Category: Semasa

  • 21 bengkel dipercayai terlibat ubah suai motosikal untuk perlumbaan haram diserbu

    21 bengkel dipercayai terlibat ubah suai motosikal untuk perlumbaan haram diserbu

    SEBANYAK 21 buah bengkel motosikal di sekitar daerah Timur Laut; Barat Daya dan Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang diserbu dalam operasi bersepadu polis bersama beberapa pihak berkuasa berkaitan lain hari ini.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan itu dilakukan selepas polis mengesyaki bengkel motosikal terbabit dipercayai terlibat dengan pengubahsuaian motosikal tanpa lesen bagi aktiviti lumba haram.

    Jelas beliau, siasatan polis juga mendapati kesemua bengkel motosikal itu dikenal pasti sering menjadi tumpuan oleh kumpulan pelumba haram dan samseng jalanan.

    ”Siasatan terhadap bengkel-bengkel ini dijalankan susulan ekoran insiden kemalangan di Lebuhraya Lim Chong Eu Julai lalu dan ini adalah salah satu inisiatif dalam usaha polis memastikan Pulau Pinang sifar lumba haram,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu itu di Tanjung Bungah hari ini.

    Operasi itu turut melibatkan agensi antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

    Menurut Soffian, dalam operasi sama dua buah bengkel motosikal di Tanjung Bungah termasuk sebuah bengkel yang mempunyai mesin ‘dyno lab’ yang digunakan untuk meningkatkan keupayaan jentera motosikal turut diserbu.

    Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati dua bengkel itu disyaki terlibat dalam kegiatan mengubah suai motosikal sama ada untuk kegiatan lumba motosikal secara sah atau secara haram.

    ”Kita turut merampas tiga buah motosikal yang dipercayai diubah suai tanpa kebenaran dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut.

    ”Kita akan mengesan pemilik motosikal ini bagi soal siasat untuk memastikan mengapa motosikal tersebut diubah daripada spesifikasi asal,” katanya.

    Dalam masa sama ujar beliau, polis turut menjumpai motosikal dan rangka yang ditinggalkan di bengkel itu dan semakan rekod akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada motosikal terbabit pernah dilaporkan hilang atau seumpamanya.

    Tambahnya, dalam operasi sama JPJ turut mengeluarkan tiga notis kepada pemilik bengkel-bengkel tersebut kerana menjalankan pengubahsuaian tanpa lesen yang sah.

  • Dera anak saudara: Suami isteri dituduh di mahkamah esok

    Dera anak saudara: Suami isteri dituduh di mahkamah esok

    SEPASANG suami isteri yang disyaki mendera dua kanak-kanak akan dituduh di Mahkamah Ampang pada pukul 9 pagi esok.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek itu akan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-kanak 2001, lapor Sinar Harian.

    Pada Jumaat, media melaporkan polis menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 6 petang selepas disyaki mendera dua beradik berkenaan.

    Suspek wanita adalah adik kepada ibu mangsa yang menjaga dua beradik itu sejak dua tahun lalu selepas bapa kanak-kanak itu meninggal dunia.

    Sepasang suami isteri itu direman seminggu bagi membantu siasatan selepas disyaki mendera dua anak saudara mereka.

    Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berada seorang diri di rumah cuba melarikan diri dari tingkap sebuah unit kondominium di tingkat empat.

  • Tuntutan palsu RM27 juta, dua lagi ditahan SPRM

    Tuntutan palsu RM27 juta, dua lagi ditahan SPRM

    DUA  lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM27 juta bagi program latihan berkaitan teknologi digital.

    Menurut sumber, bekas pengurus kanan sebuah agensi kerajaan dan pemilik syarikat berkaitan digital berusia 50-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, 7.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

    Sumber berkata, kedua-dua lelaki itu direman selama dua hari sehingga esok selepas perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

    Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Tan Kang Sai mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Semalam, lima individu direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah agensi kerajaan bagi program latihan berkaitan teknologi digital sedangkan latihan berkenaan tidak dilaksanakan.

    Kes berkenaan dipercayai melibatkan dua buah syarikat yang telah dibayar tuntutan masing-masing berjumlah lebih RM19 juta dan lebih RM7 juta bagi menjalankan program latihan dari 2016 hingga 2020.

  • KPT rancang tubuh universiti khas untuk wanita

    KPT rancang tubuh universiti khas untuk wanita

    KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) merancang untuk menubuhkan sebuah universiti khas untuk wanita, yang secara tidak langsung akan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam hab pendidikan tinggi antarabangsa.

