Category: Umum

  • PN akan usaha pastikan keperluan Orang Asli dipenuhi

    PN akan usaha pastikan keperluan Orang Asli dipenuhi

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Lenggong, Muhammad Rifa’at Razman dan calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering, Mohammad Husairi Ariffin menjadi sandaran penduduk menunaikan keperluan mereka.

    Kedaifan rutin hidup dan urusan harian yang sukar akibat ketiadaan kemudahan infrastruktur asas melibatkan jalan tar dan bekalan air bersih serta rumah kediaman diluahkan kepada mereka oleh penduduk Kampung Melila.

    “Itu yang sangat-sangat kami perlukan, kerana itu adalah kemudahan asas bagi penduduk. Kami sudah muak dengan janji-janji mereka (parti lain). Setiap kali PRU, janji nak buat jalan tar. Sampai hari ini janji tinggal janji,” luah wakil penduduk yang ditemui.

    Muhammad Rifa’at dan Mohammad Husairi berkunjung dalam rangka memenuhi undangan ke perkampungan Orang Asal tersebut di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala, Gerik kelmarin.

    Penduduk terbabit yang enggan namanya disiarkan berkata, sejak merdeka hingga hari ini, jalan perhubungan antara penempatan mereka dengan jalan raya sebahagiannya masih lagi jalan tanah merah.

    Ketua kepada lebih 30 keluarga kampung itu, Bayan Buyeng turut mengakui kemudahan-kemudahan paling asas seperti itu sepatutnya sudah lama diselesaikan oleh pemerintah yang berkuasa lebih 60 tahun.

    Terdahulu sempena kunjungan itu, Muhammad Rif’aat berkata, terlalu lama Barisan Nasional (BN) diberi peluang memerintah, tetapi pembangunan di kampung-kampung Orang Asal terlalu jauh ketinggalan.

    Dimaklumkan, jalan keluar masuk di situ bukan sahaja masih jalan tanah merah yang sangat teruk berlopak-lopak dan berselut, tetapi juga sering bertakung air terutama pada musim hujan seperti sekarang ini.

    “Kami masuk melalui jalan utama itu, kami merasakan betapa sukarnya bagi orang-orang kampung ini dan seluruh penduduk di RPS Dala ini hendak keluar masuk menggunakan jalan itu.

    “Oleh itu, kalau kita ada kuasa, kita akan cuba usahakan supaya dibina jalan tar untuk kemudahan penduduk,” kata Bayan, lapor Harakahdaily.

    Sementara itu, Husairi berkata, sekiranya PN diberi peluang memerintah, tiga perkara sangat penting untuk dibangunkan iaitu jalan tar; pembangunan Tanah untuk generasi muda Orang Asli dan pendidikan yang lebih sempurna untuk kanak-kanak, terutama Pendidikan Islam.

  • Ramai Melayu akan tolak BN kerana Zahid, dakwa Hamzah

    Ramai Melayu akan tolak BN kerana Zahid, dakwa Hamzah

    DATUK Seri Hamzah Zainudin mendakwa kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kali ini, sama seperti apa yang dialami oleh BN pada pilihan raya sebelum ini apabila gabungan itu terpalit dengan skandal 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak.

    Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ramai orang Melayu membuat keputusan untuk menolak BN kerana presiden UMNO tersebut.

    Menurut laporan Malaysiakini, menteri dalam negeri itu berkata pengundi bimbang tentang siapa yang akan menduduki jawatan tertinggi untuk memimpin negara untuk lima tahun akan datang dan tidak akan menyokong seseorang yang akan “mencemarkan” imej Malaysia.

    “Sekarang ini ramai Melayu fikirkan bahawa kalau dia undi BN – apakah undi beri satu kuasa kepada Zahid Hamidi untuk menentukan masa depan negara?

    “Rakyat keseluruhan negara, khususnya orang Melayu kata, ‘kami tak mahu ini. Majoriti rakyat tidak mahu perkara ini berlaku.

