Category: Semasa

  • Lelaki dipenjara 17 tahun sebabkan kematian rakan sekerja OKU

    Lelaki dipenjara 17 tahun sebabkan kematian rakan sekerja OKU

    SEORANG pekerja kedai barangan terpakai yang sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 17 tahun oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menyebabkan kematian ke atas rakan sekerjanya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), tiga tahun lepas.

    Hakim Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap A. Raventiran, 40, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 31 Okt 2019.

    Tertuduh sebelum ini menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, namun mahkamah meminda pertuduhan kepada Seksyen 304 (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

    Mengikut pertuduhan pindaan itu, Raventiran didakwa dengan niat menyebabkan kematian terhadap R.Vijaya Kumar, 47, di sebuah premis di Jalan Sungai Besi, Cheras di Kuala Lumpur antara 1.30 pagi hingga 12.34 tengah hari pada 31 Okt 2019.

    Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi manakala peguam Stanley Clement Augustine mewakili tertuduh.

    Seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 3 Mei 2021.

  • Op Kontraban; 2 juta batang rokok seludup bernilai RM2.08j dirampas

    Op Kontraban; 2 juta batang rokok seludup bernilai RM2.08j dirampas

    SEBANYAK dua juta batang rokok seludup bernilai RM2.08 juta dirampas dalam serbuan Op Kontraban di dua buah gudang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang Isnin lalu.

    Dalam operasi pukul 6.30 pagi itu, empat lelaki warga tempatan berasal dari Selangor berusia 40 hingga 55 tahun yang bekerja sebagai penjaga gudang dan pemandu lori turut ditahan.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, polis bertindak menyerbu gudang di kawasan Perindustrian Ringan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam dan Taman IKS Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan rokok seludup.

    Dalam serbuan itu tambah beliau, pihaknya berjaya merampas 198 kotak mengandungi 9,990 karton rokok seludup yang kesemuanya bernilai RM764,000 dengan nilai keseluruhan cukai dianggarkan RM1.32 juta.

    “Sindiket ini didapati aktif sejak setahun lalu dan mengedarkan rokok seludup tersebut ke premis-premis di Seberang Perai.

    “Mereka dipercayai mendapatkan bekalan rokok seludup dari Lembah Klang dan dibawa ke gudang penyimpanan di Pulau Pinang dengan menggunakan lori sebelum diedarkan.

    “Lori itu akan berhenti 300 meter hingga 500 meter dari gudang bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa sebelum diambil pihak lain menggunakan kereta untuk disimpan di gudang-gudang ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, dalam operasi sama polis turut merampas sebuah lori dan empat buah kereta yang kesemuanya bernilai RM236,000.

    Katanya, kesemua suspek kini direman selama 14 hari sehingga 11 Oktober depan bagi membantu siasatan dibawah 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

    Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily memaklumkan, sebanyak 282 laporan polis melibatkan kes samun diterima polis Pulau Pinang sepanjang Januari hingga September lalu yang mana 82 daripadanya merupakan laporan palsu.

    Daripada jumlah itu katanya, 52 laporan palsu membabitkan kehilangan kad pengenalan; salah guna wang (10); tuntutan insuran dan perselisihan faham keluarga (5); hilang pasport atau kad UNHCR (4); mengelak membayar hutang (3); serta masing-masing satu bagi kes cemburu, fitnah dan ponteng kerja.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu yang mana boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

  • Kes terowong: Saksi diarah serah salinan perbualan dua peniaga

    Kes terowong: Saksi diarah serah salinan perbualan dua peniaga

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengarahkan saksi kelapan bagi kes projek terowong dasar laut membabitkan Lim Guan Eng menyerahkan laporan forensik perbualan WhatsApp antara dua ahli perniagaan dan maklumat pembuat laporan itu kepada pasukan pembelaan.

    Perkara itu diputuskan Hakim Azura Alwi selepas peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang memohon agar laporan yang disediakan oleh seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes jenayah membabitkan G. Gnanaraja di Mahkamah Sesyen, Shah Alam diserahkan kepada mereka.

    Untuk rekod, Gnanaraja merupakan salah seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan Guan Eng.

    Gnanaraja telah membuat tuntutan di mahkamah itu pada 3 April 2019 atas tiga pertuduhan menipu Zarul Ahmad sebanyak RM19 juta.

    Dia didakwa memperdaya Zarul Ahmad untuk mempercayai dia boleh membantunya menutup siasatan SPRM terhadapnya, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, status bagi kes berkenaan tidak diketahui.

