Category: Semasa

  • Dua lelaki berpakaian taktikal anime ditahan polis

    Dua lelaki berpakaian taktikal anime ditahan polis

    DUA lelaki lengkap berpakaian taktikal Let’s Anime Cosplay ditahan kerana disyaki memiliki senjata api dan bom tangan tiruan di sebuah pusat beli-belah, Damansara Jaya, di sini, semalam.

    Kedua-dua suspek warga tempatan masing-masing berumur 15 dan 24 tahun itu ditahan pada 4.30 petang selepas polis menerima laporan mengenai mereka.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pemeriksaan dilakukan ke atas suspek, polis menemukan satu laras senjata jenis M4, sepucuk pistol jenis Glock dan dua butir bom tangan yang kesemuanya tiruan.

    Beliau berkata kedua-dua suspek tidak memiliki sebarang rekod kesalahan lampau.

    “Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

    “Kedua-dua mereka direman selama tiga hari mulai hari ini sehingga Selasa ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Ku Mashariman menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau memiliki senjata tiruan dengan sengaja kerana ia menyalahi undang-undang dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Senjata 1960.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang di sekitar daerah Petaling Jaya boleh menghubungi Hotline Polis Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.- BERNAMA

  • UMNO dalam proses memuktamadkan calon PRU-15

    UMNO dalam proses memuktamadkan calon PRU-15

    UMNO sedang dalam proses memuktamadkan senarai calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa.

    Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, senarai calon itu akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO selepas melalui proses tapisan di peringkat Badan Perhubungan UMNO negeri.

    “Senarai calon ini sudah mula dikemukakan ke ibu pejabat oleh Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri dan selepas itu senarai akhir adalah apabila Pengerusi Perhubungan UMNO atau Barisan Nasional (BN) akan duduk bersama dengan barisan kepimpinan di peringkat tertinggi untuk muktamadkan.

    “Pengerusi BN Kedah misalnya dia bawa senarai dan kita akan berbincang dengan dia di peringkat tertinggi. Negeri Perak, Perlis negeri mana-mana saja kita bincang, muktamadnya di situlah,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Gerakan Veteran UMNO ‘Keluargaku Pengundi BN’ di Kuala Nerang hari ini.

    Mahdzir diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini bahawa pihaknya sudah menerima senarai calon daripada Badan Perhubungan UMNO negeri untuk PRU-15.

    Ditanya mengenai jumlah senarai calon yang sudah dihantar atau diterima, beliau berkata pihaknya tidak pasti mengenai jumlah sebenar.

    Bagaimanapun katanya, ciri-ciri calon itu terdiri daripada individu yang berpengalaman dan daripada pelbagai latar belakang.

    “Kategori calon-calon ini adalah hasil perbincangan antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri masing-masing bersama kepimpinan tertinggi parti dan gabungan. Di sana kita akan bincang dan akan tentukan sebab yang kemukakan itu daripada UMNO negeri, proses sedang berjalan, kita akan ambil yang berumur, berpengalaman, graduan semua itu berada dalam senarai dan ciri-ciri biasa pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

    Mengulas mengenai tarikh PRU15, Mahdzir berkata perkara itu akan ditentukan oleh Perdana Menteri setelah dibincangkan di peringkat pucuk pemimpin utama parti.

    “Kita bincang tetapi prerogatif itu adalah daripada Perdana Menteri, dari segi tarikh apa semua itu, kita bincanglah, kita boleh tengoklah bila Perdana Menteri agak-agaklah bila dia nak buat kita akan bersidanglah,” katanya.

    Mengenai pelancaran Gerakan Veteran UMNO ‘Keluarga Ku Pengundi BN’ peringkat negeri Kedah, Mahdzir berkata veteran UMNO memiliki pengalaman luas dalam menyusun atur gerakan dalam menghadapi pilihan raya.

    Justeru beliau menyeru agar veteran UMNO bersama-sama jentera parti untuk membantu memberi kemenangan kepada parti itu dalam PRU15 kelak.

