Category: Semasa

  • Kenapa Dr Amalina pilih kerakyatan British untuk anak?

    Kenapa Dr Amalina pilih kerakyatan British untuk anak?

    PAKAR bedah kelahiran Malaysia, Dr. Nur Amalina Che Bakri menjadi bualan hangat warga netizen apabila memilih status kewarganegaraan British untuk anak pertamanya.

    Namun, kenyataan dimuat naik menerusi hantaran di Instagram (IG) Stories disalahertikan sehingga menerima kritikan segelintir warga netizen.

    Susulan menyedari kenyataannya dipandang serong, Dr. Amalina tampil membuat penjelasan dalam IG, baru-baru ini.

    Dr. Amalina berkata, dia bukan tidak menyukai anaknya mendapat kerakyatan Malaysia, sebaliknya ada beberapa kekangan menghalangnya untuk bersalin di Malaysia.

    “Anda mungkin sedia maklum, sekiranya wanita Malaysia berkahwin dengan lelaki bukan warga negara dan bersalin di luar negara, anak tidak dibenarkan untuk diberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

    “Ada portal media hiburan mensensasikan cerita mengenai warga negara anak saya dan menulis artikel tanpa kebenaran saya.

    “Sudah tentu, saya ingin anak menjadi rakyat Malaysia, tetapi suami adalah warga British. Kami bekerja dan menetap di United Kingdom (UK),” tulisnya, lapor BH Online.

    Namun, katanya, dia tidak dapat pulang ke Malaysia untuk bersalin disebabkan komitmen kerja.

    “Saya kini sedang sarat hamil dan masih bekerja.

    “Mengambil penerbangan jarak jauh dan cuti kerja bukanlah pilihan terbaik untuk bayi.

    “Ini juga keputusan terbaik untuk kami sekeluarga,” ujarnya.

    Dr Amalina berkahwin dengan jejaka Inggeris, Alexander Charles. – Foto media sosial Dr Amalina Bakri

    Di samping itu, pakar bedah yang bertugas di hospital terkemuka di London itu turut menegur segelintir warga netizen yang menghina dan melemparkan fitnah kepadanya.

    “Kepada mereka yang suka menghina dan melemparkan fitnah, saya berada di sini bukan membuat perkara tidak berfaedah.

    “Saya bekerja, menyambung kepakaran dan membuat ijazah doktor falsafah (PhD) supaya menjadi pakar terbaik dalam bidang perubatan

    “PhD saya ditaja oleh geran NIHR UK dan saya memenangi fellowship daripada Imperial College London atas usaha saya,” ujarnya.

    Kongsinya, latihan pakar dijalani juga dibayar oleh duit cukai rakyat UK selepas bersaing dengan beribu rakyat UK dan graduan antarabangsa untuk mendapat tempat dalam program ini.

    “Saya berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat membantu ramai orang dengan kepakaran yang saya ada, insya-Allah. Salahkah saya mahu menuntut ilmu?,” persoalnya.

    Wanita berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, dia sedar ada wanita Malaysia berkahwin dengan warga asing yang masih memperjuangkan hak anak untuk mendapat kerakyatan Malaysia.

    “Saya berharap mereka akan menemui jalan penyelesaian.

    “Cukuplah dengan kata kesat dan suka menghukum orang lain. Marilah kita berkata perkara baik dan mendoakan kesejahteraan orang lain. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui,” katanya.

    Menurut beliau, anaknya tetap berdarah kacukan Melayu walaupun menetap di UK dan berbangsa Inggeris.

    “Percampuran dua budaya akan memberikan kehidupan berwarna-warni. Saya akan membesarkan anak untuk memahami nilai Malaysia, agama Islam dan mempelajari bahasa Melayu.

    “Pada penghujungnya, tidak kira di mana kami tinggal atau pasport apa yang dipegang, yang penting mereka adalah insan mempunyai nilai moral baik yang boleh menyumbang kepada kemanusiaan,” katanya.

    Dr. Amalina mendirikan rumah tangga bersama jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Central London pada 31 Mac, tahun lalu.

