Category: Umum

  • Majlis Pemulihan Negara dibatalkan – Anwar

    Majlis Pemulihan Negara dibatalkan – Anwar

    MAJLIS  Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ditamatkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurut Perdana Menteri, kerajaan tidak memerlukan lagi khidmat majlis itu kerana fungsinya bertindih dengan fungsi agensi dan badan kerajaan yang lain selain mengakibatkan lebihan kos yang terpaksa ditanggung kerajaan.

    Anwar berkata, kerajaan juga sedang mengkaji beberapa lagi badan dan agensi kerajaan, termasuk Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) bagi mengurangkan tanggungan kerajaan.

     “MPN dibatalkan. Itu juga satu badan yang bertindih, satu jawatan untuk memenuhi keperluan ketika itu.

    “Ada cadangan berkenan GIACC dan kita akan teliti kerana banyak badan yang berlaku pertindihan. Kalau bidang itu boleh dikendalikan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau PDRM (Polis Diraja Malaysia) itu kita nak kurangkan kerana tiap agensi bertindih akan ada kos.

    “Yang penting dalam Pusat Governans (GIACC) itu, prinsip itu diterima tapi tak boleh terlalu banyak sepertimana saya lakukan dengan Ketua Setiausaha Negara. Malah tugas PM pun banyak saya lepaskan supaya dipertanggungjawab kepada Timbalan-Timbalan PM, tapi kalau boleh digabungkan lebih elok,” katanya lagi.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, hari ini, lapor AstroAwani.

    Dalam pada itu, Anwar berkata, Jemaah Menteri juga telah meminta Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk mempercepatkan kemasukan pekerja asing bagi memenuhi keperluan tiga sektor utama iaitu perladangan, perkhidmatan dan pembinaan.

    “Ketiga-tiga sektor ini harus diberi tumpuan kerana kelewatan kelulusan menyebabkan usaha pengeluaran terganggu,” katanya lagi.

    Selain itu Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju agar agensi kerajaan berkaitan kelulusan perniagaan dapat bergerak dengan lebih efisien.

    “Kita pastikan, mulai sekarang cara jentera kerajaan atau jabatan yang mengurus permohonan perniagaan itu harus lebih pantas, cepat dan efisien… saya dan Ketua Setiausaha Negara akan bantu selaraskan semua supaya kepesatan kelulusan ini dapat dilakukan.

    “Saya percaya penglibatan dalam penyelarasan ini dapat membantu kerana sekarang ini sudah ada petanda sangat positif, pengusaha dan pelabur yang datang dan bertanya dan kita harus mulakan tunjukkan ada kaedah dan cara kelulusan tindakan yang lebih pesat dikesan seluruhnya,” kata Anwar lagi.

  • Muhyiddin tidak tempah Mercedes, tidak pernah guna kereta rasmi – Dr.Marzuki

    Muhyiddin tidak tempah Mercedes, tidak pernah guna kereta rasmi – Dr.Marzuki

    BEKAS Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8, Datuk Dr.Marzuki Mohamad menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahm terkhilaf apabila memberitahu Dewan Rakyat semalam Tan Sri Muhyiddin Yassin memesan (tempat) sebuah kereta rasmi yang dipercayai merujuk kepada kereta Mercedes S600.

    Kata Dr.Marzuki, Anwar memberitahu tempahan itu tidak diteruskan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dibatalkan oleh beliau.

    ‘’Sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600. Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Jabatan Perdana Menteri ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula. Kelulusan akhir perlu dibuat oleh  Kementerian Kewangan. Saya kembalikan minit tersebut kepada pegawai dan ia terhenti setakat itu sahaja,’’ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dr.Marzuki berkata, sehinggalah Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos 2021, kereta Mercedes itu tidak pernah ditempah atau dibeli oleh kerajaan.

    ‘’Saya percaya kenyataan PM-10 bahawa Tan Sri Muhyiddin telah memesan kereta tersebut adalah terkhilaf,’’ katanya.

    Beliau berkata, Muhyiddin tidak menggunakan kereta rasmi kerajaan.

    ‘’Muhyiddin menggunakan kereta peribadinya yang sama sejak berada di dalam pembangkang, semasa menjadi Menteri Dalam Negeri, semasa menjadi Perdana Menteri dan sehinggalah sekarang,’’ katanya

  • Peguam dakwa Anwar mohon pengampunan sebanyak dua kali

    Peguam dakwa Anwar mohon pengampunan sebanyak dua kali

    SEORANG peguam menyanggah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengampunan yang diberi oleh Sultan Muhammad V ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 2018.

