Category: Semasa

  • Kes culik ejen kosmetik ada perkembangan positif

    Kes culik ejen kosmetik ada perkembangan positif

    POLIS Kelantan mendedahkan, hasil siasatan kes penculikan seorang ejen kosmetik di Tumpat setakat ini menunjukkan perkembangan positif.

    Namun Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, tidak mendedahkan secara lebih lanjut berhubung perkembangan positif siasatan membabitkan mangsa culik, Rosnazirah Mohd Naim, 36.

    “Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kelantan terus berhubung dengan pihak berkuasa Thailand dalam menjalankan siasatan kes berkenaan.

    “Pihak polis masih berusaha dan yakin terhadap perkembangan kes ini termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang sangat mengambil berat serta sering bertanya mengenai perkembangan kes.

    “Polis Kelantan meneruskan hubungan dengan pihak berkuasa di negara jiran dan perkembangan kes amat positif,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas solat Jumaat pada Program Komuniti Kepolisan dan Penyampaian Sumbangan kepada Asnaf di Masjid As-Syakirin di Kelewek di Tanah Merah, hari ini.

    Beliau turut berharap kerjasama masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan.

    “Kadang-kadang ada perkara yang kita tak boleh kongsi tetapi Insya-Allah kita akan mendapat berita yang baik. Sama-sama kita berdoa,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Pada Selasa minggu lalu, Rosnazirah diculik oleh sekumpulan lelaki yang menaiki kereta Toyota Vios dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Tumpat pada pukul 5.10 petang.

    Mangsa dipercayai dibawa ke Thailand. Siasatan polis terhadap suami mangsa mendapati lelaki itu dipercayai terbabit dengan aktiviti penyeludupan dadah.

  • Pelayan restoran mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual fizikal

    Pelayan restoran mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual fizikal

    SEORANG pelayan restoran warga India mangaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.

    Tertuduh, Sunil Kumar, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba punggung seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun di Tingkat 9, The Shore Residences, Jalan Persisiran Bunga Raya pukul 3.30 petang 12 September lalu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari manakala tertuduh diwakili peguam Pang Wan Si memohon jaminan rendah RM3,000 dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, rayuan itu ditolak Nariman kerana kerana permit kerja tertuduh tamat pada 18 September lalu dan perlu mengemukakan bukti telah memperbaharui permit kerja dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

    Mahkamah mengarahkan pihak pembelaan mengemukakan rekod pergerakan keluar masuk tertuduh selain status permohonan lanjutan kerja yang perlu dikemukakan dalam tempoh dua minggu.

    Selain itu mahkamah menetapkan 17 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.

  • Lelaki bebas tuduhan seksual fizikal terhadap kanak-kanak

    Lelaki bebas tuduhan seksual fizikal terhadap kanak-kanak

    SEORANG bekas penghantar makanan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Putrajaya atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

    Hakim Datin M. Kunasundary membebaskan Mohamad Shahril Abu Hanifa di akhir kes pendakwaan tanpa mengarahkan membela diri selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Dalam keputusannya beliau berkata, keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan menunjukkan mangsa tidak mengenali pelaku dan tiada siasatan menyeluruh oleh pegawai penyiasat.

    Mohamad Shahril, 42, dituduh melakukan kesalahan itu di Presint 15, Putrajaya pada 6.30 petang, 7 Jun 2020.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

    Mohamad Shahril diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Vivi Aznita Zaina’ Larifin manakala Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin bagi pihak pendakwaan.

  • Zul Ariffin bakal berhijrah ke Mekah urus perniagaan

    Zul Ariffin bakal berhijrah ke Mekah urus perniagaan

    PELAKON Zul Ariffin merancang untuk berhijrah ke Arab Saudi sekitar awal tahun depan untuk menguruskan perniagaan.

    Memetik laporan portal hiburan Gempak, Zul bagaimanapun tetap akan kembali ke Malaysia bagi kerjaya lakonannya.

    “Saya merancang untuk berhijrah ke sana kemungkinan pada Januari tahun depan. Sekarang dalam proses nak cari rumah dan lock semuanya. Saya akan tinggal di Mekah.