    “Tetapi ahli UMNO tentulah, presiden suruh buat apa pun buat. Tetapi kita bercakap tentang Melayu keseluruhan dan atas pagar, saya fikir mereka sudah menyedari bahawa yang penting hari ini bukan mengenai parti, tetapi siapa yang kita mahu, nilai moralnya, yang penting, sikap kepimpinan yang ada,” katanya.

    Pada PRU kali ini, kedua-dua PN dan PH memainkan naratif bahawa Zahid sedang mengintai jawatan perdana walaupun BN menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menterinya.

    Seteru BN juga mendakwa bahawa undi untuk gabungan itu diterjemahkan kepada undi untuk Zahid menjadi Perdana Menteri.

    Sementara itu, Hamzah yang dijangka berjaya mempertahankan kerusi Larut di Perak yakin gabungannya mampu menawan Perlis dan menakluki bahagian utara Semenanjung serta menjadikannya kubu kuat PN.

    “Kita sudah dapat Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dalam pilihan raya ini, kita akan ambil alih Perlis. Saya cukup yakin,” katanya.

    Bagaimanapun, dia mengakui menawan kubu DAP di Pulau Pinang adalah satu tugas yang sukar bagi gabungan pimpinan Muhyiddin Yassin yang terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan SAPP.

  • Peja mengaku beli dua bot ketika PKP

    Peja mengaku beli dua bot ketika PKP

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengaku membeli dua buah bot seperti yang didedahkan sehingga tular di media sosial baru-baru ini.

    Tangkap layar bot dibeli Ahmad Faizal

    Ahmad Faizal berkata, kedua-dua bot itu dibeli dengan harga RM50,000 dan RM80,000 daripada seorang pelayar Eropah yang terkandas di Malaysia ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Beliau yang juga calon kerusi Parlimen Tambun menjelaskan, bot itu kemudiannya diubah suai untuk tujuan pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah.

    “Macam mana saya dapat bot ini… pada waktu COVID-19 ada seorang pelayar ini dia datang dari Eropah belayar menggunakan bot tersebut dan sampai ke Langkawi.

    “Apabila kita mengadakan PKP beliau mungkin mendapat tekanan hidup kerana bersendirian di sini, maka membuat keputusan untuk meninggalkan negara ini sebaik kita membuka sempadan.

    “Ketika itulah dia mencari pembeli kepada bot yang dijual dengan harga yang begitu murah,” katanya menerusi rakaman video berdurasi 2:32 minit di dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Beliau membuat hantaran itu sebagai mengulas mengenai dakwaan pembelian kapal layar yang tular di media sosial sebelum ini.

    Ahmad Faizal berkata, hasil pembelian itu, bot berkenaan dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan di Pulau Langkawi.

    Beliau berpendapat, pembelian bot itu tidak salah dan telah meminta rakannya yang menjalankan perniagaan bot untuk menguruskannya.

    “Yang penting juga dapat untuk anak-anak Melayu di Langkawi dapat bekerja sebagai kapten dan kru. Terima kasihlah kepada siapa yang telah cuba mempromosikan apa yang saya ada di Langkawi itu,” kata Ahmad Faizal lagi lapor Astro Awani.

  • Bantu pengundi muda tingkat taraf hidup – Fakrunizam

    Bantu pengundi muda tingkat taraf hidup – Fakrunizam

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Raub, Datuk Mohd Fakrunizam Ibrahim berpandangan bahawa perubahan perlu dilakukan bagi membantu pengundi muda untuk berdikari serta menaik taraf kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

    Beliau berkata, golongan pengundi muda pada masa kini perlu disediakan platform untuk peluang pendidikan, pekerjaan dan tempat tinggal supaya mereka dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

    “Mana yang pandai, ada rezeki mereka boleh sambung pelajaran ke tempat yang tinggi, masuk universiti dan dapat biasiswa atau PTPTN.

    “Bagi yang kurang berkemampuan, tidak boleh sambung belajar, mereka hendak bekerja tetapi nak kerja apa?

