Category: Semasa

  • Lelaki warga asing cedera ditikam

    Lelaki warga asing cedera ditikam

    SEORANG lelaki warga asing cedera ditikam dalam pergaduhan di Jalan Radin Bagus 8, Sri Petaling, di Kuala Lumpur, pukul 3.49 pagi tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni berkata, anggota Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) Balai Polis Sri Petaling menjumpai mangsa berusia 30an terbaring di tepi jalan itu.

    Menurut beliau, berdasarkan pemeriksaan awal, terdapat kesan tikaman pada pinggang sebelah kiri mangsa.

    “Mangsa merupakan warganegara asing dipercayai dalam keadaan mabuk telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Mukriz Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Basri berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bersama Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

    “Pihak polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan semasa kejadian, namun hasil rakaman kamera litar tertutup, kami berjaya menahan lima lelaki berusia 20an hingga 30an disyaki terlibat dalam pergaduhan terbabit.

    “Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di muka dua daripada semua suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.

  • Penganggur curi kabel ditahan polis tak sampai 24 jam

    Penganggur curi kabel ditahan polis tak sampai 24 jam

    POLIS menahan dua penganggur kerana terlibat dalam kegiatan curi kabel di Jalan Perdana 2/7, Pandan Perdana, Ampang, semalam.

    Suspek ditahan tidak sampai 24 jam selepas mangsa, seorang pengarah syarikat membuat laporan polis pada pukul 11 pagi.

    Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, mangsa memaklumkan segulung wayar kabel bersaiz 50 milimeter bernilai RM2,000 telah dicuri di hadapan kedai.

    “Suspek masing-masing berusia 38 dan 39 tahun ditahan di kawasan Pudu Cheras pada pukul 10 malam

    “Turut dirampas pakaian dan sebuah motosikal yang digunakan semasa kejadian.

    “Bagaimanapun, kabel yang dicuri dipercayai telah dijual di kedai besi buruk dekat Kampung Pandan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai 32 rekod lampau pelbagai kesalahan dadah dan jenayah curi.

    Sementara suspek kedua mempunyai 14 rekod lampau pelbagai kesalahan dadah.

    Jelasnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

  • Azeez kemuka lagi representasi batal tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

    Azeez kemuka lagi representasi batal tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

    SELEPAS gagal membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sekali lagi mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim berkata representasi terbaharu itu dihantar pada 5 Sept lepas, hari sama Mahkamah Rayuan menolak permohonan  Ahli Parlimen Baling itu untuk membatalkan sembilan pertuduhan dihadapinya.

    “Representasi itu telah diterima oleh pendakwaan pada 5 Sept, namun ia masih belum dibawa ke perhatian Peguam Negara.

    “Walaupun isu-isu yang dikemukakan dalam representasi itu sama seperti yang terkandung dalam representasi terdahulu, pihaknya perlu mendapatkan arahan daripada Peguam Negara berhubung representasi tersebut,” katanya semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez itu mengesahkan pihaknya telah menghantar representasi  bagi membatalkan sembilan pertuduhan itu susulan dan ia mengandungi fakta sama.

    “Saya difahamkan mereka (pendakwaan) masih mengkaji representasi itu. Oleh itu, pihak kami memohon satu tarikh sebutan ditetapkan untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkembangan representasi tersebut. Kami juga bersedia sekiranya mahkamah mahu menetapkan tarikh sambung bicara jika representasi itu tidak diterima,” katanya.

    “Saya difahamkan mereka (pendakwaan) masih mengkaji representasi itu. Oleh itu, pihak kami memohon satu tarikh sebutan ditetapkan untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkembangan representasi tersebut. Kami juga bersedia sekiranya mahkamah mahu menetapkan tarikh sambung bicara jika representasi itu tidak diterima,” katanya.

    Mahkamah menetapkan 23 Sept ini untuk sebutan kes bagi mengetahui status representasi itu dan akan menetapkan tarikh perbicaraan baharu sekiranya representasi itu ditolak.

    Semasa ditemui di luar mahkamah, Amer Hamzah berkata pihaknya telah mengemukakan representasi itu buat kali kelima.

    Pada 5 Sept lepas, Abdul Azeez gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menolak rayuan Abdul Azeez untuk membatalkan sembilan pertuduhan selepas memutuskan pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau tidak cacat dan memerintahkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen diteruskan.

    Bagaimanapun panel itu membenarkan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji itu bagi membatalkan empat pertuduhan pengubahan wang haram.