    “Saya serius, berhijrah ke sana atas urusan kerja dan perniagaan. Saya akan tinggal di sana tetapi saya tetap kembali ke Malaysia,” katanya semalam.

    Dia ditemui selepas majlis pelancaran filem seram terbaharu lakonannya berjudul Talbis Iblis bertempat di Panggung Asia, Kuala Lumpur.

    Zul kata laporan itu lagi memaklumkan, sekiranya tiada halangan dan semua berjalan dengan lancar, perniagaan mesin layan diri (vending machine) yang diusahakannya akan beroperasi pada Januari depan

    “Untuk perniagaan ini, saya bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Singapura. Bagi saya ini adalah satu peluang.

    “Tak tahu nak cakap perancangan perniagaan itu bermula bila kerana semuanya terjadi dengan begitu pantas,” jelasnya.

    Ditanya sama ada Zul akan terus menetap di sana atau tidak, aktor ini berkata dia akan berulang-alik dari Makkah ke Malaysia untuk kerjaya lakonannya.

    “Menetap di sana bukan selamanya, saya harus berulang alik, memang akan chaos tetapi tidak mengapa.

    “Saya tidak memperlahankan kerjaya tetapi saya perlu memilih tawaran dengan lebih teliti. Saya masih lagi ada beberapa projek selepas ini.

    “Sejujurnya teruja, bagi saya ia adalah perkara yang sihat. Saya rasa sekarang kalau saya tinggal lama sangat pun tidak bagus.

    “Kita kalau tiada benda nak buat jadi tak produktif, lebih baik penat produktif daripada tidak dan sekarang filem juga dapat kutipan yang bagus.

    “Pawagam pun sudah kembali dibuka selepas COVID dan ramai yang datang menonton filem sebagai tanda sokongan.

    “Kalau anda lihat sekarang filem-filem juga banyak menaikkan pelakon, tiba-tiba pelakon bertambah ramai. Jadi ini merupakan satu persaingan yang sihat dan menyeronokkan, rugilah kalau saya perlahankan kerjaya seni,” ujarnya.

    Dalam perkembangan lain, Zul akan muncul menerusi naskhah filem seram terbaharu berjudul Tablis Iblis.

    Filem ini merupakan terbitan gabungan penerbit terhebat tanah air, Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MME Entertainment.

    Selain Zul, naskhah ini juga dibintangi oleh Nasha Aziz, Azira Shafinaz, Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis, Izzy Reef, Daniella Sya, Zaftfarrel Mikhael Felton dan Putri Syahadah Nurjannah.

    Tablis Iblis akan menemui penonton di pawagam bermula 20 Oktober depan.

    Terdahulu, karya ini menjadi filem kedua dari Malaysia yang mengadakan Tayangan Perdana Dunia dan di senarai pendek di Far East Film Festival Ke24 di Udine, Itali pada April lalu.

    Filem ini turut mengadakan tayangan perdana di Bucheon International Fantastic Film Festival 2022 ke-26 dan Neuchâtel International Fantastic Film Festival 2022 ke-21.

    ‘Talbis Iblis’ yang membawa maksud tipu daya serta perangkap yang dibuat oleh iblis untuk menyesatkan manusia, cukup tepat menggambarkan tentang subjek utama yang diangkat dalam filem ini.

    Ia mengisahkan tentang seorang gadis, Hajar yang dihantar ke satu tempat jauh dari ibu kota bagi melahirkan bayinya secara rahsia.

  • Bob Lokman meninggal dunia

    Bob Lokman meninggal dunia

    PELAKON, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian, Kota Bharu di Kelantan, akibat komplikasi jantung hari ini.

    Allahyarham meninggal dunia pada usia 58 tahun.

    Memetik laporan Astro Awani, perkara itu disahkan isterinya, Relawati Daud kepada rakan rapat Allahyarham, Datin Marlia Musa sekitar pukul 3 petang tadi.

    “Saya baru dapat berhubung dengan isterinya dan dia mengesahkan pegawai kesihatan masih berada di kediaman mereka untuk pengesahan kematian,” kata Marlia, ketika dihubungi Astro AWANI, pada Jumaat.

    Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, merupakan penulis lirik beberapa lagu popular, Isabella dan Taman Rashidah Utama dan banyak lagi.

