Category: Umum

  • Pas tuntut PM kemuka bukti, sedia ambil tindakan perundangan

    Pas tuntut PM kemuka bukti, sedia ambil tindakan perundangan

    PAS menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti nyata terhadap dakwaan dibuat beliau yang membayangkan kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, jika gagal PN akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak yang memfitnah.

    Ini kerana menurut beliau, tuduhan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut langsung tidak berasas sekali.

    “Tuduhan tersebut langsung tidak berasas dan Pas menuntut Perdana Menteri PH memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar tersebut jika ada.

    “Sekiranya gagal Perikatan Nasional akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak- pihak yang memfitnah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri itu.

    “Pas amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, yang membayangkan kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional datang dari syarikat perjudian,” katanya.

    Semalam, Anwar semasa sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya mendakwa dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

    “Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

    “Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi,” katanya.

  • Dakwaan PN terima duit judi fitnah, tegas Muhyiddin

    Dakwaan PN terima duit judi fitnah, tegas Muhyiddin

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TUDUHAN kononnya Perikatan Nasional (PN) menerima duit dari syarikat perjudian untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) adalah fitnah semata-mata.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tuduhan itu adalah sesuatu yang amat berat.

    “Itu fitnah, mana buktinya? Tuduhan begitu mudah dibuat tetapi kami ada prinsip dan kalau pun kita nak terima bantuan, kita takkan terima daripada sumber-sumber yang haram.

    “Jadi saya tak tahu macam mana Perdana Menteri boleh buat tohmahan dan tuduhan yang berat begitu. Hanya kerana kami menang, ada banyak bendera dan berjaya gerakkan jentera dengan amat berkesan hingga menyebabkan UMNO tiada kerusi di lapan negeri, itu bukan bermakna bahawa kita mempunyai peruntukan besar.

    “Nanti kita akan tengok apa yang patut dibuat. Tadi saya tanya hadirin, mereka kata kena ambil tindakan tetapi saya tak tahu apa-apalah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Ceramah Grand Finale PN di Taman Selasih dekat Kulim, malam tadi.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet pertamanya semalam dilaporkan sebuah portal, memberi bayangan bahawa sebahagian dana Pilihan Raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

    Terdahulu ketika menyampaikan ceramahnya, Muhyiddin berkata PN tidak akan terima walau satu sen pun duit haram dari mana-mana pihak terutamanya syarikat perjudian.

    “Kami pemimpin ini dah haram judi di sana-sini (negeri dipimpin Pas), kemudian kami nak ambil duit judi kerana kami sengkek dan tak ada duit?

    “Wallahi kami takkan lakukan perkara haram begitu. Kami takkan terima walau satu sen pun duit haram dari mana-mana pihak termasuk syarikat judi,” katanya.

    Katanya, dana diperolehi PN dibantu oleh pihak-pihak tertentu termasuk rakan-rakan mereka.

    “Kami pun ada kawan, tak ramai tetapi sikit-sikit tolong bantu. Ada yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat, ada yang Gerakan dapat dan Pas pun dapat.

    “Salahkah? Kalau ikut undang-undang tak salah tetapi Perdana Menteri boleh pula buat tuduhan berat. Baru buat Mesyuarat Kabinet hari ini, dah buat tuduhan,” katanya.

  • PM guna pentas rasmi main politik – Pemuda Bersatu

    PM guna pentas rasmi main politik – Pemuda Bersatu

    PEMUDA Bersatu (Armada) mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya menggunakan “pentas rasmi” Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk bermain politik.

    Ia berikutan kenyataan Anwar yang membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian, ketika sidang media selepas mesyuarat kabinet petang tadi.

    Menurut Ketua Penerangan Armada Ashraf Mustaqim Badrul Munir, Anwar sepatutnya mengemukakan bukti berkenaan apa yang diperkatakannya.

    “Adakah PMO tempatnya untuk cipta naratif sentimen politik murahan?

    “Buat pertama kali tengok seorang perdana menteri ‘main politik’ tabur sentimen dengan langsung tak tonjolkan bukti dan guna pentas rasmi kerajaan di PMO yang seharusnya jadi medan bicara isu rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dia berkata lain keadaannya jika Anwar menyentuh soal dasar pendanaan untuk parti politik.

    Ketika sidang media hari ini, Anwar yang juga menteri kewangan berkata dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas undi.

    “Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Dalam sidang media sama, Anwar mengumumkan cabutan khas judi kembali diturunkan kepada lapan kali setahun bermula tahun depan, setelah dinaikkan kepada 22 kali ketika pentadbiran PN.