    “Ini yang kita kena fikirkan. Polisi-polisi kerajaan untuk pembentukan kerajaan baharu ini perlu diubah,” soalnya.

    Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live yang bertajuk ‘Jangan Harap Pengundi Muda’ semalam.

    Program yang dihoskan Fahiz Ariff itu turut menampilkan calon Gerakan Tanah Air (GTA) Parlimen Lipis, Aishaton Abu Bakar dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Parlimen Sungai Buloh, Ahmad Jufliz Faiza.

    Selain itu, mengulas mengenai isu tempat tinggal pula, ulas Mohd Fakrunizam, ramai anak muda yang sudah berkahwin masih lagi tinggal bersama keluarga mereka.

    “Kita nak kalau boleh anak muda ini boleh berdikari dan bekerja. Bila bekerja, mereka boleh membina keluarga, berkahwin dan membeli rumah.

    “Ayat yang paling mudah untuk anak muda ini ialah kita kena mencari jalan membantu memberi mereka pancing, bukannya ikan.

    “Beri pancing supaya boleh memancing ikan dan supaya mereka boleh meneruskan kehidupan,” katanya lapor portal BeritaBersatu.

  • PRU-15: Agensi dengan peranan bertindan wajar disatukan

    PRU-15: Agensi dengan peranan bertindan wajar disatukan

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Shah Alam, Dr Afif Bahardin mencadangkan beberapa dasar perlu dilihat dan diperkemas semula dalam usaha melahirkan syarikat-syarikat tempatan yang mampu mencapai status ‘unicorn’.

    Menurut beliau, agensi-agensi kerajaan yang mempunyai peranan bertindan wajar disatukan supaya sumber dapat disepadukan untuk tujuan tersebut.

    Beliau berkata, selagi mana dasar-dasar berkaitan tidak diubah, kita tidak akan dapat mencapai matlamat untuk menghasilkan lebih banyak usahawan yang hebat-hebat di masa mendatang.

    “Kerana itu agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan beberapa agensi lain yang mungkin bertindan peranannya supaya dapat digabungkan.

    “Saya lihat perlu ada penyusunan semula, bersesuaian dengan perubahan global, dengan norma baharu yang kita hadapi selepas COVID-19,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

    Afif sehubungan itu menegaskan, perlunya kepimpinan yang jelas, progresif dan sudi mendengar pandangan daripada pelbagai pihak terutamanya mereka di peringkat bawahan.

    Ia katanya, telah ditunjukkan oleh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin waima ketika beliau menjadi Perdana Menteri tempoh hari di mana Majlis Ekonomi Negara bersidang hampir setiap minggu bersama teknokrat, ahli korporat, pakar-pakar dan peniaga di akar umbi.

    “Usaha tersebut telah Tan Sri Muhyiddin Yassin teruskan dalam Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan beliau dan saya lihat itulah contoh kepimpinan yang perlu ada hari ini,” katanya.

  • Kestabilan kerajaan bukan bergantung kepada jumlah kerusi Parlimen

    Kestabilan kerajaan bukan bergantung kepada jumlah kerusi Parlimen

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan yang stabil mampu dibentuk oleh kerajaan minoriti, sekiranya rakyat dan negara menjadi keutamaannya.

    Menurut beliau, itu yang berlaku di banyak negara maju di dunia yang turut mengamalkan politik demokrat dan moderat seperti Malaysia.

    Tegas beliau, soal meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bukan satu isu yang membelenggu kerana akhirnya ia akan dibentang dan didebatkan sebelum diluluskan oleh Parlimen, tidak bergantung kepada jumlah kerusi yang dipegang oleh mana-mana parti.

    “Misalnya di negara-negara Nordik, asal saja ada satu kumpulan yang terbesar, walaupun dia cuma 30 atau 40 peratus daripada Dewan, mereka dibenarkan membentuk kerajaan.

    “Kita terlalu ‘rigid’ (kaku) melihat soal-soal ini, pertama dari sudut parti dan yang kedua dari sudut berapa orang (perwakilan dari sesebuah parti) dalam Parlimen.