  • KPLB gerakkan JAKOA di kawasan pedalaman hadapi banjir

    KPLB gerakkan JAKOA di kawasan pedalaman hadapi banjir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menggerakkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan penduduk di pedalaman menerima bantuan jika berlaku banjir pada musim tengkujuh nanti.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peranan JAKOA dan JKPP terbukti berkesan kerana pegawai dan pimpinan tempatan yang berpengalaman dan mengetahui selok belok kawasan masing-masing.

    “Persediaan banjir ini (KPLB) ada prosedur operasi standard (SOP), contohnya di kawasan pedalaman kita ada JAKOA yang sudah ada SOP mereka dan nak buat apa, kalau dari 850 kampung Orang Assli di seluruh Semenanjung, dia (pegawai JAKOA) sudah tahu kawasan mana yang selalu banjir.

    “Begitu juga dengan Ketua Kampung atau JPKK yang dilantik seluruh negara contohnya aliran hulu ke hilir sungai di daerah Padang Terap, mana kampung yang sebenarnya selalu banjir, yang tepi sungai ini dia sudah hafal sepatutnya dan dia akan ambil tindakan, katanya pada sidang media selepas melancarkan Gerakan Veteran UMNO ‘Keluarga Ku Pengundi BN, di Kuala Nerang, hari ini.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (Met) sebelum ini meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai November depan dan berisiko menyebabkan banjir besar.

    Cuaca buruk juga diramal melanda negara kerana Monsun Timur Laut aktif pada bulan itu yang membawa hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar dijangka berlaku.

    Selain JAKOA kata Mahdzir, semua agensi KPLB juga akan memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi bencana banjir.

    Menurutnya, setiap agensi KPLB sudah mempunyai sasaran kawasan yang sering terjejas.

    “Seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), mereka jaga pekebun-pekebun kecil, mereka juga tahu kawasan mana sering berlaku banjir dan mereka ada sasaran apa benda yang mereka patut buat dan semua agensi sudah ada peranan masing-masing dan sasaran mereka,” kata beliau.

  • Tular peniaga dipukul gara-gara kereta bergesel

    Tular peniaga dipukul gara-gara kereta bergesel

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG peniaga cedera dipukul seorang lelaki dalam pergaduhan selepas kereta bergesel di Kilometer 18 Jalan Ayer Hitam-Johor Bahru, Johor Bahru kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerima aduan kejadian itu pada pukul 5.19 petang kelmarin.

    “Kejadian ini berlaku pada 3.10 petang Jumaat semasa mangsa yang berusia 57 tahun itu dan memandu kereta Mercedez-Benz dalam perjalanan dari Muar ke Bukit Indah.

    “Ketika memandu di lorong tengah tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja warna perak dipandu seorang lelaki warga tempatan yang memandu di lorong kanan telah mengubah haluan dan masuk di hadapan kereta mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Rupiah berkata, tindakan itu menyebabkan kedua-dua kereta tersebut bergesel sebelum memberhentikan kenderaan masing-masing di tepi jalan.

    Menurutnya, kemudian berlaku pertengkaran mulut sehingga mencetuskan pergaduhan sebelum mangsa dipukul dengan objek tumpul.

    “Akibat kejadian tersebut mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lebam di tangan kiri. Dia mendapat rawatan di klinik swasta,” ujar beliau.

    Jelasnya, kejadian berkenaan menerusi video berdurasi sembilan saat tular dalam media sosial.

    “Suspek sudah ditahan pada hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Katanya, kes disiasat di bawah Sekysen 343 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau sebat atau kedua-duanya.

    Kes tersebut katanya, turut disiasat di bawah Peraturan 6 (1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 atas kesalahan memotong kenderaan lain dalam keadaan boleh menyebabkan bahaya dan boleh disaman maksimum RM300.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta berhubung dengan IPD Johor Bahru Utara menerusi talian 07-55631222.

