Category: Sukan

  • Tahniah JDT juara Liga Super kali kelapan berturut-turut – Muhyiddin

    Tahniah JDT juara Liga Super kali kelapan berturut-turut – Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) yang secara rasminya bergelar juara Liga Super musim ini selepas tamat perlawanan menentang KL City FC malam tadi.

    Muhyiddin turut berkongsi rasa bangga serta gembira atas kejayaan dan rekod yang dicipta pasukan Harimau Selatan yang memenangi kejuaraan tersebut buat lapan musim berturut-turut.

    “Tahniah JDT yang sekali lagi dinobatkan sebagai Juara Liga Super malam ini, kejayaan kali kelapan berturut-turut buat Harimau Selatan.

    “Sebagai anak Johor, saya pastinya turut sama berkongsi rasa bangga serta gembira atas kejayaan dan rekod yang dicipta pasukan ini.

    “Kejayaan yang dilakar JDT membuktikan dengan perancangan, iltizam dan komitmen tinggi, sesebuah pasukan boleh berjaya dan terus melakar rekod baharu dalam arena bola sepak negara,” tulisnya di Facebook malam tadi.

    JDT muncul juara Liga Super secara rasmi malam tadi selepas menewaskan KL City 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Sebelum upacara penyerahan piala Liga Super musim ini, turut diadakan Majlis penyerahan replika cek sumbangan daripada JDT kepada wakil petugas barisan hadapan berjumlah RM1 juta.

    Sumbangan itu menepati hasrat pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendedikasikan kejuaraan Liga Super kali kelapan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bekerja sepenuh hati ketika pandemik Covid-19.

    Tunku Mahkota Johor menyuarakan hasrat tersebut agar JDT mendermakan duit kejuaraan liga kepada tabung untuk keluarga-keluarga petugas barisan hadapan.

  • KBS kaji Sukma Johor 2020 ikut Olimpik Tokyo

    KBS kaji Sukma Johor 2020 ikut Olimpik Tokyo

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengkaji kaedah penganjuran yang terbaik bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 dan mungkin menggunakan pendekatan sama digunakan pada sukan Olimpik Tokyo 2020.

    Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara kaedah penganjuran yang akan dipertimbangkan ialah mengadakan acara sukan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

    “Dari segi persiapan, saya lihat kerajaan Negeri begitu teliti dan venue-venue Sukma sudah tersedia untuk digunakan. Malah, penyelenggaraan venue juga telah dibuat dengan baik dan bersedia untuk menganjurkan.

    “Jadi, kita akan berbincang cara terbaik untuk perancangan seterusnya. Kita juga mendapati ada suara-suara yang ada pandangan lain tentang kaedah penganjuran temasya sukan itu.

    “Soal penganjuran, kita akan meneliti cara terbaik untuk Sukma Johor 2020. Ia masih di tahap perbincangan kaedah penganjurannya dan berlangsung secara tertutup (tanpa penonton) antara yang akan dibincangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin di sini hari ini.

    Ahmad Faisal berkata, beliau akan bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membincangkan lanjut mengenai perkara itu.

    Katanya, banyak isu lain berkaitan Sukma Johor 2020 yang akan dibincangkan termasuk gelembung atlet memandangkan berusia bawah 17 tahun yang belum menerima vaksin.

    “Kita kena tahu, penganjuran Sukma ini akan membabitkan atlet kemungkinan usia bawah 17 tahun. Jadi, ini antara perkara yang perlu kita fikirkan.

    “Penganjuran Sukma Johor 2020 adalah fokus utama KBS dan berikan kami sediki masa untuk mengatur jadual temasya tersebut,” katanya.

    Semalam, Onn Hafiz memberitahu bahawa Johor bersedia menjadi tuan rumah Sukma pada tahun hadapan selepas ditangguhkan dua kali sebelum ini akibat wabak Covid-19 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

    Onn Hafiz berkata, semua venue Sukma di negeri ini juga sudah siap 100 peratus dan kerajaan Johor turut memperuntukkan RM4.2 juta bagi menyelenggara kemudahan dan lokasi acara Sukma di negeri ini.

    Tambahnya, Johor masih menunggu keputusan sama ada Sukma Johor 2020 boleh dianjurkan pada tahun hadapan yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma dalam masa terdekat.

  • Atlet guna bahan terlarang tidak bertanggungjawab, tiada semangat kesukanan

    Atlet guna bahan terlarang tidak bertanggungjawab, tiada semangat kesukanan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan tindakan atlet yang menyalahgunakan bahan terlarang bagi tujuan meningkatkan prestasi mereka sebagai sikap yang tidak bertanggungjawab.

    Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbuatan tersebut menunjukkan betapa atlet terbabit tidak mempunyai semangat kesukanan seperti yang diharapkan.

    Menurut beliau, pihak kementerian malah di pihak persatuan mempunyai polisi yang ketat berhubung perkara itu yang boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya terbukti mereka terlibat dalam isu ‘doping’ tersebut.

    “Pihak KBS amat tidak bersetuju dengan tindakan para atlet yang menyalahgunakan substance untuk menaikan prestasi ini adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai semangat kesukanan.

    “Jadi jika terbukti seseorang atlet itu menyalahgunakan pengambilan ‘substance’ untuk menaikkan prestasinya, ada polisi yang membolehkan kementerian akan mengambil tindakan untuk mengantung atlet tersebut,” katanya.

    Beliau mengulas mengenai tindakan yang akan diambil kementerian terhadap atlet yang dipercayai positif doping itu.

    Pada Ahad lalu, Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Azura Abidin mengesahkan dua atlet negara yang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) positif penggunaan bahan terlarang pada ujian yang dilakukan Jun lalu.

    Susulan itu, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) turut mengesahkan bahawa dua atlet yang dilaporkan positif penggunaan bahan terlarang itu adalah atlet angkat berat.

    Dalam kenyataan dikeluarkan Isnin lalu, kedua-dua mereka telah digantung daripada sebarang aktiviti, latihan dan kegiatan sukan angkat berat Malaysia sehingga proses pendengaran dan hukuman dijalalankan.

    Mengulas lanjut, Ahmad Faizal akui masih belum meneliti laporan berhubung kes berkenaan.

    “Adalah amat tidak adil bagi saya untuk menyatakan apa tindakan yang akan dibuat tetapi pihak KBS sentiasa (memandang serius berhubung isu tersebut).

    “Selain kementerian, pihak persatuan sendiri akan ambil tindakan untuk tidak membenarkan atlet berkenaan untuk ambil bahagian dalam acara akan datang,” katanya.

  • Pembatalan Piala Presiden, Piala Belia bukan dibuat secara suka-suka

    Pembatalan Piala Presiden, Piala Belia bukan dibuat secara suka-suka

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PIALA Presiden dan Piala Belia yang dibatalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menimbulkan kemarahan banyak pihak bukan dilakukan secara suka-suka.

    Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan, keputusan itu dibuat dengan penuh tanggungjawab kerana agak sukar mengawal pemain jumlah yang begitu besar untuk mengadakan gelembung sukan.

    “Keduanya, kebanyakan daripada mereka belum divaksin, jadi kita bertanggungjawab terhadap kesihatan dan keselamatan mereka. Maka FAM buat keputusan yang bertanggungjawab dan penilaian sama akan dibuat untuk Sukma,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor Bahru, hari ini.

    Ahmad Faizal dan Ras Adiba melakukan lawatan dan beramah mesra dengan penerima vaksin

    Berkenaan isu membenarkan gimnasium di seluruh negara beroperasi semula tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, beliau memberitahu, perkara itu akan dibawakan dalam mesyuarat Kabinet esok.

    Kabinet diharap katanya, mempertimbangkan cadangan itu sebagaimana kelonggaran yang diberikan terhadap industri kreatif terutama kebenaran menonton di panggung wayang.

    Katanya, ketika ini pengusaha-pengusaha pusat gimnasium di seluruh negara terjejas pendapatan selepas tidak beroperasi sejak sekian lama.

    “Kita tidak boleh buka gimnasium sewenang-wenangya tetapi SOP yang ketat perlu diadakan. Saya percaya (kita) boleh buka panggung wayang yang bukan satu keperluan tetapi kita tidak benarkan pembukaan gimnasium.

    “Ramai yang kata ini (buka gimnasium) bukan keperluan dan hanya cara hidup tetapi bezanya orang yang duduk panggung wayang dengan orang yang pergi gimnasium, orang pergi gimnasium (lebih) menitikberatkan kesihatan,” katanya.

    Menurut beliau, cadangan tersebut diharap dapat dipertimbangkan demi kelangsungan hidup mereka yang terlibat.

    Ahmad Faizal berkata, mereka yang pergi ke gimnasium lebih menitikberatkan kesihatan kerana sudah tentu akan mematuhi semua amalan penjagaan diri dan SOP ditetapkan.

