Category: Umum

  • ‘Alhamdulillah, inilah isyaratnya’, kata Wan Saiful

    ‘Alhamdulillah, inilah isyaratnya’, kata Wan Saiful

    RAKYAT Padang Serai membuat pilihan tepat dengan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), semalam.

    Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan rakyat Padang Serai itu memastikan parlimen berkenaan tidak dikuasai oleh mereka dari kumpulan yang mengutamakan kepentingan peribadi.

    Sehubungan itu katanya, beliau melahirkan kesyukuran di atas kemenangan calon PN bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin.

    “Alhamdulillah, inilah isyaratnya! Tahniah kepada rakyat Padang Serai kerana membuat pilihan tepat dengan memilih Perikatan Nasional.

    “Ini adalah perjuangan anda dengan memastikan Padang Serai tidak dikuasai oleh mereka dari kumpulan yang mengutamakan kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BeritaBersatu.

    Terdahulu, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi, sekali gus merampas kerusi itu daripada PH.

    Beliau memperoleh 51,637 undi, jauh meninggalkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, serta calon BN, Datuk C Sivaraajh (2,983 undi).

    Dengan kemenangan Azman, PN kini memiliki 74 kerusi di Dewan Rakyat.

  • Kubu PKR satu lagi gugur, isyarat yang jelas

    Kubu PKR satu lagi gugur, isyarat yang jelas

    KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, adalah isyarat yang jelas bahawa rakyat menolak kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) memerintah negara.

    Beliau berkata, keputusan rakyat Padang Serai mengundi PN menyaksikan satu lagi kubu kuat PKR berjaya dirampas.

    “Rakyat Padang Serai tak ambil peduli kerajaan campuran Pakatan Harapan memerintah negara, mereka tetap undi Perikatan Nasional.

    “Kubu PKR satu lagi gugur. Isyarat yang jelas,” kata Ahli Parlimen Machang itu dalam kenyataan ringkas, lapor BeritaBersatu.

    Terdahulu, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi, sekali gus merampas kerusi itu daripada PH.

    Beliau memperoleh 51,637 undi, jauh meninggalkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, serta calon BN, Datuk C Sivaraajh (2,983 undi).

    Dengan kemenangan Azman, PN kini memiliki 74 kerusi di Dewan Rakyat.

  • Tak pernah tandatangan SST projek tebatan banjir – Tuan Ibrahim

    Tak pernah tandatangan SST projek tebatan banjir – Tuan Ibrahim

    BEKAS Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan beliau tidak pernah menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana syarikat berhubung projek tebatan banjir.

    Beliau turut mempersoalkan jumlah peruntukan RM7 bilion yang hendak dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan seperti diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini berikutan peruntukan asal adalah RM15 bilion.

    “Setakat ini, tidak ada SST yang dikeluarkan kepada mana-mana syarikat. Jadi, tidak timbul soal hendak batal sebab ia tidak lulus dan belum dimulakan lagi, selain saya tidak pernah menandatangani peruntukan RM15 bilion ini.

    “Saya juga tidak pasti dari mana datangnya jumlah RM7 bilion yang dibangkitkan ini,” katanya di Kota Bharu hari ini.

    Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2022 dan Pelancaran Dasar Kelantanku Bersih, yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, setiap kali banjir negara mengalami kerugian antara RM6 bilion hingga RM7 bilion dan disebabkan itu isu tebatan banjir perlu diberi perhatian yang serius.

    Beliau memberi contoh projek tebatan banjir Sungai Golok perlu disegerakan kerana jika tidak, Rantau Panjang dan Pasir Mas, Tumpat akan dilanda banjir setiap tahun.

    “Ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, beliau melihat perlu kepada dana yang besar diperuntukkan sebanyak RM15 bilion, namun ia belum dilaksanakan dan baru dalam proses.

    “Keutamaan diberikan kepada perkara yang perlu diberi perhatian. Ia bukan sahaja membabitkan tebatan banjir, malah naik taraf sistem.

