Category: Semasa

  • Agong, Raja Permaisuri berangkat ke UK beri penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II

    Agong, Raja Permaisuri berangkat ke UK beri penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat ke United Kingdom (UK), London bagi memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada Khamis) lepas.

    Lawatan khas Al-Sultan Abdullah bagi memenuhi jemputan rasmi kerajaan UK selama enam hari bermula hari ini, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada 10.30 pagi.

    Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

    Sebelum berangkat, Pegawai Agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh membacakan doa selamat bagi memohon perlindungan serta keselamatan keberangkatan Seri Paduka berdua.

    Seri Paduka berdua berkenan melintasi barisan pasukan Kawalan Kehormat Diraja sebelum menaiki pesawat.

    Dalam rangka lawatan khas itu, Seri Paduka berdua akan menghadiri Majlis Resepsi Bersama Raja Britain Raja Charles III pada Ahad ini dan istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II pada Isnin di Westminster Abbey.

    Al-Sultan Abdullah turut dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa ketua negara asing semasa berada di UK.

    Menurut laporan media, jasad Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta yang mangkat pada usia 96 tahun, kini berada di London dan ditempatkan Westminster Hall sehingga istiadat pemakaman negara diadakan.

    Baginda ialah raja kedua paling lama menduduki takhta dalam sejarah Eropah selepas Raja Perancis Louis XIV.

    Ratu Elizabeth II semasa pemerintahannya pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada 1972 bagi lawatan khas, 1989 sempena mesyuarat Ketua Negara Komanwel ke-11 dan 1998 sempena Sukan Komanwel ke-16.

    Seri Paduka berdua pula pernah mengadakan kunjungan hormat serta memenuhi undangan majlis santapan tengah hari bersama Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham pada 13 Dis 2019 ketika lawatan khas ke England.

    Al-Sultan Abdullah menjalin persahabatan dengan Raja Charles III sejak lebih empat dekad dan pernah bersukan polo berkuda bersama-sama ketika zaman remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

    Malaysia dan UK mempunyai hubungan dua hala yang rapat sejak kemerdekaan Malaysia 65 tahun lepas.

    Al-Sultan Abdullah sebelum ini berkenan supaya bendera negeri Pahang dikibarkan secara separuh tiang selama tiga hari berturut-turut bermula Sabtu lepas (10 Sept) bagi menzahirkan penghormatan atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

    Berikutan lawatan khas itu, lawatan negara Seri Paduka berdua ke Singapura yang dijadualkan pada Isnin ini (19 Sept) ditangguhkan.

    — BERNAMA

  • Mayat dua anak ditemukan dalam beg, wanita Korea Selatan ditahan

    Mayat dua anak ditemukan dalam beg, wanita Korea Selatan ditahan

    SEORANG wanita Korea Selatan ditahan atas tuduhan membunuh dua kanak-kanak yang dijumpai dalam bagasi di New Zealand.

    Pada bulan lepas, sebuah keluarga di Auckland menjumpai dua mayat di dalam dua buah beg yang mereka beli secara lelong di atas talian.

    Dua mayat tersebut dikenal pasti sebagai kanak-kanak dalam lingkungan umur 5-10 tahun dan dijangka mati sejak beberapa tahun lalu.

    Pihak polis berkata suspek merupakan warganegara Korea Selatan tetapi berpindah ke New Zealand.

    ‘’Suspek disyaki ibu kepada kedua-dua mangsa tersebut selepas alamatnya didaftar kepada unit storan yang menyimpan dua bagasi tersebut,’’ kata jurucakap polis.

    Siasatan masih dijalankan dan dan suspek di dalam proses ekstradisi ke New Zealand selepas disoal siasat polis tempatan.

  • 11 mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja tiba di KLIA2 malam tadi

    11 mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja tiba di KLIA2 malam tadi

    SERAMAI 11 orang lagi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan warganegara Malaysia di Kemboja selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 11.55 malam tadi.

    Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat semalam, seramai 123 daripada 153 orang mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah berjaya diselamatkan.

    “Kementerian merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Kemboja melalui pihak berkuasa negara itu atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam mengesan serta menyelamatkan mangsa.

    “Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh akan terus komited dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Kemboja untuk mengesan serta menyelamatkan mangsa bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, individu atau waris kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara boleh berhubung secara terus dengan Kementerian Luar melalui Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia di Luar Negara menerusi e-mel [email protected].

