Category: Semasa

  • Rafizi lancar petisyen bantah PRU-15 semasa banjir

    Rafizi lancar petisyen bantah PRU-15 semasa banjir

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli semalam melancarkan petisyen bagi membantah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan semasa musim banjir.

    Memetik laporan Sinar Harian, Rafizi menjelaskan hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat jelas bahawa mereka mahukan ahli politik untuk menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir dan bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihan raya.

    “Bantu saya bawa suara anda kepada ahli-ahli politik. Tandatangan petisyen ini dan sebarkan kepada seramai mungkin melalui semua saluran.

    “Saya hanyalah seorang rakyat. Dengan bantuan ratusan ribu suara rakyat yang lain, suara kita bersama akan didengari oleh ahli politik,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau semalam.

    Tambah laporan itu, Rafizi memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat tekanan hebat dari UMNO untuk mengadakan PRU-15 secepat mungkin.

    “Jika Parlimen dibubarkan dalam masa sebulan dari sekarang, PRU-15 akan diadakan semasa musim banjir. Semua laporan kaji cuaca meramalkan bencana banjir yang lebih parah tahun ini.

    “Belum pun musim tengkujuh sampai, kejadian banjir kilat terus berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami bencana banjir yang teruk,” ujarnya.

    Tambah beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendabik dada bahawa UMNO sanggup meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal.

    “Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU-15 dipanggil. Isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir.

    “Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu,” katanya.

    Menurutnya, PRU15 semasa banjir bermakna lebih RM1 bilion akan digunakan untuk menguruskan pilihan raya.

    “Sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana.

    “Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihan raya malahan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir,” ujarnya lagi.

  • Pembantu rumah curi barang kemas majikan dicekup

    Pembantu rumah curi barang kemas majikan dicekup

    SEORANG pembantu rumah warga asing ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kes kecurian barang kemas milik majikannya di sebuah rumah di Ampang Jaya Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa berusia 63 tahun menyedari barang kemas yang diletakkan di dalam almari pakaiannya hilang pada pukul 5 petang.

    “Wanita berkenaan telah bertanyakan kepada pembantu rumahnya dan dia mengaku telah mengambil dan memajakkan barang kemas tersebut di sekitar Ampang.

    “Pembantu rumahnya kemudian menyerahkan tiga resit pajakkan barang kemas disyaki milik majikannya dan berjanji akan membayar semula,” katanya sebagaimana lapor Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, wanita tersebut telah melepaskan pembantu rumahnya dan berbincang semula pada pukul 9 pagi, Ahad.

    “Pada keesokan harinya, wanita tersebut telah pergi ke rumah pembantu rumah itu dan mendapati dia telah tiada serta gagal dihubungi. Kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000,” katanya.

    Mohamad Farouk berkata, pihaknya telah menahan secara berasingan dua lelaki warga tempatan berusia 32 dan 33 tahun di dua premis pajak gadai pada pukul 10.30 pagi, Ahad.

    “Dua lelaki yang ditahan itu merupakan pengurus premis pajak gadai, kita turut merampas sepasang subang dan dua utas rantai dipercayai milik mangsa.

    “Kita kemudian berjaya memberkas pembantu rumah berusia 41 tahun itu di sebuah hotel di Jalan Dagang di sini pada pukul 3.45 petang,” katanya.

    Beliau berkata, permohonan reman terhadap dua lelaki itu telah ditolak oleh mahkamah, namun suspek wanita telah direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Video abang bomba tangkap sang bedal tahun 2017 kembali tular

    Video abang bomba tangkap sang bedal tahun 2017 kembali tular

    SEJAK semalam tular satu klip video beberapa anggota menangkap seekor buaya naik ke darat di sebuah pekan.

    Rata-rata yang melihat video tersebut meluahkan rasa kagum dengan keberanian anggota bomba terlibat.

    Namun, masing-masing tertanya-tanya bila kejadian berlaku dan di mana dirakam.

    Video tersebut dimuat naik oleh akaun TikTok Maga Deva dan selepas sehari ia telah ditonton hampir satu juta kali.

    Hasil semakan mendapati, kejadian itu berlaku di sebuah pekan berdekatan Westlake Centre, Limbang pada tahun 2017.

    Buaya sepanjang lima meter dengan berat satu tan itu dipercayai tersesat dari Sungai Limbang dan berkeliaran di hadapan kawasan rumah kedai.

    Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Limbang ketika itu, Mohd Ali Mohd Salleh, pihaknya mengambil masa kira-kira 35 minit bagi menangkap buaya tersebut.

    “Buaya berkenaan diangkat menggunakan jentera ‘forklif’ sebelum dipindahkan ke dalam lori bomba dan diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak,” katanya memetik laporan Utusan TV.

