Category: Semasa

  • BN janganlah hanya pandai mendesak

    BN janganlah hanya pandai mendesak

    Oleh DATO’ JASRI JAMALUDIN

    SEHARI dua ini tekanan makin kuat untuk Perdana Menteri membubarkan Parlimen oleh Barisan Nasional (BN) terutama pemimpin yang berdepan kes mahkamah.

    Presidennya tanpa berfikiran rasional sanggup mengadakan pilihan raya pada musim banjir tanpa mempedulikan kesusahan rakyat. Apatah lagi pusat-pusat mengundi di sekolah-sekolah terutama di Pahang itulah juga dijadikan tempat pemindahan sementara banjir.

    Rakyat yang saban tahun mengharungi banjir akan tahu bagaimana susah dan peritnya apabilah rumah-rumah mereka ditenggelami air.

    Dato’ Jasri Jamaludin

    Nampaknya Ismail Sabri juga sudah tidak dapat untuk fokus dalam mentadbir negara akibat daripada tekanan ini. Banyak isu-isu rakyat yang tidak dapat ditangani. Masalah kehidupan rakyat yang kekurangan pendapatan, kenaikan harga barangan harian, rakyat yang masih belum mendapat pekerjaan akibat pandemik covid-19 dan berbagai lagi masaalah untuk rakyat meneruskan kehidupan.

    Itu kita belum berbicara bab ekonomi. Kenaikan OPR bank negara, tanggungan pinjaman meningkat, tukaran mata wang ringgit yang menjadi sangat lemah, saya diberitahu sehingga Ringgit Malaysia sudah tidak bernilai di Thailand.

    Saya harap Barisan Nasional bermuhasabahlah dan membantu Dato’ Sri Ismail Sabri untuk mentadbir dengan baik. Bukan hanya pandai mendesak sehinggakan pentadbiran negara menjadi huru hara. Jika keadaan ini berterusan saya percaya negara kita akan berdepan dengan cabaran yang bukan sahaja menyusahkan rakyat tetapi juga kemelesetan ekonomi berpanjangan.

    Pilihan raya akan tetap diadakan dan tempoh masanya sehingga 2023. Eloklah kita mengutamakan bantuan kepada rakyat dan penyelesaian masalah-masalah negara yang kita hadapi. Jangan sampai kumpulan B40 menjadi kumpulan B80 akibat desakan yang tidak memberi manafaat kepada rakyat.

    *Dato’ Jasri Jamaludin adalah  Ketua Bahagian Bersatu Maran

  • Lebih 60 premis di Jertih, Hulu Besut rosak dilanda ribut

    Lebih 60 premis di Jertih, Hulu Besut rosak dilanda ribut

    LEBIH 60 premis termasuk kediaman dan kedai makan di sekitar Jertih dan Hulu Besut dekat sini, mengalami kerosakan akibat dilanda ribut dalam kejadian petang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu kebanyakan premis mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, akibat diterbangkan angin kuat.

    Seorang pemilik kedai Wan Yuslina Wan Yusof, 48, berkata kejadian berlaku dalam keadaan hujan lebat ketika dia sedang mengemas warungnya, selepas menutup operasi.

    “Saya berada seorang diri di bahagian dapur kedai, tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu di atas bumbung dapur sebelum ia terangkat diterbangkan angin, keadaan berlaku sangat pantas.

    “Saya keluar menyelamatkan diri dan kedai makan yang terletak bersebelahan turut mengalami nasib sama,” katanya yang menyewa premis Majlis Daerah Besut (MDB) di bandar ini, kepada Bernama hari ini.

    Sementara itu, menurut Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut Mat Daik Mohamad, lebih 50 buah rumah di beberapa kampung di kawasan Hulu Besut mengalami kerosakan dalam kejadian sama.

    “Dua kampung yang paling banyak mengalami kerosakan ialah rumah di Kampung Darau dan Lepan Kejor. Kebanyakan rumah mengalami kerosakan bahagian bumbung, namun tidak ada kecederaan dilaporkan,” katanya.

    Mat Daik berkata lagi, pihaknya telah turun padang meninjau kerosakkan rumah dan kedai terlibat dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan untuk membaiki kerosakan premis tersebut.