    “Kita harus melewati pemikiran yang sebegitu,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

    Beliau faham, ada tafsiran yang pelbagai terhadap peruntukan berkenaan perkara itu dalam Perlembagaan, tapi pokok pangkalnya, kata beliau, kita harus matang.

    Begitupun, Saifuddin melihat memorandum persefahaman yang disepakati kerajaan dengan pembangkang dalam penggal yang lalu memperlihatkan kita sebenarnya sudah memulakan proses ke arah kemajuan politik yang dimaksudkan itu.

    “Walaupun ada lah di sana dan di sini liku-liku politik yang ada masanya terpaksa dihadapi, tapi kita harus yakin,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Pengundi positif Covid-19 diasingkan, proses mengundi dicepatkan – SPR

    Pengundi positif Covid-19 diasingkan, proses mengundi dicepatkan – SPR

    INDIVIDU positif COVID-19 yang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)  akan diasingkan daripada pengundi lain bagi mengelak risiko penularan.

    Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  Dr Azmi Sharom berkata selain itu SPR juga akan memastikan proses mengundi bagi pengundi positif COVID-19 di pusat pengundian di seluruh negara, akan dilakukan dengan cepat.

    Beliau berkata mereka yang positif perlu memaklumkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan mengenai status kesihatan sebelum hadir ke pusat mengundi. 

    “Mereka (KKM) akan asingkan pengundi positif dan anda akan undi dengan cepat dan kita juga akan asingkan anda daripada pengundi lain,” katanya mengulas mengenai proses mengundi untuk individu positif COVID-19 pada hari undi awal hari ini dan pengundian PRU15 pada 19 Nov.

    Beliau yang ditemui pemberita selepas meninjau proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini berkata proses undi awal di tempat itu berjalan dengan lancar.

    “Semua nampak berjalan lancar jadi ia petanda yang baik, ramai orang keluar, kita akan buka (pusat undi awal) sampai pukul 5 petang…harap semua akan ok,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata seorang anggotanya disahkan positif COVID-19 dan telah diarahkan mengundi pada sebelah petang. 

    “Kita telah jelaskan untuk datang petang kerana kalau waktu pagi agak sesak,” katanya menambah proses undi awal di IPD Putrajaya ketika ini berjalan lancar.

    Seramai 1,386 pengundi awal Parlimen Putrajaya terdiri daripada anggota polis dan tentera menunaikan tanggungjawab mengundi di dua pusat pengundian di IPD Putrajaya dan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di sini bermula 8 pagi hari ini.

    Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata individu positif COVID-19 yang akan mengundi pada PRU15 wajib memakai pelitup muka manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

    Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan pengundi positif COVID-19, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk perkhidmatan e-hailing. – BERNAMA

  • Undi awal: Pengundi dirayu keluar beramai-ramai, pertimbang tawaran PN

    Undi awal: Pengundi dirayu keluar beramai-ramai, pertimbang tawaran PN

    PENGUNDI awal dirayu agar keluar beramai-ramai melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 esok.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka juga diharapkan memberikan sokongan kepada gabungan politik itu atas faktor pemimpinnya yang berkeupayaan, amanah, berintegriti dan bertanggungjawab.

    Menurutnya, manifesto PN akan membantu semua rakyat termasuk kumpulan yang mengundi awal yang sebahagian besarnya adalah penjawat awam.

    “Harapan saya ialah supaya mereka menyokong PN kerana saya fikir mereka boleh buat perbandingan siapa berupaya, siapa yang beramanah, siapa yang berintegriti, siapa yang bertanggungjawab.

    “Penjawat awam ini kita janjikan mereka kenaikan elaun sara hidup (COLA) sebanyak RM100 dan menyediakan lebih banyak kemudahan berkaitan perkhidmatan awam.

    “Jadi itu ada kita sebut ketika parti lain tidak.Jadi harapan saya mereka akan keluar beramai-ramai menyokong PN,”katanya.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau difahamkan undi awal melibatkan sebahagian besar pengundi yang layak khasnya penjawat awam.