    Abdul Azeez, 55, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lima buah bank di ibu negara antara 6 Sept 2010 hingga 10 April 2018.

    Abdul Azeez dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009  dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi.

    Perbicaraan kes itu bermula 19 Ogos 2020 dengan tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

    — BERNAMA

  • Remaja sempat jerit minta tolong sebelum lemas

    Remaja sempat jerit minta tolong sebelum lemas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG remaja lelaki maut akibat lemas di Air Terjun Puncak Janing di Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden, Mulkiaman Manzar berkata, terdapat saksi yang melihat mangsa, Ahmad Apnan Mohd. Rais, 17, menjerit meminta tolong sebelum tenggelam dan hilang dari pandangan.

    “Saksi mendakwa mangsa yang berasal dari Simpang Makan, Langgar datang ke lokasi tersebut untuk mandi-manda bersama lapan rakannya. Dia bagaimanapun dikatakan tiba-tiba menjerit meminta tolong sebelum tenggelam,” katanya.

    Beliau berkata, Pegawai Perubatan Hospital Kuala Nerang yang turut hadir ke lokasi kejadian mengesahkan yang mangsa telah meninggal dunia.

    “Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat. Siasatan awal mendapati kematian mangsa tidak mempunyai unsur jenayah dengan kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

    Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.29 tengah hari.

    “Lima anggota bomba bergegas ke lokasi dan menggunakan kaedah ‘gripping iron’ bagi melakukan operasi dan menyelamat. Mayat mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira pukul 1.12 tengah hari,” katanya.

  • Aaron, Wooi Yik terima ‘durian runtuh’ RM250,000 seorang

    Aaron, Wooi Yik terima ‘durian runtuh’ RM250,000 seorang

    BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hari ini menerima insentif berjumlah RM500,000 atas kejayaan mereka merangkul gelaran dunia sulung buat Malaysia, baru-baru ini.

    Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata daripada jumlah itu, mereka menerima RM250,000 setiap seorang daripada badan induk berkenaan serta beberapa penaja rasmi lain.

    Beliau berkata kejayaan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa selain menamatkan penantian Malaysia melahirkan juara dunia adalah sesuatu yang perlu dihargai dan berharap lebih ramai atlet muda negara mampu mengikut jejak langkah gandingan ranking kelima dunia itu.

    “Kita berada di sini untuk meraikan kejayaan Aaron dan Wooi Yik kerana pencapaian mereka benar-benar cemerlang dan mereka berhak mendapat ganjaran hari ini, saya pasti akan ada banyak lagi (insentif).

    “Saya juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa mereka telah memperbaharui kontrak sehingga penghujung 2024 dan mereka akan terus memberikan yang terbaik demi kegemilangan negara untuk layak ke Olimpik Paris 2024,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.

    Dalam pada itu, Wooi Yik berkata pemberian insentif berkenaan melonjak semangat beliau untuk memastikan slot layak ke Sukan Olimpik 2024 dapat dicapai dengan sokongan dan dorongan badan induk, penaja dan rakyat Malaysia.

    Beliau berkata mereka kini sudah kembali menjalani latihan sejak Isnin lepas (5 Sept) untuk meningkatkan tahap ketahanan fizikal dan mental ketika berada dalam gelanggang sebagai persiapan menyertai kejohanan akan datang.

    Sementara itu, Aaron mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mempercayai kebolehan mereka dan akan terus mempamerkan corak permainan bermutu tinggi.

    Pada 28 Ogos lepas, Aaron-Wooi Yik menewaskan juara dunia tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14 untuk menamatkan penantian 45 tahun Malaysia meraih gelaran di kejohanan dunia yang berlangsung di Tokyo, Jepun, sekali gus menjadi wakil negara pertama memenangi pertandingan berprestij itu.

    — BERNAMA

  • Pengurus, ketua pemasaran ditahan beri rasuah RM10 juta, projek pengangkutan awam

    Pengurus, ketua pemasaran ditahan beri rasuah RM10 juta, projek pengangkutan awam

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus kewangan dan ketua pemasaran sebuah syarikat bagi membantu siasatan pemberian rasuah lebih RM10 juta membabitkan urusan pengambilalihan kerja melibatkan projek pembinaan sistem pengangkutan awam.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semasa hadir memberi keterangan pukul 9.30 malam tadi.