  • Bayi perempuan ditemukan dalam beg

    Bayi perempuan ditemukan dalam beg

    SEORANG bayi perempuan berusia dua bulan ditemukan ditinggalkan dalam beg dan diletakkan di kawasan kedai makan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pukul 10.49 pagi kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner, Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang memaklumkan telah terjumpa bayi berkenaan.

    “Pihak Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia yang tiba di lokasi kejadian telah membuat pemeriksaan dan mengesahkan bayi yang dijumpai itu berada dalam keadaan sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, bayi perempuan tersebut kemudian dibawa ke Balai Polis Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.

    “Siasatan lanjut masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap mana-mana kejadian tanpa maklumat yang sahih.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

  • Bicara 1MDB: Ambank, kerajaan capai perjanjian

    Bicara 1MDB: Ambank, kerajaan capai perjanjian

    MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu terdapat perjanjian penyelesaian berjumlah RM2.83 bilion di antara Ambank dan Kerajaan Malaysia, berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, berkata perjanjian penyelesaian membabitkan akaun 1MDB di Ambank, dan ia dibuat bagi membolehkan bank berkenaan tidak dikaitkan dengan isu syarikat pelaburan strategik negara itu.

    Saksi ke-37 pendakwaan itu yang menjawab soalan peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed, bagaimanapun berkata beliau tidak mengetahui sama ada akaun Datuk Seri Najib Razak turut terbabit dalam perjanjian berkenaan.

    “Ya. Sebenarnya saya ada dengar mengenai perjanjian penyelesaian itu tetapi tidak secara terperinci. Penyelesaian dilakukan oleh Ambank.

    “Kami hanya diberitahu bahawa bank membuat penyelesaian kepada kerajaan berhubung untuk tidak dikaitkan dengan mana-mana isu 1MDB. Itu sahaja saya tahu,” katanya, lapor BH Online.

    Uma Devi berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Najib, 69, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Februari tahun lalu, akhbar melaporkan Kementerian Kewangan mengumumkan AMMB Holdings Berhad bersetuju dengan penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion bagi menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan pembabitan Kumpulan AmBank dalam isu 1MDB.

    Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata, penyelesaian global terbaharu itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam melakukan tuntutan kembali, terhadap semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

    Julai tahun lalu, kerajaan menerima pembayaran pertama daripada Ambank sebanyak RM1.8 bilion yang disalurkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia dan bakinya diselesaikan pada Julai lalu.

  • 5 nelayan warga Indonesia termasuk 3 bawah umur ditahan ceroboh perairan Pulau Pinang

    5 nelayan warga Indonesia termasuk 3 bawah umur ditahan ceroboh perairan Pulau Pinang

    SEBUAH bot nelayan Indonesia bersama lima kru ditahan pada kedudukan 29 batu nautika barat daya Pulau Kendi, Georgetown, kira-kira pukul 4.10 petang semalam oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Abd. Razak Mohamed berkata, bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara oleh KM SIKUATI semasa rondaan OP TANJUNG.

    Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, bot yang berpangkalan di Pantai Labu, Sumatera Utara itu dikendalikan lima kru warga Indonesia termasuk tekong berumur antara 16 hingga 21 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Tiga daripada kru juga didapati masih di bawah umur dan bot bersama kru termasuk tekong dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

    “Kesemua mereka ditahan dan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM) kerana memperdagangkan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Menurut Abd. Razak, penahanan itu adalah tangkapan kedua membabitkan bot nelayan asing dari Indonesia bulan ini di perairan Pulau Pinang yang mana tangkapan pertama adalah pada 14 September lalu oleh KM NYALAU sekitar 51 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

  • Seksa kon melekat pada kepala murid

    Seksa kon melekat pada kepala murid

    SEORANG murid lelaki sebuah sekolah rendah di Pontian Johor berdepan detik cemas apabila sebuah kon melekat pada bahagian kepalanya, hari ini.

    Akibat kejadian itu, pihak sekolah menghubungi bomba yang kemudiannya membantu mengeluarkan kon dari kepala murid berkenaan.

    Berita Harian melaporkan, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK II) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Mohd Ezal Azma berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 1.28 tengah hari.

    “Dengan bantuan enam anggota, kon itu dipotong dengan peralatan khas dan dapat dikeluarkan 26 minit kemudian,” katanya.

    Difahamkan murid berusia 10 tahun itu bersekolah sesi pagi dan kejadian berlaku ketika dia hendak pulang ke rumah.

    “Ketika bermain bersama rakan lain dalam kawasan sekolah, mangsa memasukkan kon ke kepalanya yang mengakibatkan gagal dikeluarkan,” katanya.

  • Kebakaran: Empat sekeluarga hilang tempat tinggal, kenderaan

    Kebakaran: Empat sekeluarga hilang tempat tinggal, kenderaan

    SEORANG ibu bersama tiga anak perempuannya hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal di Melaka, musnah dijilat api dalam kejadian awal pagi tadi. 

    Mangsa Liliwati Kaharudin, 50, berkata kebakaran pada kira-kira 1.40 pagi itu turut menyebabkan tiga kereta dan sebuah skuter milik mereka musnah.

    Beliau berkata insiden itu disedari anaknya yang berusia 20 tahun yang terbau asap dan mendapati api merebak dari belakang penyaman udara di tingkat bawah rumah mereka.

    Katanya, dia terjaga selepas mendengar jeritan anaknya itu, manakala anak sulungnya (berusia 23 tahun) yang masih berjaga segera menjerit memanggil anak bongsunya, 15, yang sedang tidur di bilik atas untuk menyelamatkan diri.

    “Saya juga cuba untuk selamatkan satu daripada kereta kami namun tingkap kereta itu tiba-tiba meletup membuatkan saya jadi takut dan membatalkan hasrat,” katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

    Liliwati berkata jiran-jiran cuba membantu memadamkan kebakaran namun api semakin marak sehingga menyebabkan bahagian bawah rumahnya terbakar hampir 80 peratus.

    Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Penolong Kanan Penguasa Bomba Zahrul Azha Mokthar berkata panggilan kecemasan diterima pada 1.45 pagi dan 10 anggota digerakkan ke lokasi. 

    “Sejurus tiba 10 minit kemudian, kita dapati sebuah rumah dua tingkat berkeluasan 22×70 kaki persegi telah terbakar dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.58 pagi,” katanya. 

    Katanya punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

  • Dua anggota polis cedera parah dilibas parang

    Dua anggota polis cedera parah dilibas parang

    DUA anggota polis cedera parah dilibas parang selepas seorang lelaki dipercayai penagih dadah mengamuk di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36 Shah Alam, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa, Lans Koperal Mohd Ridzuan Marsudi cedera parah di pergelangan tangan yang mengakibatkan tiga jarinya tidak dapat digerakkan.

    “Seorang lagi, Inspektor Mohd Zulhusni Hasan turut cedera di pergelangan pada tangan telah menerima lima jahitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, dalam kejadian pukul 3.45 petang itu, mangsa bersama lima anggota polis sedang membuat siasatan susulan kes terhadap suspek yang disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    “Suspek ketika itu memandu kereta jenis Navara didapati mengamuk dengan melanggar dan menghempas pasu bunga pada sebuah kereta jenis Honda Accord milik abangnya,” katanya.

    Jelasnya, suspek kemudian dilihat mengejar abangnya yang merupakan pesara guru dengan sebilah parang.

    Mohd. Iqbal berkata, pihaknya telah sampai ke rumah suspek yang bersebelahan dengan rumah abangnya dan mendapati suspek enggan memberikan kerjasama dengan mengunci rumah.

    “Inspektor Mohd. Zulhusni bersama pasukan polis telah berjaya masuk ke rumah suspek, tetapi suspek kemudian bertindak melibas parang ke arah Lans Koperal Mohd. Ridzuan,” ujarnya.

    Ekoran kejadian itu, satu das tembakan telah dilepaskan oleh Lans Koperal Mohd. Ridzuan bagi mempertahankan diri.

    “Tembakan tersebut terlepas ke udara akibat pergelutan dan menyebabkan suspek terus menyerangnya,” ujarnya.

    (Atas) Kecederaan yang dialami oleh Inspektor Mohd Zulhusni dan (bawah) kecederaan yang dialami oleh Lans Koperal Mohd Ridzuan. GAMBAR: Polis.

    Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan Tetrahydro Cannabinol Hydrocarboxy Lic Acid (THC).

    “Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksan dan direman tiga hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan,” ujarnya.

    Katanya, kes kini disiasat dibawah Seksyen 307 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

  • JAWI saran solat jenazah ghaib buat Al-Qaradawi malam ini

    JAWI saran solat jenazah ghaib buat Al-Qaradawi malam ini

    JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini menyarankan masjid, surau Jumaat serta surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat Jenazah Ghaib selepas solat Isyak malam ini, untuk mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan bagi ulama tersohor, Allahyarham Profesor Dr Syeikh Yusuf Abdullah Al-Qaradawi.

    Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataan berkata pemergian Al-Qaradawi, 96, adalah suatu kehilangan yang besar kepada dunia Islam khususnya bagi umat Islam di Malaysia di atas sumbangan khazanah ilmu yang tidak terhitung nilainya kepada ummah. 

    “Kami mendoakan semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan para anbia dan solihin,” katanya.

    Al-Qaradawi dilahirkan di Mesir, namun Allahyarham menghabiskan hampir seluruh hayatnya di Qatar.

    Allahyarham meninggal dunia di Doha semalam,- BERNAMA