    Portal MalaysiaNow melaporkan, menurut dokumen Perintah Pengampunan dan Pembebasan Serta Merta Anwar yang dikongsikan Rafique Rashid di akaun media sosial beliau, Presiden PKR itu sebenarnya dua kali memohon kepada Lembaga Pengampunan pada 2015 dan 2017 untuk diampunkan namun kedua-dua rayuan tersebut ditolak.

    Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar selepas didapati bersalah atas tuduhan liwat.

    Berdasarkan dokumen itu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 16 Mac 2015 dan 27 Februari 2017 menimbang rayuan banduan dan fakta-fakta kes tersebut.

    Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan menasihatkan supaya hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap Anwar hendaklah diteruskan.

    “Dan bahawasanya adalah munasabah pada hemat Beta, belas kasihan patut diberi kepada Anwar Ibrahim,” demikian menurut dokumen yang mempunyai tandatangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada masa itu.

    Seterusnya dokumen itu disambung dengan perintah baginda supaya Anwar diberi pengampunan penuh dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan serta diberi pembebasan serta merta.

    Menurut Rafique, dokumen ini jelas menunjukkan Anwar membuat permohonan pengampunan sebelum ini, cumanya ia ditolak.

    “Perdana menteri, sila betulkan fakta. Lembaga Pengampunan terletak di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan. Dalam apa jua keadaan, jelas menunjukkan anda sebanyak dua kali, pada 2015 dan 2017, cuba mendapatkan pengampunan tetapi tidak berjaya,” kata Rafique.

    Tambah beliau, rayuan pengampunan ini hanya melibatkan kes liwat kedua dan tidak termasuk kes salah guna kuasa ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

    “Itu masih kekal sebagai kesalahan yang mana hukuman telah dijalankan,” katanya.

    Di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menjelaskan beliau tidak memohon pengampunan sebaliknya ia adalah insiatif daripada Sultan Muhammad V.

    Katanya, Sultan Muhammad yang aktif mengikuti perkembangan perbicaraan kesnya  telah menelefon untuk memaklumkan sendiri bahawa beliau akan diberi pengampunan penuh.

    “Saya tidak mohon pengampunan kerana saya dihukum, biar ini jelas dalam rekod.

    “Kita bantah penghakiman yang melanggar prinsip hukum mengada-adakan kes.

    “Yang mengambil inisiatif itu ialah Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu,” kata Anwar di Dewan Rakyat hari ini.

    Semalam Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin mencabar  Anwar mengambil tindakan terhadap media antarabangsa yang mengeluarkan laporan hingga boleh mencemarkan imej negara.

    Beliau menggunakan contoh laporan media dari Itali Agenzia Nova yang menerbitkan artikel bertajuk “First Full-blown Homosexual Elected Prime Minister in an Islamic Country”.

  • ‘’Saya tidak akan campur urusan badan kehakiman’’ – Anwar

    ‘’Saya tidak akan campur urusan badan kehakiman’’ – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaannya tidak akan campur tangan dalam mana-mana kes mahkamah yang sedang berlangsung.

    Beliau turut memberi jaminan bahawa beliau akan memastikan kebebasan badan kehakiman.

    “Selaku Perdana Menteri, saya tidak akan campur urusan badan kehakiman, dan mereka (hakim) jalankan (tugas) dengan bebas dan telus.

    “Mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada Perlembagaan (Persekutuan) dan rakyat, dan akhirnya kepada Allah SWT,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini, lapor FMT.

    Beliau mendakwa, pelabur antarabangsa keberatan untuk melabur di Malaysia kerana kurang keyakinan terhadap kebebasan dan ketelusan badan kehakiman dan agensi penguatkuasaan.

    Anwar juga berkata, beliau telah bercakap dengan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki untuk mengingatkan beliau sedang berhadapan dengan Perdana Menteri baharu yang “maksud apa yang beliau katakan” apabila membanteras rasuah.

    “Saya mahu membersihkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa,’’ tegasnya.

    Anwar juga menggesa Ahli Parlimen supaya menjaga tatasusila ketika berbahas di Dewan Rakyat, susulan perang mulut berlaku di Dewan Rakyat semalam.

    Beliau kemudiannya mengecam Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana didakwa memfitnahnya semalam dengan memetik laporan agensi berita Itali yang kurang dikenali yang menyifatkan beliau sebagai “homoseksual”.

    Hamzah bertanya kepada Anwar sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita, Agenzia Nova.

    Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mempersoalkan kredibiliti saluran berita itu, menunjukkan bahawa ia tidak berada dalam senarai saluran berita Reuters di Itali.