    Mengulas langkah itu, Ashraf berkata dia secara peribadi menyokong keputusan itu dan menggesa kerajaan persekutuan mencontohi negeri yang ditadbir PN yang memutuskan untuk menghentikan operasi pusat perjudian.

    Katanya lagi, cabaran sebenar kerajaan, terutama Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil, adalah untuk membendung kegiatan judi atas talian.

    “Syabas atas inisiatif menurunkan cabutan judi ini, namun penyokong PH jangan menangguk di air keruh dengan perbuatan jelik kerajaan yang tanpa hitam putih membuat pertuduhan, hanya semata sentimen politik.

    “Lebih baik Anwar kemukakan bukti hitam putih,” katanya lagi.

  • Bubar DUN: Pas serah kepada MB – Hadi

    Bubar DUN: Pas serah kepada MB – Hadi

    PAS akan menyerahkan kepada menteri besar untuk membuat keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasai parti berkenaan di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

    Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perkara itu akan diputuskan dalam perbincangan bersama menteri besar-menteri besar berkenaan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing.

    “Tarikh pembubaran DUN akan diserahkan kepada perbincangan dengan menteri besar,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.

    Abdul Hadi ditemui selepas selesai memberi keterangan selama hampir dua jam di IPD Sentul susulan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya berhubung ucapan berbaur hasutan sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bulan lepas.

    Pada sidang media kempen Perikatan Nasional (PN) di kawasan Parlimen Padang Serai semalam, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mencadangkan Kedah, Kelantan dan Terengganu mengadakan PRN selepas PRU15 Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, selesai.

    Beliau berkata ia adalah masa terbaik untuk ketiga-tiga negeri yang ditadbir PN itu mengadakan PRN susulan sokongan pengundi terhadap gabungan itu pada PRU15, 19 Nov lepas.

    Mengulas mengenai kenyataan Shahidan yang mendakwa usaha sedang dibuat untuk memastikan PN menjadi kerajaan, Abdul Hadi berkata pada masa ini pihaknya sedang melihat kepada perkembangan semasa sejauh mana pentadbiran kerajaan ketika ini.

    “Kita lihat kepada perkembangan semasa dan reaksi rakyat selepas ini. Usaha untuk menjadi kerajaan itu sekurang-kurangnya untuk pilihan raya akan datang,” katanya. – BERNAMA

  • Zahid belum dibuktikan bersalah, Anwar pertahan lantikan TPM

    Zahid belum dibuktikan bersalah, Anwar pertahan lantikan TPM

    DATUK Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas dikritik dari dalam dan luar Pakatan Harapan berikutan 47 pertuduhan rasuah dihadapi Presiden UMNO berkenaan.

    Menurut Perdana Menteri, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu masih belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

    “Dia didakwa dan belum ada hukuman. Proses itu kita harus hormati. Dia kebetulan juga presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

    “Dan dalam keadaaan kerajaan perpaduan ini saya ambil kira faktor itu,” katanya pada satu sidang media di Jabatan Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet yang pertama selepas mengumumkan barisan jemaah menteri Jumaat lepas.

    Dalam pada itu, Anwar turut membidas pengkritik yang mempersoalkan pelantikan Zahid dalam Kabinet.

    “Saya dari dulu lagi kata, orang yang jerit rasuah rasuah ni pun perlu bersih. Tak boleh ada projek ratusan juta,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Pengumuman senarai anggota Kabinet oleh Anwar pada Jumaat menyaksikan Zahid kembali kepada kedudukan kedua tertinggi kerajaan yang pernah dipegangnya sehingga 2018.

    Pengumuman tersebut mencetuskan reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak percaya individu kluster mahkamah boleh menganggotai jemaah menteri pimpinan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

    Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang berdepan dengan pertuduhan jenayah rasuah di mahkamah.

    Zahid yang juga merupakan pengerusi Barisan Nasional (BN) memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan ahli Parlimennya terhadap Anwar, walaupun beliau mendapat tentangan keras dari dalaman Umno sendiri kerana mengabaikan ketetapan perhimpunan parti itu yang tidak membenarkan sebarang jalinan kerjasama dengan Anwar dan DAP.

    Antara mereka termasuk Hishammuddin Hussein dan Annuar Musa, malah ia juga dibantah parti komponen lain seperti MCA dan MIC.

    Mereka beranggapan BN sewajarnya berperanan sebagai pembangkang memandangkan tidak mendapat mandat rakyat untuk menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Kempen PH sepanjang pilihan raya baru-baru ini menyaksikan pemimpinnya berulang kali memberi jaminan kepada penyokong bahawa mereka tidak akan membenarkan pemimpin terpalit skandal menganggotai kerajaan, di samping menafikan dakwaan Perikatan Nasional bahawa Anwar dan Zahid sudah lama membuat pakatan sulit.