  • Mahkamah benar 1MDB, 3 subsidiari lanjut masa fail afidavit

    Mahkamah benar 1MDB, 3 subsidiari lanjut masa fail afidavit

    MAHKAMAH Tinggi hari ini, membenarkan permohonan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga subsidiarinya untuk diberi lanjutan masa bagi memfailkan afidavit balas dalam kes saman terhadap penerbit filem Hollywood, Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikatnya.

    Tiga subsidiari itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, manakala dua syarikat berkenaan membabitkan Red Granite Pictures Incorporated serta Red Granite Capital Limited.

    Peguam mewakili Riza Shahriz dan dua syarikat itu, Datuk Hariharan Tara Singh berkata, keputusan itu dibuat Penolong Kanan Pendaftar, Azlinda Ahmad Sharif, menerusi e-mel.

    “1MDB selaku plaintif ketika ini sedang mengumpul maklumat berkaitan cadangan pindaan oleh pembelaan dan menunggu arahan selanjutnya daripada anak guam mereka.

    “Plaintif perlu memfailkan afidavit balas selewat-lewatnya 26 September ini, manakala defendan (Riza Shahriz dan dua syarikatnya) perlu memfailkan afidavit terhadap plaintif selewat-lewatnya 11 Oktober ini.

    “Pengurusan kes ditetapkan pada 13 Oktober ini untuk menetapkan tarikh pendengaran,” katanya memetik laporan BH, hari ini.

    1MDB dan tiga subsidiarinya diwakili peguam, Rabindra S. Nathan dan Vanessa Thong Chon Yen.

    Syarikat terbabit memohon supaya Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited menyampaikan kepada plaintif senarai dokumen yang berada atau pernah berada dalam milikan mereka.

    1MDB juga memohon pihak terbabit menyampaikan kepada plaintif mengenai notis pemeriksaan iaitu tarikh, masa dan tempat dokumen asal dinyatakan dalam senarai itu untuk diperiksa plaintif, peguam atau pekerjanya.

    Antara dokumen dan surat diminta ialah berkaitan penerimaan dana sebanyak AS$10,173,104 oleh Red Granite Pictures Incorporated dan ‘representasi’ dikatakan dibuat kepada Riza Shahriz, bahawa wakil keluarga diraja Saudi bersetuju memberi pinjaman bagi tujuan perniagaan defendan.

    Selain itu, dokumen pembelian hartanah di New York, California dan London termasuk invois, nota kredit, baucar pembayaran dan resit berkaitan pemindahan dana.

    Ia daripada akaun Red Granite Capital kepada akaun faedah yang dipegang firma guaman Shearman & Sterling LLP (Shearman US) di Amerika Syarikat, pada Jun 2012 dan November 2012.

    Dokumen lain ialah surat berkaitan penerimaan dana berjumlah AS$238 juta oleh Red Granite Capital Limited dan semua surat antara defendan dan BSI Singapore berkaitan penerimaan dana itu.

    Pada saman yang difailkan 7 Mei tahun lalu, plaintif mendakwa pada 2011 dan 2012, Riza Shahriz serta dua syarikatnya menerima dana kira-kira AS$248 juta daripada mereka.

    Ia didakwa disalah guna apabila defendan menggunakan dana itu untuk kepentingan peribadi dan kepentingan rakan sekutu mereka, termasuk bagi membiayai penerbitan filem dan pembelian pelbagai hartanah.

    Oleh itu, plaintif memohon perisytiharan Riza Shahriz bertanggungjawab atas salah guna dana itu dan penggunaan dana tidak adil, selain memohon pembayaran balik dana yang disalahgunakan.

    Riza Shahriz dan dua syarikatnya dalam pernyataan pembelaan mendakwa, memperoleh pinjaman berkenaan daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat, bukan daripada dana 1MDB.

    Beliau mendakwa sukar bagi penerbit filem yang tidak dikenali untuk memperoleh pinjaman daripada bank, jadi dia memutuskan untuk mendapatkan pinjaman daripada individu atau syarikat.