    Menterinya Datuk Seri Noraini Ahmad berkata ketika ini bilangan mahasiswi di institut pendidikan tinggi awam ialah lebih 350,000 iaitu 61 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar, manakala lebih 530,000 iaitu 53 peratus pelajar wanita memasuki institut pengajian tinggi swasta.

    “Malaysia kini mempunyai 131,000 pelajar antarabangsa dan kami menyasarkan 250,000 orang kemasukan pelajar antarabangsa menjelang 2025. Peningkatan ini termasuk penambahan besar badan pelajar yang terdiri daripada wanita.

    “KPT menyambut baik sebarang cadangan untuk kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi yang akan memberi faedah bersama,” katanya semasa berucap dalam satu sesi membina jaringan hubungan di sini hari ini. 

    Noraini berkata hanya terdapat satu universiti tempatan yang tersenarai dalam kedudukan 100 teratas QS World University Rankings (WUR) 2023 dan empat daripada lima universiti penyelidikan tempatan tersenarai dalam kedudukan 200 teratas carta tersebut.

    “Secara keseluruhannya, 24 universiti kita telah menunjukkan peningkatan ranking, menjadikan tahun ini antara yang paling berjaya dalam pendidikan tinggi berdasarkan ranking. Jika kita menubuhkan universiti untuk wanita, saya percaya kami boleh membantu universiti itu untuk turut berjaya dalam QS WUR,” katanya.

    Noraini berkata KPT komited dalam memperkukuh kerjasama dan mengurangkan halangan dalam perkhidmatan pendidikan bersama rakan antabangsanya.

    “Kami percaya pengantarabangsaan pendidikan tinggi akan meningkatkan persaingan sekali gus menambah baik kualiti dalam kalangan lulusan universiti.

    “Kami juga menyasarkan sistem pendidikan untuk memenuhi permintaan pasaran kerja dan masyarakat,” katanya dan menambah selari dengan objektif itu, institut pendidikan tinggi telah melancarkan pelbagai inisiatif termasuk mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian (MoA).

    Beliau berkata tahun ini, beliau berpeluang untuk menyaksikan pemeteraian 12 MoU dan satu MoA di India, Qatar, United Kingdom, Romania, Turkiye, dan Kanada. 

    “Kerjasama ini diadakan bagi memudahkan kolaborasi penyelidikan dan aktiviti inovasi, program mobiliti pelajar dan kakitangan, penganjuran seminar bersama dan banyak lagi,” katanya.

    Noraini berkata usaha lain yang dijalankan kementerian itu ialah penubuhan program luar negeri oleh universiti tempatan seperti Universiti Sains Malaysia yang melaksanakan program itu di Turkiye dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bakal memulakan programnya di Qatar bulan depan.

    “UKM akan turut membuka kampus cawangannya di Doha pada 2025, menjadikan ia universiti awam pertama yang mempunyai kampus fizikal di luar negara.

    “Selain itu, perbincangan sedang dijalankan mengenai penubuhan Kerusi Pengajian Melayu di Jawaharlal Nehru University di India dan di Pusat Pengajian Orang Timur dan Afrika di University of London,” katanya. – BERNAMA

  • Pemandu lori maut, tujuh anggota polis parah dalam nahas

    Pemandu lori maut, tujuh anggota polis parah dalam nahas

    SEORANG pemandu lori maut manakala tujuh anggota polis cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 225 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, pukul 3.40 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kejadian berkenaan melibatkan van pasukan polis yang dinaiki tujuh anggota Johor Baharu Utara, sebuah lori dan dua kereta.

    “Kemalangan mengakibatkan seorang lelaki iaitu pemandu lori maut di lokasi dan tujuh anggota polis mengalami cedera parah.

    “Semua mangsa dalam proses dibawa ke hospital berdekatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

  • Inkues ‘Baby Syifaa’:14 saksi dipanggil hari pertama

    Inkues ‘Baby Syifaa’:14 saksi dipanggil hari pertama

    PROSIDING hari pertama inkues punca kematian bayi 15 bulan, Nour Rania Asyifaa Yuseri di sebuah pusat jagaan di Seremban pada Februari lalu bermula dengan 14 saksi di Mahkamah Koroner Seremban hari ini.

    Prosiding di hadapan Koroner Datin Surita Budin dimulakan dengan memanggil saksi pertama iaitu penerima laporan pertama kes kematian bayi itu iaitu Lans Koperal Siti Khairunnisa Muzlan.

    Kemudian anggota Pondok Polis Sendayan, Lans Koperal Muhammad Faizul Abd Rahman seterusnya Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sendayan, Dr. Nur Aishah Abdul Latiff dan Dr. Muhammad Afiq Mohd. Zain selaku saksi keempat.

    Barisan pendakwaan diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Badius Zaman Ahmad manakala peguam, Hafiz Norkhan dan Gaithri Thomas mewakili keluarga bayi itu.

