kita akur apa juga yang dibuat. Kita di peringkat EXCO negeri juga akur dengan keputusan dan arahan daripada Majlis Presiden.

    “Dalam hal ini kita kena patuh kepada Majlis Presiden. Saya juga dapat maklum balas daripada rakyat yang setuju dengan keputusan ini (tidak bubar DUN sekarang),” tegasnya.

    Berhubung gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya negeri di bawah PH turut membubarkan DUN serentak dengan Parlimen sebagai langkah menjimatkan kos, Aminuddin berkata, penangguhan pembubaran DUN dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor terutama isu banjir.

    “Individu yang menguruskan banjir dan pilihan raya adalah orang yang sama. Pegawai Daerah adalah pengerusi bencana daerah dan dia juga pengurus pilihan raya, semua duduk di pusat mengundi.

    “Kita tidak tahu banjir berlaku dan sekarang pun sudah berlaku (banjir),” katanya.

  • PRU-15: Bilik gerakan SPRM diwujudkan di setiap negeri

    PRU-15: Bilik gerakan SPRM diwujudkan di setiap negeri

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka bilik gerakan di setiap negeri bagi memberi kemudahan kepada orang ramai menyalurkan salah laku yang berlaku sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dalam laporan Berita Harian berkata, amalan membuka bilik gerakan itu sudah dilakukan pada PRU sebelum ini dan akan diselaraskan di Ibu Pejabat SPRM.

    “Susulan pembubaran Parlimen, kita menyediakan bilik gerakan pada PRU-15 dan semuanya diselaraskan di bilik gerakan utama di ibu pejabat bermula sekarang.

    “Jadi, jika ada sebarang isu berkaitan rasuah sepanjang PRU-15 ini, kami akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam lapran itu hari ini.

    Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Antirasuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Nilai, hari ini.

    Sementara itu, Norazlan dalam ucapannya berkata, pembabitan mahasiswa dalam acara debat membolehkan mereka lebih arif dan memahami isu berkaitan rasuah serta usaha dilaksanakan.

    “Sebahagian usul diberikan kepada pendebat sebenarnya antara cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan dan SPRM ke arah penambahbaikan usaha pencegahan rasuah dalam negara ini.

    “Sebahagian usul lagi adalah isu semasa berkaitan rasuah yang sering diperdebatkan dalam kalangan warga maya berasaskan sumber yang tidak tepat dan akhirnya disalah erti, seterusnya mewujudkan persepsi negatif terhadap SPRM dan kerajaan,” katanya.

  • Sultan Nazrin belum beri perkenan pembubaran DUN Perak

    Sultan Nazrin belum beri perkenan pembubaran DUN Perak

    JANGKAAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan hari ini nyata meleset apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah masih belum memberi perkenan berhubung perkara itu.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN yang dikemukakan beliau kepada Sultan Nazrin pada hari ini akan diumumkan selepas baginda berkenan membuat keputusan.

    “Belum dapat perkenan (Sultan Nazrin) lagi untuk DUN dibubarkan,” katanya dalam laporan Harian Metro.

    Saarani dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh berkata, Sultan Nazrin bertitah bahawa baginda mengambil maklum mengenai permohonan yang dikemukakan dan akan membuat pertimbangan sewajarnya.

    “Oleh demikian sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN akan diumumkan selepas Tuanku (Sultan Nazrin) berkenan membuat keputusan,” katanya.

    Ditanya mengenai jangkaan akan dipanggil menghadap semula oleh Sultan Nazrin bagi keputusan permohonan pembubaran DUN itu, Saarani tidak mengetahuinya.

  • Pas tidak gelojoh bubarkan DUN, tidak takut hilang kuasa

    Pas tidak gelojoh bubarkan DUN, tidak takut hilang kuasa

    UMNO tidak seharusnya gopoh membuat cabaran kepada Pas agar membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, serentak dengan pembubaran Parlimen.

    Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamad dalam laporan Berita Harian berkata, Pas lebih memikirkan kepentingan serta kemaslahatan rakyat dan akan membuat keputusan yang sewajarnya.

    Menurut beliau, Pas bukan takut hilang kuasa dan tidak timbul takut untuk menghadapi pilihan raya.

    “Pas Kelantan pasti akan membuat keputusan yang saksama dalam soal ini, termasuk menegaskan pentingnya penyatuan ummah.

    “Tidak timbul soal takut menghadapi pilihan raya, apa lagi jika mempersoalkan dapatan kajian yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan (Datuk Mohd Amar Nik Abdullah) berkaitan penolakan undi anak muda terhadap Barisan Nasional (BN).