    “Sebagai contohnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) perlu dinaik taraf, termasuklah amaran awal banjir kepada pengguna dan ia membabitkan satu pakej yang besar, namun satu pun belum diluluskan lagi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

    Beliau dipetik berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

    Beliau yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, pegawai kementerian itu sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, hampir setiap tahun negeri di Pantai Timur mengalami banjir sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan seolah-olah tidak ada langkah penyelesaian dilaksanakan.

    Beliau bagaimanapun berkata, projek tebatan banjir fasa pertama sudah dilaksanakan dan berharap kerajaan baharu dapat meneruskannya.

    “Secara peribadi, saya rasa perkara ini (projek tebatan) perlu diteruskan demi kepentingan rakyat dan kepentingan negara untuk mengurangkan bencana, kematian serta kerugian.

    “Jika ia tidak dilaksanakan, negara akan mengalami kerugian hampir RM7 bilion setahun. Namun, bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskannya ataupun tidak,” katanya.

  • ‘Binatang juga ada perasaan’ – Warga emas pukul anjing guna kayu didenda RM23,000

    ‘Binatang juga ada perasaan’ – Warga emas pukul anjing guna kayu didenda RM23,000

    SEORANG buruh yang memukul seekor anjing betina dengan sebatang kayu sehingga cedera, didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang di Kuala Lumpur hari ini.

    Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu ke atas Yong Kay Sang, 62, selepas dia mengaku bersalah memukul haiwan milik Yee Chan Fai, 35, di sebuah rumah di Taman Saga di Kuala Lumpur, pada 9 pagi, 24 Mei lepas.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 hingga maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

    Mahkamah memerintahkan Yong sebagai orang kena saman (OKS) menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda itu.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Wan Mohd Norisham berkata OKS tidak sepatutnya bertindak memukul anjing itu menggunakan kayu sehingga cedera kerana binatang juga mempunyai perasaan.

    Berdasarkan fakta kes, Yong diserang anjing berkenaan semasa berada berdekatan keretanya sebelum bertindak melarikan diri apabila dikejar haiwan itu sehingga terjatuh dan mengalami luka di lutut kanan, siku kanan selain lebam di muka.

    Dia kemudian mengejar anjing itu sehingga masuk ke rumah Yee dan memukul haiwan tersebut menggunakan sebatang kayu menyebabkan bahagian ekornya berdarah.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat manakala peguam Hajinder Singh mewakili Yong memohon denda paling minimum kerana anak guamnya penanggung utama keluarga dan mempunyai penyakit darah tinggi serta diabetes.

    “OKS bertindak sedemikian (memukul) kerana diserang anjing tersebut. OKS menyesal dengan tindakan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata peguam.

    Sementara itu di mahkamah sama, Yee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal dalam kewajipannya untuk mengambil langkah-langkah munasabah memastikan keperluan haiwan dipenuhi hingga menyebabkan kecederaan, pada 8.30 pagi, pada tarikh dan lokasi sama.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 24 (1)(a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(3) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan maksimum RM75,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
    Mahkamah menetapkan 19 Jan untuk sebutan semula kes.

  • Kerajaan Melaka mohon PM kaji semula keputusan projek RTB

    Kerajaan Melaka mohon PM kaji semula keputusan projek RTB

    KERAJAAN Melaka memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji semula keputusan projek rancangan tebatan banjir (RTB) bernilai RM7 bilion, yang telah tidak diteruskan baru-baru ini.

    Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia berikutan masalah banjir menjadi isu utama di negeri itu dan sekiranya ditangguh atau disiasat semula, ia dilihat akan menjejaskan usaha mengurangkan masalah tersebut.

    “Di Melaka terdapat empat atau lima projek RTB  ini yang telah bermula sejak September dan ada dilaksanakan melalui rundingan terus, juga ada yang melalui proses tender, kerana ia khusus untuk mengurangkan masalah banjir.