    Norliana Ali Othman bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak pengasuh dalam kes tersebut.

    Ketika sesi soal jawab oleh Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly, saksi ketiga, Dr. Nur Aishah memberitahu mahkamah bahawa Nour Rania Asyifaa dibawa masuk oleh seorang wanita di Klinik Kesihatan Sendayan pada 22 Februari lalu.

    “Ketika kejadian 3.45 petang, saya melihat mangsa dibawa oleh seorang wanita bertudung dan dimaklumkan wanita itu adalah pengasuh yang kemudian dibawa ke bilik rawatan untuk diberikan bantuan kecemasan awal,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau turut memperincikan rawatan yang diberikan kepada bayi tersebut dibantu oleh beberapa pegawai dan pembantu perubatan lain sehingga 4.15 petang, namun tiada respon positif terhadap semua prosedur yang dilakukan.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang oleh Dr. Muhammad Afiq yang merupakan pegawai perubatan dari Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

    Dr. Nur Aishah turut memaklumkan tidak tahu punca kematian mangsa, tetapi hanya dimaklumkan oleh pegawai perubatan lain bahawa bayi itu terjerut buaian.

    Prosiding bersambung pada 10 November depan.

    Media sebelum ini melaporkan Nour Rania Asyifaa atau ‘Baby Syifaa’ ditemui tidak sedarkan diri, selepas lehernya dipercayai tersangkut pada kain buaian di pusat asuhan itu pada kira-kira 3 petang.

    Kejadian berlaku selepas mangsa dikatakan ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik oleh pengasuhnya.

  • Kes Siti Bainun: Bella beri keterangan secara tertutup

    Kes Siti Bainun: Bella beri keterangan secara tertutup

    REMAJA perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella hari ini memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur sebagai saksi pendakwaan ke-18 dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya, tahun lepas.

    Bagaimanapun, sebelum remaja itu memberi keterangan, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan kes itu akan dijalankan secara tertutup kerana Bella adalah mangsa selain merupakan saksi kanak-kanak yang keterangannya tidak boleh dilaporkan oleh media dan mana-mana pihak.

    Zilfinaz pada prosiding sebelum ini berkata pihaknya memohon supaya seorang perantara dan peneman Bella dilantik mengikut peruntukan di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 untuk berada bersama remaja itu di sebuah bilik lain semasa perbicaraan dijalankan.

    “Dua individu ialah pegawai psikologi dari Jabatan Peguam Negara Dr Nor Jumawaton Shahruddin selaku perantara dan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Noor Faiidah Mohamed selaku peneman Bella,” katanya kepada Hakim Izralizam Sanusi.

    Izralizam berkata, mahkamah sebelum ini telah membenarkan pelantikan dua individu itu untuk berada bersama Bella sepanjang perbicaraan dengan mengambil kira keadaan kanak-kanak kurang upaya itu.

    Beliau turut membenarkan permohonan pendakwaan supaya prosiding hari ini dijalankan secara tertutup dan meminta pihak media dan orang awam meninggalkan galeri awam.

    “Hari ini perbicaraan saksi, Bella akan dijalankan melalui rangkaian secara langsung selaras dengan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007.

    “Direkodkan bahawa Dr Nor Jumawaton akan berada bersama Bella sebagai perantara selaras dengan Seksyen 8 Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 dan Nurul Faiidah juga akan bersama-sama saksi itu sebagai orang dewasa yang menemani, selaras dengan Seksyen 9 akta sama.

    “Perlu ditekankan di sini bahawa Bella adalah saksi kanak-kanak kurang upaya maka mahkamah akan mengikut akta sama sebagai panduan,” kata Izralizam.

    Bella, yang memakai gaun berwarna biru watak Elsa dalam animasi Frozen, dilihat tersenyum apabila tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 9 pagi diiringi pegawai JKM dan anggota polis.

    Siti Bainun, 30, berdepan dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di Kuala Lumpur.

  • Tidak perlu tergesa-gesa adakan PRU-15 – Tuan Ibrahim

    Tidak perlu tergesa-gesa adakan PRU-15 – Tuan Ibrahim

    PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa terutama ketika musim tengkujuh kerana kerajaan perlu memberi keutamaan kepada persiapan menghadapi bencana banjir.

    Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata justeru itu, beliau berpendapat PRU15 lebih sesuai diadakan pada tahun hadapan.

    “PRU ini, saya berpendapat kita kena ambil kira juga (aspek) seperti sekolah yang dijadikan pusat pemindahan banjir jadi ia sudah tidak sesuai dijadikan pusat pengundian.

