KEMENANGAN besar Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai dan kekalahan tipis di DUN Tioman menunjukkan rakyat tidak teruja dan mempercayai gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga petanda positif sokongan padu rakyat kepada gabungan itu kerana kedua-kedua kerusi itu masing-masing dimenangi oleh PH dan BN dalam PRU-14.

Menurut Presiden Bersatu itu, majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam PRU-14.

“Syukur ke hadrat Allah SWT, kemenangan besar PN di Padang Serai dan kekalahan tipis di Tioman merupakan petanda positif sokongan padu rakyat kepada PN. Kedua-kedua kerusi ini masing-masing dimenangi oleh PH dan BN dalam PRU 14.

“Keputusan kedua-dua PRK (pilihan raya kecil) ini menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN dan PH. Majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam PRU 14.

“Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, kemenangan besar PN itu juga menunjukkan rakyat tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara.

Beliau berkata, kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU-15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN.

“Bagi saya, penipuan PH dan BN dalam PRU 15 adalah “the biggest electoral fraud ever” dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini,” kata beliau.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh mengucapkan terima kasih beliau kepada para pengundi di Padang Serai dan Tioman yang telah memilih Perikatan Nasional.

Katanya, beliau juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang beliau di Padang Serai dan kepada calon PN di Tioman, Nor Idayu Hashim.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Cikgu Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang beliau di Padang Serai. Kepada calon PN di Tioman, Puan Nuridayu Hashim, teruskan perjuangan anda bersama PN. Kita berada di landasan yang benar.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya PN di Padang Serai dan Tioman atas komitmen dan kerja keras anda semua sepanjang tempoh berkempen,” tambah beliau.

Keputusan bagi Parlimen Padang Serai menyaksikan Perikatan Nasional (PN) meneruskan penguasaan majoriti kerusi Parlimen di Kedah selepas calon gabungan itu Datuk Azman Nasrudin memenangi kerusi yang merupakan kubu kuat PKR itu dengan memperoleh 51,637 undi dalam pertembungan enam penjuru.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan PN hampir “menyapu bersih” kerusi Parlimen di Kedah apabila memperoleh 14 daripada 15 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri berkenaan, setelah tewas tipis di Sungai Petani dengan majoriti 1,115 undi kepada calon PH.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi, menewaskan calon PH Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, Datuk C. Sivaraj (Barisan Nasional – BN) memperoleh 2,983 undi dan calon Bebas Sreanandha Rao mendapat 846 undi.

Sementra itu di DUN Tioman, calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain menang dengan majoriti tipis 573 undi selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon PN Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here