    “Saya mohon pertimbangan semula dan melihat semula kawasan-kawasan projek RTB ini yang perlu segera disiapkan,” katanya kepada pemberita di Duyong di sini hari ini.

    Terdahulu beliau hadir mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menyempurnakan majlis perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Seri Duyong di sini hari ini.

    Mengulas lanjut Sulaiman berkata Melaka menerima kelulusan peruntukan berjumlah RM932 juta bagi melaksanakan projek RTB, bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berisiko yang dikenal pasti.

    Beliau berkata antara projek RTB yang telah diluluskan sebelum ini ialah di Krubong, RTB Sungai Duyong, RTB Alor Gajah, RTB Jasin dan RTB Merlimau.

    Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion, daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender untuk diteliti semula.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. – BERNAMA

  • Adakan pilihan raya pada hari cuti, gesa Tuan Ibrahim

    Adakan pilihan raya pada hari cuti, gesa Tuan Ibrahim

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa mengadakan mana-mana pilihan raya khasnya pilihan raya negeri (PRN) pada hari cuti bukan pada hari bekerja sebagaimana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dan Parlimen Padang Serai semalam.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peratusan keluar mengundi DUN Tioman sebanyak 58.39 peratus adalah rendah.

    Menurut beliau, keadaan itu berlaku apabila sebahagian besar pengundi DUN Tioman bekerja di luar kawasan khasnya Lembah Klang dan faktor jarak yang jauh menyukarkan mereka pulang mengundi.

    “Saya mahu menarik perhatian agar pihak SPR supaya pada masa-masa akan datang mengadakan pilihan raya pada hari cuti terutamnya hari Sabtu.

    “Peratusan keluar mengundi di DUN Tioman sangat rendah khususnya kerana pengundi sebahagian besarnya bekerja di Lembah Klang dengan jarak yang amat jauh sekali gus menyukarkan mereka pulang mengundi,” katanya menerusi ucapan yang disiarkan dalam Facebook beliau.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, peratusan keluar mengundi rendah juga tidak mencerminkan kehendak sebenar pengundi.

    Namun katanya, beliau tetap berharap SPR dapat mempertimbangkan cadangan itu terutamanya menjelang PRN di enam negeri bagi membantu pengundi pulang mengundi.

    “Apapun kita harapkan perkara ini dapat dipertimbangkan oleh pihak SPR supaya pengundian pilihan raya kecil (PRK), PRN diadakan pada hari cuti umum supaya ia akan bantu pengundi-pengundi untuk pulang mengundi,” tambahnya.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim merakamkan terima kasih beliau kepada anggota pasukan keselamatan dan SPR kerana berjaya memastikan pilihan raya Padang Serai dan Tioman berlangsung dengan aman damai.

    Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan, jentera dan penyokong Perikatan Nasional (PN) kerana kerjasama kukuh antara mereka berjaya memastikan kemenangan calon gabungan itu di Padang Serai selain mengecilkan undi diterima gabungan BN-PH di Tioman.

  • Rakyat tidak hanya tolak tetapi meluat

    Rakyat tidak hanya tolak tetapi meluat

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memberi isyarat jelas betapa rakyat bukan sahaja menolak tetapi meluat dengan Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi kerajaan bersama Barisan Nasional (BN).

    Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walaupun tidak mengubah sebarang keputusan di peringkat Persekutuan, kemenangan mereka di Parlimen Padang Serai juga sangat penting.

    “Kemenangan ini sangat penting untuk memberi isyarat sama ada rakyat suka atau rakyat meluat. Kalau perbezaan majoriti 1,000 ke 2,000 undi itu (menandakan) rakyat tolak.

    “Tapi kalau majoriti sampai berbelas-belas ribu itu rakyat meluat. Itulah signifikan keputusan Padang Serai kepada suasana politik hari ini,” katanya selepas pengumuman keputusan PRU15 Parlimen Padang Serai semalam.

