YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan agar kerajaan negeri mengutamakan dahulu isu membabitkan kepentingan rakyat dan persiapan menghadapi banjir sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sehubungan itu kerajaan negeri mengekalkan keputusan tidak membubarkan DUN susulan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Cerita persetujuan untuk kita tangguh pembubaran DUN ini sebenarnya saya sudah mendapat perkenan daripada Tuanku terlebih dulu sebelum keputusan dibuat Majlis Presiden (Pakatan Harapan).

“Tuanku menitahkan terpulang kepada kerajaan negeri (pembubaran DUN), kita maklumkan nak buat tahun hadapan dan Baginda tiada halangan.

“Tuanku menitahkan supaya kerajaan negeri fokus hal kepentingan rakyat terutama isu banjir,” katanya dalam laporan Berita Harian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di Seremban.

Mengulas lanjut, Aminuddin dalam laporan itu berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Tuanku mengenai tempoh akhir mandat penggal PRU-14 sebelum membubarkan DUN pada tahun hadapan.

“Tuanku sendiri serius tentang isu banjir dan itu yang saya selalu tekankan. Isu rakyat jadi keutamaan terutama masalah banjir,” katanya.

Sebelum ini, Aminuddin menegaskan bahawa DUN Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan serentak dengan Parlimen, sudah bersedia dari segi jentera pilihan raya untuk menghadapi PRU-15 di kerusi Parlimen.

Baru-baru ini, Majlis Presiden PH turut mengumumkan bahawa tiga negeri di bawah gabungan itu iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN masing-masing.

Mengenai kemungkinan akan berlaku perubahan dalam masa terdekat terhadap keputusan berkenaan, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, berkata ia terpulang kepada Majlis Presiden yang menentukannya.

Menurutnya, pihaknya sudah menyampaikan hasrat itu kepada badan tertinggi gabungan berkenaan berpandukan pelbagai faktor terutama mengenai kesesuaian diadakan PRU-15 ketika ini.

“Alhamdulillah, tempoh hari Majlis Presiden telah buat keputusan dan kita akur apa juga yang dibuat. Kita di peringkat EXCO negeri juga akur dengan keputusan dan arahan daripada Majlis Presiden.

“Dalam hal ini kita kena patuh kepada Majlis Presiden. Saya juga dapat maklum balas daripada rakyat yang setuju dengan keputusan ini (tidak bubar DUN sekarang),” tegasnya.

Berhubung gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya negeri di bawah PH turut membubarkan DUN serentak dengan Parlimen sebagai langkah menjimatkan kos, Aminuddin berkata, penangguhan pembubaran DUN dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor terutama isu banjir.

“Individu yang menguruskan banjir dan pilihan raya adalah orang yang sama. Pegawai Daerah adalah pengerusi bencana daerah dan dia juga pengurus pilihan raya, semua duduk di pusat mengundi.

“Kita tidak tahu banjir berlaku dan sekarang pun sudah berlaku (banjir),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here