    “Mereka dirayu agar keluar awal mengundi kerana peratusan tinggi pengundi akan dapat membantu semua parti bertanding terutamanya PN.

    Sementara itu, kira-kira 265,531 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera akan menjadi kumpulan terawal menentukan mandat kerajaan, esok.

    Jumlah itu terdiri daripada 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

  • Tol percuma seluruh negara 18 dan 19 November ini – PM

    Tol percuma seluruh negara 18 dan 19 November ini – PM

    SEBANYAK 30 syarikat konsesi lebuh raya bersetuju memberikan tol percuma pada 18 dan 19 November ini yang bakal dinikmati oleh rakyat Malaysia sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi memudahkan pengundi pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing.

    “Bagi memudahkan pengundi balik mengundi, sebanyak 30 konsesi lebuh raya bersetuju tawar tol percuma selama dua hari kepada pengguna sempena PRU-15.

    “Tol bermula itu bermula pada jam 12.01 tengah malam pada 18 November sehingga jam 11.59 malam 19 November,” katanya ketika merasmikan pecah tanah Wisma CUEPACS Putrajaya di Putrajaya, hari ini lapor UtusanTV.

  • DAP gugat keselamatan negara, tiada kredibiliti bercakap soal antikeganasan – Muhyiddin

    DAP gugat keselamatan negara, tiada kredibiliti bercakap soal antikeganasan – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DAP dan Pakatan Harapan (PH) tiada kredibiliti untuk bercakap mengenai antikeganasan.

    Kenyataan dibuat Kor Ming

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebaliknya mendakwa, DAP menggugat keselamatan negara semasa pentadbiran 22 bulan mereka selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Katanya, semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan, ada beberapa orang anggota DAP termasuk wakil rakyatnya ditahan kerana terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas, Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

    “DAP menggesa saya sebagai Menteri Dalam Negeri supaya mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas. Alasannya kerana LTTE tidak lagi wujud setelah pemimpinnya dibunuh di Sri Lanka dan dengan itu, anggota parti yang ditahan bolehlah dibebaskan.

    “Namun saya bertegas bahawa keputusan untuk mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia perlu diserahkan kepada sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    “DAP tidak berpuas hati dengan ketegasan saya. Mereka mahu campur tangan dalam urusan keselamatan negara tanpa mengira implikasinya terhadap rakyat dan negara. Mereka tidak peduli semua itu asalkan kepentingan politik sempit mereka tercapai,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

    Ia sebagai reaksi kepada kenyataan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang berkata Malaysia akan jadi negara Taliban jika Perikatan Nasional memerintah kononnya, Malaysia akan jadi negara pengganas.

    Mengulas lanjut Muhyiddin menegaskan, beliau tidak tunduk kepada desakan DAP yang mahu supaya LTTE dikeluarkan daripada senarai kumpulan pengganas.

    Namun katanya, beliau akhirnya terkejut apabila Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas menggugurkan pendakwaan ke atas mereka yang didakwa terlibat dalam kegiatan LTTE, termasuk beberapa anggota DAP.

    “Mereka telah menjejaskan keselamatan negara demi kepentingan politik sempit mereka. Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab sama sekali,” tegas beliau.

    Muhyiddin selain itu berkata, semasa 22 bulan pemerintahan PH lah Malaysia paling tidak aman dalam isu berkaitan perkauman dan agama.

    Katanya, ini kerana DAP tidak sensitif kepada perasaan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

    “Sebaliknya, semasa PN memerintah semasa 17 bulan, negara kita aman. Tidak ada isu perkauman atau agama yang timbul.

    “Jadi, jangan tanya saya lagi kenapa saya dan rakan-rakan yang lain dalam Bersatu keluar PH.

    “Bagi saya, DAP atau PH tidak ada kredibiliti untuk bercakap mengenai keamanan dan antikeganasan,” katanya.