    Beliau memberitahu Hamzah supaya tidak “menipu” rakyat, sambil menambah beliau berpendapat ketua pembangkang itu akan memetik portal berita atau agensi yang betul “setaraf” dengan Bernama, BBC atau New York Times.

  • Kerajaan teruskan pemberian kenaikan gaji tahunan, bantuan khas kewangan

    Kerajaan teruskan pemberian kenaikan gaji tahunan, bantuan khas kewangan

    KERAJAAN Perpaduan bersetuju untuk meneruskan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam gred 11 hingga 56, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata kerajaan juga bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah dan sebanyak RM350 kepada satu juta pesara kerajaan.

    “Kerajaan Perpaduan ini amat berterima kasih atas kesungguhan yang tidak berbelah bahagi anggota awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Kerajaan memang silih berganti, tetapi penjawat awam kekal setia dan dedikasi demi negara,” kata beliau ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di Dewan Rakyat hari ini.

    Rang Undang-undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 itu melibatkan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650.

    Di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, beberapa inisiatif diumumkan untuk penjawat awam antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran KGT mulai Januari depan dan pemberian BKK Tahun 2023 sebanyak RM700 pada Januari.

    Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) turut menyeru kerajaan baharu di bawah pimpinan Anwar supaya mengekalkan semua inisiatif untuk penjawat awam yang telah diumumkan kerajaan terdahulu.

    Presidennya Datuk Adnan Mat dilaporkan berkata inisiatif yang telah diumumkan melalui Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023 pada 7 Nov lepas, adalah suatu yang telah dijanjikan oleh kerajaan selaku majikan kepada penjawat awam.

    — BERNAMA

  • ‘Sultan Muhammad V telefon saya, beri pengampunan tanpa syarat’ – Anwar

    ‘Sultan Muhammad V telefon saya, beri pengampunan tanpa syarat’ – Anwar

    DATUK Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa beliau tidak pernah memohon pengampunan pada 2018 daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V, kerana kesalahan yang sudah disabitkan.

    Perdana Menteri menegaskan Sultan Muhammad V berkenan mengambil inisiatif dan menelefon beliau untuk memberikan pengampunan penuh tanpa syarat kerana baginda mengikut perkembangan perbicaraan kesnya.

    Kata Ahli Parlimen Tambun itu lagi, apa yang diperjuangkan sebelum ini adalah bantahan terhadap penghakiman, yang disifatkan melanggar prinsip hukum.

      “Saya harap Yang Berhormat khususnya dari Kelantan boleh mohon menghadap Sultan Muhammad V. Saya tidak mohon pengampunan kerana saya dihukum, itu adalah jelas.

    “Kita bantah penghakiman yang melanggar prinsip hukum, mengada-adakan termasuk dalam kes pertama membuat pertuduhan peristiwa berlaku di bangunan yang belum ada, dan memaksa orang menjadi saksi atau mengambil siasatan sebelum pun laporan polis dibuat.

    “Saya nak jelaskan di sini ini fakta, ialah (YDPA) menelefon saya dan menyatakan Anwar, saya akan beri pengampunan penuh kerana saya ikuti perkembangan perbicaraan saudara dan saya petik apa yang Baginda guna ialah travesty of the justice atau pelanggaran prinsip keadilan.

    “Oleh demikian saya (Sultan Muhammad V) akan memberi pengampunan penuh segera,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini, lapor AstroAwani.

    Presiden PKR itu berkata, Pas didakwa memainkan persepsi pembebasannya kerana ‘permohonan’ pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Pada April 1999, Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas tuduhan rasuah, dan pada Ogos 2000 beliau dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kerana kesalahan liwat.

    Pada 2004, beliau dibebaskan selepas sabitan liwatnya dibatalkan tetapi pembebasannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Mac 2014.

    Beliau kemudian menerima pengampunan diraja dan dibebaskan pada 2018 sebaik Pakatan Harapan mentadbir negara.

  • Kalah teruk dalam PRU, ‘terikat’ MoU PH…apa lagi UMNO ada?

    Kalah teruk dalam PRU, ‘terikat’ MoU PH…apa lagi UMNO ada?

    SEBELUM Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) , pemimpin UMNO termasuklah ketua-ketua sayap parti itu sering menegaskan apa sahaja yang mereka lakukan adalah demi tuntutan ahli akar umbi.

    Dasar ‘No Anwar,No DAP’ atas kemahuan akar umbi, tidak bekerjasama dengan Bersatu atas kehendak akar umbi dan bertanding solo dalam PRU-15 atas desakan akar umbi.