    Katanya, kejadian semalam adalah kali kedua dan yang terburuk berlaku di Hulu Besut pada tahun ini, selepas kali pertama kejadian pada Julai lalu menyebabkan lebih 20 buah rumah mengalami kerosakan.- BERNAMA

  • PRU-15 musim banjir: Kenapa paksa sesuatu rakyat tidak selesa

    PRU-15 musim banjir: Kenapa paksa sesuatu rakyat tidak selesa

    PAS tetap konsisten untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Menurutnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diterajui Pas tidak akan dibubarkan walaupun berlakunya pembubaran Parlimen dalam masa terdekat untuk PRU15.

    Beliau menjelaskan, ia bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

    “Setakat ini, tiada ada perubahan (tidak akan bubarkan) kerana apa yang penting bagi kita ialah kita tidak menyusahkan rakyat, …bukan kepentingan parti-parti politik semata-mata, parti politik ini sudah jadi medium untuk memberikan khidmat kepada rakyat.

    “Apa yang penting ialah kita tengok rakyat selesa atau tidak. Kalau rakyat berada dalam keadaan kurang selesa akibat banjir, kenapa kita mahu paksa sesuatu yang rakyat rasa tidak selesa.

    “Kita biarkan suasana ekonomi berkembang dan sebagainya, …itu pandangan peribadi saya,” katanya dalam laporan Berita Harian, hari ini.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa minggu lalu menyatakan Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.

  • IPD Bentong siasat dakwaan sindiket culik di Genting Highland

    IPD Bentong siasat dakwaan sindiket culik di Genting Highland

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik di Genting Highland.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan itu dibuat selepas dakwaan sindiket penculikan itu tular dalam media sosial sejak semalam.

    “Pihak keselamatan Genting Highlands telah membuat laporan polis pukul 8.16 malam semalam berhubung video tular tersebut.

    “Tular sebuah video berdurasi satu minit 20 saat melalui akaun TikTok @Alfitry_Azmi52 yang dimuat naik di Facebook daily traffic report.

    “Video itu memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan hampir menjadi mangsa culik oleh seorang perempuan wargangera asing di Genting Highlands,” katanya dalam kenyataan, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, Zaiham berkata, pihaknya telah mengesahkan tidak menerima sebarang laporan polis daripada pihak yang terlibat.

    Jelas beliau, IPD Bentong akan menghubungi pemilik akuan TikTok berkenaan bagi mendapatkan makumat lanjut berhubung kejadian tersebut.

    “Kita memohon kerjasama daripada semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

    Sementara itu, dalam satu lagi klip video di TikTok, seorang lelaki yang mendakwa diri bapa kepada anak yang hampir diculik tampil menjelaskan cerita sebenar.

    Menerusi akaun bernama Jaffrule Zaffrule, mendakwa isterinya didatangi dua warga asing ketika dia bersama rakan ingin bermain permainan.

    Katanya, sangkaan awal kedua-dua mereka mungkin ingin mencuri barang yang dijaga isterinya, tetapi sebaliknya wanita warga Pakistan bertindak menarik dan mendukung anaknya.

    Dia tidak membuat laporan polis dan menyerahkan kepada polis bantuan untuk tindakan selanjutnya.

  • Kes juling kanak-kanak kerana gajet meningkat, membimbangkan

    Kes juling kanak-kanak kerana gajet meningkat, membimbangkan

    KES juling dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Kelantan dilihat meningkat secara mendadak selepas pandemik COVID-19 dipercayai disumbang oleh penggunaan gajet untuk tujuan sosial secara berterusan.

    Situasi itu mengakibatkan bola mata pesakit tidak selari dan menjadi juling.

    Ketua Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Shatriah Ismail berkata, sejak 2018 hingga kini, Hospital USM menerima 30 pesakit di negeri ini untuk pembedahan membetulkan semula bola mata.

    Menurutnya, pesakit terdiri daripada mereka berusia 10 hingga 15 tahun dengan 10 daripada mereka sudah menjalani pembedahan.

    “Pesakit yang dirujuk, kebanyakannya datang dalam keadaan satu bola mata memandang lurus dan satu lagi masuk ke dalam atau juling.

    “Walaupun kita mencuba rawatan secara konservatif, kedudukan bola mata tidak balik ke kedudukan asal, seterusnya pesakit terpaksa menjalani pembedahan,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Mengikut laporan itu lagi, Dr Shatriah berkata, peningkatan mendadak pesakit yang mengalami kes sedemikian agak membimbangkan, terutama apabila ia bukan sahaja membabitkan kanak-kanak dan remaja, malah bayi.