    Calon PN Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 selepas mendapat 51,637 undi mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

    Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar berkata, keputusan PH dan BN bekerjasama termasuk yang dilakukan di Padang Serai tetap tidak mampu menghalang kehendak dan kemahuan rakyat walaupun digabungkan jumlah undi antara kedua-duanya.

    Beliau berkata, politik harmoni adalah resepi utama yang memberi keselesaan kepada semua pihak dan tidak berlakon menjadi orang lain yang dilihat membantu kejayaan PN khususnya di negeri itu.

    “Kita buat kerja sungguh-sungguh. Kita tak buang masa main politik, kita pun tak ambil tindakan balas dendam kat orang, kita tak cari salah orang dan kita teruskan projek-projek yang baik. Kita (juga) ada hubungan yang baik dengan pegawai-pegawai, agensi-agensi dan jabatan.

    “Walaupun peratusan keluar mengundi hanya 68.9 peratus (di Padang Serai) tapi kita berjaya catat majoriti 16,260 walaupun kita bertanding enam penjuru. Saya rasa kalau dibuat pada hari cuti, pengundi yang akan keluar lebih ramai dan majoriti akan lebih banyak,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, Kedah tidak mustahil mampu menyapu bersih kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya dibubarkan selepas melihat momentum ketika ini.

    “Kalau dijalankan pilihan raya Parlimen ini sekali dengan DUN, saya yakin kita akan menang 36-0 (kerusi DUN). Jadi ia akan menjadi satu pertimbangan sama ada pilihan raya DUN akan cepat atau lambat. Parlimen ini menjadi kayu ukur,” katanya.

    Bagaimanapun beliau menegaskan hanya akan membubarkan DUN selepas Mac tahun depan seperti yang telah diputuskan bersama Kelantan dan Terengganu, sebelum ini.

  • SPR teliti panjangkan tempoh lebih 60 hari adakan pilihan raya

    SPR teliti panjangkan tempoh lebih 60 hari adakan pilihan raya

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sedang melihat kemungkinan memanjangkan tempoh untuk mengadakan pilihan raya melebihi 60 hari selepas pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sepertimana yang diperuntuk ketika ini.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata perkara itu bagi membolehkan suruhanjaya berkenaan melakukan persiapan sebaik mungkin berikutan pertambahan jumlah pengundi yang banyak setiap tahun di negara ini.

    “Kita akan cuba panjangkan lagi sebab tempoh sekarang ini (60 hari), daripada dahulu hingga sekarang agak sempit (suntuk) sikitlah dengan keadaan jumlah pengundi yang banyak iaitu daripada 14.9 juta sebelum ini meningkat kepada 21.1 juta.

    “Kita juga kena ingat pengundi berusia 18 tahun ini tiap-tiap tahun akan bertambah sebanyak setengah juta, jadi (jumlah pengundi) akan bertambah dan terus bertambah,” katanya pada sidang media malam tadi.

    Terdahulu, beliau hadir ke pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim.

    Menjelas lanjut, Abdul Ghani berkata berikutan peningkatan jumlah pengundi, SPR perlu melakukan persiapan termasuk menyediakan pusat dan saluran mengundi serta petugas agar proses pilihan raya dapat dilaksana dalam keadaan selesa.

    Beliau juga berkata pihaknya berharap pilihan raya bagi enam negeri yang belum mengadakannya dapat dilaksanakan secara serentak bagi memudahkan urusan SPR.

    “Ia akan memudahkan petugas kita, memudahkan kita membuat penyelarasan, itu yang terbaik tapi dari segi kos, sama juga,” katanya.

    Ditanya waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan, Abdul Ghani berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa dalam hal itu dan ia terpulang kepada kepimpinan negeri terbabit.

    Beliau juga berkata pilihan raya bagi keenam-enam negeri dianggarkan menelan belanja kira-kira RM450 juta.