    Bob dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@IIUM) di Kuantan, Pahang 8 April lalu kerana mengalami masalah cepat penat.

    Pada 21 April lalu, Bob berpindah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

    Namun, akibat kekangan kewangan dialami ,dia hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar dari hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April lalu.

    Sebelum ini, Bob menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada awal Disember 2020.

  • Wanita didakwa subahat rompakan palsu bunuh suami

    Wanita didakwa subahat rompakan palsu bunuh suami

    SEORANG wanita berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, atas pertuduhan membunuh suaminya dalam satu rompakan palsu di sekitar Klang, Selangor minggu lalu.

    Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Leong Eng Eng, 37, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd. Jusan.

    Turut didakwa, tiga lelaki termasuk dua beradik iaitu Lim Yon Hay, 36; Lim Yon Loon, 31, dan Mok Kum Loon, 37.

    Mengikut pertuduhan, Eng Eng yang juga jurubahasa bebas bersama pasangan beradik itu didakwa membunuh dengan mengakibatkan kematian Chow Tiam Hee, 41.

    Selain itu, Kum Loon didakwa bersubahat membantu Eng Eng bersama dua beradik berkenaan untuk membunuh mangsa.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Anika Baru, Sungai Udang, Klang antara pukul 1.20 hingga 1.40 pagi, 15 September lalu.

    Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah yang mengendalikan kes tidak menawarkan kos ikat jamin terhadap semua tertuduh.

    Peguam yang mewakili Eng Eng, Jarrett Ong bagaimanapun memohon jaminan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan dua anak berusia lima dan tujuh tahun selain memberi kerjasama baik dengan polis.

    Noorjidah menolak permohonan itu dan menetapkan sebutan kes pada 21 November depan, lapor Satu Berita.

    Dua lagi tertuduh iaitu Yon Loon dan Kum Loon masing-masing diwakili peguam Ethan Tan dan Ayasamy Velu.

  • Parlimen Alor Setar, Sungai Petani dan 5 DUN Kedah jadi tumpuan Gerakan

    Parlimen Alor Setar, Sungai Petani dan 5 DUN Kedah jadi tumpuan Gerakan

    OLeh BADLISHAH MAT

    PARLIMEN Alor Setar dan Sungai Petani di Kedah yang kini disandang PKR menjadi tumpuan Perikatan Nasional (PN) melalui Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk dirampas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

    Selain dua kerusi Parlimen, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, mereka juga bercadang untuk bertanding di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negeri berkenaan iaitu Kota Darul Aman, Derga, Sidam, Bakar Arang dan Lunas.

    Katanya, cadangan Gerakan Kedah tersebut akan di bawa ke peringkat Pusat sebelum berbincang mengenai perkara itu termasuk menyusun strategi yang perlu.

    “Selepas buat analisis termasuk calon yang mereka cadang itu, ia akan dibawa pula ke peringkat PN untuk rundingan selanjutnya,” katanya selepas Merasmikan Mesyuarat Persidangan Perwakilan Tahunan Gerakan Kedah di Alor Setar.

    Sementara itu, Dominic yakin isu pertindihan kerusi Parlimen Alor Setar selepas dikatakan Pas turut berhasrat untuk bertanding di situ akan diselesaikan dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan kesepakatan dalam PN.

    “Katakan memang ada pertindihan tetapi sebenarnya pertindihan itu jika dilihat daripada sudut positif adalah kita memiliki ramai calon untuk bertanding.

    “Calon yang dicadangkan oleh parti komponen mesti dipertimbang mengikut dua faktor yang penting iaitu dari segi sokongan jentera dan calon mana yang boleh menang dengan peratusan lebih tinggi. Kedua-dua itu mesti dibuat pertimbangan,” katanya.

    Katanya, rundingan kerusi dalam PN akan diselesaikan sebelum pembubaran Parlimen dan berharap sebarang pertindihan akan diselesaikan gabungan tersebut di peringkat negeri terlebih dahulu.

    “Arahan diberikan Pusat kepada semua komponen bahawa senarai calon bertanding harus diberikan, namun kita berharap perbincangan di peringkat PN negeri diselesaikan dahulu. Sebelum PRU-15 kita yakin akan selesai semua masalah ini termasuk isu pertindihan kerana kesudahannya kita hanya ada satu calon dan satu kawasan sahaja,” katanya.

