Category: Umum

  • Aiman Tino masuk hospital, alami kesukaran bernafas

    Aiman Tino masuk hospital, alami kesukaran bernafas

    PENYANYI Aiman Tino dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Setapak di Kuala Lumpur, semalam selepas mengalami kesukaran bernafas.

    Ibu Aiman, Hazelina Mat Jalil ketika diminta mengulas perkembangan anaknya berkata, Aiman mengalami gejala batuk berpanjangan.

    Aiman dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara

    “Risau dengan keadaannya itu, kami bawa Aiman ke hospital untuk buat pemeriksaan.

    “Aiman kemudian ditahan wad untuk pemeriksaan lanjut. Pemantauan juga dibuat bagi memastikan sama ada berlaku jangkitan kuman pada paru-parunya,” katanya kepada BH Online.

    Hazelina dalam laporan itu berkata, anaknya dikhuatiri terkena serangan asma walaupun dia tidak mempunyai sejarah penyakit berkenaan.

    “Saya pernah nasihatkan Aiman supaya kurangkan atau berhenti daripada menghisap vape kerana bimbang kesihatannya terganggu.

    “Alhamdulillah, Aiman kini stabil dan perlu berehat serta menggunakan tabung oksigen untuk menstabilkan pernafasan,” katanya.

    Sebagai ibu, dia mengakui amat risau dengan keadaan yang menimpa anaknya itu.

    Justeru, Hazelina berharap peminat dapat mendoakan kesejehteraan Aiman dan diberi kesembuhan segera.

    “Hati ibu mana yang tidak risau setiap kali anak-anak sakit. Saya sentiasa anggap anak-anak masih kecil apabila mereka sakit.

    “Sebab itu, saya lebih suka minta mereka segera dapatkan rawatan supaya doktor dapat memantau kesihatan mereka,” katanya.

    Berita mengenai Aiman dikongsi Hazelina menerusi hantaran Facebook (FB) kira-kira sejam lalu.

    Melalui perkongsian itu, Hazelina memuat naik foto penyanyi Ku Rela Dibenci itu sedang terbaring di katil dengan menggunakan alat bantuan pernafasan.

    Tertera di foto itu adalah kapsyen ringkas berbunyi: “Mak doakan Aiman Cepat Sembuh.”

  • Awak keluar dulu, ungkapan terakhir isteri kepada suami

    Awak keluar dulu, ungkapan terakhir isteri kepada suami

    “Awak keluar dulu,” itu ungkapan terakhir Nurul Nazihah Kamalul Arifin kepada suaminya sejurus kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Sedenak, malam tadi.

    Redzuan Jamil, 28, berkata, dia yang berjaya ditarik keluar orang ramai melalui tingkap bahagian penumpang belakang itu kemudian cuba menyelamatkan isterinya.

    “Namun cubaan saya menyelamatkan isteri dengan memecahkan cermin hadapan kereta dan pintu penumpang hadapan tidak berjaya malah isteri tersepit di tempat duduk hadapan.

    “Ketika itu tangki minyak kereta tiba-tiba meletup menyebabkan orang ramai menarik saya kerana api terlalu marak.

    “Walaupun api marak namun saya tidak merasa bahang panas api malah isteri juga tidak memanggil nama saya apatah lagi meraung selepas dia meminta saya keluar menyelamatkan diri dahulu,” katanya, lapor Harian Metro.

    Malam tadi tular video menyayat hati seorang suami yang menjerit dan merintih memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang sedang marak terbakar.

    Video berdurasi satu minit 37 saat itu memperlihatkan lelaki itu memanggil isterinya dan menyatakan tidak akan meninggalkan isterinya.

    Dalam kemalangan ngeri kira-kira pukul 7.45 malam tadi itu, dua individu maut dalam kenderaan yang marak terbakar selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan babitkan lima kenderaan di lebuh raya berkenaan.

    Identiti seorang lagi mangsa yang maut dari kereta berasingan masih belum dapat dikenal pasti.

    Redzuan yang mengalami kesan melecur di muka ketika menceritakan detik-detik kemalangan berlaku berkata, semuanya bermula selepas berlaku kesesakan di lebuh raya berikutan kemalangan yang berlaku berhampiran kawasan itu.