    Abdul Ghani berkata secara keseluruhan, proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah dan DUN Tioman di Pahang berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi agak baik.

    “Secara keseluruhan saya lihat untuk PRU15, peratus keluar mengundi ialah sebanyak 74.71… satu gambaran masyarakat kita mengambil tanggungjawab untuk keluar mengundi,” katanya.

  • Bantah KKM perluas penggunaan PrEP, tekankan langkah pencegahan HIV

    Bantah KKM perluas penggunaan PrEP, tekankan langkah pencegahan HIV

    RANCANGAN Kementerian Kesihatan (KKM) memperluaskan penggunaan ubat Pre-exposure prophylaxis (PrEP) terutama dalam kalangan mereka yang mengamalkan homoseksual mendapat tentangan dan tidak dipersetujui beberapa doktor. Menurut mereka, apa yang perlu lebih ditekankan ialah mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang boleh menyebabkan penyebaran wabak HIV.

    Berikut adalah kenyataan penuh enam doktor dan perunding pakar perubatan keluarga dari beberapa universiti;

    Abstinen, bukan PrEP sebagai mesej utama pencegahan jangkitan HIV

    Kami ingin merujuk kepada laporan berkaitan rancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperluaskan penggunaan ubat Pre-exposure prophylaxis (PrEP) untuk mencegah penyebaran wabak HIV. PrEP adalah ubatan oral yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV yang tersebar melalui hubungan kelamin ataupun penggunaan jarum suntikan yang telah pun diedarkan melalui klinik-klinik kesihatan di Selangor, Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan juga Sabah.

    Buat masa ini, PrEP diberikan kepada individu berstatus HIV-negatif yang berisiko untuk mendapat HIV, seperti pasangan kepada individu yang telahpun menghidap HIV. Individu yang menghidap HIV serta keluarga mereka adalah kategori pesakit yang layak untuk dilindungi dan sepatutnya menerima rawatan terbaik yang tersedia.

    Namun, apa yang membimbangkan, perancangan terkini adalah untuk meluaskan penggunaan PrEP kepada pasangan homoseksual berstatus HIV-negatif dan secara atas permintaan. Kami menggesa untuk KKM menilai semula perancangan ini.

    Kami berpendapat bahawa KKM sepatutnya lebih menumpukan kepada kempen langkah-langkah pencegahan, yang bermula dengan penghindaran perbuatan seks itu sendiri atau abstinen. Mesej-mesej kesihatan dan saranan kepada masyarakat awam untuk mengelakkan hubungan kelamin melalui dubur (seks anal) sepatutnya menjadi langkah utama pencegahan.

    Kos ekonomi yang besar untuk perbelanjaan 𝗣𝗿𝗘𝗣

    ‘Pencegahan lebih baik daripada mengubati’ adalah pepatah lama yang malar segar yang bukan sahaja praktikal dalam kehidupan sehari-harian, malah juga dalam sudut pandang ekonomi negara dan polisi sosial yang menyeluruh. Ini tidaklah bermakna langkah pencegahan awal secara farmaseutikal tidak berkesan atau pun tidak berhasil dalam mengurangkan beban dan kos jagaan dan rawatan.

    Akan tetapi, pencegahan awal melalui farmaseutikal hanya terpakai untuk ubat-ubatan ataupun vaksinasi secara one-off atau ianya dengan kekerapan yang minimum. Sebagai contohnya, pembelian dan pemberian vaksin BCG yang terbukti sangat berkesan untuk melawan penyakit tibi. Begitu juga halnya dengan vaksin yang kita gunakan semasa COVID-19. Namun kita diperlukan mengambil ubat atau vaksin ini di antara sekali atau 3-4 kali sahaja sebagai booster.