  • Lelaki Singapura hilang ditemukan selamat

    Lelaki Singapura hilang ditemukan selamat

    LELAKI warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika mendaki bersama rakannya di Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, semalam, ditemukan selamat petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata Jason Ren Jie berusia 30-an ditemukan selamat oleh orang awam setelah mangsa berjaya keluar sendiri dari hutan kira-kira 2.20 petang.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan telefon dari orang awam pada 2.22 petang memaklumkan telah menemui seorang lelaki di Kilometer 52, Jalan Kota Tinggi – Mersing berhampiran Kubu Jepun (Batu 15). 

    “Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan Response Team telah digerakkan ke lokasi penemuan dan mangsa dalam keadaan selamat dengan hanya mengalami luka-luka kecil. Dia dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Operasi mencari dan memyelamat mangsa yang masuk hari kedua di Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, dimulakan 10 pagi tadi, melibatkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan (Kota Tinggi) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kota Tinggi.

    Sementara itu, Hussin berkata mangsa dan rakannya akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan lanjut memandangkan mereka tidak mendapatkan kebenaran dan permohonan permit bagi memasuki Kawasan Hutan Simpanan Kekal.

    Beliau menasihati orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan Hutan Simpan agar mendapatkan permit kebenaran terlebih dahulu dari Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi, mendapatkan khidmat malim gunung dan memaklumkan pergerakan masuk serta keluar kepada Balai Polis yang terdekat bagi mengelak kejadian sebegini berulang lagi.

    Dalam kejadian semalam, lelaki berkenaan dilaporkan hilang kira-kira 1 tengah hari selepas mendaki bersama rakan lelakinya yang juga warga tempatan.- BERNAMA

  • Ibu Khai Bahar dirawat di ICU

    Ibu Khai Bahar dirawat di ICU

    IBU penyanyi popular Khai Bahar, Rosnah Muhammad, 61, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, akibat masalah buah pinggang, sejak Rabu lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Khai, 28, atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin berkata, ibunya masih belum sedarkan diri dan memerlukan pemantauan rapi.

    “Mak masih di ICU sejak Rabu lagi. Dia belum sedarkan diri. Mak memang ada masalah buah pinggang sudah lama, tapi dia tidak buat dialisis.

    “Mak jenis yang takut nak ke hospital, cuma baru-baru ini keadaannya teruk dan itu yang terus bawa ke hospital. Ini kali pertama mak dimasukkan ke hospital,” katanya kepada Harian Metro.

    Khai menurut laporan itu lagi berkata, doktor memaklumkan ibunya perlu menjalani rawatan dialisis hingga keadaan kembali stabil.

    “Setakat ini doktor tidak ada cakap apa-apa lagi. Cuma, saya dan adik-beradik lain dimaklumkan mak kena buat dialisis hingga dia stabil dan sedarkan diri,” katanya.

    Disebabkan itu, Khai terpaksa menunda beberapa komitmen kerja yang sudah diatur kerana menjaga ibunya di hospital.

    “Sebab mak di ICU, jadi tidak ada yang boleh teman. Tapi kami bergilir-gilir tunggu di hospital sebab senang nak dapat maklumat lanjut daripada doktor.

    “Kalau mak dibawa buat dialisis baru data tengok. Sepanjang minggu ini saya tangguhkan dulu semua kerja. Insya-Allah, minggu depan mula balik,” katanya.

  • Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, 16 GRO warga asing ditahan

    Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, 16 GRO warga asing ditahan

    POLIS menyerbu sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Jalan Metro Perdana Barat, Taman Usahawan Kepong dekat sini semalam dan menahan 16 warga asing dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO).

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata serbuan pada 10.50 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan. 

    “Pusat hiburan berkenaan didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan pasukan kita telah menahan 16 wanita warga asing itu serta seorang lelaki berusia 21 tahun yang merupakan penjaga premis berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata turut diperiksa 50 pelanggan berusia di 23 hingga 57 tahun yang berada di pusat berkenaan dan mereka telah dibebaskan tanpa syarat manakala peralatan audio yang digunakan untuk tujuan hiburan antara yang dirampas.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana menjalankan aktivi pusat hiburan tanpa lesen perniagaan yang sah, Seksyen 55B Akta Imigresen kerana mengajikan warga asing tanpa permit yang sah, Seksyen 6(1) (c) AKta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen kerana kesalahan menyalahgunakan pas lawatan.- BERNAMA 

  • Bot karam: Nelayan hilang ditemukan lemas

    Bot karam: Nelayan hilang ditemukan lemas

    SEORANG nelayan tempatan yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya karam di perairan Bagan Lipas dekat Lumut semalam ditemukan lemas. 