  • Najib tidak pernah saman Ambank semasa jadi pemegang akaun – Saksi

    Najib tidak pernah saman Ambank semasa jadi pemegang akaun – Saksi

    SEORANG pegawai Ambank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah memfailkan sebarang saman terhadap bank kerana salah mengendalikan akaunnya semasa bekas perdana menteri itu menjadi pemegang akaun.

    Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, yang memegang jawatan itu sejak 2015 berkata Najib juga tidak pernah membuat sebarang aduan mengenai penyata banknya kepada bank.

    “Setiap bulan, bank akan menghantar penyata bank yang menyenaraikan semua transaksi yang dibuat dalam akaun kepada pelanggannya. Sepanjang pengetahuan saya, malah semasa kes SRC International, tiada sebarang pertikaian atau aduan dibuat oleh Datuk Seri Najib berhubung penyata akaun bank beliau,” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan Najib yang berdepan pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sri Ram: Antara 2015 dan 2018, adakah tertuduh memfailkan sebarang prosiding terhadap bank kerana salah mengendalikan akaunnya, pada pengetahuan anda?

    Uma Devi: Pada pengetahuan saya, tidak.

    Terdahulu, Sri Ram menyoal saksi mengenai keterangan beliau semasa perbicaraan SRC International, yang beliau akui kenyataannya itu telah diterima dan tidak pernah dipertikaikan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

    Minggu lepas, Uma Devi memberi keterangan bahawa Najib memegang lima akaun dengan Ambank, satu akaun simpanan berakhir dengan nombor 694, dan empat akaun semasa, iaitu AmIslamic (berakhir dengan nombor 481), AmPrivate Banking- 1MY (880), AmPrivate Banking-Y1MY (898) dan AmPrivate Banking-MY (906).

    Pada 10 Dis 2019, Najib memfailkan saman terhadap AmBank Islamic Bhd dan bekas Pengurus Perhubungan Pelanggan Joanna Yu Ging Ping berhubung pengurusan akaun di bawah namanya iaitu akaun berakhir 694, 880, 898 dan 906 yang didakwa Najib diuruskan oleh AmBank tanpa pengetahuannya dan digunakan untuk mengalihkan dana daripada SRC International Sdn Bhd.

    Bagaimanapun, Najib gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Januari lepas setelah mahkamah memutuskan Najib sedang berusaha untuk meneruskan saman sivilnya untuk menjejaskan prosiding dan penemuan jenayah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam kes jenayah kes SRC International.

    Terdahulu, Uma Devi memberi keterangan bahawa Najib menerima RM1.25 juta pembayaran faedah yang dikreditkan ke akaun simpanan peribadinya berakhir dengan nombor 694 pada 2011 sahaja.

    Merujuk kepada penyata bank Najib semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam, Uma Devi berkata bayaran itu diterima dalam 11 bahagian sepanjang tahun ke akaun ‘694’, antara Februari hingga Disember 2011.

    “Saya mengesahkan terdapat beberapa kemasukan melibatkan faedah bagi 2011 dan jumlah yang diterima adalah berbeza- beza mengikut baki semasa akaun pada setiap bulan. 

    “Ini berdasarkan kod 202000 yang tertera di dalam status setiap transaksi kemasukan faedah,” katanya dan menambah akaun ‘694’ tersebut dibuka pada 13 Jan 2011 dan ditutup pada 30 Ogos 2013.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA

  • 24 calon ketua perwakilan, duta dalam proses tapisan akhir SPA, tiada lantikan politik – Saifuddin

    24 calon ketua perwakilan, duta dalam proses tapisan akhir SPA, tiada lantikan politik – Saifuddin

    WISMA Putra telah menyerahkan 24 senarai calon Ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang telah diluluskan termasuk ke Indonesia kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk proses tapisan akhir, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    Saifuddin berkata, kesemua calon bagi mengisi jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Duta Besar Malaysia itu terdiri daripada pegawai diplomatik yang berkhidmat dengan kerajaan dan bukan daripada kalangan ahli politik.