  • Tiada rancangan jatuhkan kerajaan perpaduan – Hadi

    Tiada rancangan jatuhkan kerajaan perpaduan – Hadi

    TAN Sri Abdul Hadi Awang berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai rancangan menjatuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata,  Pas setakat ini hanya memantau prestasi kerajaan semasa dan menunggu reaksi rakyat sebelum mengambil tindakan seterusnya.

    “Sekurang-kurangnya tidak untuk pilihan raya akan datang,” kata Presiden Pas itu kepada media selepas memberi keterangan di IPD Sentul, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau hadir ke IPD Sentul untuk memberi keterangan atas dakwaan DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang PAS daripada berkuasa, selain menyifatkan parti komponen Pakatan Harapan itu “tidak bermoral”.

    Hadi turut menggunakan analogi bola sepak untuk mengatakan walaupun satu pasukan itu menang, pengadil “tiba-tiba memberi masa tambahan” bagi memberi peluang kepada pasukan kalah “untuk menang dengan apa cara sekalipun”.

    Komennya yang dipetik daripada kolum ditulisnya dalam lidah rasmi PAS, Harakah ditafsirkan sebagai merujuk gesaan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan persekutuan perpaduan.

    Berhubung siasatan polis ke atasnya, Hadi berkata, beliau memberi kerjasama penuh dan bersedia untuk tindakan lanjut, termasuk ke mahkamah.

    Sementara itu, Peguam Hadi, Wan Rohaimi Wan Daud mengesahkan Ahli Parlimen Marang itu kini disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

  • RCI perbelanjaan RM600b belum dibincang Kabinet, kata Anwar

    RCI perbelanjaan RM600b belum dibincang Kabinet, kata Anwar

    CADANGAN bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin belum dibincangkan Kabinet.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara mengenai penubuhan RCI itu akan diserahkan kepada Jemaah Menteri untuk dinilai.

    “Ia belum dibawa dan dibincang oleh Jemaah Menteri, saya serah kepada rakan-rakan Jemaah Menteri untuk menilai hal demikian.

    “Tapi setakat saya tahu dan diberi makluman, ada beberapa pelanggaran serius terutama bila luluskan projek, perolehan terlalu banyak, ‘marked up’ tinggi, parti-parti tertentu belanja tinggi menunjukkan keupayaan mereka berbelanja luar biasa,” katanya selepas mesyuarat khas Kabinet hari ini, lapor Berita Harian.

    Perdana Menteri berkata, secara peribadi beliau tidak cenderung untuk menumpukan hal atau perkara lama sebaliknya mahu menumpukan kepada pengurusan ekonomi dan tadbir urus negara.

    “Umpamanya beberapa langkah menyiasat perbelanjaan tinggi hingga RM600 bilion tanpa tender.

    “Itu bukan urusan saya, tapi urusan Kementerian Kewangan untuk beri makluman tentang perbelanjaan itu, tapi kita serahkan kepada badan siasatan untuk sejauh mana pelanggaran rasuah berlaku,” katanya.

    Semalam UMNO menyokong penubuhan segera RCI bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, menerusi RCI, ia dapat membuktikan ke mana wang digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat sepanjang Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

    Sebelum ini, Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Sany Hamzan, turut mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat tujuan perbelanjaan digunakan daripada dana kecemasan RM600 bilion ketika tempoh darurat.

    Sany yang juga ahli Parlimen Hulu Langat turut membuat laporan polis berkaitan isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 30 November lalu.

    Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lalu.

    Adly dilaporkan berkata Pakatan Harapan (PH) akan menyiasat Muhyiddin jika gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

    Muhyiddin bagaimanapun menegaskan semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat dan beliau juga tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasatnya kerana menurutnya semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan yang ditetapkan.

    Pada 28 November lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter berkata perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan itu diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.

    Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO turut menolak dakwaan bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022.

  • Mrs Malaysia World 2022 lakar nama dalam Malaysia Book of Records

    Mrs Malaysia World 2022 lakar nama dalam Malaysia Book of Records

    OLIVIA Nicholas yang akan mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik Mrs World 2022 di Las Vegas bulan ini, sudah pun melakar nama dalam Malaysia Book of Records.

    Peguam berusia 30 tahun dari Ipoh, Perak itu yang dinobatkan sebagai Mrs Malaysia World 2022 pada Oktober, mencipta rekod negara apabila mengenakan busana kebangsaan yang dihiasi dengan syiling lima sen terbanyak – sebanyak 10,000 keping.