    Berbeza dengan PrEP yang memerlukan lelaki yang mengamalkan seks dengan lelaki (MSM) untuk mengambil ubat tersebut setiap hari kerana mereka dikategorikan sebagai ‘individu yang kerap terdedah kepada risiko’. Mengambil kira majoriti pengamal MSM adalah mereka yang masih muda, strategi ini bukan sahaja berupaya meruntuhkan nilai moral masyarakat, bahkan juga dari sudut ekonomi, ia akan menyebabkan berlakunya perbelanjaan yang tinggi dan tidak munasabah.

    Hasil negara yang dikutip melalui pembayar cukai akan dibelanjakan seterusnya membolehkan individu yang berisiko dari segi tingkah laku untuk meneruskan aktiviti mereka sedangkan mereka boleh meninggalkan perbuatan berisiko tinggi dengan memberikan fakta kesihatan yang betul dari aspek kesihatan dan motivasi dari sudut moral.

    Daripada menggunakan dana kita yang terhad kepada PrEP yang ternyata merupakan gaya hidup dan pilihan seseorang untuk mengamalkan seks anal, dana kesihatan kita boleh dimanfaatkan untuk penyakit-penyakit lain seperti penyakit kongenital (penyakit sejak lahir) atau pun penyakit tidak berjangkit (NCD).

    Menyekat kebebasan bersuara pihak agama dalam bidang mereka

    Adalah juga amat dikesali dengan kecaman yang dilontarkan kepada sebarang pendekatan agama dalam memotivasikan individu untuk meninggalkan tingkah laku berisiko ini. Sebarang nasihat yang menjunjung nilai moral masyarakat dibidas dan dikecam secara terbuka, seperti mana kes Malaysian AIDS Council (MAC) yang mengecam seorang agamawan di Hari Menyambut AIDS Sedunia pada 1 Disember lepas kerana dikatakan memberikan ‘kenyataan yang menghina dan berunsur kebencian’. Ironinya, masyarakat umum tidak pula diberitahu apakah kandungan ucapan secara terperinci yang dicop sebagai ucapan berunsur kebencian tersebut.

    Situasi ini ternyata merencatkan kebebasan bersuara dan kebebasan memberikan pandangan dan posisi agama oleh para agamawan dalam bidang mereka dalam perkara yang melibatkan HIV. Menyekat suara agamawan dan pandangan pro-kekeluargaan ini telah terdahulu ditempuh oleh jiran kita iaitu Singapura.

    Terbaharu, kerajaan Singapura telah mengeluarkan homoseksualiti daripada senarai perilaku jenayah. Undang-undang ini menurut masyarakat beragama Kristian dan Islam memberi nilai untuk melindungi institusi keluarga, perkahwinan, kanak-kanak dan kebebasan. Pihak agama di sana dikekang oleh pihak minoriti yang tidak bertoleransi yang cuba untuk mengkucar-kacirkan masyarakat dalam segenap sudut – perkahwinan, pendidikan, perniagaan, kepercayaan – pada masa yang sama mereka yang tidak bersetuju dengan homoseksualiti akan digelar sebagai ‘pentaksub/bigot’ atau ‘pembenci/haters’.

    Hal yang serupa sedang dialami oleh pendakwah dan insitusi keagamaan di Malaysia kini.

    Fraterniti perubatan tidak boleh membenarkan ideologi yang menyerang institusi kekeluargaan berleluasa. Bukan sahaja ia memusnahkan struktur masyarakat, bahkan ianya juga bertentangan dengan data terkini dalam laporan UNAIDS yang menunjukkan peningkatan kes-kes baru HIV dikalangan pengamal homoseksualiti. Amat penting untuk kita tidak mencampur-adukkan keberkesanan mesej dengan siapa yang memberi mesej.

    Abstinen dan kesetiaan kepada pasangan tidak boleh dinafikan oleh profesyen perubatan sebagai satu langkah pencegahan yang utama, yang juga turut diperakui oleh beberapa badan piawaian antarabangsa seperti Pusat Kawalan Penyakit (CDC) yang berpengkalan di Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    WHO turut mendefinisikan kesihatan sebagai suatu keadaan yang dinamik merangkumi aspek fizikal, mental, spiritual, dan kesejahteraan sosial, dan bukan terhad hanya semata-mata kepada ketiadaan penyakit dan ketidakupayaan.