  • Bekas Pengarah, Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak bersalah minta, terima rasuah

    Bekas Pengarah, Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak bersalah minta, terima rasuah

    MAHKAMAH Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM85,000 oleh terhadap bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak selepas masing-masing didapati bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tujuh tahun lalu.

    Hakim S. Indera Nehru menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulhairin Yahya, 50, dan Zaidi Dali, 54, selepas perbicaraan di akhir kes pembelaan di sini.

    Indera Nehru memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh hari ini, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, peguam Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili Zulhairin, manakala Zamri Idrus dan Mohd. Fadly Hashim mewakili Zaidi memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah membenarkan permohonan untuk menangguhkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh, namun memerintahkan denda RM85,000 perlu dibayar.

    Mahkamah juga membenarkan kedua-duanya diikat jamin dengan wang jaminan dikekalkan RM30,000 bagi setiap tertuduh.

    Dalam rayuannya, Mohd. Baharuddin berkata, mahkamah perlu mengambil kira bahawa ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya sepanjang 25 tahun berkhidmat dengan kerajaan selain tangkapan dan perbicaraan kes itu telah memberi keinsafan serta pengajaran terhadap tertuduh.

    Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh supaya dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat dan amaran kepada penjawat awam terutama agensi penguatkuasaan untuk tidak menjadikan rasuah sebagai amalan dalam menjalankan tugas.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 serta 10 bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama.

    Sementara pertuduhan seterusnya, penjara tiga tahun dan denda RM35,000 serta lapan bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

    Semua hukuman penjara berjalan secara serentak bermula pada hari ini.

    Zulhairin dan Zaidi masing-masing didakwa meminta wang RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek untuk memastikan Jabatan Imigresen tidak melakukan pemeriksaan dan serbuan terhadap sebuah premis pusat hiburan The Bos KTV di Pusat Bandar Seri Manjung.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Rumah Kelab Meru Valley Golf and Country Club di Ipoh pukul 9 malam pada 5 November 2015.

    Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Zulhairin juga didakwa menerima RM7,000 daripada individu sama di Restoran Knock Knock Meru Raya di Ipoh sekitar pukul 12.05 tengah malam pada 11 November 2015.

    Zaidi pula dituduh menerima suapan RM7,000 daripada individu sama di tempat letak kereta Rumah Kelab Meru Valley Golf and Country Club di Ipoh pada pukul 9.55 malam 11 November 2015.

    Kedua-dua tuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta sama yang membawa hukuman sama.

    Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil 19 saksi manakala lima saksi di pihak pembelaan.

  • 2 bekas DO didakwa terima sogokan wang, tiket kapal terbang, iPhone untuk isteri, teman wanita

    2 bekas DO didakwa terima sogokan wang, tiket kapal terbang, iPhone untuk isteri, teman wanita

    BEKAS pegawai daerah Gombak dan Sepang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah ribuan ringgit, termasuk tiket kapal terbang, barangan ubah suai rumah, wang untuk membeli kereta serta iPhone untuk isteri dan teman wanita.

    Shukri Mohamad Hamin, 49, berdepan empat pertuduhan menerima sogokan antara 28 Feb 2020 hingga 22 Mei 2021 ketika menjadi pegawai daerah Gombak dan yang dipertua (YDP) Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

    FMT melaporkan, tertuduh didakwa menerima tiket kapal terbang bernilai RM13,200 untuk isterinya Juhaida Yamin, wang pendahuluan RM30,000 bagi membeli kereta Honda Civic, kereta Toyota Corolla bernilai RM7,711 dan barangan ubah suai rumah bernilai RM11,229.

    Semua suapan itu didakwa diterima daripada Azizul Ab Majid yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi Shukri bagi melantik enam syarikat kontraktor melakukan kerja pembersihan, menurap jalan dan naik taraf perkuburan sekitar daerah Hulu Selangor serta Gombak.

    Menurut pertuduhan, syarikat terbabit adalah Lingkaran Usaha Enterprise, Zey Hasnor Enterprise, Cahaya Auni Enterprise, C Norman Bina Enterprise, Saiful Amat Enterprise dan Intro Global Enterprise.