    Katanya lagi, cadangan tersebut juga akan dibawa kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan nanti.

    “Bukan sahaja pemilik gimnasium yang terkesan tetapi jurulatih turut menerima terjejas apabila gimanasium tidak dibuka. Bagi mereka yang terlibat dalam sukan ini, mereka perlu teruskan kerana kalau tak badan akan terkesan jika tidak terus berlatih.

    “Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan atlet gimnastik artistik lelaki negara, Jeremiah Loo Phay Xing ada membuat kunjungan hormat di pejabat saya semalam (Selasa). Mereka juga ada pandangan yang sama kerana golongan dalam sukan ini, kalau tinggalkan latihan dalam masa yang panjang, apa yang mereka buat selama ini boleh jadi hilang,” katanya.

  • Legenda bola sepak Pele jalani pembedahan usus

    Legenda bola sepak Pele jalani pembedahan usus

    LEGENDA bola sepak Brazil yang memenangi tiga kali piala dunia, Pele pada Isnin mengesahkan telah menjalani pembedahan usus, lapor Sputnik.

    Pele dimasukkan ke hospital untuk menjalani saringan kesihatan di Hospital Albert Einstein di Sao Paulo, pada 31 Ogos dan didapati mempunyai tumor. 

    “Terima kasih buat mereka yang mendoakan. Saya bersyukur kerana masih di dalam keadaan yang baik dan berpeluang dirawat oleh Dr Fabio dan Dr Miguel.

    “Sabtu lalu saya menjalani pembedahan membuang tumor di usus kanan.

    “Saya akan harungi ujian ini dengan senyum, optimis dan gembira dikelilingi keluarga tercinta dan sahabat handai,” katanya menerui akaun Instagramnya.

    Penjaring gol terbanyak sepanjang zaman itu bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-81 pada Oktober.- BERNAMA

  • Ibu dedah jaguh lompat jauh paralimpik mahu kahwin

    Ibu dedah jaguh lompat jauh paralimpik mahu kahwin

    ATLET lompat jauh paralimpik, Abdul Latif Romly yang memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan gadis pilihannya.

    Menurut ibunya,  Salmah Yatim, 64, anaknya itu ada menyatakan hasrat tersebut.

    “Calon sudah ada, itu girlfriend (teman wanita) sejak dari sekolah lagi,” katanya, lapor Astro Awani.

    Salmah berkata, dia sudah menjangka anak istimewanya itu akan membawa pulang emas sekali gus mengharumkan nama negara kerana semangat juang Abdul Latif yang tinggi sejak kecil.

    Semalam, Salmah bersama suami menyaksikan kejayaan anak bongsu daripada tujuh beradik itu menerusi televisyen bersama ahli keluarga yang lain

    Bahkan, sepanjang dua jam acara berlangsung, Salmah tidak putus-putus mendoakan kejayaan buat anaknya itu.

    Salmah turut memaklumkan mereka sekeluarga bercadang mengadakan majlis kesyukuran di rumah bagi meraikan kejayaan Abdul Latif.

    Sementara itu bapa Abdul Latif membayar nazar dengan membotakkan kepalanya selepas anaknya itu memperolehi pingat emas pada acara lompat jauh T20.

    Romly Mat, 70, menyimpan hasrat tersebut seandainya ditakdirkan menjadi rezeki anak kesayangannya itu mengharumkan nama negara di kejohanan sukan antarabangsa itu.

    Kata Romly, dia juga sudah tidak sabar menanti kepulangan Abdul Latif setelah lebih dua tahun tidak bertemu dan hanya melepaskan rindu menerusi panggilan video.

    Warga emas itu juga dalam masa sama memahami anaknya kini menjadi kesayangan seluruh rakyat Malaysia selepas kejayaan merangkul emas dalam temasya ulung dunia itu.

    “Bila dia (Abdul Latif) menang (memang) nak botak kepala, itu sahaja (yang terfikir)… sehari dia sebelum (kejohanan) itu ada juga rasa dia nak dapat emas tu,” kata Romly.

    Abdul Latif memulakan lompatan dengan jarak 7.28 meter (m) sebelum meningkat kepada 7.45 m pada lompatan kedua yang menjadi jarak lompatan tertingginya sehingga dinobatkan juara.

    Lompatannya bagaimanapun merosot sedikit pada lompatan ketiga yang merekodkan 7.24 m sebelum lompatan keempatnya dibatalkan.

    Sementara lompatan kelimanya pula sekadar mencatatkan 5.64 m kerana dia mengalami kecederaan sehingga tidak dapat meneruskan lompatan terakhirnya.