    “Ketika itu semua kenderaan berhenti kerana berlaku kesesakan. Namun tiba-tiba berlaku impak rempuhan dari belakang yang menyebabkan kereta saya serta dua lagi dilanggar dengan kuat.

    “Selepas beberapa ketika barulah saya menyedari sebuah lori lima tan merempuh kereta dinaiki kami sebelum orang ramai menarik saya keluar dari kereta,” katanya.

    Redzuan yang juga ejen insurans berkata, ketika kejadian malang itu, dia dan isterinya baru selesai bertemu pelanggan di Kluang.

    Katanya, beliau dan isteri dalam perjalanan ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri bagi menyaksikan JDT menentang Sabah FC.

    “Namun saya tidak menyangka insiden memilukan ini pula menimpa kami,” katanya.

    Redzuan berkata, dia sering membawa isterinya ke mana sahaja termasuk ketika urusan bertemu pelanggan.

    “Kami memang akan berdua ke mana sahaja sejak berkahwin tiga tahun lalu termasuk atas urusan kerja.

    “Saya tidak menyangka isteri akhirnya pergi dengan cara begini,” katanya tidak dapat menahan sebak.

  • Senarai cadangan calon Srikandi BERSATU PRU-15 diserah minggu depan

    Senarai cadangan calon Srikandi BERSATU PRU-15 diserah minggu depan

    SENARAI nama calon Srikandi BERSATU untuk dipertimbangkan bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, minggu depan.

    Mereka yang disenaraikan adalah dalam kalangan profesional dan berkaliber, bukan setakat ahli Srikandi yang berusia lebih 35 tahun, malah dalam kalangan pemimpin Srikandi Muda yang berusia kurang 35 tahun.

    Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau diamanahkan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun untuk melengkapkan senarai nama sebelum dibincangkan dalam kalangan pemimpin tertinggi sayap berkenaan.

    “Kami akan bincang dan bawa kepada Presiden BERSATU antara esok hingga hujung minggu untuk dimuktamadkan. Oleh sebab ada beberapa negeri tidak bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi nama itu setakat babit negeri yang bubar DUN, selain peringkat Parlimen,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mas Ermieyati yang juga penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, berkata, calon Srikandi bukan setakat profesional, malah komited untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat sama ada di DUN atau Parlimen, selain sumbangan kepada usaha BERSATU untuk menang PRU-15.

    Enggan mendedahkan jumlah nama itu, beliau berkata, meskipun baharu berusia enam tahun, BERSATU komited untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti melalui konsep perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum tanpa mengabaikan kepentingan Bumiputera.

    “Saya yakin calon Srikandi akan turut diberikan keyakinan oleh pengundi untuk mewakili rakyat di DUN dan Parlimen kerana selama ini pun, wakil rakyat BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) sudah membuktikan kemampuan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu disebut-sebut sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU15 tidak lama lagi.

    Sebelum ini, Mas Ermieyati dilaporkan berkata, jika diberikan keyakinan untuk memikul tugas berkenaan, beliau sedia menghadapi cabaran calon lawan, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang disebut-sebut bakal mewakili BN di kerusi Parlimen itu.

  • Kerajaan ada wang laksana Bajet 2023 – PM

    Kerajaan ada wang laksana Bajet 2023 – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kerajaan mempunyai wang bagi melaksanakan Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Okt lepas, yang merupakan belanjawan terbesar pernah disediakan melibatkan peruntukan RM372.3 bilion. 

    “Apabila kita mengumumkan bajet dalam Parlimen, itu bermaksud kita telah mempunyai duit untuk melaksanakan setiap yang dijanjikan…sudah ada duit cuma (bajet) belum lulus lagi. 

    “Kalau mahu bajet yang cantik sebegini dilaksanakan, undilah kita dan barulah (bajet) boleh dibentang semula dan diluluskan,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

    Hari ini, beberapa media melaporkan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kemampuan kerajaan melaksanakan inti pati Bajet 2023 kerana mendakwa antara lain kerajaan kekurangan dana dan kurang kecekapan untuk melaksanakan projek.