    “Suspek wanita yang merupakan pengurus kewangan sebuah syarikat dipercayai melakukan pembayaran rasuah berjumlah lebih RM10 juta bagi memudahkan urusan dan kelulusan pengambilalihan kerja melibatkan projek berkenaan daripada sebuah syarikat lain kepada syarikat suspek bekerja.

    “Sementara suspek lelaki yang merupakan Ketua Bahagian Pemasaran syarikat yang sama pula, disyaki membuat pembayaran kepada enam individu dan entiti yang berbeza yang disyaki palsu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Sumber tersebut memaklumkan, wanita terbabit bertanggungjawab melakukan pembayaran tersebut tanpa mematuhi prosedur kewangan dan perolehan syarikat.

    Katanya, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an direman tiga hari bermula hari ini.

  • Pemakaian pelitup muka dalam bangunan atas pilihan sendiri-KJ

    Pemakaian pelitup muka dalam bangunan atas pilihan sendiri-KJ

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu berkuat kuasa serta-merta.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakai pelitup muka.

    Namun katanya, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi situasi kes positif COVID-19 yang perlu ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) untuk menjalani penilaian kesihatan.

    “Juga (semasa) menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah dan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis, dan yang setara dengannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan  Persidangan Persatuan Ubat Generik dan Biosimilar Antarabangsa (IGBA) – Organisasi bagi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) 2022 di sini hari ini.

    Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian situasi COVID-19 serta mengambil kira keperluan semasa.

    Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos 2020.

    Bagaimanapun sejak 1 Mei lepas, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada di dalam bangunan dan di dalam pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing.

    Khairy berkata orang ramai amat digalakkan memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan.

    “KKM juga amat menggalakkan supaya pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, pusat membeli-belah dan rumah ibadah,” katanya.

    Pemakaian pelitup muka juga digalakkan bagi individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema, individu berisiko tinggi seperti warga tua, mereka yang menghidap penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung serta mereka yang melakukan aktiviti bersama orang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

    KKM akan terus memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kata beliau.

    — BERNAMA

  • Penduduk terkejut harimau muncul di Ulu Tembeling

    Penduduk terkejut harimau muncul di Ulu Tembeling

    PENDUDUK di kawasan pedalaman Ulu Tembeling yang sering menggunakan laluan Kuala Tahan ke Ulu Tembeling diminta sentiasa berwaspada kerana terdapat kelibat seekor harimau berkeliaran di kawasan itu terutamanya di waktu malam.

    Penduduk setempat mendakwa, mereka terserempak seekor Harimau Malaya (Panthera Tigris Jacksoni) pada pukul 9.30 malam tadi semasa dalam perjalanan berkereta dari Kampung Kuala Sat ke Kampung Pagi.

    Seorang penduduk, Mohd. Izat Abd Ghani, 34, berkata, dia dan dua rakannya menaiki kereta dalam perjalanan pulang dari tempat kerja pada mulanya tidak menyangka laluan yang kerap dilalui tiba-tiba muncul harimau.

    “Ini kerana selalunya yang pernah melintas di situ seperti babi hutan, tenggiling dan gajah.

    “Ketika kami dalam perjalanan balik dan menghampiri di lokasi Bukit Awan, tiba-tiba muncul seekor Harimau Malaya berlari atas jalan raya.

    “Ketika memandu, saya terkejut melihat harimau belang ini mula melintas sambil menoleh ke arah cahaya lampu kereta kami dan kemudiannya menyusup di bawah besi penghadang kanan jalan lalu masuk ke dalam semak,” katanya ketika ditemui di Kampung Pagi, Jerantut, hari ini.

    Katanya, mereka sempat merakam video berdurasi 30 saat apabila terserempak haiwan itu ketika dalam perjalanan pulang.

    Seorang lagi penduduk Kampung Pagi, Mokhtar Abdullah, 32, berkata, penebangan hutan untuk pengeluaran kayu balak secara besar-besaran dipercayai habitat harimau liar dan haiwan lain terganggu serta musnah termasuk kawasan rayau mencari makanan.

    “Harimau belang dan juga gajah liar cuma tinggal bersembunyi berdekatan Kampung Pagi dan penempatan lain di pesisir Sungai Tembeling kerana habitat hidupan ini sudah terancam,” katanya sebagaimana dilaporkan Astro Awani.

    “Haiwan liar seperti Harimau Malaya dan gajah akan keluar pada waktu malam merayau-rayau di pinggir kampung untuk mencari makanan dan kadang-kadang terserempak dengan penduduk Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat dan penempatan lain di Ulu Tembeling,” katanya.