    “Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor, seharusnya lebih terbuka untuk menerima dapatan kajian yang dinyatakan itu atau jika ada boleh sahaja untuk “cross check” melalui kajian yang dijalankan sendiri oleh beliau atau dapatan lain yang memuaskan hati,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Noor Hariri, yang mencabar kerajaan negeri supaya membubarkan DUN Kelantan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilangsungkan secara serentak.

    Noor Hariri berkata, parti itu tidak perlu takut untuk mengadakan pilihan raya serentak jika yakin sokongan rakyat terhadap mereka kukuh.

    Mengulas lanjut, Mohamad Kamal berkata, PAS tidak segelojoh pihak yang mengecewakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah, tetapi membuat pertimbangan demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.

  • Kapal OPV 1 APMM tiada masalah

    Kapal OPV 1 APMM tiada masalah

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menafikan dakwaan sebuah kapal peronda baharu miliknya mengalami masalah, berikutan video merakamkan kapal itu berada dalam keadaan condong.

    Ketua Pengarahnya, Zubil Mat Som dalam laporan Free Malaysia Today berkata, Kapal Peronda Luar Pesisir 1 (OPV 1) itu tidak mengalami sebarang masalah semasa dilancarkan.

    “Kapal itu berada dalam keadaan baik,” katanya yang turut berkongsi gambar terbaharu kapal itu yang berlabuh berhampiran limbungan.

    Kapal OPV 1 dilancarkan di limbungan TH Heavy Engineering (THHE), Pelabuhan Klang pada Isnin lalu, tetapi video menunjukkan kapal itu senget tersebar di media sosial.

    Pengurus Besar THHE, Azizul Hanafee Zain berkata, kejadian itu berlaku ketika pekerja memotong kabel besi yang dipasang untuk menyokong struktur di bawah kapal.

    “Apabila kabel di satu bahagian dipotong, ia menyebabkan kapal itu ditarik ke arah lain.

    “Kami memang menjangkakan keadaan ini. Kedudukan kapal kembali normal selepas semua kabel dipotong,” katanya.

    OPV1 dijadualkan menjalani beberapa ujian dan sesi latihan bersama kru selama tiga bulan sebelum ditugaskan ke Beting Patinggi Ali di Sarawak pada awal 2023.

  • KPM komited tingkat kecekapan kepimpinan sekolah – Radzi

    KPM komited tingkat kecekapan kepimpinan sekolah – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan kepimpinan sekolah selari dengan elemen dan nilai murni.

    Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini termasuk penerapan dan amalan ajaran Islam termasuk menekankan kepentingan kepimpinan yang bersih, amanah, prihatin dan pada masa yang sama cekap dan profesional.

    “Ingatlah bahawa generasi yang hebat akan sentiasa melahirkan generasi seterusnya yang lebih hebat.

    “Apabila diberi amanah, laksanakan sebaiknya demi memastikan pendidikan terbaik untuk anak-anak,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

    Pengetua dan Guru Besar sekolah menengah agama merakam gambar kenangan bersama Dr Radzi.

    Pada hantaran itu, beliau berkongsi kehadirannya pada Majlis Perasmian Multaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Agama KPM ke-6 tahun 2022 di Subang Jaya malam tadi.

    Majlis itu turut disertai 400 orang Pengetua dan Guru Besar serta pegawai KPM.

    Mengulas lanjut, Radzi menjelaskan, dalam konteks pengurusan sekolah agama, peranan pengetua dan guru besar amat penting dalam menerajui kepimpinan sekolah dan melancarkan pelaksanaan dasar pendidikan.

    Menurutnya, mereka juga berperanan membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan.

    “Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pengetua dan guru besar SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) dan SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan).

    “Semoga terus istiqamah dan komited dalam membentuk generasi baharu dengan peribadi yang baik dan berilmu pengetahuan,” tambahnya.

  • MPN,MASA anjur Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial esok

    MPN,MASA anjur Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial esok

    MAJLIS  Pemulihan Negara (MPN) bersama Institut Masa Depan Malaysia buat julung kalinya akan menganjurkan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial, di Putrajaya, esok

    MPN dalam satu kenyataan berkata, seminar itu menampilkan barisan pembentang kertas penyelidikan dan moderator terkemuka bagi mengupas isu dan berkongsi hasil penyelidikan mereka dalam seminar ini.

    Perasmian dan ucaptama akan disempurnakan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi MPN merangkap Pengerusi MASA. Seminar akan bermula pada 7.30 pagi hingga 5 petang. Mereka yang mahu menyertai seminar itu boleh mendaftar menerusi pautan: https://bit.ly/SeminarKebangsaanPemulihanNegara