    Ismail Sabri juga menegaskan bajet itu, yang dibuat dengan mencakupi semua lapisan masyarakat, menyasarkan manfaat kepada akar umbi dan bukannya hanya ‘taikun’ seperti dakwaan sesetengah pihak. 

    Perdana Menteri berkata perbelanjaan pembangunan antaranya melibatkan infrastruktur luar bandar seperti jalan raya dan jambatan, turut membabitkan kontraktor kecil, dengan mengambil contoh projek kecil dan sederhana melibatkan peruntukan RM3.7 bilion, akan memanfaatkan kira-kira 5,000 kontraktor kelas G1 hingga G4. 

    “Tambahan pula projek yang dilakukan adalah untuk kebaikan rakyat. Infrastruktur luar bandar, siapa yang mendapat manfaatnya? Setiap projek pembangunan faedah adalah kepada kepada akar umbi termasuk semua masyarakat Orang Asli. 

    “Untuk kesihatan, saya mengarahkan supaya menambah peruntukan kesihatan kepada Sabah dan Sarawak kerana klinik desanya terlalu daif, begitu juga untuk aspek pendidikan, turut ditambah di Sabah dan Sarawak kerana sekolahnya begitu daif. Ini bukan soal kontraktor besar tetapi untuk kebaikan rakyat,” katanya. 

    Ismail Sabri juga menempelak tindakan pembangkang yang gagal menunaikan manifesto yang dicanang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga akhirnya menyebabkan Dr Mahathir, sebagai Perdana Menteri ketika itu, mengeluarkan kenyataan manifesto bukan kitab suci yang wajib ditunaikan. – BERNAMA

  • Musa Hassan sahkan tidak bertanding PRU-15

    Musa Hassan sahkan tidak bertanding PRU-15

    BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan beliau tidak akan bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) seperti dihebohkan sebelum ini.

    Beliau menegaskan, sehingga hari ini juga, tidak ada mana-mana parti politik yang membuat tawaran untuk beliau tampil sebagai calon mewakili parti mereka.

    Walaupun dilihat menghadiri majlis anjuran BERSATU sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara itu berkata, beliau tidak akan terbabit dengan mana-mana parti politik.

    “Seandainya ada tawaran daripada mana-mana parti sekalipun, saya tidak teragak-agak untuk menolak. Saya tidak bemusuh dengan sesiapa dan sehingga kini saya tidak terlibat dengan mana-mana parti politik,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Musa menjelaskan, untuk berada dalam arena politik memerlukan sokongan ramai sekiranya inginkan perubahan.

    “Kalau kita nak masuk politik, susah untuk kita betulkan sesuatu. Kalau jadi ahli politik dan kita sahaja yang bersuara, orang lain diam, susah juga. Walau apapun, kalau ada tawaran saya akan tolak,” katanya.

    Beliau bagaimanapun tidak akan menolak tawaran untuk mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau kumpulan tertentu dengan teras perjuangan membela nasib rakyat.

  • UMNO Padang Terap lulus usul Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri

    UMNO Padang Terap lulus usul Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri

    UMNO Bahagian Padang Terap meluluskan usul tanpa berbelah bahagi menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus menerajui kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri.

    Ketuanya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UMNO bahagian itu turut meluluskan usul memberi kepercayaan kepada Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan parti menyusun strategi memperkukuhkan UMNO.

    “Alhamdulillah, UMNO Padang Terap mencapai kata sepakat itu dengan ketetapan tersebut yang menandakan keyakinan teguh seluruh kepimpinan Bahagian Padang Terap untuk melihat UMNO terus diperkukuhkan.

    “Kepimpinan dan seluruh ahli-ahli UMNO Padang Terap juga mencapai kata putus itu selaras dengan situasi semasa iaitu untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal menjelang tidak lama lagi”, katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Mengulas lanjut Mahdzir berkata, UMNO Bahagian itu juga meluluskan usul bertegas dalam menangkis sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang boleh mengundang campur tangan asing dalam hal ehwal negara ini.