  • Mahkamah tolak rayuan kerajaan ketepi saman Indira Gandhi

    Mahkamah tolak rayuan kerajaan ketepi saman Indira Gandhi

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga yang lain untuk membatalkan saman nonfeasans yang difailkan terhadap mereka oleh seorang guru tadika berhubung dakwaan gagal menangkap bekas suaminya dan mengembalikan anak perempuannya yang dilarikan lelaki itu.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk M Gunalan dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan saman yang difailkan oleh M Indira Gandhi itu perlu melalui perbicaraan.

    Selain KPN, wanita itu turut menamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai defendan.

    “Kami berpendapat berdasarkan fakta dan keadaan kes ini, terdapat isu undang-undang yang kompleks termasuk isu tafsiran Seksyen 7 (2) Akta Prosiding Kerajaan, Seksyen 20 Akta Polis dan juga mengenai kedudukan Common Law mengenai tort nonfeasans oleh pegawai awam,” katanya.

    Beliau berkata, dakwaan Indira Gandhi bukanlah kes yang jelas tidak mampan untuk mewajarkannya dibatalkan.

    Hakim itu berkata, tiada kesilapan Mahkamah Tinggi dalam keputusannya untuk menolak permohonan membatalkan yang dikemukakan oleh KPN dan tiga yang lain, sambil menambah bahawa tiada merit dalam rayuan kerajaan.

    Mahkamah Rayuan turut memerintahkan defendan membayar kos RM10,000 kepada Indira Gandhi dan menetapkan 14 September untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.

    Pada 16 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan kerajaan untuk membatalkan saman guru tadika itu yang mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya, Prasana Diksa yang kini berusia 13 tahun.

    Beliau mendakwa KPN, KDN dan kerajaan juga berperanan membuat keputusan atau memberikan arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap Muhammad Riduan Abdullah, yang sebelumnya dikenali sebagai K Pathmanathan, seperti diarah oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 April, 2016.

    Justeru, beliau menutut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah selain memohon deklarasi bahawa KPN telah melakukan ‘tort nonfeasance’ di pejabat awam dan KDN dan kerajaan, ketiga dan keempat bertanggungjawab secara vikarius bagi tort nonfeasance yang dilakukan KPN.

    Prasana Diksa dilarikan Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan, sejurus selepas lelaki itu memeluk Islam.

    Pada 2009, Muhammad Riduan mengislamkan tiga anak mereka tanpa persetujuan Indira Gandhi sebelum ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak itu, namun pada 2018 Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama satu pihak ketiga-tiga anak itu sebagai batal dan tidak sah.

    Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh kanak-kanak itu kepada Indira Gandhi pada 2010.

    Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengesahkan perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis dan perayu menangkap Muhammad Riduan dan mendapatkan semula Prasana Diksa untuk dikembalikan kepada Indira Gandhi.

    Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi mewakili kerajaan dalam rayuan hari ini yang dijalankan secara dalam talian manakala pasukan peguam yang diketuai oleh Rajesh Nagarajan mewakili Indira Gandhi.

  • Pengawal keselamatan buat hantaran jelek terhadap Sultan Johor didenda RM21,000

    Pengawal keselamatan buat hantaran jelek terhadap Sultan Johor didenda RM21,000

    SEORANG pengawal keselamatan didenda RM21,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini kerana membuat dan menghantar komunikasi jelik berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Hairol Ahmad, 41, selepas dia mengaku bersalah terhadap ketiga-ketiga pertuduhan.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

    Mengikut ketiga-ketiga pertuduhan, Mohd Hairol didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Mohammad Khairolmanshur’ antara 10.51 pagi dan 11.01 pagi, 24 Ogos lepas.

    Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Menara KPJ di sini, kira-kira 6.13 petang pada hari sama.

    Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Terdahulu, Mohd Hairol yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya kerana telah menyesali perbuatannya itu.

    “Puan Arif tolong maafkan saya, saya bertindak ikut emosi dan bodoh semasa berada di rumah hingga memuat naik status jelik tanpa sedar kesan serta betapa serius kesalahan ini.

    “Saya merupakan penanggung utama keluarga dan saya sendiri akan membawa emak saya ke hospital untuk menjalani pembedahan hempedu pada Jumaat ini,” katanya yang menangis teresak-esak.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling mencadangkan hukuman pemenjaraan dan denda yang berat kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius selain ia sebagai iktibar kepada masyarakat.