    Beliau menjelaskan, pembelajaran dalam talian tanpa ada waktu senggang juga boleh mempengaruhi kerana ada dalam kalangan murid menggunakan telefon bimbit dengan skrin kecil.

    “Situasi ini agak membimbangkan dan sebab itu perlu ditekankan kepada pelajar, ibu bapa dan guru supaya kawal penggunaan gajet walau dalam kalangan kanak-kanak kecil yang belum bersekolah.

    “Penggunaan gajet untuk tujuan sosial perlu dihadkan. Jangan guna gajet secara berterusan, sebaliknya perlu ada waktu senggang,” katanya.

  • RM20 juta untuk pendigitalan usahawan luar bandar

    RM20 juta untuk pendigitalan usahawan luar bandar

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM20 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi mempergiatkan program e-dagang dan pendigitalan usahawan luar bandar di bawah bimbingannya.

    Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, menerusi peruntukan tersebut, KPLB akan memastikan sasaran RMK-12 yang ditetapkan sebelum ini mampu dicapai menerusi usaha berterusan dan kolektif melibatkan agensi-agensi kementerian.

    “KPLB menerusi inisiatif yang telah diperkenalkan iaitu Desamall@KPLB diyakini mampu untuk membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-Dagang dan aplikasi digital,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Pendigitalan Usahawan (PPU) Siri 3 Tahun 2022 Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.

    Turut hadir, Pengarah KPLB Sabah, Johar Julasbi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat E-Lokal Sdn. Bhd, Ahmad Shah Wahid.

    Mengulas lanjut, Ramlan memberitahu, pelbagai usaha digerakkan melibatkan kolaborasi agensi di bawah KPLB bagi melatih dan membangunkan persekitaran keusahawanan luar bandar yang sebelum ini bergantung secara konvensional kepada platform digital bagi meningkatkan akses pasaran.

    “Kita tahu terdapat cabaran dan halangan bagi produk luar bandar menembusi pasaran secara dalam talian, bagaimanapun menerusi platform Desamall@KPLB, kita bantu luaskan pasaran produk serta perkhidmatan ke pelbagai platform e-dagang selain menambah baik mutu dan kualiti produk dari segi pembungkusan, maklumat produk, foto serta video pendek yang berkualiti dan menarik untuk kesediaan usahawan berniaga dalam talian.

    “KPLB juga menyasarkan sebanyak 5,000 produk dipasarkan di platform e-dagang melibatkan 5,000 usahawan luar bandar di seluruh negara”, ujar beliau.

    Ramlan menjelaskan, jualan terkumpul Desamall@KPLB sejak diperkenalkan pada 2017 adalah sebanyak RM 4.49 juta dengan jumlah produk terkini sebanyak 3,886 unit manakala bilangan usahawan melebihi 3,000 orang.

    “Berdasarkan perancangan untuk usahawan luar bandar, KPLB optimis kita mampu mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang penghujung RMK-12,” katanya.

    Mengenai Program Pendigitalan Usahawan (PPU) pula, jelas Ramlan program itu dirangka khusus untuk mempersiapkan usahawan beralih kepada pendigitalan selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

    Beliau menjelaskan, rakan-rakan strategik yang terdiri daripada pihak bank, penyedia perkhidmatan pembayaran dalam talian serta aplikasi pemasaran dalam talian turut menawarkan khudmat bagi memudahcara proses peralihan perniagaan secara dalam talian.

    “PPU Siri 3 ini adalah siri terakhir pada tahun 2022. Pada tahun hadapan, kita akan merancang lebih banyak siri PPU di seluruh negara bergantung kepada kelulusan peruntukan yang akan diputuskan oleh EPU menerusi Rolling Plan (RP) 3 Tahun 2023.

    “Setakat ini, seramai 700 usahawan luar bandar telah mengikuti PPU yang dianjurkan pada tahun ini,” tambah beliau.

  • Jangan guna bahan terlarang untuk berjaya – Ahmad Faizal

    Jangan guna bahan terlarang untuk berjaya – Ahmad Faizal

    MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mahu semua atlet terutama daripada sukan angkat berat, agar tidak menggunakan jalan singkat dengan penggunaan bahan terlarang untuk meraih kejayaan pada mana-mana kejohanan disertai mereka. 