    Di mahkamah sama, Mohamad Zain A Hamid, 48, didakwa atas enam pertuduhan rasuah yang didakwa berlaku antara 24 Julai 2019 hingga 15 Jan 2021 ketika tertuduh memegang jawatan YDP Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan pegawai daerah Sepang.

    Tertuduh didakwa menerima suapan dalam bentuk tiket kapal terbang, dua unit iPhone XS masing-masing untuk isteri serta teman wanitanya dan dua basikal keseluruhannya bernilai RM18,070.

    Barangan itu juga diterima daripada Azizul sebagai balasan untuk membantu syarikat bawah seliannya mendapat sebut harga dan inden di MPKL, menurut kertas pertuduhan.

    Selain dua bekas pegawai daerah itu, Muhammad Hafiz Shaari, 43, berdepan enam pertuduhan yang didakwa dilakukan antara 12 Nov 2020 hingga 26 Jun 2021 ketika tertuduh memegang jawatan bekas timbalan YDP Majlis Perbandaran Sepang.

    Tertuduh didakwa menerima pelbagai jenis barangan, juga daripada Azizul. Antara barangan diterimanya pendingin hawa, basikal, iPhone 12 Pro, upah pemasangan sengkuap rumah dan Samsung Smart TV yang keseluruhannya berharga RM15,131.

    Dalam pada itu, seorang juruukur bahan MDKL Muhammad Asyraf Mohammad Jasni pula didakwa atas empat pertuduhan menerima wang berjumlah RM51,100 daripada Azizul antara 24 Dis 2019 hingga 6 Nov 2020.

    Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya, Rasyidah Murni Adzmi, Natrah Fareha Rahmat dan Mohd ‘Afif Ali. Tertuduh kecuali Shukri diwakili peguam Amir Aizat.

    Semua mereka mengaku tidak bersalah.

    Rozillah menetapkan 26 Okt sebagai tarikh sebutan semula kes dengan mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi Shukri, Zain dan Hafiz manakala RM10,000 dengan seorang penjamin untuk Asyraf.

  • Pasangan suami isteri didakwa aniaya dua anak saudara

    Pasangan suami isteri didakwa aniaya dua anak saudara

    SEPASANG suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas dua pertuduhan menganiaya dua beradik yang juga anak saudara mereka sehingga mengalami kecederaan fizikal.

    Julianah Omar, 34, dan suaminya Muhammad Asyari Mohd Alwi, 29, yang kelihatan tenang mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

    Mengikut kedua-dua pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun sembilan bulan dan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, telah menganiaya dua kanak-kanak itu sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah pasangan suami isteri itu di Apartment Bella Vista, Taman Cahaya Ampang, pada 5.05 petang, antara Ogos 2022 sehingga 16 Sept 2022.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan, pasangan itu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

    Ditanya Hakim Wan Mohd Norisham mengenai status kedua-dua mangsa, Aiza berkata mereka kini berada di hospital dan akan diserah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala wanita berkenaan yang merupakan tertuduh pertama merupakan adik kepada ibu kandung mangsa.

    Bagaimanapun, peguam Azlinie Othman yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan RM7,000 hingga RM8,000 bagi setiap tertuduh kerana Julianah yang tidak bekerja kini mengandung lima bulan serta menghidap diabetis dan gout.

    “Keadaan tertuduh pertama (Julianah) adalah berstatus high risk (risiko tinggi) dan memerlukan bekalan serta rawatan berkala di hospital memandangkan dia pernah mengalami keguguran pertama dan kini mengandung lima bulan bersama pasangan baharunya (tertuduh kedua) yang merupakan seorang pemandu e-hailing dan hanya berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan,” katanya.

    Mahkamah membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan, mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 3 Nov ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan kes termasuk laporan perubatan dua beradik itu.

    Media sebelum ini melaporkan pasangan terbabit ditahan susulan menerima laporan seorang kanak-kanak lelaki yang berada seorang diri di dalam rumah cuba terjun dan melarikan diri dari tingkap kondominium itu pada 16 Sept lepas.

    Polis turut menemukan adik kepada mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan yang juga mempunyai kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan serta belakang badan juga dipercayai akibat penderaan.

    — BERNAMA