    Senarai calon yang telah diserahkan kepada SPA itu bagaimana tidak termasuk pengisian jawatan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, katanya.

    “Insya-Allah akan umum tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku Himpunan Genta Rasa Jufitri Joha di Wisma Putra di Putrajaya hari ini dan setelah diminta mengulas mengenai perkembangan jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang kini masih kosong.

    Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia sebelum ini disandang diplomat Datuk Zainal Abidin Bakar.

    Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, namun, nama beliau tiada dalam senarai penerima watikah pelantikan sebagai Ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara pada majlis yang berlangsung di Istana Negara Julai lepas.

    Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Wisma Putra secara proaktif akan menjalankan kempen advokasi kepada orang awam mengenai sindiket penipuan kerja di negara asing.

    “Melalui kempen sedemikian, kita bukan sahaja dapat mendidik masyarakat mengenai penipuan kerja sebaliknya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia untuk mendapatkan peluang pekerjaan di luar negara melalui saluran yang betul serta dipercayai,” katanya.

    Pada 9 Sept lepas, Saifuddin dilaporkan berkata sehingga kini 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 148 kes yang dilaporkan.

  • Sultan Selangor tarik balik darjah gelaran Najib, Rosmah

    Sultan Selangor tarik balik darjah gelaran Najib, Rosmah

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor daripada Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, selain Najib dan Rosmah, turut ditarik balik darjah kebesaran adalah bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman.

    “Keputusan itu dibuat selepas baginda mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Diraja Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang, dan berunding dengan Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.

    “Penarikan balik darjah kebesaran itu berkuat kuasa pada 12 September 2022, selaras dengan kuasa prerogatif baginda di bawah Perkara XXXVII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.

    “Datuk Seri Najib Razak telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1992,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, Njib telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn. Bhd.

    Pada 23 Ogos 2022 juta katanya, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

    “Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022,” katanya.

    Sementara itu beliau berkata, Rosmah dikurniakan Keahlian Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

    Katanya, Rosmah telah didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

    “Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

    “Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022,” katanya, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, katanya Mohd Arif telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2005, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga pada tahun 2003 dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat pada tahun 2001.

    “Beliau telah disabitkan dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah. Pada 23 Januari 2021, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

    “Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022,” katanya.

    Beliau berkata, penarikan balik dan pembatalan keahlian ini selaras dengan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.

  • Peningkatan inflasi bukti pasukan khas tak berkesan – Guan Eng 

    Peningkatan inflasi bukti pasukan khas tak berkesan – Guan Eng 

    KENAIKAN harga yang melambung tinggi membuktikan pasukan khas anti-inflasi yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa tidak berkesan dalam membendung inflasi, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

    Bekas menteri kewangan itu bertanya sama ada Annuar boleh menjelaskan mengapa Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat daripada 3.4% pada Jun kepada 4.4% pada Julai, dan inflasi makanan meningkat daripada 6.1% pada Jun kepada 6.9% pada Julai, di sebalik usaha pasukan khas itu mengekang inflasi.

    “Jelas bahawa inflasi menjadi lebih serius, secara langsung bercanggah dengan dakwaan perdana menteri dan Annuar bahawa pasukan khas anti-inflasi Kabinet berjaya mengawal kenaikan harga,” katanya dalam kenyataan, memetik laporan FMT.

    “Adakah Bank Negara (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) jika inflasi terkawal?”

    Menyifatkan pasukan khas itu sebagai ‘tidak berkesan, tidak cekap dan tidak relevan’, Guan Eng berkata Annuar tidak dapat menghadapi kenyataan bahawa ia gagal dan harus dibubarkan.

    Beliau berkata, alternatifnya adalah Annuar digantikan sebagai pengerusi pasukan khas itu selepas percubaannya untuk mengalih perhatian dengan menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam menentukan OPR.

    Guan Eng menegaskan, bagaimanapun, beliau tidak pernah meminta Annuar campur tangan untuk tidak menaikkan OPR kerana itu adalah bidang kuasa Bank Negara.