    Namun itu tidak mengubah kedudukannya sebagai juara bagi anak kelahiran Paya Kelubi, Bukit Keteri, Perlis itu.

  • Lompatan Abdul Latif gegar Tokyo, hadiah emas ketiga buat Malaysia

    Lompatan Abdul Latif gegar Tokyo, hadiah emas ketiga buat Malaysia

    JUARA bertahan Rio 2016 Abdul Latif Romly, sekali lagi menggegarkan pentas Paralimpik, apabila memenangi satu lagi pingat emas Paralimpik dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual), di temasya berprestij itu di sini, hari ini.

    Atlet dari Perlis itu berada dalam kelas tersendiri, apabila terus memimpin kedudukan dengan lompatan pertamanya, 7.26 meter (m), yang sudah cukup mengesahkan emas ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo.

    Abdul Latif seterusnya meninggalkan jauh pencabar lain dengan lompatan 7.45m pada percubaan keduanya, yang merupakan lompatan terbaiknya pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

    Bagaimanapun pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m di Sukan Para Asia 2018 di Indonesia itu, beraksi kurang baik pada lompatan ketiga dengan 7.24m sebelum lompatan keempatnya dibatalkan.

    Atlet berusia 24 tahun itu, yang juga merupakan pemegang rekod Paralimpik dengan lompatan 7.60 di Rio 2016, itu kemudian dihimpit kecederaan selepas mencatat 5.56m pada lompatan kelimanya.

    Situasi itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan aksinya, dan terpaksa diusung dengan kerusi roda oleh pegawai perubatan untuk menerima rawatan lanjut, namun emas tetap memihak kepada Malaysia.

    Athanasios Prodromou dari Greece merangkul perak menerusi lompatan terbaik 7.17m, manakala lompatan sejauh 7.12m membantu Nicholas Hum dari Australia untuk membawa pulang gangsa. 

    Kejayaan Abdul Latif Stadium Olimpik pada hari ini menyaksikan Malaysia telah mengutip tiga emas, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan sebelum ini.

    Terdahulu, Liek Hou mencipta sejarah muncul pemain pertama memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), selepas sukan badminton dipertandingkan buat kali pertama di temasya berprestij itu di sini, kali ini.

    Pemain nombor dua dunia itu menewaskan musuh ketatnya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

    Selain itu, jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin menyumbang emas pertama negara di Jepun dalam acara lelaki 72 kilogram (kg) pada 28 Ogos.

    Kontinjen negara juga memperolehi dua pingat perak menerusi rakan sepasukan Bonnie, Jong Yee Khie dalam acara 107kg pada Isnin (30 Ogos) dan Chew Wei Lun dalam sukan boccia individu campuran BC1 (kecacatan fizikal) pada Rabu (1 Sept).- BERNAMA

  • PM bangga prestasi cemerlang Cheah Liek Hou

    PM bangga prestasi cemerlang Cheah Liek Hou

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berbangga dengan kejayaan Cheah Liek Hou memenangi pingat emas badminton dalam temasya Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.

    Perdana Menteri mengucapkan syabas kepada Lieh Hou atas prestasi yang sungguh menakjubkan itu.

    “Pingat emas buat Malaysia! Atlet paralimpik terus menyumbangkan pingat kepada negara.

    “Semangat dan kecekalan seperti inilah yang menjadi sumber inspirasi seluruh warga Keluarga Malaysia!” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Liek Hou yang merupakan juara dunia enam kali menjadi pemenang pingat emas badminton yang pertama Sukan Paralimpik, apabila beliau membenam cabaran seteru utamanya Anrimusthi Dheva dari Indonesia pada perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) hari ini.

    Pemain nombor dua dunia itu menewaskan Dheva pemain pilihan pertama Paralimpik 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

    Pada set pertama, kesilapan yang dilakukan pemain nombor satu dunia itu membolehkan Liek Hou mendahului 5-0, sebelum pemain indonesia itu mengejar hingga ke kedudukan 8-5.

    Namun anak didik tidak mengambil masa lama menewaskan Dheva dalam set pertama yang hanya memakan masa 22 minit.

    Liek Hou, 33, menunjukkan persembahan terbaik dan menguasai perlawanan sejak awal sebelum menamatkan perlawanan dalam tempoh 50 minit.

    Badminton buat pertama kalinya dipertandingkan pada Sukan Paralimpik di Tokyo.