    “Selain itu, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh juga boleh dihubungi melalui e-mel [email protected] sekiranya terdapat individu atau waris yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja,” menurut Kementerian Luar.

    — BERNAMA

  • Lelaki lemas cuba selamatkan kereta menggelonsor ke laut

    Lelaki lemas cuba selamatkan kereta menggelonsor ke laut

    SEORANG lelaki lemas apabila cuba menyelamatkan kereta Proton Gen2 miliknya yang menggelongsor ke dalam laut di Teluk Senangin dekat Lumut, malam tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak dalam kenyataan berkata Muhammad Hafiz Ramli, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

    Jurucakap itu berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 11.34 malam.

    “Pihak bomba dimaklumkan oleh orang awam terdapat seorang lelaki terperosok di bawah kereta itu selepas dipercayai cuba menahan kenderaan tersebut daripada masuk ke laut. Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa naik ke tepi pantai sebelum pasukan penyelamat sampai di lokasi,” katanya.

    Menurut jurucakap itu, anggota bomba membuat pemeriksaan ke atas kereta dan mencabut kabel bateri kenderaan itu.

    Katanya mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi berkenaan ditamatkan kira-kira 1.45 pagi tadi.

    — BERNAMA

  • Pertahankan perpaduan, keharmonian dikecapi – Muhyiddin

    Pertahankan perpaduan, keharmonian dikecapi – Muhyiddin

    RAKYAT perlu menghargai segala pengorbanan pemimpin terdahulu yang berjaya membentuk persekutuan Malaysia menggabungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini.
    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (PMN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemimpin terdahulu mahu melihat kewujudan sebuah negara yang berdaulat, merdeka, harmoni, maju, makmur dan sejahtera.

    ‘’Hal ini dapat kita capai jika kita terus berpegang pada prinsip saling menghormati, bantu membantu, bertoleransi dan bertimbang rasa antara satu sama lain. Nilai-nilai murni seperti inilah yang membawa kejayaan kepada kita sewaktu  berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 sedikit masa dahulu,’’ katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata,  sambutan Hari Malaysia merupakan simbol penyatuan rakyat Malaysia daripada pelbagai pelbagai kaum, latar belakang dan keturunan yang sekali gus menjadi tonggak kekuatan negara selama ini.

    ‘’Marilah kita perkukuhkan kesepaduan Malaysia dengan sentiasa menghormati semangat Perjanjian Malaysia  1963 dan Perlembagaan Persekutuan. Sama-samalah kita jaga dan pelihara Malaysia yang kita cintai ini.

    Selamat Hari Malaysia,’’ katanya.

  • Kastam rampas methamphetamine  RM40.56 juta dalam mesin moulding industri

    Kastam rampas methamphetamine  RM40.56 juta dalam mesin moulding industri

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan rampasan terbesar tahun ini dengan penemuan 676 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM40.56 juta yang disembunyikan dalam mesin moulding industri.

    Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata rampasan dilakukan ketika serbuan pasukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM terhadap satu kontena bersaiz 12.1 meter di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 10 Sept lepas.

    “Dalam serbuan itu dadah berkenaan ditemukan dalam bungkusan teh dibaluti aluminium dan disembunyikan dalam mesin moulding industri berkapasiti besar, yang kami percaya ini merupakan taktik terbaharu sindiket dadah untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Nilai hari ini.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati kontena tersebut adalah untuk dieksport ke Australia, namun pihaknya masih menyiasat dari mana dadah itu diperolehi.

    Menurut Zazuli seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang merupakan wakil kepada pemilik kontena tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan.

     Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

    “Kami tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya.

     — BERNAMA

  • Syor bela nasib penoreh getah: KPLB ada perbincangan dengan dua kementerian

    Syor bela nasib penoreh getah: KPLB ada perbincangan dengan dua kementerian

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, berhubung  syor untuk membela nasib penoreh getah yang terkesan akibat kejatuhan harga komoditi itu.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, minggu depan kementerian itu akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan.

    “Apabila ketiga-tiga kementerian ini sudah ada persefahaman, kita akan angkat cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dapatkan kelulusan secepat mungkin.  Perkara ini melibatkan masyarakat di kampung dan mesti ada pembelaan untuk mereka daripada kerajaan,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penutup Program Mesra Pengguna di Pekarangan Pejabat Koperasi Kampung Padang Nyior Kedah Berhad di Padang Terap, hari ini. 