    Kesal dengan tiga atlet angkat berat Sukan Malaysia (Sukma) 2022 melibatkan dua negeri didapati positif doping pada ujian prakejohanan, beliau berkata masalah tersebut akan memberi kesan kepada sukan itu kembali disenaraikan sebagai sukan teras, selepas digugurkan akibat masalah doping.

    “Ini masalah kedegilan…kita tidak guna jalan singkat capai kejayaan. Saya yakin kepada semua atlet, kalau anda semua berusaha bersungguh-sungguh tanpa menyalahi mana-mana peraturan anda mampu jadi juara. 

    “Kita sedia maklum angkat berat bukan lagi sukan teras sebab masalah yang sama (doping), jadi tentunya perkara terbaharu ini mengundang masalah sama untuk kita martabatkan sukan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam Sukma ke-20 di Bangi, malam tadi.

    Mengulas lanjut, beliau percaya Majlis Sukan Negara (MSN) akan memperhalusi perkara tersebut dan membuat satu keputusan yang baik demi kepentingan negara.

    Semalam, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengumumkan pihaknya menarik diri daripada mengendalikan acara angkat berat Sukma ke-20, kerana ketetapan badan induk itu berhubung kesalahan berkaitan isu doping yang tidak disambut baik MSN, selepas tiga atlet Sukma diuji positif pada ujian dilakukan Agensi Anti-doping Malaysia (ADAMAS).

    Menurut PABM, mereka sebelum ini membuat ketetapan bahawa jika terdapat mana-mana atlet ahli gabungan/persatuan negeri positif doping, maka atlet tersebut dan atlet lain dalam ahli gabungan/persatuan negeri itu, akan digantung daripada menyertai Sukma ke-20.

    Ketiga-tiga mereka, sebelum ini dilarang daripada mengambil bahagian dalam Sukma kali ini.

    Ahmad Faizal berkata berikutan itu saingan angkat berat Sukma yang sepatutnya bermula pada Isnin, hanya membuka tirai hari ini, dengan acara tersebut dikendalikan pasukan khas penggiat sukan itu dengan kerjasama MSN.

    Namun, beliau berkata pihaknya masih berharap supaya PABM kembali menguruskan acara berkenaan.

    Sementara itu, Ketua Kontinjen Terengganu Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak mengesahkan salah seorang atlet terpalit isu doping datangnya dari kontinjen Pantai Timur itu, namun tidak mempunyai butiran lanjut berhubung isu berkenaan.

    “Memang ada atlet Terengganu terlibat (isu doping), tetapi saya sendiri tidak tahu nama atlet terlibat itu. Tindakan selanjutnya akan diambil apabila kita balik ke Terengganu, tengoklah atlet itu mahu buat ujian kedua atau macam mana,” katanya.

    Tun Ahmad Faizal, bagaimanapun memaklumkan moral barisan badang Terengganu yang bakal memulakan aksi hari ini, berada di tahap tertinggi untuk mempamerkan prestasi terbaik mereka.

    Pada 2017, angkat berat antara satu daripada tiga sukan digugurkan daripada senarai sukan teras susulan masalah doping selain sepak takraw dan taekwondo.

  • Kisah anak, cuci jamban dan elaun sara hidup

    Kisah anak, cuci jamban dan elaun sara hidup

    SAYA adalah bapa kepada salah seorang daripada 4,149 pelajar tajaan MARA di universiti luar negara.

    Anak saya kini sedang bergelut bukan sahaja dengan buku-buku notanya, tetapi juga wang di dalam sakunya.

    Untuk makluman, anak saya ketika ini mendapat elaun sara hidup (ESH) yang disediakan MARA untuk menampung perbelanjaan harian meliputi kos makan minum, sewaan kediaman, pengangkutan dan keperluan hariannya semasa pengajian.

    Kadar elaun sedia ada telah diguna pakai sejak lebih 13 tahun lalu, tak naik-naik.

    Peningkatan sara hidup hidup, Covid-19 dan pelbagai isu lain telah membuatkan kehidupan anak saya dan rakan-rakannya begitu tertekan, selain tekanan untuk menghabiskan pengajian masing-masing.