    “Annuar benar-benar keliru mengenai sebab dan akibat. Kegagalan beliau untuk membendung kenaikan harga makanan adalah punca inflasi dan kesannya adalah Bank Negara menaikkan OPR untuk mengekang inflasi,” katanya.

    Annuar sebelum ini memberitahu Lim, beliau tidak berada dalam kedudukan untuk menilai keberkesanan pasukan khas itu dan menggesa ia dibubarkan berikutan kenaikan terbaharu dalam OPR.

    Katanya, sebagai bekas menteri kewangan, Lim sepatutnya tahu bahawa BNM, sebagai pembuat dasar kewangan, membuat keputusan tanpa campur tangan kerajaan.

    Beliau juga berkata pasukan khas itu mempunyai peranan lebih khusus, iaitu memberi tumpuan kepada kenaikan harga, menjalankan penyelidikan dan penyiasatan, dan berurusan dengan pekilang, pemborong dan peruncit.

  • KPM selesaikan 30 peratus isu pemilikan tanah tapak sekolah 

    KPM selesaikan 30 peratus isu pemilikan tanah tapak sekolah 

    HAMPIR 30 peratus pemilikan tanah daripada lebih 2,000 tapak sekolah bermasalah di seluruh negara sudah diselesaikan.

    Ia dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) melalui proses pemutihan ke atas pemilikan tanah yang digunakan untuk pembinaan sekolah di seluruh negara.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, berkata semakan mendapati ada pembayaran premium bagi sesetengah tanah berkenaan sudah diselesaikan sejak 1980-an, namun kerajaan belum menerima geran daripada pemilik asal, menyebabkan pemilikan tidak ditukar.

    “Berikutan itu, projek dirancang kerajaan tidak dapat diteruskan.

    “KPM sudah selesaikan hampir 30 peratus. Bila saya masuk ke KPM, kita cuba memahami masalah asal mengapa projek (pembangunan) sangkut dan kita dapati antara komponen yang ada adalah isu membabitkan pemilikan tanah belum selesai.

    “Kami putuskan untuk melakukan pemutihan tanah ini dan ia dilaksanakan di seluruh negara, membabitkan lebih 10,000 sekolah.

    “Daripada jumlah itu, lebih 2,000 sekolah berdepan masalah status tanah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif, di Sekolah Alam Shah, memetik laporan BH Online.

    Beliau berkata, ada isu membabitkan tanah diwakafkan pemilik sudah lama meninggal dunia tanpa pemindahan hak milik tanah teratur, menyebabkan timbul masalah.

    Justeru, Radzi berkata, KPM bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan semua masalah berkaitan pemilikan tanah terutama yang sudah selesai pembayaran sewajarnya.

    “Ia bagi memastikan semua perkara berbangkit tidak wujud pada masa depan dan pembinaan sekolah serta bangunan baharu dapat dilaksanakan dengan teratur.

    “Kita mahu menyusun sistem ini bagi memudahkan perancangan masa depan,” katanya.

    Ketika di Parlimen bulan lalu, Radzi memaklumkan KPM sedang menjalankan proses pemutihan ke atas pemilikan tanah yang digunakan untuk pembinaan sekolah di seluruh negara.

    Ia susulan banyak pemilikan tanah membabitkan pembinaan sekolah KPM yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan dikenal pasti bukan milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) atau kerajaan.

    Beliau dilaporkan berkata, proses pemutihan perlu dibuat bagi memastikan semua pemilikan tanah bagi pembinaan sekolah seliaan KPM adalah milik JKPTG atau kerajaan.

  • Mahkamah rayuan kekal hukuman penjara bekas broker tanah terlibat aktiviti pengubahan wang haram

    Mahkamah rayuan kekal hukuman penjara bekas broker tanah terlibat aktiviti pengubahan wang haram

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM1 juta terhadap bekas broker tanah tidak berlesen berhubung aktiviti pengubahan wang haram kira-kira 18 tahun lepas.

    Gan Kiat Bend, 64, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda itu setelah ditolak oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.