    Ketika pemeriksaan balas terhadap saksi kelapan pendakwaan, Pegawai Penyiasat Bahagian Forensik Teknologi Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof, 34, Gobind berkata, laporan yang disediakan pegawai itu terhad kepada suatu jangka masa sahaja.

    Sebaliknya peguam itu berkata, perbualan Gnanaraja dengan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli bagi kes di Shah Alam lebih lengkap.

    Bukan itu sahaja, Wan Mohd. Firdaus turut menyatakan bahawa laporan forensik bagi telefon bimbit milik Zarul Ahmad pada 17 Ogos 2020 menggunakan perisian dikenali XRY gagal mengekstrak kandungan WhatsApp.

    Gobind: Tapi perkara itu tidak dinyatakan dalam laporan tuan, ini kali pertama saya dengar bahawa tuan tak boleh ekstrak maklumat itu.

    Wan Mohd. Firdaus: Ada dinyatakan dalam laporan di ruangan peralatan perisian yang kami gunakan.

    Gobind: Sila rujuk laporan tuan, dalam kes ini apabila tuan buka telefon untuk pemeriksaan, bukankah telefon ini telah diekstrak lebih awal, bagi kes perbicaraan lain?

    Wan Mohd. Firdaus: Ya bagi kes lain.

    Gobind: Itulah masalahnya, siapa pemeriksa bagi laporan tersebut?

    Wan Mohd. Firdaus: Pemeriksa lain, saya tak ada maklumat.

    Gobind: Tuan boleh carikan, mesti tuan boleh dapatkan maklumat itu, sebab tuan satu pejabat dengan pegawai berkenaan.

    Wan Mohd. Firdaus: Boleh, jika ada kebenaran ketua jabatan saya.

    Sebelum ini saksi berkenaan menyatakan bahawa beliau telah mengekstrak telefon Zarul Ahmad menggunakan aplikasi XRY.

    Bagaimanapun beliau berkata, aplikasi itu hanya berjaya diekstrak maklumat khidmat pesanan ringkas (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS).

    Dalam kes ini, Guan Eng berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima suapan serta dua lagi pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Negeri Pulau Pinang, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

    Perbicaraan bersambung 19 Oktober depan.

  • AGC mohon Lokman Adam dipenjara lebih lama

    AGC mohon Lokman Adam dipenjara lebih lama

    JABATAN Peguam Negara (AGC) memohon hukuman penjara lebih daripada tempoh sebulan dijatuhkan kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

    Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman sebulan terhadap Lokman pada tahun lalu, selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Dusuki Mokhtar, berkata tempoh penjara sebulan tidak memadai bagi melindungi integriti sistem kehakiman dan memberi pengajaran kepada orang awam.

    Sehubungan itu, beliau mencadangkan hukuman penjara minimum tiga bulan sebagai indikasi tiada toleransi diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba menghina mahkamah.

    “Kita tidak bertoleransi terhadap tindakan mengkritik saksi yang memberi kenyataan dalam mahkamah, Lokman membuat kenyataan dalam temu bual yang menjejaskan undang-undang.

    “Saksi ke mahkamah untuk beri kenyataan dan mahkamah akan menjalankan tugasnya untuk menegakkan keadilan,” katanya ketika berhujah di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Sementara itu, peguam bela Lokman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon anak guamnya tidak dipenjara, sebaliknya memadai sekadar didenda maksimum RM2,000.

    Katanya, laporan polis dibuat Lokman terhadap saksi itu yang juga bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin juga tidak boleh diklasifikasikan sebagai tindakan menghina mahkamah dan mewujudkan ancaman.

    “Lokman hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang awam apabila Amhari melalui keterangannya mengakui menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

    “Bagaimana perkara itu (laporan polis) mengancam saksi? Hujahan saya ialah Lokman mempunyai keistimewaan mutlak untuk membuat laporan polis, laporan itu benar dan bukan palsu.

    “Mahkamah Persekutuan perlu melihat dakwaan menghina mahkamah mengikut undang-undang dan mahkamah perlu sahkan jika wujud elemen itu dalam kes ini,” katanya lapor BH Online.

    Mahkamah kemudian menetapkan Isnin depan untuk sebutan kes seterusnya menerusi aplikasi Zoom.

    Pada 15 Julai tahun lalu, Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi menjurus kepada intimidasi dan ancaman serta menghina mahkamah.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Muhammad Shafee, supaya hukuman penjara itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Mahkamah Tinggi kemudian memerintahkan Lokman dikenakan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

    Pada prosiding rayuan sebelum ini, Muhammad Shafee memohon supaya Lokman tidak dikenakan hukuman berbentuk pemenjaraan.