    Tetapi apa yang berlaku selepas PRU-15 membuktikan suara akar umbi entah ke mana. Kekalahan paling teruk dalam sejarah pilihan raya bagi parti itu ternyata tidak menghalang barisan kepemimpinan parti melakukan percaturan politik tanpa lagi merujuk kepada ‘suara akar umbi’.

    Dengan bersandarkan alasan ‘patuh kepada titah Agong’, UMNO dan BN melanggar dasarnya sendiri apabila lebih selesa untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang hakikatnya hanya mendapat 11 peratus sahaja sokongan orang Melayu.

    UMNO ada pilihan untuk bersama Perikatan Nasional yang mendapat sokongan 54 peratus sokongan Melayu tetapi tanpa bertanya dahulu kepada ‘akar umbi’, kepemimpinan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.

    Ketika tindakan itu mendapat kecaman dan menjadi bahan kritikan dalam media-media sosial, sebahagian pemimpin UMNO terus mempertahankan langkah itu dengan alasan demi mewujudkan kerajaan yang stabil. Dan kini mereka bagaikan ‘menyeret’ parti itu ke dalam perangkap politik PH apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Gabungan Parti Kerajaan Perpaduan.

    Melalui MoU itu, kesemua ahli Parlimen BN termasuk 26 daripada UMNO MESTI menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan menyokong usul yang dibentangkan kerajaan. Ia bermakna ahli-ahli Parlimen BN/UMNO bagaikan ‘ditutup mulut’ dan ‘diikat tangan’ untuk membuat keputusan sendiri. Mereka perlu mengikut rentak politik PH.

    Kalau membantah, ‘hukumannya’ mereka boleh kehilangan kerusi Parlimen yang disandang. Walaupun pakar-pakar perundangan menganggap MoU itu tidak berperlembagaan namun ia ia tidak mampu menutup hakikatnya bahawa UMNO kini ‘sudah kehilangan segala-galanya’.

    Sudahlah prinsip,dasar dan ketetapan parti sekadar menjadi ‘hiasan’, kini hala tuju UMNO pula semakin bercelaru. Dengan menjalinkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan diterajui PH yang DAP memiliki kerusi terbanyak ‘suara’ UMNO akan terus tenggelam.

    Perlu diingatkan kerajaan pimpinan Anwar mempunyai majoriti dua pertiga, maknanya 148 kerusi, kalaupun BN menarik diri (sesuatu yang tak mungkin berlaku) – Anwar masih ada sokongan 118 ahli Parlimen. Maknanya, peluang untuk suara UMNO dipinggirkan amat tinggi. Kalau itu berlaku apa lagi yang UMNO ada? Sudahlah kalah teruk akibat ditolak rakyat dalam PRU, ‘tangan pula terikat’ dengan MoU. Bijak sungguh kepemimpinan UMNO membuat percaturan.

    Apa akar umbi boleh buat? Mereka tidak boleh berbuat apa-apa sebaliknya hanya menonton sahaja ‘percaturan’ politik kepemimpinan atasan yang ‘Bersatu Bersama PH’, ‘Bersetia Dengan Anwar’ dan “Berkhidmat Bersama-sama DAP’.

  • Perjanjian persefahaman gabungan parti tidak berperlembagaan – Muhyiddin

    Perjanjian persefahaman gabungan parti tidak berperlembagaan – Muhyiddin

    Perjanjian persefahaman gabungan parti tidak berperlembagaan – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin menyifatkan Perjanjian Persefaham yang ditandatangi oleh gabungan parti dalam Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak berperlembagaan.

    Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, perjanjian itu bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

    Berikut kenyataan penuh beliau:

    Saya memandang serius Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mewajibkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dari parti masing-masing mengundi usul-usul tertentu di Dewan Rakyat termasuk undi percaya kepada Perdana Menteri yang mana kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi Parlimen yang disandang.

    Perjanjian ini adalah bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Ahli-Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi hanya apabila mereka melompat parti. Undang-undang anti lompat parti tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat. 

    Tidak ada mana-mana bahagian dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusinya jika beliau tidak menurut arahan parti dalam pungundian mana-mana usul atau rang undang-undang.

    Malah, hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.

    Butiran 21.3 dan 21.2 penyata ini menyebut:

    21.3  Jawatankuasa mengambil maklum pandangan bahawa ADR (Ahli Dewan Rakyat) yang tidak mengundi mengikut arahan parti politik (crossing the floor) dianggap bertukar parti adalah tidak berperlembagaan kerana ADR mempunyai hak kebebasan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengundi di Dewan Rakyat.