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata mayat lelaki itu ditemukan terapung pada kira-kira pukul 11.30 pagi oleh nelayan setempat. 

    “Kita telah terima laporan insiden bot karam pagi semalam pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut perairan Bagan Lipas dan telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat). 

    “Operasi yang bersambung hari ini berjaya menemukan mangsa dan Op Carilamat telah ditamatkan 12.40 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

    Beliau berkata mangsa berusia 56 tahun dan berasal dari Kuantan, Pahang bekerja sebagai nelayan sebuah syarikat perikanan dekat Hutan Melintang.

    Katanya dalam kejadian pada kira-kira 3 pagi itu, bot nelayan dinaiki tiga lelaki dimasuki air dan ketiga-tiga mereka terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri. 

    Dua daripada mereka yang merupakan warga Indonesia sempat mencapai tong air untuk terapung manakala mangsa gagal menyelamatkan diri dan dihanyutkan arus deras.

    Susulan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Op Carilamat dan Bot Petir 83 daripada MN Selangor telah diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan penugasan operasi. 

    Beliau berkata Op Carilamat turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Balai Polis Rungkup dan Komander Operasi Komponen Maritim (MCOC).

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri dalam kenyataan berkata bot terbabit dikatakan berlabuh di muara Bagan Lipas bagi tujuan rehat sebelum kembali ke pelantar di Hutan Melintang.

    “Mereka keluar menangkap ikan pada 13 Sept lepas di lima batu nautika dari kawasan pelantar dan bot mereka tenggelam sekitar pukul 3 pagi. 

    “Operasi menyelamat telah dilakukan pada hari sama pada 12 tengah hari namun terpaksa memberhentikan operasi pada 7 malam akibat cuaca gelap sebelum disambung hari ini,” katanya. 

    Beliau berkata mayat mangsa ditemukan tersangkut pada tiang sebuah kelong di Muara Sungai Bagan Lipas dan mayat telah dikenal pasti oleh waris mangsa sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.- BERNAMA

  • ‘Seharusnya Roslan Shah minta maaf, bukan saya’ – Jamal

    ‘Seharusnya Roslan Shah minta maaf, bukan saya’ – Jamal

    PENYANYI legenda, Datuk Jamal Abdillah menegaskan beliau sedia membuat permohonan maaf kepada sesiapa sahaja, namun ia sepatutnya dilakukan Roslan Shah yang menimbulkan kekecohan sehingga memburukkan namanya.

    Kontroversi itu tercetus setelah Roslan yang juga pembantu acara memuat naik beberapa hantaran dalam Instagram (IG) Story mendakwa seolah-olah ditipu Jamal apabila tidak hadir ke sebuah expo di Singapura seperti dijanjikan.

    Roslan mendakwa, teraniaya apabila terpaksa membayar ganti rugi RM33,000 membabitkan, hotel, tiket penerbangan, promosi dan sebagainya di expo berkenaan.

    Memetik laporan Berita Harian, Jamal ketika mengulas perkara itu menjelaskan, permohonan maaf bagus, tetapi kena tengok keadaan.

    “Sepatutnya, Roslan perlu minta maaf kerana memaksa saya datang, kemudian memburukkan nama saya. Jadi, seharusnya Roslan minta maaf, bukan saya.

    “Bagaimanapun, saya tak kisah meminta maaf kepada sesiapa sahaja. Saya juga mohon maaf kepada peminat di Singapura atas perselisihan faham antara saya dan penganjur,” katanya kepada BH Online.