    Katanya, ia adalah kesalahan pertama Lokman dan tiada sebarang kontak fizikal berlaku dalam kes ini, selain saksi tidak pernah mengadu diancam atau berasa diancam.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, membantah rayuan itu dengan menyatakan Lokman tidak pernah menunjukkan sebarang kekesalan.

    Katanya, mahkamah sebelum ini, menjatuhkan hukuman penjara antara empat hingga enam bulan bagi kesalahan menghina mahkamah dan atas sebab itu, Lokman perlu dipenjara.

    Pada 22 Oktober 2019, Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas, untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman, kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

    Pada 14 Januari 2020, Sequerah menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Tommy dan responden juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

    Tommy memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya responden dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

    Menurut Tommy pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi.

    Tommy berkata, pada hari sama Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang juga saksi pendakwaan kelapan berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

    Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden itu ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB.

  • Lelaki didenda RM43,000 guna logo halal tidak diiktiraf

    Lelaki didenda RM43,000 guna logo halal tidak diiktiraf

    SEORANG lelaki didenda RM43,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf pada daging sejuk beku, Januari tahun lalu.

    Lelaki berusia 30-an itu selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

    Mahkamah memerintahkan OKS dipenjara 15 bulan jika gagal membayar denda tersebut, lapor Sinar Harian.

    Dia didakwa mengikut Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

    Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

    Sejumlah 1,672 barang kes bernilai lebih RM500,000 yang dipertuduhkan telah dilupuskan.

  • Guru besar tidak akan kembali bertugas sebagai guru biasa – Radzi

    Guru besar tidak akan kembali bertugas sebagai guru biasa – Radzi

    GURU besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52 tidak akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah seperti yang didakwa sebelum ini.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ini kerana perkara itu telah diputuskan menerusi perbincangan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

    “Guru-guru besar yang terlibat yang sudah capai gred ini (DG52) jangan risau, cikgu akan kekal sebagai guru besar untuk tempoh yang ada dan perinciannya akan diumum kemudian dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Eksplorasi Alam Lestari III di Pusat Perlindungan Hidupan Liar (PKHL) Sungkai di sini hari ini.

    Pada 8 Sept lepas, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat dilaporkan meminta Radzi mengkaji semula dakwaan bahawa guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52 akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

    Sebelum ini media melaporkan kira-kira 200 guru besar di Semenanjung Malaysia yang akan dinaikkan ke gred DG52 dalam tempoh dua tahun ini buntu memikirkan nasib mereka yang dikatakan akan ‘turun pangkat’ dengan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

    Ditanya mengenai jumlah guru yang terlibat, Radzi berkata data itu sedang dalam proses semakan dan yakin ia tidak akan mengganggu proses kenaikan guru lain.

    “Dalam konteks ini, memandangkan mereka pentadbir sekolah, tidak mengapa kerana ada pentadbir yang bersara dan ada baharu yang dipilih. Perkara ini akan berterusan di peringkat guru besar dan kita akan lihat nanti, insya-Allah tidak akan timbul masalah dalam perkara tersebut,” katanya.

    — BERNAMA

  • Kes culik di Genting Highlands, wanita warga Pakistan dihadapkan ke mahkamah

    Kes culik di Genting Highlands, wanita warga Pakistan dihadapkan ke mahkamah

    SEORANG wanita warga Pakistan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Raub hari ini berkaitan kes tular seorang kanak-kanak yang didakwa hampir menjadi mangsa culik.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh, Bibi Nasihat, 42 tahun, boleh didakwa mengikut Seksyen 350 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan dan dihukum di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

    Bagaimanapun, kertas pertuduhan tidak dapat dibaca di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya berikutan ketiadaan jurubahasa dan tertuduh tidak memahami Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya S. Punitha mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin warganegara.

    Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minima.

    Menurutnya, tertuduh yang sudah berumahtangga dan mempunyai seorang anak berusia 12 tahun baharu sebulan tiba di negara ini.

    “Tertuduh tidak bekerja, datang ke negara ini kerana mengikut suaminya yang telah menetap di sini sejak tahun 2013. Suami tertuduh bekerja di sebuah kedai perabot dengan pendapatan RM1,600 sebulan.

    “Kami mohon agar wang jaminan dapat dikurangkan dengan mengambil kira latar belakang tertuduh, selain turut mengalami kesukaran untuk mendapatkan dua penjamin warganegara.

    “Kami juga bersedia mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya lapor Astro Awani.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ahmad Faizadh membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin pemastautin tetap, dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 1 Nov ini bagi mendapatkan jurubahasa Pakistan dan fakta serta hukuman.