    Adalah berlawanan dengan logik yang mana pengamal kesihatan menggalakkan perkembangan tingkah laku yang berisiko tinggi, bila mana kita sebenarnya perlu untuk menghentikannya. Sebagai contoh; amalan tidak sihat seperti merokok. Pihak CDC menganggarkan pada setiap hari terdapat lebih daripada 3,200 individu muda berumur kurang 18 tahun MULA menghisap rokok. Setiap hari, 2100 remaja dan belia yang merokok sesekali sesekala berubah menjadi perokok harian.

    Mesej utama daripada CDC adalah jelas tanpa berselindung bahawa pencegahan dan pembanterasan amalan merokok adalah perlu dari sudut kesihatan. Walaupun kempen-kempen ini masih belum berjaya menghalang 1.2 juta perokok baharu, ia tidak sesekali menjadi alasan untuk berhenti menjalankan tanggungjawab profesional sebagai seorang pengamal perubatan untuk menghentikan tingkah laku tidak sihat ini.

    Cara kempen yang sama juga sepatutnya terpakai dalam isu pemakanan, senaman dan seksualiti. Mengambil kesimpulan daripada contoh rokok, adakah dalam konteks masyarakat yang masih gagal untuk menghentikan tabiat mengambil makanan manis, maka doktor bolehlah berhenti dari menasihati masyarakat jangan mengambil gula berlebihan sebagai teras utama mesej pemakanan sihat? Sudah tentu ini ini sangat tidak wajar dan tidak ada satu alasan pun kenapa kita perlu berbeza dalam pengurusan masalah HIV yang terkait dengan perilaku berisiko tinggi seks anal dengan tingkah-laku berisiko tinggi yang lain.

    Abstinen
    Abstinen
    Abstinen

    ……adalah mesej utama yang sepatutnya kita ulang-ulang dan tekankan untuk mempromosi pencegahan HIV dalam kalangan MSM.

    Ini adalah kenyataan bersama oleh;

    𝗣𝗿𝗼𝗳𝗲𝘀𝘀𝗼𝗿 𝗗𝗿 𝗥𝗮𝗳𝗶𝗱𝗮𝗵 𝗛𝗮𝗻𝗶𝗺 𝗠𝗼𝗸𝗵𝘁𝗮𝗿
    Profesor Gender dan Fisiologi Kardiovaskular
    Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
    Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

    𝗣𝗿𝗼𝗳𝗲𝘀𝘀𝗼𝗿 𝗗𝗿 𝗦𝗮𝗺𝘀𝘂𝗹 𝗯𝗶𝗻 𝗗𝗿𝗮𝗺𝗮𝗻
    Profesor dan Perunding Pakar Perubatan Keluarga
    Gender Dysphoria Flagship Leader, Kuliyyah Perubatan
    Timbalan Pengarah Kampus, Pejabat Pengarah Kampus, Kuantan
    Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

    𝗣𝗿𝗼𝗳𝗲𝘀𝘀𝗼𝗿 𝗗𝗿 𝗔𝗻𝗶𝘀 𝗦𝗮𝗳𝘂𝗿𝗮 𝗥𝗮𝗺𝗹𝗶
    Profesor dan Perunding Pakar Perubatan Keluarga
    Timbalan Pengarah & Felo Utama I-PPerForM, Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Atherosklerosis dan Pencegahan CVD
    Universiti Teknologi Mara (UiTM)

    𝗣𝗿𝗼𝗳𝗲𝘀𝘀𝗼𝗿 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗿𝗺𝘆 𝗯𝗶𝗻 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗲𝗱 𝗬𝘂𝘀𝗼𝗳
    Dekan Fakulti Perubatan
    Profesor dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga
    Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