    “UMNO Padang Terap berpandangan, walau di dalam apa jua bentuk dan alasan sekalipun, kita tidak boleh membiarkan campur tangan asing dalam urusan negara kerana kita mampu membentuk negara kita berdasarkan acuan dan hala tuju kita sendiri,” kata beliau.

    Selain itu, UMNO Padang Terap juga, jelas Mahdzir, meluluskan usul memerangi sebarang bentuk penyebaran dan dakyah yang tidak bertanggungjawab serta penyalahgunaan media sosial, cetak dan elektronik sebagai medan penyebar fitnah, propaganda dan adu domba.

    Turut diluluskan, usul supaya bersiapsiaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan penuh iltizam, cekal dan sehati sejiwa tanpa sebarang prasangka di semua peringkat kepimpinan dan ahli sama ada di pusat, negeri, bahagian dan cawangan.

    “Berpaksikan kebenaran, kesungguhan serta kejujuran dalam memperjuang dan membela rakyat, dengan rekod keupayaan terdahulu dalam menerajui kepimpinan negara, persidangan UMNO Bahagian Padang Terap pada kali ini mengambil ketetapan menyokong penuh gandingan kepimpinan utama negara dan parti yang menjiwai denyut nadi rakyat dan suara hati parti keramat ini di bawah satu bumbung Keluarga Malaysia,” kata Mahdzir lagi.

  • Kementerian Pendidikan akan perkenal aplikasi pembelajaran bahasa Inggeris – Radzi

    Kementerian Pendidikan akan perkenal aplikasi pembelajaran bahasa Inggeris – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan sentiasa melakukan transformasi dalam usaha menambahbaik pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran para pelajar, termasuk menggunakan teknologi digital dalam pendidikan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, antara transformasi yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi adalah dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

    “Dalam tempoh terdekat, kementerian akan melancarkan satu program bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak yang memudahkan para guru melihat setakat mana pelajar boleh menguasai bahasa tersebut, khususnya dalam percakapan dan sebutan perkataan,” katanya dalam paparan video yang disiarkan di laman Facebook miliknya hari ini.

    Radzi berkata, program itu yang akan dilancarkan itu dikenali sebagai Microsoft Reading Progress yang mana murid-murid yang menggunakan aplikasi itu boleh membaca ayat-ayat yanhg disediakan oleh guru.

    “Sistem akan menilai bacaan tersebut dari konteks sebutan dan seterusnya membantu murid-murid membuat sebutan yahg lebih tepat dan sekaligus membantu mereka diperkenalkan dengan perkataan-perkataan baharu,” tambahnya. – UtusanTV

  • 28 tan daging kerbau sejuk beku dari India dirampas

    28 tan daging kerbau sejuk beku dari India dirampas

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas sebanyak 28 tan daging kerbau sejuk beku dari India bernilai RM270,000 di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) semalam.

    Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa jabatan berkenaan yang mendapati bahan dagangan yang diisi di dalam 1,167 kotak itu menggunakan maklumat yang mengelirukan.

    Jelas beliau, siasatan lanjut mendapati maklumat pada sijil kesihatan dan sijil halal yang dikeluarkan dari negara pengeksport adalah tidak tepat dan berbeza.

    “Sehubungan itu, barangan dagangan terbabit ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Muhammad Ikram, kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana memberikan maklumat mengelirukan dalam pengimportan di bawah akta terbabit.

    Sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Tambahnya, anggota penguat kuasa Maqis akan terus melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan produk yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

    “Tindakan itu bagi memastikan keluaran pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

  • Pemberian bantuan RMT tahun ini tidak terjejas – Radzi

    Pemberian bantuan RMT tahun ini tidak terjejas – Radzi

    PEMBERIAN bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang telah dinaikkan kepada RM3.50 dan RM4 mulai bulan ini tidak akan terjejas walaupun Bajet 2023 belum diluluskan Dewan Rakyat.

    Jaminan itu disuarakan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang mengatakan kenaikan kadar itu tidak menggunakan peruntukan untuk tahun hadapan.