    Kata laporan itu lagi, Jamal berkata, dia sudah berulang kali beritahu tak boleh datang kerana sudah terikat dengan komitmen lain, tetapi Roslan tetap memujuknya.

    “Saya berulang kali jelaskan tak boleh datang ke Singapura. Saya masih ingat bercakap dengan Roslan lebih sejam ketika dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang ke Dungun, Terengganu, tetapi Roslan tetap memujuk.

    “Dia pujuk dan saya tetap kata tidak boleh. Ini kerana saya sudah ada perjanjian bersama penganjur konsert eksklusif di Singapura pada 31 Disember dan 1 Januari depan.

    “Konsert ini berbayar, jadi saya tidak mahu mengganggu penjualan tiket. Tetapi, Roslan tetap pujuk mengatakan tiket boleh jual. Memanglah boleh jual, tetapi masa tak sesuai.

    “Bila saya cakap banyak kali tak boleh, tetapi Roslan tetap mahukan saya datang. Jadi, saya iyakan sahaja sebab susah nak layan orang seperti ini,” katanya.

    Mengulas kerugian ditanggung atas persiapan dilakukan seperti tiket penerbangan, hotel dan sebagainya, Jamal berkata, ia dibuat tanpa pengetahuannya.

    “Kenapa Roslan beriya-iya menyediakan tiket penerbangan dan hotel, termasuklah membuat promosi di stesen radio serta mengeluarkan poster tanpa kebenaran?

    “Sedangkan, saya tidak menandatangani sebarang kontrak perjanjian. Kenapa bersusah payah buat semua ini, sedangkan berulang kali saya cakap tak boleh datang.

    “Roslan mahu saya datang untuk memeriahkan suasana, tetapi saya berniaga barang sendiri, bukan barang dia pun. Mungkin Roslan sudah ambil duit daripada penganjur kononnya nak bawa artis Malaysia datang.

    “Disebabkan itu, Roslan memaksa saya, mesti ada agenda tertentu membuatkannya sanggup keluar duit untuk tiket penerbangan dan hotel.

    “Sekarang, saya pula jadi mangsa. Saya tahu agenda Roslan, pasti ada keuntungan di situ,” dakwanya.

    Justeru, Jamal menegaskan, penganjur tidak boleh mementingkan diri dan membuat keputusan tanpa persetujuan kedua-dua pihak.

    “Jangan fikir tekak sendiri sahaja, fikir orang lain yang nak berjalan jauh, letih. Dia tak tahu kepayahan saya sampai pagi menjayakan persembahan Hari Malaysia. Semalam jam dua pagi barulah saya selesai kerja.

    “Tidur pun pukul 3.30 pagi dan kemudiannya, saya kena pulang ke Kuala Lumpur dan seterusnya, ke Kuala Terengganu. Ada mereka fikir keadaan saya?

    “Jadi, mengenai bayaran tiket penerbangan, bilik dan sebagainya, itu bukan masalah saya.

    “Ini penerangan saya, takkan pergi, tiada masa dan memang tak boleh nak datang,” katanya.

    Bagaimanapun, kata Jamal, anak sulungnya, Osama Yamani dan pasukannya tetap hadir bagi menjayakan jualan produk di expo berkenaan dan membuat persembahan menggantikannya.

    Tambah Jamal, dia tidak bimbang peminat kecewa kerana bakal mengadakan konsert di Hotel Tenera, Bangi yang turut disertai peminat dari Singapura.

    “Nak cakap bimbang peminat kecewa, mungkin tidak. Sebabnya, dijangka 20 bas peminat akan datang dari Singapura untuk menyaksikan konsert saya.

    “Selain konsert di Singapura, peminat akan bertemu saya di konsert di Hotel Tenera,” katanya.

    Terdahulu, Roslan dalam hantaran dimuat naik dalam IG Story mempersoalkan kenapa Jamal tidak menepati janji.

    “Kenapa Datuk Jamal Abdillah buat saya begini? Janji harus ditepati. Telefon dan WhatsApp pengurus pun tidak berjawab. Sedangkan, semuanya disediakan oleh pihak penganjur.