    Kali terakhir Liek Hou menang dalam pertemuan terakhir dengan Dheva ialah semasa aksi final Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Dubai, April lalu yang menyaksikan dia muncul juara.

    Kemenangan Liek Hou sekali gus bermakna kontinjen Malaysia telah pun memungut dua pingat emas setakat ini.

    Pingat emas pertama disumbangkan Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg), 28 Ogos lalu.

  • Paralimpik Tokyo: Liek Hou sumbang emas kedua negara

    Paralimpik Tokyo: Liek Hou sumbang emas kedua negara

    JUARA dunia enam kali, Cheah Liek Hou menjadi pemenang pingat emas badminton yang pertama Sukan Paralimpik, apabila beliau membenam cabaran seteru utamanya Anrimusthi Dheva dari Indonesia pada perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) hari ini.

    Pemain nombor dua dunia itu menewaskan Dheva pemain pilihan pertama Paralimpik 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

    Pada set pertama, kesilapan yang dilakukan pemain nombor satu dunia itu membolehkan Liek Hou mendahului 5-0, sebelum pemain indonesia itu mengejar hingga ke kedudukan 8-5.

    Namun anak didik tidak mengambil masa lama menewaskan Dheva dalam set pertama yang hanya memakan masa 22 minit.

    Liek Hou, 33, menunjukkan persembahan terbaik dan menguasai perlawanan sejak awal sebelum menamatkan perlawanan dalam tempoh 50 minit.

    Badminton buat pertama kalinya dipertandingkan pada Sukan Paralimpik di Tokyo.

    Kali terakhir Liek Hou menang dalam pertemuan terakhir dengan Dheva ialah semasa aksi final Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Dubai, April lalu yang menyaksikan dia muncul juara.

    Kemenangan Liek Hou sekali gus bermakna kontinjen Malaysia telah pun memungut dua pingat emas setakat ini.

    Pingat emas pertama disumbangkan Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg), 28 Ogos lalu.

  • Tak wajar hukum jurulatih Ziyad, kata Ahmad Faizal

    Tak wajar hukum jurulatih Ziyad, kata Ahmad Faizal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN jurulatih, Faizol Harun mengaku bertanggungjawab terhadap semua yang berlaku ke atas bintang paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Tokyo baru-baru ini, tidak boleh dijadikan sandaran untuk mana-mana pihak menjatuhkan hukuman ke atasnya.

    Malah, menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebarang tindakan yang diambil terhadap pihak bertanggungjawab perlulah bersifat mendatangkan keuntungan dan tidak hanya berbentuk hukuman yang semata-mata merugikan negara.

    “Kalau bercakap tentang tanggungjawab, semua pihak perlu ambil tanggungjawab. Bukan hanya jurulatih Ziyad malah saya sendiri serta Chef de Mission (CDM), Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) juga perlu ambil tanggungjawab dalam isu ini.

    “Tetapi apabila bercakap tentang tindakan yang hendak diambil, kita bukan hanya tumpukan kepada hukuman sebaliknya apa usaha untuk pastikan kejadian ini tidak berlaku lagi serta tindakan yang boleh diambil bagi menambah baik keadaan. Itu yang paling penting,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan Majlis Belia Daerah Yan di Yan, Kedah, hari ini.

    Terdahulu, Ahmad Faizal mengunjungi serta menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa tragedi kepala air di Yan yang berlaku pada 18 Ogos lalu.

    Tambahnya, beliau amat memahami keresahan rakyat berhubung kejadian itu malah dirinya juga turut merasa kecewa dengan apa yang berlaku.

    “Namun jika benar jurulatih tersebut bertanggungjawab sekali pun, adakah wajar kita menghukum agar beliau tidak boleh melatih lagi? Dalam keadaan beliau sudah berjaya mencungkil bakat ke peringkat tertinggi dunia, saya fikir amat merugikan sekiranya jurulatih itu dihukum hanya semata-mata kerana satu kesilapan,” katanya.

    Ketika bercakap kepada media sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Jepun semalam, Faizol menzahirkan harapannya agar semua pihak tidak menuding jari antara satu sama lain terhadap apa yang berlaku.

    Sebaliknya kata Faizol, beliau bertanggungjawab kepada semua yang berlaku hingga menyebabkan Muhammad Ziyad terlepas pingat emas walaupun telah menampilkan aksi bertenaga dengan turut mencatatkan lontaran mengatasi rekod dunia.

    Beliau malah tidak menganggap isu itu sebagai sabotaj dari pihak lawan sebaliknya terjadi kerana sedikit kesilapan teknikal.