    𝗣𝗿𝗼𝗳𝗲𝘀𝘀𝗼𝗿 𝗠𝗮𝗱𝘆𝗮 𝗗𝗿 𝗥𝗼𝘀𝗲𝗱𝗶𝗮𝗻𝗶 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱
    Profesor Madya dan
    Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Wanita dan Kesihatan Seksual
    Universiti Sains Malaysia (USM)
    Dan
    Pengerusi Asia Oceana Federation for Sexology

    𝗣𝗿𝗼𝗳𝗲𝘀𝘀𝗼𝗿 𝗠𝗮𝗱𝘆𝗮 𝗗𝗿. 𝗔𝗻𝗶 𝗔𝗺𝗲𝗹𝗶𝗮 𝗗𝗮𝘁𝗼 𝗭𝗮𝗶𝗻𝘂𝗱𝗱𝗶𝗻
    Profesor Madya Obstetrik dan Ginekologi
    Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Ginekologi Remaja dengan Pengkhususan dalam Perkembangan Seks
    Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

  • Keputusan PRK bukti rakyat tak percaya gabungan BN-PH – Muhyiddin

    Keputusan PRK bukti rakyat tak percaya gabungan BN-PH – Muhyiddin

    KEMENANGAN besar Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai dan kekalahan tipis di DUN Tioman menunjukkan rakyat tidak teruja dan mempercayai gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga petanda positif sokongan padu rakyat kepada gabungan itu kerana kedua-kedua kerusi itu masing-masing dimenangi oleh PH dan BN dalam PRU-14.

    Menurut Presiden Bersatu itu, majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam PRU-14.

    “Syukur ke hadrat Allah SWT, kemenangan besar PN di Padang Serai dan kekalahan tipis di Tioman merupakan petanda positif sokongan padu rakyat kepada PN. Kedua-kedua kerusi ini masing-masing dimenangi oleh PH dan BN dalam PRU 14.

    “Keputusan kedua-dua PRK (pilihan raya kecil) ini menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN dan PH. Majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam PRU 14.

    “Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

    Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, kemenangan besar PN itu juga menunjukkan rakyat tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara.

    Beliau berkata, kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU-15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN.

    “Bagi saya, penipuan PH dan BN dalam PRU 15 adalah “the biggest electoral fraud ever” dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini,” kata beliau.

    Sementara itu, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh mengucapkan terima kasih beliau kepada para pengundi di Padang Serai dan Tioman yang telah memilih Perikatan Nasional.

    Katanya, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang beliau di Padang Serai dan kepada calon PN di Tioman, Nor Idayu Hashim.

    “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Cikgu Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang beliau di Padang Serai. Kepada calon PN di Tioman, Puan Nuridayu Hashim, teruskan perjuangan anda bersama PN. Kita berada di landasan yang benar.

    “Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya PN di Padang Serai dan Tioman atas komitmen dan kerja keras anda semua sepanjang tempoh berkempen,” tambah beliau.

    Keputusan bagi Parlimen Padang Serai menyaksikan Perikatan Nasional (PN) meneruskan penguasaan majoriti kerusi Parlimen di Kedah selepas calon gabungan itu Datuk Azman Nasrudin memenangi kerusi yang merupakan kubu kuat PKR itu dengan memperoleh 51,637 undi dalam pertembungan enam penjuru.

    Kemenangan itu sekali gus menyaksikan PN hampir “menyapu bersih” kerusi Parlimen di Kedah apabila memperoleh 14 daripada 15 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri berkenaan, setelah tewas tipis di Sungai Petani dengan majoriti 1,115 undi kepada calon PH.

    Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi, menewaskan calon PH Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, Datuk C. Sivaraj (Barisan Nasional – BN) memperoleh 2,983 undi dan calon Bebas Sreanandha Rao mendapat 846 undi.

    Sementra itu di DUN Tioman, calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain menang dengan majoriti tipis 573 undi selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon PN Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi.