Category: Umum

  • 150,000 pengundi baru beri komitmen sokong PN

    150,000 pengundi baru beri komitmen sokong PN

    LEBIH 150,000 pengundi berusia 18 hingga 25 tahun memberi komitmen menyokong Perikatan Nasional (PN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

    Menurut Setiausaha Jabatan Pilihan Raya Pas negeri, Dr Wan Nik Wan Yusoff, mereka merupakan mahasiswa dan perantau anak Kelantan memberi komitmen untuk balik mengundi.

    Beliau berkata, peningkatan jumlah pengundi itu berlaku selepas kerajaan mewartakan pendaftaran automatik bagi warganegara berusia 18 tahun bermula tahun lalu.

    “Senarai daftar pemilih di Kelantan sebelum ini satu juta orang lebih, tetapi sekarang meningkat kepada 1.3 juta, ini bermakna tambahan 300,000 pengundi mewakili anak muda.

    “Ini merupakan hasil pendekatan kempen all out dalam media sosial, kita dapati anak muda di IPT dan perantau memberi komitmen untuk balik mengundi nanti,” katanya pada sidang media di Pusat Media PRU15 PAS Kelantan hari ini.

    Dr Wan Nik berkata, sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu kumpulan terbabit didapati membenci politik serta menyatakan tidak akan keluar mengundi.

    Katanya, sikap terbabit didapati sudah berubah di atas komitmen kerajaan negeri termasuk calon PN untuk meneruskan lagi agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat.

    Menurutnya juga selepas PRU14 PN Kelantan menghantar 11 wakil ke Dewan Rakyat yang berjaya memainkan peranan membawa suara rakyat untuk membangunkan negeri ini.

    Beliau berkata, semua wakil rakyat, sebahagiannya dalam kerajaan banyak menyumbang kepada pembangunan negeri yang bersifat material dan spiritual.

    “Kita mahu meneruskan agenda pembangunan negeri melalui komitmen ahli-ahli parlimen dari Kelantan, di mana sebahagiannya berada dalam kerajaan di Putrajaya sebelum Dewan Rakyat dibubar.

    “Hasrat mereka (anak muda) untuk memastikan Kelantan berada dalam radar Putrajaya untuk memastikan tempoh 32 tahun lalu akan mencipta peluang lebih baik pada masa depan,” katanya, lapor Harakahdaily.

  • Calon PH kerusi Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia

    Calon PH kerusi Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia

    CALON Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia, dua hari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Mendiang Karupaiya mengembuskan nafas terakhir di Hospital Kulim, pukul 2.20 petang ini.

    Pemergian mendiang disahkan oleh anak perempuan beliau, Dippah ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

    Difahamkan mendiang dimasukkan ke hospital malam tadi selepas mengadu sakit perut, namun setakat ini punca sebenar kematian masih belum diketahui.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Karupaiya menang bergaya dengan majoriti 8,813 undi.

    Mendiang, yang merupakan ahli PKR memenangi kerusi itu pada PRU 2018 selepas menewaskan Leong Yong Kong dari MCA dan Muhammad Sobri Osman dari Pas.

    Pada PRU-15, kerusi P017 Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk Karupaiya selaku penyandang serta calon dari Pejuang, BN, PN, Warisan dan Bebas.

  • Gambar ‘Kabinet Perpaduan’ tular, Anwar sebagai PM, tiga TPM termasuk Zahid

    Gambar ‘Kabinet Perpaduan’ tular, Anwar sebagai PM, tiga TPM termasuk Zahid

    GAMBAR ‘Kabinet Perpaduan Malaysia 2022’ tular di media sosial hari ini ketika hari berkempen berbaki hanya beberapa hari sebelum kemuncak demokrasi di Malaysia mengambil tempat pada 19 Nov ini.

    ‘Kabinet perpaduan’ itu memperlihatkan kerajaan campuran yang dibarisi pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Turut mencuri tumpuan ialah tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang masing-masing oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Penasihat DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

    Seramai 27 nama pemimpin PH dan BN turut disenaraikan sebagai Menteri dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di antara kedua-dua gabungan tersebut.

    Turut tertulis pada gambar itu, ‘Kabinet Bayangan Kerajaan Perpaduan Malaysia 2022 – 2027’, lapor Astro Awani.

    Penularan gambar berkenaan dipercayai susulan ketika ini hangat diperkatakan tiada gabungan parti mampu memenangi majoriti mudah bagi membentu kerajaan kelak.

    Susulan daripada itu juga, terdapat dakwa-dakwi daripada pemimpin-pemimpin politik sendiri yang mengatakan wujud perbincangan dan percaturan di belakang tabir antara tiga gabungan besar iaitu PH, BN dan Perikatan Nasional (PN).

    Bagaimanapun, umum mengetahui bahawa gambar berkenaan adalah palsu kerana kesemua pemimpin daripada BN, PH dan PN telah menyatakan pendirian masing-masing.

    Sebarang kerjasama membentuk kerajaan campuran antara mereka dilihat mustahil sebelum keputusan PRU15 diperoleh Sabtu ini.

  • PN tawar enam agenda tambahan untuk Rembau

    PN tawar enam agenda tambahan untuk Rembau

    CALON Perikatan Nasional (PN), Mohd. Nazree Mohd. Yunus Parlimen Rembau melancarkan manifesto tambahan bagi mengukuhkan peluang gabungan parti itu memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Tawaran itu yang dikenali sebagai Rembau Maju Bersama meliputi enam agenda berkaitan wanita, pelancongan, pendidikan, belia, budaya dan komuniti.

    Mohd. Nazree berkata, tawaran itu dibuat selepas beliau dan pasukan kempen parti itu turun padang menemui orang ramai sejak hari penamaan calon pada 5 November lalu.

    “Semasa turun padang orang ramai telah menyatakan pelbagai isu dan hasrat mereka yang memerlukan perhatian oleh kerajaan. Berikutan itu saya telah merangka manifesto tambahan ini khusus untuk Parlimen Rembau bagi memenuhi hasrat rakyat tersebut,” katanya, semalam lapor BeritaBersatu.

    Menjelaskan lebih lanjut manifesto tambahan itu, Mohd. Nazree berkata, pihaknya bercadang mendirikan Pusat Pemerkasaan Wanita Rembau, Pusat Pelancongan Eko Rembau dan Pusat Pengembangan Pendidikan Komuniti Rembau.

    Katanya, selain itu pihaknya merancang mendirikan Pusat Kreativiti Pemuda Rembau, Perkampungan Budaya Rembau serta Pusat Integrasi Khidmat dan Bantuan Komuniti Rembau.

    Beliau menarik perhatian, kesemua agenda itu akan dilaksanakan secepat mungkin sekiranya PN berjaya meraih kerusi Parlimen Rembau dalam pilihan raya umum, Sabtu ini.

    “Kami berhasrat melaksanakan agenda ini secepat mungkin demi manfaat penduduk di Rembau. Ia tidak terlalu rumit malah munasabah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat,” ujarnya memetik laporan Utusan Online.

    Mohd. Nazree akan berdepan saingan lima penjuru di Parlimen Rembau menentang Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional), Jufitri Joha (Pakatan Harapan), Ramly Awalludin (Parti Pejuang Tanahair) dan S. Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).

  • PRU-15: Memang nak menang tapi yang penting nyawa rakyat – Rosol

    PRU-15: Memang nak menang tapi yang penting nyawa rakyat – Rosol

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid akan lebih mengutamakan nyawa rakyat jika berlaku banjir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berbanding meneruskan berkempen.

    Menurut beliau, jika diberi pilihan berkempen untuk menang pada PRU dengan nyawa (rakyat), beliau akan memilih selamatkan nyawa rakyat.

    “Berkempen berkempen jugak, memang nak menang tapi yang penting nyawa rakyat. Jadi kalau nak tukar nak menang dengan nyawa rakyat, pada saya nyawa itu yang pertama.

    “Saya ingat kata-kata orang tua (orang lama), atas dunia ini semua boleh cuba. Nak makan ikan kelah boleh cuba, nak makan landak boleh cuba tapi jangan cuba soal kematian sebab mati hanya sekali. Jadi saya pilih nyawa rakyat,” katanya, semalam lapor BeritaBersatu.

    Pada masa sama, Rosol berkata, apabila berlaku banjir kemungkinan besar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan batalkan undian.

    “Di sini (Parlimen Hulu Terengganu) ada lima hingga enam tempat pengundian yang memang bila banjir air akan naik terutama di Hulu Berang,” katanya.

  • Gelombang anak muda kini memihak PN – Idris Ahmad

    Gelombang anak muda kini memihak PN – Idris Ahmad

    NAIB Presiden Pas Datuk Idris Ahmad mendakwa golongan muda yang tidak peduli tentang politik sebelum ini sudah bangkit dan bersama Perikatan Nasional (PN).