    Walaupun anak saya cuba menyembunyikan keresahannya, namun naluri seorang bapa tetap dapat merasainya.

    Airmata saya akhirnya tumpah apabila anak saya ‘kantoi’ dalam sekeping gambar di dalam Facebooknya.

    Dalam foto itu, saya ternampak satu perkataan yang tertulis nama sebuah syarikat di kemeja T yang disidai di dalam biliknya.

    Bila saya Google perkataan itu, rupanya ia adalah sebuah syarikat pembersihan tandas – ternyata anak aku membuat kerja sampingan mencuci jamban!

    Sebenarnya tidak salah dia melakukannya, ia ternyata satu rezeki yang halal, malah pekerjaan seperti itu bukanlah sesuatu yang asing buat pelajar kita di luar negara.

    Cuma sebagai bapa, bohong jika saya tidak merasa sedih dengan situasi yang dilalui oleh anak saya.

    Saya tahu inilah antara pengorbanan yang perlu dilalui untuk berjaya, apatah lagi saya hanyalah seorang kerani cabuk yang tak mampu untuk menghantar wang saku yang cukup untuk dia menyara kehidupannya di sana.

    Justeru apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengumumkan kenaikan ESH pelajar dalam dan luar negara tajaan MARA, airmata saya sekali lagi tumpah kerana terlalu gembira dan bersyukur dengan keputusan tersebut.

    Bukan sedikit mereka yang dapat tempiasnya, saya difahamkan jumlahnya hampir 63,000 orang!

    Mengikut laporan yang saya baca, bagi pelajar luar negara, ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan peringkat profesional.

    Berdasarkan tinjauan JPA-MARA ‘Special Operation’ pada Februari lepas dengan menumpukan kepada kehidupan di kota utama seperti London, Bristol dan Edinburgh, lebih 60 peratus pelajar tajaan MARA dan JPA yang majoritinya golongan B40 didapati terbeban dengan perbelanjaan harian.

    Sebagai contoh, purata perbelanjaan sebulan untuk bayaran sewa rumah dan bil utiliti di kota-kota utama berjumlah sekitar £500 atau RM2,733 hingga £730 atau RM3,990 iaitu perbelanjaan antara 60 hingga 70 peratus daripada elaun yang diterima setiap pelajar

    Elaun sara hidup pelajar MARA dan JPA seperti di London ialah sebanyak £1,045 atau RM5,712, jauh lebih rendah berbanding median saranan kerajaan UK iaitu sebanyak £1,312 atau RM7,172 setakat September 2021.

    Saya tak dapat bayangkan sekiranya anak saya itu langsung tidak mendapat ESH ini, agaknya dah lama dia lari balik ke Malaysia.

    Sebagai salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, saya tabik dengan MARA kerana mendengar denyut nadi anak bangsanya.

    Penghormatan itu juga saya panjangkan kepada Menterinya yang sudah tentu telah menyampaikan mesej berkenaan kepada Perdana Menteri sehingga ESH diluluskan serta merta.

    Doa saya agar anak saya terus istiqamah dengan perjuangannya untuk mendapatkan ilmu di rantau orang walaupun mustahil ESH dapat menampung 100 peratus keperluan kewangannya di sana.

    Ingat di saat kita berasa susah, ramai lagi insan di luar sana yang terbeban dengan 1,001 masalah.

    Bersyukurlah. Bersyukurlah. Bersyukurlah

    BAPA TERHARU
    Ipoh, Perak.

  • Pahang rugi RM33.8 juta akibat jenayah komersial

    Pahang rugi RM33.8 juta akibat jenayah komersial

    PAHANG merekodkan kerugian RM33.8 juta yang membabitkan jenayah komersial tempoh lapan bulan sejak 1 Januari lalu.

    Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff berkata, penyumbang utama peningkatan tersebut adalah melibatkan kes penipuan.

    “Dalam tempoh lapan bulan, sebanyak 1,410 kertas siasatan dibuka berbanding 1,141 pada tahun 2021.

    “Daripada jumlah keseluruhan 1,410 itu, sebanyak 1,334 kertas siasatan yang dibuka adalah berkaitan kes penipuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan bagi bulan September 2022 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, hari ini.