    “Siapa nak bayar ganti rugi? Dugaan saya nak pergi umrah pada 27 September ini. Tak mengapa, Allah SWT ada walaupun

    saya teraniaya,” tulis Roslan.

  • Disangka anak dara rupanya ibu kepada tujuh anak

    Disangka anak dara rupanya ibu kepada tujuh anak

    SUKAR untuk mempercayai jika ada pihak yang mengatakan Noriza Tul Akma Abdullah sudah memiliki tujuh cahaya mata, walhal wajah dan penampilan luarannya menunjukkan seolah dia belum berumah tangga.

    Namun itu hakikatnya bagi wanita berusia 32 tahun itu dari Taiping yang mula berumah tangga dari umurnya 16 tahun.

    Hingga sekarang, Akma sudah memiliki tujuh cahaya mata dengan seorang daripadanya meninggal dunia ketika kandungan berusia empat bulan.

    Memetik laporan Harian Metro, ia hasil perkahwinannya dengan suami, Muhamad Izzhar Abdullah, 34, pada 2006. Sudah ditakdirkan, Akma menimang cahaya mata sulung setahun selepas berkahwin sekali gus menjadikannya ibu pada usia muda.

    “Saya berkahwin dengan kerelaan sendiri, bukan atas paksaan keluarga atau dijodohkan oleh mereka.

    “Kiranya, saya dan suami memang nak menghalalkan hubungan kami dengan perkahwinan.

    “Tempoh lima tahun pada awal perkahwinan agak sukar juga kerana usia belum matang malah pernah juga catu makan tetapi semakin biasa menyesuaikan dengan keadaan selepas melahirkan anak kedua,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

    Menurut laporan itu lagi, Akma selain merujuk dengan ibu bapa, dia banyak membaca buku berkaitan penjagaan bayi untuk menambah pengetahuan.

    Katanya, pengetahuan diperoleh itu cuba diaplikasikan mengikut keadaan setiap seorang anaknya.

    “Kalau pergi kedai buku, saya memang suka cari buku berkaitan penjagaan anak.

    “Dari situ, saya belajar walaupun realitinya tidak sama dan lebih mencabar,” katanya.

    Setiap kali keluar bersama anak, Akma tidak menafikan ada yang menyangka dia anak sulung dan berjalan-jalan membawa adik.

    Akma berkata, ada juga individu yang cuba ‘mengayatnya’ kerana beranggapan dia belum berkahwin.

    “Hakikatnya, saya sudah berkahwin dan ibu kepada tujuh cahaya mata dengan yang sulung berusia 15 tahun dan bongsu dua tahun manakala anak syurga saya, Muhamad sudah meninggal dunia kerana jantung berhenti semasa dalam kandungan.

    “Saya tidak layan dan anggap ia sekadar usikan daripada mereka yang tidak kenal kerana orang terdekat tahu saya sudah berkahwin,” katanya.

    Berhubung kisahnya yang tular selepas memuat naik video di TikTok, Akma berkata, dia sekadar berkongsi untuk suka-suka saja dan tiada niat mencari perhatian.

    “Saya muat naik video itu kelmarin (Jumaat) dan tak sangka ramai yang menonton. Alhamdulillah, banyak komen positif dan terima kasih saya ucapkan kepada yang mendoakan namun ada juga menuduh video itu hanya rekaan serta sekadar bahan (content).

    “Saya tidak ambil kisah komen negatif dan terima saja dengan lapang dada.

    “Apa yang pasti, saya doakan mereka belum ada cahaya mata atau sedang berusaha dikurniakan rezeki anak oleh Allah.

    “Bagi yang ada perancangan kahwin awal pula, saya nasihatkan jangan terburu-buru melainkan sudah benar-benar bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

    “Ia kerana perkahwinan bukan perkara mudah malah kelangsungan hubungan suami isteri menuntut tolak ansur serta kesabaran tinggi,” katanya yang mencari rezeki menerusi perniagaan dalam talian.