    Katanya, ia didorong kebolehan mereka kali ini untuk terlibat sama dalam proses demokrasi selepas melihat keupayaan PN mengemudi negara di waktu krisis.

    Menurut beliau, kebangkitan anak muda itu dpat dilihat selepas terbubarnya Parlimen dan mereka di negeri-negeri ditadbir Pas khususnya, tampil menunjukkan sokongan kepada PN.

    “Bila berlakunya pembubaran Parlimen, hari ini berlaku gelombang anak muda. Bukan sahaja saya tengok berlaku di Bagan Serai, malah juga di Parit Buntar dan Bukit Gantang sendiri.

    “Saya mendapat makluman daripada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) bahawa di sana pun sama. Begitu juga di Terengganu.

    “Ini satu benda yang agak ‘ajaib’. Kita pun tak sedar keadaan yang berlaku,” kata calon PN P.058 Bagan Serai itu kepada Astro AWANI semalam.

    Idris berkata, pada mulanya beliau beranggapan bahawa anak muda akan cuba membuat perubahan setelah hangatnya naratif ‘kerajaan pintu belakang’ ditohmah ke atas PN oleh pihak parti lawan.

    Namun, menurutnya, keupayaan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri sewaktu negara hebat dilanda COVID-19 tempoh hari memberi keyakinan kepada anak muda bahawa PN adalah pilihan mereka.

  • SPRM ambil dokumen di pejabat Rafizi – Laporan

    SPRM ambil dokumen di pejabat Rafizi – Laporan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mengambil beberapa dokumen di pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd, milik Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, semalam.

    Berita Harian dalam laporannya yang memetik sumber sebagai berkata, ia bagi membantu siasatan terhadap dakwaan pemilikan aset yang diumumkan Rafizi, minggu lalu.

    “Tiada serbuan sebaliknya siasatan biasa,” katanya hari ini.

    Semalam Rafizi dalam ucapannya berkata syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd diserbu SPRM dan turut mendakwa kakitangan ditahan selama tujuh jam.

    BH minggu lalu melaporkan SPRM membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta yang dilakukan calon Parlimen Pandan.

    Ini berikutan, satu laporan dilakukan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perisytiharan Rafizi.

    Pada 2 November lalu, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta dan mendakwa tidak memerlukan dana awam untuk menjadikan dirinya kaya.

    Beliau berkata pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada pilihan raya umum ke-15 untuk berbuat demikian.

  • Lebuh raya baharu pesisir pantai Johor-Selangor dibina jika PN menang

    Lebuh raya baharu pesisir pantai Johor-Selangor dibina jika PN menang

    SATU jajaran lebuh raya merentasi kawasan pantai dari Selangor ke Johor Bahru bakal dibina sekiranya Perikatan Nasional diberi mandat menubuhkan kerajaan pada 19 November ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jajaran lebuh raya itu akan memudahkan pergerakan orang ramai, khususnya pelancong untuk datang ke Johor, sekali gus akan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

    Berucap pada majlis sembang santai bersama penduduk di Stulang Laut, Johor Bahru hari ini , bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata agenda pembangunan itu boleh dilaksanakan jika Perikatan Nasional memerintah.

    Muhyiddin yang mempunyai berpuluh tahun pengalaman dalam politik negara berkata beliau melihat sendiri sekarang ini satu gelombang sokongan terhadap Perikatan Nasional yang menggegarkan bermula di Perlis dan semakin menghampiri Johor Bahru.

    “Jika Perikatan Nasional memerintah Kerajaan Pusat dengan sokongan pengundi dan saya dilantik menjadi Perdana Menteri, mudahlah pembangunan dilaksanakan.

    “Menteri Besar Johor sekarang daripada UMNO akan berjumpa saya dan memohon pelaksanaan projek pembinaan jalan. Tapi, kita (Perikatan Nasional) akan buat lebuh raya pesisir pantai dari Lembah Klang ke Johor jika menang,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Sehubungan itu, Muhyiddin yang menyandang kerusi Parlimen Pagoh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini, menasihatkan pengundi Johor supaya tidak melakukan kesilapan ketika Pilihan Raya Negeri sebelum ini.

    Beliau juga berjanji untuk menyelesaikan isu yang dihadapi antara rakyat dengan kerajaan Johor pimpinan UMNO sekarang ini sekiranya, dengan sokongan pengundi, dapat membentuk Kerajaan Pusat.