    Isnin lalu, satu video berdurasi satu minit 20 saat melalui akaun TikTok milik @alfitry_azmi52 menjadi tular selepas dimuat naik di Facebook ‘Daily Traffic Report’.

    Menerusi video itu, seorang kanak-kanak didakwa hampir menjadi mangsa culik seorang wanita warga asing di Genting Highlands.

    Susulan itu, pihak keselamatan Genting Highlands membuat laporan polis pada Isnin lalu.

  • Guru Besar SJKT direman buat tuntutan palsu

    Guru Besar SJKT direman buat tuntutan palsu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG guru besar sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Skudai, Johor Bahru direman selama sehari selepas dipercayai membuat tuntutan palsu berjumlah RM2,583, Februari lalu.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Tiffany Chin Phin Yuan di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

    Perintah reman itu dibuat itu bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas suspek dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Mahkamah Johor Bahru pada pukul 9.05 lagi dengan berpakaian lokap berwarna oren serta tangan bergari dan diiringi dua Pegawai SPRM.

    Tertuduh yang merupakan seorang wanita berusia 57 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Johor pada pukul 2 petang, semalam.

    Difahamkan, tertuduh telah mengemukakan tuntutan palsu berkaitan pembekalan makanan dan minuman serta barangan bagi Program Ceramah Pembangunan Nilai Murni dalam Pendidikan Moral 2022 yang mana bekalan itu tidak dibekalkan dan program itu juga tidak dilaksanakan.

    Tertuduh diwakili Peguam, K. Bharathi.

  • Warga emas 60 tahun antara ditahan anggota sindiket peras ugut video bogel

    Warga emas 60 tahun antara ditahan anggota sindiket peras ugut video bogel

    SEORANG warga emas berusia 60 tahun antara 14 individu yang ditahan dipercayai anggota sindiket pemerasan penyebaran video bogel melalui media sosial.

    Kesemua mereka yang berusia antara 23 hingga 60 tahun dan merupakan warga tempatan itu ditahan dalam operasi khas di sekitar Pulau Pinang, Johor, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur bermula 16 hingga 19 September lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket itu berjaya memeras ugut mangsa membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM306,101 dengan mangsa paling tinggi mengalami kerugian sebanyak RM69,000.

    Jelas beliau, siasatan mendapati suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita ini merupakan pemilik akaun yang digunakan oleh sindiket tersebut.

    “Semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek-suspek ini mempunyai pelbagai kesalahan jenayah serta dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut beliau, kesemua suspek itu akan menyalurkan wang yang diterima daripada mangsa ke dalam akaun milik mereka sendiri sebelum memindahkannya ke akaun lain milik sindiket.

    Tambahnya, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan individu yang melayari laman sosial yang menawarkan perkhidmatan seks serta menggunakan aplikasi seperti Wechat, Facebook, Whatsapps, Michat dan Line sebagai mangsa.

    “Mangsa yang terdiri daripada penjawat awam, kakitangan swasta dan penganggur itu diperdaya untuk membuat panggilan video serta mempamerkan aksi lucah yang dirakam tanpa disedari mereka,” katanya.

    Menurut beliau, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, polis Pulau Pinang menerima sebanyak 76 laporan melibatkan sindiket seperti itu.

    Sehubungan itu kata beliau, pihaknya yakin dapat menyelesaikan sebanyak 12 kes di sekitar Pulau Pinang dan 27 kes yang masing-masing di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang serta Sarawak dengan penahanan anggota sindiket berkenaan.

    Dalam operasi sama tambah beliau, polis turut merampas 13 buah telefon bimbit pelbagai jenama, lapan keping kad ATM serta satu buku akaun.

    Jelasnya, suspek yang merupakan pekerja swasta, suri rumah, pelajar serta penganggur itu kini ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 385 Kanun Keseksaan, Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

  • Bekas eksekutif jualan mengaku tidak salah seleweng wang syarikat lebih RM23,000

    Bekas eksekutif jualan mengaku tidak salah seleweng wang syarikat lebih RM23,000

    SEORANG bekas eksekutif jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang majikannya berjumlah RM23,407.40 awal tahun ini.

    R. Sutharshanan, 37, dari Taman Tompoi Utama, Johor Bahru, dituduh melakukan perbuatan itu ketika bertugas di Syarikat Cap Keluarga Sales and Services Sdn Bhd, di Seberang Perai Tengah, dari 17 Feb 2022 hingga 8 Ogos 2022.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

     Hakim Norhayati Mohamad Yunus membenarkan Sutharshanan yang diwakili peguam Hari Prassaad Rao diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Okt untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak.