Category: Semasa

  • ‘Pas tidak akan jual perjuangan dengan harga RM90 juta’-Hadi

    ‘Pas tidak akan jual perjuangan dengan harga RM90 juta’-Hadi

    PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu tidak akan menjual perjuangannya dengan harga RM90 juta atau pangkat dan kedudukan semata-mata.

    Justeru beliau menafikan Pas menerima sumbangan RM90 juta daripada UMNO dan menjelaskan, jika benar dakwaan tersebut, sudah pasti Pas boleh menguasai negara sepenuhnya.

    “Dan jika benar, UMNO yang menyogok RM90 juta sangat ‘bodoh’ kerana melakukan suatu perkara yang boleh membunuh dirinya sendiri, sehingga menjatuhkan kerajaannya di negeri yang tidak kuat Pakatan Harapan (PH) dan UMNO berada dalam keadaan lebih kuat.

    “Dengan RM90 juta kalau benar-benar ada, tentunya Pas lebih mudah meranapkan PH yang banyak duit perbelanjaan untuk media sosial bagi menyebarkan pembohongan dengan meluas tanpa aqidah dan ideologi kerana kepelbagaian anutan ahlinya.

    “Pas juga tidak mampu mengadakan media sosial bagi menjawabnya kerana terlalu mahal, apatah lagi untuk menyiarkan fitnah, menipu dan berbohong besar. Balanya tidak mampu dibayar dosanya dengan duit berkali ganda RM90 juta,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Pas katanya, berusaha untuk mendapatkan kuasa bagi mencegah kemungkaran dengan tangan dan sekurang-kurangnya dengan lidah.

    “Maka, ahli Pas yang setia dan berakidah tidak boleh dipotong lidahnya atau ditutup mulutnya oleh UMNO dengan fitnah RM90 juta. Mereka yang memilih untuk tutup mulut pasti akan meninggalkan Pas, atau keluar sendiri menyertai jalan yang mudah menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran sehingga melompat laksana kera yang melihat pokok yang banyak buahnya.

    “Pas sangatlah berbeza dengan jenis parti upahan dan pemimpinnya yang berbudi kepada pihak yang memberikan sumbangan kepadanya supaya menjadi alat atau dipergunakan. Sehingga mereka sanggup menjual maruah agama, bangsa dan negara,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.

    Pas mampu bertanding dalam pilihan raya hasil derma ahlinya di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dan kebanyakannya bertanding di kawasan UMNO, katanya.

    “Tiba-tiba, Pas mampu menawan tiga negeri dan berada dalam kerajaan pusat dengan langkah mengajak UMNO, Bersatu dan pihak lain bersama menumbangkan kerajaan PH yang rapuh.

    “Ramai jentera Pas bekerja secara sukarela. Parti yang pernah bekerjasama dengan Pas pasti dapat menyaksikan sendiri dengan benar tanpa berbohong. Bahkan, kadang-kadang Pas terpaksa membayar hutang rakan yang meninggalkan pakatannya dan keluar meninggalkan Pas selepas pilihan raya,” ujarnya.

    Abdul Hadi berkata, Pas mentarbiah ahlinya supaya membina kekuatan diri dengan iman atau aqidah yang lebih lengkap daripada sekadar berintegriti sepertimana yang diuar-uarkan oleh pihak yang lain.

    “Ahli-ahli Pas yang sebenar mengetahui betapa pengorbanannya kerana menegakkan Islam itu memerlukan sumbangan ikhlas dan duit yang halal lagi berkat, manakala wakil rakyat Pas pula diwajibkan membuat potongan wang untuk diserahkan kepada partinya,” katanya.

    Menyentuh kerjasama dengan UMNO, Abdul Hadi berkata, Pas akan terus mengajak UMNO kepada konsep perpaduan umat mengikut Islam, bukan hanya membabitkan Pas dan UMNO sahaja.

    “Tanpa perpaduan, maka Pas tidak akan berganjak melawan semua pihak termasuklah UMNO. Inilah sejarah perjalanan Pas dalam arena politik,” katanya.

  • Pegawai KDN didakwa terima suapan RM100,000 untuk dapat kontrak Maktab PDRM

    Pegawai KDN didakwa terima suapan RM100,000 untuk dapat kontrak Maktab PDRM

    SEORANG pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan lebih RM100,000 bagi membantu sebuah syarikat kontraktor mendapatkan projek di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu, Selangor.

    Muhammad Syamsi Irwan Hawalit, 47, mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai berjumlah RM80,000 dan sebuah Motosikal Yamaha XMAX bernilai RM22,200 daripada Hafiz Ismail, pemilik Fizwa Global Resources dan Najib Rashdan, secara berasingan.

    Suapan itu adalah sebagai balasan mendapatkan kontrak perolehan perkhidmatan memotong rumput, mencuci pejabat, bilik kuliah dan parit bernilai RM1.6 juta yang dianugerahkan kepada syarikat itu di Serdang dan Kajang, Selangor antara Jun 2017 dan 18 Mac 2019.

    Ketika kejadian tertuduh merupakan Penolong Setiausaha di Bahagian Perolehan KDN, Gred M44, lapor Astro Awani.

    Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Hakim Ruzilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua empat pertuduhan.

    Mahkamah turut mengarahkan tertuduh untuk melapor diri pada setiap bulan di pejabat SPRM Selangor dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh pengurusan kes.

    Pendakwaaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Nor Hafidzuddin.

  • PM, menteri tidak beri perhatian perakuan penting bantu PMKS -Muhyiddin

    PM, menteri tidak beri perhatian perakuan penting bantu PMKS -Muhyiddin

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) kecewa apabila  perakuan penting MPN kepada Kabinet untuk membantu menangani masalah aliran tunai dan pembiayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhanan (PMKS) yang menyumbang 37% kepada KDNK negara tidak mendapat perhatian segera Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menteri yang berkaitan.

    Pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelewatan bertindak dalam hal tersebut adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

    Beliau menjelaskan, MPN telah mengemukakan dua perakuan utama kepada kerajaan untuk mengatasi masalah yang dihadapi PMKS itu.

    ‘’Pertamanya ialah penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Isu Kekangan Aliran Tunai dan Pembiayaan Dalam PMKS yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diputuskan dalam mesyuarat MPN pada 2 Disember 2021.

    ‘’Keduanya ialah beberapa cadangan yang lebih spesifik untuk membantu industri PMKS, iaitu supaya Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan kebenaran kepada pihak bank meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) dan tidak mengklasifikasikan pembiayaan yang diberikan penjadualan atau penstrukturan semula sebagai “Tahap 3” bagi pelanggan yang memilih opsyen ini.

    ‘’Perakuan ini telah diputuskan dalam mesyuarat MPN pada 14 April 2022 dan dikemukakan untuk kelulusan Kabinet menerusi Memorandum Jemaah Menteri (MJM) pada 18 Mei 2022,’’ katanya.

    Muhyiddin berkata, beliau telah membangkitkan perkara itu  pada 12 September lalu dan Perdana Menteri memberi maklum balas akan berbincang terlebih dahulu dengan kementerian-kementerian yang berkaitan sebelum membuat keputusan.

    ‘’Baru minggu lepas  Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam kenyataan kepada media memberitahu bahawa kementeriannya akan menimbangkan cadangan ini.

    ‘’Saya berasa agak hairan kerana Memorandum Jemaah Menteri mengenai perakuan ini telah pun diangkat kepada Kabinet pada 18 Mei 2022. Adakah Kabinet tidak membincangkan perakuan penting MPN ini dalam mesyuaratnya lebih 4 bulan lalu? Atau MJM ini dibentangkan kepada Kabinet tetapi tidak dibincang secara terperinci?,’’ soal beliau.

    Sehubungan itu Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menganggap ia sesuatu yang agak mengecewakan dan bimbang kerana sebarang kelewatan di pihak kerajaan dalam memacu pemulihan negara akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

    ‘’Ramai pakar-pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa menjangkakan dunia akan mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan. Sekiranya negara kita tidak berada pada landasan pemulihan yang kukuh pada tahun ini, cabaran yang akan dihadapi oleh rakyat dan negara pada tahun hadapan adalah lebih meruncing,’’ katanya.

    Berikutan itu, kata beliau, MPN menggesa kerajaan supaya memberi keutamaan kepada peningkatan kadar kemiskinian bandar dan luar serta bantuan segera kepada PMKS terutama moratorium untuk memulih aliran wang PMKS yang terkesan.

  • MPN hanya badan penasihat, tiada kuasa melaksana – Muhyiddin

    MPN hanya badan penasihat, tiada kuasa melaksana – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Majlis Pemulihan Negara (MPN) hanya bertidnak sebagai badan penasihat kepada kerajaan yang tidak mempunyai kuasa pelaksanaan.

    Pengerusi MPN itu berkata, perakuan-perakuan MPN dibawa ke Kabinet untuk kelulusan dan selepas itu hendaklah dilaksanakan oleh kementerian atau agensi kerajaan yang berkenaan.

    ‘’Sebagai Pengerusi MPN saya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah jabatan kerajaan mengambil langkah-langkah tertentu atau membuat keputusan tertentu bagi mempercepatkan proses pemulihan negara. Kuasa ini adalah terletak di tangan Perdana Menteri dan Kabinet.

    ‘’ Ini bermakna, skop tugas MPN ialah memberi nasihat dan perakuan kepada kerajaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneliti perakuan yang dikemukakan dan melaksanakannya,’’ katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

    Muhyiddin mengulas kenyataan beberapa pihak yang mengatakan MPN tidak berfungsi dengan baik dalam memacu pemulihan negara.

    Beliau berkata, MPN dianggotai oleh Menteri Kewangan sebagai Menteri Penyelaras, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kanan Kerjaraya, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara dan pakar-pakar ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk wakil daripada parti-parti pembangkang.

    Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, beliau tidak berniat untuk menuding jari kepada sesiapa.

    ‘’Tujuan saya ialah supaya semua pihak sedar bahawa negara kita tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini.

    ”Walaupun terdapat petunjuk-petunjuk yang positif dari segi kadar pertumbuhan, kadar penggunaan (consumption rate), kadar pengangguran dan lain-lain, petunjuk-petunjuk positif ini adalah sementara sebelum negara kita berhadapan dengan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun hadapan. Jika langkah-langkah segera tidak diambil untuk memperbaiki keadaan, rakyatlah yang akan menanggung sengsara,’’ katanya.

    Sehubungan itu beliau berharap, Perdana Menteri dan kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha melaksanakan langkah-langkah yang lebih berkesan untuk memulihkan ekonomi negara dengan lebih cepat dan meringankan beban rakyat terutamanya akibat kenaikan harga barang dan kadar inflasi.

    ‘’Pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada tahun hadapan juga akan memberikan kesan yang besar kepada rakyat dan saya berharap kerajaan menerusi Bajet 2023 akan dapat mengemukakan langkah-langkah yang seimbang dan berkesan dalam mengawal kenaikan kadar inflasi, mengatasi kejatuhan nilai ringgit, merangsang pertumbuhan ekonomi dan membantu rakyat yang susah,’’ katanya.

  • Perakuan MPN: Kabinet lulus 90.5 %, laksana hanya 23.2 peratus

    Perakuan MPN: Kabinet lulus 90.5 %, laksana hanya 23.2 peratus

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) hari ini mendedahkan walaupun Kabinet telah meluluskan 90.5% daripada perakuan-perakuan majlis itu berkaitan  inisiatif-inisiatif yang berorientasikan tindakan (action-oriented) dan segera (immediate) untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan namun dari segi pelaksanaannya ia  mengecewakan.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada 69 perakuan berkaitan isu-isu utama hanya 16 perakuan atau 23.2% telah selesai dilaksanakan.

    ‘’Manakala 30 perakuan (43.5%) masih dalam pelaksanaan, 14 perakuan (20.3%) belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada kementerian atau agensi berkaitan dan 9 perakuan (13%) masih menunggu keputusan Kabinet,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kuala Lumpur hari ini.

    Muhyiddin turut memberi beberapa contoh perakuan utama MPN yang prestasi pelaksanaannya adalah tidak memuaskan antaranya berkaitan dengan isu kekurangan tenaga kerja asing terutamanya dalam industri PMKS yang menjejaskan produktiviti dan merencat proses pemulihan negara.

    ‘’Bagi menangani masalah ini, MPN dalam mesyuaratnya pada 2 Disember 2021 telah memperakukan kepada kerajaan supaya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja Dalam PMKS yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia. Tugas Jawatankuasa Tindakan Khas ini ialah untuk meneliti dengan terperinci apakah permasalahan dalam pengambilan pekerja asing dan mencari jalan penyelesaiannya dengan kadar segera.

    ‘’Namun begitu, dalam beberapa mesyuarat MPN selepas itu, wakil PMKS masih menimbulkan masalah kekurangan tenaga kerja asing yang terus membelenggu industri PMKS. MPN dalam beberapa mesyuarat sebelum ini dan pada mesyuarat hari ini telah menjemput Kementerian Sumber Manusia untuk membentangkan kemajuan status penggajian pekerja asing,’’ katanya.

    Beliau berkata, MPN dimaklumkan sebanyak 1,152,276 permohonan kuota pekerja asing telah diterima daripada semua sektor industri daripada Januari hingga September 2022 dan daripada jumlah ini, sebanyak 467,223 (40.5%) kuota telah diluluskan tetapi hanya 76,000 (6.5%) pekerja asing telah dibawa masuk ke negara ini setakat 12 September lalu.

    ‘’Data ini menunjukkan jumlah kemasukan pekerja asing adalah jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar industri. Bagi MPN, isu kekurangan tenaga kerja asing di negara ini masih meruncing dan tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan walaupun MPN telah membangkitkan isu ini sejak bulan Disember tahun lalu,’’ katanya.

    Muhyiddin menegaskan, MPN berpandangan langkah segera mestilah diambil oleh Kementerian Sumber Manusia untuk mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing yang diperlukan oleh semua sektor industri bagi menyokong proses pemulihan negara.

    ‘’Saya juga meminta supaya Perdana Menteri mengambil perhatian utama terhadap isu ini dan memastikan permasalahan yang dihadapi oleh industri dapat diselesaikan dengan seberapa segera,’’ katanya.

  • Jangan sebar maklumat tidak tepat soal culik kanak-kanak, kata Polis Kelantan

    Jangan sebar maklumat tidak tepat soal culik kanak-kanak, kata Polis Kelantan

    POLIS Kelantan memohon kerjasama rakyat di negeri itu khususnya warga siber, supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak di pekarangan sekolah yang berlegar-legar dalam laman media sosial sejak kebelakangan ini, didapati tidak berasas.

    “Beberapa hantaran yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan telah mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di Kelantan menjalankan siasatan.

    “Dakwaan yang mengaitkan indvidu mencurigakan berada di pekarangan sekolah atau tempat tertentu telah disiasat oleh pihak polis, namun kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Muhamad Zaki berkata, tindakan menyebar bahan atau perkara tidak berasas sehingga boleh menimbulkan kegelisahan awam dan ketakutan dalam masyarakat merupakan satu kesalahan.

    Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam), yang boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Kelantan pada 22 dan 26 Sept lepas telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah masing-masing di daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

    “Hasil siasatan pihak polis mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai niat untuk menculik sebaliknya mempunyai urusan lain,” katanya.

    Ujar beliau lagi, dakwaan sama turut berlaku di Kuala Krai baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di daerah itu.

    “Bila kita jalankan siasatan, individu yang dikatakan cuba menculik itu rupanya kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusan untuk membuat kutipan bulanan daripada pelanggan di situ,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata, kejadian seumpama itu turut berlaku di kawasan Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada awal September lepas, sehingga seorang lelaki kurang siuman menjadi mangsa keadaan apabila dibelasah oleh orang ramai kerana didakwa cuba menculik kanak-kanak.

    Mengenai penularan satu pekeliling oleh sebuah sekolah di Kelantan yang mengingatkan ibu bapa supaya menjaga dan mengawasi anak mereka berikutan risiko culik, Muhamad Zaki berkata siasatan mendapati dakwaan itu juga tidak berasas. 

    “Pihak polis telah menjalankan siasatan selepas tular dakwaan seumpama itu, namun perkara berkenaan tidak benar dan tidak berasas apatah lagi yang mengaitkan mengenai sindiket mengambil organ kanak-kanak dan sebagainya,” katanya.

    Beliau turut meminta orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih termasuklah daripada pihak polis supaya tidak berlaku kekeliruan.

  • Lelaki dikhuatiri lemas semasa seberang sungai

    Lelaki dikhuatiri lemas semasa seberang sungai

    SEORANG lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menye3berangi sungai dalam kejadian di Kampung Labou-Labou, di Tambunan, pukul 6 petang semalam.

    Mangsa, Helry Junior Michel yang berusia 29 tahun, hilang dihanyutkan arus sungai deras.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 6.20 petang.

    “Sembilan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
    “Setakat ini, mangsa masih gagal ditemui dan tiada sebarang petunjuk berjaya dikesan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 2.16 pagi berikutan keadaan cuaca yang gelap menyukarkan operasi SAR.

    Katanya, operasi disambung semula pukul 7 pagi tadi dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

  • Langgar kewajipan fidusiari: Pengundi Gombak gagal saman Azmin

    Langgar kewajipan fidusiari: Pengundi Gombak gagal saman Azmin

    SERAMAI 10 pengundi gagal menyaman Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali atas dakwaan melanggar kewajipan fidusiari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan awal Mahkamah Rayuan membatalkan kes itu.

    Free Malaysia Today melaporkan, Mahkamah tertinggi mendapati kumpulan itu gagal membangkitkan persoalan undang-undang yang mempunyai kepentingan awam untuk mewajarkan kebenaran merayu keputusan mahkamah rendah.

    Kumpulan pengundi itu mendakwa Azmin bertanding pada pilihan raya 2018 untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN), tetapi kemudiannya mengingkari janjinya dengan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) pada 2020.

    Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed berkata cadangan persoalan yang dikemukakan dalam permohonan kebenaran merayu tidak memenuhi Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

    “Kami tidak yakin bahawa persoalan yang dicadangkan mencapai ambang, dan dengan itu menolaknya. Memandangkan ini kes kepentingan awam, kami tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos,” katanya dalam sidang video.

    Pada 13 April, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Azmin untuk membatalkan saman itu kerana terdapat kesilapan yang boleh dirayu.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Armada Lembah Pantai terima 200 borang ahli baharu

    Armada Lembah Pantai terima 200 borang ahli baharu

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Lembah Pantai menerima 200 borang keahlian baharu Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

    Ketua Bersatu Bahagian Lembah Pantai, Ir. Zainal Ariffin Osman berkata, perkembangan itu menunjukkan kekuatan di Parlimen Lembah Pantai seimbang di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

    “Ini sebagai tanda sokongan golongan muda bersedia melibatkan diri membantu jentera parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya memetik laporan Portal Bersatu.

    Borang keahlian baharu itu diseragkan kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Terdahulu Wan Saiful hadir merasmikan program Taklimat Jentera Pilihan Raya dan Perbincangan Isu-Isu Semasa Bersatu Lembah Pantai.

    Seramai 400 peserta hadir, melibatkan Armada dan Srikandi serta penduduk-penduduk di sekitar Parlimen Lembah Pantai.

  • Polis tahan 9 lelaki kes gaduh di pusat hiburan

    Polis tahan 9 lelaki kes gaduh di pusat hiburan

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai sembilan lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah kawasan pusat hiburan di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, pada pagi Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.43 pagi itu, beberapa lelaki turut cedera akibat dipukul menggunakan objek tajam.

    Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati pergaduhan itu disebabkan perselisihan faham yang mengheret kepada kejadian pukul.

    “Mereka yang mengalami kecederaan turut dirawat di Hospital Bukit Mertajam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Cheng San, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan antara 17 hingga 32 tahun itu kini direman selama empat hari.

    Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata.

    “Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali,” katanya.