    Muhyiddin turut mengingatkan pengundi supaya membandingkan manifesto yang ditawarkan Perikatan Nasional dengan manifesto parti lain.

    “Tawaran Perikatan Nasional lebih baik daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada majlis yang turut dihadiri kaum Cina, termasuk peniaga.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata tawaran Perikatan Nasional, termasuk memberi bantuan kepada peniaga seperti moratorium untuk tidak membayar hutang pinjaman bank.

    “Ini pernah dilakukan ketika Kerajaan Perikatan Nasional memerintah sebelum ini ketika pandemik melanda. Malah, kerajaan juga memberi wang kepada syarikat untuk membayar gaji pekerja yang tidak dapat bekerja kerana sekatan Covid-19,” katanya.

  • 2 juta dijangka pulang mengundi, PLUS keluar jadual perjalanan

    2 juta dijangka pulang mengundi, PLUS keluar jadual perjalanan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, bagi tempoh dari 17 hingga 21 Nov ini.

    Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata TTA itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik yang dijangka berlaku akibat peningkatan sehingga 1.9 juta kenderaan di lebuh raya itu, sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

    Beliau berkata pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor disarankan supaya memasuki lebuh raya bermula 16 hingga 18 Nov sebelum 10 pagi manakala pengguna yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya antara 1 tengah hari hingga 4 petang.

    Menurut Zakaria, bagi perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur bermula 20 hingga 21 Nov pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

    “Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau bergerak ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih awal untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini.

    “Pengguna juga perlu menjangka menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa. Namun begitu, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zakaria berkata persediaan itu merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

    Beliau berkata PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 hingga 21 Nov kecuali kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.

    “PLUS juga menyediakan kren dan trak tunda di lokasi strategik bagi mempercepat kerja pengalihan dan penundaan kenderaan rosak atau terlibat dengan kemalangan di lebuh raya,” katanya.

    Menurut Zakaria, PLUS akan menugaskan kira-kira 200 pasukan PLUSRonda untuk menjalankan rondaan 24 jam setiap hari di lebuh raya serta 1,500 kakitangan di plaza-plaza tol untuk melancarkan transaksi di plaza tol serta 30 petugas di Pusat Pemantauan Trafik bagi memantau pergerakan trafik serta membantu mengkoordinasi bantuan kepada pengguna lebuh raya.

    “Pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi had laju, arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu berikutan cuaca hujan dan PLUS mengucapkan semua pengguna lebuh raya selamat sampai ke destinasi untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara,” katanya.

    Jadual TTA boleh didapati menerusi aplikasi PLUS Mobile App di Google Play Store atau App Store selain di laman web www.plus.com.my serta Twitter PLUSTrafik. – BERNAMA

  • Malaysia perlu calon PM bukan ‘boneka’, tak mudah tunduk tekanan – Ku Li

    Malaysia perlu calon PM bukan ‘boneka’, tak mudah tunduk tekanan – Ku Li

    NEGARA memerlukan calon perdana menteri kuat dan bukan “boneka” yang lemah, selain mudah tunduk kepada tekanan, kata calon Barisan Nasional (BN) di Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

    Katanya, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), rakyat perlu memilih parti menampilkan calon berkebolehan untuk bekerja selepas diberi mandat menjadi pemimpin dalam memulihkan semula negara selepas serangan Covid-19.

    “Calon PM perlu memiliki kekuatannya tersendiri dan bukan seorang boneka yang begitu lemah, tidak memiliki kekuatan jati diri dan mudah tunduk kepada tekanan.

    “Jadi, kita nak kepada orang bukan nak isi jawatan tetapi mestilah berkelayakan dan boleh bekerja. Kena kerja, kalaulah kerja satu hari 12 jam, jadi sekarang kita nak orang yang bekerja 20 jam,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, untuk menubuhkan sebuah kerajaan cekap dan stabil, pengundi perlu membuat pilihan bijak dengan memilih calon terbaik.

    Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berulang kali menyebut calon perdana menteri daripada BN adalah naib presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) dalam kempen politiknya mendakwa Ismail bukan calon sebenar, bahkan jawatan itu turut diintai Zahid.

    Menamakan seorang naib presiden dalam tradisi Umno sebagai perdana menteri tidak pernah dilakukan sebelum ini kerana jawatan itu sentiasa diisi presiden Umno selaku pengerusi BN, ketika gabungan itu memerintah kerajaan.