    Busana yang akan dipakai beliau pada pertandingan Mrs World 2022 pada 17 Dis nanti, dipaparkan di sini malam tadi.

    Olivia menggayakan pakaian itu, yang menggabungkan elemen tradisional Sabah dan Sarawak, serta mencipta sejarah dalam pertandingan ratu cantik Malaysia apabila beliau muncul sebagai Ratu ‘Destar Siga’ pada majlis itu yang turut disaksikan oleh wakil daripada Malaysia Book of Records.

    Syiling lima sen itu mempunyai motif kain ‘Destar Siga’ iaitu kain tenunan bentuk asli yang berasal daripada masyarakat Kadazan Dusun di Sabah dan digunakan sebagai hiasan kepala semasa upacara tradisional.

    Pereka dari Sarawak Saran Anak Lagong telah mencipta kostum itu, kata Pengarah Kebangsaan Mrs World Sdn Bhd Datin Harveen Kaur.

    Beliau berkata Olivia akan bersaing dengan wakil dari lebih 60 negara untuk merebut mahkota Mrs World 2022 di Las Vegas dari 10 hingga 17 Dis ini.

    Olivia akan ditemani suaminya Dr Sandeep Menon ke acara itu, katanya. – BERNAMA

  • Syed Saddiq tetap hormat Muhyiddin, sokong dwipartisan

    Syed Saddiq tetap hormat Muhyiddin, sokong dwipartisan

    PRESIDEN Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap menghormati Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun berada dalam parti berbeza.

    Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, beliau adalah seorang penyokong tegar prinsip dwipartisan sambil menambah, kini adalah waktu untuk kedua-dua pihak memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

    “Walaupun berada dalam parti yang berlainan, hormat saya kepada Muhyiddin Yassin tetap kekal. Hormat kawan dan lawan,” katanya di Facebook.

    Bekas menteri belia dan sukan itu pada masa sama mendedahkan beliau dan Muhyiddin baru-baru ini meluangkan masa selama dua jam untuk berbual, tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut perbincangan.

    Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan ke atas Muhyiddin yang juga pengundi di Parlimen itu.

    Syed Saddiq turut mengajak ke arah pembinaan semula Malaysia dengan maruah dan integriti.

    “Untuk Malaysia jadi negara maju, perlu ada keberanian untuk berkhidmat merentasi sempadan politik,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Syed Saddiq pernah menjadi ketua Pemuda Bersatu pimpinan Muhyiddin sebelum ini.

    Pada PRU-15, Muda memilih Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim sebagai sekutunya.

    Bagaimanapun tidak ada sebarang jawatan diberikan kepada Muda ketika Anwar mengumumkan Jemaah Menterinya, minggu lalu.

  • PN belum putuskan siapa ketua pembangkang

    PN belum putuskan siapa ketua pembangkang

    KETUA pembangkang yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) masih belum diputuskan gabungan itu, kata Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

    Bagaimanapun, beliau menjangkakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

    “Kebiasaannya ketua-ketua parti akan memegang jawatan (Ketua Pembangkang) itu, contoh Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi PH serta Presiden PKR.

    “Jadi, perkara sama juga akan berlaku terhadap Muhyiddin. Cuma setakat ini, bukan ketua parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden UMNO) pernah memegang jawatan itu. Ia bergantung kepada ketetapan (keputusan) yang dibuat parti.

    “Bagaimanapun, saya tidak pasti ada nama lain yang akan diangkat. Justeru, kita akan berjumpa dengan Presiden minggu depan, maksudnya (keputusan) masih belum dibincangkan atau dicadangkan lagi perkara ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut berpandangan kenaikan status menteri kepada Ketua Pembangkang tidak wajar dijadikan fokus utama.

    Jelasnya, ini kerana bukan pangkat yang dikejar sebaliknya memenuhi tuntutan kerja yang lebih penting.

    “Ketua pembangkang bertaraf menteri itu bukan isu, yang penting keberkesanan menjalankan tanggungjawab tersebut dalam mengemudi dan mengetuai blok pembangkang menjadi pasukan berwibawa,” ujarnya.

    Pada 11 Oktober 2021, media melaporkan Anwar menerima ‘surat kenaikan status’ yang mengesahkan pejabat Ketua Pembangkang itu menikmati kemudahan setara pejabat menteri seperti dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH.

    Dalam hantaran di Facebook, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri dalam mesyuarat kedua jawatankuasa pemandu MoU itu, menyerahkan surat pengesahan kepada Anwar membabitkan perkara itu.