    21.4  Jawatankuasa bersetuju bahawa tindakan ADR yang mengundi bertentangan dengan arahan parti politik di Dewan Rakyat (crossing the floor) adalah tidak dianggap bertukar parti dan tidak terhenti menjadi ADR.

    Maka, berdasarkan peruntukan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas yang disebutkan di atas, saya percaya Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh parti-parti gabungan dalam kerajaan pimpinan PH adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

    Perjanjian yang tidak berperlembagaan ini menunjukkan seolah-olahnya Perdana Menteri tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

    Sekiranya beliau yakin, maka tidak perlulah beliau mengambil tindakan yang tidak berperlembagaan ini.

    Lebih daripada itu, saya bimbang sekiranya perjanjian ini dianggap sah, maka kerajaan pimpinan PH akan memaksa Ahli-Ahli Dewan Rakyat mereka mengundi usul-usul atau rang undang-undang lain pada masa akan datang, termasuk yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

    Ini kerana, sepertimana yang didakwa oleh Perdana Menteri, beliau telah pun mempunyai sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat, iaitu genap majoriti 2/3 Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan perlembagaan dibuat.

    Sekiranya perjanjian persefahaman yang berunsur kediktatoran (dictatorial) ini dianggap sah, maka tidak mustahil pindaan perlembagaan yang bertentangan dengan naluri (conscience) Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan nilai masyarakat di negara ini akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa.

    Rakyat Malaysia tentunya tidak mahu pilihanraya yang diadakan secara bebas, adil dan demokratik akhirnya menghasilkan sebuah kerajaan yang tidak demokratik.

  • Bukan sekadar bangkang, PN akan tegur kerajaan untuk rakyat – Hamzah

    Bukan sekadar bangkang, PN akan tegur kerajaan untuk rakyat – Hamzah

    PENGALAMAN sebagai kerajaan sebelum ini akan digunakan oleh Perikatan Nasional (PN) untuk memainkan peranan sebagai blok pembangkang di Parlimen sebaik mungkin termasuk menegur kerajaan jika ada perkara yang dilaksanakan tidak menguntungkan rakyat.

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pengalaman itu juga boleh membantu mereka menyampaikan pandangan kepada pentadbiran kerajaan ketika ini.

    “Kita (PN) ada pengalaman, kita akan tegur dan sampaikan bila ada perkara yang tidak baik,” kata Ahli Parlimen Larut itu selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di sini hari ini.

    Mengenai keputusan PN untuk menamakan beliau sebagai Ketua Pembangkang, Hamzah berkata beliau menerimanya sebagai amanat dan tanggungjawab besar.

    “Bukan sekadar membangkang tapi sebagai kumpulan yang berwibawa bagi memastikan kerajaan bekerja dengan baik,” katanya.

    Mesyuarat Jawatankuasa PN baru-baru ini bersetuju melantik Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

    Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Dis serta merupakan sidang Dewan Rakyat pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA

  • Tanah runtuh Batang Kali: 25 dikhuatiri masih hilang, 9 maut setakat 10.41 pagi

    Tanah runtuh Batang Kali: 25 dikhuatiri masih hilang, 9 maut setakat 10.41 pagi

    SEKURANG-kurangnya sembilan individu maut manakala 60 lagi mangsa selamat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali awal pagi ini.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 10.41 pagi seramai 94 orang mangsa terlibat dalam kejadian itu.

    Katanya, usaha mencari dan menyelamat 25 lagi mangsa dikhuatiri tertimbus masih diteruskan.

    “Setakat jumlah mangsa yang ditemui, 60 orang dalam keadaan selamat dan dukacita 9 mangsa laporkan meninggal dunia.

    “Usaha mencari dan menyelamat 25 lagi mangsa diteruskan,” kata Nadma dalam kenyataan terkini.

    Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali. FOTO PASUKAN MENCARI DAN MENYELAMAT KHAS MALAYSIA

    Kira-kira pukul 2 pagi ini, satu kejadian tanah runtuh dilaporkan di Fathers Organic FARM, Batang Kali, Kuala Selangor yang telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.

    Menurut Jurucakap Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Selangor, daripada jumlah yang maut, seorang daripadanya sudah dikenal pasti sebagai wanita dewasa manakala dua lagi adalah kanak-kanak manakala identiti mereka yang terkorban masih belum dikenal pasti.

    Kejadian tanah runtuh tersebut berlaku setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan 0.4 hektar.

    Antara agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).