    Sebaliknya, Radzi menjelaskan, ia menggunakan dana sedia ada untuk tahun ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi meneliti kaedah pelaksanaan terbaik untuk tahun ini.

    “Kita sedang kaji dan melihat di peringkat kementerian tentang apakah pendekatan yang kita akan gunakan.Apabila kita akan laksanakan untuk tahun ini, ada peruntukan telah disediakan.

    “Secara umumnya, kita sedang berbincang (jumlah) peruntukan tersebut. Biasanya bila diumumkan itu telah ada peruntukan untuk perkara tersebut dan akan duduk bincang semula dengan Kementerian Kewangan apakah kaedah pelaksanaan untuk tahun ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas membuat pelepasan peserta Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat ketiga Putrajaya – Genting Highlands di Dataran Putrajaya, hari ini.

    Minggu lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 mengumumkan kenaikan kadar bantuan RMT buat semua penerima berkuat kuasa bulan ini.

    Menurut beliau, kadar RMT dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk murid-murid di Semenanjung.

    Kadar RMT untuk murid-murid di Sabah, Sarawak dan Labuan pula akan ditambah daripada RM3 kepada RM4.

    Sejumlah RM777 juta disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada 2020.

    Lebih 800,000 murid dan 7,300 pengusaha makanan serta pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan bantuan RMT itu.

  • Wujudkan sistem bersepadu, pastikan tiada tercicir daripada terima bantuan

    Wujudkan sistem bersepadu, pastikan tiada tercicir daripada terima bantuan

    SATU sistem bersepadu untuk memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat perlu dibangunkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau  yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, langkah itu bagi memastikan tiada pihak yang tercicir daripada menerima bantuan.

    “Hari ini, hampir semua agensi dan pihak kementerian masing-masing menyediakan bantuan, namun kita dapati masih ada individu atau kelompok yang tertinggal atau tercicir. Pada masa sama, ada pula yang menerima bantuan daripada dua tiga agensi berlainan.

    “Dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan diagihkan secara telus dan cekap dengan seberapa cepat yang mungkin kepada golongan sasar,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial anjuran Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) di Putrajaya hari ini.

    Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob; Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin; ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan ahli akademik.

    Mengulas mengenai sistem bersepadu itu, Muhyiddin berkata, mekanisme tersebut akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang layak memerlukan bantuan.

    Katanya, langkah itu boleh mengurangkan karenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kewangan negara.

    “Sebagai contoh, Abu mempunyai tiga orang anak serta isteri yang tidak bekerja. Jika beliau diberhentikan kerja, maka sistem ini secara automatik akan dapat mengesan status Abu melalui notifikasi yang dicerap daripada data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    “Status Abu sebagai seorang yang hilang pekerjaan akan melayakkan beliau menerima bantuan jangka pendek selama beliau tidak bekerja, maksimum tiga bulan untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga mendapat pekerjaan baharu,” katanya.

    Muhyiddin berkata, sistem bersepadu itu juga boleh berfungsi menyusun semula segala bentuk manfaat yang layak diterima oleh rakyat sejak dari lahir sehingga akhir hayat menerusi data rentas agensi.

    Selain itu, katanya, mengambil kira kemelut yang sedang dihadapi rakyat, usaha menangani jurang ekonomi dan kemiskinan perlu menekankan aspek keterangkuman dalam strategi pemulihan negara.

    Jelas beliau, Langkah itu penting untuk meningkatkan momentum pemulihan negara ke suatu tahap yang lebih tinggi.

    Katanya, agenda pemulihan yang bersifat inklusif akan dapat memastikan tiada golongan terpinggir, khususnya masyarakat pedalaman, orang asal serta pribumi Sabah dan Sarawak.

    “Kita mahu mereka sama-sama menikmati hasil kemakmuran negara seperti yang dihasratkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama atau WKB2030.

    “Saya berharap Seminar Kebangsaan ini dapat menjadi wadah penting dalam menggagaskan idea yang bernas dan praktikal untuk menghasilkan strategi ampuh pemulihan negara yang menyeluruh, agar kita dapat mencapai tahap lebih baik daripada sebelum terjadinya pandemik,” katanya.