KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, berhubung  syor untuk membela nasib penoreh getah yang terkesan akibat kejatuhan harga komoditi itu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, minggu depan kementerian itu akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan.

“Apabila ketiga-tiga kementerian ini sudah ada persefahaman, kita akan angkat cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dapatkan kelulusan secepat mungkin.  Perkara ini melibatkan masyarakat di kampung dan mesti ada pembelaan untuk mereka daripada kerajaan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penutup Program Mesra Pengguna di Pekarangan Pejabat Koperasi Kampung Padang Nyior Kedah Berhad di Padang Terap, hari ini. 

Isnin lalu, Mahdzir berkata KPLB akan mengemukakan dua syor kepada Perdana Menteri dalam usaha membela nasib penoreh getah di negara ini.

Dua syor tersebut, kata beliau ialah memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan manakala syor kedua meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 kepada RM3. Ketika ini harga getah sekerap berada pada paras RM2.30 hingga RM2.40.

Ditanya mengenai jumlah pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang memohon menukar tanaman getah ke sawit berikutan penurunan harga, Mahdzir berkata terdapat permohonan seumpama itu sebelum ini ketika harga sawit melonjak tinggi.

“Mereka mahu tukar tanaman tersebut ketika pelaksanaan projek penanaman semula tetapi perkara ini melibatkan polisi. Bagi memastikan kelestarian tanaman komoditi getah, RISDA menyasarkan seluas 25,000 hektar setahun dicapai bagi mengekalkan keluasan tanaman getah negara pada kadar 1.09 juta hektar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here