    “Keduanya mengenai anggota keselamatan yang saya lihat kalau musim tengkujuh, mereka terpaksa turun ke lapangan membantu mangsa banjir. Kalau waktu itu pilihan raya, mereka juga kena jaga peti undi dan mengiring pengundi.

    “Jadi saya fikir kita tidak perlu tergesa-gesa (membuat keputusan) mengenai tarikh ini (PRU15). Saya rasa rakyat pun tidak setuju PRU (diadakan pada) musim banjir,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun di Dewan Sivik Bijangga di sini hari ini.

    Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata bagaimanapun, tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri serta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA

  • Wanita didakwa atas 166 tuduhan tipu ‘kekasih’ lebih RM400,000

    Wanita didakwa atas 166 tuduhan tipu ‘kekasih’ lebih RM400,000

    SEORANG peniaga tudung didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap 166 pertuduhan menipu ‘kekasih’ yang dikenali dalam Facebook dengan nilai keseluruhan RM483,570.

    Natasha Adini Abdullah, 27, mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang didakwa berlaku antara 3 Julai 2018 hingga 6 Ogos 2020 itu dan mohon dibicara selepas kertas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa selama tiga jam di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Tertuduh didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 32 tahun melalui pinjaman wang antara RM300 hingga RM10,000 selepas menyamar sebagai ‘Nur Farah Alisya’, memetik laporan BH Online.

    Dia dengan curangnya mendorong lelaki itu yang berniaga barang basah secara dalam talian, membuat transaksi pindahan wang dengan jumlah keseluruhan RM483,570 ke dalam akaun bank atas nama Natasha Adini Abdullah.

    Kesalahan itu dilakukan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Kota Bharu pada tarikh dinyatakan.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Abu Arsalnaa menawarkan jaminan RM285,000 untuk semua pertuduhan.

    Natasha Adini merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan wang jaminan kepadanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,700 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta melantik peguam dan serahan dokumen.

  • Pemuda UMNO cadang adakan PRU-15 sebelum musim tengkujuh

    Pemuda UMNO cadang adakan PRU-15 sebelum musim tengkujuh

    KETUA Pemuda UMNO, Datuk Asyaraf Wajdi Dusuki bersetuju supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tidak diadakan semasa musim tengkujuh tahun ini.

    Sebaliknya, beliau dalam laporan Malaysiakini mencadangkan supaya Dewan Rakyat dibubarkan awal Oktober bagi membolehkan PRU15 diadakan pada awal November iaitu sebelum ramalan hujan lebat yang dibuat oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

    “Saya juga bersetuju bahawa PRU wajar ditangguhkan jika banjir benar-benar berlaku.

    “Persoalannya bolehkah PRU diadakan sebelum musim banjir?” soalnya dalam satu catatan di Facebook hari ini.

    Asyraf dalam laporan itu seterusnya mencadangkan Parlimen dibubar pada awal Oktober terutamanya pada 7 sehingga 10 Oktober ini, iaitu tarikh Belanjawan 2023 dijadual dibentangkan.

    “Umpamanya jika dibubar pada awal Oktober, maka PRU-15 dapat dan sempat dibuat pada awal November, iaitu dua hingga tiga minggu sebelum ramalan hujan lebat,” katanya.

    Menurut Asraf Wajdi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mampu membuat persiapan yang sewajarnya meskipun mereka hanya mempunyai masa selama empat minggu.

    Sebagai dalil, beliau memberikan contoh semasa PRU14 pada tahun 2018, yang menyaksikan SPR mampu dan boleh menganjurkan pilihan raya dalam masa sebulan.

    “Rekod PRU14 ialah, Parlimen dibubar pada 7 April 2018, dan SPR buat PRU pada 8 Mei 2018 (dalam masa kurang empat minggu).

    “Makanya, berdasarkan kepada rekod kerja SPR, PRU yang lepas dan mengambil kira ramalan banjir JMM yang menjadi nas dan dalil utama masa kini, membuktikan kita masih sempat dan dapat mengadakan PRU sebelum musim banjir tahun ini jika dewan dibubar awal Oktober,” katanya.

    Tarikh PRU-15 menjadi topik hangat yang sering dikemukakan sejak kebelakangan ini.

    Antara yang paling lantang dan konsisten mendesak supaya PRU15 segera diadakan ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang baru-baru ini berkata, selaku pengerusi BN beliau sanggup “meredah banjir untuk berkempen.”

    Pengkritik, bagaimanapun, menyifatkan desakan Zahid sebagai “langkah terdesak” untuk menyelamatkan dirinya daripada pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan rasuah, yang dia sedang dibicarakan.

    Mandat kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berakhir selepas pada pertengahan tahun depan.