    Abdul Razak memaklumkan, JSJK telah menunjukkan prestasi memberangsangkan pada tahun ini kerana mencapai kejayaan melepasi sasaran tangkapan ditetapkan oleh JSJK Bukit Aman iaitu sebanyak 150 tangkapan.

    Jelasnya, bagaimanapun JSJK Pahang melepasi sasaran sebanyak 154 tangkapan dalam Op Mule Khas yang dilancarkan semalam sebulan bermula pada 1 Julai lalu yang melibatkan semua daerah dan IPK Pahang.

    Selain itu katanya, JSJK Pahang berjaya mencapai kadar pertuduhan yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan iaitu 40 peratus.

    “Saya dimaklumkan JSJK Pahang telah mencapai 47.38 peratus dan menduduki tempat keempat di antara kontinjen PDRM.

    “Ini menunjukkan kesedaran orang ramai perlu didedahkan lagi dengan trend-trend terkini kes kes jenayah komersil menerusi aktiviti-aktiviti yang berterusan,” kata beliau sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Sementara itu, Abdul Razak mendedahkan, polis telah merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM31.2 juta pada Januari hingga Ogos lalu.

    Tambahnya, nilai rampasan ini meningkat sebanyak RM28 juta berbanding rampasan bernilai RM3 juta tempoh sama tahun lalu.

    “Ini menunjukkan terdapat peningkatan terhadap rampasan yang dibuat dan ia perlu dipertingkatkan lagi operasi-operasi dari semasa ke semasa agar dapat dikurangkan jenayah narkotik ini,” tegas beliau.

  • Ambil tindakan tegas tangani krisis di Myanmar, gesa Saifuddin

    Ambil tindakan tegas tangani krisis di Myanmar, gesa Saifuddin

    MENTERI Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bersama ahli parlimen dari Eropah, Asia, dan ahli Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar (NUG) menggesa masyarakat dunia mengambil tindakan tegas bagi menyelesaikan krisis di Myanmar yang tercetus daripada rampasan kuasa tentera tahun lalu.

    Saifuddin menganjurkan mesyuarat mengenai Myanmar di Misi Tetap Malaysia ke PBB di New York semalam, bersempena Persidangan PBB yang berlangsung minggu ini.

    “Harus ada rundingan yang inklusif dan adil dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar termasuk NUG dan Majlis Perunding Perpaduan Nasional Myanmar (NUCC).

    “Selepas itu satu rangka kerja dengan matlamat jelas termasuk mengembalikan demokrasi di Myanmar perlu diwujudkan,” kata Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR) yang memetik Saifuddin.

    Katanya, Saifuddin satu-satunya menteri Asean yang secara terbuka berjumpa anggota NUC, “kerajaan yang sah di Myanmar yang melambangkan aspirasi demokrasi rakyat negara itu,” katanya lapor FMT.

    Mesyuarat itu turut dihadiri menteri NUG untuk hak asasi manusia, U Aung Myo Min; menteri komunikasi, informasi dan teknologi, yang juga jurucakap NUG, U Htin Linn Aung; wakil tetap Myanmar ke PBB, Kyaw Moe Tun; dan beberapa wakil pertubuhan pro-demokrasi.

    Turut hadir, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Pengerusi APHR, Heidi Hautala, Timbalan Presiden Parlimen Eropah dan Pengerusi Siasatan Parlimen Antarabangsa (IPI) mengenai tindak balas dunia terhadap krisis di Myanmar, Mercy Chriesty Barends, anggota Dewan Perwakilan Indonesia dan bekas anggota kongres Filipina, Tom Villarin.

    Sejak rampasan kuasa pada 1 Februari 2021, Myanmar terjerumus dalam krisis ketika ketua junta, Min Aung Hlaing, terus mengukuhkan kuasanya.

    “Selepas 19 bulan rampasan kuasa, sekutu antarabangsa junta menunjukkan komitmen untuk menyokong Hlaing mengatasi negara yang mendakwa menyokong gerakan pro-demokrasi,” kata Santiago.

    “Secara mudahnya, negara ini tidak bertindak dengan berkesan untuk menyokong rakyat Myanmar berbanding negara seperti Rusia atau China yang aktif menyokong, melibat urus dengan junta sekaligus memberi pengiktirafan yang amat dikehendakinya.

    “Sudah masanya kerajaan yang mendakwa menyokong demokrasi di Myanmar untuk bertindak lebih keras,” tegasnya.