    Isnin lalu, Mahdzir berkata KPLB akan mengemukakan dua syor kepada Perdana Menteri dalam usaha membela nasib penoreh getah di negara ini.

    Dua syor tersebut, kata beliau ialah memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan manakala syor kedua meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 kepada RM3. Ketika ini harga getah sekerap berada pada paras RM2.30 hingga RM2.40.

    Ditanya mengenai jumlah pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang memohon menukar tanaman getah ke sawit berikutan penurunan harga, Mahdzir berkata terdapat permohonan seumpama itu sebelum ini ketika harga sawit melonjak tinggi.

    “Mereka mahu tukar tanaman tersebut ketika pelaksanaan projek penanaman semula tetapi perkara ini melibatkan polisi. Bagi memastikan kelestarian tanaman komoditi getah, RISDA menyasarkan seluas 25,000 hektar setahun dicapai bagi mengekalkan keluasan tanaman getah negara pada kadar 1.09 juta hektar,” katanya.

  • 43,508 pemilih baharu didaftarkan: SPR

    43,508 pemilih baharu didaftarkan: SPR

    DAFTAR Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2022 (DPT BLN8/2022) yang telah diperaku dan diwartakan, kini dibuka untuk semakan bagi tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 14 Oktober.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata, DPT BLN8/2022 mengandungi nama bagi 43,508 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas bagi tempoh 1 hingga 31 Ogos lepas yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

    Beliau berkata, DPT BLN8/2022 juga turut membabitkan sejumlah 19,868 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 6,544 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

    Untuk semakan, beliau berkata, SPR menyediakan lima kaedah iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

    Selain itu, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak dan hotline SPR di talian 03-8892 7018.

    “SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Ogos 2022 hingga 31 Ogos 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN8/2022.

    “Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN8/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D (bantahan) dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

    “Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN8/2022,” katanya.

  • Empat bersaudara ditahan bersama dadah bernilai RM90,000

    Empat bersaudara ditahan bersama dadah bernilai RM90,000

    POLIS menahan empat bersaudara termasuk tiga adik-beradik dan merampas dadah jenis ganja seberat lebih 27.31 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM90,000 dalam serbuan di sebuah premis di Kilometer 16, Jalan Apas di Tawau pada Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tiga beradik iaitu dua wanita dan seorang lelaki serta seorang saudara lelaki mereka itu, yang kesemuanya berusia antara 20 dan 43 tahun ditahan dalam serbuan di premis tersebut pada pukul 5 petang.

    Katanya, serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu, adalah hasil maklumat orang awam.

    “Ketika serbuan didapati dua lelaki sedang mengangkat tiga kotak dari sebuah kereta ke premis tersebut. Hasil pemeriksaan menemukan 29 bungkusan yang masing-masing berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.

    “Dua wanita berada dalam kenderaan itu turut ditahan. Dadah yang dirampas itu disyaki untuk dipasarkan di sekitar Tawau yang mampu dibekalkan kepada 20,000 pembeli,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

    Jasmin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Polis tahan lelaki cabul anak saudara enam tahun

    Polis tahan lelaki cabul anak saudara enam tahun

    SEORANG lelaki ditahan kerana mencabul anak saudara perempuannya berusia enam tahun dalam kejadian di Kampung Bukit Kuin, Bendang Nyior di Tanah Merah, Isnin lalu.

    Kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa mangsa sedang tidur apabila suspek yang berusia 34 tahun telah bertindak memasukkan jari ke dalam kemaluan kanak-kanak berkenaan.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintanden Mohd. Razi Rosli berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada seorang wanita yang mendakwa anak saudara perempuannya telah dicabul.

    “Mangsa merupakan anak tunggal dan tinggal bersama nenek yang merupakan ibu kepada bapa mangsa selepas kedua ibu bapanya bercerai.

    “Berdasarkan keterangan, mangsa memberitahu pada Isnin semasa sedang tidur, suspek telah bertindak memasukkan jari ke dalam kemaluannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut dan pada pukul 11.45 malam kelmarin, suspek telah berjaya ditangkap.

    “Suspek kini ditahan reman sehingga 20 September bagi membantu siasatan,” katanya sebagaiman dilaporkan Sinar Harian.

    Menurutnya, berdasarkan semakan rekod, suspek tidak mempunyai kesalahan lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing juga negatif.