    Hakim Datuk Hanipah Farikullah, yang mengetuai panel itu berkata tiada merit dalam rayuan Gan dan juga tiada kekhilafan oleh mahkamah sebelum ini untuk mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

    Dua lagi hakim ialah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Gan, yang diikat jamin RM170,000 sementara menunggu rayuannya selesai, diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan supaya mula menjalani hukuman penjara itu hari ini selepas mahkamah mengeluarkan waran komital terhadapnya.

    Gan dituduh dengan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dengan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2.4 juta, yang didakwa dilakukan di Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, di Jalan Ampang, Selangor, antara 19 Nov 2003 dan 9 Jan 2004.

    Pada 23 Dis 2010, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun serta denda RM1 juta dan jika gagal membayarnya, penjara setahun bagi pertuduhan pertama dan penjara dua tahun bagi pertuduhan kedua.

    Gan dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan ketiga dan dua tahun penjara bagi pertuduhan keempat. Hukuman itu berjalan serentak, bermakna dia hanya perlu menjalani hukuman penjara lima tahun.

    Mahkamah Sesyen juga memerintahkan Gan membayar penalti RM2.4 juta atau levi di bawah Seksyen (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, jika gagal membayar penalti dalam tempoh setahun, dia perlu dipenjara setahun dan penjara lapan bulan.

    Gan gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang menolaknya pada 10 Mac 2017.

    Gan membayar denda RM1 juta itu tetapi tidak membayar penalti RM2.4 juta.

    Dia pada mulanya didakwa bersama seorang lagi broker tanah tidak berlesen Ismail Hussin yang telah meninggal dunia.

    Gan diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Mokhtar, Nahra Dollah dan Samihah Rhazali.

  • Pemandu Grab tidak mengaku jadi ‘bapa ayam’

    Pemandu Grab tidak mengaku jadi ‘bapa ayam’

    SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Georgetown hari ini atas empat pertuduhan menjadi dalang dalam kegiatan pelacuran bulan lalu.

    Tertuduh, Lee Eng Seng, 45, yang juga pemandu kenderaan e-hailling Grab membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Abd. Karim.

    Mengikut kertas pertuduhan, Eng Seng didapati hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan di C.Y. Choy Heritage Hotel, No. 171 Jalan C.Y. Choy pada 30 Ogos lalu.

    Keempat-empat pertuduhan dilakukan di tempat dan tarikh yang sama antara pukul 5.55 petang hingga 8 malam.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri manakala tertuduh diwakili peguam Tey Yi Kai.

    Mahkamah turut menetapkan 13 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Khairy berseloroh akan bertanding di Kedah

    Khairy berseloroh akan bertanding di Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin secara berseloroh berkata, beliau mungkin bertanding di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Khairy berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan menerima pelawaan UMNO di negeri lain untuk bertanding kerusi Parlimen di tempat mereka.

    “Hari ini saya berada di sini untuk berbincang dan berunding dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar (Kedah). Mak saya daripada Kedah.

    “Ada mesejlah saya datang hari ini, macam-macam saya bawa hari ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Projek Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini, hari ini.

    Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor juga secara berseloroh mengalu-alukan Khairy untuk bertanding di negeri ini.

    “Dialu-alukan. Ada sebut sebelum ini Alor Setar, tak dengar (berita itu)? Dekat Kedah, eloklah,” ujarnya.

    Semalam, Khairy berkata, beliau akan mengadakan perbincangan secara tertutup bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai siapa yang akan bertanding kerusi Rembau pada PRU15.

    Sebelum ini, Menteri Kesihatan itu mengunci mulut dan enggan mengulas mengenai cadangan untuk bertanding bagi kerusi Seremban pada pilihan raya itu.

    Laporan itu selepas beliau mengumumkan akan memberi laluan kepada Mohamad bagi kerusi Rembau dan akan mengikut keputusan parti tetapi menyatakan perkara ini akan menyebabkan beliau tiada tempat yang jelas untuk bertanding.

    Susulan itu, terdapat cadangan daripada Pemuda UMNO Seremban agar Khairy menjadikan Seremban sebagai pengganti kepada Rembau.